Showing posts with label ahli parlimenku. Show all posts
Showing posts with label ahli parlimenku. Show all posts

Tuesday, March 24, 2009

Penggantungan Harakah: Keluhan MP Kuala Krai

HarakahDaily.Net

Penggantungan Harakah, tindakan 'desperado' Umno/BN ! - Dr Hatta

Wan Nordin Wan Yaacob Tue Mar 24, 09 9:50:56 am MYT

KUALA LUMPUR. 24 Mac (Hrkh) - Penggantungan tiga bulan yang dikenakan ke atas Harakah oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah semata-mata tindakan 'desperado' kerajaan Umno-BN.

Demikian tegas Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas isu penggantungan akhbar milik PAS itu berkuat-kuasa serta merta.

"Ini satu tindakan terdesak, 'desperado' yang memperlihatkan sekatan ke atas maklumat, menyekat kebebasan suara rakyat yang diterjemahkan melalui akhbar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Penggantungan ini katanya memperlihatkan sebenarnya kerajaan Umno-BN tidak mampu untuk menjawab banyak persoalan yang ditimbulkan akhbar ini yang menjadi suara rakyat.

Namun tindakan ini sebenarnya hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat yang sudah tidak percaya kepada laporan media arus perdana yang terlalu banyak manipulasi, ujarnya.

Mengulas mengenai syarat akhbar parti seperti Harakah hanya perlu melaporkan berita mengenai perkembangan parti sahaja, beliau menempelak peraturan tersebut.

"Ini satu peraturan yang mundur, terkebelakang dan tidak bertamadun.

Mengapa akhbar parti tidak boleh melaporkan perihal politik?" soalnya.
Dr Hatta tidak menolak kemungkinan penggantungan ini sebenarnya adalah usaha menutup sebaran maklumat lebih-lebih lagi dalam negara menghadapi krisis kepimpinan yang dahsyat.

Selain itu katanya usaha ini adalah untuk menutup ruang kempen bagi tiga pilihan raya kecil (PRK), Parlimen Bukit Gantang; Dun Bukit Selambau dan Batang Ai yang akan berlangsung 7 April ini.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kecewa dengan sikap KDN ini yang sekaligus menutup ruang demokrasi di negara ini.

KDN semalam menggantung permit akhbar berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan masing-masing selama tiga bulan berkuatkuasa serta-merta.

Tindakan mengejut ini menghalang keberkesanan kempen kedua-dua parti bagi menghadapi tiga pilihan raya kecil kawasan parlimen Bukit Gantang di Perak, DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak antara 29 Mac hingga 7 April ini.

Surat KDN kepada kedua-dua organisasi itu dikirim melalui faksimili selang beberapa minit menjelang jam 5.00 petang semalam.

Surat penggantungan Harakah ditujukan kepada Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar, manakala surat untuk Suara Keadilan dialamatkan kepada Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Difahamkan kandungan kedua-dua surat tersebut hampir sama.

"Dukacita dimaklumkan bahawa kementerian ini telah membuat keputusan untuk menggantung permit penerbitan akhbar Suara Keadilan selama tempoh tiga (3) bulan berkuatkuasa serta-merta," surat KDN itu dipetik.

Bagaimanapun surat yang dikeluarkan oleh setiausaha Bahagian Unit Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN Che Din Yusoh tidak memberi sebarang alasan tindakan tersebut.

KDN merampas kedua-dua akhbar tersebut di seluruh negara sewaktu memuncak krisis politik di Perak pertengahan bulan lepas.

Tindakan terhadap Suara Keadilan bermula sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu, pertengahan Januari lalu.

Sejak Harakah dibenarkan beroperasi pada 1987, inilah kali pertama akhbar itu dikenakan tindakan penggantungan oleh KDN.

Selepas pilihan raya umum Mac tahun lepas, kementerian itu mengizinkan PAS menerbitkan kembali akhbar itu sebanyak dua kali seminggu selepas dilarang sejak 2000.

Wednesday, December 3, 2008

Banjir: Nasihat MP Kuala Krai

sinar harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah [3hb Disember (Rabu)]

Jaga kesihatan elak penyakit

KUALA KRAI – Orang ramai diingatkan, tidak menjadikan banjir sebagai suatu pesta keraian ‘bermain air’ dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka, agar tidak mendekati kawasan ber-kenaan.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md. Ramli berkata, sejak bertahun-tahun lalu, pengalaman sebelum ini menyaksikan banyak kes kecelakaan meragut nyawa akibat banjir di seluruh negeri.

