Thursday, August 7, 2008

Muqabalah: Coretan Nik Abduh


dah nak masuk tabligh dah...

3hb Ogos 2008

Salam Kamunting,

Seorang sahabat mengeluh, ” Ana dah nak masuk tabligh dah. Pening dah dengan politik. Keliru.

Dulu, segar juga dengar dan ulas pasal politik. Tapi, makin lama, apatah dengan isu muqabalah yang panas ni, makin ana rasa politik ni memang kotor. Politik tu memang la bersih, tapi orangnya kotor, susah nak cari yang bersih.

Dalam PAS pun ana rasa ada yang macam UMNO perangainya. Mujurlah ana tak jadi politician macam anta. Anta nampak kuat tak apalah, tapi bukan ana. Huh, kawan - kawan ana pun dah macam ana. Pening. Dah nak masuk Tabligh dah.”

Begitu saya dengar keluhannya melalui telefon bimbit. Dia seorang profesional. Kawan saya ni bagus. Dia bukan jentera parti, tapi penyokong kuat PAS. Kuat sangat sampai tak percaya pada selain PAS. Dia tak percaya PKR apatah UMNO.

Tapi, akhirnya dia macam dah kecewa pada politik.

Saya menyampuk bebelannya yang sekadar meluah rasa kecewa itu, “Isu ni, orang ikhlas pun terperangkap.”

Cepat - cepat dia balas, “Hah, kalau orang ikhlas pun terperangkap, jelaslah politik ni memang kotor. Daripada terperangkap, baik ana masuk Tabligh.”

Saya tambah lagi selepas jawaban pertama saya gagal difahaminya, ” Sebelum anta keluar 40 hari, anta dah pun terperangkap.”

Dia bingkas bertanya, ” Perangkap apa?” Saya jawab, “Perangkap iblis.” Dia terkedu. Saya tambah lagi, ” Dan perangkap UMNO.”

“Pulak? Kenapa pulak?” Saya agak mukanya berkerut. Kalau dia pakai hands free tengah memandu, mesti orang kata drebar ni tengah sasau.

Saya dengan rasa puas menjawab, “Iblis gembira orang yang ikhlas jadi putus asa. UMNO pula suka orang cerdik tak main politik.”

Senyap seketika. Saya perasan dia angguk - angguk geleng - geleng. “He he. anta nih..” Dia mengaku kalah pesennya.

Isu muqabalah memang menyusahkan. Ia tak diundang berlaku dalam PAS yang tengah mengecapi manis kemenangan dan kepercayaan rakyat.

Saya pun kecewa. Saya melihat sesuatu yang tidak mengembirakan dalam parti. Saya sememangnya keliru juga macam kawan saya itu. Tapi, saya kena sabar, kena istiqamah dan kena lawan ( unsur buruk dalam parti ).

Saya mahu terus berjuang untuk digelar sebagai pejuang oleh Tuhan.

Kes Liwat: Dr Osman tetap dengan laporannya

malaysiakini
Aug 7, 08 12:50pm
.
Dalam akuan bersumpahnya yang bertarikh pada 1 Ogos lalu, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid berkata, beliau tetap berpegang kepada hasil pemeriksaannya ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dr Mohamed Osman yang memeriksa Saiful beberapa jam sebelum dia (Saiful) membuat laporan polis, berkata beliau tetap berpegang dengan hasil pemeriksaannya itu.

Pada 28 Jun lalu, Saiful membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Pusrawi dan kemudiannya di Hospital Kuala Lumpur, sebelum membuat laporan polis, mendakwa dia diliwat oleh ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Pusrawi, Saiful diperiksa oleh Dr Mohamed Osman. Dalam laporan perubatannya, yang dibocorkan kepada pihak media, doktor tersebut menyatakan beliau tidak menemui sebarang bukti berlaku liwat.

Dr Mohamed Osman juga mendakwa beberapa perenggan dan perkataan telah ditambah kepada kenyataannya kepada polis berkaitan perkara sebut.

Sebelum ini, Hospital Pusrawi menyatakan bahawa Dr Mohamad Osman tidak membuat sebarang pemeriksaan berkaitan liwat ke atas Saiful.

Kes Liwat: Anwar mengaku tidak bersalah

malaysiakini

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri Aug 7, 08 12:15pm

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.
.
Pihak pendakwa tidak membantah Anwar dibenar ikat jamin dan mencadangkan ketua umum PKR itu dikenakan jaminan RM20,000 dan menyerahkan pasportnya.

