Thursday, October 2, 2008

Perutusan Eidulfitri 1429 Tok Guru Presiden


buletinonline.blogspot

Sabtu, 2008 September 27

Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Hari gembira dan penuh berkat kurnia dari Allah SWT. Setelah kita menunai ibadat puasa Ramadan dengan menyelami serta mengambil berkat dan fadhilat bulan Ramadan, dengan membentuk peribadi muslim supaya menjadi orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT.

Dalam masa yang sama mengingatkan kita dengan hari-hari kemenangan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala dalam bulan Ramadan. Dalam perjalanan umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW dan selepasnya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa bulan Ramadan adalah bulan ‘membina kekuatan’ roh dan jasad. Membina kekuatan imam dan peribadi muslim yang merupakan anggota kepada kumpulan umat Islam yang besar.

Sepatutnya, kita meninggalkan Ramadan dan menyambut hari raya telah mengingatkan kita kepada kemenangan itu dan punca-punca kemenangan. Apa lagi di hari yang mulia ini kita bertakbir mengagung dan membesarkan Allah SWT. Memperingati kemenangan umat Islam dalam menghadapi golongan Ahzab. Kumpulan gabungan kabilah-kabilah yang menganut berbagai-bagai agama dan ajaran untuk menentang Islam. Berakhir dengan Allah SWT membinasakan kumpulan-kumpulan musuh itu.

Kita ulangi peristiwa itu, ketika kita menyambut hari raya yang mulia ini. Untuk mengingatkan kita bahawa kejayaan dan kekuatan umat. Sejauh mana umat ini berpegang dengan al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan, menghayati dan beramal dengannya. Sebagaimana yang diamal oleh Rasulullah SAW.

Di hari yang mulia kita bergembira ini jangan melalai dan melekakan kita. Kita hendaklah menjadi orang-orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur di atas segala nikmat yang diberi kepada kita yang tidak terhitung banyaknya. Nikmat yang paling besar ialah nikmat Islam. Pemberian yang paling mahal yang tidak mampu kita menilainya.

Pemberian daripada Allah SWT, Tuhan yang kita yakini tidak ada Tuhan melainkan Dia sahaja. Mestilah keyakinan itu melahirkan perangai-perangai dan akhlak-akhlak serta amalan-amalan mengikut petunjuk yang terkandung dalam al-Quran dan cara amalannya diajar oleh Nabi Muhamad SAW.

Marilah kita melakukan muhasabah apa yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia dalam keadaan porak-peranda, mengalami penyakit politik, penyakit ekonomi dan penyakit sosial. Puncanya tidak lain dan tidak bukan kerana kita meninggalkan petunjuk yang terkandung dalam al-Quran.

Kita wajib melakukan perubahan. Sebarang perubahan dan pembaharuan yang dilakukan oleh umat Islam mestilah mengikut petunjuk yang ada dalam al-Quran itu sendiri. Sebagaimana yang disebut oleh Saidina Umar Ibnu Khatab r.a bermaksud “Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam.

Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam, nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah SWT”. Dengan menyuburkan iman yang ada di dalam diri masing-masing dan di atas iman itulah kita bina segala amalan kita.

Amalan jasad dan roh kita melalui individu masing-masing, mengeratkan ukhuwwah di kalangan umat Islam yang berlandaskan kepada iman serta mewujudkan golongan Islam dan kumpulan Islam yang mampu memimpin umat, memimpin manusia mengikut petunjuk Allah SWT, kerana Allah Taala menjanjikan dalam al-Quran dengan maksudnya,

”Allah berjanji, kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di kalangan kamu bahawa Allah akan mengurniakan di kalangan mereka menjadi golongan yang memerintah, yang berkuasa di atas muka bumi ini. Mereka menukar keadaan yang dialami oleh manusia dalam ketakutan kepada keamanan. Apabila mereka menjadikan agama Islam itu agama yang berdaulat dan memerintah. Mereka mengabdikan diri kepada Aku (Allah) dalam keadaan mereka tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu, mereka itulah orang-orang yang fasik”.