Menurut Mohd Hatta, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak mendekati kawasan banjir.

“Walaupun ada sesetengah kawasan surut airnya, tetapi kita tidak tahu mengenai keadaan kawasan tersebut, sama ada mempunyai paya atau lopak dalam.

“Anak-anak leka untuk bermain di kawasan sekitar banjir perlu sentiasa diawasi untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Ada sesetengahnya asyik mencari atau menangkap ikan sewaktu musim begini.

“Kita tidak nampak bagaimana bentuk muka bumi yang ditenggelami air, silap perhitungan kita mungkin terjatuh ke dalam kawasan dalam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Mohd Hatta berkata, orang ramai juga perlu peka mengenai arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mengetahui berita dan maklumat terbaru mengenai kea-daan banjir.

Katanya, orang ramai perlu peka mengenai maklumat dan info daripada pihak berkuasa mengenai amaran banjir agar semuanya dapat dipersiapkan lebih awal.

Beliau berkata, dalam masa sama, amalan pemakanan juga perlu dijaga untuk mengelakkan jangkitan penyakit bawaan air kerana musim begini, penyakit berjangkit mudah berlaku.

“Minumlah air yang telah dimasak sepenuhnya agar kesihatan terjamin. Jangan memakan makanan yang mentah atau separuh masak kerana kita tak mahu apa yang disebat ‘sudah jatuh ditimpa tangga.’

“Sudahlah rumah ditenggelami air, ahli keluarga pula terpaksa dimasukkan ke hospital akibat menghidap penyakit berjangkit.

Semua ini perlu diambil kira untuk kesejahteraan anda sekeluarga,” kata beliau.

Friday, October 24, 2008

Berita dari Kuala Krai: 24hb Oktober 2008 [Jumaat]

sinar harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah

Kejohanan catur cari bakat muda

KUALA KRAI – Kelab Catur Sekolah Menengah Kebang-saan (SMK) Sultan Yahya Petra 2 bakal menganjurkan Kejohanan Catur Terbuka Petra 2 esok bertempat di Dewan SMK Sultan Yahya Petra 2.

Pengarah kejohanan tersebut, Nik Mohd Azrihan Abdul Ghafar berkata, ia dianjurkan bagi mencungkil lebih ramai bakat baru untuk diketengahkan.

“Sukan catur adalah sebuah acara bertaraf dunia dan kita masih belum mempunyai pemain catur Grand Master (GM) dan setakat ini kita hanya ada pemain bertaraf Internasional Master (IM) iaitu Mashafizul Hilmi yang juga anak kelahiran Kelantan.

“Kini beliau satu-satunya rakyat negara ini cuba untuk mencapai tahap GM dan kita tumpang berbangga mengenai pencapaian beliau.

Sehubungan itu, kejohanan ini untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain seperti Mashafizul yang layak ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, setakat ini terdapat sebanyak 147 penyertaan dari seluruh negeri termasuk dari Terengganu dan Kedah.

Kejohanan kali ini melibatkan empat kategori iaitu terbuka, 18, 15 dan 12 tahun. Kategori terbuka dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM10, manakala kategori selainnya hanya RM5.

Bagaimanapun, beliau mensasarkan penyertaan bakal mencecah 200 orang menjelang pagi Sabtu ini.

Penyertaan paling ramai setakat ini ialah melalui kejohanan catur terbuka USM dengan 183 peserta. “Kita harap penyertaan akan bertambah menjelang hari pertandingan nanti kerana hadiah ditawarkan juga lumayan.

“Hadiah tempat pertama bagi kategori terbuka ialah wang tunai sebanyak RM300, tempat kedua RM200, tempat ketiga RM150, tempat keempat RM100, dan tempat kelima sehingga ke-10 bakal mendapat RM50 setiap seorang selain sijil penyertaan serta medal.

“Manakala bagi kategori lain menawarkan hadiah wang tunai RM120 bagi johan, RM100 bagi tempat kedua, RM80 bagi tempat ketiga dan sagu hati bagi tempat keempat sehingga ke-10,” kata Nik Mohd Azrihan.

