Thursday, October 9, 2008

Aidilfitri: Tazkirah Tok Guru

HarakahDaily.Net

Rebut pahala di hari raya

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sun Oct 05, 08 11:03:21 am MYT

Maksud firman Allah: "Kamu semua wahai orang mu'min diminta menyempurnakan bilangan puasa sebulan dan kamu juga diminta bertakbir kepada Allah (berhari raya) kerana Allah beri kepada kamu hidayat." (al-Baqarah: 185)

Setelah kita berpuasa, bertarawih, berqiamullail, bersedekah, berzikir sepanjang Ramadan, Allah menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar. Allahu Akbar maknanya kita kata dengan lidah sendiri bahawa "Allah yang terbesar".

Manakala yang lainnya ialah yang paling kecil yang mesti dipinggirkan bila bertembung dengan kehendak Allah. Betulkah pengakuan Allahu Akbar yang selalu kita sebutkan dalam azan, sembahyang dan laungan tertentu bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Agung atau hanya kita sebutkannya dengan lidah sebagai satu tradisi saja?

Hari Raya bukan tradisi ciptaan orang Melayu, bukan juga tradisi ciptaan orang Arab. Ia adalah kehendak agama. Islam minta kita bersukaria, yang kita panggil berhari raya.

Anak kecil, orang tua, orang sakit dan juga orang sihat, semuanya berasa seronok bila disebut hari raya. Kita kena faham, berhari raya itu sendiri adalah ibadah dan boleh pahala.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Bila Allah Taala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut rukunnya.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki Allah.

Tak boleh dengan sebab kita berhari raya, maka kita meneguk minuman yang memabukkan kerana berseronok misalnya.

Tak boleh berjudi, tak boleh pergi ke tempat yang bercanggah dengan konsep hari raya menurut Islam.
.

Dalam berhari raya, memang menjadi satu fitrah manusia suka berseronok, tapi mestilah mengikut peraturannya.

Sebab itu, dalam jadual hari raya, kita diminta mandi dengan niat mandi sunat hari raya sebelum pergi ke masjid. Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang suci.

Tapi bila kita niat bahawa mandi itu adalah mandi hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah nak cari duit, nak cari harta. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah duit, 'mata wang' yang sangat berguna bila kita masuk ke dalam kubur.

Bila kita masuk ke dalam kubur, kita tidak mati seratus peratus, yang mati hanya tubuh. Dalam jisim kita ada roh.

"Dialah Tuhan yang telah meniup masuk ke dalam tubuh manusia rohnya". (maksud as-Sajdah: 9)

Allah Taala tiupkan masuk ke dalam tubuh manusia roh. Walaupun semua benda lain datang daripada Allah belaka, tapi oleh kerana roh ni benda mulia, maka Allah sandarkan roh kepada Dia sendiri.

Jadi, sebagaimana Allah tak mati-mati, kekal abadi, maka roh juga tak mati. Yang mati hanyalah tubuh.

Sebagaimana tubuh atas dunia ni berkehendak kepada makan minum, maka roh juga berkehendak kepada makan minum. Untuk makan minum di dunia ini kita terpaksa guna duit untuk beli beras, petrol, bayar sewa rumah.

Tapi duit tidak laku lagi bila saja kita masuk ke dalam kubur. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Jadi, bila ada orang bercakap mengenai pahala, pahala, pahala, jangan buat main. Satu daripada cara kita mendapat pahala ialah selain daripada puasa, bertadarus, bertarawih ialah kita berhari raya. Di hari raya kita diminta khusus memakai pakaian cantik.

Seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa asalkan bersih.

Kita dapat pahala. Dan kita bawa anak-anak ke masjid, ke surau atau ke musalla. Saya sudah berusaha bertahun-tahun nak mengerjakan sembahyang hari raya bukan di masjid.

Kalau boleh, di padang yang luas seperti padang bola. Tapi dengan sebab iklim negeri Kelantan ini, kalau tak ada hujan pun ada air embun menyebabkan tak boleh dibuat di padang.


Sepatutnya kita mengerjakan sembahyang hari raya di tempat yang luas, lapang.

Tapi ada halangan iklim. Sembahyang raya baik Aidilfitri ada bacaannya sepertimana dibaca Rasulullah s.a.w.

Sembahyang Hari Raya Korban pun ada bacaannya. Dalam sembahyang Aidilfitri, Rasulullah membaca surah Qaaf dalam rakaat pertama dan surah al-Qamar dalam rakaat kedua.

Kedua-dua surah ini menyentuh tentang kiamat. Kita dalam keadaan seronok, maka nabi kita baca tentang kiamat. Segala nikmat dunia ini akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa yang hidup di dunia ini kena dengan kehendak al-Quran akan masuk syurga. Tak kena dengan kehendak al-Quran, baik masalah politik, rumah tangga dan sebagainya akan masuk neraka.

Jadi, kedua-dua surah ini akan jadi sebagai brek supaya kita tidak terlajak sangat dengan semangat bersukaria dan gelak ketawa pada Hari Raya kerana di depan kita ada pembalasan.

