HarakahDaily.Net
Tarif air di Kelantan kedua terendah
Mohd Nor Yahya Tue Oct 28, 08 6:28:37 pm MYT
KOTA BHARU, 28 Okt (Hrkh) - Langkah kerajaan negeri mengambil alih sepenuhnya pengurusan air daripada syarikat Thames Water Sdn Bhd sebelum ini bagi memastikan rakyat dapat menikmati bekalan air dengan kadar tarif yang rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam Musa berkata, Kelantan sehingga sekarang masih mengekalkan tarif air yang kedua terendah di negara ini selepas Pulau Pinang.
"Pulau Pinang masih mengenakan tarif air yang rendah memandangkan negeri tersebut tidak perlu menyediakan prasarana yang banyak seperti di Kelantan kerana negerinya lebih sempit.
"Namun kita di Kelantan biar pun prasarana lebih banyak, namun kita masih mengekalkan tarif air yang rendah," katanya menjawab soalan Dato' Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubur) pada persidangan Dun hari ini.
Menurutnya kerajaan negeri mengambil alih sepenuhnya ekuiti milik Thames Water dalam Kelantan Water Sdn Bhd dan bukannya membayar ganti rugi seperti dimaksudkan Adun terbabit.
"Kita tidak membayar gantirugi tetapi sebaliknya membayar nilai saham sejumlah RM50 juta kepada Thames Water setelah syarikat itu bercadang menaikkan tarif air yang boleh membebankan pengguna.
"Inilah asasnya, kita lebih mementingkan rakyat daripada syarikat asing," katanya lagi.
Menjawab soalan tambahan Adun yang sama katanya, sebelum penswastaan dilakukan kerajaan terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.
Katanya, Thames Water dipilih kerana kepakarannya dalam menyediakan perkhidmatan air dan tawaran yang dikemukakan lebih menarik berbanding syarikat lain, ketika itu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi berkata, penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara 2015 amat menggalakkan.
Ketika menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjung Mas) katanya. penglibatan NGO terutamanya dalam bidang pertanian seperti tanaman komoditi dan penternakan, begitu menggalakkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood berkata, banyak NGO di negeri ini yang melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan.
"Kerajaan sentiasa memberi kerjasama dalam pelbagai aktiviti dengan kerjasama NGO termasuk mengadakan forum dan seminar. Selain itu kerajaan juga menubuh badan perundingan NGO Kelantan," ujarnya.
Menjawab soalan tambahan Dr Muhammad Md Daud (PAS-Tendong) beliau berkata, terdapat juga NGO yang terlibat membantu mangsa banjir dan acara Nisa' Games yang diadakan di sini beberapa tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah, Dato' Ahmad Yakob pula berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan pakar-pakar dalam sesuatu bidang sebelum program yang dirancang kerajaan dilaksanakan.
"Sebagai contoh sebelum mewujudkan Kota Bahru sebagai bandaraya Islam, kajian dan pandangan pakar-pakar dari Universiti Islam Antarabangsa telah diterima," katanya menjawab soalan Ustaz Muhammad Mustafa (PAS-Demit).
Mengenai penglibatan Pusat Kajian Strategik (PKS) katanya, badan itu turut merancang sesuatu dasar kerajaan. Bagaimana pun katanya, badan itu perlu diperkasakan lagi.
Manakala Husam pula berkata, Tabung Amanah Tok Kenali sejak ditubuh pada 2006 sehingga September lalu sebanyak 415 program kursus diadakan melibatkan seramai 125,829 peserta.
Menjawab soalan Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Pasir Tumbuh) katanya, kurus yang dianjurkan termasuk bina ummah, kepimpinan belia dan pelajar.
Katanya, sumber kewangan tabung itu agak terhad kerana puncanya hanya daripada deposit tetap hasil sumbangan Tenaga Nasional Berhad sebanyak 10 peratus setahun bagi penggunaan air di Empangan Hidroelektrik Pergau.
Selain itu katanya, Tabung Amanah Tok Kenali juga mempunyai kerusi pengajian Tok Kenali di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang diperuntukan sejumlah RM100,000 bagi melahirkan ulama pelapis.