Katanya, penganjuran kejohanan catur di negeri ini masih berkurangan iaitu hanya terdapat kejohanan Terbuka USM dan Terbuka Sekolah Menengah Sains Machang sahaja.

“Penganjuran kejohanan adalah penting untuk mengasah bakat dan kemahiran pemain, lebih banyak pertandingan, maka lebih banyak kemahiran yang diperoleh pemain.

“Di negeri luar lebih banyak penganjuran kejohanan catur diadakan. Di sini, penganjuran kelab kita adalah pihak ketiga mengadakan kejohanan berkaitan.

“Pada kejohanan peringkat kebangsaan lalu, kategori bawah 12 tahun perempuan Kelantan berjaya menggondol pingat emas bagi acara berpasukan. Dua daripada pemainnya adalah daripada Kuala Krai.

Beliau menjangkakan prospek catur pada masa depan akan lebih baik sekiranya terdapat lebih banyak inisiatif untuk mengadakan kejohanan berkenaan.

Katanya, kejohanan kali ini mendapat sokongan banyak pihak termasuk sokongan moral pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran daerah Kuala Krai sendiri. “

Kali ini kita bernasib baik mendapat banyak penajaan hasil usaha pengarah kejohanan bahagian penajaan, Saiful Akrami Mohd. Noor.

“Kami mendapat penajaan termasuk daripada Merina Metal And Trading, Kesedar, Kumpulan Sukimi, Perdana Resort, CIMB, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Md Ramli, Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria, Tabung Amanah Tok kenali dan beberapa penyumbang individu,” katanya.

Nik Mohd Azrihan berkata, kejohanan tersebut bakal bermula dengan pendaftaran seawal jam 8 pagi sebelum pertandingan bermula kira-kira jam 9.30 pagi sehingga 5 petang.

Thursday, August 28, 2008

Reaksi Bendahari PAS mengenai blog Anti Husam

malaysiakini

Dr Hatta enggan ulas serangan blog

Abdul Rahim Sabri Aug 27, 08 8:11pm
.
Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli enggan mengulas berhubung dakwaan di blog Anti Husam bahawa ahli parlimen Kuala Krai menyelewengkan sumber kewangan parti. "Saya tidak mahu respons apa-apa. Saya ingat, (tuduhan) itu orang Umno yang tulis blog tersebut.

"Orang yang kita tidak tahu (latar belakangnya), macam mana kita nak respons," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Dalam tulisan pada tarikh 19 Ogos lalu, blog yang dibangunkan bagi menyerang habis-habisan naib presiden Datuk Husam Musa dan "kumpulan Erdogan", termasuk Dr Hatta, menyatakan akan membongkar penyelewangannya jika ada bukti yang cukup.

"Duit PAS sudah menjadi macam duit dia," dakwa blog itu, yang umumnya menentang barisan pemimpin kanan PAS yang dianggap kritikal kepada rundingan PAS-Umno dan lebih condong kepada Pakatan Rakyat. Blog tersebut muncul menjelang muktamar PAS yang ke-54 di Ipoh pertengahan bulan ini dan dipercayai diwujudkan oleh orang dalam parti itu sendiri. Dalam muktamar yang lalu, isu muqabalah telah menjadi perbahasan panas sehingga memperlihatkan kecenderungan dua aliran iaitu pro-muqabalah dan pro-kerjasama dalam Pakatan.

Blog itu mendakwa Husam mengepalai "kumpulan Erdogan" untuk menggagalkan pertemuan PAS-Umno selepas pertemuan dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dubai, Jun lepas.

Menurut blog itu, "kumpulan Erdogan" dianggotai oleh tokoh-tokoh pimpinan PAS antaranya setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaafar, dua ahli jawatankuasa pusat Dr Dzulkifli Ahmad dan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub. Penulis blog itu menggelarkan Dr Hatta sebagai "biawak hidup" dalam PAS dan "orang macam Dr Hatta perlu disingkir.

"Anti Husam mendesak presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta bendahari PAS itu berhenti atau memecatnya.

Tuesday, August 26, 2008

Berita dari Kuala Krai: 26hb Ogos 2008


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Daerah]


Semarak kemerdekaan melalui sukan

KUALA KRAI – Bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan ini, pelbagai acara diatur oleh pejabat Ahli Parlimen Kuala Krai dengan melibatkan penyertaan pelbagai peringkat umur.

