Monday, August 11, 2008

The Scribe A Kadir Jasin: Nasihat buat bloggers

Blogger, Polis Dan Undang-Undang

A Kadir Jasin - Saturday, August 09, 2008

SAYA faham dan sokong tindakan Saudara Abu Bakar Mohd Rashid aka Bakaq aka blogger Penarik Beca memohon maaf kepada pasukan polis dan menyesali kesilapannya.

Dalam SMSnya kepada rakan-rakan blogger semalam, Abu Bakar, 50 tahun, berkata:

"I would like to say that I regret putting the crest there. It was wrong, a stupid mistake. I would like to tender my sincere apology to the whole police force.

"I defended and still defend what I wrote but since the first moment they hauled me in, I've said without any reservation that I regretted having copied-and-pasted the image."

(Saya ingin menyatakan yang saya kesal meletakkan lambang di situ. Ia adalah kesilapan, satu kesilapan yang bodoh. Saya ingin memohon berbanyak-banyak maaf kepada semua anggota pasukan polis.

“Saya telah mempertahankan dan masih mempertahankan apa yang saya tulis daripada saat saya ditangkap. Saya telah menyatakan tanpa sebarang keraguan yang saya kesal (perbuatan saya) menyalin dan menampalkan imej itu.”)

Menurut Saudara Rockybru, Abu Bakar dibebaskan jam 5.30 petang semalam setelah ditahan selama kira-kira 40 jam di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Abu Bakar berkata dia sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1), Akta Hasutan, bersabit penyiaran lambang Polis di-Raja Malaysia dalam posting bertajuk “Kenapa Tak Saman Raja Petra?”

Saya berpandangan dan pendirian saya adalah seperti berikut:

1. Blogger, seperti sesiapa sahaja yang menulis dan mencetak, adalah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan negara;

2. Adalah menjadi kesalahan dan tidak bijak mempersendakan lambang dan lembaga rasmi seperti bendera negara, bendera negeri, panji-panji pasukan tentera dan polis, lambang Raja-Raja, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri;

3. Kita boleh tidak setuju dan mengkritik mana-mana cabang pemerintahan, tetapi kritikan kita itu biarlah berlapik dan tidak melanggar undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan;

4. Kita boleh tidak bersetuju dengan Kerajaan, dengan Barisan Nasional, dengan Umno, dengan Pakatan Rakyat, dengan Perdana Menteri dan dengan sesiapa sahaja yang berkuasa, tetapi kita tidak boleh menghina atau merosakkan simbol-simbol dan lambang-lambang rasmi negara;

5. Kalau kita marahkan BN atau Abdullah Ahmad Badawi, kita terbalikkanlah mereka melalui proses demokrasi dan atas landasan undang-undang seperti yang dilakukan oleh veteran Umno Mazlan Harun yang membuat laporan Badan Pencegah Rasuah menuduh Abdullah dan timbalannya, Mohd Najib Abdul Razak, menyalahgunakan kuasa dalam pemilihan Umno;

6. Kalau itu tidak memadai, pada pilihan raya umum akan datang kita terbalikkan mereka;

7. Kenapa hendak diterbalikkan bendera kebangsaan atau memboikot perayaan ulang tahun kemerdekaan negara kerana kita marahkan kerajaan atau tidak puas hati dengan apa yang sedang berlaku sekarang?

8. Kalau para blogger mahu diyakini dan dihormati, mereka kenalah bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang dan peraturan walaupun mereka tidak bersetuju dengannya;

9. Berkempenlah dengan sekuat-kuat hati agar undang-undang dan peraturan yang tidak disenangi itu dipinda atau dimansuhkan;

10. Mengenai tuduhan terhadap pengamal media massa arus perdana pula, sebagai bekas pekerja media massa arus perdana, saya dengan segala rendah diri dan kesedaran, ingin menyatakan bahawa bukan semua petugas media massa arus perdana tidak baik, berdusta atau menyokong pemerintah membuta-tuli;

11. Kita kenalah mengakui hakikat bahawa mereka makan gaji. Akhbar, agensi berita dan stesen radio serta televisyen yang mereka kendalikan itu bukan milik mereka tetapi milik kerajaan, milik Umno, milik MCA, milik MIC dan pelbagai parti politik lagi yang ada agenda masing-masing;

