Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Monday, May 4, 2009

Ilmiah: Pengertian ulama' dan ciri-cirinya

pas.org.my

PENGERTIAN ULAMA' DAN CIRI-CIRI ULAMA'

Oleh : USTAZ HAJI IDRIS HAJI AHMAD
3hb Mei 2009

Konsep ulama’ boleh ditakrif dengan berbagai difinasi yang berlandaskan latar belakang kesarjanaan atau disiplin ilmu masing-masing. Perkataan ulama’ itu adalah kata jamak dari perkataan “’Arab iaitu ‘Alim. Kemudian lahir pula perkataan ‘Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu. (Muhamad Ismail, 1961:26.)

Menurut Dato’ Dr. Harun Din, dalam al-Quran karim terdapat dua kali sahaja perkataan ulama’ itu digunakan. Kedua-duanya merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama. Yang mendalami agama Islam diistilahkan dengan al-ulama’. Ada alif dan lam.


Ini bererti bahawa ulama’ adalah istilah khusus yang dimaklumi bahwa hanya diguna pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja. Di dalam bahasa arab ada banyak istilah selain ulama’ yang diguna bagi merujuk kepada bidang masing-masing. Contohnya (khabir atau khubara’ untuk pakar yang lain dari bidang agama), Muhtarif atau muhtarifun, Fanni atau fanniyyun yang merujuk kepada technician, Mahandis arkitek, Tabib akhsai pakar perubatan.

Seperkara lain yang patut disebut bahawa perkataan ulama ialah perkataan jama’. Kalau untuk seorang disebut alim mufrad. Akan tetapi sudah menjadi penggunaan yang menyeluruh dipakai ulama’ untuk merujuk kepada seorang seperti imam Syafie adalah ulama’ terbilang. Dibolehkan demikian kerana hakikatnya seorang alim dalam Islam memiliki dan mendalami berbagai bidang ilmu, ilmu bahasa Arab dengan segala cabangnya ilmu al-qawafi, badi’ maani, bayan, nahu saraf, usul feqh, ulum hadis, hadis, tafsir, ulum tafsir, ilmu al-adab al-arabi, arud, tarikh, mantiq, al-falsafah dan berbagai ilmu. (Dr. Harun Din, 2004: 7-8.)

Nizam Sakamat Sakjeha merumuskan pengertian ulama’ pada tanggapan masyarakat umum adalah mereka yang berat sangkaan mereka, amat ikhlas dalm melaksanakan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Amat prihatin dan berusaha keras untuk menegakkan yang hak dan memerangi kebatilan, mereka adalah orang yang tidak mungkin tenggelam dalam hawa nafsu. Nizam Sakamat Sakjeha Nasaih wa Taujihat al-Mufakkirin wa Ulama’ al-Islam liljamaat wal ahzab al-Islamiah: 4

Menurut Jamal Mohd Lokman, menjelaskan secara estimologinya ulama’ membawa maksud “orang yang mengerti atau orang yang berilmu pengetahuan”, iaitu mengetahui hakikat sesuatu dengan penuh keyakinan. Jamal Mohd. Lokman Sulaiman, 1999:37.

Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, Istilah ulama’ disandarkan kepada individu yang mengetahui mengenai al-Quran dan al-Sunnah serta memahami kedudukan hukum dan sumber hukum Islam yang berpandukan kepada sumber tersebut. (Abi Talib dan Ismail Abdul Halim, 1982:2. )

Mahyuddin Haji Yahya, di dalam Encyclopedia Sejarah Islam, para ulama’ ialah golongan penting kerana mereka merupakan pakar dalam bidang agama khususnya dalam bidang tafsir, feqah, hadis, Usuluddin dan segala cabang ilmu Islam. (Mahyuddin Haji Yahya, 1989:1708).

Al-Imam Abi Al-Qasim Jara Allah Mahmud Umar bin Muhammad al-Zamakhsyari, Ulama’ ialah mereka yang mengetahui mengenai sifat Allah, keadilannya, ketauhidannya, sifat yang harus dan yang tidak harus keatasnya, maka mereka membesarkannya, membesarkan kekuasaanya.


Orang yang ilmunya bertambah maka bertambah takut ia kepada Allah SWT. (Al-Imam Abi Al-Qasim Jara Allah Mahmud Umar bin Muhammad al-Zamakhsyari, 1995:592-593. )

Menurut Syed Qutb mereka yang mengkaji al-Quran yang penuh keaijaiban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertaqwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama’ ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmuya maka ia bertambah takut kepada Allah.( Syed Qutb, 1994:2943.)

Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), Orang yang takut kepada Allah ialah orang-orang yang berilmu. Berdasarkan kepada ayat Fatir: 28. di pangkal ayat Allah mengguna perkataan “Innama”. Menurut ahli nahu bahawa huruf “innama” itu ialah adaatu hasr yang ertinya “alat untuk membatas”.


Sebab itu ertinya yang tepat dan jitu ialah “ hanya orang-orang yang berilmu jua yang akan merasa takut kepada Allah. Kerana kalau tidak ada ilmu tidaklah orang akan takut kepada Allah.


Kerana timbulnya satu ilmu setelah diselidiki. Maka jelaslah bahawa pangkal ayat tadi Allah telah berfirman “tidakkah engkau lihat” maka kalau tidak dilihat tidaklah akan tahu. Kalau sudah dilihat dan diketahui dengan sendirinya akan mengertilah bagaimana kebesaran Allah , kekuatanya dan keagunganya, merasa dirinya kerdil di hadapan kekuasaan Allah, dengan ini akan menimbulkan takut . Kalau takut telah timbul nescaya timbullah ketundukan , lalu segala perintahnya dilaksanakan dan larangannya dihentikan. .(Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), 1984: 300-301. )

Menurut Ibn Kathir Tidak lain orang yang merasa takut kepada Allah itu hanyalah ulama’ yang telah mencapai matlamat ma’rifat, iaitu mengenali tuhan menilik hasil kekusaannya dan kebesarannya. Maha besar, maha kuasa, yang maha berilmu yang mempunyai sifat kesempurnaan dan yang mempunyai Asma’ al-Husna.


Apabila makrifat bertambah sempurna dan ilmu terhadapnya bertambah matang, ketakutan kepadanya bertambah besar dan bertambah banyak. Imam Malik berkata” ulama’ bukanlah kerana banyak menghafaz riwayat hadis, bahkan ilmu ialah Nur yang dinyalakan tuhan dalam hati”.Hamka: 301 Menurut al-Syaukani ulama’ ialah mereka yang takut kepada Allah dan mengetahui bahawa Allah berkuasa atas sesuatu. Dan ulama’ ini bukan mereka yang banyak menghafaz hadis tetapi mereka yang memiliki ilmu dan takut dengan Allah SWT. (Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani: 459. ) Begitu juga al-Qurtubi menyebut bahawa ulama’ ialah seorang yang takut kekuasaan Allah dan yakin Allah berkuasa membalas atas maksiat yang di lakukan.


Daripada Ibn. Abbas berkata ulama’ ialah yang mengetahui tentang tuhannya yang Rahman dan tidak syirik kepada Allah, dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan Allah dan memelihara peringatan Allah dan mengetahui bahawa semua yang dilakukan di bawah pengetahuannya. (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.)

Dari Ibn Abi ‘Umrah dari ‘Akrimah dari Ibn Abbas katanya ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya” Berkata Ahmad bin Saleh al-Misri dari Ibn Wahab dari Malik katanya” Sesungguhnya alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilikinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut kepada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat( ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka “ ” al-Imam al-Maraghi ketika menafsirkan ayat dalam surah al-Fatir, Ulama’ ialah orang yang takut azab Allah dengan banyak melakukan kepadanya. Dengan ilmu yang mereka pelajari datanglah keyakinan, jika dibuat maksiat akan dibalas dengan siksa, demikian kalau dibuat baik maka mereka akan dibalas dengan syurga.

Menurut Ibn Abbas bahawa ulama’ ialah yang mengenal Allah dan takut kepadanya. (Muhammad Bin Ali Muhammad al-Syaukani, Tahqiq Dr. Abdul Rahman Umairah, Fathu al-Qadir, juz 4: 463)

Berkata Rabi’ Bin Anas “Siapa yang tidak takut kepada Allah maka ia bukan ulama’” (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, juz 7:343-344.)

Dari Ibn Abi ‘Umrah dari ‘Akrimah dari Ibn Abbas katanya ulama’ ialah orang alim yang mengenal Allah dan tidak syirik kepadanya dan mengharamkan apa yang diharamkan dan memelihara wasiatnya” (Imam Hafiz Jamaluddin abu al-Fida’ Ismail ibn Kathir al-Qudsi al-Dimasyqi, juz 3/ 4: 553-554.) al-Hassan al-Basri ulama’ ialah orang yang takut kepada Allah dan cenderung melakukan apa yang Allah suka dan menjauhkan apa yang Allah murka” (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, 7/20: 343-344)

Sheikh Abul Aziz Badri ulama’ sebagai pewaris nabi iaitu yang menyambung kembali perjuangan dan dakwah para nabi. Ulama’ yang menjadi pewaris para nabi ialah ulama’ yang tidak takut kepada pemerintah yang zalim. Tidak takut kepada pihak yang kejam kerana kepatuhan mereka hanya kepada Allah SWT. (Sheikh Abul Aziz Badri, 1988:53. )

Berkata Ahmad bin Saleh al-Misri dari Ibn Wahab dari Malik katanya” Sesungguhnya alim ialah bukan orang yang banyak meriwayat ,sebenarnya alim ialah ilmu yang dimilkinya bercahaya. Allah menjadikan bercahaya dalam hatinya. Tetapi mereka takut kepada Allah bukan semata-mata banyak mengetahui riwayat( ilmu) Sebaliknya ia mengetahui kefarduan dan mengikut kitab sunnah dan apa yang dilakukan oleh sahabat radhiallahuahum dan selepas dari mereka “ (Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi, 343-344.)

