Thursday, May 28, 2009

PRK DUN Penanti:Tok Guru gesa rakyat keluar mengundi


harakahdaily.net

Keluar beramai-ramai dan undi calon Pakatan Rakyat - Nik Aziz
Mohd Sabri Said Thu May 28, 09 2:23:31 pm MYT

PENANTI, 28 Mei (Hrkh) - Musyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak semua rakyat di Penanti sekali lagi memberikan sokongan penuh pada calon Pakatan Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) N12, Dr Mansor Othman kerana kemenangan begitu penting demi kemajuan negeri.

Tanpa kemenangan sukar calon yang diamanah meneruskan agena yang menjadi prinsipnya sewaktu berkempen dan membantu Ketua Menteri dalam urusan pentadbiran serta memperkenakan beberapa strategi membantu meningkatkan hasil negeri.

"Marilah kita bersama-sama keluar tidak kira PAS, KeADILan, DAP, Umno dan lain-lain parti atau orang yang tidak berparti beri sokongan pada Dr Mansor. Biar Pakatan Rakyat menang untuk membolehkan pentadbiran berjalan dengan sempurna," katanya semasa berceramah di Kampung Guar Jering, Bukit Mertajam semalam.

Jangan sekali-kali terjerat dengan dakwaan mengatakan ridak payah turun mengundi berikutan sudah menang tanpa cabaran Barisan Nasional (BN) sebaliknya bertekad daripada hari ini lagi untuk terus menjatuhkan BN, katanya.

Kezaliman BN katanya tidak boleh dilupakan begitu sahaja kerana ia masih mengekalkan akta yang menjadi pelindung pada mereka.

"Buatlah keputusan dengan mengekalkan sokongan pada Pakatan Rakyat. Jangan ubah atau keliru dengan serangan halus BN supaya rakyat tidak turun mengundi. Bila kita ikut pasti kita kalah," terangnya dalam program anjuran Jentera Daerah Mengundi (JDM) Guar Perahu.

Dato' Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan turut menyeru mana-mana parti supaya bersama Pakatan Rakyat asalkan mempunyai titik persamaan dalam sesuatu isu.

Sejak kebelakangan ini keretakan berlaku pada BN di mana banyak parti komponen telah berani bersuara terutama di era kepimpinan Tun Abdullah berbanding Tun Mahathir dan kini Dato' Seri Najib terpaksa membendung daripada parah.

Pertikaman lidah berkaitan kemelut di Perak katanya, juga terdapat perbalahan apabila MCA dan Gerakan mahukan ia diselesaikan dengan menyerah mandat pada rakyat semula tetapi Umno tidak setuju bimbang rakyat menghukum parti tersebut.

Begitu juga dengan PPP yang kini berpecah dua dan mempunyai dua Presiden. Perpecahan itu menyaksikan perebutan kuasa antara yang haram dan sah, katanya.

Turut berceramah dalam program berkenaan ialah Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Inrahim.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man, Pengarah Pilihan raya KeADILan, Saifudin Nasution Ismail, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ramai lagi. - mns_

Isu komunisme: Apa kata Tok Guru

harakahdaily.net

Ideologi komunis, nasionalis perlu ditolak rakyat - Nik Aziz

Salmah Mat Husain & Mohd Nor Yahya Thu May 28, 09 1:42:20 pm MYT

KOTA BHARU, 28 Mei (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan sebarang ideologi yang jelas bertentangan dengan akidah Islam tidak boleh diterima rakyat di negara ini.

Mursyidul Am PAS itu berkata, fahaman-fahaman yang jelas bertentangan dengan Islam termasuk komunis dan nasionalisme perlu ditolak.

"Mengapa kita takut sangat hal ini. Rakyat negara ini bukannya buta sejarah, kita seharusnya sedar. Fahaman komunis hanyalah sebahagian sahaja dari pelbagai fahaman.

"Orang komunis dan nasionalis sama sahaja seperti adik beradik kerana sama-sama menolak hukum Islam.

"Orang nasionalis tolak hukum Islam dan ambil separuh sahaja," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan bantuan Imam Al-Ghazali kepada 100 pelajar miskin di Dewan Teratai petang semalam.

Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak menjelaskan kerajaan tidak membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Ching Peng kembali ke negara ini kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Sebelum ini Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dato' Dr Teng Hock Nan dilaporkan meminta kerajaan membenarkan bekas pemimpin komunis itu pulang ke Malaysia.

Ketika negara dilanda darurat pada 1948 hingga 1960 kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh angkara komunis.

Oleh itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menolak cadangan untuk membawa pulang bekas pemimpin komunis terbabit.

"Jangankan komunis perjuangan nasionalis pun saya tidak suka," katanya.

Menurut beliau kesengsaraan rakyat negara ini di zaman penjajah dan era keganasan komunis bukannya perkara yang boleh dilupakan begitu sahaja.

Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, rakyat negara ini sudah serik dengan tindakan komunis ketika zaman darurat dahulu kerana telah menyulitkan rakyat.

Kata beliau isu terbabit tidak usah diperbesarkan kerana banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan termasuk krisis politik di Perak dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman semakin terhakis.

"Kini rakyat didedahkan dengan pelbagai isu melalui blog-blog dan seharusnya mereka diberi peluang untuk berfikir secara matang kerana sejarah kezaliman komunis diketahui semua rakyat," katanya.

Ketika diminta mengulas cadangan supaya wakil rakyat PAS mengisytiharkan harta, khususnya calon-calon yang bakal bertanding pada muktamar tidak lama lagi Menteri Besar berkata, ia boleh dilakukan.

Namun beliau berkata, ia terpulang kepada mereka untuk melakukannya dan setahunya orang PAS bukannya kaya raya.

"Orang PAS ni mana ada harta sangat," ujarnya.

Abdul Latif yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai berkata, terdapat tiga nama calon PAS yang telah disenaraikan pendekkan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai depan.

Katanya, tiga nama tersebut kini diserah kepada Badan Perhubungan PAS Kelantan untuk dipertimbangkan PAS Pusat.

"PAS Kuala Krai akan akur terhadap siapa sahaja yang menjadi calon nanti. Apa yang penting kita perlu bekerja lebih keras bagi mempertahankan kerusi tersebut," katanya. - mj _

Manek Urai: Tarikh pilihanraya diumum


malaysiakini

P'raya DUN Manek Urai 14 Jul
May 28, 09 11:55am

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Kelantan ditetapkan pada 14 Julai ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai - memberikan lapan hari tempoh berkempen.

Dalam pengumumannya di Putrajaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan 12,293 pemilih termasuk 25 pemilih pos dijangka membuang undi di kerusi tersebut, bawah parlimen Kuala Krai.

Pilihanraya itu dipanggil akibat kekosongan susulan kematian penyandangnya Ismail Yaakub pada 22 Mei lalu.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daftar pemilih yang akan digunakan termasuk daftar pemilih tambahan yang dikemaskini sehingga Jumaat lepas.

Beliau menambah, penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai. Sembilan sekolah akan dijadikan pusat mengundi dengan seramai 350petugas mengendalikan pilihanraya kecil itu.

Daftar pemilih terbabit mula dijual pada 15 Jun dan pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web rasmi SPR www.spr.gov.my, selain di lima kaunter yang akan dikenal pasti.

Semakan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 15 Jun ini.

Pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6500 dan pejabat SPR Kelantan di talian 09-748 25 10.