Wednesday, July 23, 2008

Muzakarah: Majlis Syura Ulamak Mengunjungi Mursyidul Am Pas




AHLI Majlis Syura Ulamak Pas hari ini mengunjungi Mursyidul Am Pas, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Baru hari ini bagi menjelaskan isu mengenai muzakarah Pas - Umno yang menimbulkan kekeliruan.Perjumpaan dijangka berlangsung selepas Zohor ini di JKR 10 di Kota Bharu Kelantan.


Antara ahli majlis syura yang hadir ialah Abdul Hadi Awang yang juga Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden, Ahmad Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man.Ikut sama dalam kunjungan itu ialah Timbalan Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din.


Kunjungan bagi menjelaskan isu berkaitan penting memandangkan timbul berbagai kekeliruan dan salah tanggapan mengenai rancangan mengadakan muzakarah berkenaan.


Nik Aziz sendiri dalam soal ini mengerluarkan kenyataan berbagai-bagai di mana ia menyebabkan timbul kekeliruan di kalangan ahli. Dan lebih parah apabila ia menampakkan wujud ketidaksefahaman beliau dengan Presiden.


Kenyaataan terakhir beliau memberi gambaran bahawa rundingan (muzakarah) itu tidak perlu diadakan sama sekali dan dalam masa sama beranggapan jika berlaku ia menyebabkan Pas akan jahanam dan rakyat akan marah.Kenyataan Nik Aziz juga kelihatan begis dan begitu sombong dan ini menyebabkan tanda tanya apakah sebenarnya yang berlaku.


Pandangan beliau itu dilihat bertentangan dengan keputusan Majlis Syura sendiri yang memberi laluan kepada mana-mana individu dalam Pas untuk mengadakan perhubungan/perjumapan dengan pemimpin Umno bagi membincang masalah pepaduan ummah dan mengenai kepentingan Melayu dan Islam.


Pertemuan majlis syura dengan Mursyidul Am itu dikira satu peristiwa penting yang bakal menentukan apakah status mengenai ura-ura berkenaan. Apa juga hasil dari kunjungan majlis itu ke atas Nik Aziz akan merumuskan semua yang timbul berikutan cadangan itu.


Pertemuan awal ke arah muzakrah itu telah pun diadakan seperti mana didedahkan oleh Umno menerusi Presdiennya, Abdullah Ahmad Badawi.


Satu kenyataan akhbar dikatakan akan dikeluarkan di Kota Bharu lewat petang ini berhubung perkara berkenaan dan hasil pertemuan majlis syura dengan Nik Aziz itu.


Sementara itu Dewan Pemuda Pas yang mengadakan mesyuarat malam tadi telah memutuskan menyokong muzakarah berkenaan dengan mengenakan syarat ianya tidak terarah kepada perbicangan untuk berkongsi kuasa.


Bagaimana pun dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah hari meneursi ketuanya Sallehudin Ayub, Pemuda Pas mengambil pendirian menentang muzakarah berkenaan. Kenyataan Sallehudin itu dikatakan bertentangan dengan pendirian dewan itu dan telah menimbulkan kontroversi di kalangan pemuda.


Sallehhuddin juga dianggap telah memanipulasikan pendirian dewan berkenaan.

Muzakarah: Maklumbalas Ahli PAS?


malaysiakini


kemaskini 2:14pm Tidak cukup dengan perbahasan di internet dan sesama sendiri pro dan kontra muzakarah PAS-Umno, sekumpulan ahli PAS merancang mengadakan demonstrasi membantah kerjasama dua parti itu, lusa. Dalam sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ahli dan penyokong PAS mulai semalam, perhimpunan itu akan diadakan di depan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut selepas solat Jumaat. Demonstrasi itu dinyatakan sebagai menunjukkan "sokongan kepada mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menentang kerjasama Umno-PAS.


" Bagaimanapun usaha Malaysiakini sejak semalam belum berjaya menghubungi pihak yang bertanggungjawab menganjurkannya.


Beberapa sumber menyatakan, perhimpunan itu mahu dilihat sebagai "usaha spontan ahli-ahli akar umbi" menyatakan sikap terhadap usaha dialog yang diketuai oleh timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dengan restu dan dukungan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Selepas sidang media menyatakan pendirian rasmi Dewan Pemuda PAS berhubung isu muzakarah dan perkongsian kuasa Umno-PAS, ketuanya Salahuddin Ayub menyifatkan sebaran SMS itu "khabar angin" dan maklumat itu "tidak betul.