Hakim SM Komathy kemudiannya membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin. Hakim menambah, Anwar juga tidak perlu menyerahkan pasportnya kerana yakin mantan timbalan perdana menteri itu tidak akan melarikan diri.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada 10 September depan di Mahkamah Tinggi untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

Anwar dihadapkan ke mahkamah hari ini ekoran laporan polis yang dibuat oleh Mohd Saiful pada 28 Jun. Kertas pertuduhan itu berbunyi:

Bahawa kamu, pada 26 Jun 2008 antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang di alamat Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan Mohd Saiful Bukhari bin Azlan dengan memasukkan zakar kamu ke dalam duburnya; dan oleh yang demikian kamu telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabitkan menurut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, kamu hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebatan.

Beliau keluar dari mahkamah jam 11.10 pagi dengan disambut kira-kira 1,000 penyokongnya yang berada di beberapa tempat, termasuk di perkarangan kompleks mahkamah dan di luar pintu utama. Anwar tiba di kompleks mahkamah itu pada jam 9.38 pagi tadi untuk menghadapi tuduhan liwat.

Mantan timbalan perdana menteri itu kemudiannya menaiki lif mahkamah pada jam 9.52 pagi dipercayai untuk di bilik mahkamah. Sebelum ini, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng membaca kenyataan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat berhubung kes terhadap Anwar.

Beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang menyifatkannya sebagai satu kezaliman politik terhadap Anwar. Hadir sama ialah naib presiden PAS Datuk Husam Musa. Pada waktu itu kira-kira 100 orang penyokong Anwar turut hadir memberi sokongan.

Anwar diwakili oleh sepasukan tujuh orang peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah. Peguam lain termasuklah Sivarasa Rasiah, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah, Edmund Bon dan Leela J Jesuthasan.

Terdapat juga peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam dan badan hak asasi manusia yang berpejabat di Washington, Paris dan Bangkok.

Sementera itu, polis mengadakan sekatan jalanraya di jalan-jalan utama masuk ke bandaraya. Keadaan itu menyebab kesesakan lalulintas yang teruk menuju ke bandaraya.

Liverpool FC: Perlawanan Persahabatan di Oslo

Valerenga..1 Liverpool..4
[Selasa, 05hb Ogos 2008 - Ullevaal Stadion, Oslo]


Liverpool masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan pemanas badan selepas menumpaskan kelab dari negara Norway, Valerenga IF dengan jaringan 4-1.

Kemenangan ini bagaimanapun tidak dirasai apabila kapten pasukan, Steven Gerard terpaksa dibawa keluar akibat groin injury. Beliau juga dijangka tidak dapat diturunkan bagi menghadapi SS Lazio pada 8hb Ogos 2008 di Anfield.

Xabi Alonso meletakkan Liverpool didepan pada minit ke-19 melalui sepakan diluar petak penalti. Bojan Zajic (penyerang dari Serbia) menyamakan kedudukan dengan merembat masuk bola pada minit ke-48.

Fernando Torres kemudiannya sekali lagi memastikan Liverpool di depan dengan menggelecek du pemain pertahanan lawan sebelum menyudahkannya pada minit ke-49. Yossi Benayoun serta penyerang dari Perancis, David Ngog melengkapkan kemenangan dengan jaringan pada minit ke-60 dan 84.



Harapan di Muktamar PAS ke-54

harakahdaily

Abdul Syukur Harun Thu Aug 07, 08 7:19:05 am MYT

Muktamar PAS Ke-54 yang bakal berlangsung di Perak Darul-Ridzwan dari 13 hingga 17 Ogos ini sudah tentu mempunyai makna penting atas beberapa sebab.

Pertama, rakyat ingin melihat pernyataan komitmen PAS untuk turut memperkukuh Pakatan Rakyat. Justeru kerana Muktamar kali ini diadakan setelah Pakatan Rakyat, di mana PAS menjadi komponannya yang penting, menguasai lima negeri hasil keputusan PRU Ke-12 8 Mac lalu.

Pakatan Rakyat, yang berdepan dengan pelagai cabaran getir dari musuh politiknya itu sedang mengamil tempatnya yang kukuh di arena politik tanah air.

