Wednesday, December 3, 2008

PAS akan bertanding di Kuala Terengganu

sinar harian
Berita Nasional - 3hb Disember 2008 [Rabu]

Pas sah bertanding P36 Kuala Terengganu

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Md Isa mengesahkan parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan tidak lama lagi.

Nasaruddin berkata, pemilihan calon akan melalui proses biasa iaitu berdasarkan cadangan daripada peringkat cawangan, diperhalusi di peringkat bahagian sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Syura Jawatankuasa Pusat.

“Majlis mesyuarat Syura Jawatankuasa Pusat dijangka akan membuat keputusan akhir berhubung calon yang akan bertanding pada mesyuarat, 21 Disember ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.


Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada Jumaat lepas.

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lepas, Razali mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi. Mohamad memperolehi 31,934 undi manakala Razali 32,562 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof hanya 685 undi.

Ditanya sama ada Pas akan sekali lagi mempertaruhkan Mohamad sebagai calon di kawasan itu, Nasaruddin berkata, ia bergantung kepada cadangan daripada peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, katanya, rakan-rakan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyatakan persetujuan mereka untuk menyokong calon yang diletakkan oleh Pas. -BERNAMA

Derma untuk yang kurang bernasib baik sempena Aidiladha ini

HarakahDaily.Net

Misi 'Aidiladha' bantu 600,000 pelarian perang
Harakahdaily Wed Dec 03, 08 9:59:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Hrkh) - Rumah dibakar, tanah dirampas manakala kanak-kanak menjadi yatim piatu kerana kehilangan orang tersayang akibat peperangan yang berlaku di Wilayah Islam Mindanao, Filipina.

Angka pelarian perang di Cotabato, Marawi dan beberapa bandar lain di Mindanao sudah menjangkau 600,000 umat Islam sehingga menjadikan kehidupan mereka sangat daif dan memerlukan kepedulian masyarakat antarabangsa.

Atas rasa kemanusiaan dan keprihatinan untuk menghulur bantuan, sepasukan rombongan Yayasan Amal Malaysia (AMAL) akan berangkat ke Mindanao yang dianggotai 13 orang, terdiri daripada dua orang doktor, mahasiswa termasuk wakil daripada Harakah dan Harakahdaily Azamin Amin.

Mereka dijangka berada di wilayah tersebut bermula sehari sebelum Hari Raya Aidiladha pada 7 Disember sehingga 12 Disember depan.

Menurut ketua rombongan yang juga Presiden AMAL Husin Ismail 'Misi Kemanusiaan Qurban dan Perubatan' di Mindanao ini adalah bertujuan membantu dan meringankan beban saudara se-islam yang terdiri daripada kalangan warga tua dan kanak-kanak yang menjadi yatim piatu kerana ibu bapa menjadi mangsa korban perang.

Katanya peperangan kerap kali meletus berikutan perjanjian damai yang terbatal sejak 5 Ogos lalu untuk memberi kuasa autonomi dan wilayah kepada umat Islam di Mindanao.

"Hidup mereka sangat daif. Kita datang untuk melakukan Qurban untuk diagihkan kepada mangsa peperangan itu di samping mengadakan jamuan makan, memasak, program perubatan dan rumah anak yatim untuk mereka.

"Setakat ini dana yang dikumpul mencukupi untuk melakukan Korban sejumlah 37 ekor lembu dan 39 ekor kambing selain bantuan ubat-ubatan yang lain," katanya ketika dihubungi.

Husin berkata program rawatan kesihatan dan perubatan tersebut akan dikendali oleh dua orang doktor daripada pasukan AMAL, Dr Faizul Fazli dan Dr Shah Jehan dengan kerjasama doktor-doktor tempatan di sana dan akan turut dibantu oleh NGO utama iaitu Bangsamoro Development Agency (BDA)

"Masyarakat Islam Bangsamoro memerlukan bantuan doa, pakaian, ubat-ubatan dan makanan untuk meneruskan perjuangan menuntut hak mereka yang telah di rampas oleh Kerajaan Filipina.

"AMAL berharap lebih ramai rakyat Malaysia yang tampil untuk menghulurkan derma dan membuat Aqiqah untuk masyarakat di sana. Program kita tidak terhad untuk Aidiladha sahaja bahkan akan terus ada aktiviti susulan," katanya.