" Sumber-sumber itu juga menyatakan keputusan sama ada meneruskan perhimpunan itu, atau sebaliknya, bergantung keputusan Majlis Syura Ulama PAS petang ini. Majlis itu dilaporkan bermesyuarat di Kota Bharu - isu utamanya berhubung pendirian dan sikap parti terhadap usaha PAS merapati Umno, termasuk rundingan tentang kerajaan campuran dan pengagihan jawatan selepas pilihanraya umum 8 Mac. Nik Abdul Aziz dijangka akan mempengerusikan mesyuarat majlis itu yang dijadual diadakan petang ini di JKR 10, kediaman rasmi menteri besar Kelantan.


Selain disertai timbalan mursyidul am Datuk Dr Harun Din dan anggota -anggota majlis syura lain, termasuk Abdul Hadi Awang.Nik Abdul Aziz, yang juga menteri besar Kelantan, baru-baru ini dilaporkan menggesa muzakarah dengan Umno dihentikan kerana ia akan memecah-belahkan PAS.


Beliau dilaporkan berkata PAS dibimbangi akan menjadi seperti kera sumbang, manakala di kiri kanan pula kena marah sekiranya meneruskan muzakarah dengan pemimpin Umno. Kelmarian, Nik Abdul Aziz berkata, "apabila berlaku muzakarah penyokong kita marah kepada PAS dan orang Pakatan Rakyat juga curiga.


"Oleh itu bagi mengelakkan kekecewaan penyokong, muzakarah antara PAS dan Umno dianggap tidak perlu bagi mengelak berulang sejarah hitam yang pernah berlaku sebelum ini.
"PAS akan lebih berhati-hati agar tidak terkena perangkap Umno kali kedua. "Itu bukan cara parti yang memperjuangkan Islam berpolitik di mana cara berkenaan tidak ubah seperti menolong pihak lawan dan bukannya untuk menjaga kestabilan parti."Itu perangkap namanya," katanya, lapor Harakahdaily.net.

Muzakarah: Sekadar Renungan


malaysiakini

Amin Iskandar Jul 22, 08 6:40pm

Abdullah Ahmad Badawi kelmarin membuat kejutan dan berjaya menyeret perbincangan politik hari ini kepada isu muzakarah antara Umno dengan PAS apabila mendedahkan terdapat tiga pertemuan pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dengannya. Selain daripada itu, presiden Umno turut menyemarakkan pertembungan dalam PAS apabila memberitahu bahawa pertemuan tersebut tidak melibatkan menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS.

Sebagai reaksi kepada kenyataan perdana menteri, exco kerajaan Kelantan, Husam Musa menyifatkan tindakan Abdullah mendedahkan tentang terdapatnya pertemuan sebanyak tiga kali dengan pemimpin PAS sebagai satu cara "menabur benih perpecahan" dalam PAS.

Naib presiden PAS itu juga mendakwa tindakan Abdullah tersebut sebagai satu usaha memperkuatkan kedudukannya dalam pergolakan dalaman Umno yang tidak menentu dan meminta agar pimpinan PAS berhati-hati dengan perangkap tersebut.

Sementara itu, presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya yang disiarkan di Harakahdaily.net tidak menafikan terdapatnya pertemuan antara pemimpin tertinggi PAS dengan Abdullah. Beliau yang sebelum ini berdolak-dalik mengenai isu pertemuan tersebut, mengakui bahawa timbalannya Nasharuddin Mat Isa, pesuruhjaya PAS Terengganu, Mustafa Ali dan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad bertemu dengan presiden Umno buat kali pertama sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Abdul Hadi menambah, pertemuan yang telah mendapat persetujuan majlis syura ulama PAS itu bertujuan membincangkan mengenai kepentingan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Khabar angin tentang terdapatnya pertemuan antara Umno dan PAS telah berlegar-legar sebaik sahaja selepas pilihanraya umum lalu. Antaranya yang paling popular, mengenai pertemuan antara pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Hasan Ali dengan bekas menteri besar Dr Mohamad Khir Toyo untuk membincangkan tentang penubuhan kerajaan campuran PAS-Umno di negeri itu sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum ke-12 diketahui.