12. Kita yang jadi blogger ini pun buka semuanya bebas. Ada juga yang makan gaji mengendalikan blog orang, pihak atau parti tertentu;

13. Hanya blogger bebas (independent bloggers) yang bebas menyatakan pandangan peribadi kerana kita tidak diupah oleh sesiapa malah kita menggunakan masa, kelengkapan dan wang ringgit sendiri untuk menyelenggarakan blog kita;

14. Kalau kita terima iklan misalnya, kita tidak lagi bebas kerana kita terhutang budi kepada pengiklan kita dan tidak menulis sesuka hati mengenai mereka. (Oleh sebab itulah blog ini menolak tawaran daripada pengiklan dan ejen pengiklanan.);

15. Mengenai lambang PDRM, saya rasa ia sangat mulia kerana ada padanya nama Allah dan Muhammad (SAW). Justeru itu, kalau setiap anggota PDRM menghayati lambang pasukan mereka, saya yakin PDRM akan menjadi pasukan penguat kuasa yang cekap, bersih dan amanah, diredai serta dilindungi oleh Allah Taala;

16. Kerana itu, tidak eloklah bagi sesiapapun mempersendakan nama-nama suci agama Islam pada lambang PRDM itu; dan

17. Mengenai anjing pula, saya sentiasa menganggapnya sebagai haiwan yang “mulia” kerana jasa baktinya. Dalam PDRM pun ada beratus-ratus anggota polis berkaki empat yang mengorbankan nyawa (dan bebas rasuah) demi menjaga keselamatan anggota berkaki dua PDRM dan kita semua.

Kesimpulannya, eloklah para blogger berhati-hati, rasional dan menggunakan kebebasan dengan bijaksana dan membina. Para pengulas dan pendebat blog pula hendaklah bertimbang rasa dan berhati-hati agar komen-komen mereka tidak menimbulkan masalah kepada pemilih blog.

Permatang Pauh: Sentuhan Tetikus Dr. Aisar Yee

Permatang Pauh jua jadi pilihan

[Tersiar dalam Sinar Harian Ahad 3 Ogos, 2008, muka N14]

OLEH DR AISAR YEE ABDULLAH

Keyakinan bahawa beliau akan ditangkap dalam masa terdekat ini telah mendorong Anwar untuk segera mengumumkan keputusannya untuk bertanding. Isterinya, Datuk Seri Wan Azizah. Anggota Parlimen, Permatang Pauh pada pagi Khamis lalu yelah menyerahkan surat perletakan jawatan untuk mengakhiri tugasnya mewakili rakyat kawasan itu. Beliau berhasrat untuk menyerahkan tugas kepada suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika dizinkan pengundi.

Pilihan Anwar kepada Permatang Pauh mengejutkan ramai juga kerana beliau tidak pernah sepanjang masa terdekat ini membayang untuk bertanding dalam kawasan itu. Selepas dia dituduh meliwat menganggap bahawa tuduhan itu dibuat bagi menggagalkan cita-citanya. Ketika itulah baru orang ramai tahu bahawa Anwar akan bertanding. Dulu mereka diberitahu bahawa beliau tidak perlu bertindak gopoh bertanding.

Dia bekerja keras merentasi dan meredah Malaysia untuk memberi penerangan tentang partinya, keutuhan gagasan Pakatan Rakyat dan tentang apa yang dia namakan sebagai konspirasi politik mengahlangnya dari memupayakan dirinya menjadi pemimpin negara ini sebelum 16 September ini.

Tuduhan meliwat yang dikenakan kepadanya telah menyebabkan beliau lebih giat berkempen dan di dalam kempennya dia sering mengingatkan bahawa dia akan segera mengumumkan satu kawasan yang akan ditandinginya. Suatu ketika dia membayangkan kawasan pilihannya sebagai Bandar Tun Razak. Ramai orang yakin dengan kenyataan tersebut memandangkan AP sekarang bagi kawasan itu, Tan Sri Khalid juga memegang jawatan MB Selangor dan sudah tentu ingin memberi tumpuan kepada tugasnya di Shah Alam.