Dikhabarkan, beribu-ribu orang sedang dan telah menyertai PAS dan PKR sejak keputusan PRU yang lalu. Justeru itu Muktamar PAS kali ini, diyakini akan menghantar isyarat jelas terhadap komitmen PAS untuk sama-sama memperkukuh Pakatan tersebut.

Bahkan sebelum itupun, Presiden PAS sendiri dalam satu kenyataannya baru-baru ini telah menyatakan ikrar untuk bersama-sama dalam Pakatan Rakyat dan akan turut memperkukuhnya.

Ini adalah cerminan semangat setia kawan sebuah parti yang bernuansa Islam, yang memancarkan keikhlasan dan kejujurannya dalam perjuangan bersama menegakkan keadilan dan demokrasi. Justeru itu, Muktamar PAS kali ini akan memperjelas dan memperkukuh lagi komitmen tersebut.

Kedua, Muktamar kali ini berlansung ketika negara sedang digoncang oleh kemelut politik yang belum pernah terjadi dalam sejarah negara sebelum ini.

Sementara tanda kemelesetan ekonomi semakin jelas dan mencemaskan, rasuah berleluasa, ketika nilai akhlak dan kemanusiaan terhempas di tengah jalan oleh pelbagai gejala fitnah dan prasangka, ketika nafsu serakah politik ganas yang tidak tunduk kepada syariat Islam bermaharajalela. Semuanya ini sungguh menakutkan.

Justeru itu, mayarakat umum-Muslim dan non-Muslim ingin melihat dan mendengar bagaimana para perwakilan di Muktamar itu membedah pelbagi persoalan ini dengan hujah dan saranan yang bernas.

Lebih-lebih lagi mereka ingin melihat pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS untuk mengatasi masalah negara ini memandangkan kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat tentunya mempunyai makna yang penting.

Sokongan rakyat - Muslim dan non-Muslim dalam PRU Ke-12 Mac lalu, menghantar isyarat jelas bahawa rakyat memberikan harapan besar terhadap PAS, PKR dan DAP, sehingga rakyat telah menobatkan Pakatan Rakyat untuk memerintah di lima negeri yang penting di Malaysia.

Ketiga, Muktamar ini penting untuk menghantar isyarat akan kewibawaan PAS dengan memperlihatkan Izzah (kehebatan) PAS di tengah-tengah kecamuk politik ini. Iaitu termasuk juga memperlihatkannya kepada Pakatan Rakyat, di mana PAS sendiri menjadi komponannya.

Memperlihat Izzah PAS ini bukan bermakna mempamerkan kersombongan atau keangkauhannya, tetapi untuk menghantar isyarat jelas dan sangat rasional bahawa kehadiran PAS di tengah masyarakat, khususnya di tengah komponan Pakatan Rakyat, mempunyai significan, sangat bererti.

Kehadirannya penting diiktiraf, kerana ia bukan sebuah parti pinggiran, atau parti yang tercungap-cungap menumpang hidup atas kudrat orang lain.

Tetapi ia sebuah parti yang mempunyai tradisi kukuh sejak kehadiranya lebih setengah abad lalu dengan mempunyai tarbiyah berterusan, memiliki mekanisme politik yang pelbagai dan lain-lain.

Di bawah kepimpinan ulama, parti ini menggabungkan kepimpinan berwibawa - gabungan terbaik dari kalangan ulama, profesional, tenaga pemikir, para vetran parti dan lain-lain.

Tidak mudah untuk sebuah parti politik kontemporeri menggabungkan keikhlasan, itiqamah, kepakaran dan dedikasi pendukungnya, namun hal ini telah berjaya dilakukan oleh PAS. Dalam PRU Ke-12, PAS telah menampilkan jenteranya demikian tersusun dan kemas, kawalan keselamatannya yang cukup rapi dan berhikmah, solat hajat, doa munajat yang tidak putus-putusnya dari para Tuan Guru di setiap markas.

Ini menggambarkan, dalam apa keadaanpun, hubungan pendukungnya dengan kekuasaan Allah SWT tidak pernah putus, di samping gerak kerja dan strategi PAS yang baik.

Perlu diingat akan kenyataan Dato' Seri Presiden tidak lama dulu bahawa PAS paling banyak cawangan, petugasnya bersungguh-sungguh bekerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat.

