Wednesday, October 15, 2008

Malaysiakini: Reaksi terbaru PAS terhadap perubahan kuasa


malaysiakini

PAS beralih angin - kini yakin '16 Sept'

Jimadie Shah Othman Oct 14, 08 6:00pm

PAS akhirnya yakin dengan "projek 16 September" Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti itu menyertai mesyuarat pembentukan kerajaan baru dengan PKR dan DAP.

Keputusan biro politik parti itu minggu lalu telah pun direstui mesyuarat jawatankuasa pusat bersama ahli-ahli parlimennya kelmarin.

Selain Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin kanan yang diberikan mandat untuk mengetuai delegasi parti itu termasuklah timbalannya Nasharudin Mat Isa, dua naib presiden Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu serta setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaffar.

Selain dikritik akibat berunding dengan Umno, Nasharudin sebelum ini tidak pernah dilaporkan terlibat rundingan bersama Pakatan Rakyat, manakala Mohamad menyatakan keraguannya berhubung rancangan penasihat PKR itu.

Abdul Hadi pula, walaupun pernah menyertai mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin PKR dan DAP, dianggap menolak projek perubahan kerajaan Anwar - asalnya diuar-uarkan menjelang 16 September - selepas berkata beliau enggan menjadi "ahli politik Mat Jenin" apabila mengulas kemungkinan beliau dicadangkan sebagai perdana menteri apabila Pakatan mengambil alih kuasa persekutuan.

Rundingan dengan Pakatan sebelum ini didominasi golongan pro-kerjasama dengan Pakatan seperti Husam, Kamaruddin, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan bendahari Dr Mohd Hatta Ramli.

Beberapa pemimpin PAS yang dihubungi Malaysiakini berkata, keputusan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti dibuat kerana perbincangan ke arah pembentukan kerajaan baru "sampai ke tahap lebih tinggi" yang melibatkan perbincangan dasar-dasar dan persediaan membentuk jemaah menteri.

Salahuddin berkata, keputusan menghantar pemimpin kanan itu dibuat kerana usaha menumbangkan kerajaan BN sudah "sampai ke tahap akhir" dan "setiap tindakan memerlukan keputusan segera".

"Dulu, kita lebih kepada (hal-hal) teknikal seperti (menyusun) agenda bertindak... boleh katakan sekretariat. Sekarang kita berada pada tingkat lebih tinggi yang memerlukan perbincangan tentang dasar-dasar politik," katanya.

Dalam mesyuarat Ahad lalu, menurutnya lagi, perbahasan tentang delegasi lima pemimpin tertinggi PAS berlangsung dengan "sangat positif" dan mesyuarat bersetuju sebulat suara menerima mereka.

Suasana perbincangannya digambarkan sebagai "berterus-terang" dan dalam keadaan "bebas mengeluarkan pandangan".

Barisan pemimpin atasan PAS sebelum ini terbelah dua berhubung isu pertukaran kerajaan persekutuan, khususnya antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pesuruhjaya PAS Terengganu dan juga ahli strategi parti Datuk Mustafa Ali, menjelang 16 September lepas.

Mohamad, yang pernah berkata "PAS bersikap tunggu dan lihat terhadap 16 Septermber", berkata beliau menerima keputusan itu.

"Itu keputusan parti, saya terima," katanya, yang hadir di mesyuarat itu, kepada Malaysiakini hari ini.

Ditanya sebab kelima-lima pemimpin berprofil tinggi itu, beliau berkata: "Hendak pilih lima orang, kita pilih limalah. Kalau enam, kita pilih enamlah. Kalau lapan, kita pilih lapanlah.

"Husam - disebut-sebut sebagai penggerak utama dalam PAS yang mendukung usaha Anwar - pula menyifatkan barisan pemimpin tertinggi yang dipilih itu "bukan wakil baru", "tidak ada perubahan" dan "tidak berbangkit".

"Saya ingat salah faham. Tiada yang istimewa," katanya, mengulas keputusan dalam mesyuarat biro politik parti itu minggu lalu.

Sementara itu, timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad yang dikatakan pihak pertama mencadangkan idea menghantar pimpinan utama PAS berkata "semua khilaf dan salah faham sudah selesai".

"Sebelum ini mungkin ada yang tidak nampak bangunan Parlimen. Sekarang tidak ada khilaf lagi," katanya, yang menganggotai biro politik PAS, hari ini.

