Wednesday, October 1, 2008

Aidilfitri: 1 Syawal di kampung halaman


Kampung Guchil, Kuala Krai
1hb Oktober 2008/1 Syawal 1429

Masjid Lama Guchil Tengah (Markaz ABIM)
07:45 - 09:20 pagi

Memandangkan kerja-kerja menaiktaraf Masjid Besar Guchil masih belum siap (majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak beberapa hari sebelum pilihanraya umum 2008 yang lalu), penduduk mukim Guchil terpaksa bersesak-sesak memenuhi masjid lama yang terlalu sempit bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.


Jemaah memenuhi kawasan luar masjid


Pihak masjid juga terpaksa menutup jalan berhampiran bagi menyediakan ruang solat di luar kawasan masjid.
.

Para jemaah berpusu-pusu masuk ke kawasan masjid


Takbir raya berakhir tepat jam 8:20 pagi dan Imam Besar Masjid Guchil turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan beberapa pengumuman sebelum solat sunat dilaksanakan.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana cuaca pagi ini cukup baik dan jemaah dapat menmpukan sepenuh perhatian kepada ibadat tanpa memikirkan kalau-kalau hujan turun dan menyebabkan pakaian baru hari raya mereka basah.



Jemaah selesai menjalani ibadah solat


Solat Aidilfitri berakhir kira-kira jam 9:20 pagi dan para jemaah mengambil peluang untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama mereka.


Jemaah bersalam-salaman


Bergambar dengan saudara lelaki


Lot 191, Guchil 3
09:25 - 09:45 pagi

Kami sekeluarga sempat berkumpul dan bermaafan di samping bergambar kenangan bersama di teratak kami ini.


Kami sekeluarga


Lot 189, Guchil 3
09:50 - 10:30 pagi

Keluarga kami dijemput oleh jiran yang paling hampir untuk menikmati juadah pagi raya ini. Sahabat handai juga turut hadir di rumah Hj Abdullah dan Hjh Wan Som.


Suasana di ruma jiran



Sekitar kampung Guchil
11:00 - 12:30 tengahari

Aku dan sahabat sempat meluangkan masa melawat beberapa rumah sahabat yang tidak bernasib baik menjelag hari raya ini (mereka yang terbabit dengan kemalangan di jalanraya atau tempat kerja).

Akhir kata, selamat menyambut hari lebaran yang mulia ini.

Ikhlas dari;

Kami sekeluarga
Lot 191 Guchil 3
Kuala Krai

Aidilfitri: Perutusan Anwar Ibrahim


Perutusan Eidulfitri 1429 Hijrah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Saya, mewakili keluarga dan segenap lapisan kepimpinan & akar umbi Parti Keadilan Rakyat ingin mengucapkan Salam Eidulfitri kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Ramadhan kini menghampiri penghujung, Syawal bakal menjelang tiba. Umat Islam selepas menunaikan ibadat puasa di bulan yang mulia ini pastinya menyambut kedatangan bulan Syawal dengan rasa penuh kesyukuran.

Bulan Ramadhan ini, sebagaimana yang diulaskan oleh para ulama, adalah madrasah terbaik buat melatih serta mendidik kita umat Islam agar berani dan yakin mendepani segala cabaran yang mendatang.

Ramadhan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki dan memperkukuhkan kekuatan ruh serta jiwa.

Ini kerana jiwa dan ruh yang membentuk manusia, seperti yang diungkapkan oleh Abul Fath al-Busti:
Perhatikan jiwamu, dan sempurnakan,
Kamu insan kerana jiwa, bukan kerana jasad.

Ramadhan pastinya mengingatkan kita akan kisah Pembukaan Kota Mekah(Fath Mekah). Kejayaan Rasulullah S.A.W yang didokong para sahabat baginda wajar menjadi teladan.

Kejayaan tersebut sudah tentu tidak datang sekelip mata. Dua tahun sebelum kejayaan membuka Kota Mekah, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyyah telah dimeterai di antara Rasulullah S.A.W dengan wakil kaum Quraisy.

Tidak sedikit yang merasa ragu dengan perjanjian tersebut. Namun ternyata ada hikmahnya di sebalik kesediaan dan kesabaran Rasulullah S.A.W di dalam menerima perjanjian tersebut.

Rupa-rupanya ‘jalan kemenangan sudah jelas nyata.’ Selepas sahaja termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah, maka turunlah firman Allah S.W.T yang berbunyi:

Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.

Ayat ini menghilangkan keraguan umat Islam serta memperkuatkan lagi azam mereka bagi memastikan seruan untuk melakukan islah terlaksana.

Rakan-rakan sekalian,

Ketakwaan yang diadun bersama kesabaran dan kebijaksanaan adalah kunci utama untuk mengecap kejayaan. Janganlah keyakinan kita digugat tatkala kejayaan sudah hampir. Saya menyeru pencinta kebenaran agar perkukuhkan tekad perjuangan. Ingatlah anjuran Al Quran yang berbunyi:

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Perubahan yang ingin kita laksanakan bertapak di atas bongkah-bongkah yang kukuh, jauh sekali dari retorik kosong yang berasaskan kebencian dan persengketaan. Kita harus menyedari negara Malaysia bukannya ekabudaya. Kita harus memastikan negara ini tidak ditelan api asabiyyah dan karam dengan sikap taksub melulu. Ingatlah “siapa yang menyemai angin akan menuai badai.”

Sering saya ulangi pemerkasaan ekonomi tidak akan berjaya selagi mana kemajuan dan pembangunan didorong oleh nafsu serta tamak yang bukan kepalang. Pertumbuhan ekonomi dan kekayaan harus difahami dan dimaknai dengan pengertian yang lebih luas.

Kekayaan tidak boleh berlegar di kalangan segelintir sahaja, ianya harus menjadi pendorong untuk membebaskan masyarakat dari penindasan dan kezaliman. Inilah yang kita tegaskan sebagai ekonomi yang manusiawi.

Ekonomi yang dibangun di atas prinsip insan sebagai makhluk bermoral dan berakhlak, bukannya semata-mata homo economicus; yang hanya memburu kepentingan diri sendiri.

Rakan-rakan sekalian,

Syawal yang bakal menjelang pastinya disambut meriah oleh semua. Pun begitu hendaklah kita sentiasa wasatiyah dalam pendekatan, yakni bersederhana tanpa meminggirkan mereka yang tidak berkemampuan. Syawal adalah bulan kemenangan, bulan memupuk ukhuwah.

Kemenangan mengharungi Ramadhan dirai dengan jalinan ukhuwah yang utuh sesama ummah.

Kemenangan ini bukan sekadar melawan hawa nafsu sepanjang Ramadhan, sebaliknya diterjemahkan jua sebagai kemenangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

InshaAllah kemenangan yang diredhai menjadi milik kita pastinya, sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Quran,”ibarat pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit (Ayat 24, Surah Ibrahim)”

Salam Eidulfitri 1429 Hijrah.

Minal ‘aidil wal faiziin.

Maaf zahir dan batin.
.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti
Keadilan Rakyat

Salam Aidilfitri dari Husam Musa