Untuk itu, antara program yang telah berlangsung termasuklah perlawanan futsal jalanan yang diadakan dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Kuala Krai berlangsung dekat sini, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd. Hatta Md. Ramli, perlawanan futsal jalanan tersebut bertujuan memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan anak-anak muda daerah ini melalui cara hidup sihat.

“Program ini adalah salah satu sambutan sempena kemerdekaan negara yang ke-51 bagi peringkat Parlimen Kuala Krai.

“Melalui penganjuran acara berpasukan ini, kami harap dapat mewujudkan semangat kerjasama dalam pasukan. Semangat bersatu padu inilah yang ingin diterapkan dalam masyarakat hari ini, agar semua pihak bersatu menjayakan sesuatu ke arah kepentingan bersama.

“Selain itu juga, ia juga dapat menggalakkan cara hidup sihat dalam kalangan anak-anak muda melalui aktiviti riadah dan menjauhi kegiatan tidak berfaedah,” ujarnya kepada Sinar Harian selepas perasmian program berkenaan semalam.

Sementara itu, pengarah program kesukanan sempena kemerdekaan berkenaan, Rosli Jaffar berkata, sebanyak 24 pasukan dari seluruh parlimen telah menyertai perlawanan tersebut yang bermula sejak jam 9 pagi.

“Perlawanan yang dijalankan secara berperingkat ini adalah suatu simbolik, bagi golongan belia mengisi ruang kemerdekaan dengan kegiatan bermanfaat.

“Namun, kegiatan ini tidak hanya akan berakhir di sini dan bakal diteruskan dari semasa ke semasa untuk menggalakkan kecergasan dan kecerdasan para belia,” ujar Rosli. Katanya, sambutan yang diterima daripada pasukan futsal belia ini amat memberangsangkan dengan penyertaan di luar dugaan.

Dalam perlawanan tersebut, hadiah lumayan ditawarkan kepada juara, iaitu wang tunai sebanyak RM300. Tempat kedua pula membawa pulang RM200, manakala tempat ketiga pula berkongsi dua kedudukan dengan hadiah sebanyak RM100 setiap pasukan.

Hadiah utama tersebut telah dimenangi oleh pasukan KSD Club, manakala tempat kedua disandang pasukan Lembah Sentosa dan tempat ketiga pula diduduki oleh pasukan Pemuda Keadilan dan Pahi FC.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang.

Monday, August 25, 2008

Permatang Pauh: Apa kata MP Kuala Krai


HarakahDaily.Net


Angkat Anwar sebagai PM bagi selamatkan Malaysia - Dr Hatta

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Aug 25, 08 12:48:02 pm MYT

PERMATANG PAUH, 25 Ogos (Hrkh) - Penyertaan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh adalah wadah rakyat menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan Umno-BN.

Malah penyertaan Anwar ini adalah pembuka jalan kepada hasrat rakyat mengangkatnya sebagai Perdana Menteri Malaysia menggantikan Perdana Menteri hari ini yang telah korup, kata AJK PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan ceramah kelompok di Rumah Pangsa Seberang Tenggiri dekat Seberang Jaya pada malam Rabu 20 Ogos lalu.

Majlis itu dihadiri kira-kira 500 penghuni sekitar flat dan perumahan berdekatan.

Bercakap lanjut mengenai penyertaan Anwar, Dr Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai berkata, rakyat perlu menilai wibawa Anwar kerana beliau cukup berpengalaman, pernah berada di puncak dan pernah terpenjara kerana memperjuangkan hak rakyat.

Berbeza dengan pemimpin Umno-BN, mereka hidup senang lenang dengan mengorbankan kepentingan rakyat, kata Dr Hatta sambil disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

"Pada 26 Ogos ini, rakyat Permatang Pauh akan membuang undi, saya yakin pada esoknya (27 Ogos), rakyat di sini akan berkonvoi menghantar Anwar mengangkat sumpah," katanya.

Malah ujar beliau, penghantaran Anwar ke Parlimen kali ini bukan sahaja untuk mengepalai Pakatan Rakyat atau bukan untuk menjadi Ketua Pembangkang.

Sebaliknya tegas Dr Hatta, kemasukan Anwar ke Parlimen kali ini mewakili suara keseluruhan rakyat yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan Dr Hatta itu disahut dengan laungan reformasi dan takbir selain 'makkal sakthi'.