Khalid bagaimanapun mendakwa khilaf yang dimaksudkan itu hanya di peringkat teknikal akibat sumber-sumber maklumat yang berbeza antara pemimpin parti.

"Tetapi akhirnya, dengan semua sumber itu, semuanya saling melengkapi," katanya, yang juga ahli parlimen Shah Alam.

Tambahnya, salah faham dalam parti itu mula reda hasil pertemuan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dengan Anwar di Kota Bharu hujung bulan lalu (foto bawah).
.

Aidilfitri: Tazkirah Dr Haron Din


HarakahDaily.Net

Aidilfitri bukan untuk berpesta-pestaan - Dr Haron Din

Dato' Dr Haron Din Tue Oct 14, 08 4:40:09 pm MYT

SOALAN: Aidilfitri merupakan suatu pesta besar, dinanti-nantikan untuk dihayati sepenuh jiwa raga oleh umat Islam sama ada yang berpuasa atau tidak. Mereka sanggup berbelanja besar membuat rumah terbuka, dengan pelbagai ragam seperti yang dapat kita lihat hari ini. Soalan saya, betulkah amalan sebegini, atau apakah pandangan Dato' mengenai cara perayaan yang sebenar menurut Islam? - Mohd Fitri Aziz, Pulau Pinang

Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri, disambut setelah umat Islam menjalani ibadah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan.

Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Apabila selesai berpuasa, bermakna, kita menyelesaikan satu rukun.

Oleh kerana itu adalah wajar bagi mereka yang berjaya menunaikan rukun itu, berhari raya atau bergembira kerana berjaya menunai perintah Allah.

Tujuan kegembiraan dipamerkan adalah untuk mensyukuri nikmat Allah selepas ibadah sempurna dilakukan.

Hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w (mafhumnya): "Ramadan pada awalnya rahmah, pertengahannya keampunan dan pada akhirnya bebas daripada api neraka."

Bagi orang yang mendapat ketiga-tiga itu, apakah dia tidak mahu menyambutnya dengan perasaan gembira sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Bagi mengisi cara perayaan tersebut, syarak menggariskan beberapa panduan tertentu antaranya:

1. Diharamkan berpuasa pada hari raya - Ertinya kita harus menjamu selera. Sebaik-baiknya persediaan untuk menjamu selera itu mestilah munasabah dan tidak membebankan.

2. Berpakaian bersih, kemas dan menarik, termasuk berpakaian baru.

3. Pada pagi hari menuju ke tempat solat hari raya - sebaik-baiknya di tanah lapang jika keadaan mengizinkan kerana hendak memberi peluang kepada yang uzur, dapat bersama mengikuti khutbah raya.

4. Bertakbir dengan takbir yang disyariatkan - bermula terbenam matahari pada akhir Ramadan, masuk ke bulan Syawal sehingga selesai khutbah Aidilfitri.

5. Mendengar khutbah di samping bersembahyang hari raya.

6. Bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan silaturahim.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Apabila berlaku Hari Raya Fitrah, malaikat-malaikat turun ke bumi, berbaris di jalan-jalan orang yang hendak pergi ke tempat solat, sambil menyeru mereka dengan suara yang didengari oleh semua makhluk, kecuali jin dan manusia, dengan kata-kata "wahai umat Muhammad, ayuh beramai-ramai kepada keredaan Allah, Tuhan yang Maha Mulia, Tuhan yang memberi anugerah yang amat banyak dan yang mengampun dosa-dosa yang banyak."

Apabila mereka berada di tempat solat dan menunaikan solat serta mendengar khutbah, maka Allah berfirman kepada malaikat-malaikat tadi, "Tahukah kamu apakah balasan Aku kepada semua mereka itu?" Malaikat menjawab, "Allah sahajalah yang Maha Mengetahui dan akan membalas apa sahaja amal-amal ibadah mereka." Allah menjawab lagi, "Aku bersaksikan kamu, bahawa Aku akan membalas amalan puasa mereka, sembahyang malam mereka dan solat mereka pada hari ini, dengan keredaan-Ku dan keampunan-Ku kepada dosa-dosa mereka." (Riwayat Ibnu Abbas r.a)

Dalam Kitab Durratun Nasihin, halaman 80 dibawa suatu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Pada hari raya berbanyak-banyaklah bersedekah dan lakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebajikan serta pahala, perbanyakkan memuji Allah, mengagungkan Allah dan bersungguh-sungguh mentaati-Nya kerana pada hari itu Allah akan ampunkan dosa manusiayang berpuasa dan menyambut hari raya dan dibalas dengan syurga Allah."