Anwar kemudian membayangkan akan bertanding di Bandar Baru Kulim. Kemungkinan suatu pilihan raya kecil diadakan di sana cerah kerana AP kawasan itu, Zulkifli Nordin dari PKR dikatakan berkemungkinan terpaksa meletakkan jawatan jika mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong akibat kelalaian Zulkifli tidak mengemukakan penyata perbebelanjaan yang ditanggungnya semasa bertanding dalam pilhan raya kecil sebelum itu.

Orang yakin dengan pengumuman Anwar untuk bertanding di situ. Kalau kawasan itu diisytihar kosong dan Zulkifli pula telah pun menyatakan kesediaan untuk memberi laluan kepada bosnya bertanding, tidaklah perlu lagi PKR mengambil risiko meminta mana-mana APnya yang lain meletakkan jawatan bagi memberi ruang kepada Anwar. Tindakan itu munasabah. Banyak pihak sudah buat persediaan menghadapi pilihan raya kecil di Kulim.

Rupa-rupa selama ini melalui pengumuman-pengumuman yang dbuatnya, Anwar hanya berusaha untuk mengaburi mata musuh. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk bertanding di Kulim mahupun Bandar Tun Razak. Persidangan mahkamah di Kulim, sungguhpun akan bermula segera, proses rayuan mungkin akan akan mengambil masa lagi. Mengikut peraturan sekarang, keputusan mahkamah sudah boleh dirayu dan tidak seperti sebelum ini yang sememangnya muktamad.

Penulis berpendapat Anwar sudah lama membuat ketetapan kawasan untuk ditandinginya. Beliau memilih Permatang Pauh semenjak 15 April lagi, iaitu pada hari dia dikira layak untuk bertanding kembali selepas melepasi tempoh edah yang dikenakan mahkamah akibat hukuman yang dikenakan kepadanya pada tahun 1998 dulu.

Melalui tulisan yang penulis buat pada 18 April, 2008 yang tersiar dalam ruangan sama akhbar ini, penulis ada menyebut sebagaimana diperturunkan kembali di bawah:

“Selain kawasan itu, Permatang Pauh adalah dijangka menjadi tumpuan utama Anwar. Kalau Anwar memilih untuk bertanding di sini banyak ‘masalah’ dapat diselesaikan serentak. Kalau dia menang, hanya dia dan Nurul Izzah sahaja yang akan menduki Dewan kerana ketiadaan Wan Azizah di sana boleh mengelakkan dari tuduhan PKR sebagai parti anak beranak, bapa, isteri dan anak semuanya jadi MP. Sementara itu Wan Azizah sendiri mengisytiharkan bahawa dia sanggup mengosongkan kerusinya bagi membolehkan suaminya bertanding. Para pengundi awal-awal sedar akan hasrat beliau dan mereka masih memilih beliau.

Majoriti kemenangan Wan Azizah melebihi 13,000 tentunya akan memudahkan tugas Anwar untuk mempertahankan kerusi Permatang Pauh berbanding kerusi-kerusi lain yang dihubungkan dengan Anwar mengambil alih.”

Dalam satu siri kempennya di Pulau Pinang, Wan Azizah sewaktu berucap di sebuah sekolah Cina pada pertengahan Februari mengumumkan bahawa dia akan meletakkan jawatan selepas pilihan raya nanti dan menyerahkan kerusi itu untuk ditandingi suaminya pula. Pengundi Permatang Pauh sudah pun diberitahu akan kemungkinan ini dan Azizah pada Khamis lalu telah menunaikan janjinya. Tidak timbul tuduhan Wan Azizah mempermainkan pengundi.

Pemilihan Anwar ke atas Permatang Pauh adalah tepat. Kalau dia memilih Bandar Tun Razak, satu tuduhan besar akan dilemparkan kepada beliau. Beliau akan dituduh mengamalkan kronism. Satu sikap yang dia nyatakan berperang habisan. Asri Haji Muda pernah memegang jawatan Menteri dan masih menjadi anggota DUN dan ada masa pula menjadi MB Kelantan di samping menjadi MP Pasir Puteh. Itu bukan masalah besar. Khalid boleh menjadi seperti Asri.

