Thursday, October 30, 2008

Berita dari Kuala Krai: 30hb Oktober 2008 [Khamis]



.
.
Edisi Kelantan - Berita Daerah

Saluran paip pecah punca gangguan air

KUALA KRAI – Masalah bekalan air yang sering terputus di kawasan perumahan Taman Sri Nal dikatakan berpunca daripada masalah paip pecah di beberapa sekitar dan kerja-kerja penyelenggaraan sedang giat dijalankan.

Eksekitif Hal Ehwal Pelanggan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Hazwan Hassan berkata, merujuk kepada aduan salah seorang penduduk dalam ruangan aduan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bertarikh 26 Oktober lalu berkaitan masalah air di Taman Sri Nal, Kuala Krai, ia adalah berpunca daripada masalah saluran paip pecah di beberapa lokasi.

“Dalam kejadian pertama sebatang paip utama pecah dikesan di Kampung Padang Sembilan berlaku pada 21 Oktober, manakala kejadian kedua pada 23 Oktober berlaku pada saluran paip berhadapan Risda, Kuala Krai serta saluran paip ketiga pecah berlaku pada 23 Oktober di Kampung Padang Rahmat.

“Untuk makluman pengguna, kerja-kerja penutupan sementara injap agihan bekalan air terpaksa dilakukan semasa kerja pembaikan paip utama dilakukan dan ini secara tidak langsung mengakibatkan gangguan bekalan secara sementara kepada pengguna,” ujarnya dalam kenyataan akhbar kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, pihak AKSB juga dari semasa ke semasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di Loji Tualang, dan ini akan sedikit sebanyak mengganggu bekalan air (tekanan rendah) kepada pengguna.

Selain itu, katanya, untuk rekod juga, pada 26 Oktober lalu, terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di loji Tualang tersebut, bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

“Dari satu aspek lain perkara ini juga berkemungkinan berkaitan dengan sistem dalaman di premis pengguna itu sendiri yang mana tahap simpanan air di rumah pengguna tersebut mungkin tidak memenuhi keperluan bekalan air untuk tempoh 24 jam (sehari).

“Sehubungan itu, bagi meningkatkan tahap bekalan air di premis pengguna berkenaan, pihak AKSB menyarankan supaya pengguna menambahkan kapasiti tangki simpanan mereka,” ujar Hazwan.

Hazwan berkata, untuk maklumat lanjut, sebarang aduan juga boleh disalurkan ke Pusat Info dan Talian Aduan AKSB (Pintas), di talian 1300-88-2572, dan pihak AKSB sentiasa akan menyelesaikan setiap aduan untuk memastikan mutu perkhidmatan yang lebih baik dapat disampaikan kepada pengguna.

Tun Mahathir mengulas faktor golongan muda memihak kepada PAS

HarakahDaily.Net

Sekatan Umno dorong mereka berpelajaran tinggi sertai PAS - Tun Dr M

Abdul Aziz Mustafa Wed Oct 29, 08 10:43:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Hrkh) - Tindakan Umno menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi menyebabkan mereka menyertai PAS, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Umno, kata beliau, seolah-olah menyekat kemasukan generasi muda terutamanya yang berpelajaran tinggi.

"Generasi muda ada sekatan dalam Umno, untuk masuk dalam Umno kita perlu melalui cawangan.

"Ketua cawangan memang tak suka sesiapa yang masuk cawangannya merupakan orang yang lebih berkaliber kerana takut akan kehilangan jawatan," mStar Online memetik bekas Presiden Umno itu berkata dalam satu wawancara khas yang bertajuk Budaya Pemilihan Umno siaran Astro Awani.

Tambah beliau dengan menyekat kemasukan generasi muda yang berkelulusan tinggi, maka Umno akan kehilangan genarasi pelapis yang berdaya saing.


"Sebab itu kita lihat mereka (generasi muda) masuk PAS kerana Umno sendiri yang menyekat, kalau sekat kemasukan orang yang lebih berkaliber maka ini bermakna semakin lama semakin merosot," katanya.

