Monday, July 28, 2008

Komen Karpal: Apa Kata Roslan SMS


Jangan guris hati Karpal


Roslan SMS

27hb Julai 2008


Saya pasti ramai yang menonton Buletin Utama TV3 malam tadi. Laporan bertulis berkenaan berita tersebut boleh didapati di Malaysiakini, iaitu kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mempersoalkan kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat.


Kata Karpal PAS mengamalkan sifat perkauman apabila berunding dengan Umno atas nama perpaduan Melayu (sebenarnya perpaduan Islam dan Melayu). Lantas tindakan PAS itu tidak lagi sejajar dengan dasar parti beliau Dap dan Pakatan Rakyat katanya. Menurut Malaysiakini lagi:


Karpal turut menyentuh cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam agar Umno dan PAS dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.


"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan dan implikasi yang serius," katanya dalam satu kenyataan.


Mungkin ada yang bersetuju dengan Karpal. Presiden dan Mursyidul Am PAS sepatutunya tidak berpendirian begitu. Bukankah Penasihat Dap Sdr Lim Kit Siang (ketika bangkit isu Pemuda PAS mencadangkan perlaksanaan siyasah syariah dalam negeri-negeri dipimpin PR baru-baru ini) pernah berkata bahawa Pakatan Rakyat ditubuhkan atas keyakinan bahawa Malaysia ini adalah sebuah NEGARA SEKULAR.


Jangan bangkitkan hal perpaduan Melayu, malah perpaduan Islam sekalipun.


Kita tidak boleh marah pada Karpal kerana dia kawan kita. Lalu apabila kawan marah-marah pada Presiden dan Mursyidul Am kita sendiri kita seharusnya bersama kawan dan menentang pemimpin-pemimpin kita yang tidak tahu berpolitik itu. Kita seharusnya menyusun inisiatif agar kepimpinan parti kita nanti tiada lagi yang seperti Presiden dan Mursyidul Am, kerana orang seperti mereka walaupun ulamak dan duduk dalam Majlis Syura kita tetapi hakikatnya tidak menghormati kawan yang telah banyak berjasa dan berkorban pada kita.


Ayuh kita arahkan pimpinan tertinggi kita itu memohon maaf pada Karpal.


Atau bagaimana pendirian saudara?

Tok Guru: Bubar Umno dan Pas, tubuh parti baru


malaysiakini


Jul 26, 08 9:49pm

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau berkata Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.


"Umno bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan ke-37 di Machang hari ini.


Bernama melaporkan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Umno tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini.


"Kalau tidak kena dengan Islam di mana-mana, cuba beritahu dan kalau Umno itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu," katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.


Nik Abdul Aziz berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.


"Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam," katanya.