Dikatakan Khir bersetuju untuk menyerahkan jawatan menteri besar kepada Hasan dan sanggup turun pangkat menjadi timbalan menteri besar jika kerajaan campuran dua parti Melayu itu berjaya dibentuk di Selangor. Namun usaha ini dikatakan gagal kerana presiden PAS tidak bersetuju dan menyokong Khalid Ibrahim untuk mengepalai kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Ketika khabar angin ini kencang bertiup, saya mengambil sikap tidak mempedulikannya kerana menyangka ia hanyalah taktik kotor polis Cawangan Khas (SB) dari Bukit Aman yang menyebar-nyebarkan khabar angin untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat yang baru sahaja memerintah beberapa negeri di Malaysia. Tambahan lagi, saya langsung tidak menyangka bahawa terdapat golongan tertentu dalam PAS yang mempunyai niat untuk membawa parti tersebut menyertai BN.

Di kala terdapat parti komponen BN yang ingin mengusulkan undi tidak percaya kepada gabungan yang dipimpin oleh Abdullah, masakan PAS ingin menjadi penyelamat kepada gabungan yang hampir terbarai itu?Ketika Umno yang memimpin BN hilang kredibiliti dan sokongan daripada rakyat terutamanya masyarakat bandar, masih ada pemimpin PAS yang cuba menyelamatkan mereka dengan menggunakan hujah "penyatuan umat Islam dan perpaduan Melayu".

Rasa geli-geleman apabila mendengar hujah ini. Hujah sama yang sering digunakan oleh Umno untuk menghalalkan tindakan merompak harta kekayaan negara, menaikkan harga minyak dengan sewenang-wenangnya, menggunakan akta ISA termasuk menangkap ramai pemimpin PAS, membunuh kerana kepentingan politik seperti tragedi Kampung Memali pada 1985, memperbodohkan rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan banyak lagi yang tidak mungkin dapat disenaraikan di sini.Sebenarnya, idea menyatukan Umno dan PAS ini idea lama yang dipelopori oleh Abdul Razak Hussein, perdana menteri Malaysia kedua.
Pada ketika itu, Perikatan mengalami kemerosotan yang teruk dalam pilihanraya umum 1969. Perikatan hilang kuasa majoriti di parlimen buat kali pertama dalam sejarah pada pilihanraya yang diadakan pada 10 Mei 1969.Prestasi buruk Perikatan telah mendorong kepada berlakunya tragedi berdarah 13 Mei yang melibatkan kaum Melayu dan Cina. Tragedi tersebut menyebabkan parlimen digantung dan penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang dipimpin oleh Abdul Razak.

Setelah berjaya mendapatkan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman, bapa Najib memulakan usaha menarik PAS masuk dalam Barisan Nasional, satu “formula baru” yang dicetak rompak daripada Barisan Sosialis untuk menggantikan Perikatan. Alasan membawa masuk PAS bersama BN bertujuan menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. Pada ketika itu PAS dipimpin oleh Mohd Asri Muda setelah beliau mengambil alih jawatan yang dipertua daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Selain PAS, PPP dan Gerakan juga dibawa masuk menyertai BN setelah Mageran dibubarkan.

Apabila Umno kembali kuat dan merasakan PAS mencabar kedudukan mereka, PAS dipecat daripada BN pada 14 November 1977. PAS ditendang keluar sebelum cukup lima tahun berada dalam BN! Hari ini, kecuali rusuhan berdarah, keadaan seakan-akan sama dengan apa yang berlaku selepas pilihanraya umum 1969. BN hilang kuasa dua pertiga di parlimen dan beberapa negeri jatuh kepada Pakatan Rakyat. Umno semakin lemah, sementara MCA dan MIC hilang banyak kerusi termasuk kerusi tradisi mereka.