Memilih Permatang Pauh juga pilihan tepat kerana kawasan itu mudah menjamin kemenangan. Apakah Anwar perlu menjawab tuduhan bahawa dia memilih kawasan selamat dan bukannya kawasan lain seperti Bandar Tun Razak dan Kulim Bandar Baharu? Strategi ini pastinya akan menjadi amalan sesiapa sahaja. Hishamuddin Hussein Onn sendiri tentu tidak akan memilih untuk bertanding di Kelantan, di Kedah atau di Wilayah Persekutuan. Tentulah Johor pilihan beliau. Kalau Permatang Pauh boleh menyelesaikan masalah mendapatkan kemenangan mudah, dan sekali gus menolak tuduhan mengamalkan dasar kronism maka kenapa piliha kawasan lain?

Apa yang menjadi persoalan ialah kenapa Wan Azizah memilih Khamis 31 Julai untuk mengumumkan perletakan jawatannya sebagai AP. Kenapa bukan hari-hari lain? Sekurang-kurangnya dua faktor dapat penulis gariskan yang mendorong pasangan suami isteri seorang bertindak sebagai Penasihat parti, Anwar meminta Presiden parti, Wan Azizah meletakkan jawatan.

Pertamanya, penemuan laporan perubatan yang dikeluarkan oleh Pusrawi yang tidak melibatkan Anwar dengan tuduhan liwat. Laporan itu menyebut bahawa tiada apa-apa dapat dikesan dari permeriksaan ke atas dubur Saiful yang menunjukkan beliau telah diliwat.

Sungguhpun terdapat usaha untuk mempertikaikan laporan itu tidak muktamad kerana pemeriksaan dibuat bukanlah oleh doktor pakar dan pemeriksaan bukan pula berkaitan tuduhan liwat, orang dari khemah Anwar mudah memperrtikai hujah itu.

Mereka bertanya dan pasti ini akan dieksploit seluas-luasnya untuk terus menerus membangkitkan teori konspirasi politik bahawa kalaulah mangsa pergi untuk pemeriksaan sakit perut dan susah buang air besar, kenapa pula mangsa diperiksa duburnya. Tentu pelik, mereka pasti mendakwa, kalau sakit perut, dubur pula yang diperiksa. Lagi pula, doktor yang memeriksa itu sungguhpun bukan pakar, pengalamannya berkhidmat sebagai doktor selama 15 tahun pasti membolehkan membuat penelitian dan mengesan dubur yang tercalar atau luka atau menanah sungguhpun pemeriksaan proktokopi oleh seorang pakar adalah lebih tepat.

Berdasarkan adanya laporan itu yang akan digunakan untuk mempertikaikan laporan perubatan lain yang mungkin menunjukkan sebaliknya, Anwar yakin akan mudah mempengaruhi pengundi Permatang Pauh untuk berpihak kepadanya dan menolak calon BN.

Beliau pastinya sedar akan satu poll pendapat yang terkini yang dilakukan ole Merdeka Centre ke atas rakyat Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang mendapati hanya 11 peratus dari mereka percaya Anwar melakukan perbuatan liwat dan satu angka yang signifikan iaitu sebanyak 66 peratus yang percaya tuduhan itu sengaja dirangka bagi menjejaskan karier politik beliau. Pasti ini akan digunakan sepenuhnya oleh beliau. Peluang ini akan digunakan untuk membalun musuhnya.

Faktor kedua ialah kerana adanya desas-desas yang mengatakan Anwar akan ditangkap, dihadapkan ke mahkamah untuk menjawab tuduhan dan berkemungkinan ditahan tanpa diberi jaminan akan digunakan oleh Anwar sepenuhnya untuk menggambarkan ‘kezaliman’ kerajaan BN. Simpati dari para pengundi akan diraih dan Anwar berharap sebahagian besar pengundi Permatang Pauh, tempat lahir beliau akan berada di sebelahnya.

Jika beliau ditahan semasa kempen pilihan raya berlangsung, semasa mengundi, pastinya usaha Anwar untuk memberikan gambaran amat negatif terhadap kerajaan dan BN akan berjaya. Anwar berharap untuk menggunakan ini secukup-cukupnya dan kerajaan serta BN terpaksa berhempas pulas membersih imej dan persepsi ini. Anwar terlampau yakin dia akan ditangkap lalu terus tanpa lengah mengumumkan akan bertanding dalam suatu pilihan raya kecil dan dengan berbuat demikian ingin meletakkan kerajaan dan parti BN dalam keadaan amat serba salah dan tertekan.

