Wednesday, March 25, 2009

Perhimpunan Agung Umno: Media siber tetap digeruni


malaysiakini

Umno akui pengaruh besar media baru

Mar 24, 09 9:52pm

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui kesan yang menimpa Umno dalam pilihanraya umum tahun lalu akibat kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.

"Contohnya yang paling mudah, jika diimbau pada pilihanraya tahun 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu.

"Lima tahun kemudian, semasa pilihanraya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif.

"Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber," tegas beliau ketika merasmikan serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC malam ini.

"Natijhnya, semasa pilihanraya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dengan lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru," tegasnya.

Dalam pilihanraya umum tersebut, media alternatif di internet menjadi sumber utama rujukan rakyat untuk mengetahui perkembangan politik semasa, terutama mengenai aktiviti pembangkang.

"Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh," tegasnya.

Sebaliknya, tegas Najib, generasi muda kepimpinan Umno harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena ini.

Menurut beliau lagi, generasi muda kepimpinan Umno perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber.

"Generasi muda kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik.

"Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda.

"Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara parti-parti politik," tegasnya.

Tidak diberi pas media

Dalam perhimpunan Umno mulai esok, enam media internet, termasuk Malaysiakini, gagal mendapat pas media dari Umno untuk membuat liputan perhimpunan agung parti itu yang bermula hari ini.

Perhimpunan kali ini juga akan menyaksi pemilihan sengit bagi jawatan tertinggi parti - dari timbalan presiden, naib presiden, Majlis Tertinggi serta pucuk pimpinan utama Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Tiada alasan rasmi diberikan mengapa parti itu enggan mengeluarkan kad media kepada pertubuhan berkenaan untuk membuat liputan perhimpunan agung selama lima hari itu.

Selain Malaysiakini, pertubuhan lain yang gagal mendapatkan pas media dari Umno ialah The Nut Graph, Malaysian Insider, Siasah dan Merdeka Review.

Perhimpunan Agung Umno: Pendekar Umno 'mengaum' di PWTC


malaysiakini

Anwar sasaran tempelak Pemuda
Mar 25, 09 9:33am

Persidangan tiga sayap utama Umno bermula dengan penuh debaran hari ini apabila proses pengundian yang berlangsung akan membuka percaturan baru kem-kem parti itu.

Majlis perasmian pergerakan-pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dimulakan jam 8.30 pagi diikuti pengundian untuk memilih ketua masing-masing selepas 11 pagi tadi.

Perhimpunan agung Wanita yang menyaksikan persaingan antara penyandang Tan Sri Rafidah Aziz dan naibnya Datuk Seri Shahrizat Jalil diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, bangunan PWTC.

Pemuda yang bersidang di Dewan Tun Hussein Onn menyaksikan pertarungan tiga penjuru merebut jawatan teratas - naib ketuanya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, exconya Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sementara persidangan Puteri yang melibatkan perebutan enam penjuru diadakan di Dewan Merdeka, bangunan yang menempatkan ibu pejabat Umno.

Sewaktu majlis perasmian Pemuda, ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Hussein masih meneruskan tradisi baru tetapi kontroversinya yang mengarak dan mencium keris.

Dalam ucapannya tadi, beliau menempelak projek peralihan kerajaan persekutuan "16 September" yang diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya "petualang yang cuba mengajar anak ketam berjalan betul".

"Ada petualang yang secara sumbang mengisytiharkan bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 16 September 2008. Lalu disemai benih keraguan di kalangan rakyat hingga menjejaskan keyakinan dunia.

"Maha Kuasa Tuhan yang menentukan, realiti yang terjadi adalah di sebaliknya; apabila peralihan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Demikian kebenaran ketentuan Ilahi menidakkan dakwaan orang yang bersifat takabbur, bersifat riak, bersifat sombong.

"Demikian bidalan Melayu kepada ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan betul," katanya.

Tambahnya, "petualang" tersebut seorang yang "gilakan kuasa, sanggup bersekongkol dengan musuh, menghina tanah air sendiri di serata dunia, mempersenda institusi raja, manusia berbagai-bagai topeng yang mengamalkan budaya hipokrasi dan lain di depan, lain di belakang."

"Siakap senohong gelama ikan duri, cakap bohong lama-lama jual negeri," katanya.

"Pergerakan Pemuda Umno hari ini mengambil ketetapan untuk menentang habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh si petualang ini.

"Rafidah, sewaktu berucap merasmikan perhimpunan Wanita, berkata sejak persaingan sengit pada 1987, gejala politik wang dan politik berpuak-puak menular dalam parti itu.

"Nafsu gelojoh mengejar jawatan dan merebut kuasa telah membiakkan budaya baru - iaitu budaya politik upahan dan imbuhan. Sokongan diberi bukan kepada mereka yang berkemampuan untuk berusaha dan bekerja, tetapi kepada sesiapa yang boleh menawarkan sesuatu," katanya.

"Jawatan dalam Umno sudah mula menjadi seolah-olah tawaran tender, dengan membuat tawaran tertinggi diberi pertimbangan - bahkan lebih tepat kalau dikatakan sudah muncul pendekatan 'lelong jawatan'.

"Bagaimanapun masih ramai ahli-ahli Umno dan mereka yang diamanahkan untuk memilih pemimpin sebagai perwakilan di peringkat masing-masing yang berpegang kepada integriti dan amanah.

"Tetapi berapa lamakah mereka akan dapat bertahan jika sentiasa diasak dan diasyikkan dengan persoalan seperti 'apa boleh dapat' dan 'apa dia boleh beri?'

"Sementara ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad pula menyeru Umno agar kembali kepada masyarakat dan prihatin dengan kehidupan rakyat.

"Kita harus belajar daripada kesilapan lalu, dalam senario politik semasa, kita kena akur bukan mudah untuk memenangi hati dan undi rakyat," katanya, merujuk persaingan yang bakal dihadapi parti itu pada tiga pilihanraya kecil, 7 April depan.

Tambahnya, Umno harus menyusun strategi kempen yang lebih efektif "kalau kita tidak mahu menerima tamparan berterusan dari pada pihak pembangkang".

"Fahamilah kehendak rakyat supaya mereka tahu ke mana mereka akan tuju untuk bergantung hidup," katanya.