Ibn. Masud berkata ketakutan kepada Allah petanda seorang itu alim. Yang berilmu bukanlah kerana ia banyak meriwayatkan hadis akan tetapi yang amat takut kepada Allah. Di tanya Saad bin Ibrahim siapakah yang paling alim di kalangan penduduk Madinah? Jawabnya orang yang paling takut kepada Allah.

Ali Bin Abi Talib pernah berkata seorang alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab allah swt dan tidak membelakangi al-quran. (Al- Imam al-Qurtubi, juz 14:243) Kesimpulannya Secara umumnya perkataan ulama’ itu membawa satu pengertian yang luas, disandarkan kepada seorang yang memahami konsep agama secara syumul dan mendalam serta menzahirkanya dalam bentuk praktikal dan amalan hidup seharian. Apabila ulama’ dikaitkan dengan Islam ia berhubung rapat dengan Allah. Tidak cukup sekadar ada ilmu tetapi tidak takut kepada Allah SWT, begitu juga sebaliknya.

Ulama’ dikenali dengan ilmunya dan keteguhan pendiriannya. Mereka terpelihara daripada terjebak ke dalam perkara-perkara yang syubahat. Ulama’ dikenali dengan jihad, dakwah, pengorbanan dari segi waktu, harta benda, nyawa dan kesungguhan mereka di jalan Allah. Ulama’ dikenali dengan ibadah dan khusyuk mereka kepada Allah. Ulama’ dikenali dengan jauhnya mereka dari keburukan dunia dan pujuk rayunya. Ulama’ dikenali dengan pengakuan oleh umat Islam dan jumhurnya dari kalangan ahli hak.

Di antara perkara yang menunjukkan alimnya ulama’ dan kelebihannya ialah mengenai pengajiannya, fatwanya dan juga karangannya. Adapun pangkat dan jawatan atau yang seumpama dengannya, bukanlah dikira sebagai tanda yang menunjukkan kepada ilmunya. Ulama’ tidak ditentukan dan tidak dipilih melalui cara pengundian, tidak juga dengan cara penentuan jawatan. Sebagaimana di antara kalangan alim ulama’ dalam tarikh ummah terserlah dan nyata sebutannya (masyhur), menjadi imam atau pemimpin kepada ummah sedang dia (alim ulama’) tidak mengenal dan menjawat kedudukan atau memegang jawatan. Seumpama Imam Ahmad dan Syeikh Islam Ibnu Taimiah sebagai dua contoh dalam tarikh yang panjang bagi ummah ini.

Ini tidak bermaksud setiap orang yang mempunyai jawatan dalam ilmu pengetahuan bukannya dia seorang yang alim, bahkan yang dimaksudkan di sini ialah kedudukan dan jawatan bukanlah dikira sebagai tanda yang menunjukkan ke atas ilmu, oleh itu kita dapati di sana ada di antara kalangan para ulama’ yang dilantik oleh hakim(kerajaan) menjadi pemerintah, qodhi, mufti dan seumpama dengannya, bahkan kadang-kadang kita dapati pada zaman pemerintahan yang zalim tetap ada para qadhi yang adil dan para mufti yang bolehdipercayai.

Memiliki segulung ijazah bukanlah jambatan mendapat gelaran sebagai ulama’, apatah lagi jika tidak terpancar dari dirinya kehidupan ilmu. Ulama’ bukan sahaja ada ilmu malahan ia memberi sumbangan kepada masyarakat, perkembangan dakwah dan kemajuan negara. Mereka adalah yang dianugerahkan Allah dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pengalaman yang meluas dan mendalami dalam hukum halal, hal ehwal Islam dan mampu melakukan istinbat hukum dengan sumber-sumber hukum yang betul dan asli; alquran dan al-Sunnah, ijma’ dan qias dan lain-lain sumber yang muktabar, dengan lain perkataan ulama' dalah pakar rujuk agama yang berkemampuan (dari segi ilmu) dan disiplinnya. Golongan ini juga mampu memahami , mengoalah serta menganalisa maqhasid syariah. Mereka adalah ahlul zikri yang boleh mengolah dan menganalisis kepentingan- kepentingan agama, nyawa, jiwa, akal dan intelektual, harta, nasab dan keturunan. Mereka juga mempunyai keperibadian yang mulia, dan dispilin yang tinggi dalam kehidupan. Mereka tidak boleh berpura-pura atau double standard sebaliknya ikhlas dan jujur samaada dalam kehidupan mahupun dalam pandangan, idea serta nasihat mereka. Ulama’ sebenar tidak bersikap berat sebelah tidak menggunakan ilmu untuk kepentingan diri dan kumpulan tertentu sahaja.

Kedudukan mereka sebagai ulama' adalah satu pengiktirafan masyarakat. Jadi golongan ulama’ bukanlah merupakan golongan yang sewenang-wenangnya menggelar diri mereka ulama’. Pengiktirafan masyarakat amat penting kerana ilmu, sahsiah dan cara hidup mereka diakui. Ulama' dahulu tidak mendapat apa apa sijil tetapi mereka diiktiraf oleh masyarakat sebagai al-Allamah (seorang berilmuan pengetahuan tinggi). Kualiti ilmu dan penyampaian ilmu membuahkan pengiktirapan masyarakat kepada mereka.

Dari semua kutipan dan penjelasan di atas menunjukkan bahawa ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan mendalami pengetahuan agama. Dengan pengetahuan ini menjadikan mereka patuh kepada hukum Allah. Amat takut kepada kemurkaan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Keistimewaan Ulama’

Firman Allah SWT “Allah menyatakan bahawasanya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia, yang menegakkan keadilan. Para Malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha perkasa lagi Maha Bijaksana). (Surah al-Imran, 3:18)

Ayat ini menerangkan kedudukan ulama’, dalam soal menguatkan akidah, kedudukan ulama’ adalah amat tinggi, selepas kedudukan para malaikat. Menurut Ibn. Hajar para ulama’ yang beramal dengan ilmunya pada hakikatnya wali Allah. (Al-Zawajir 1/88)

Ini satu darjat ketinggian yang amat nyata dengan kedudukan yang penting itu para ulama’ sebenarnya bukanlah satu golongan yang tersisih dan diketepikan dari permasalahan hidup umat manusia dalam apa jua bentuk.

Banyak hadis yang menyatakan tentang ilmu dan ulama’. Ilmu yang diperolehi oleh ulama’ adalah diturunkan oleh Allah SWT. Ayat dan perkataan “Orang yang di kurniakan ilmu dan beberapa darjat”. Menunjukkan Allah mengurniakan ilmu dan kepandaian yang amat luas kepada manusia, ilmu itu lebih maju dan teratur daripada pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada lain-lain makhluk seperti malaikat.

Di antara Hadis Rasulullah SAW . “ Ya Allah berilah rahmat kepada penggantiku. Para sahabat bertanya wahai Rasulullah siapakah pengganti-pengganti baginda. Jawab baginda “ Mereka itu orang yang datang selepas ku meriwayatkan hadis-hadis ku dan mengajarkannya kepada umat manusia”.

Ibn. Abbas menyatakan darjat ketinggian para ulama’` di atas orang mukmin biasa adalah sekira-kira 700 tahun perjalanan dan jauh di antara satu darjat dengan darjat yang lain adalah 500 tahun. (Azzawajir 1/89)

Ulama’ adalah petunjuk kepada hamba dan menara petunjuk kepada sebuah Negara, dan teras ummah dan sumber hikmah, mereka adalah kemarahan syaitan dengan mereka menghidupkan hati ahli kebenaran dan mematikan hati penyelewing. Perumpamaan mereka di bumi seperti bintang di langit yang memberi penunjuk kepada orang di lautan dan daratan. Apabila bintang terpadam maka ia boleh mengeliru perjalanan. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:13.)

Apabila ulama’ tidak ada maka manusia tidak akan tahu bagaimana hendak menunaikan satu kefarduan dan bagaimana hendak menjauhkan perkara yang diharamkan, bagaimana hendak menyembah Allah. Jika ulama’ mati maka waktu itu akan melahirkan kejahilan dan merupakan satu musibah kepada manusia. Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:13.)

Ulama’ mempunyai kaitan yang rapat dengan ilmu, dengan sebab itu apabila ulama’ meninggal ilmu pun hilang. Kata-kata Ka’ab Bin Mani’c seorang tabiin yag masyhur telah berkata” Wajib keatas kamu memelihara ilmu sebelum ia hilang, kerana hilang ilmu kerana hilang ahlinya”. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:34.)

Hadis yang diriwayatkan daripada Muaz Bin Jabal :

“Belajarlah ilmu maka sesungguhnya mempelajari ilmu kerana Allah adalah untuk menakutkan dan menuntut ilmu adalah ibadah dan mempelajarinya adalah tasbih dan berbahas dengannya adalah jihad dan mengajarnya bagi orang yang tidak mengetahui adalah sedekah dan mengajar ahli keluarganya mengenai halal dan haram adalah satu usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah kerana ia mengajar kepada benda halal dan haram dalam menakutkan kepada Allah dan menjadi rakan ketika kesunyian dan menjadi dalil ketika senang dan susah dan menjadi perhiasan ketika keseorangan dan menjadi rakan ketika berdagang dan Allah angkat darjat mereka dikalangan mereka dan menjadikan mereka pemimpin yang menjadi ikutan orang lain.