Di kiri kanan kita ada malaikat yang menulis. Allah pula Maha Tahu semua sekali. Begitu juga bacaan sembahyang raya korban juga menceritakan tentang urusan kiamat, kiamat, kiamat. Itu akan menyebabkan manusia hidup penuh berhati-hati.

"Kamu diminta bertakbir di hari raya kerana Allah berikan kepada kamu hidayat." Hidayat ialah Quran. Al-Quran adalah hidayat.

"Sebagai petunjuk untuk manusia seluruhnya". Saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Kelantan dan Malaysia tak kira Melayu, Cina, India dan sebagainya. Dan tolong berhati-hati kerana anak-anak kecil suka bermain mercun menyebabkan ada yang putus jari, buta dan melecur. Ini bukan cara orang Islam menyambut raya.

Begitu juga masalah jalan raya. Sekarang zaman orang nak cepat. Naik motokar dan motosikal nak cepat, yang menyebabkan banyak berlaku kemalangan maut.

Maka tolonglah jaga supaya hari raya tahun ini benar-benar menenangkan hati dan tidak menimbulkan masalah dalam masyarakat khasnya keluarga kita sendiri. Mudah-mudahan kita dianugerahkan oleh Allah kesejahteraan dunia dan akhirat.

Allaahu Akbar! Walillaahil Hamd.

Kemelut dalaman PAS dari kacamata malaysiakini

malaysiakini

Konflik pemimpin PAS cetus 'reaksi berlebihan' penyokong

Jimadie Shah Othman Oct 9, 08 3:21pm

Pertemuan besar kepimpinan tertinggi PAS bulan depan tidak boleh ditangguh lagi bagi membendung tanggapan negatif penyokong terhadap parti itu yang “terlalu berlebihan”, kata PAS Perak.

"Walaupun perselisihan itu pada asalnya tidaklah sebesar mana, tetapi di kalangan penyokong, sampai ada yang datang bertanya betulkah (pengarah pilihanrayanya) Datuk Mustafa (Ali) hendak masuk Umno," kata pesuruhjayanya Ahmad Awang.

"Tanggapan orang ramai sudah terlalu berlebihan."Ahmad merujuk pertembungan terbuka dalam kalangan pemimpin atasan parti itu berhubung pelbagai isu seperti kerjasama dalam Pakatan Rakyat, rundingan sulit dengan Umno dan pendirian tentang peralihan kuasa yang diusahakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua anggota jawatankuasa pusat PAS dan Majlis Syura Ulama dijangka bertemu di Langkawi antara 7 hingga 9 November bagi meredakan pertembungan tersebut.

Permukiman itu dilaporkan bertujuan "menyatukan fikrah pemimpin PAS kembali.

"Beberapa kertas kerja dijadual dibentangkan pemimpin PAS, termasuk ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar Ogos lalu.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad berkata, keperluan menyegerakan pertemuan besar itu ditegaskan kembali dalam mesyuarat biro politik PAS, Ahad lalu.Beliau, yang menganggotai biro penting itu, bagaimanapun tidak hadir.

Katanya, permukiman itu "amalan biasa PAS" setiap kali selepas muktamar tahunan dan kali ini ia dijangka bertujuan memfokuskan usaha mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat seperti yang diputuskan di Ipoh, Ogos lalu.

Selain itu, tambahnya, ucapan dasar presiden akan dikupas lebih mendalam.

Dalam muktamar lalu, pertembungan dalaman PAS tergambar apabila perbahasan isu rundingan dengan Umno menjadi "agak gawat", katanya.

Menurut Ahmad lagi, pertembungan yang bermula sejak beberapa bulan sebelum itu telah menyebabkan "ada pemimpin yang jauh hati".

Diminta mengulas perdebatan terbuka antara pemimpin dan penyokong parti itu di Internet yang semakin leluasa, beliau berkata:"Masih ada kekeliruan di peringkat parti. Maklumlah zaman ini zaman media, masing-masing boleh tulis macam-macam.

"Pertembungan terbuka itu, menurutnya lagi masih boleh diterima dengan syarat mesti ada panduan, adab-adab dan menghormati wala' (kesetiaan kepada pemimpin).

Perkara ini berbeza di peringkat Perak yang harmoni dan sepakat, katanya.

Sementara PAS Perlis pula berkata, pertemuan besar barisan tertinggi PAS itu susulan kegagalan mereka merumuskan pendirian berhubung kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat dalam mesyuarat jawatankuasa pusat yang lepas.

Akibat mesyuarat itu terlalu suntuk untuk membahaskan bentuk kerjasama PAS dengan PKR dan DAP, maka dicadangkan satu pertemuan khusus selama beberapa hari, kata pesuruhjayanya Hashim Jasin.

Di Perlis, tambahnya, isu kerjasama PAS dalam gabungan pembangkang "tidak serius" berbanding rundingan tertutup parti itu dengan Umno yang meledak pertengahan tahun ini.

Mengulas perdebatan terbuka yang rancak di Internet, wakil rakyat Sanglang berkata, perkara itu "tidak bagus" dan "seelok-eloknya tidak patut terbuka".

