Tuesday, October 21, 2008

Speeches That Changed The World


Buku ini mengandungi lebih 50 ucapan atau kata-kata yang agung dari pelbagai era dan zaman di serata dunia. Speeches That Changed The World juga turut membincangkan secara terperinci biografi setiap penyampai di samping tujuan penyampaiannya dari segi sejarahnya yang memberi impak yang kuat serta kesan yang mendalam terhadap kehidupan semasa dan kini.

Apa yang menarik ingin penulis katakan di sini ialah ucapan-ucapan teratas yang disenaraikan oleh sejarawan ini diambil daripada ayat-ayat Al-Quran yang disampaikan oleh rasulullah serta ucapan para rasul (Nabi Musa dan Isa) walaupun mungkin sumbernya tidak jelas dan muktamad mengikut Islam.


Ayat-ayat agung yang disampaikan oleh rasulullah
(petikan Al-Quran Surah Al-Baqarah, Ayat 144-145, 147-150)
terkandung di mukasurat 17 dalam buku ini

Latarbelakang penulis;

Simon Sebag-Montefiore dilahirkan pada 1965 dan merupakan sejarawan/penulis British. Kebanyakan buku beliau tersenarai di dalam world bestsellers dan diterjemahkan di dalam 33 bahasa.

Perincian buku;

Speeches That Changed the World: The Stories and Transcripts of the Moments that Made History
By Simon Sebag Montefiore, Cambridge Editorial Partnership
Contributor Simon Sebag Montefiore
Published by Quercus, 2006
ISBN 1905204167, 9781905204168
224 pages

Jawapan Ketua Ulama PAS mengenai komen Ketua Penerangan Umno Terengganu

sinar harian
Selasa 21hb Oktober 2008 [Ruangan Nasional]

PR berkonsepkan pemerintahan bersama

AHMAD NURUL FAKHRI AHMAD RUSLI

KUALA TERENGGANU – “Kerjasama antara komponen Pakatan Rakyat (PR) untuk menubuhkan kerajaan baru adalah jelas dan ia mempunyai persefahaman ke arah yang begitu positif,” kata Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohamed Daud.

Menurutnya, tidak timbul soal siapa mempergunakan siapa dalam memastikan pembentukan kerajaan baru memandangkan PR sentiasa menekankan pendekatan bersama dalam merealisasikan perkara itu.

“Kita sememangnya akan menjalankan pemerintahan secara bersama. Kalau Ahli Parlimen tu ramai yang bukan Islam, kita mungkin tidak akan beri kerjasama. Kita sendiri akan kekal dengan pentadbiran Islam. Macam tu lah, jadi kita jelas dengan perjuangan ini.

“Tidak timbul soal sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempergunakan Pas dan juga parti pakatan yang lain. Kita bersama Pakatan Rakyat dan kerjasama itu yang kita perkukuhkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Zubir Embong yang mengatakan bahawa Pas dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah telah dipukau oleh Anwar apabila percaya kerajaan PR akan dibentuk pada atau selepas hari raya Aidiladha.

Zubir dipetik sebagai berkata, Pas dilihat seperti sudah diperbodohkan oleh Anwar kerana sanggup menaruh keyakinan terhadap angan-angan kosong Ketua Pembangkang itu.

Mengulas lanjut, Mohamed menyatakan bahawa Pas sememangnya jelas dengan dasar parti, dalam ucapan dasar Dewan Ulama serta Presiden parti pun menyebut supaya anggota parti perkukuhkan PR.

“Tugas kita menghancurkan Barisan Nasional (BN) dan yang lain itu kita kira semula. Sekarang ini tiada masalah besar yang dihadapi dalam PR. Ada sikit-sikit tu biasalah. Kita dengan isteri kita pun ada pergeseran sikit-sikit. Itu biasalah.

“Masalah yang dihadapi itu kita terus selesai. Hal itu tidak akan jadi masalah. Tubuh kerajaan ni, kalau jadi, Insya-Allah lah. Siapa yang menjadi menteri yang menjawat jawatan itu, kena bincang selepas ditubuhkanlah,” katanya.

Titah Tuanku di DUN Kelantan

Berita TV3 malam tadi ada memaparkan sedikit sedutan titah Tuanku Sultan Kelantan dan membuat analisis yang jelas cuba menyalahkan sepenuhnya kerajaan negeri seolah-olah kelemahan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini adalah disebabkan kelemahan kerajaan negeri.

Namun begitu, jika diamati laporan di bawah, berlainan pula gambarannya. Sama-samalha kita fikirkannya.

__________________________________________

HarakahDaily.Net

Sultan tegur kerajaan pusat lambatkan projek pembangunan di Kelantan
.
Salmah Mat Husain I Foto Rizal Tahir Mon Oct 20, 08 6:52:21 pm MYT

KOTA BHARU, 20 Okt (Hrkh) - Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa projek kerajaan Persekutuan yang belum dilaksanakan di Kelantan.



Antaranya pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang mana sehingga hanya mencapai kemajuan 10 peratus, biar pun perletakan batu asas sudah lebih setahun berlalu.

Oleh itu baginda mahu kerajaan pusat mempergiatkan semua projek pembangunan dalam rancangan Malaysia Ke-9 memandangkan pelaksanaannya begitu perlahan.

"Bahkan ada di antaranya masih belum dimulakan pembinaannya," titah baginda ketika merasmikan majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan yang Ke-12 di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis perasmian itu Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Sebelum ini ketibaan baginda disambut Speaker Dewan Undangan Negeri, Ustaz Nasurudin Daud, Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Baginda juga memeriksaan perbarisan anggota pasukan Gerak Am dari Batalion ke-8, Pengkalan Chepa.

Titah baginda projek-projek lain yang dalam pelaksanaan seperti pembinaan kampus utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli juga perlu diambil perhatian.