Kerana Ilmu menghidupkan hati yang buta dan memberi cahaya kepada yang gelap dan memberi satiap tenaga kepada yang lemah dan telah mencapai hamba ketahap yang merdeka dan menduduki bersama raja-raja dan mencapai darjat yang tinggi di dunia dan juga akhirat.


Dengan ilmu ia boleh taat kepada Allah SWT, dengan ilmu ia menyembah Allah dengan ilmu ia menghubungkan tali sillturrahim, dengan ilmu ia dapat mengetahui yang halal dan yang haram dan menjadi perintis kepada amal. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:35-36.)

Luqman Hakim pernah berkata kepada anaknya Wahai anakkku duduklah dengan ulama’ dan rapatkan kedua lutut kamu sesungguhnya Allah menghidupkan hati dengan ilmu seperti menghidupkan bumi dengan turunnya hujan” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:43.)

Nasihat Luqman juga “Jangan kamu duduk bertengkar dengan ulama’ maka kelak kamu akan hina dan jangan kamu bertengkar dengan orang yang bodoh maka mereka akan memaki kamu sebaliknya kamu sabar bagi orang yang yang lebih tinggi ilmu daripada kamu dan orang yang lebih rendah ilmu daripada kamu. Maka hendaklah kamu bersama dengan ulama’ dan sabar bagi mereka dan mengambil daripada mereka ilmu” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:43.)

Malik bin Anas berkata “Jangan ambil ilmu daripada 4 golongan ini,

a. Orang yang terkenal bodoh


b. Oran yang terkenal dengan ikut hawa nafsu.


c. Orang yang menyeru kepada hawa nafsu.


d. Lelaki yang ada kelebihan dan tidak tahu apa yang diucapkan. ” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:91-92.)

Ciri-Ciri Ulama’

1.Sentiasa tawaduk dengan ilmunya

2.Dia tidak menuntut kemuliaan disisi pemerintah dengan ilmunya

3. Katakan Wallahua’lam jika tidak tahu.

Daripada Abdullah Ibn Masud “Wahai manusia apabila ditanya dari perkara ilmu yang kamu tahu maka kamu jawab, jika kamu tidak tahu maka katakanlah Allah a’lam. ” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:92.)

4.Dan tiada menjadikan ilmu tadi sebagai barang dagangan

5. Tidak menjadikan ilmunya untuk mendekatkan dunia dan menjauhkan orang faqir

6.Tawaduk dengan orang faqir dan orang yang saleh

7.Apabila ia berada di dalam majlisnya maka ia sabar atas orang yang lambat faham dengan hal ehwal agamanya sehingga ia menjawab dengan lembut dan beradab.

8. Ulamak mesti beramal dengan ilmunya

Sabda Rasulullah SAW “ Sedahsyat-dahsyat manusia yang diazab di hari qiamat ialah seoang alim yang tidak bermanfaat imunya”. (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:92.)

Kata Fudhail bin ‘Iyyad, Awal ilmu ialah diam, kemudian mendengar, kemudian hafal kemudian beramal dan menyebarkan .

Begitu juga dengan kata-kata Ibn. Mubarak “awal imu ialah diam, kemudian memperdengar, kemudian memberi faham, kemudian menghafaz kemudian beramal” (Muhammad Ibn. Abdul Bar bin Asim al-Namari, 1994:46.)

9. Apabila disoal kepadanya perkara yang provokasi yang akan menimbulkkan fitnah di kalangan orang muslimin maka ia minta elak dan minta supaya soalan ini ditanya kepada orang yang lebih aula daripadanya

10. Ulama’ ia tidak akan bertengkar dan memperbodohkan orang lain.

11. Mengajar orang lain kepada tuhannya dan memperingatkan bagi mereka yang lupa. Mengajar bagi mereka yang jahil dan meletakan hikmah kepada ahlinya. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, Akhlaq al-Ulama’, 1996/1417, t.tpt, hlm, 50-53)

12.Sentiasa bersyukur kepada Allah SWT .

13. Sentiasa berzikir kepada Allah .

14.Hatinya sentiasa bermunajat dengan Allah .

15.Haya bergantung kepada Allah dan tidak takut kepada lain daripada Allah. 16. Sentiasa beradab dengan Quran dan Sunnah .

17. Tidak berlumba dengan ahli dunia dalam menuntut kemuliaan. 18.Berjalan atas muka bumi dengan tunduk dan patuh.

19. Sibuk hatinya menuntut kefahaman dan iktibar.

20. Sentiasa menyebut nama Allah bersama bersama orang berzikir

21.Lidahnya sentiasa menyebut nama Allah

Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, Akhlaq al-Ulama’, t.tpt 1996/1417,hlm: 13,

22.Sentiasa dahagakan ilmu. Kata-kata Ibn. Masud”Dua perkara yang tidak pernah kenyang iaitu orang yang ada ilmu yang sentiasa menambahkan rida Allah dan ahli dunia yang berusaha menghimpunkan harta.

Kata-kata Masruq seorang Tabiin di zaman Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Ali dan Saidina Osman “ Tanda seorang yang berilmu ialah orang yang takut kepada Allah dan tanda orang yang jahil ialah orang yang kagum dengan ilmunya” Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, 1996:64.)

23.Tidak berkompromi dengan maksiat yang dilakukan oleh pemerintah.

Daripada Ummu Salamah berkata” Bersabda Rasulullah SAW” Adalah atas kamu pemimpin, kamu kenal mereka dan kamu engkar, maka sesiapa yang ingkar maka ia telah melepaskan diri dan siapa yang benci maka ia selamat, dan tetapi siapa yang ridha dan mengikutnya maka dijauhkan oleh Allah kepadanya oleh Allah”. Maka dikatakan Wahai Rasulullah Apakah kamu perangi mereka tetapi baginda menjawab “tidak , selagi mereka solat”. Sahih Muslim: 1854

24.Orang alim musuh iblis

“Sabda Rasulullah SAW Seorang faqih begitu susah atas iblis, berbading dengan 1000 orang jahil” Kitab Ilmu Turmizi

25.Para ulama’ hendaklah mempunyai iltizam qiadi atau iltizam kepimpinan, kerana ulama’ adalah pemimpin masyarakat dan ummah seperti para Rasul SAW . Firman Allah “ Dan ingatlah ketika nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (perintah suruhan dan larangan) maka nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Allah berfirman: “….Sesungguhnya aku akan melantik mu menjadi pemimpin bagi umat manusia..” (al-Baqarah, 2:124)

Dengan demikian ulama’ bukan sekadar mengetahui tentang hukum hakam yang terbatas, bukan orang yang mengaji kitab feqah dan bukan juga ditentukan oleh serban dan jubah besar. Prof. Dr. H. Abdul Karim Amrullah (Hamka), Tafsir al-Azhar, , Bandung: Yayasan Latimojong, cet. Pertama, juz 22/30, 1984, hlm. 302-303.

Sebab itu ulama’ yang layak memimpin mereka mestilah meniru sikap dan akhlak nabi, maka barulah layak mereka menjadi pemimpin. “Para ulama’ adalah pewaris nabi-nabi dan sesungguhnya para nabi tidak meninggalkan wang emas atau perak, tetapi mereka meninggalkan ilmu, sesiapa yang mengambilnya maka sesungguhnya ia telah mengambil habuan yang cukup”. (Imam Abu Bakar Muhammad bin Hussin Bin Abdullah Al-Ajiri, Takhrij wa ta’liq Sopian Nur Marbu Banjari al-Makki, Akhlaq al-Ulama’: 19)

Sebab itulah para ulama’ mereka yang layak mewaris nabi kerana nabi hanya meninggalkan ilmu dan mereka yang boleh memahami apa yang nabi tinggal ialah ulama’.

26. Keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah

Kata Imam Ghazali : Maka inilah dia perjalanan ulama’ dan juga adat mereka pada menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, kurangnya mereka bergaul dengan pihak pemerintah dan akan tetapi mereka menyerahkan kepada kuasa Allah Taala untuk mengawasi mereka, mereka redho dengan ketetapan Allah Taala supaya dianugerahkan kepada mereka syahadah di jalanNya. Ketika mereka mengikhlaskan niat kerana Allah maka kalam-kalam mereka memberi kesan pada hati yang keras maka dengannya lembutlah hati dan hilanglah kekerasannya.

27. Bertolak ansur tolak ansur. Tidak fanatik dengan pandangannya sahaja. Contoh Imam-Imam mazhab boleh dijadikan ukuran.

Diriwayatkan bahawa Imam Shafie telah mengatakan “Seluruh manusia dalam bidang fiqah adalah keluarga Abu Hanifah” Beliau juga melaku kan solat subuh dekat kubur Abu Hanifah, beliau tidak melakukan qunut, beliau berbuat demikian kerana menghormati Abu Hanifah yng negatakan qunut tidak ada dalam solat subuh dan untuik mengajar pengikutnya supaya bertolak ansur kepada mazhab berkenaan. (Mohd. Radzi Othman dan O.K. Rahmat, 1996:61)

Kiyai Hasyim Asyaari, daripada Nahdatul Ulama, sebuah organisasi kaum tua mengatakan umat Islam agar jangan taksub kepada setengah mazhab atau setengah hukum di dalam soal furuk.


Yang utama bagi umat Islam ialah membela Islam dan berjuang menentang orang yang menolak al-Quran. Berjihad menghadapi musuh adalah wajib. Adapun takasub pada satu mazhab dan

satu qaul ini tidak disukai oleh Allah. Apatahlagi sehingga mendorong kepada berebut-rebut dan berdengkian. (Umar Hasyim , 1982:232-233.