Di mana Allah SWT melafazkan dengan firmannya janji kemenangan dengan syarat. Syaratnya, orang-orang yang beriman itu benar-benar beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagaimana yang ditunjuk oleh Allah SWT, tidak syak lagi sebagaimana yang ada dalam al-Quran.

Oleh kerana itu, umat Islam wajib membina diri mereka sendiri dengan ajaran agama mereka di atas dasar iman dan amal yang soleh yang ditunjuk oleh Allah SWT sehingga mereka memenuhi ciri-ciri kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Selepas itu tidak syak lagi, Allah Taala akan memberi kemenangan kepada umat Islam. Hanya kemenangan Islam sahaja yang mampu menyelamatkan seluruh manusia bukan sahaja umat Islam termasuklah orang-orang yang bukan Islam.

Marilah dengan bangga dan megah, dengan rasa syukur kepada Allah SWT di atas nikmat ini. Kita bangun untuk menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, untuk menyelamatkan umat Islam yang berada dalam keadaan yang ‘berpenyakit’ supaya umat Islam menjadi contoh untuk menyelamatkan manusia seluruhnya yang tenggelam di dalam jahiliah.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja dengan pakaian-pakaian yang baru tetapi mestilah juga dengan semangat baru setelah kita membentuk peribadi kita sebulan bulan Ramadan. Kita menghayati bulan Ramadan dengan ibadat puasa, menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT, bertadarus al-Quran, membaharukan iman, ilmu dan pengetahuan kita dan seterusnya meningkatkan lagi amal kita sehingga kita mencapai janji Allah SWT yang tersebut.

Akhirnya, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan marilah di hari gembira bulan kurnia Allah ini, kita mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan Islam yang mengikat kita.

Dan itulah ikatan yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat dan jadikan Islam dihadapan kita yang memandu setiap perjalanan dan tindak-tanduk kita, kerana itulah satu-satunya jalan yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Allahu Akbar, waliLlahilham.


Presiden PAS,
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
21 September 2008 pada jam 3.00 petang

Perutusan Eidulfitri 1429 dari Mursyidul Am


HarakahDaily.Net

Semua manusia adik-beradik - Mursyidul Am

Abdul Aziz Mustafa Wed Oct 01, 08 11:03:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya sempena Eidulfitri.

"Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam.

"Sumber hidup keseluruhan ini adalah anugerah Allah s.w.t. Ia tidak dapat dijual dan tidak dapat dibeli," kata Menteri Besar Kelantan itu.

Begitu juga, kata beliau, dengan pelbagai bulan di dalam taqwim di mana dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup manusia sarat dengan perhambaan kepada Allah s.w.t.

"Sebenarnya, baik dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup kita ini sarat dengan pelbagai aktiviti perhambaan. Kita mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap keadaan.

"Menyambut Hari Raya pun adalah merupakan ajaran agama. Makan minum, berpakaian cantik, suka-ria di hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha; semuanya itu adalah ajaran agama.

"Teriak tangis di waktu dinihari, sedu-sedan sebelum subuh meminta diampunkan segala dosa, diselamatkan dari godaan nafsu dan sabar menghadapi segala karenah manusia baik mukmin, fasik, kufur dan lebih-lebih lagilah yang munafik; pun adalah ajaran agama," kata Tuan Guru.

Begitu juga, katanya, dengan kesedaran terhadap lafaz berbunyi: "Ya Allah mujurnya ada ajaran-Mu dan puasnya hatiku mendengar nasihat Nabi-Mu yakni Muhammad s.a.w.
"Semuanya ini berupa pengabdian," katanya lagi.

Beliau mengucapkan kesyukurannya kepada Allah yang telah mendatangkan lagi Ramadhan "untuk kita menghirup udara kerahmatan, keampunan dan maghfirah yang sangat mulia".

Lebih penting dari itu, katanya, adalah kesedaran untuk mengambil kesempatan keatas janji-janji gandaan pahala yang ditawarkan oleh-Nya.

"Dengan segala kesedaran dan isi kandungan kesyukuran seperti yang kita sebutkan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf jua seadanya," kata Tuan Guru.