Showing posts with label presiden pas. Show all posts
Showing posts with label presiden pas. Show all posts

Monday, March 29, 2010

Alhamdulillah.. Semoga Tok Guru kekal sepanjang hayat beliau..

malaysiakini

Nik Aziz kekal mursyidul am lima tahun lagi

Jimadie Shah Othman & Salhan K Ahmad
Mac 29, 1012:05pm

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini dilantik semula sebagai mursidul am PAS untuk sesi 2010-15.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat kedua majlis syura ulamanya di pejabat agung PAS,di ibu negara pagi ini.

Pelantikan itu sekali gus menutup ruang spekulasi berhubung kedudukan tokoh popular PAS itu yang melanda sejak minggu lalu apabila kedudukannya bergantung kepada sokongan 16 lagi anggota majlis tersebut.

Spekulasi tercetus minggu lalu apabila majlis syura ulamanya tidak membuat sebarang pelantikan terhadap pengerusi dan timbalannya, sebaliknya hanya melantik lima anggota tambahan.

Majlis tersebut mempunyai 17 anggota - masing-masing empat wakil daripada jawatankuasa pusat dan dewan ulama, dua orang daripada dewan Pemuda dan Muslimat serta empat lagi anggota tambahan.

Sementara itu, dalam mesyuarat hari ini juga, Datuk Dr Haron Din turut dilantik semula sebagai timbalan mursyidul am bagi membantu tugas-tugas Nik Aziz sebagai pengerusi majlis tertinggi dalam parti.

Hormati keputusan, Nik Aziz terima

Turut dilantik sebagai anggota tambahan: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Razak, Pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jasin dan bekas timbalan presiden Hassan Syukri. Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang ketika ditemui pemberita di parlimen mengesahkan pelantikan Nik Aziz dan Dr Haron selama lima tahun.

Tambahnya, Nik Abdul Aziz sebelum ini yang menyatakan kegembiraan sekiranya tidak dilantik semula, bertindak demikian dengan "moral yang tinggi."

Ditanya mengenai pertimbangan anggota majlis berkenaan terhadap tahap kesihatan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi berkata menteri besar Kelantan itu dilihat masih mampu menjalankan tugas-tugasnya.

Sementara itu, walaupun membayangkan enggan dilantik semula sebagai pemimpin nombor satu dalam PAS, Nik Aziz hari ini dijangka mengumumkan kesediaannya memikul semula tanggungjawab dengan segera.

Menurut setiausaha politiknya Wan Nik Wan Yussof, satu kenyataan akhbar berhubung perkara itu akan dikeluarkan lewat petang ini.

“Beliau terima. Tetapi (bertugas) macam dulu juga, kalau sakit tidak dapatlah hadir ke mesyuarat,” katanya kepada Malaysiakini tengah hari ini.

“Penerimaan tersebut dibuat bagi menghormati keputusan majlis syura ulama. Berdasarkan pengalamannya juga, beliau wajar dilantik semula.”

Monday, January 11, 2010

Kunjungan Tok Guru ke Gereja disambut

harakahdaily.net

Pegawai Gereja terharu terima kunjungan Nik Aziz

Ismail Hashim

PETALING JAYA, 10 Jan: Kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tiga gereja petang tadi menimbulkan rasa terharu pihak gereja.

Perasaan terharu itu dinyatakan oleh Pegawai Penyambut Tamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dekat sini, Calvin Jacob yang juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan itu kerana sudi mengunjungi mereka.

Menurut Calvin, Datuk Nik Abdul Aziz telah meluahkan rasa simpati di atas apa yang telah berlaku ke atas gereja itu yang dibaling dengan bom buatan sendiri pada minggu lalu.

“Saya telah mempelawa beliau masuk ke dalam gereja untuk melawat namun kerana ketika itu pengunjung gereja sedang melakukan kegiatan mingguan mereka, beliau menolak dengan baik.

“Jika cuaca tidak hujan saya bercadang untuk membawa beliau meninjau di sekeliling gereja, tetapi saya sempat maklumkan kepadanya tentang keadaan gereja yang tidak mengalami apa-apa kerosakan lantaran bom yang dilontar itu tidak meletup,” jelas Calvin lagi.

Sebelum itu, Tuan Guru telah mengunjungi Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing juga dekat sini untuk meninjau dan menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian tidak bermoral pihak tertentu yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Gambar: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berkata sesuatu kepada dua Penyambut Tetamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta, Petaling Jaya ketika lawatannya petang tadi. Calvin Jacob (dua dari kanan).

Terdahulu, sebelum ke Petaling Jaya, Nik Aziz telah ke Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, beliau telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada wakil gereja.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mengunjungi gereja yang sama bagi melahirkan rasa simpati PAS kepada tindakan membakar gereja itu.

Sehingga kini sudah tujuh kes gereja cuba dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan akhbar Kristian The Herald boleh menggunakan perkataan Allah dalam laporannya.

PAS mengambil sikap, Kristian berhak menggunakan perkataan Allah itu kerana semua agama Samawi sememangnya menggunakan Allah sebagai tuhan namun Umno dan NGO yang pro kepadanya membantah dan mula membuat kenyataan dan perhimpunan panas membantahnya.
Beberapa NGO pro Umno pula semacam mengambil sikap mengapi-apikan orang Islam dalam isu ini.