Nota : Penulis adalah AJK PAS Pusat 2007-2009

Tuesday, March 10, 2009

Maulidur Rasul bersama Dr Haron Din


HarakahDaily.Net

Perutusan Maulidur Rasul: Laksana ajaran Nabi dalam pemerintahan
Dr Haron Din Mon Mar 09, 09 1:32:41 pm MYT

MENGINGATI Rasulullah s.a.w. adalah dituntut oleh syarak. Cara tuntutan itu adalah umum, apa sahaja yang boleh dilakukan dengan tujuan untuk mengingati Rasulullah, bukan semata-mata kerana jasmaninya tetapi kerana risalah atau mesej yang dibawa untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia hingga ke akhirat.

Pada zaman mutakhir ini umat Islam umumnya, tidak lagi menghayati petunjuk-petunjuk Rasulullah s.a.w., malah mereka juga terasing daripada menghayati perjuangan baginda, menyebabkan Islam terpinggir dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.tidak lagi menjadi idola.

Oleh itu, amat perlu diadakan sambutan yang bersesuaian dengan keadaan zaman ataupun perayaan-perayaan yang dilakukan selama ini seperti perarakan atau ceramah-ceramah agama sudah menjadi sesuatu yang ritual. Kadang-kadang ia tidak memberi makna yang sepatutnya bagi ditimba oleh orang-orang Islam.

Oleh demikian, saya mencadangkan supaya kalau benar-benar mengaku semuanya itu kerana hendak mengikuti jejak Rasulullah, maka ada baiknya diubah, ditambah sambutan itu dengancara pemerintah itu sendiri mengisytiharkan setiap tahun yang diadakan sambutan keputeraan Baginda, sekurang-kurangnya satu dari ajaran baginda dilaksanakan dalam pemerintahan.

Sebagai contoh, kalau Rasulullah s.a.w. amat memerangi arak, maka satu tahun diambil tahun 'pengharaman arak' untuk selamanya, manakala tahun hadapan pula satu lagi diambil untuk dilaksanakan, contohnya, seperti menutup aurat. Maka dilaksanakan perintah itu dengan sebaiknya oleh pemerintah. Bagi tahun ketiga pula, sebagai contoh, mengharamkan judi.

Ertinya, jika setiap tahun diadakan sambutan, diambil sekurang-kurangnya satu ajaran itu, maka ternampaklah kita ini serius dan wujud perubahan yang baik sempena Maulidur Rasul itu.
Manakala, satu hal lain pula, pihak yang berkuasa atau badan amal yang berwibawa, perlu mengadakan penyelidikan yang rapi tentang beberapa episod daripada sejarah hidup Rasulullahyang boleh dijadikan modul hidup atau praktikal modul untuk dilaksanakan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi kamu ada sejarah Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik untuk dilaksanakan."

Namun, selama ini hampir tidak pernah dilakukan penyelidikan sedemikian di Malaysia dalam hal ini.

Atas sebab-sebab itu, seperti dinyatakan tadi perlunya beberapa pendekatan dan ajaran Rasulullah s.a.w. itu diambil satu daripadanya setiap tahun bagi memberikan kemanfaatan kepada seluruh ummah.

* Dato' Dr Haron Din,
Timbalan Mursyidul Am PAS

Wednesday, October 15, 2008

Aidilfitri: Tazkirah Dr Haron Din


HarakahDaily.Net

Aidilfitri bukan untuk berpesta-pestaan - Dr Haron Din

Dato' Dr Haron Din Tue Oct 14, 08 4:40:09 pm MYT

SOALAN: Aidilfitri merupakan suatu pesta besar, dinanti-nantikan untuk dihayati sepenuh jiwa raga oleh umat Islam sama ada yang berpuasa atau tidak. Mereka sanggup berbelanja besar membuat rumah terbuka, dengan pelbagai ragam seperti yang dapat kita lihat hari ini. Soalan saya, betulkah amalan sebegini, atau apakah pandangan Dato' mengenai cara perayaan yang sebenar menurut Islam? - Mohd Fitri Aziz, Pulau Pinang

Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri, disambut setelah umat Islam menjalani ibadah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan.

Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Apabila selesai berpuasa, bermakna, kita menyelesaikan satu rukun.

Oleh kerana itu adalah wajar bagi mereka yang berjaya menunaikan rukun itu, berhari raya atau bergembira kerana berjaya menunai perintah Allah.

Tujuan kegembiraan dipamerkan adalah untuk mensyukuri nikmat Allah selepas ibadah sempurna dilakukan.

Hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w (mafhumnya): "Ramadan pada awalnya rahmah, pertengahannya keampunan dan pada akhirnya bebas daripada api neraka."

Bagi orang yang mendapat ketiga-tiga itu, apakah dia tidak mahu menyambutnya dengan perasaan gembira sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Bagi mengisi cara perayaan tersebut, syarak menggariskan beberapa panduan tertentu antaranya:

1. Diharamkan berpuasa pada hari raya - Ertinya kita harus menjamu selera. Sebaik-baiknya persediaan untuk menjamu selera itu mestilah munasabah dan tidak membebankan.

2. Berpakaian bersih, kemas dan menarik, termasuk berpakaian baru.

3. Pada pagi hari menuju ke tempat solat hari raya - sebaik-baiknya di tanah lapang jika keadaan mengizinkan kerana hendak memberi peluang kepada yang uzur, dapat bersama mengikuti khutbah raya.

4. Bertakbir dengan takbir yang disyariatkan - bermula terbenam matahari pada akhir Ramadan, masuk ke bulan Syawal sehingga selesai khutbah Aidilfitri.

5. Mendengar khutbah di samping bersembahyang hari raya.

6. Bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan silaturahim.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Apabila berlaku Hari Raya Fitrah, malaikat-malaikat turun ke bumi, berbaris di jalan-jalan orang yang hendak pergi ke tempat solat, sambil menyeru mereka dengan suara yang didengari oleh semua makhluk, kecuali jin dan manusia, dengan kata-kata "wahai umat Muhammad, ayuh beramai-ramai kepada keredaan Allah, Tuhan yang Maha Mulia, Tuhan yang memberi anugerah yang amat banyak dan yang mengampun dosa-dosa yang banyak."

Apabila mereka berada di tempat solat dan menunaikan solat serta mendengar khutbah, maka Allah berfirman kepada malaikat-malaikat tadi, "Tahukah kamu apakah balasan Aku kepada semua mereka itu?" Malaikat menjawab, "Allah sahajalah yang Maha Mengetahui dan akan membalas apa sahaja amal-amal ibadah mereka." Allah menjawab lagi, "Aku bersaksikan kamu, bahawa Aku akan membalas amalan puasa mereka, sembahyang malam mereka dan solat mereka pada hari ini, dengan keredaan-Ku dan keampunan-Ku kepada dosa-dosa mereka." (Riwayat Ibnu Abbas r.a)

Dalam Kitab Durratun Nasihin, halaman 80 dibawa suatu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Pada hari raya berbanyak-banyaklah bersedekah dan lakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebajikan serta pahala, perbanyakkan memuji Allah, mengagungkan Allah dan bersungguh-sungguh mentaati-Nya kerana pada hari itu Allah akan ampunkan dosa manusiayang berpuasa dan menyambut hari raya dan dibalas dengan syurga Allah."

Kaab bin Munabbih menceritakan, pada hari raya, raja iblis amat murung dan amat dukacita, anak-anak buah dan kuncu-kuncunya berkumpul beramai-ramai dan bertanya kepada raja mereka, siapakah yang menyebabkan dia berdukacita, segeralah beritahu agar mereka bertindak menghapuskannya.

Maka jawab raja iblis, "Tidak bukannya orang yang mendukacitakan aku, tetapi Allah, Allah yang memberi keampunan kepada dosa yang telah kita usahakan mereka berdosa."

"Jika begitu apa kita perlu lakukan?" tanya anak-anak iblis.

Jawabnya, "Mestilah kamu bertindak memalingkan manusia daripada keredaan Allah, hanyutkan mereka dengan nafsu syahwat, biar mereka menjamu selera sehingga melanggar hukum Allah, hasutkan sehingga mereka melakukan perkara yang diharamkan, ajak mereka berhibur dengan hiburan yang melalaikan, suruh mereka minum dan makan yang ditegah oleh Allah, biar mereka dimurkai semula oleh Allah."

Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w bersabda dalam suatu hadis yang mafhumnya: "Syurga amat merindui kepada empat kategori insan untuk memasukinya. Pertama, yang membaca al-Quran. Kedua, yang menjaga lidah daripada bertutur yang tidak baik. Ketiga, yang memberi makan orang yang lapar (terutamanya untuk berbuka puasa) dan keempat, yang berpuasa sepenuhnya pada bulan Ramadan."

Sehubungan itu umat Islam semuanya henaklah berteraskan hal-hal daripada garis panduan yang saya nyatakan seperti di atas. Wallahua'lam.

Thursday, October 9, 2008

Aidilfitri: Tazkirah Tok Guru

HarakahDaily.Net

Rebut pahala di hari raya

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sun Oct 05, 08 11:03:21 am MYT

Maksud firman Allah: "Kamu semua wahai orang mu'min diminta menyempurnakan bilangan puasa sebulan dan kamu juga diminta bertakbir kepada Allah (berhari raya) kerana Allah beri kepada kamu hidayat." (al-Baqarah: 185)

Setelah kita berpuasa, bertarawih, berqiamullail, bersedekah, berzikir sepanjang Ramadan, Allah menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar. Allahu Akbar maknanya kita kata dengan lidah sendiri bahawa "Allah yang terbesar".