Hari ini, anak Abdul Razak sudah di tangga timbalan perdana menteri. Beliau sekarang dalam keadaan yang sama seperti ayahnya selepas pilihanraya 1969. Cuma beliau agak malang sedikit kerana pada ketika ini, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu sering menghantuinya – walaupun beliau dan isterinya menafikannya – sekali gus membantutkan usahanya untuk merampas kekuasaan daripada Abdullah. Sebab itu, tidak menghairankan jika pada hari ini, jalan cerita yang ingin dimainkan masih sama. Seperti juga Mukhriz Mahathir yang membawa watak yang pernah dilakonkan oleh ayahnya pada 1969 apabila menulis surat meminta Abdullah meletakkan jawatan dan membocorkannya kepada media. Hanya pengarah dan pelakonnya berbeza.

Tidak hairanlah jika Nik Aziz benar-benar tidak bersetuju dan marah dengan usaha-usaha segelintir pemimpin PAS untuk berunding dengan Umno. Beliau tidak mahu luka lama berdarah kembali. Dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Global Media Channel, Nik Aziz menentang muzakarah antara PAS dan Umno kerana tidak mahu sejarah hitam ketika PAS menyertai BN dahulu berulang semula.

Mursyidul Am PAS juga mengatakan bahawa muzakarah PAS-Umno hanya akan menyebabkan penyokong PAS peringkat bawahan marah dan pimpinan Pakatan Rakyat mencurigai parti tersebut. Nik Aziz yang marah dengan muzakarah PAS-Umno turut bersetuju jika Umno lenyap terus dari muka bumi ini.

Kepada pihak PAS yang pro-muzakarah pula, selain agenda Melayu dan perpaduan umat Islam, apakah mereka turut membincangkan tentang pemansuhan akta ISA? Apakah Umno bersedia memohon maaf atas tindakan mereka memenjarakan pemimpin-pemimpin PAS bawah ISA? Apakah dalam perbincangan tersebut, Umno turut bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka mengenai jenayah mereka terhadap ahli PAS di Memali, Kedah?

Apakah Nasharuddin – yang pernah memimpin demonstrasi membantah kenaikan harga minyak pada 2006 sebaik sahaja kerajaan menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dengan menjeritkan slogan BN = Barang Naik – telah berjaya diyakinkan bahawa harga minyak akan diturunkan sebaik sahaja PAS menyertai BN semula? Jika pertemuan tiga kali antara pemimpin PAS dan Abdullah hanya membincangkan tentang pengagihan jawatan dan usaha memecahkan Pakatan Rakyat, ia tidak layak dipanggil muzakarah.

Ia lebih sesuai dipanggil "mu*****ah".

Muzakarah: AmaranTok Guru

harakahdaily

Ada niat lain Umno bersungguh mahu bermuzakarah

Lanjusoh Wed Jul 23, 08 2:55:23 pm MYT

KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS menyamakan tawaran Umno hendak bermuzakarah dengan kisah Masjid Dhirar yang pernah dibina bagi tujuan memecahbelahkan Islam.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, masjid itu dibina bukan untuk penyatuan tetapi untuk menyemai benih perpecahan.

"Kisah Masjid Dhirar bukan dongengan orang terdahulu, tetapi ada di dalam al-Quran sebagaimana dalam Surah At-Taubah di mana terdapat empat niat jahat maksud pembinaan masjid itu iaitu untuk menimbulkan kemudharatan kepada orang-orang mukmin.

"Untuk kekafiran, memecah belah antara orang-orang mukmin dan untuk menunggu kedatangan oang-orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sejak dahulu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, suasana itu boleh kita kiaskan bagi membaca niat pemimpin Umno yang sangat beria-ia untuk bermuzakarah dengan pemimpin PAS.

Menurutnya Umno bercakap soal menjaga Islam dan Melayu ini seolah-olah hanya mereka sahaja yang boleh menjaga orang Melayu.

"Dia fikir dia seorangkah yang mengerti dan bertanggungjawab menjaga Islam. Dia sudah lama memegang kerajaan. Boleh jadi, Umno sudah sampai ke peringkat tidak percaya orang lain juga boleh menjaga Islam dan Melayu.

"Sedangkan PAS pun faham dan reti juga dan mungkin lebih reti daripada mereka dalam perkara ini. Jangan Umno fikir ini Islam dan Melayu hak monopoli, hak eksklusif yang menjadi pajakan Umno sahaja," katanya.

Bagaimanapun katanya, kalau perlu juga kepada muzakarah bolehlah difikirkan selepas pilihan raya umum ke-13.