Monday, October 26, 2009

Tok Guru, Presiden dan Muktamar Khas PAS


Mutakhir ini rakyat Malaysia khususnya pendokong perjuangan yang berusaha memartabatkan syariah Allah telah dihidangkan dengan herdikan keras daripada Mursyidul Am sendiri.


Ini berikutan masih terasa 'gema' melalui usaha untuk melawan arus persefahaman bersama menentang dasar pemerintahan negara yang ditunjangi parti yang memang jelas tidak boleh dijadikan kawan.


Walaupun aku sendiri tidak merasa sangat kesan 'gema' tersebut (sebagaimana yang dirasai oleh Presiden dan pimpinan Pusat yang lain), tetapi teguran Tok Guru itu cukup membimbangkan kerana aku yakin akan ada kebenarannya.


Namun begitu, diharapkan isu ini dapat dipertimbangkan dengan terperinci dan diselesaikan dengan sebaiknya demi memastikan landasan yang akan dilalui tetap lurus dan menjadi semakin hampir dengan kejayaan.


Tuesday, June 9, 2009

Muktamar: Intipati Ucapan Dasar Presiden

http://muktamar55.pas.org.my

Kukuhkan PAS melalui pemerkasaan organisasi

Ditulis oleh Te@m I.T

FRIDAY, 05 JUNE 2009 08:20

SHAH ALAM, 5 Jun
- "Hasrat untuk melihat PAS berkembang menjadi sebuah organisasi yang kuat tidak akan dapat dicapai tanpa mempunyai sistem pengurusan parti yang kukuh," itulah antara intipati Ucapan Dasar Presiden, Tuan Guru Presiden Abdul Hadi Awang sempena Muktamar kali ke-55 PAS yang sedang berlangsung di Stadium Melawati hari ini.

Pengurusan parti yang dimaksudkan adalah melibatkan sistem pejabat, pengurusan organisasi dan petugas parti. Beliau dalm ucapannya menekankan agar kualiti ahli perlu ditingkatkan melalui kursus-kursus yang dirancang bagi melahirkan individu yang mempunyai fikrah perjuangan Islam yang jelas serta tahan ujian seterusnya menjadi penyumbang kepada penerusan perjuangan Islam.

Menyedari bahawa ahli PAS terdiri daripada individu yang pelbagai latar belakang pendidikan, antaranya terdidik di bawah organisasi dakwah sementara sesetengahnya tidak mempunyai tarbiyah Islam langsung.

Ustaz Hadi juga menekankan agar semua ahli PAS perlu ditarbiyah dengan kefahaman fiqh siyasi yang diperjuangkan oleh PAS serta memahami budaya dan kaedah PAS bagi melahirkan ahli yang faham serta istiqamah dalam perjuangan Islam yang dibawa PAS.

Muktamar: Intipati Ucaptama Presiden

http://muktamar55.pas.org.my

Tumpu pada pentarbiyahan ahli - Hadi

Ditulis oleh Te@m I.T

FRIDAY, 05 JUNE 2009 04:37

SHAH ALAM, 5 Jun - Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang ketika membentangkan ucapan dasar presiden bersempena dengan Muktamar PAS kali ke-55 dekat sini menyentuh berkenaan peranan dewan-dewan terutama dalam proses memberi pentarbiyahan kepada ahli dan menarik masyarakat dan golongan muda kepada PAS.

Beliau dalam ucapannya, menggesa Dewan Ulamak supaya terus memberikan kefahaman kepada ahli PAS dengan memberi penekanan kepada pembinaan fikrah perjuangan yang jelas, merealisasikan konsep kepimpinan ulamak, istiqamah, wehdatul fikrah dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, Dewan Ulamak disarankan untuk menganjurkan program-program yang dapat menarik golongan ulamak muda sebagai meneruskan kelangsungan perjuangan Islam serta tidak mengabaikan golongan veteran PAS supaya pengalaman yang dimiliki dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS atas kejayaan mereka dalam menarik sokongan pengundi muda kepada PAS termasuk dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang lalu.

Muktamar: Ucapan Dasar Tuan Guru Presiden



Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang telah menyampaikan ucapan dasar beliau yang bertajuk "ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN".

Bagi mendapatkan kandungan ucaptama beliau, sila layari http://muktamar55.pas.org.my/ucaptama/UDP_BM.pdf.

Thursday, March 19, 2009

Kerajaan perpaduan: Pandangan Tok Guru

HarakahDaily.Net


Keputusan muktamar perkukuh Pakatan Rakyat perlu dipertahan - Nik Aziz

Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir Wed Mar 18, 09 3:30:17 pm MYT

KOTA BHARU, 18 Mac (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu keputusan yang dicapai pada muktamar PAS di Ipoh tahun lepas untuk memperkukuhkan hubungan Pakatan Rakyat perlu dihormati.

Beliau berkata, sekiranya ingin membuat keputusan lain daripada apa yang dipersetujui pada muktamar itu, satu perjumpaan khas perlu diadakan untuk membincangkan perkara tersebut.