Manakala yang lainnya ialah yang paling kecil yang mesti dipinggirkan bila bertembung dengan kehendak Allah. Betulkah pengakuan Allahu Akbar yang selalu kita sebutkan dalam azan, sembahyang dan laungan tertentu bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Agung atau hanya kita sebutkannya dengan lidah sebagai satu tradisi saja?

Hari Raya bukan tradisi ciptaan orang Melayu, bukan juga tradisi ciptaan orang Arab. Ia adalah kehendak agama. Islam minta kita bersukaria, yang kita panggil berhari raya.

Anak kecil, orang tua, orang sakit dan juga orang sihat, semuanya berasa seronok bila disebut hari raya. Kita kena faham, berhari raya itu sendiri adalah ibadah dan boleh pahala.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Bila Allah Taala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut rukunnya.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki Allah.

Tak boleh dengan sebab kita berhari raya, maka kita meneguk minuman yang memabukkan kerana berseronok misalnya.

Tak boleh berjudi, tak boleh pergi ke tempat yang bercanggah dengan konsep hari raya menurut Islam.
.

Dalam berhari raya, memang menjadi satu fitrah manusia suka berseronok, tapi mestilah mengikut peraturannya.

Sebab itu, dalam jadual hari raya, kita diminta mandi dengan niat mandi sunat hari raya sebelum pergi ke masjid. Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang suci.

Tapi bila kita niat bahawa mandi itu adalah mandi hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah nak cari duit, nak cari harta. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah duit, 'mata wang' yang sangat berguna bila kita masuk ke dalam kubur.

Bila kita masuk ke dalam kubur, kita tidak mati seratus peratus, yang mati hanya tubuh. Dalam jisim kita ada roh.

"Dialah Tuhan yang telah meniup masuk ke dalam tubuh manusia rohnya". (maksud as-Sajdah: 9)

Allah Taala tiupkan masuk ke dalam tubuh manusia roh. Walaupun semua benda lain datang daripada Allah belaka, tapi oleh kerana roh ni benda mulia, maka Allah sandarkan roh kepada Dia sendiri.

Jadi, sebagaimana Allah tak mati-mati, kekal abadi, maka roh juga tak mati. Yang mati hanyalah tubuh.

Sebagaimana tubuh atas dunia ni berkehendak kepada makan minum, maka roh juga berkehendak kepada makan minum. Untuk makan minum di dunia ini kita terpaksa guna duit untuk beli beras, petrol, bayar sewa rumah.

Tapi duit tidak laku lagi bila saja kita masuk ke dalam kubur. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Jadi, bila ada orang bercakap mengenai pahala, pahala, pahala, jangan buat main. Satu daripada cara kita mendapat pahala ialah selain daripada puasa, bertadarus, bertarawih ialah kita berhari raya. Di hari raya kita diminta khusus memakai pakaian cantik.

Seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa asalkan bersih.

Kita dapat pahala. Dan kita bawa anak-anak ke masjid, ke surau atau ke musalla. Saya sudah berusaha bertahun-tahun nak mengerjakan sembahyang hari raya bukan di masjid.

Kalau boleh, di padang yang luas seperti padang bola. Tapi dengan sebab iklim negeri Kelantan ini, kalau tak ada hujan pun ada air embun menyebabkan tak boleh dibuat di padang.


Sepatutnya kita mengerjakan sembahyang hari raya di tempat yang luas, lapang.

Tapi ada halangan iklim. Sembahyang raya baik Aidilfitri ada bacaannya sepertimana dibaca Rasulullah s.a.w.

Sembahyang Hari Raya Korban pun ada bacaannya. Dalam sembahyang Aidilfitri, Rasulullah membaca surah Qaaf dalam rakaat pertama dan surah al-Qamar dalam rakaat kedua.

Kedua-dua surah ini menyentuh tentang kiamat. Kita dalam keadaan seronok, maka nabi kita baca tentang kiamat. Segala nikmat dunia ini akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa yang hidup di dunia ini kena dengan kehendak al-Quran akan masuk syurga. Tak kena dengan kehendak al-Quran, baik masalah politik, rumah tangga dan sebagainya akan masuk neraka.

Jadi, kedua-dua surah ini akan jadi sebagai brek supaya kita tidak terlajak sangat dengan semangat bersukaria dan gelak ketawa pada Hari Raya kerana di depan kita ada pembalasan.

Di kiri kanan kita ada malaikat yang menulis. Allah pula Maha Tahu semua sekali. Begitu juga bacaan sembahyang raya korban juga menceritakan tentang urusan kiamat, kiamat, kiamat. Itu akan menyebabkan manusia hidup penuh berhati-hati.

"Kamu diminta bertakbir di hari raya kerana Allah berikan kepada kamu hidayat." Hidayat ialah Quran. Al-Quran adalah hidayat.

"Sebagai petunjuk untuk manusia seluruhnya". Saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Kelantan dan Malaysia tak kira Melayu, Cina, India dan sebagainya. Dan tolong berhati-hati kerana anak-anak kecil suka bermain mercun menyebabkan ada yang putus jari, buta dan melecur. Ini bukan cara orang Islam menyambut raya.

Begitu juga masalah jalan raya. Sekarang zaman orang nak cepat. Naik motokar dan motosikal nak cepat, yang menyebabkan banyak berlaku kemalangan maut.

Maka tolonglah jaga supaya hari raya tahun ini benar-benar menenangkan hati dan tidak menimbulkan masalah dalam masyarakat khasnya keluarga kita sendiri. Mudah-mudahan kita dianugerahkan oleh Allah kesejahteraan dunia dan akhirat.

Allaahu Akbar! Walillaahil Hamd.

Thursday, October 2, 2008

Perutusan Eidulfitri 1429 Tok Guru Presiden


buletinonline.blogspot

Sabtu, 2008 September 27

Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Hari gembira dan penuh berkat kurnia dari Allah SWT. Setelah kita menunai ibadat puasa Ramadan dengan menyelami serta mengambil berkat dan fadhilat bulan Ramadan, dengan membentuk peribadi muslim supaya menjadi orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT.

Dalam masa yang sama mengingatkan kita dengan hari-hari kemenangan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala dalam bulan Ramadan. Dalam perjalanan umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW dan selepasnya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa bulan Ramadan adalah bulan ‘membina kekuatan’ roh dan jasad. Membina kekuatan imam dan peribadi muslim yang merupakan anggota kepada kumpulan umat Islam yang besar.

Sepatutnya, kita meninggalkan Ramadan dan menyambut hari raya telah mengingatkan kita kepada kemenangan itu dan punca-punca kemenangan. Apa lagi di hari yang mulia ini kita bertakbir mengagung dan membesarkan Allah SWT. Memperingati kemenangan umat Islam dalam menghadapi golongan Ahzab. Kumpulan gabungan kabilah-kabilah yang menganut berbagai-bagai agama dan ajaran untuk menentang Islam. Berakhir dengan Allah SWT membinasakan kumpulan-kumpulan musuh itu.

Kita ulangi peristiwa itu, ketika kita menyambut hari raya yang mulia ini. Untuk mengingatkan kita bahawa kejayaan dan kekuatan umat. Sejauh mana umat ini berpegang dengan al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan, menghayati dan beramal dengannya. Sebagaimana yang diamal oleh Rasulullah SAW.

Di hari yang mulia kita bergembira ini jangan melalai dan melekakan kita. Kita hendaklah menjadi orang-orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur di atas segala nikmat yang diberi kepada kita yang tidak terhitung banyaknya. Nikmat yang paling besar ialah nikmat Islam. Pemberian yang paling mahal yang tidak mampu kita menilainya.

Pemberian daripada Allah SWT, Tuhan yang kita yakini tidak ada Tuhan melainkan Dia sahaja. Mestilah keyakinan itu melahirkan perangai-perangai dan akhlak-akhlak serta amalan-amalan mengikut petunjuk yang terkandung dalam al-Quran dan cara amalannya diajar oleh Nabi Muhamad SAW.

Marilah kita melakukan muhasabah apa yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia dalam keadaan porak-peranda, mengalami penyakit politik, penyakit ekonomi dan penyakit sosial. Puncanya tidak lain dan tidak bukan kerana kita meninggalkan petunjuk yang terkandung dalam al-Quran.

Kita wajib melakukan perubahan. Sebarang perubahan dan pembaharuan yang dilakukan oleh umat Islam mestilah mengikut petunjuk yang ada dalam al-Quran itu sendiri. Sebagaimana yang disebut oleh Saidina Umar Ibnu Khatab r.a bermaksud “Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam.

Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam, nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah SWT”. Dengan menyuburkan iman yang ada di dalam diri masing-masing dan di atas iman itulah kita bina segala amalan kita.

Amalan jasad dan roh kita melalui individu masing-masing, mengeratkan ukhuwwah di kalangan umat Islam yang berlandaskan kepada iman serta mewujudkan golongan Islam dan kumpulan Islam yang mampu memimpin umat, memimpin manusia mengikut petunjuk Allah SWT, kerana Allah Taala menjanjikan dalam al-Quran dengan maksudnya,

”Allah berjanji, kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di kalangan kamu bahawa Allah akan mengurniakan di kalangan mereka menjadi golongan yang memerintah, yang berkuasa di atas muka bumi ini. Mereka menukar keadaan yang dialami oleh manusia dalam ketakutan kepada keamanan. Apabila mereka menjadikan agama Islam itu agama yang berdaulat dan memerintah. Mereka mengabdikan diri kepada Aku (Allah) dalam keadaan mereka tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu, mereka itulah orang-orang yang fasik”.