Tun Mahathir mengulas mengenai sistem pendidikan

chedet.com

MENGAJAR SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 10, 2008 7:52 PM

1. Saya mengaku bertanggungjawab berkenaan mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Kerana itu ramai yang menuduh saya tidak bersemangat kebangsaan Melayu, tidak utamakan bahasa saya.

2. Izinkan saya membuat sedikit penjelasan sebelum saya dihukum.

3. Pendapat saya ialah mereka yang bersemangat kebangsaan Melayu tidak harus utamakan hanya penguasaan bahasa ibunda sahaja tetapi juga melihat bangsanya bediri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang maju di dunia. Hanya dengan fasih bertutur kata dalam bahasa sendiri dengan ilmu pengetahuan yang cetek tidak akan menjadi bangsa kita mulia dan mampu bersaing dengan jayanya dengan bangsa-bangsa maju dan dianggap setaraf dengan mereka.

4. Kita diberitahu Nabi bersabda "Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China". Apakah dapat orang Arab tuntut ilmu orang Cina tanpa mempelajari bahasa Cina, lisan dan tulisan, terlebih dahulu?

5. Kita juga tahu orang Arab telah menguasai ilmu Sains, Matematik dan falsafah yang diterokai oleh orang Yunani (Greek) dan menterjemahkan ilmu-ilmu ini ke dalam bahasa Arab sebelum kaji selidik dilakukan untuk memperluaskan ilmu-ilmu ini.

6. Semasa bangsa-bangsa yang beragama Islam iaitu Arab, Turki, Uzbek dan lain-lain berjaya bangunkan tamadun Islam yang gemilang, bangsa-bangsa Eropah berada "di zaman gelap", zaman mereka tidak berilmu dan percaya kepada kuasa-kuasa ghaib terhadap segala kejadian alam.

7. Pada abad ke-15 Masehi, orang Eropah yang berkurun-kurun kagum dengan tamadun orang Islam mula sedar akan ilmu pengetahuan dalam bidang sains, perubatan, matematik, astronomi yang dimiliki orang yang berbahasa Arab serta sumbangan ilmu-ilmu ini kepada tamadun gemilang Islam. Paderi-paderi Kristian Eropah belajar bahasa Arab untuk mendapat akses kepada ilmu-ilmu yang berada dalam kutub-khanah milik Arab dan orang Islam lain.

8. Mereka mempelajari semua ilmu-ilmu ini dalam bahasa Arab dan menterjemahkan kedalam bahasa Latin, dan kemudian kepada bahasa-bahasa Eropah. Kemudian mereka pula membuat kajian dan memperluaskan semua ilmu-ilmu ini. Maka terdirilah tamadun Eropah yang terus maju hingga ke zaman sekarang.

9. Yang jelas daripada sejarah ialah penguasaan ilmu yang ada pada bangsa lain bermula dengan penguasaan bahasa bangsa-bangsa ini.

10. Apakah kita tidak mungkin mengadakan segelintir daripada orang Melayu mempelajari bahasa ilmu di zaman ini, iaitu bahasa Inggeris supaya mereka dapat menterjemahkan ilmu-ilmu ini kepada bahasa Melayu. Dengan itu orang Melayu lain boleh kuasai ilmu-ilmu ini dalam bahasa Melayu, tanpa mempelajari bahasa Inggeris.

11. Malangnya keadaan sekarang tidak seperti abad ke-15 dan sebelumnya. Ilmu di zaman dahulu terhad, dan tidak bertambah dengan pesat.

12. Di zaman ini ilmu Sains dan Matematik yang amat penting untuk membangun dan memajukan masyarakat manusia, kembang dan bertambah dengan pesatnya. Tiap hari, tiap bulan dan tiap tahun ilmu baru yang diperbaharui sepanjang masa, diperkenalkan oleh para saintis dan pengkajiselidik kepada masyarakat dunia. Ilmu matematik terutama algorizmi dan perhitungan yang kompleks digunakan untuk mengetahui apa hasil jangka panjang daripada sesuatu teori dan untuk menentukan gerakan bintang di langit supaya kapal angkasa dapat menemui sasaran setelah berjalan berbulan-bulan.