Jadi selepas menang ini, katanya, peranan pendukung PAS perlu diambil kira dan jangan sekali-kali mengenepikan peranan mereka selepas pilihan raya.

Beliau menyebut bahawa undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS, katanya, memberikan penekanan kepada kerusi Dewan Negeri. PAS dapat 83 kerusi Dun, DAP 73, dan PKR dapat 40. Ini, kata beliau, penting dilihat, bukan hanya melihat kerusi kawasan Parlimen saja.

Justeru itu, semua pihak, khususnya dalam komponan Pakatan Rakyat supaya dapat menenung dan berfikir secara rasional dan terbuka akan fakta ini. Kenyataan Dato' Seri Presiden ini tidak sama sekali memperlihatkan keangkuhan, tetapi sebuah kenyataan yang diperkukuh oleh fakta dan perkiraan rasional.

Juteru itu, pemimpin dan pendukung PAS sangat perlu memperlihatkan Izzah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS kepada semua pihak.

Di dalam sejerah Islam sendiri, terutamanya di peringkat awal, ada kalanya Rasulullah s.a.w. dan Khulafa-ur Rashidin memperlihatkan Izzah Islam dalam keadaan di mana mereka melihat Islam dicabar dan tercabar. Mudah-mudahan kita sentiasa belajar dari sejarah.

Sementara itu, kita berharap para pembahas dalam Muktamar Ke-54 ini akan mengeluarkan hujah bernas, fakta yang cukup, pandangan rasional dan seimbang, serta membawa saranan munasabah dan dinamik.

Dan tentunya diharapkan perbahasan ini dikawal oleh akhlak Islam. Selamat bermuktamar.

Permatang Pauh: Antara dahulu dan kini

harakahdaily

Mohd Sabri Said Thu Aug 07, 08 7:29:27 am MYT

Permatang Pauh yang terletak di Seberang Perai Tengah dengan jumlah pengundi 58,449 merupakan sebuah nama yang tidak asing lagi kepada semua pencinta politik sama ada dalam mahupun luar negara.

Semuanya ini terlakar bukan baru malahan ia bermula sejak kemasukan Dato' Seri Anwar Ibrahim ke kancah politik dan memenangi pilihanraya umum pada tahun 1982 setelah terpaut pada Umno ekoran tarikan Perdana Menteri ketika itu, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang diharapkan memperjuangkan Islam bersama PAS akhirnya mengorbankan perjuangan Angkatan Belia Islam (ABIM) untuk bersama Umno kononya 'hendak bersihkan Umno dari dalam' tetapi akhirnya usahanya agak terbantut kerana terpaksa berhadapan dengan gerakan di kalangan keahlian Umno yang telah lama makan garam darinya.

Masa itu beliau menewaskan calon PAS, Haji Zabidi Ali dengan majoriti besar walhal bekas Pesuruhjaya PAS Negeri itu adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Dua sebelum itu.

Tetapi, akibat terpengaruh dengan karismanya memimpin ABIM kebanyakan rakyat memberinya peluang menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru sehinggalah pada penghujung 1999 apabila dipecat daripada Umno dan kabinet serta di tahan atas tuduhan meliwat.

Semasa dalam Umno di bawah pentadbiran Dato' Seri Dr Mahathir yang kini bergelar Tun beliau memainkan peranan yang cukup kuat tambahan lagi tercernakan slogan 'Bersih Cekap dan Amanah' (BCA) yang berjaya menaut hati rakyat selari dengan berputiknya kebangkitan Islam semula.

Ia nyata menjadi saingan kepada PAS yang waktu itu baru beralih kepimpinan daripada Dato' Asri Muda yang dilhat liberal kepada Ustaz Yusuf Rawa yang mempolopori golongan ulama dalam PAS.

Walaupun berlaku sedikit perpecahan dalam PAS namun ia tidak sehebat mana kerana rata-rata waktu itu angin Islam semakin kencang untuk mewarnai senario politik negara.

Antara nama-nama yang pernah tewas kepada Dato' Seri Anwar dalam mempertahankan Permatang Pauh ialah Naib Presiden PAS kini, Haji Mohamad Sabu (1986), Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri ketika itu, Ustaz Muzani Abdullah (1990) dan Ketua Penerangan PAS Pusat waktu ini, Haji Mahfuz Omar (1995).