Di mana Allah SWT melafazkan dengan firmannya janji kemenangan dengan syarat. Syaratnya, orang-orang yang beriman itu benar-benar beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagaimana yang ditunjuk oleh Allah SWT, tidak syak lagi sebagaimana yang ada dalam al-Quran.

Oleh kerana itu, umat Islam wajib membina diri mereka sendiri dengan ajaran agama mereka di atas dasar iman dan amal yang soleh yang ditunjuk oleh Allah SWT sehingga mereka memenuhi ciri-ciri kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Selepas itu tidak syak lagi, Allah Taala akan memberi kemenangan kepada umat Islam. Hanya kemenangan Islam sahaja yang mampu menyelamatkan seluruh manusia bukan sahaja umat Islam termasuklah orang-orang yang bukan Islam.

Marilah dengan bangga dan megah, dengan rasa syukur kepada Allah SWT di atas nikmat ini. Kita bangun untuk menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, untuk menyelamatkan umat Islam yang berada dalam keadaan yang ‘berpenyakit’ supaya umat Islam menjadi contoh untuk menyelamatkan manusia seluruhnya yang tenggelam di dalam jahiliah.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja dengan pakaian-pakaian yang baru tetapi mestilah juga dengan semangat baru setelah kita membentuk peribadi kita sebulan bulan Ramadan. Kita menghayati bulan Ramadan dengan ibadat puasa, menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT, bertadarus al-Quran, membaharukan iman, ilmu dan pengetahuan kita dan seterusnya meningkatkan lagi amal kita sehingga kita mencapai janji Allah SWT yang tersebut.

Akhirnya, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan marilah di hari gembira bulan kurnia Allah ini, kita mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan Islam yang mengikat kita.

Dan itulah ikatan yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat dan jadikan Islam dihadapan kita yang memandu setiap perjalanan dan tindak-tanduk kita, kerana itulah satu-satunya jalan yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Allahu Akbar, waliLlahilham.


Presiden PAS,
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
21 September 2008 pada jam 3.00 petang

Perutusan Eidulfitri 1429 dari Mursyidul Am


HarakahDaily.Net

Semua manusia adik-beradik - Mursyidul Am

Abdul Aziz Mustafa Wed Oct 01, 08 11:03:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya sempena Eidulfitri.

"Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam.

"Sumber hidup keseluruhan ini adalah anugerah Allah s.w.t. Ia tidak dapat dijual dan tidak dapat dibeli," kata Menteri Besar Kelantan itu.

Begitu juga, kata beliau, dengan pelbagai bulan di dalam taqwim di mana dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup manusia sarat dengan perhambaan kepada Allah s.w.t.

"Sebenarnya, baik dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup kita ini sarat dengan pelbagai aktiviti perhambaan. Kita mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap keadaan.

"Menyambut Hari Raya pun adalah merupakan ajaran agama. Makan minum, berpakaian cantik, suka-ria di hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha; semuanya itu adalah ajaran agama.

"Teriak tangis di waktu dinihari, sedu-sedan sebelum subuh meminta diampunkan segala dosa, diselamatkan dari godaan nafsu dan sabar menghadapi segala karenah manusia baik mukmin, fasik, kufur dan lebih-lebih lagilah yang munafik; pun adalah ajaran agama," kata Tuan Guru.

Begitu juga, katanya, dengan kesedaran terhadap lafaz berbunyi: "Ya Allah mujurnya ada ajaran-Mu dan puasnya hatiku mendengar nasihat Nabi-Mu yakni Muhammad s.a.w.
"Semuanya ini berupa pengabdian," katanya lagi.

Beliau mengucapkan kesyukurannya kepada Allah yang telah mendatangkan lagi Ramadhan "untuk kita menghirup udara kerahmatan, keampunan dan maghfirah yang sangat mulia".

Lebih penting dari itu, katanya, adalah kesedaran untuk mengambil kesempatan keatas janji-janji gandaan pahala yang ditawarkan oleh-Nya.

"Dengan segala kesedaran dan isi kandungan kesyukuran seperti yang kita sebutkan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf jua seadanya," kata Tuan Guru.

Monday, September 29, 2008

Aidilfitri: Perutusan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

HarakahDaily.Net

Terima tetamu bukan Islam di Hari Raya

Mohd Nor Yahya Mon Sep 29, 08 5:59:48 pm MYT

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Dato' Mohammad Daud

Assalamualaikum wbt, pertama sekali saya merakam ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat serta barisan pimpinan PAS Pusat dan negeri, Ahli Majlis Syura. Tidak ketinggalan juga pimpinan Pakatan Rakyat.

Alhamdullillah, walau pun negara kita mengalami kegawatan dalam politik dan ekonomi, kita masih lagi dapat menyambut Hari Raya dengan penuh semangat Islam dan saya berdoa kepada Allah swt supaya Allah menerima segala amalan dan ibadat puasa di sepanjang Ramadan 1429.

Mudah-mudahan Allah memberi kepada kita kekuatan untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya dan ganjaran bagi membolehkan kita memasuki syurga yang kita idamkan selama ini.

Saya berharap pimpinan PAS dapat memberi layanan yang baik kepada seluruh lapisan masyarakat yang datang berkunjung di rumah masing-masing dan bersedia untuk menerima mereka dalam suasana yang menggembirakan terutamanya kanak-kanak dan kaum bukan Islam.

Bagi perantau pula, saya berharap mereka dapat pulang berhari raya di rumah keluarga mereka terutama yang masih mempunyai ibu bapa.

Ibu bapa amat berharap dengan kedatangan hari yang mulia ini mereka dapat berkumpul dan ini akan merapatkan lagi hubungan sillaturrahim.

Manakala bagi pelajar yang berada di luar mahu pun dalam negeri, saya berharap mereka belajar bersungguh-sungguh terutamanya dalam ilmu keagamaan kerana mereka bakal pemimpin pelapis suatu hari nanti.

Saya juga berharap orang bukan Islam dapat memahami Islam dan memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

Adalah elok mereka dapat berkunjung ke rumah pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat dalam suasana harmoni kerana Islam tidak menyusahkan orang lain.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Oleh itu, saya berharap di Hari Raya ini, masyarakat bukan Islam dapat sama-sama berhari raya dengan mengamalkan konsep kunjung mengunjung.

Pimpinan Ulama mesti memainkan peranan menyatupadukan umat Islam dan bukan Islam melalui Hari Raya. Ini merupakan satu cara untuk menyatupadukan seluruh kaum di negara kita.

Kita tidak perlu memusuhi�kaum lain kerana mereka juga merupakan hamba Allah swt dan Islam sendiri tidak pernah mengamalkan sikap bermusuhan dengan mereka.

Bagi golongan remaja pula saya berharap mereka tidak menjadikan Hari Raya sebagai hari untuk membuat maksiat seperti berjudi, minum arak dan berlumba haram di jalan raya, sebaliknya rebutlah peluang untuk berziarah ke rumah saudara mara.

Sempena Hari Raya ini juga saya menyeru kepada umat Islam agar jangan jadikan jalan raya sebagai tempat untuk menunjukkan keghairahan untuk berhari raya sehinggakan menggadaikan nyawa sendiri.

Kita sering dipaparkan dengan pelbagai tragedi kemalangan maut sepanjang Hari Raya dan ini seolah-olah Hari Raya sebagai hari menempah maut.

Akhir sekali, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia dan pimpinan PAS serta Pakatan Rakyat.

Friday, September 26, 2008

Kita di penghujung bulan keberkatan

Tatkala Allah menjanjikan pelbagai rahmat serta 'bonus' buat ummatnya yang giat beribadah kepada-Nya di bulan mulia ini, masih terdapat mereka yang masih galak mengekalkan cara hidup yang menjauhkan lagi hati mereka daripada tuhan.

Tatkala hambaNya tekun mencari keredhaan serta mengharapkan dapat bersama dengan 'satu malam yang mewakili 1000 tahun', di saat itu juga umat Islam dialunkan dengan pelbagai irama dan lagu yang mengharapkan agar bulan 'rahmat' ini segera berakhir.












.

.

.

.

Tuesday, September 23, 2008

Tok Guru samakan penyeludup dengan Firaun


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - 23hb September 2008]

Penyeludup macam Firaun :: Nik Aziz

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar penyeludup dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti penyeludupan kerana mereka yang menyeludup dan terima barang seludup sebenarnya makan duit haram.

Katanya, wang yang diperoleh hasil keuntungan melalui kegiatan penyeludupan yang kini semakin berleluasa pada musim perayaan tidak bermakna walaupun banyak kerana ia adalah haram.

“Orang yang menyeludup dan orang yang terima barang seludup mereka sebenarnya terima barang haramduit yang kita dapat duit haram. Perut kenyang masuk neraka, di mana cerdiknya.

“Ia jadi macam Firaun, perut kenyang dan kerajaan besar tetapi masuk neraka.

Nama Firaun tersenarai dalam al-Quran sebagai ahli neraka, buat apa..,” katanya kepada pemberita semalam ketika diminta mengulas mengenai kegiatan penyeludupan yang semakin berleluasa sekarang.

Thursday, September 18, 2008

Sekadar renungan bersama Allahyarham Fadzil Nor

HarakahDaily.Net

Ingat pesanan Ustaz Fadzil - Perangi khurafat kedua Umno!

Zulkifli Yahaya Fri Sep 12, 08 11:40:11 am MYT

Al-marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah mengajak rakyat memerangi khurafat yang dibawa Umno di kalangan orang Melayu, iaitu dengan mendakwa hanya Umno boleh memerintah.

Al-marhum dendiri yang menamakan dakwaan itu sebagai khurafat, iaitu amalan atau kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam. Khurafat besar itu berakar umbi dalam kefahaman orang Melayu sejak sekian lama.