13. Dimasa yang sama banyak ilmu baru diperkenalkan yang berasas kepada kuasa elektrik, gerakan atom, sains halus atau nano science, asas-asas fisiologi kehidupan tumbuh-tumbuhan dan makhluk Allah dan berbagai-bagai lagi.

14. Hakikatnya ialah jumlah ilmu baru dan kepantasan perkembangannya tidak dapat dikejar oleh penterjemah Melayu yang sedikit yang ada. Harus diingat untuk menterjemah tiap ilmu khusus dalam bidang Sains memerlukan bukan sahaja kefasihan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, tetapi juga kepakaran dalam ilmu berkenaan. Kita tidak punyai dengan mencukupi orang yang berkebolehan seperti ini. Jika ada beberapa kerat orang seperti ini mereka tidak mungkin sanggup bekerja sebagai penterjemah seumur hidup mereka.

15. Sebaliknya jika kita belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kita akan dapat akses secara langsung sendiri semua ilmu yang diterokai dan dibukukan dalam bahasa Inggeris tanpa menunggu pengalih bahasa kita. Tiap-tiap tajuk yang terkini dan yang lama terbuka untuk kita menguasainya. Dengan itu kita tidak akan ketinggalan daripada segi ilmu pengetahuan berbanding dengan bangsa yang maju.

16. Sesungguhnya agama kita menuntut supaya kita kuasai ilmu-ilmu ini. Sebagai orang Islam kita perlu bersedia untuk mempertahankan umat Islam. Di zaman dahulu kuda perang, pemanah, pedang dan tombak memadai untuk pertahanan.

17. Di zaman ini kita perlu kereta perisai, meriam dan roket, pesawat pejuang dan pengebom, kapal perang dan kapal selam. Kita tak mungkin cipta dan bina semua ini tanpa ilmu sains dan matematik. Kita boleh beli daripada orang lain tetapi ini bermakna kita letak diri kita di bawah cengkaman mereka.

18. Jika kita ingin amal ajaran Al-Quran berkenaan dengan keperluan pertahanan bagi umat Islam maka penguasaan ilmu sains dan matematik perlu menjadi sebahagian daripada fardhu kifayah bagi kita. Ia bukan ilmu sekular seperti diperkata sesetengah orang. Ia adalah sesuatu yang diwajib keatas diri kita.

19. Jika kita abaikan ilmu ini semata-mata kerana kita lebih utamakan bahasa kita, dan dengan itu kita jadi bangsa yang kolot dan lemah, dan dihina oleh orang, kita tidak boleh dakwa yang kita adalah pejuang bangsa dan agama. Orang yang rela bangsanya dihina tidak faham akan makna nasionalisme yang sebenar atau tanggungjawab orang Islam terhadap agama mereka.

20. Bagi saya pejuang bangsa yang betul-betul bersemangat perlu bermatlamat untuk menjadikan bangsanya bermaruah, dihormati oleh semua bangsa lain dan berkebolehan bersaing dalam apa juga bidang dengan kemungkinan berjaya.

21. Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar.

22. Bahasa jiwa bangsa. Tetapi ilmu menentukan keselamatan dan maruah bangsa.

Presiden: Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan

harakahdaily

Mohd Zamirul Mohd Dzaki Mon Aug 11, 08 12:53:58 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.

"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.

PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.

"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.

Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.

Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.

Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain.

Olimpik Beijing 2008 [Bolasepak]: Messi aspirasi Argentina


Selaku penyandang pingat emas Olimpik di Athen empat tahun lalu, Argentina bakal mengekalkan penguasaan mereka dalam sukan ini berikutan persembahan mantap yang ditonjolkan oleh bintang muda mereka, Lionel Messi.

Dengan dibantu oleh pemain senior yang hebat seperti Juan Roman Requelme, Javier Mascherano dan Nicolas Burdisso serta pemain muda yang mantap seperti Aguero, Argentina dilihat sebagai pasukan utama di samping Brazil yang akan merebut keunggulan emas Olimpik.