Perjuanganya dalam Umno makin memuncak sehinggalah ke tahap selangkah lagi ke jawatan tertinggi negara menggantikan Dr. Mahathir Mohamad.

Anwar juga berjasa pada Perdana Menteri ke empat itu apabila menjadi nadi terpenting menjatuhkan politik bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato' Musa Hitam yang bergabung membentuk team B dalam Umno sehingga membawa perpecahan Umno pada tahun 1987.

Selepas berjaya meneroka dan menyelamatkan kedudukan politik Dr Mahathir lantas beliau terus diangkat menjadi orang nombor dua negara apabila mengalahkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Tun Ghafar Baba setelah memperkenalkan sistem mata pengundian memilih kepimpinan dalam Perhimpunan Umno pada awal 1990 an dulu.

Tetapi, langkahnya tersekat takkala penghujung 1990 an apabila Dr Mahathir dapat menghidu hasratnya mahu merampas kedudukan menjadi Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Akhirnya, politik beliau terhenti apabila dipenjarakan namun di luar tembuk penjara laungan reformasi terus bergema sehinggalah kini mahu kembali ke arena politik tanahair setelah niatnya terbatas kerana terpaksa akur dengan cara kepimpinan Perdana Menteri baru, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempercepatkan tarikh pilihanraya umum ke 12 lalu supaya Dato' Seri Anwar tidak boleh sertainya, bimbang berlaku kocakan politik yang kuat.

Kini setelah tiga penggal Permatang Pauh dimenangi isterinya, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada tahun 1999 bersama Barisan Alternatif (BA) yang diasaskan bersama PAS dan DAP.

Waktu itu, tonggak utama BA ialah PAS yang diterajui oleh Presidennya, Allahyarham Dato' Fadhil Noor di mana buat pertama kalinya BA berjaya menjejaki parlimen secara beramai -ramai. Perkembangan tersebut membuatkan Dato' Fadhil Noor sendiri dinobatkan sebagai Ketua Pembangkang.

Sekarang ini saat yang dinantikan untuk menjejaki kaki ke Putrajaya kian terserlah apabila diberi mandat sebagai calun Parlimen P44 Permatang Pauh mengantikan isterinya yang meletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen di situ kerana memberi laluan kepada suami tercinta untuk memimpin negara.

Terdapat 28 Unit Peti Undi (UPU) seluruh parlimen ini di mana sembilan di N10 Dun Seberang Jaya, sembilan di N11 Permatang Pasir dan sepuluh di N12 Penanti. Dato' Seri Wan Azizah memperolehi 30,338 berbanding pencabar tradisinya, bekas Imam Besar Masjid Negara, Dato' Pirdaus Ismail yang bertanding atas tiket BN 16,950 undi.

Pada tahun 1999 majoritinya 590 tetapi pada pilhanraya umum ke 12 ianya bertambah 13,388. Keseluruhan pengundi di situ ialah 58,449 di mana pengundi yang keluar membuang undi 47,398. Peratus mengundi 81.09 peratus manakala undi rosak 110 sahaja.

Peratus Melayu di sini ialah 68.5 peratus, Cina 24.79 peratus, India 6.3 peratus manakala kaum lain 0.41 peratus. Dun N10 Seberang Jaya yang dimenangi Umno-BN menerusi calonya, Dato' Arif Shah Omar Shah mengalahkan calon KeADILan, Ramli Bulat dengan kelebihan 533 berbanding pada pilihanraya umum ke 11 lalu 4,464.

Dato' Arif Shah memperolehi 9,395 undi berbanding Ramli 8,862 di mana jumlah pemilih keseluruhanya ialah 22,678. Di sini pengundi Melayu berjumlah 62,36 peratus, Cina 23.97 peratus, India 13.13 peratus manakala kaum lain 0.54 peratus.

Antara UPUnya ialah Jalan Sembilang, Seberang Jaya Dua, Kampung Pertama, Kampung Belah Dua, Seberang Jaya Satu, Jalan Bahru, Simpang Empat, Jalan Tuna dan Taman Tun Husein Onn.

Di dun ini jumlah keluar mengundi ialah 18,479, peratus mengundi keluar 81.48 peratus manakala jumlah undi rosak ialah 222. N11 Dun Permatang Pasir pula PAS dapat mempertahankan kemenangan tiga penggal berturut turut apabila bekas Pesuruhjaya PAS Negeri, Hamdan Abdul Rahman memperolehi 11,004 mengalahkan calon BN, Ahmad Sahar Shuib yang mendapat undi 5,571.

