Tuesday, January 5, 2010

Allah: Beberapa tokoh agama mempersoal kenyataan Dr Haron Din

malaysiakini

Kenyataan Dr Haron Din dipertikai

Jimadie Shah Othman
Jan 5, 103:04pm

Kenyataan tokoh ulama PAS Datuk Dr Haron Din - yang mengaitkan sokongan kepada keputusan mahkamah kes kalimah 'Allah' boleh membawa kepada kekufuran - dipertikaikan.

Membidas pengamal perubatan Islam itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Dr Haron patut memberikan pandangan yang rasional dan tidak menafsirkan dengan salah pendapat orang lain.

"Saya hendak tanya Dr Haron, kalau kita dengar orang bukan Islam berkata, 'Allah menciptakan alam', adakah kita hendak ambil tindakan pada mereka? "Adakah kita hendak suruh mereka kata tuhan lain yang menciptakan alam?" kata bekas mufti Perlis.

Sementara ahli majlis syura PAS, Ahmad Awang pula berpendapat isu akhidah dan keputusan mahkamah merupakan dua hal yang berbeza sama sekali.

"Kefahaman bahawa kalimah Allah itu eksklusif untuk orang Islam sahaja, saya percaya (kefahaman) itu lagi sesat.

“Sedangkan Allah itu tuhan semesta alam, tuhan kepada semua manusia,” katanya, sewaktu diminta mengulas pandangan timbalan mursyidul am PAS.

Dr Haron hari ini dilaporkan berkata umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – membenarkan mingguan Katholik Herald The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya – boleh membawa kepada kekufuran.

Beliau dipetik berkata, menurut kaedah ilmu akidah, bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh Kristian membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai konsep tritunggal (trinity).

Penjelasan isu tuntutan RM800 juta

harakahdaily.net

Fakta tuntutan RM800 juta

Wan Nik Wan Yusof

Jawapan kepada komentar Dr. Sivamurugan Pandian (Sinar Harian, Ahad 3hb. Januari 2010 : N4) bertajuk ”UMNO dan PAS harus duduk semeja.”

Hakikat keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu meluluskan saman Timbermine Sdn. Bhd berjumlah RM800 juta tidak wajar diseret ke peringkat penyelesaian politik sehingga menggesa ’UMNO dan PAS duduk semeja.’

Paling tidak wajar lagi, apabila ditohmahkan dengan kenyataan yang tidak berfakta dan tersasar daripada landasan akademik. Sedangkan fakta yang berlaku semasa penghakiman mahkamah itu tidak dikaji terlebih dahulu.

Apa yang perlu difahami adalah Kerajaan Negeri Kelantan sekarang berdepan dengan keputusan mahkamah yang perlu diselesaikan melalui saluran mahkamah. Maka, kenyataan Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar untuk memfailkan rayuan adalah wajar.

Asasnya, pihak Kerajaan Negeri mempunyai hujah bagi membuktikan tidak wajar saman dibayar dan ia sebenarnya adalah saki-baki warisan Kerajaan BN semasa berkuasa dahulu.

Justeru itu, fakta-fakta berikut (disertakan di bawah) adalah bacaan ’wajib’ yang boleh menidakkan komentar Dr Sivamurugan Pandian (Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM) atau mana-mana pihak yang seumpama beliau.

Sehubungan itu, dicadangkan agar pihak academician atau mana-mana pengkaji politik boleh hadir sendiri untuk meninjau kedudukan sebenar isu tersebut di mata rakyat Kelantan. Hakikat yang terbina, tiada niat bagi Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar untuk ’menuduh’ atau ’memuakkan’ rakyat dalam soal kepentingan Negeri dan rakyat Kelantan.

Sekian, wassalam.

Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan.

18 Muharam 1431/4 Januari 2010.

Bagi perincian latarbelakang isu ini, sila rujuk