Hasil penerangan bersungguh-sungguh dan penuh istiqamah pejuang PAS, khurafat itu makin hari makin terhakis. Hari ini sekurang-kurangnya enam buah negeri di Semenanjung pernah menolak fahaman khurafat tersebut.

Setelah terbukti di depan mata bahawa Umno boleh untuk tidak jadi pemerintah, maka fahaman songsang itu tidak lagi dijaja di kalangan orang Melayu.

Namun tidak bermakna usaha menyambung hayat kuasa melalui fahaman khurafat yang diterapkan di kalangan orang Melayu dihentikan.

Mereka menukar pula fahaman yang ditolak tadi kepada kenyataan baru iaitu kuasa Melayu-Islam terhakis jika Umno hilang kuasa.

Selepas pilihan raya umum ke-12 Umno mencanangkan Melayu hilang kuasa di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Nasib Melayu dan Islam akan terancam.

Negara dikejutkan dengan kenyataan seorang pemimpin Umno di Pulau Pinang, Ahmad Ismail yang mendakwa masyarakat Cina hanyalah penumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan Bumiputera. Ucapan itu dibuat dalam siri kempen BN di Permatang Pauh.

Setelah disergah parti komponen BN dari kalangan Cina, Umno jadi gelabah dan Timbalan Presidennya, Najib Tun Razak sepantas kilat menuntut maaf kepada masyarakat Cina atas perlakuan yang bukan dilakukannya.

Ahmad lalu menjelaskan bahawa apa yang disampaikan beliau adalah pernyataan di zaman British. Beliau hanya menyampaikan fakta sejarah, bukan berniat mahu memusuhi orang Cina.
Soalnya mengapa kuliah sejarah itu diadakan sewatu berlangsung pilihanraya kecil Permatang Pauh, di hadapan pengundi Melayu?

Bukankah kerana mahu memberitahu orang Melayu bahawa ketuanan serta hak istimewa mereka akan hilang jika mengangkat manusia bernama Anwar Ibrahim menjadi pemimpin lantaran beliau bersekongkol dengan DAP yang kononnya mahu mensaksamakan hak-hak rakyat jelata negara ini berasaskan Malaysian Malaysia?

Alangkah lebih baik jika Ahmad menjelaskan begitu dari berputar-belit ke hulu ke hilir menyalahkan wartawan kononnya menyalahtafsirkan kenyataannya.

Isu besar yang diprojekkan ke benak pemikiran orang Melayu pasca-pilihanraya umum ke-12 ialah Melayu kehilangan kuasa politik, sekurang-kurangnya di tiga negeri, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kehilangan kuasa Melayu, ditakrifkan Umno sebagai keadaan di mana Umno tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

PAS dan Melayu KeADILan tidak sempurna Melayunya. Umno sahaja barangkali yang lebih Melayu dari orang Melayu. Isu yang dibawa Umno selepas mereka hilang kuasa ialah isu berasaskan asobiyyah kaum.

Sejak Umno hilang kuasa di lima negeri, isu-isu yang mereka ketengahkan sentiasa berbaur perkauman. Isu kandang khinzir, pemberian tanah kepada masyarakat bukan Melayu, pelajar bukan Melayu di UiTM, pemberian projek tidak berasaskan kronisme DEB adalah antara yang dimainkan Umno.

Persoalan besarnya ialah mengapa isu 'memperjuangkan' Melayu hanya bergegar selepas Umnohilang kuasa. Separuh abad Umno berkuasa di Pulau Pinang, masih terdapat orang Melayu yang merempat di pinggir bandaraya.

Ahmad Ismail pun tentu menyaksikan sendiri satu demi satu tanah milik Melayu Pulau Pinang tergadai kepada orang lain. Tanah orang Melayu yang menguasai Balik Pulau 30 tahun dulu, sekarang apa dah jadi?

Isu Melayu Pulau Pinang sudah jelak untuk diperkatakan. Semakin diulas semakin menyakitkan hati.

Sepanjang separuh abad Umno-BN berkuasa di negeri itu, tidak ada satu hari di mana ekuiti orang Melayu bertambah dari sebelumnya (berbanding bukan Melayu) melainkan terus berkurang dan berkurang.

Umno ternyata gagal membangunkan Melayu sewaktu berkuasa. Mengapa sekarang, waktu hilang kuasa, baru terhegeh-hegeh nak perjuang hak Melayu yang terhakis?

Semua tahu Pulau Pinang adalah negeri yang didominasi Gerakan. Penasihat Gerakan Tun Dr Lim Kheng Yaik sewaktu bersama Umno pun menyampah dengan gelagat parti itu. "Kami menghadapi Umno yang paling bongkak sekali ekoran keputusan pilihanraya 2004.

Penyalahgunaan kuasa, rasuah, tender secara perundingan yang kebanyakannya diperolehi syarikat yang ada kaitannya dengan Umno," kata Lim Kheng Yaik dalam temubualnya dengan The Edge.

Paling menarik ialah pembongkaran beliau mengenai budaya politik wang Umno yang turut memberi kesan kepada parti komponen BN yang lain. "Semuanya wang, wang, wang dan wang," ujar Kheng Yaik.

Amat memalukan apabila rakan bukan Melayu Umno yang mendedahkan perangai buruk mereka yang meletakkan duit sebagai mauduk perjuangan.

Jelaslah, dakwaan bahawa kuasa Melayu hilang ekoran kekalahan Umno adalah khurafat kedua yang mesti diperangi. Khurafat itu pula mereka peralatkan untuk menagih kuasa.

Teruk benar Umno, bukan setakat 'sumpah' mereka peralatkan, 'khurafat' pun mahu diperalatkan.

Friday, September 5, 2008

Tazkirah warnai Ramadhan di Kelantan

HarakahDaily.Net

Mohd Nor Yahya Wed Sep 03, 08 2:41:21 pm MYT

KOTA BHARU, 3 Sept (Hrkh) - Pemimpin kerajaan Kelantan, pegawai dan kakitangannya di Kota Darulnaim memulakan 1 Ramadan lalu dengan tazkirah seawal jam 8 pagi yang disampaikan Menteri Besar.

Kemudian pada 12 tengahari tazkirah diadakan pula di Masjid Kota Darulnaim yang juga disampaikan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagaimanapun pada sebelah petang Menteri Besar mendengar takzirah disampaikan Mudir Pondok Sungai Durian, Dr Abdul Basit Abdul Rahman.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri, anggota-anggota Exco dan pegawai kerajaan negeri.

Dr Abdul Basit berkata, Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat.

"Ramadan diambil dari makna musim panas. Nabi Muhammad saw memanggilnya sebagai bulan Ramadan. Kita digalak menganjurkan majlis berbuka puasa terutamanya untuk fakir miskin dan mereka yang kurang berkemampuan," ujar beliau.

Pada majlis tersebut 30 anak yatim dari Asrama Bakti Batu 25, Machang diraikan pihak penganjur iaitu Jabatan Integriti Negeri Kelantan.

Wednesday, September 3, 2008

Tazkirah Tok Guru di bulan Ramadhan


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Depan 2hb September 2008]


MB minta sucikan hati

KOTA BHARU – Masyarakat Islam perlu merebut peluang meningkatkan pelbagai amalan sempena Ramadan kali ini dan diharap dapat membersihkan hati yang kotor dengan pelbagai sifat tidak baik.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, selain amalan berpuasa, pelbagai fadilat dalam bulan Ramadan harus direbut setiap umat Islam, termasuk amalan sedekah, iktikad, zikir dan sebagainya.

“Amalan bacaan al-Quran dan menghayati isi kandungannya perlu ditingkatkan kerana al-Quran menjaga roh manusia. Kalau kita anti syaitan kita akan kuat.

“Fadilat mengamalkan ajaran al-Quran yang kuat mampu melawan syaitan seperti sifat tidak baik termasuk malas, berjudi, tinggal solat, malas bayar hutang dan lain-lain,” katanya dalam tazkirah sempena pelancaran program Ihya Ramadan peringkat Masjid Kota Darulnaim, di sini semalam.

Menurutnya, sempena Ramadan umat Islam tidak hanya memfokuskan kepada amalan berpuasa selama sebulan kerana banyak lagi fadilat bulan Ramadan yang seharusnya direbut pahala amalannya.

Katanya, banyakkan bersedekah, meningkatkan amalan berzikir dan pelbagai lagi dalam bulan puasa kerana sebagai makhluk Allah tiada siapa mengetahui, sama ada masih berpeluang menjalankan ibadat itu pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata, pembinaan masjid di lokasi strategik berdekatan pintu masuk Kota Darulnaim memberi banyak kemudahan kepada kakitangan kerajaan yang bekerja di Kota Darulnaim dan masyarakat.

Katanya, ia juga sesuai untuk masyarakat singgah menunaikan solat berikutan kedudukannya di tepi jalan dan bagi golongan tua pula tidak perlu menaiki banyak anak tangga untuk memasuki masjid itu.

Program itu turut memuatkan bacaan al-Quran, tazkirah, tadarus dan Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan kepada 40 warga miskin sempena Ramadan.

Tuesday, September 2, 2008

Perutusan Tok Guru sempena Ramadhan

HarakahDaily.Net


Perutusan Mursyidul Am PAS sempena Ramadan

Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat Mon Sep 01, 08 9:27:56 am MYT

Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanawataala. Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam di pelusuk dunia.

Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.

Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi.

Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.

Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari.

Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.

Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah Taala.

Thursday, August 28, 2008

Tazkirah: Menyambut Ramadhan al-Mubarak


HarakahDaily.Net

Puasa kembalikan manusia ke alam fitrah

Dr Osman Nasir Wed Aug 27, 08 1:31:24 pm MYT

Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan September ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.

Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali 'sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam ' di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat fardu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.

Solat tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam ' alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah.

Friday, August 22, 2008

Tazkirah Kemerdekaan

HarakahDaily.Net


Satu tongkat, tiga zaman dan kisah merdeka

H Fansuri Thu Aug 14, 08 3:07:57 pm MYT

Kisah perjuangan Nabi Musa a.s sangat rapat di hati saya. Padanya ada beberapa fasa perjuangan. Dr Ali Shariati antara yang banyak menukilkan kisah-kisah perjuangan Musa menentang Firaun.

Nabi Musa pernah berdialog dengan Nabi Muhammad s.a.w di dalam kisah Isra' Mikraj tentang urusan mengurangkan jumlah solat daripada 50 kepada 5.

Tanpa peranan Nabi Musa nescaya kita tentu saja terbeban dengan urusan solat. Pada saat kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. diriwayatkan baginda sentiasa menyebut 'umatku' dan 'solat' secara berulang. Ertinya, peranan Musa a.s amat besar dalam urusan solat ini.

Diriwayatkan juga bahawa ketika Nabi Muhammad hampir wafat, baginda menyebutkan suatu doa yang meminta agar baginda dapat berjumpa rakannya di langit. Kalangan orang Kristian mendakwa, doa ini menunjukkan bahawa baginda ingin bertemu Nabi Isa (Jesus Christ). Akhir-akhir ini saya yakin bahawa yang ingin ditemui baginda adalah Musa, iaitu saudaranya yang pernah berbincang mengenai hal pengurangan solat di langit.

"Dan bacakanlah (Hai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya ia adalah insan pilihan, dan adalah ia seorang Rasul dan Nabi." (Maryam, 51)

Jika Nabi Musa membawa umatnya ke Laut Merah daripada buruan Fir'aun, maka hal ini juga mirip kepada perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dalam kisah hijrah. Ringkasnya ada banyak persamaan yang boleh ditemui pada sosok Musa dan Muhammad ini.

Kembali kepada hal fasa perjuangan Musa a.s, maka saya bahagikan fasa perjuangan ini kepada tiga bahagian bermula dengan tongkat Nabi Musa a.s. Kenapakah perjuangan ini bermula daripada tongkat? Ini kerana, tongkat itu diterima selepas wujud peralihan baru dalam kehidupan Musa yang pernah berada dalam istana Fir'aun sebelum itu.

Tongkat itu adalah simbol 'perjuangan' Musa menyambung kehidupan dengan menternak kambing, sesuai dengan pekerjaan Rasulullah s.a.w sebelum diangkat menjadi nabi. Dan, yang paling penting, tongkat itulah yang disebut Tuhan dalam al-Qur'an.

Di dalam surah Taaha, dialog antara Musa a.s dan Allah s.w.t disebutkan sebagai berikut. (Taha adalah nama lain bagi Muhammad selain Yasin. Pada awal surah ini sudah pun ditunjukkan bagaimana Allah telah memperihalkan perjuangan Musa kepadanya)

[17] "Dan apa (benda) yang berada pada tangan kananmu itu wahai Musa?"

[18] Dia menjawab: "Inilah tongkatku; aku menggunanya semasa berjalan, aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu".

[19] Allah berfirman: "Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!"

[20] Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.

[21] Allah berfirman: "Tangkaplah ia dan jangan takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal."

(Taaha; 17 hingga 21)

Inilah pertunjukan yang pertama ke atas Nabi Musa guna meyakinkan baginda mengenai kekuasaanNya. Bukan saja tongkat, malah tangan Musa yang memegang tongkat itu juga turut diberikan Allah kekuatan mukjizat dengan tangan yang bersinar-sinar.

Pada zaman Rasulullah s.a.w, mukjizat yang lebih kurang sama diberikan ke atas baginda yang mirip kepada Musa; membelah bulan seperti mana Musa membelah lautan. Lihatlah pergerakan air laut pasang dan surut yang ada kaitannya dengan peredaran bulan.

Adapun kesan tangan Musa yang bersinar itu mengalir kepada tangan Muhammad s.a.w yang bersinar-sinar ketika membelah bulan. Ertinya, banyak persamaan antara Musa dan Nabi Muhammad s.a.w ini.

Bagaimanapun, kita boleh melanjutkan hal persamaan ini pada suatu bab yang lain. Yang menarik untuk direnung kan ialah hal tongkat Nabi Musa pada tiga zaman berbeza.

Tongkat baginda berperanan pada era penjajahan, pra-merdeka dan merdeka.


Zaman penjajahan

Berikut adalah dalil dan nas yang ditemui di dalam al-Qur'an berhubung hal tersebut.

Nabi Musa mula menetapkan masa bagi memerangi kekuatan ahli sihir yang diperalatkan oleh Fir'aun.

Nabi Musa berkata: "Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu dhuha" (Taaha, 59)

Nabi Musa mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata. (Asy-Syu'ara', 32)


Zaman pra-merdeka

Setelah berperanan pada zaman penjajahan Fir'aun, tongkat itu juga membawa Bani Israel merentasi Lautan Merah ketika Musa membelah lautan dengannya.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah kau membawa hamba-hambaKu keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula kau takut tenggelam". (Taha, 77)

Lalu Kami wahyukan kepada Musa: "Pukullah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul), maka terbelahlah laut (kepada beberapa bahagian), lalu tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar." (Asy-Syu'ara', 63)

Kalau tongkat itu berperanan membelah lautan maka apa peranan tongkat itu pada zaman seterusnya, iaitu zaman mengisi kemerdekaan?


Zaman merdeka

"Dan (ingatlah) ketika Musa meminta agar diberikan air untuk kaumnya, maka Kami berkata: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu," (ia pun memukulnya), lalu terpancut dari batu itu 12 mata air; sesungguhnya setiap puak (antara mereka) telah mengetahui tempat minum. (Dan Kami berfirman): "Makan dan minumlah dari rezeki Allah, dan janganlah kamu merebakkan bencana kerosakan di muka bumi." (Al-Baqarah, 60)

"Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi 12 suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya memohon air kepadanya: "Pukullah batu itu dengan tongkatmu." Maka terpancarlah darinya 12 mata air. Tiap-tiap golongan (antara mereka) mengetahui tempat masing-masing. "

Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka "Mann" dan "Salwa". (Lalu Kami berfirman): "Makanlah dari baik-baik yang kami telah kurniakan kepada kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tapi mereka adalah menganiaya diri mereka sendiri. (Al-A'raaf, 160)

Peranan tongkat Musa a.s itu berakhir dengan sendirinya pada ketika Bani Israel merdeka daripada perhambaan Fir'aun. Khazanah itu semua mungkin tersimpan dalam peti Tabut yang menjadi rebutan anggota Freemason dan Knight Templar pada era berikutnya.


Kesimpulan

Daripada kisah ini, kita membuat banyak rumusan. Tapi, dalam tulisan kecil ini tidaklah boleh kita rangkumkan semuanya.

Pertama, asas pembinaan tamadun berawal daripada 'tongkat'. Dan ia terus juga berfungsi pada setiap zaman, iaitu zaman dijajah, pra-merdeka dan merdeka sepenuhnya.

Bagi umat Nabi Muhammad, 'tongkat' mereka yang sebenarnya ialah pena atau tinta yang pernah disebutkan dengan jelas dalam al-Qur'an menerusi surah al-'Alaq.

[1] Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)
[2] Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku

[3] Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah

[4] Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan

[5] Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Barangkali, kerana faktor inilah yang menyebabkan sasterawan Usman Awang misalnya memilih nama pena ' Tongkat Warrant' sebagai gantian kepada nama asalnya.

Seperti mana fungsi asal tongkat Musa a.s, tongkat (tinta pena) cendekiawan, ulama' juga memainkan peranan mereka pada zaman penjajahan, pra-merdeka dan merdeka. Di dalam sirah menuntut merdeka, suratkhabar adalah saksi semua itu. Merekalah peneraju terawal sebelum wujudnya saf politikus kapitalis yang kononnya 'berjuang' melalui parti.

Maulana Muhammad Iqbal bermadah: "Bangsa-bangsa lahir daripada tangan penyair, dan mereka boleh jatuh dan bangun melalui sentuhan politikus."

Bersempena kemerdekaan yang bakal menjelang, jangan dilupakan peranan kaum penulis dan wartawan yang telah lama berjuang menuntut kemerdekaan. Andainya Umno dan BN boleh dilihat sebagai 'penjajah baru', maka jangan dilupakan peranan wartawan berhaluan kiri sebagai teraju utama memerdekakan 5 buah negeri dan 1 wilayah kepada PR.

Tongkat, antara 'keilmuan' dan 'kebendaan'Tongkat yang asalnya berkait rapat dengan keilmuan mula dinilai sebagai hal yang terkait dengan kebendaan apabila politikus seperti Tun Dr Mahathir meminta Melayu jangan ada 'minda bertongkat', yang selalu mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Di sini, dapat kita temukan dua watak perbezaan antara pemikir, penyair, ilmuan, ulamak dan politik kapitalis itu. Rasuah politik dan politik wang telah dijadikan asas kepimpinan khasnya dalam Umno mutakhir ini.

Lazimnya, kita selalu berkata 'orang buta kehilangan tongkat' bagi menggambarkan orang yang tiada ilmu kehilangan guru, petunjuk dan hidayah. Tapi dalam kes Umno yang telah buta mata hati, 'tongkat kebendaan' itulah pula yang diinginkan guna menjolok kuasa.

12:32 p.m, 14 Ogos 2008
Sekolah Pemikiran Kg Baru _