Thursday, December 4, 2008

Pilihanraya Kecil P36: Tok Guru pilih Mat Sabu

HarakahDaily.Net

Calon Kuala Terengganu, Nik Aziz mahu Mohamad Sabu

Salmah Mat Husain Wed Dec 03, 08 3:40:43 pm MYT

KOTA BHARU, 3 Dis (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, secara peribadi masih berhasrat untuk mengekalkan Mohamad Sabu sebagai calon PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan datang.

Katanya, memandangkan Mohamad telah bertanding dalam pilihan raya umum baru-baru ini, tidak ada sebab untuk beliau dicalonkan sekali lagi, dalam pilihan raya kecil yang akan datang.

"Kalau boleh saya nak begitu, (kekal calon) sebab di Parlimen ni kena ada orang sepeti Mat Sabu (Mohamad) kerana lidah dia lantang, isu yang ditonjolkannya juga bukan dibuat-buat, tetapi realiti.

"Saya sudah lama menjadi penceramah dan sekarang pun saya masih berceramah, tetapi lidah saya tidak sehebat Mat Sabu,"ujarnya.

Tambahnya, itu berlaku kerana setiap manusia mempunyai kelebihan masing-masing,
"Saya ada cara saya, tetapi kalau di Parlimen ni baik Mat Sabu,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau juga berkeyakinan Mohamad akan bergelar 'yang berhormat' selepas itu kerana akan mendapat kemenangan dalam pilihan raya kecil itu walaupun tewas baru-baru ini berdasarkan perkembangan semasa.

Lagipun katanya, tiada sebab orang Melayu dan Islam itu sendiri tidak memilih perjuangan PAS.
Sambungnya, bagaimanapun keputusan calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil itu nanti belum lagi diputuskan memandangkan mesyuarat berhubung dengannya belum diadakan.

"Itu (cadang pilih Mohamad Sabu), hanya pandangan peribadi saya saja, keputusannya hanya akan ditentukan dalam mesyuarat PAS Pusat nanti,"ujarnya lagi.

Komen Tok Guru mengenai keanggotaan bukan Islam di dalam PAS

sinar harian
Edisi Kelantan - 4hb Disember 2008 [Khamis]

Nik Aziz tetap mahu bukan Islam sertai Pas

KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi menyatakan cadangan untuk membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam walaupun tidak dipersetujui Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pada asasnya kami terima dan buka ahli kepada mereka yang bukan Islam, tetapi dari segi teknikal bila hendak melaksanakannya ada masalah kedua, kerana Islam adalah untuk semua," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Beliau berkata, perkara tersebut dibincangkan bertahun-tahun dan pada mesyuarat di Perak baru-baru ini, perkara tersebut telah dibincang dan tiada sesiapa yang menentangnya.

Nik Abdul Aziz berkata, Pas perlu beri peluang kepada mereka yang bukan beragama Islam kerana sekarang ini masyarakat yang bukan Islam ada yang telah menubuhkan Kelab Penyokong Pas.

Menurutnya, ia menunjukkan orang bukan Islam mahukan Pas dan mereka turut berkempen untuk calon parti itu pada pilihan raya umum lalu.

“Dari segi politik kita tidak boleh berpolitik kepada bangsa Melayu sahaja, ini kerana dalam politik semua bangsa terlibat sama.

“Seperti mana yang saya lihat semasa menghadiri sebuah ceramah di Temerloh, Pahang di mana saya dengar orang Hindu menyebut ayat al-Quran di dalam ceramahnya dan ini memberikan satu kebanggaan kepada saya," katanya.

Beliau berkata, itu telah membuktikan mereka mahukan Islam dan soal mereka mahu masuk Islam dan terima sistem Islam adalah masalah kedua.

“Tetapi, dalam parti mereka berminat kepada Pas dan kita perlu beri peluang kepada mereka di dalam parti ini," katanya.