Friday, July 25, 2008

Nasihat Tun Mahathir kepada ahli UMNO

chedet.com

SIAPA LANTIK ABDULLAH
Posted by Dr. Mahathir Mohamad at July 25, 2008 12:10 PM

Tiap kali saya kritik Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata, "Awak yang lantik dia".
.
Ya, saya mengaku salah.
.
Saya mengaku yang saya lantik Dato Seri Abdullah sebagai pengganti saya. Tetapi ahli UMNO juga pilih Dato Seri Abdullah.
.
Dato Seri Abdullah memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam dalam usaha untuk menjatuhkan saya pada tahun 1986-1987. Apabila Team B kalah dan UMNO diharamkan, Dato Seri Abdullah tidak menyertai Semangat 46 tajaan Tengku Razaleigh. Sebaliknya dia pilih untuk menjadi ahli UMNO Baru yang saya pimpin.
.
Saya tidak berhak menolaknya sebagai ahli UMNO Baru. Tetapi saya gugurkannya daripada Jemaah Menteri. Dalam pemilihan Majlis Tertinggi yang menyusul Dato Seri Abdullah bertanding untuk ahli Majlis Tertinggi. Mesyuarat Agong UMNO memilih Dato Seri Abdullah sebagai ahli Majlis Tertinggi. Saya masih tidak terima dia balik jadi Menteri.
.
Di Mesyuarat Agong selepas itu dia bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Dia menang dengan undi kedua terbesar jumlahnya berbanding Dato Seri Najib. Saya berpendapat UMNO hendakkan kepimpinan Dato Seri Abdullah. Walau apa pun perasaan saya terhadap orang yang bersubahat untuk jatuhkan saya, saya tidak berhak untuk menolak kehendak UMNO.
.
Justeru itu saya kembalikan Dato Seri Abdullah sebagai Menteri dalam Kabinet. Puji-pujian didengar merata-rata yang Dato Seri Abdullah adalah "Bersih", "Mr Clean".
.
Oleh itu apabila saya terpaksa gugurkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pilih Dato Seri Abdullah untuk mengisi jawatan itu walaupun Dato Seri Najib adalah Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi.
.
Kenapa tidak dipilih Dato Seri Najib?
.
Sebabnya ialah dia lebih muda dan harapan saya selepas satu, dua penggal sebagai Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah akan serahkan jawatan itu kepada Dato Seri Najib. Sebab itu saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan Dato Seri Abdullah pilih Dato Seri Najib sebagai timbalannya.
.
Pemilihan Naib Presiden bukan yang pertama sebagai timbalan pernah berlaku. Saya Naib Presiden yang ke-tiga tetapi Tun Hussein Onn pilih saya jadi Timbalan Perdana Menteri.
.
Seperti juga dengan diri saya, Mesyuarat Agong UMNO mengesahkan pemilihan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Presiden parti dalam pemilihan yang berikut.
.
Selepas itu saya anggap penyerahan kuasa kepada Dato Seri Abdullah bukanlah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh UMNO. Tidak ada sesiapa yang membantah. Saya jelaskan latarbelakang pemilihan Dato Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya. Saya rela dihukum jika saya salah.
.
Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah. Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan.
.
Dalam perkara ini pendapat saya ialah Dato Seri Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir. Kenyataan olehnya yang dia akan serahkan jawatan dalam parti dan Kerajaan pada bulan Jun 2010 disambut baik bahkan dengan gembira oleh hadirin serta orang ramai, Melayu dan bukan Melayu.
.
Tiada siapa yang merayu supaya dia teruskan pimpinannya. Dari ini agak jelas yang semua pihak hendak Dato Seri Abdullah letak jawatan.
.
Tetapi meletak jawatan dua tahun dari sekarang bermakna penggantinya hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan parti untuk hadapi Pilihanraya Umum ke-13. Masa ini terlalu singkat kerana kerosakan yang dibuat oleh Dato Seri Abdullah kepada UMNO, Barisan Nasional dan parti-parti komponennya amat teruk.
.
Masa yang lebih panjang diperlukan. Jika Dato Seri Abdullah benar-benar sayang kepada UMNO, dia harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan UMNO.
.
Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab UMNO dan Barisan Nasional jadi lemah.
.
Saya terima saya bersalah kerana memilih Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean. Saya percaya ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama.
.
Hari ini yang berkuasa menggantikan Dato Seri Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO. Janganlah tunggu Pilihanraya Umum ke-13 untuk kalahkan BN dan UMNO supaya Dato Seri Abdullah jatuh. Yang salah bukan BN atau UMNO.
.
Yang salah ialah Dato Seri Abdullah. Jika ahli UMNO hendak melihat UMNO dan BN dipulih semula, paksalah Dato Seri Abdullah letak jawatan sekarang. Jangan calon Dato Seri Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian. Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Dato Seri Abdullah terus menjadi Presiden UMNO, yang salah ialah ahli UMNO sendiri.
.
Ahli UMNO akan bertanggungjawab terhadap kehancuran UMNO dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.
.
Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa UMNO dan BN di bawah kepimpinan Dato Seri Abdullah, UMNO masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.