Baru-baru ini media melaporkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendakwa Umno dan PAS sudah mengadakan tiga kali pertemuan membincangkan perkara berkaitan agama dan perpaduan Melayu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melahirkan rasa bimbang PAS akan dianggap sebagai khianat kepada rakan-rakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Saya cukup kesal. Selaku Mursyidul Am, saya berhak menegur. Ini berasaskan prinsip Wal-Ashr. Dalam semangat demokrasi pun, ini menandakan bahawa masih suburnya proses konsultasi, berbeza atau bersamaan pendapat dalam PAS.

"Pada saya, muzakarah boleh, tetapi atas dasar peribadi dan tidak atas nama parti,"ujarnya.
Kata beliau apa jaminan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat tidak berpecah dengan langkah terlalu ghairah untuk bermuzakarah sesetengah pemimpin.

Ini katanya boleh disifatkan sebagai anti perpaduan dan anti kestabilan.

"Contoh telah pun ada pada tahun 1970-an di mana PAS berpecah tiga iaitu Berjasa, Hamim dan Bebas Bersatu. Bagaimanapun, jika diteruskan juga dan berlaku perpecahan.

"Saya tidak mahu memikul tanggungjawab langkah yang saya tidak restu,"kata beliau. - mj/mks. _

Muzakarah: Kenyataan Dewan Pemuda PAS

malaysiakini

PAS 'tidak minat tawaran' Umno

Jimadie Shah Othman Jul 23, 08 1:47pm

kemaskini 2:28pm PAS "tidak berminat menerima tawaran" Umno sewaktu rundingan wakil parti itu dengan perdana menteri dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, Mac lalu. "Kita ada prinsip, kita ada harga diri. Tawaran apa pun, kita tidak berminat berbincang. Kita ada mandat daripada rakyat," kata ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub di sidang media mengumumkan sikap rasmi dewan itu, hari ini.
.
Mengulas tindakan PAS terus mengadakan perbincangan tertutup dengan Umno selepas mengetahui wujudnya tawaran itu, beliau berkata: "Apabila dipelawa, kita datang.
.
"Sebelum itu Salahuddin berkata Pemuda PAS tidak pernah menutup sebarang pintu perbincangan dengan mana-mana pihak yang melibatkan masalah negara dan antarabangsa.
.
Namun, perbincangan itu bukan melibatkan "perkongsian kuasa" seperti rundingan awal Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dr Mohamad Khir dengan timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa beberapa hari selepas keputusan pilihanraya umum 8 Mac diketahui.
.
Dalam blognya, Dr Mohamad Khir telah mencadangkan agar PAS diberi jawatan menteri besar Selangor dan timbalan menteri besar serta empat exco.
.
Salahuddin berkata bagaimanapun Pemuda PAS menolak pakatan atau kerjasama politik antara PAS dan Umno. "PAS mesti terus dalam Pakatan Rakyat. Pakatan adalah keutamaan, Pakatan sebagai wadah alternatif kepada BN. Fitnah, hasutan untuk memecahkan Pakatan Rakyat akan ditentang keras Pemuda PAS," katanya.
.
Mengulas penolakan mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap usaha muzakarah, Salahuddin berkata "itu pendirian beliau" dan penolakan menteri besar itu dalam konteks perkongsian kuasa.

Muzakarah: Presiden PAS perlu perjelas,elak ahli keliru


harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaakob Wed Jul 23, 08 11:16:12 am MYT

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Hrkh) - Yang diPertua PAS Pokok Sena, Mahfuz Omar meminta Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu muzakarah Umno-PAS dalam keadaan segera.

Ujarnya, selepas kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengesahkan pertemuan dengan PAS, ahli melihat bahawa kenyataan susulan yang mengiakan pertemuan itu oleh Presiden PAS menyebabkan ahli semakin keliru.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, ahli di peringkat kawasan dan cawangan rata-ratanya memberi pandangan yang pelbagai yang jelasnya keliru dengan keadaan yang kebanyakannya dilaporkan media.

"Hal ini perlu respon segera daripada pimpinan PAS pusat yang perlu membuat mesyuarat segera bagi membincangkan dengan sebaik mungkin mengenai pertemuan itu, dan selepas kata sepakat diambil mengenai kedudukan PAS dalam hal ini, ia perlu dijelaskan kepada ahli," ujarnya.