"Saya tidak suka meminda keputusan yang telah dipersetujui dalam mesyuarat secara bersama dan kemudian hendak pinda semula di luar.

"Sekiranya sudah pasti untuk melakukan sesuatu perkara selain daripada apa yang diputuskan dalam muktamar tahun lalu, mesyuarat khas mengenainya perlu diadakan," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas menerima rombongan pelabur daripada Taiwan di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan diwujudkan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti seperti berlaku di Indonesia semasa di bawah B J Habibie.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sekiranya semua ahli parti bersetuju dengan cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan beliau akan akur.

"Saya boleh bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan sekiranya diputuskan ahli parti dalam muktamar akan datang apabila ada usul mengenainya," katanya.

Menurutnya juga pada muktamar tahun lalu telah diputuskan sekiranya mahu berbincang dengan pemimpin Umno atau Barisan Nasional biarlah berkaitan isu lain dan bukannya membentuk kerajaan bersama.

Ditanya mengenai perbezaan pendapatnya dengan Presiden PAS katanya, perbezaan pendapat perkara kedua kerana ia lumrah berlaku di kalangan sesama anggota parti.

"Namun apa yang penting perkara diputus dalam muktamar tahun lalu perlu dijaga.

"Sebab itulah perlu kepada mesyuarat khas membincangkan perkara tersebut bagi menjaga kestabilan parti dan mencerminkan disiplin perjuangan parti yang berlandas Islam," tambahnya.

Friday, March 13, 2009

Kerajaan Perpaduan: Muhyidin sokong cadangan Presiden PAS

sinar harian

Berita Utama - 13hb Mac 2009

Muhyiddin sokong kerajaan perpaduan

SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi menyokong cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan perpaduan di negara ini demi mengembalikan keamanan dan tenteram kepada rakyat.

Naib Presiden UMNO itu berkata, cadangan berkenaan pernah diusulkan sebelum pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu tetapi tidak mendapat sebarang sokongan daripada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ini pandangan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan parti. Cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Pas itu amat penting untuk difikirkan. Malah tidak ada sebarang masalah sekiranya berlaku kerajaan campuran. UMNO bersikap terbuka,” katanya.

Muhyidin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Taklimat Dan Dialog Pakej Rangsangan Ekonomi, di sini semalam.

Hadi sebelum ini dilaporkan mencadangkan agar ditubuhkan kerajaan perpaduan di negara ini ekoran krisis politik dan krisis ekonomi yang bakal mendatang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua parti-parti politik di negara ini perlu bersatu untuk agenda yang lebih besar negara iaitu bekerja untuk kepentingan rakyat.

Sementara itu pada majlis yang sama, Muhyiddin berkata, usaha serius perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan segera pakej rangsangan ekonomi kedua.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pelaksanaan pakej rangsangan kedua perlu sampai ke peringkat akar umbi bagi memastikan projek-projek terbabit dilaksanakan.

“Sokongan rakyat semua peringkat, terutama perniagaan, perlu bagi menyemarakkan penggunaan domestik dan meningkatkan ekonomi,” katanya.

Wednesday, October 15, 2008

Malaysiakini: Reaksi terbaru PAS terhadap perubahan kuasa


malaysiakini

PAS beralih angin - kini yakin '16 Sept'

Jimadie Shah Othman Oct 14, 08 6:00pm

PAS akhirnya yakin dengan "projek 16 September" Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti itu menyertai mesyuarat pembentukan kerajaan baru dengan PKR dan DAP.

Keputusan biro politik parti itu minggu lalu telah pun direstui mesyuarat jawatankuasa pusat bersama ahli-ahli parlimennya kelmarin.

Selain Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin kanan yang diberikan mandat untuk mengetuai delegasi parti itu termasuklah timbalannya Nasharudin Mat Isa, dua naib presiden Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu serta setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaffar.

Selain dikritik akibat berunding dengan Umno, Nasharudin sebelum ini tidak pernah dilaporkan terlibat rundingan bersama Pakatan Rakyat, manakala Mohamad menyatakan keraguannya berhubung rancangan penasihat PKR itu.

Abdul Hadi pula, walaupun pernah menyertai mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin PKR dan DAP, dianggap menolak projek perubahan kerajaan Anwar - asalnya diuar-uarkan menjelang 16 September - selepas berkata beliau enggan menjadi "ahli politik Mat Jenin" apabila mengulas kemungkinan beliau dicadangkan sebagai perdana menteri apabila Pakatan mengambil alih kuasa persekutuan.

Rundingan dengan Pakatan sebelum ini didominasi golongan pro-kerjasama dengan Pakatan seperti Husam, Kamaruddin, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan bendahari Dr Mohd Hatta Ramli.

Beberapa pemimpin PAS yang dihubungi Malaysiakini berkata, keputusan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti dibuat kerana perbincangan ke arah pembentukan kerajaan baru "sampai ke tahap lebih tinggi" yang melibatkan perbincangan dasar-dasar dan persediaan membentuk jemaah menteri.

