Monday, July 28, 2008

Doktor: Tiada kesan Saiful diliwat

malaysiakini

Jul 28, 08 2:55pm

Tiada bukti Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengadu diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah mengalami hubungan seks luar tabie seperti itu - demikian hasil pemeriksaan seorang doktor di sebuah hospital swasta, kira-kira empat jam sebelum membuat laporan polis sebulan lalu.

Menurut salinan laporan perubatan terhadap bekas pembantu Anwar itu, Mohd Saiful ke Hospital Pusrawi mengadu mengalami "tenesmus" - kesukaran dan kesakitan membuang air besar.

Dipercayai pemuda 23 tahun itu mendapatkan rawatan di hospital di Jalan Tun Razak itu kira-kira jam 2 petang pada 28 Jun sebelum diminta ke sebuah hospital kerajaan dan kemudian membuat laporan polis.Ketika di Hospital Pusrawi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.

Dalam laporannya itu, doktor tersebut menyatakan pesakit itu mendakwa diserang dengan dijolok bahan "plastik" di bahagian duburnya.

Mohamed Osman, seperti tercatat dalam laporannya yang direkodkan pada jam 2.14 petang, mendapati dubur Mohd Saiful "tidak mengalami pendarahan aktif", "tiada kesan ulser atau nanah", dan "tiada kesan koyak atau calar".Beliau juga menyatakan pemuda itu kelihatan "jaga", "selesa", "tidak pucat" dan tidak menunjukkan sebarang tanda demam.

Komen Karpal: Apa Kata Roslan SMS


Jangan guris hati Karpal


Roslan SMS

27hb Julai 2008


Saya pasti ramai yang menonton Buletin Utama TV3 malam tadi. Laporan bertulis berkenaan berita tersebut boleh didapati di Malaysiakini, iaitu kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mempersoalkan kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat.


Kata Karpal PAS mengamalkan sifat perkauman apabila berunding dengan Umno atas nama perpaduan Melayu (sebenarnya perpaduan Islam dan Melayu). Lantas tindakan PAS itu tidak lagi sejajar dengan dasar parti beliau Dap dan Pakatan Rakyat katanya. Menurut Malaysiakini lagi:


Karpal turut menyentuh cadangan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam agar Umno dan PAS dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu.


"Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan dan implikasi yang serius," katanya dalam satu kenyataan.


Mungkin ada yang bersetuju dengan Karpal. Presiden dan Mursyidul Am PAS sepatutunya tidak berpendirian begitu. Bukankah Penasihat Dap Sdr Lim Kit Siang (ketika bangkit isu Pemuda PAS mencadangkan perlaksanaan siyasah syariah dalam negeri-negeri dipimpin PR baru-baru ini) pernah berkata bahawa Pakatan Rakyat ditubuhkan atas keyakinan bahawa Malaysia ini adalah sebuah NEGARA SEKULAR.


Jangan bangkitkan hal perpaduan Melayu, malah perpaduan Islam sekalipun.


Kita tidak boleh marah pada Karpal kerana dia kawan kita. Lalu apabila kawan marah-marah pada Presiden dan Mursyidul Am kita sendiri kita seharusnya bersama kawan dan menentang pemimpin-pemimpin kita yang tidak tahu berpolitik itu. Kita seharusnya menyusun inisiatif agar kepimpinan parti kita nanti tiada lagi yang seperti Presiden dan Mursyidul Am, kerana orang seperti mereka walaupun ulamak dan duduk dalam Majlis Syura kita tetapi hakikatnya tidak menghormati kawan yang telah banyak berjasa dan berkorban pada kita.


Ayuh kita arahkan pimpinan tertinggi kita itu memohon maaf pada Karpal.


Atau bagaimana pendirian saudara?

Tok Guru: Bubar Umno dan Pas, tubuh parti baru


malaysiakini


Jul 26, 08 9:49pm

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mencadangkan supaya Umno dan PAS dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau berkata Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan kepada perjuangan sebenar.


"Umno bubar PAS pun bubar, tubuh parti lain dengan syarat berdasarkan kepada Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan Ulama Pas Kelantan ke-37 di Machang hari ini.


Bernama melaporkan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Umno tidak ada sebab untuk menolak dasar Islam yang dicadangkan oleh PAS melalui parti itu kerana Islam milik semua kaum termasuk bukan Melayu di negara ini.


"Kalau tidak kena dengan Islam di mana-mana, cuba beritahu dan kalau Umno itu benar dan tidak bertentangan dengan agama cuba beritahu," katanya ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang membayangkan kemungkinan diadakan kerjasama politik dengan PAS suatu masa nanti.


Nik Abdul Aziz berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.


"Islam untuk semua kaum, bukan untuk orang Melayu sahaja atau Cina, India dan Orang Putih, semua perlu bersatu di bawah Islam," katanya.