Majoriti yang didapatinya begitu tinggi iaitu 5,571 undi berbanding dalam pilihanraya ke 11 lalu hanya 679 sahaja. Jumlah keseluruhan pengundi di Permatang Pasir ialah 20,350 di mana 72.31 peratusnya Melayu, 25.94 peratus Cina, India 1.61 peratus dan lain-lain kaum 0.14 peratus.

Pilihan raya ke-12 lalu pengundi yang keluar melaksanakan tangungjawab sebagai rakyat Malaysia berjumlah 16,802 iaitu 82.57 peratus manakala undi rosak 227 kertas undi. Antara UPU yang wujud Dun Permatang Pasir ialah Sama Gagah, Permatang Ara, Permatang Pauh, Bukit Indera Muda, Kampung Pelet, Kubang Semang, Tanah Liat Mukim 8, Kampung Cross Street Dua dan Permatang Tengah.

Sementara itu di N12 Dun Penanti pula KeADILan menunjuk taring apabila merampasnya kembali daripada BN menerusi calonya, Mohamad Fairus Khairudin yang memperolehi undi 7,346 berbanding penyandangnya Dato' Abdul Jalil Abdul Majid BN 5,127. Majoriti yang diperolehi ialah 2,219.

Sebelum ini, calon KeADILan, Haji Abdul Rahman Kadir berjaya mengalahkan calon BN dalam pilihanraya umum ke 10 manakala pada pilihan raya ke-11 KeADILan tewan kepada BN dengan majoriti 667 undi sahaja.

Jumlah keseluruhan pengundi di sini ialah 15,421. Jumlah pengundi yang keluar mengundi ialah 12,657 iaitu 82.08 peratus manakala undi rosak pula 184. Mengikut peratus kaum pula Melayu 72.51 peratus, Cina 24.32 peratus, India 2.43 peratus dan kaum lain 0.57 peratus.

Di Dun ini terdapat sepuluh UPU iaitu Guar Perahu, Kuala Mengkuang, Telok Wang, Mengkuang, Sungai Lembu, Penanti, Kubang Ulu, Sungai Semambu, Tanah Liat Mukim 9 dan Jalan Berapit.

Hari ini, rakyat Permatang Pauh akan memperolehi Ahli Parlimen yang baru maka jadilah pengundi yang bijak bukan terdorong dengan berita-berita kosong atau fitnah semata- mata mahu menyekat kemaraan Dato' Seri Anwar ke Putrajaya sekaligus memimpin negara tercinta untuk mengembalikan Malaysia di kaca mata dunia sebagai sebuah negara yang benar-benar merdeka.

Tok Guru: Doakan Anwar


(Muka depan Sinar Harian Edisi Kelantan)


KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihadapkan ke mahkamah hari ini bermotifkan keadilan.

“Berdoa kepada Allah semoga kes ini tidak bermotifkan politik dan kezaliman tetapi ia bermotifkan keadilan,” katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan liwat selepas satu notis bertulis kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu dikeluarkan untuk hadir ke mahkamah jam 10 pagi.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pula menyifatkan undi simpati rakyat terhadap Anwar akan meningkat dan sekali gus memberikan kesan positif kepada Pakatan Rakyat (PR) jika Anwar tidak dibenarkan ikat jamin hari ini.

“Jika Anwar tidak dibenarkan diikat jamin, sokongan padu akan diberikan kepada beliau dan kami akan mengedarkan songkok dan serban Tok Guru kepada rakyat.

“Sebaliknya jika beliau dibenarkan ikat jamin ia sama sekali tidak menjejaskan pergerakan PR dalam menghadapi pilihan raya kecil 26 Ogos ini,” katanya di sini semalam. Menurutnya, kerajaan Pusat membuat kesilapan apabila menghadapkan Anwar ke mahkamah terlalu cepat kerana ia akan meningkatkan sokongan rakyat terhadap beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau bersetuju dengan saranan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Annuar Musa supaya BN memboikot pilihan raya kecil Permatang Pauh. “Apabila BN boikot pilihan raya kecil itu ia akan memberi laluan mudah kepada PR. Individu seperti Anwar seharusnya diberi tempat dalam Dewan Rakyat untuk suarakan masalah rakyat,” katanya.