Salahuddin berkata, keputusan menghantar pemimpin kanan itu dibuat kerana usaha menumbangkan kerajaan BN sudah "sampai ke tahap akhir" dan "setiap tindakan memerlukan keputusan segera".

"Dulu, kita lebih kepada (hal-hal) teknikal seperti (menyusun) agenda bertindak... boleh katakan sekretariat. Sekarang kita berada pada tingkat lebih tinggi yang memerlukan perbincangan tentang dasar-dasar politik," katanya.

Dalam mesyuarat Ahad lalu, menurutnya lagi, perbahasan tentang delegasi lima pemimpin tertinggi PAS berlangsung dengan "sangat positif" dan mesyuarat bersetuju sebulat suara menerima mereka.

Suasana perbincangannya digambarkan sebagai "berterus-terang" dan dalam keadaan "bebas mengeluarkan pandangan".

Barisan pemimpin atasan PAS sebelum ini terbelah dua berhubung isu pertukaran kerajaan persekutuan, khususnya antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pesuruhjaya PAS Terengganu dan juga ahli strategi parti Datuk Mustafa Ali, menjelang 16 September lepas.

Mohamad, yang pernah berkata "PAS bersikap tunggu dan lihat terhadap 16 Septermber", berkata beliau menerima keputusan itu.

"Itu keputusan parti, saya terima," katanya, yang hadir di mesyuarat itu, kepada Malaysiakini hari ini.

Ditanya sebab kelima-lima pemimpin berprofil tinggi itu, beliau berkata: "Hendak pilih lima orang, kita pilih limalah. Kalau enam, kita pilih enamlah. Kalau lapan, kita pilih lapanlah.

"Husam - disebut-sebut sebagai penggerak utama dalam PAS yang mendukung usaha Anwar - pula menyifatkan barisan pemimpin tertinggi yang dipilih itu "bukan wakil baru", "tidak ada perubahan" dan "tidak berbangkit".

"Saya ingat salah faham. Tiada yang istimewa," katanya, mengulas keputusan dalam mesyuarat biro politik parti itu minggu lalu.

Sementara itu, timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad yang dikatakan pihak pertama mencadangkan idea menghantar pimpinan utama PAS berkata "semua khilaf dan salah faham sudah selesai".

"Sebelum ini mungkin ada yang tidak nampak bangunan Parlimen. Sekarang tidak ada khilaf lagi," katanya, yang menganggotai biro politik PAS, hari ini.

Khalid bagaimanapun mendakwa khilaf yang dimaksudkan itu hanya di peringkat teknikal akibat sumber-sumber maklumat yang berbeza antara pemimpin parti.

"Tetapi akhirnya, dengan semua sumber itu, semuanya saling melengkapi," katanya, yang juga ahli parlimen Shah Alam.

Tambahnya, salah faham dalam parti itu mula reda hasil pertemuan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dengan Anwar di Kota Bharu hujung bulan lalu (foto bawah).
.

Harapan Tok Guru Presiden mengenai politik hari ini

HarakahDaily.Net

Moga kestabilan negara, ketenteraman rakyat tidak terjejas

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Thu Oct 09, 08 3:53:03 pm MYT

PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Saya berharap agar dalam tempuh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melakasanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahaknnya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara dan tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat.

Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Thursday, October 9, 2008

Pengumuman Pak Lah: Apa kata Presiden PAS

HarakahDaily.Net

Jangan jejaskan negara - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Oct 09, 08 2:58:35 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Hrkh) - PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan kedudukan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

"Saya berharap agar dalam tempoh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melaksanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahakannya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan," katanya.

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu, katanya.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara, katanya.

Presiden PAS juga berharap Perdana Menteri tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat, ujarnya.

Semalam, Abdullah ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN memberitahu beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib sejurus beliau terpilih secara rasmi sebagai Presiden Umno kelak.

"Saya harap Dato' Seri Najib... anda tahu mengapa saya kata 'harap'? Sebab beliau perlu bertanding dalam pemilihan dahulu.

"Beliau perlu tanding dalam pemilihan sebagai Presiden UMNO dahulu, tapi saya percaya beliau boleh lakukannya...saya harap beliau jadi Presiden," katanya.

Perdana Menteri menegaskan keputusannya tak mempertahankan jawatan itu adalah muktamad.

Beliau juga menolak anggapan didesak untuk mengambil keputusan berkenaan.

Friday, October 3, 2008

Lim Kit Siang mengunjungi Tok Guru Presiden

BuletinOnline.Net

Kit Siang 'Beraya' Di Rumah Tok Guru, Guan Eng Harap Islam Jadi Teras Rapatkan Silaturrahim

Ditulis oleh SM Noor & WanKay
Friday, 03 October 2008


Marang - Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengunjungi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Aidil Fitri, di rumahnya di Kampung Rhusila dekat sini semalam.

Kit Siang hadir dengan diiringi oleh rombongan anggota DAP Terengganu tiba di perkarangan rumah Tok Guru pada jam 9.27 malam.

Kedua-dua pimpinan parti Pakatan Rakyat itu telah berbincang dan beramah mesra sambil menikmati hidangan juadah dan kuih raya.