Kaab bin Munabbih menceritakan, pada hari raya, raja iblis amat murung dan amat dukacita, anak-anak buah dan kuncu-kuncunya berkumpul beramai-ramai dan bertanya kepada raja mereka, siapakah yang menyebabkan dia berdukacita, segeralah beritahu agar mereka bertindak menghapuskannya.

Maka jawab raja iblis, "Tidak bukannya orang yang mendukacitakan aku, tetapi Allah, Allah yang memberi keampunan kepada dosa yang telah kita usahakan mereka berdosa."

"Jika begitu apa kita perlu lakukan?" tanya anak-anak iblis.

Jawabnya, "Mestilah kamu bertindak memalingkan manusia daripada keredaan Allah, hanyutkan mereka dengan nafsu syahwat, biar mereka menjamu selera sehingga melanggar hukum Allah, hasutkan sehingga mereka melakukan perkara yang diharamkan, ajak mereka berhibur dengan hiburan yang melalaikan, suruh mereka minum dan makan yang ditegah oleh Allah, biar mereka dimurkai semula oleh Allah."

Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w bersabda dalam suatu hadis yang mafhumnya: "Syurga amat merindui kepada empat kategori insan untuk memasukinya. Pertama, yang membaca al-Quran. Kedua, yang menjaga lidah daripada bertutur yang tidak baik. Ketiga, yang memberi makan orang yang lapar (terutamanya untuk berbuka puasa) dan keempat, yang berpuasa sepenuhnya pada bulan Ramadan."

Sehubungan itu umat Islam semuanya henaklah berteraskan hal-hal daripada garis panduan yang saya nyatakan seperti di atas. Wallahua'lam.

Berita dari Kuala Krai: 14hb Oktober 2008 [Isnin]

Terkejut dan tergamam apabila Buletin Utama malam tadi tiba-tiba memaparkan satu kes bunuh yang amat kejam sebagai permulaan berita sebelum berita utama disampaikan. Peristiwa ini berlaku berhampiran kampung halaman iaitu dalam daerah Kuala Krai.


Berita Harian Online

Suami disumbat dalam tong, isteri dicampak dalam perigi

Oleh Haspaizi Mohd Zainbhkb@bharian.com.my

MAZLAN (kanan) melihat tong tempat mayat dijumpai
dalam kejadian bunuh di Kampung Bukit Chengal
dekat Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI: Sepasang suami isteri warga Thailand yang mengambil upah menoreh getah kebun milik penduduk kampung dekat Peria di sini, ditemui mati dibunuh secara kejam, awal pagi semalam.

Dalam penemuan kira-kira jam 6.30 pagi di Kampung Bukit Chengal dekat Peria itu, mayat Anuar Dahman, 27, ditemui diperosok dalam tong drum berisi air, manakala mayat isterinya, dikenali sebagai Hasmah, 18, yang sedang mengandung tiga bulan anak pertama pasangan itu, pula dicampak dalam perigi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim, berkata mayat mangsa ditemui seorang wanita yang juga sepupu Anuar, ketika meninjau rumah kongsi pasangan itu mencari mereka selepas mendapati kedua-duanya belum keluar menoreh pagi semalam.

"Pasangan terbabit bekerja mengambil upah sebagai penoreh getah di kebun milik penduduk tempatan itu sejak dua bulan lalu, dipercayai dibunuh antara jam 12 tengah malam dan jam 6 pagi.

"Mayat si suami ditemui dalam tong drum berisi air dalam kedudukan kepala di bawah dan kaki di atas, manakala isteri ditemui dalam perigi berdekatan rumah mereka.

Setakat ini, polis sedang mengenal pasti motif pembunuhan pasangan ini," katanya kepada media di tempat kejadian, semalam.

Rumah kongsi yang didiami pasangan terbabit sejak bekerja di situ, terletak di puncak cerun bukit dalam kawasan kebun getah yang ditoreh mereka dengan jiran terdekat yang juga sepupu mangsa yang menoreh bersama, tinggal kira-kira dua kilometer dari situ.