Dalam dua perlawanan pertama, Messi berjaya mengemudi pasukan ke peringkat suku akhir dengan kemenangan 2-1 ke atas Ivory Coast dan 1-0 ke atas Australia. walaupun hanya menjaringkan satu gol untuk negara, namun kesemua gol Argentina adalah hasil dari gerakan beliau sendiri.

Presiden PAS bantah forum Majlis Peguam

harakahdaily

PAS bantah forum anjuran Majlis Peguam Malaysia

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Thu Aug 07, 08 1:04:45 pm MYT

Parti Islam Se Malaysia (PAS) membantah sekeras-kerasnya hasrat Majlis Peguam Malaysia untuk mengadakan forum bertajuk "Memeluk Islam" yang dijadual diadakan di ibu negara pada 9 Ogos ini.

PAS mengakui bahawa hak kebebasan bersuara memberikan jaminan kepada semua pihak untuk berdailog dan berbincang berhubung isu-isu kepentingan umum, namun demikian isu-isu berkaitan dengan hak dan kepentingan Islam adalah seasuatu yang mutlak yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan dipelihara oleh perlembagaan negeri-negeri.

Oleh itu PAS merasakan kiranya forum ini diteruskan ia nanti mampu mencetuskan syak wasangka dan ketegangan hubungan antara penganut Islam dan penganut pelbagai agama dalam negara. Dan ini sudah pasti akan menjejaskan keharmonian negara dan akan merugikan semua pihak.

Bagi PAS, Islam adalah agama yang membawa dan menjanjikan kebaikan buat semua, oleh yang demikian sebarang perbincangan berkenaan dengannya perlulah melibatkan pihak yang memiliki ilmu dan kuasa (authority) kerana Islam berdiri berteraskan sumber-sumbernya sendiri.

Kerana itu PAS berpandangan inisiatif Majlis Peguam Malaysia ini yang bersumberkan fahaman sekular akan hanya menyelewengkan pemahaman sebenar terhadap Islam lantas mencetuskan konflik dan akhirnya ketegangan yang tidak memberikan manfaat kepada mana-mana pihak.

Demi menjamin kestabilan dan hubungan antara agama dan kaum, PAS menyeru pihak penganjur agar membatalkan sahaja forum berkenaan.

Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Permatang Pauh: Amanat Anwar

malaysiakini

'Tugas negara' pengundi Permatang Pauh

Athi Veeranggan Aug 10, 08 5:56pm

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengundi di Permatang Pauh bahawa mereka mempunyai 'tugas negara' kepada keseluruhan 27 juta rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, pilihanraya kecil Permatang Pauh adalah bukan mengenai dirinya, tetapi ianya adalah mengenai urustadbir yang baik, pembasmian kemiskinan dan rasuah serta sistem perundangan dan kehakiman yang tidak adil.

Oleh itu, katanya, Pakatan Rakyat memerlukan kemenangan yang besar untuk mencetuskan perubahan politik di negara ini.

Anwar kemudiannya melancarkan jentera pilihanraya kecil Pakatan Rakyat yang diketuai oleh ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.Sementara, Shamsul berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pemilik kilang dan syarikat di Pulau Pinang dan Kedah selatan, untuk mengingatkan mereka supaya membenarkan para pekerja keluar pengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, ini kerana hari pengundian jatuh pada hari bekerja dan oleh itu, pekerja perlu diberi masa untuk menunai tanggungjawab mereka untuk mengundi.

_______________________________________

harakahdaily

Pengundi Permatang Pauh wakili suara 27 juta rakyat

Harakahdaily Sun Aug 10, 08 8:31:09 pm MYT

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Hrkh) -Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para pengundi di Permatang Pauh bahawa mereka mempunyai 'tugas negara' yang mewakili keseluruhan 27 juta rakyat Malaysia.

Malaysiakini melaporkan, Anwar menyebut bahawa, pilihan raya kecil Parmatang Pauh adalah bukan mengenai dirinya, tetapi ianya adalah mengenai urustadbir yang baik, pembasmian kemiskinan dan rasuah serta sistem perundangan dan kehakiman yang tidak adil.