Antara pokok perbincangan mereka adalah berkisar sekitar isu-isu politik negara dan hal ehwal semasa termasuk perkembangan Pakatan Rakyat dan pelan peralihan kuasa.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu Ng Chai Hing.

Buletinonline difahamkan Kit Siang akan disertai oleh beberapa pimpinan DAP lain dalam rangka percutian sempena Aidil Fitri.



Dalam perkembangan lain, Setiausaha DAP Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.

"Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun social,

"ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama,

"sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini," kata Guan Eng dalam perutusan Eidulfitrinya yang dipetik Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri. Katanya al-Quran menyebut mengenai Amar Ma’aruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan dan yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua.

Menurutnya bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia. Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.

Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.

"Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya. Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza.

Thursday, October 2, 2008

Perutusan Eidulfitri 1429 Tok Guru Presiden


buletinonline.blogspot

Sabtu, 2008 September 27

Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Hari gembira dan penuh berkat kurnia dari Allah SWT. Setelah kita menunai ibadat puasa Ramadan dengan menyelami serta mengambil berkat dan fadhilat bulan Ramadan, dengan membentuk peribadi muslim supaya menjadi orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT.

Dalam masa yang sama mengingatkan kita dengan hari-hari kemenangan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala dalam bulan Ramadan. Dalam perjalanan umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW dan selepasnya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa bulan Ramadan adalah bulan ‘membina kekuatan’ roh dan jasad. Membina kekuatan imam dan peribadi muslim yang merupakan anggota kepada kumpulan umat Islam yang besar.

Sepatutnya, kita meninggalkan Ramadan dan menyambut hari raya telah mengingatkan kita kepada kemenangan itu dan punca-punca kemenangan. Apa lagi di hari yang mulia ini kita bertakbir mengagung dan membesarkan Allah SWT. Memperingati kemenangan umat Islam dalam menghadapi golongan Ahzab. Kumpulan gabungan kabilah-kabilah yang menganut berbagai-bagai agama dan ajaran untuk menentang Islam. Berakhir dengan Allah SWT membinasakan kumpulan-kumpulan musuh itu.

Kita ulangi peristiwa itu, ketika kita menyambut hari raya yang mulia ini. Untuk mengingatkan kita bahawa kejayaan dan kekuatan umat. Sejauh mana umat ini berpegang dengan al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan, menghayati dan beramal dengannya. Sebagaimana yang diamal oleh Rasulullah SAW.

Di hari yang mulia kita bergembira ini jangan melalai dan melekakan kita. Kita hendaklah menjadi orang-orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur di atas segala nikmat yang diberi kepada kita yang tidak terhitung banyaknya. Nikmat yang paling besar ialah nikmat Islam. Pemberian yang paling mahal yang tidak mampu kita menilainya.

Pemberian daripada Allah SWT, Tuhan yang kita yakini tidak ada Tuhan melainkan Dia sahaja. Mestilah keyakinan itu melahirkan perangai-perangai dan akhlak-akhlak serta amalan-amalan mengikut petunjuk yang terkandung dalam al-Quran dan cara amalannya diajar oleh Nabi Muhamad SAW.

Marilah kita melakukan muhasabah apa yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia dalam keadaan porak-peranda, mengalami penyakit politik, penyakit ekonomi dan penyakit sosial. Puncanya tidak lain dan tidak bukan kerana kita meninggalkan petunjuk yang terkandung dalam al-Quran.

Kita wajib melakukan perubahan. Sebarang perubahan dan pembaharuan yang dilakukan oleh umat Islam mestilah mengikut petunjuk yang ada dalam al-Quran itu sendiri. Sebagaimana yang disebut oleh Saidina Umar Ibnu Khatab r.a bermaksud “Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam.

Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam, nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah SWT”. Dengan menyuburkan iman yang ada di dalam diri masing-masing dan di atas iman itulah kita bina segala amalan kita.

Amalan jasad dan roh kita melalui individu masing-masing, mengeratkan ukhuwwah di kalangan umat Islam yang berlandaskan kepada iman serta mewujudkan golongan Islam dan kumpulan Islam yang mampu memimpin umat, memimpin manusia mengikut petunjuk Allah SWT, kerana Allah Taala menjanjikan dalam al-Quran dengan maksudnya,

”Allah berjanji, kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di kalangan kamu bahawa Allah akan mengurniakan di kalangan mereka menjadi golongan yang memerintah, yang berkuasa di atas muka bumi ini. Mereka menukar keadaan yang dialami oleh manusia dalam ketakutan kepada keamanan. Apabila mereka menjadikan agama Islam itu agama yang berdaulat dan memerintah. Mereka mengabdikan diri kepada Aku (Allah) dalam keadaan mereka tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu, mereka itulah orang-orang yang fasik”.

Di mana Allah SWT melafazkan dengan firmannya janji kemenangan dengan syarat. Syaratnya, orang-orang yang beriman itu benar-benar beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagaimana yang ditunjuk oleh Allah SWT, tidak syak lagi sebagaimana yang ada dalam al-Quran.