"Oleh yang demikian beta menyeru agensi yang terlibat memantau pelaksanaan projek yang dirancang supaya berjalan mengikut jadual.

"Beta juga mendapat maklum Kelantan adalah di antara negeri yang disenaraikan dengan projek hub halal dalam RMK-9 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17 juta, bagaimanapun ia juga belum dilaksanakan," titah baginda.

Sehubungan itu baginda menyarankan kerajaan negeri memberi penekanan ke atas pelaksanaan hub halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal di negeri ini.

Baginda turut menyarankan kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu - Kuala Krai dan pelebaran jalan Gua Musang - Kuala Lipis.

Menurutnya pembangunan tersebut begitu penting bagi memastikan segala program yang dirancang di bawah Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Tumur (ECER) berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.

Tambahnya dalam pelan induk ECER, kerajaan pusat telah merancang untuk melaksanakan sebanyak 53 projek utama di Kelantan.

Bagaimanapun baginda mempertikaikan mengapa pelabuhan tidak disenaraikan sebagai salah satu projek infrustruktur di bawah ECER walaupun kerajaan negeri telah meluluskan tiga projek pelabuhan.



"Beta berharap kerajaan pusat boleh memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya bagi menjayakan projek ini kerana ia boleh memberi impak yang besar kepada pembangunan ekonomi Kelantan pada masa akan datang," titah baginda.

Tok Guru menghadapi masalah kesihatan

BERNAMA.COM

Selasa Oktober 21, 2008

Nik Aziz sedang dirawat, tidak dapat hadir majlis perasmian sidang DUN

KOTA BAHARU: Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian tidak dapat menghadiri majlis perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri kali ketiga bagi penggal pertama tahun ini yang berlangsung selama seminggu mulai semalam.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata Nik Aziz telah dinasihatkan oleh pakar perubatan HUSM agar berehat beberapa hari lagi.

"Doktor telah menasihatkan Menteri Besar supaya berehat di hospital untuk sehari dua lagi dan InsyaAllah bila benar-benar sihat, beliau akan kembali menghadiri persidangan Dewan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Ahmad berkata Nik Aziz dimasukkan ke HUSM sejak semalam dan keadaannya dilapor tidak membimbangkan.

Beliau merasa tidak sihat selepas turut mengadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke215 di Kuala Terengganu, selama dua hari yang berakhir Khamis lepas.


Ahmad berkata jika keadaan kesihatan Nik Aziz bertambah baik, Menteri Besar itu dijangka dapat membentangkan Bajet Negeri 2009 di persidangan Dewan nanti.

Nik Aziz, 77, yang juga Mursyidul Am PAS pernah dirawat di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 2004 berikutan masalah jantung dan juga pernah dirawat kerana masalah gastrik dan tekanan darah tinggi.

Kenyataan terbaru Tok Guru tentang peralihan kuasa

mStarOnline

Rabu Oktober 15, 2008

Nik Aziz yakin tubuh kerajaan baru pusat, Pakatan setuju pilih Anwar

Oleh G. MANIMARAN

KOTA BAHRU: Murysidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang mengetuai Kelantan sejak 1990, masih yakin Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat sambil menekankan bahawa pihaknya akan tetap memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Keputusan memilih Anwar jika pembangkang berkuasa di peringkat persekutuan, kata Nik Aziz, sudah lama dipersetujui oleh pembangkang.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pembangkang telah memutuskan demikian semasa pihaknya bersetuju untuk mewujudkan barisan alternatif sembilan tahun lalu.

"Cerita Anwar (dipilih sebagai Perdana Menteri) sudah lama... belum pada ini kita ada APU (Angkatan Perpaduan Ummah), lepas itu Barisan Alternatif, masa kita buat (bentuk) BA, kita dah buat keputusan, Perdana Menterinya Anwar... bukan cerita baru," kata beliau ketika ditemui di kediaman beliau di sini baru-baru ini.

Barisan alternatif dibentuk oleh pembangkang ketika menghadapi pilihan raya umum 1999 dan 2004.

Selepas pilihan raya umum Mac lalu pihaknya menamakan ikatan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat.

Nama itu diumumkan pada 1 April lalu dengan menyasarkan 16 September bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.

Bagaimanapun pada tarikh tersebut kerajaan baru tidak dibentuk, sebaliknya Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat meminta diadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah Anwar juga meminta supaya diadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan sokongan anggota Dewan Rakyat pada 23 September lalu.

Kedua-dua permintaan itu telah ditolak oleh Abdulllah.

Ketika ditanya tentang peluang dan kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat, Nik Aziz berkata: "Kami mesti ambil alih kecuali dia (kerajaan) kacau, diguna ISA, ditangkap, itu lainlah."

Tambah beliau, jika demokrasi dilaksana dengan sepenuhnya, sudah lama Umno digantikan dengan kerajaan baru.

"Kami yakin, syaratnya demokrasi diberi peluang penuh, tiada gangguan ISA, tiada ditangkap, kecuali dia ditangkap macam komunis," katanya.

Apabila ditanya mengenai perbezaan pandangan dan tidak puas hati dalam isu pembentukan kerajaan oleh Pakatan Rakyat dan diketuai Anwar jika menjadi, Nik Aziz berkata, masalah itu tidak wujud secara keseluruhan.

Cuma, jelas Nik Aziz, wujud sedikit perasaan ragu-ragu memandangkan Anwar dituduh kerana dituduh liwat sedangkan mahkamah sudah lepaskan beliau.

Anwar, kini Ketua Pembangkang di Parlimen, pernah berhadapan dengan kes liwat 10 tahun lalu tetapi dibebaskan dan berhadapan dengan tuduhan buat kali kedua Ogos lalu.