Oleh itu, katanya, Pakatan Rakyat memerlukan kemenangan yang besar untuk mencetuskan perubahan politik di negara ini.

Anwar kemudiannya melancarkan jentera pilihan raya kecil Pakatan Rakyat yang diketuai oleh ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, Shamsul berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada pemilik kilang dan syarikat di Pulau Pinang dan Kedah selatan, untuk mengingatkan mereka supaya membenarkan para pekerja keluar pengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Katanya, ini kerana hari pengundian jatuh pada hari bekerja dan oleh itu, pekerja perlu diberi masa untuk menunai tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Tok Guru mahu hafiz pimpin Kelantan


harakahdaily

Zuharman Mohd Nor Sun Aug 10, 08 2:26:10 pm MYT

BACHOK, 10 Ogos (Hrkh) - Hasrat Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu melahirkan ramai hufaz di Kelantan kini sudah menjadi kenyataan memandangkan terdapat banyak sekolah hafiz di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohamad Mustafa berkata, generasi hufaz mempunyai jati diri yang mampu menjadi pemimpin atau pegawai kerajaan yang baik.

"Ini kerana mereka sentiasa dihiasi dengan akhlak mulia dan berkemampuan memimpin ummah," katanya pada majlis penutup Kem Kepimpinan Al-Huffaz Malaysia kali kedua di sini, baru-baru ini.

Program itu dianjur Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata).

Mohamad yang juga Adun Demit berkata, sekolah hafiz memberi penekanan terhadap pengisian ilmu al Quran dan kepemimpinan.

Oleh itu, katanya bagi mencapai matlamat tersebut kerajaan negeri membudayakan al-Quran sebagai amalan dalam kehidupan seharian bermula sejak dari awal lagi.

Pada majlis itu beliau juga mengalu-alukan kaedah yang lebih baik bagi memastikan al-Quran dapat dibudayakan dalam kehidupan masyarakat sekarang.

Hadir sama Pengerusi Permata, Drs Randos Nazarudin Jalaludin dan mudir madrasah tahfiz seluruh negara.

Kem bertema 'Solat Membina Insan Cemerlang' dianjurkan Permata dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan diadakan selama tiga hari.

Ia disertai 252 peserta membabitkan 18 madrasah tahfiz dari seluruh Malaysia. Drs Randos berkata, program itu diadakan bagi mendedahkan peserta kepada asas-asas kepemimpinan diri dari pelbagai peringkat di samping melahirkan hufaz yang cemerlang akademik dan syaksiah.

Setiausaha program tersebut, Ustaz Musrahimie Mohd Suhaimi berkata, sambutan peserta kali ini meningkat berbanding program pertama yang diadakan tahun lepas.

08.08.08: Selamat pengantin baru

Tanggal 8hb Ogos 2008 atau singkatannya 08.08.08, maka berbondong-bondonglah upacara akad nikah dijalankan di seluruh negara. Tarikh ini memang menjadi pilihan bagi pengantin-pengantin baru kerana kombinasi nombor itu cukup mudah diingati bahkan menjadi simbolik kepada kisah perkahwinan mereka ini.

Di sini, ingin diucapkan selamat pengantin baru buat adik tersayang (Norhesham bin Ismail) yang telah melangsungkan akad nikah di Changkat Jering, Taiping serta sahabatku (Ahmad Shehan bin Nordin) di Rawang pada tarikh dan masa yang sama.

Norhesham bin Ismail dan Rubita
Kg Bechah, Changkat Jering, Taiping



Majlis akad nikah di Surau Kg Bechah




Gambar bersama keluarga

Chandik FC: Perlawanan ke-5 Liga Funtastica 2008

EtiQa Maybank..1 Chandik FC..4

Lokasi: Stadium, Pusat Latihan Maybank, Bangi
Tarikh: 07hb Ogos 2008 [Khamis]
Masa: 08:45 malam

Chandik FC berjaya merekodkan kemenangan yang ketiga dari lima perlawanan sekaligus memastikan tempat ke pusingan kalah mati Liga Funtatico 2008.



Stadium Pusat Latihan Maybank, Bangi



Skuad Chandik FC bersiap sedia untuk perlawanan




Pemain Chandik FC sedang berehat selepas separuh masa pertama