Oleh kerana itu, umat Islam wajib membina diri mereka sendiri dengan ajaran agama mereka di atas dasar iman dan amal yang soleh yang ditunjuk oleh Allah SWT sehingga mereka memenuhi ciri-ciri kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Selepas itu tidak syak lagi, Allah Taala akan memberi kemenangan kepada umat Islam. Hanya kemenangan Islam sahaja yang mampu menyelamatkan seluruh manusia bukan sahaja umat Islam termasuklah orang-orang yang bukan Islam.

Marilah dengan bangga dan megah, dengan rasa syukur kepada Allah SWT di atas nikmat ini. Kita bangun untuk menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, untuk menyelamatkan umat Islam yang berada dalam keadaan yang ‘berpenyakit’ supaya umat Islam menjadi contoh untuk menyelamatkan manusia seluruhnya yang tenggelam di dalam jahiliah.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja dengan pakaian-pakaian yang baru tetapi mestilah juga dengan semangat baru setelah kita membentuk peribadi kita sebulan bulan Ramadan. Kita menghayati bulan Ramadan dengan ibadat puasa, menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT, bertadarus al-Quran, membaharukan iman, ilmu dan pengetahuan kita dan seterusnya meningkatkan lagi amal kita sehingga kita mencapai janji Allah SWT yang tersebut.

Akhirnya, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan marilah di hari gembira bulan kurnia Allah ini, kita mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan Islam yang mengikat kita.

Dan itulah ikatan yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat dan jadikan Islam dihadapan kita yang memandu setiap perjalanan dan tindak-tanduk kita, kerana itulah satu-satunya jalan yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Allahu Akbar, waliLlahilham.


Presiden PAS,
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
21 September 2008 pada jam 3.00 petang

Wednesday, September 17, 2008

Tok Guru Hj. Hadi: Masa untuk menyertai PAS

Bicara Presiden @ HarakahDaily.Net

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Tue Sep 16, 08 2:41:30 pm MYT

Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.

Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormati.

Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela.

Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.

Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.

PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:

� Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam,

� Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,

� Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.

Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Marilah bersama-sama menyertai PAS!

16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Tuesday, August 26, 2008

Permatang Pauh: Surat terbuka Tuan Guru Presiden


HarakahDaily.Net


SURAT TERBUKA KEPADA PENGUNDI PERMATANG PAUH

Kepada Pengundi Permatang Pauh khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Bahang Pilihanraya Umum ke12 masih kita rasai sehingga ke hari ini selepas Pakatan Rakyat memerintah 5 negeri di Malaysia.

Namun segala usaha yang kita lakukan tidak akan berjaya tanpa bantuan Allah SWT serta sokongan dan keyakinan rakyat seluruhnya.

Syabas dan tahniah! Namun usaha kita masih belum sempurna selagi kezaliman serta penyelewengan masih berkuasa di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Pemilihan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parlimen di P44 Permatang Pauh adalah satu lagi langkah yang kita sepakati bersama bagi menumbangkan kezaliman Umno-Barisan Nasional.

PAS bersama Pakatan Rakyat akan terus komited dan terus berjuang membela seluruh nasib rakyat.

Saudara/i yang dihormati sekelian,

Islam tidak pernah menghalang kita untuk berkerjasama dengan mana-mana pihak dalam isu keadilan dan kepentingan rakyat, dalam rangka untuk memakmurkan buka bumi ini.

Saya dan seluruh kepimpinan PAS akan sentiasa komited membantu Dato Seri Anwar Ibrahim di dalam Pilihanraya Kecil Parlimen P44 Permatang Pauh.

Dengan pengalaman luas yang ada pada beliau serta komitmen beliau yang telah teruji dan terbukti sehingga kini, saya yakin kita akan dapat bersama-sama menyelamatkan Malaysia dan seluruh rakyat daripada ancaman kezaliman politik, penindasan ekonomi serta peminggiran agama, selama hampir 51 tahun kita merdeka.

Erti kemerdekaan yang kita capai tidak bermakna sekiranya minda dan jasad kita tetap dijajah dalam pelbagai aspek kehidupan bermasyarakat serta bernegara dan kita masih terperangkap dalam politik perkauman sempit yang memecah-belahkan kita.

Bermula dari tarikh 16 ogos 2008 Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mula berkempen di Permatang Pauh.

Pelbagai tomahan dan fitnah telah dilontarkan terhadap beliau demi melemahkan semangat para pendokong kebenaran dan menimbulkan keraguan kepada para pengundi.

Namun kita tidak pernah mengalah dan masih dapat mengekalkan keyakinan pengundi Permatang Pauh terhadap calon kita. Kemenangan pasti akan kita perolehi jika kita membulatkan tekad untuk membentuk suatu kerajaan yang adil dan berkebajikan.

Kini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk menjadikan tarikh 26 Ogos 2008 tarikh bersejarah bagi menyaksikan pertarungan sengit antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan seluruh jentera Parti Barisan Nasional, dimenangi oleh pihak Kebenaran dan Keadilan yang didukungi seluruh lapisan rakyat.

Bangkitlah bersama-sama kita menyokong perjuangan membela keadilan dan kesejahteraan untuk semua agama, kaum dan budaya di tanah air kita.

