Thursday, October 9, 2008

Rumah terbuka Anwar

http://anwaribrahimblog.com

Tarikh: 11 Oktober 2008 (Sabtu)
Masa: 10 pagi-2 petang
Tempat: Cherok To’ Kun (Kediaman Keluarga DSAI)
Masa: 3 petang
Tempat: Perkarangan Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir.

Aktiviti: Jamuan Perdana yang dihadiri Tuan Guru Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta rombongan dari Kelantan.

Pengumuman Pak Lah: Apa kata Presiden PAS

HarakahDaily.Net

Jangan jejaskan negara - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Oct 09, 08 2:58:35 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Hrkh) - PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan kedudukan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

"Saya berharap agar dalam tempoh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melaksanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahakannya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan," katanya.

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu, katanya.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara, katanya.

Presiden PAS juga berharap Perdana Menteri tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat, ujarnya.

Semalam, Abdullah ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN memberitahu beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib sejurus beliau terpilih secara rasmi sebagai Presiden Umno kelak.

"Saya harap Dato' Seri Najib... anda tahu mengapa saya kata 'harap'? Sebab beliau perlu bertanding dalam pemilihan dahulu.

"Beliau perlu tanding dalam pemilihan sebagai Presiden UMNO dahulu, tapi saya percaya beliau boleh lakukannya...saya harap beliau jadi Presiden," katanya.

Perdana Menteri menegaskan keputusannya tak mempertahankan jawatan itu adalah muktamad.

Beliau juga menolak anggapan didesak untuk mengambil keputusan berkenaan.

Komen Tok Guru mengenai pengunduran Pak Lah

sinar harian
Edisi Kelantan - 9hb Oktober 2008 [Khamis]

Kenapa lepas jawatan kalau tidak bersalah :: Nik Aziz

PASIR PUTEH - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempersoalkan untuk apa Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan sekiranya beliau tidak melakukan kesalahan dalam pentadbiran.

Menurut Nik Aziz, Perdana Menteri sepatutnya meminta bukti apa kesalahan yang dilakukannya sehingga timbul desakan agar dia berundur.

“Kalau dia (Pak Lah) yakin dia betul, kenapa mesti melepaskan jawatan dan kalau dia rasa dia bersalah, kenapa mesti menangguhkannya, berhenti saja dan tak perlu tangguh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah yang tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti Mac tahun depan dan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu diumumkan Abdullah semalam selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Nik Aziz menambah, beliau pernah didesak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar tetapi pihak yang mendesak gagal mengemukakan bukti kesalahannya sehingga orang yang mendesak ‘tersembam’ kerana tidak mendapat kepercayaan rakyat.

“Saya pernah didesak dengan begitu hebat oleh Pengerusi UMNO negeri ini agar meletakkan jawatan, saya teruskan juga kerana saya yakin saya betul dan terbukti, Pas semakin mendapat sambutan.

“Kalau saya jadi PM, saya akan minta bukti kenapa saya mesti melepaskan jawatan dan kalau terbukti saya bersalah, saya akan berhenti, buat apa nak kumpul dosa,” katanya ketika hadir pada majlis Perasmian dan Hari Terbuka Aidilfitri Baitul Taubah, Jeram Pasu dekat sini.

Bersempena dengan perasmian tersebut, Nik Aziz melepaskan anak ikan keli di kolam buatan dalam kawasan Baitul Taubah sebagai memberi peluang kepada Anak-Anak Bina di pusat rawatan penagihan dada menggunakan kaedah Islam itu berjinak-jinak dengan kerja-kerja pertanian.