Bagaimanapun, katanya, dari aspek yang lain, ia dapat "mematangkan kepimpinan" sedia ada.Beliau juga tidak menafikan pertembungan ini akan mewujudkan beberapa kem menjelang pemilihan parti itu tahun depan.

"(Hakikat) itu tidak boleh lari. Seeloknya jangan ada kempen-kempen. Boleh bagi pandangan tetapi jangan sampai jadi adik kepada Umno (ikut cara kempen pemilihan Umno)," katanya.

Rumah terbuka Anwar

http://anwaribrahimblog.com

Tarikh: 11 Oktober 2008 (Sabtu)
Masa: 10 pagi-2 petang
Tempat: Cherok To’ Kun (Kediaman Keluarga DSAI)
Masa: 3 petang
Tempat: Perkarangan Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir.

Aktiviti: Jamuan Perdana yang dihadiri Tuan Guru Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta rombongan dari Kelantan.

Pengumuman Pak Lah: Apa kata Presiden PAS

HarakahDaily.Net

Jangan jejaskan negara - Presiden PAS

Wan Nordin Wan Yaacob Thu Oct 09, 08 2:58:35 pm MYT

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Hrkh) - PAS mengikuti dengan penuh teliti perkembangan terbaru yang melibatkan kedudukan Presiden Umno yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Walau bagaimanapun PAS menganggap bahawa keputusan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam Perhimpunan Agung Umno Mac depan lebih sebagai suatu masalah dalaman bagi parti tersebut.

Demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily hari ini.

"Saya berharap agar dalam tempoh peralihan ini Perdana Menteri akan berjaya melaksanakan inisiatif-inisiatif memperkukuhkan institusi negara yang sedang diusahakannya itu iaitu menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang diberi mandat dalam pelantikan hakim, membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di Parlimen dan menubuhkan Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan," katanya.

Di samping itu, inisiatif untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial agar rakyat yang miskin dapat dibantu juga ditunggu-tunggu, katanya.

Sekurang-kurangnya dengan terlaksananya inisiatif-inisiatif ini beliau akan berjaya meninggalkan jasa yang boleh dikenang oleh rakyat dan negara, katanya.

Presiden PAS juga berharap Perdana Menteri tidak membiarkan masalah-masalah ini berlarutan sehingga diwarisi pula oleh sesiapa juga pewarisnya nanti.

PAS berharap agar proses peralihan kuasa ini akan berjalan dalam suasana yang baik dan lancar tanpa menjejaskan kestabilan negara dan ketenteraman rakyat, ujarnya.

Semalam, Abdullah ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN memberitahu beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib sejurus beliau terpilih secara rasmi sebagai Presiden Umno kelak.

"Saya harap Dato' Seri Najib... anda tahu mengapa saya kata 'harap'? Sebab beliau perlu bertanding dalam pemilihan dahulu.

"Beliau perlu tanding dalam pemilihan sebagai Presiden UMNO dahulu, tapi saya percaya beliau boleh lakukannya...saya harap beliau jadi Presiden," katanya.

Perdana Menteri menegaskan keputusannya tak mempertahankan jawatan itu adalah muktamad.

Beliau juga menolak anggapan didesak untuk mengambil keputusan berkenaan.

Komen Tok Guru mengenai pengunduran Pak Lah

sinar harian
Edisi Kelantan - 9hb Oktober 2008 [Khamis]

Kenapa lepas jawatan kalau tidak bersalah :: Nik Aziz

PASIR PUTEH - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempersoalkan untuk apa Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan sekiranya beliau tidak melakukan kesalahan dalam pentadbiran.

Menurut Nik Aziz, Perdana Menteri sepatutnya meminta bukti apa kesalahan yang dilakukannya sehingga timbul desakan agar dia berundur.

“Kalau dia (Pak Lah) yakin dia betul, kenapa mesti melepaskan jawatan dan kalau dia rasa dia bersalah, kenapa mesti menangguhkannya, berhenti saja dan tak perlu tangguh,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah yang tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti Mac tahun depan dan melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu diumumkan Abdullah semalam selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Nik Aziz menambah, beliau pernah didesak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar tetapi pihak yang mendesak gagal mengemukakan bukti kesalahannya sehingga orang yang mendesak ‘tersembam’ kerana tidak mendapat kepercayaan rakyat.

“Saya pernah didesak dengan begitu hebat oleh Pengerusi UMNO negeri ini agar meletakkan jawatan, saya teruskan juga kerana saya yakin saya betul dan terbukti, Pas semakin mendapat sambutan.

“Kalau saya jadi PM, saya akan minta bukti kenapa saya mesti melepaskan jawatan dan kalau terbukti saya bersalah, saya akan berhenti, buat apa nak kumpul dosa,” katanya ketika hadir pada majlis Perasmian dan Hari Terbuka Aidilfitri Baitul Taubah, Jeram Pasu dekat sini.

Bersempena dengan perasmian tersebut, Nik Aziz melepaskan anak ikan keli di kolam buatan dalam kawasan Baitul Taubah sebagai memberi peluang kepada Anak-Anak Bina di pusat rawatan penagihan dada menggunakan kaedah Islam itu berjinak-jinak dengan kerja-kerja pertanian.