Tuesday, September 23, 2008

Tok Guru samakan penyeludup dengan Firaun


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - 23hb September 2008]

Penyeludup macam Firaun :: Nik Aziz

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar penyeludup dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menjalankan aktiviti penyeludupan kerana mereka yang menyeludup dan terima barang seludup sebenarnya makan duit haram.

Katanya, wang yang diperoleh hasil keuntungan melalui kegiatan penyeludupan yang kini semakin berleluasa pada musim perayaan tidak bermakna walaupun banyak kerana ia adalah haram.

“Orang yang menyeludup dan orang yang terima barang seludup mereka sebenarnya terima barang haramduit yang kita dapat duit haram. Perut kenyang masuk neraka, di mana cerdiknya.

“Ia jadi macam Firaun, perut kenyang dan kerajaan besar tetapi masuk neraka.

Nama Firaun tersenarai dalam al-Quran sebagai ahli neraka, buat apa..,” katanya kepada pemberita semalam ketika diminta mengulas mengenai kegiatan penyeludupan yang semakin berleluasa sekarang.

Berita dari Kuala Krai: 23hb September 2008 [Selasa]


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Daerah]

Warga emas lumpuh nyaris terbakar

KAMPUNG SUNGAI PERIA - Seorang warga emas yang lumpuh terselamat, dalam satu kebakaran yang memusnahkan keseluruhan kediamannya kira-kira jam 10 pagi dekat sini, semalam.

Maimunah Abdul Mutalib, 70-an, yang merupakan ibu kepada calon Pas pada Pilihan Raya Ke-11 pada 2004, Zamzuri Mat Lazim yang menentang calon BN, Zulkifli Omar, terselamat apabila dia sempat mengesot menjauhi api selepas nyalaan diangnya (tempat untuk memanaskan badan) dipercayai menyambar tilam dan dinding rumahnya.

Menurut cucunya, Azhar Shafie, 33, yang tinggal bersebelahan, ketika kejadian dia mendengar neneknya mengetuk lantai dengan kuat untuk menarik perhatian.

“Saya hairan kerana dengan keadaan tersebut, lalu naik ke atas rumah dan mendapati tilam dan dinding bahagian dapur telah marak disambar api.

“Nenek saya mengesot berdekatan peti sejuk menjauhi api. Selepas itu, saya membawa nenek keluar dari rumah sebelum jiran lain datang memberi pertolongan dan menghubungi talian kecemasan,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Katanya, selepas membawa keluar neneknya, berlaku beberapa letupan kuat dari atas rumah dan dipercayai berpunca daripada tong gas.

Namun katanya, dia bersyukur kerana kediamannya sempat diselamatkan dan hanya melibatkan tingkap rumahnya yang pecah akibat bahang kebakaran tersebut.

Manakala menurut anak ketiga Maimunah, Mohd. Zainun Mat Lazim, 50, ibunya tinggal bersama bapanya, Mat Lazim Ismail, 73.

“Ibu saya menghidap lumpuh sejak empat bulan lalu. Dia sering berdiang setiap pagi menggunakan daun ubatan herba.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kedua ibu bapa saya selamat walaupun rumah mereka musnah sepenuhnya,” jelasnya.

Maimunah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawa-tan selepas terkejut dengan kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba Dan Penyelamat Daerah Kuala Krai, Mohd. Nasir Hassan berkata, pihak bomba menerima panggi-lan pada jam 10.19 pagi.

“Pihak bomba dengan tujuh anggota dan sebuah jentera dan sebuah van bergerak keluar sejurus menerima panggilan daripada ibu pejabat.

“Ketika kami tiba api telah memusnahkan hampir keseluruhan kediaman. Namun, kami berjaya mengawal api daripada merebak ke kediaman bersebelahan,” ujar Mohd. Nasir.

Katanya, punca kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur dan kemusnahan melibatkan 95 peratus bangunan kediaman jenis kekal tersebut.

Pihak bomba menggunakan sumber air daripada sungai berdekatan untuk mengawal kebakaran.

Tok Guru kesal sikap orang tua tidak puasa

Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Muka Depan - 23hb September 2008]

Warga emas ditangkap minum di restoran siang hari

KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan sikap sesetengah warga emas yang sengaja tidak berpuasa tanpa sebarang sebab.

Lebih dikesalkan lagi ada yang tidak berpuasa dengan megah makan di khalayak ramai pada siang hari, seolah-olah mereka mereka mempunyai keistimewaan di sisi agama.

"Ini adalah satu tabiat buruk dan memalukan Islam, sedangkan kerajaan sudah berusaha keras selama ini untuk memberi kesedaran Islam dalam kalangan orang ramai.