Yakinlah kemenangan dan keadilan pasti akan dianugerahkan Allah SWT kepada kita.

Dengan ini saya merayu seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan budaya, agar bersama-sama menggembleng tenaga menentang kezaliman, rasuah dan segala penyelewengan kuasa yang sedang berleluasa.

Sehubungan itu juga saya mengajak semua pengundi Permatang Pauh, khususnya ahli-ahli PAS yang berada di luar kawasan untuk pulang mengundi calon Pakatan Rakyat.

Semoga Allah menganugerahkan kejayaan kepada kita dalam kemenangan yang paling bermakna ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin!

Wassalamu alaikum dan Salam Perjuangan,

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
22 Sya'aban 1429 / 24 Ogos 2008.

Thursday, August 21, 2008

Isu rasuah: Komen Tok Guru Presiden

sinar harian
[Edisi Selangor & K. Lumpur - Khamis, 21hb Ogos 2008]


PAS sokong tindakan BPR.

SERDANG - Pas mengalu-alukan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat penyelewengan yang berlaku di negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) termasuk tiga negeri di bawah naungannya.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, BPR seharusnya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap negeri terbabit, tetapi ia mestilah bersifat adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Saya mengharapkan BPR telus di semua negeri, bukan sahaja negeri di bawah PR, tetapi juga melibatkan Kerajaan Pusat,” katanya kepada media selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini, semalam.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.Kelmarin, enam termasuk dua exco Perak ditahan BPR dipercayai terlibat menerima rasuah kewangan dan seks berhubung satu projek perumahan di Seri Iskandar, Perak.

Siasatan awal BPR mendapati sejumlah wang telah dibayar kepada mereka yang terlibat dan dianggarkan nilai suapan melebihi RM100,000.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Abdul Hadi berkata, kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) seharusnya menunjukkan contoh yang betul kepada negeri PR terutamanya pimpinan parti Keadilan (PKR) yang baru memerintah.

Ditanya adakah kejadian tersebut mempengaruhi pengundi di Permatang Pauh, Abdul Hadi berkata, ia menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia sebelum adanya pilihan raya.

“Rakyat Malaysia dah kalis. Kes Tan Sri Eric Chia yang melibatkan berbilion ringgit juga berlaku masa pilihan raya. Tetapi kes ini hanya beberapa ribu ringgit sahaja. Bagaimanapun ia tetap salah dari segi moral walaupun seringgit,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Abdul Hadi beliau enggan menuduh sesiapa berhubung kejadian tersebut walaupun sesetengah berpendapat ia ada kaitan dengan pilihan raya Permatang Pauh yang akan berlangsung 26 Ogos ini.

“Saya tidak mahu tuduh, sebab sebelum ini pun Ketua Pengarah Imigresen dan beberapa kes (penangkapan) lain turut berlaku,” katanya.

Tuesday, August 12, 2008

PAS rela tinggal Pakatan Rakyat demi Islam

malaysiakini

Muda Mohd Noor Aug 12, 08 5:44pm

PAS tegas mempertahankan Islam sebagai asas perjuangan parti dan sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat jika ia tidak menguntungkan Islam.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan konvensyen PAS Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia disahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin diketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Akhbar tabloid harian, Sinar Harian melaporkan perkara yang sama di muka hadapannya hari ini.

Hafiz berkata, pendirian tersebut menunjukkan bahawa perjuangan PAS mempertahankan Islam konsisten sejak dahulu lagi. Katanya, ucapan Abdul Hadi itu merujuk tanggal 16 September depan apabila ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat kepada Pakatan Rakyat.

Seperti yang telah dinyatakan oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyertaan mereka cukup untuk memboleh Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Bantu calon PKR

Sementara itu, Hafiz berkata, dalam ucapannya Ahad lalu, presiden PAS itu menegaskan jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, PAS tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) menegaskan dalam ucapannya bahawa kita bukan perkauman tetapi menjadi tanggungjawab parti untuk mempertahankan dasar Islam.

"Beliau juga menegaskan bahawa setelah 50 tahun orang Melayu memerintah negara ini, tetapi jika orang bukan Melayu mengambilalih, (maka) ia sukar kepada negara dan rakyat.

"Oleh itu, kata Tuan Guru lagi, jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai, ia akan menggugat orang Islam," kata Hafiz.

Katanya, ucapan Abdul Hadi mendapat sokongan dari lebih 100 pemimpin PAS negeri yang menghadiri konvenyen tersebut.

Bagaimanapun, kata Hafiz, Abdul Hadi telah menyatakan bahawa PAS akan tetap menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

MB Selangor: Sesuaikan agenda PAS bersama Pakatan

malaysiakini

Jimadie Shah Othman Aug 12, 08 6:38pm

PAS boleh menyesuaikan agenda Islamnya dalam kerjasama bersama Pakatan Rakyat seperti DAP berbuat demikian, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita telah terima parti PAS. Saya pernah jadi setiausaha agung PKR. Kita telah terima parti PAS dan DAP sebagai rakan kita dalam politik.

"Kita terima hakikat bahawa PAS memperjuangkan pembangunan Islam, dan (hakikat) ini kita dapat sesuaikan dengan pembangunan negeri kita.