Sementara itu tidak sampai 50 meter dari tempat Dr Hatta berceramah, kunjungan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke ceramah kelompok di khemah jentera BN di situ hanya disambut 20 orang penduduk sahaja.

Suasana suram mengiringi Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang memberikan ceramah seperti berbisik dalam kelambu.

Wednesday, July 30, 2008

Dr. Hatta: Harga minyak dunia turun, kerajaan didesak tunaikan janji


harakahdaily

Intan Abdullah Tue Jul 29, 08 5:04:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - PAS mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) menurunkan harga minyak di negara ini selari dengan penurunan harga minyak dunia.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily pagi tadi, Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli meminta kerajaan agar bersikap lebih serius malah mengotakan janji mereka yang sebelum ini akan menurunkan harga minyak selari dengan perubahan harga minyak di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan perlu mengotakan janji mereka, kerana sebelum ini Dato' Shahrir Samad sendiri pernah berjanji akan menurunkan harga minyak berdasarkan harga minyak dunia," ujarnya.
Mengulas perkembangan semasa,Dr Hatta berkata harga minyak di Singapura telah pun diturunkan beberapa kali dalam tahun ini namun, Malaysia yang berstatus negara pengeluar minyak atau negara Opec masih tidak mampu melaksanakannya.

Beliau menempelak kerajaan Malaysia yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka serius membela masalah dan kebajikan rakyat.

"Ia merupakan suatu tamparan hebat kepada Malaysia kerana Singapura merupakan negara pengimport pun berusaha untuk menangani masalah rakyat mereka sedangkan kita sebagai negara pengeluar minyak tidak mempunyai apa-apa inisiatif bagi menjaga kepentingan rakyat," katanya.

Menurutnya, apa yang terjadi mencerminkan sikap kerajaan yang tidak prihatin malah langsung tidak mempedulikan nasib dan penderitaan rakyat.

"Kita lihat tiada inisiatif diambil pihak kerajaan dalam meringankan beban harga minyak dan inflasi tinggi yang ditanggung rakyat, tetapi masih berada di peringkat akan mengkaji harga minyak pasaran," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau berkeyakinan bahawa harga minyak negara ini berpotensi untuk kembali kepada harga asalnya selari dengan penurunan harga minyak dunia yang semakin giat berlaku.

"Adalah tidak mustahil jika harga minyak kita boleh kembali seperti asalnya, sebab itu saranan Dato' Seri Anwar bahawa Pakatan Rakyat boleh menurunkan harga minyak sebaik memerintah.
"Jika singapura boleh melakukannya, kita sepatutnya lebih mampu menurunkannya," tegasnya.
Menurut laporan beberapa media di negara jiran tersebut, harga minyak petrol turun lagi semalam, sebanyak 10 sen setiap liter yakni penurunan terbesar sejak Ogos 2003 dan ia merupakan kali kelima harga minyak petrol turun dalam tempoh 20 hari.


Semalam, langkah tersebut dimulakan oleh Shell, yang kemudian diikuti Caltex, Singapore Petroleum Company (SPC) dan Mobil.


Dengan penurunan harga itu, harga minyak petrol sebelum ditolak diskaun di kedai minyak sekarang adalah $2.110 seliter bagi petrol oktana 98, $2.036 seliter bagi petrol oktana 95 dan $2.003 seliter bagi petrol oktana 92.


Harga minyak petrol premium sebelum ditolak diskaun pula adalah $2.239 seliter bagi Shell V-Power dan $2.236 seliter bagi Caltex Platinum.


Menurut para penganalisis, harga minyak petrol turun kebelakangan ini kerana kebimbangan tentang permintaan minyak semakin reda.


Harga minyak mentah mencecah paras AS$100 setong pada awal tahun ini, sebelum meningkat ke beberapa paras rekod akibat kebimbangan mengenai permintaan minyak yang terus bertambah ekoran ketegangan antara Barat dengan Iran mengenai program nuklear Teheran.


Ketidakstabilan di Nigeria, salah sebuah negara pengeluar minyak Afrika utama, turut menjadi faktor, kata para pemerhati.


Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Dowjones Newswires, harga minyak boleh jatuh ke paras AS$70 dan AS$80 setong jika dolar Amerika terus kukuh dan kebimbangan mengenai Iran berkurangan, kata ketua Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), Chakib Khelil, Sabtu lalu.