Untuk menderma atau maklumat lanjut boleh mengubungi Pegawai AMAL Muhammad Faiz Mohd Nor di talian 017-2488130 atau layarai laman web AMAL di www.amalmalaysia.net/v1/_

Bantuan banjir dari Unit Amal di Serambi Mekah

HarakahDaily.Net

155 anggota Unit Amal siap sedia bantu mangsa banjir

Rizal Tahir Mon Dec 01, 08 8:58:35 pm MYT

KOTA BHARU, 1 Dis (Hrkh) - Seramai 155 orang angota Unit Amal akan ditempatkan di setiap parlimen di seluruh Kelantan sebagai persiapan untuk menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di negeri itu.

Pengarah Unit Amal Negeri, Hafis Musa, ketika dihubungi memberitahu, bagaimanapun jumlah anggota itu akan ditambah bila-bila masa jika diperlukan mengikut keperluan.

"Setakat ini kami akan menempatkan setiap parlimen sekurang-kurangnya 10 orang anggota yang sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

Hafiz seterusnya berkata, memandangkan tugas unit tersebut begitu mencabar serta memerlukan kepakaran, baru-baru ini Unit Amal yang akan bertugas sewaktu banjir telah mengikuti latihan selama tiga hari dengan beberapa agensi kerajaan.

Selain itu, katanya Unit Amal juga akan menyediakan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan, bot dan kenderaan pacuan empat roda bagi memudahkan unit terbabit membuat rondaan dan menyelamat.

Sambungnya lagi, antara kerja-kerja menyelamat yang akan dilaksanakan seperti pemindahan mangsa banjir ke pusat perpindahan di samping menjaga keselamatan harta benda mereka ketika mangsa di pusat perpindahan.

"Dalam masa yang sama Unit Amal juga akan mengedarkan buku panduan dan doa untuk menghindarkan diri dari bala khususnya pada musim banjir," ujarnya.

Sementara itu, Unit Amal negeri kini dalam proses mengumpul dana bagi membantu mangsa banjir khususnya untuk menyediakan keperluan asas untuk mereka seperti selimut, tikar, makanan dan lain-lain keperluan yang penting.

"Dalam masa yang sama kami juga memerlukan bahan makanan, pakaian dan juga bekalan air bersih untuk diedarkan kepada mangsa-mangsa banjir selain sumbangan berbentuk kewangan," ujarnya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Pengarah Unit Amal Negeri, Hafis Musa di talian 019-9817327 dan Setiausaha Unit Amal Negeri, Muhamad Hanif Wan Ahmad di talian 013-9420123.

Manakala sumbangan wang tunai ataupun cek boleh di masukan ke akaun Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) di atas nama Jabatan Amal Kelantan, no akaun 03018010118457. - mns_

Banjir: Nasihat MP Kuala Krai

sinar harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah [3hb Disember (Rabu)]

Jaga kesihatan elak penyakit

KUALA KRAI – Orang ramai diingatkan, tidak menjadikan banjir sebagai suatu pesta keraian ‘bermain air’ dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka, agar tidak mendekati kawasan ber-kenaan.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md. Ramli berkata, sejak bertahun-tahun lalu, pengalaman sebelum ini menyaksikan banyak kes kecelakaan meragut nyawa akibat banjir di seluruh negeri.

Menurut Mohd Hatta, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka supaya tidak mendekati kawasan banjir.

“Walaupun ada sesetengah kawasan surut airnya, tetapi kita tidak tahu mengenai keadaan kawasan tersebut, sama ada mempunyai paya atau lopak dalam.

“Anak-anak leka untuk bermain di kawasan sekitar banjir perlu sentiasa diawasi untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Ada sesetengahnya asyik mencari atau menangkap ikan sewaktu musim begini.

“Kita tidak nampak bagaimana bentuk muka bumi yang ditenggelami air, silap perhitungan kita mungkin terjatuh ke dalam kawasan dalam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Mohd Hatta berkata, orang ramai juga perlu peka mengenai arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa untuk mengetahui berita dan maklumat terbaru mengenai kea-daan banjir.

Katanya, orang ramai perlu peka mengenai maklumat dan info daripada pihak berkuasa mengenai amaran banjir agar semuanya dapat dipersiapkan lebih awal.

Beliau berkata, dalam masa sama, amalan pemakanan juga perlu dijaga untuk mengelakkan jangkitan penyakit bawaan air kerana musim begini, penyakit berjangkit mudah berlaku.

“Minumlah air yang telah dimasak sepenuhnya agar kesihatan terjamin. Jangan memakan makanan yang mentah atau separuh masak kerana kita tak mahu apa yang disebat ‘sudah jatuh ditimpa tangga.’

“Sudahlah rumah ditenggelami air, ahli keluarga pula terpaksa dimasukkan ke hospital akibat menghidap penyakit berjangkit.

Semua ini perlu diambil kira untuk kesejahteraan anda sekeluarga,” kata beliau.