“Sepatutnya warga emas atau pun individu yang diwajibkan berpuasa dapat menjadi contoh kepada yang lain tetapi sedihnya mereka ingkar untuk melaksanakan rukun Islam ketiga,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mursyidul Am Pas itu berkata demikian ketika diminta mengulas tangkapan melibatkan seorang warga emas yang tidak berpuasa, Khamis lalu.

Beliau berkata sepatutnya, pada hari terakhir Ramadan kita berebut untuk melakukan amal ibadat bagi mendapat keampunannya.

“Kerajaan telah menjalankan pelbagai pendekatan untuk mengagamakan umat Islam tetapi masih ada yang tidak mengikuti ajaran Islam,” katanya.

Dalam kejadian itu, alasan sakit dan perlu makan ubat yang digunakan seorang warga emas untuk mengelak daripada ditahan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) semalam tidak dapat mengecualikannya daripada disabitkan kesalahan.

Lelaki terbabit dan juga seorang kontraktor ditahan di sebuah restoran kerana merokok dan tidak berpuasa kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAHEAIK, Mohd Ab Aziz Mohd Nor berkata warga emas tersebut diberkas ketika merokok.

“Ketika ditahan warga emas ini menyatakan dia sakit dan terpaksa minum untuk menelan ubat malah dia juga mengaku telah minum sebelum merokok.

“Bagaimanapun dia memberikan pelbagai alasan kepada pegawai bertugas tetapi kami tetap membawanya ke mahkamah untuk pengadilan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat sini.

Mohd Ab Aziz menjelaskan sempena Ramadan JAHEAIK bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar raya Islam menjalankan Operasi Ramadan bagi mencegah kemungkaran.

Ini adalah tangkapan pertama di Kota Bharu dan kita berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

Berhubung kesalahan di bawah Seksyen 26 Kanun Jenayah Syariah ia boleh dikenakan denda maksimum RM500 dan hakim Mahkamah Rendah Syariah, Nik Najib Che Hassan menjatuhkan hukuman RM450 terhadap warga emas terbabit.

Ihya Ramadhan di Kota Bharu


HarakahDaily.Net

DIGI taja khemah Tarawih berhawa dingin RM100,000

Ramli Yamat Mon Sep 22, 08 3:31:35 pm MYT

KOTA BHARU, 22 Sept (Hrkh) - Sebanyak RM80,000 diterima Majllis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) hasil sumbangan syarikat swasta dan badan berkanun bagi mengisi dana Ramadannya tahun ini.

Bantuan tersebut kemudian diagih kepada fakir miskin dan anak-anak yatim bagi meringan bebanan yang ditanggung golongan tersebut terutamanya bagi menyambut kedatangan 1 Syawal tidak lama lagi.

Pengarah Pembangunan Islam, MPKB-BRI, Ropein Hassan berkata, sebanyak RM40,000 disumbangkan DIGI Communications, Yayasan Kelantan Darul Naim (RM20,000) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (RM20,000).

Katanya, setiap penerima diberi sebanyak RM120 seorang iaitu RM100 dalam bentuk tunai manakala selebihnya berupa barangan seperti sejadah.

"Majlis penyampaian diadakan sebanyak dua kali iaitu pada 12 dan 20 Ramadan lalu sempena Majlis Iftor Jama'ii Perdana di Khemah Tarawih (Qaryah Ramadan) bertempat di Dataran Stadium," katanya di sini.

Sehingga kini seramai 200 anak yatim dan 200 fakir miskin yang tinggal di sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terletak dalam kawasan MPKB-BRI menerima sumbangan berkenaan.

Ropein berkata, pemilihan mereka yang layak untuk menerima sumbangan tersebut dibuat oleh penghulu kampung masing-masing sebelum nama mereka diserahkan kepada Dun.

Menurutnya setiap Dun dikehendaki menghantar 20 nama anak yatim dan fakir miskin kepada MPKB-BRI bagi tujuan berkenaan.

Dun terlibat iaitu Kijang, Chempaka, Panchor, Demit, Pasir Tumboh, Salor, Kota Lama, Bunut Payung dan Tanjung Mas.

Selain itu DIGI juga membelanjakan sebanyak RM100,000 bagi menyediakan khemah Tarawih yang berhawa dingin bagi memberi keselesaan kepada jemaah menunaikan solat Tarawih di Qaryah Ramadan.

MPKB-BRI turut mengalu-alukan sumbangan orang-ramai untuk menyumbangkan derma bagi menyemarakkan Program Ihya' Ramadan tahun ini.