"Rakan kita dalam DAP (pula) memperjuangkan rakyat keseluruhannya. Dan ini (Pakatan) merupakan platform bersama," katanya, mengulas amaran Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan meninggalkan Pakatan Rakyat jika gabungan itu gagal melaksanakan idealisme Islam di peringkat persekutuan.

Abdul Hadi dilaporkan berkata demikian sebagai merujuk kemungkinan Pakatan membentuk kerajaan persekutuan selepas 16 September ini seperti sedang diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap di sidang akhbar di Subang Jaya selepas menghadiri dialog bajet negeri itu bagi 2009, Abdul Khalid berkata:

“Dan saya rasa ucapan Tuan Guru Abdul Hadi itu menegaskan perlunya masyarakat Malaysia menerima perjuangan mereka untuk memperjuangkan agama Islam dan ummah sebagai salah satu perjuangan yang tidak boleh ditolak ansur.

"Dan kita (Pakatan) menerima hakikat tersebut."

Sementara itu, exco agama kerajaan negeri Datuk Dr Hassan Ali berkata kenyataan Abdul Hadi itu hanya satu kenyataan dan dalam proses perbincangan dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan, sudah tentu ada “tolak-ansur”.

"Itu satu kenyataan. Dalam Pakatan ini, saya fikir, dalam musyawarah (mesyuarat) sudah tentu ada tolak ansur dan sebagainya. Apa pun dasar-dasar (PAS) itu perlu dipertahankan. "Dan saya fikir untuk membawa dasar seperti itu, tentang ahli-ahli (Pakatan) yang lain, patut dihormati pendapat masing-masing. Dalam penghormatan itulah, saya fikir, kita dapat satu kesepaduan terhadap sesuatu matlamat yang kita perjuangkan," katanya, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Menjelaskan lanjut perkara itu, beliau berkata: "Itu sebenarnya pendirian PAS tentang pemerintahan, tentang pentadbiran, sebab itulah (yang ada) dalam perlembagaan PAS. Maksudnya kalau kita membuat cadangan yang berlainan daripada itu, maka ia bertentangan dengan pendirian PAS."

Presiden: Amaran buat Pakatan Rakyat


Sinar Harian [Selasa, 12hb Ogos 2008]

Kata dua Hadi pada konvensyen parti itu di Pulau Pinang

SHAH ALAM - Tarikh 16 September mungkin akan mencatat sejarah dalam dunia politik tanah air apabila kemungkinan berlakunya perpisahan Pas dari Pakatan Rakyat (PR). Kemungkinan itu berdasarkan pendirian terbaru Pas yang bertegas mahu keluar daripada PR sekiranya ‘kerajaan baru’ selepas 16 September ini tidak lagi menjadikan Islam sebagai teras kepimpinan dan terpinggir.

Pendirian nekad Presi­dennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diluahkan sekiranya komponen PR iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminggirkan Islam dan tidak menjadikannya teras dasar pemerintahan serta pemilihan kepimpinan dalam ‘Kabinet baru’ yang bakal menerajui negara. Perkara itu disahkan Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin kepada Sinar Harian, semalam dan berkata Pemuda Pas negeri itu menyokong penuh pendirian Abdul Hadi yang disifatkan selari dengan perjuangan serta dasar parti.

Menurut Mohamed Hafiz, Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 100 ahli ketika merasmikan Konvensyen Pas negeri itu, kelmarin. “Itulah pendirian beliau dan kita menyokong penuh serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada beliau. Kenyataan itu menyerlahkan keberanian, ketegasan dan istiqamah Tuan Guru Presiden dalam mempertahankan perjuangan parti. Itu amatlah dialu-alukan dan terpuji.

“Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang sedia merealisasikan pendirian Tuan Guru Presiden dan saya yakin perkara sama juga akan dilakukan kepimpinan Pas di negeri lain.

“Pakatan Rakyat perlulah mengambil kira dan menghormati pendirian tersebut dan sekiranya berlaku pertukaran kerajaan pada atau selepas tarikh itu (16 September), Islam perlu dilihat sebagai perkara penting,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menyifatkan pendirian Abdul Hadi bukan kenyataan main-main, Mohamed Hafiz rasional dan yakin kenyataan pemimpin utama parti Islam itu sebagai usaha memastikan kepentingan Islam terus terpelihara.

“Timbul kebimbangan kalaulah 'kerajaan baru' yang bakal ditubuhkan itu tidak lagi melihat Islam sebagai utama, agama dipinggirkan dan sekiranya berlaku, keadaan mungkin akan lebih teruk daripada sekarang.

“Andai tiada dominasi Islam, Pas takkan bersama Pakatan dan sekali lagi kami tegaskan pendirian Tuan Guru Presiden disokong penuh dan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang akan mempertahankannya,” katanya.

Ketika ditanya adakah kenyataan terbaru Abdul Hadi itu memberi kesan langsung kepada komitmen Pas negeri itu dalam membantu kempen calon PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Hafiz enggan mengulas lanjut.“Pemuda Pas negeri 'no komen',” katanya.