Jelas bekas Presiden Umno itu, ahli Umno sendiri dilihat seolah-olah merelakan amalan yang tidak sihat diteruskan dalam parti.

"Sebab itu kita lihat tidak ramai yang berani untuk tonjolkan diri untuk (bertanding) jawatan yang sesuai dengan kebolehan mereka, kita tak ada banyak pilihan," katanya.

Ditanya mengapa Umno tidak menggunakan pemimpin muda untuk mengembalikan kegemilangannya, Mahathir berkata perkara tersebut mesti bermula dari pucuk pimpinan.

"Ini bermula dari atas, kalau yang di atas berkelakuan tak baik, maka segala desakan dan nasihat dari orang ini (pemimpin muda) tak akan dihiraukan oleh sesiapa...kita perlu orang yang ada kredibiliti," katanya lagi.

Mahathir juga menolak dakwaan yang mengatakan lanskap politik di negara ini semakin berubah sebaliknya beranggapan perubahan yang berlaku terutamanya dalam pilihan raya yang lalu adalah disebabkan tanda protes pihak-pihak tertentu.

"Sebenarnya lanskap ini tak banyak berubah kerana pada tahun 2004 Barisan Nasional (BN) menang dengan begitu besar sekali tapi dalam tempoh hanya empat tahun ia seolah-olah berubah.

"Jadi apakah perubahan ini disebabkan oleh pemikiran baru tentang asas politik di Malaysia ataupun perubahan ini kerana perasaan tidak puas hati dengan kepimpinan yang ada?" katanya.
Beliau berpendapat perubahan ini berlaku kerana wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap pemerintahan yang ada kerana ahli akar umbi tidak mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan mereka.

"Dari segi pemikiran masih sama, tetapi mereka ambil peluang dalam pilihan raya untuk tunjukkan protes mereka," katanya.

Ir. Nizar perbetulkan kenyataan Zahid mengenai isu Haji

HarakahDaily.Net

Isu haji: MB Perak sanggah kenyataaan Zahid Hamidi
.
Johari Jaafar Thu Oct 30, 08 11:34:50 am MYT

IPOH, 30 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyanggah kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zahid Hamidi yang menyatakan beliau telah meluluskan permohonannya bersama rombongan untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.

"Saya tidak memohon menunaikan ibadat haji tahun ini, begitu juga isteri saya," katanya.
Sambil menafikan laporan Zahid Hamidi seperti yang disiarkan akhbar bahawa beliau dan isteri akan ke tanah suci tahun ini, beliau meminta wartawan yang hadir bertanyakan hal itu pada Utusan Malaysia.

"Saya sudah tunaikan ibadat haji, jadi saya cuma menyokong permohonan mereka yang mahu menunaikan ibadat haji tahun ini," kata beliau.
Dalam laporan Utusan Malaysia semalam Zahid dilaporkan berkata, haji bukan agenda politik, Saya mahu masyarakat tahu walaupun dari parti politik berbeza, saya mengambil pertimbangan agama.
Mohammad Nizar bagaimanapun mengucapkan terima kasih pada Zahid kerana memberi kesempatan dan menerima baik permohonan 22 anggota rombongan dari pejabatnya dan berharap Zahid mengotakan kata-kata bahawa beliau akan sentiasa mengambil kira pertimbangan agama dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan agama.
"Saya dan isteri sudahpun menunaikan ibadat haji. yang memohon itu juga bukannya semua ahli Pas, ada dari Parti Keadilan Rakyat dan guru-guru pencen," katanya,
Menurut beliau permohonan itu dikemukakan kerana difahamkan Menteri Besar diberi peruntukan kuota khusus atau kemudahan tertentu untuk menghantar bakal haji atau menunaikan haji.
Sehubungan laporan akhbar kelmarin, Pejabat Menteri Besar menerima beberapa panggilan daripada orang perseorangan yang bertanyakan kedudukan temu janji masing-masing yang telah ditetapkan sepanjang Disember 2008.