Mazlan enggan menyatakan bagaimana pasangan suami isteri muda itu dibunuh penyerang mereka dengan alasan siasatan rapi sedang dijalankan pakar pathologi dari Kuantan yang dipanggil membantu siasatan di lokasi pembunuhan itu.

Namun, katanya, ekoran kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 21 tahun, untuk soal siasat bagi membantu siasatan pembunuhan yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, lelaki itu dikenali mangsa kerana mempunyai ikatan kekeluargaan. Mayat pasangan terbabit dihantar untuk bedah siasat di Hospital Kuala Krai, selepas polis menyelesaikan siasatan di lokasi penemuan itu lewat petang semalam.

i.Luvislam.com: Poll untuk ahli


Aku baru je vote seorang pemimpin yang paling direspect dalam negara ini yang dijalankan oleh satu laman web http://www.iluvislam.com/v1/news.php.



HarakahDaily.Net

Mursyidul Am PAS diundi 'paling dihormati' dalam 'poll' iluvislam.com

Wan Nordin Wan Yaacob Wed Oct 15, 08 12:19:40 pm MYT

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapat undi tertinggi bagi undian 'Siapa Yang Paling Anda Respek?' yang dibuat dalam satu laman web, iluvislam.com.

Undian setakat 12 Oktober 2008 menunjukkan, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menerima 478 pencalonan daripada 599 pengundi.

Sementara Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Babdawi pula menerima sejumlah 68 undian iaitu dengan 11 peratus sementara Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menerima 51 undi dengan 9 peratus.

Paling kurang mendapat undi ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menerima hanya dua undi setakat hari ini. - mks.

Harapan Tok Guru Presiden mengenai politik hari ini

HarakahDaily.Net

Moga kestabilan negara, ketenteraman rakyat tidak terjejas

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Thu Oct 09, 08 3:53:03 pm MYT

PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Saya berharap agar dalam tempuh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melakasanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahaknnya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara dan tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat.

Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

FIFA Futsal World Cup Brazil 2008: Separuh Akhir

Empat pasukan telah berjaya mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Futsal Piala Dunia di Brazil pada tahun ini selepas kesemua pasukan telah menamatkan perlawanan peringkat kumpulan pusingan kedua.


Kumpulan E

Brazil layak selaku juara kumpulan ini selepas memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan. Dengan jaringan keseluruhan 58 gol dari 7 perlawanan jelas membayangkan betapa kuatnya jentera serangan Brazil yang dikemudikan oleh pemain bintang mereka, Falcao dan telah menjaringkan 14 gol.


Falcao (Brazil)


Itali (naib juara 2004) turut layak selaku naib johan kumpulan selepas berjaya mengikat pasukan dari Asia, Iran 5-5 pada perlawanan terakhir kumpulan seterusnya berjaya menyingkirkan Iran melalui perbezaan jaringan gol dalam kumpulan yang sama. Grana merupakan penjaring terbanyak mereka setakat ini dengan 6 gol.


Grana (Itali)


Kumpulan F

Juara bertahan, Sepanyol dilihat tiada masalah untuk menjuarai kumpulan ini setelah memenangi kesemua perlawanan dan dijangka akan bertemu Brazil di perlawanan akhir sebagai ulangan perlawanan akhir buat kali ketiga di mana kali terakhir mereka bertemu di final ialah pada tahun 2000 di Guatemala.

Di samping itu juga, Sepanyol turut berazam untuk menyamai rekod kejuaraan sebanyak tiga kali yang dimiliki Brazil. Fernandao dilihat sebagai harapan pasukan ini setelah berjaya menjaringkan 6 gol setakat ini.


Fernandao (Sepanyol)


Rusia turut mengiringi Sepanyol ke peringkat separuh akhir selaku naib juara kumpulan ini. Pasukan ini juga mendahului negara lain termasuklah Brazil dari segi jumlah jaringan gol yang dihasilkan iaitu 59 gol dari 7 perlawanan.

Dengan dibarisi oleh penjaring terbanyak setakat ini dengan 14 gol, iaitu Pula, Rusia dilihat mampu membuat kejutan apabila dijadualkan berdepan dengan pasukan tuan rumah, Brazil di separuh akhir.


Pula (Rusia)