Yang penting, beliau mengharapkan pimpinan PAS di peringkat kawasan, cawangan atau negeri memberi pandangan samada membantah atau menyokong isu tersebut bagi dibincangkan di peringkat pusat untuk diperhalusi.

Di peringkat pimpinan pusat pula katanya, mereka perlu memperhalusi pandangan di peringkat bawah ini sebelum membuat sebarang keputusan yang akhirnya akan memberi kesan kepada kedudukan parti.

Yang penting katanya, kedudukan parti hari ini perlu dijaga dan diperkemaskan.

"Bukan apa, pandangan umum terutamanya bekas ahli Umno yang menyertai PAS kerana bencikan Umno, mereka ini kata buat apa PAS nak bertemu dengan Umno sedangkan mereka sendiri meninggalkan Umno kerana benci dengan parti itu yang tidak mampu membela rakyat mahupun orang Melayu, ini termasuk orang di kawasan saya yang cakap," katanya.

Beliau juga mahu isu ini dibincang segera sebelum Muktamar PAS yang dijadualkan pada Ogos ini supaya hal ini tidak menjadi bertambah teruk dan menjejaskan parti. - mks. _

Muzakarah: Spekulasi Bloggers


Pendedahan Dalang-Dalang Yang Hendak Membawa Masuk PAS Ke Dalam Barisan Nasional

Posted by muxisme [malaysia-today.net]

This is an exposition by one of my internal PAS sources. I feel readers will need to know the real picture of the going-ons in PAS. I feel the readers should know that such story of PAS joining with UMNO has it's merits but it is the effort of a small portion of PAS leaders who are already on their way out. And they need to cut this deal to resurrect their dying career.
.
This is a letter from my source name Ahli PAS Dalaman and i feel it should be shared with everyone. However, the accuracy of this report is solely the responsibility of the writer, and not this blog. TQ.
.
Artikel ini mengandungi pendedahan kepada dalang-dalang yang sekarang ini berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan masuk ke dalam Barisan Nasional. Kemuncak dari usaha ini adalah perjumpaan antara Najib Tun Razak bersama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa dan Cikgu Mustafa Ali di London. Najib Tun Razak telah menyatakan tawaran mereka kepada PAS. Tawaran tersebut adalah:
.
a. Jawatan Menteri Besar kepada PAS di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan.
b. Jawatan exco kepada PAS di Terengganu, Pahang, Perlis dan Johor.
c. PAS akan mendapat kesemua kerusi yang dimenangi oleh PKR dan DAP untuk ditandingi dalam PRU ke 12 kelak.
d. PAS akan mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri ke 2
e. PAS akan diberikan 5 jawatan Menteri Kabinet penuh. Sejumlah jawatan Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen. Sejumlah jawatan Senator dan Ahli Majlis dalam GLCh. Dan berbagai2 lagi tawaran yang dibuat.
.
Usaha untuk membawa PAS masuk Barisan Nasional adalah didalangi oleh dua jenis pimpinan dalam PAS:
.
a. Mereka yang sudah menghampiri zaman akhir hayat politik mereka dalam PAS
b. Mereka yang terlampau kepingin jawatan dalam PAS
.
Mereka yang sudah hampir jangkahayat politik mereka adalah:
.
1. Cikgu Mustafa Ali: Beliau adalah dalang no wahid dalam usaha ini.
a. Oleh kerana jangkahayat politiknya sudah menghampiri noktah akhir, maka beliau perlu untuk melakukan sesuatu yang drastika. Beliau telah dijanjikan jawatan Senator seterusnya duduk semula dalam Kabinet sekiranya PAS bersetuju untuk masuk Barisan Nasional
b. Beliaulah yang menjadi “contact point” utama antara UMNO dan PAS dan beliau bertanggungjawab.
c. Malahan, Mustafa Ali adalah orang yang memulakan usaha berjumpa dengan UMNO bagi membincangkan kerjasama UMNO-PAS dan kemasukan PAS ke BN.
d. Segala temujanji dan perjumpaan termasuk perjumpaan di London adalah atas usaha Mustafa Ali. Beliau sekarang ini mengasak Presiden parti, Tuan Guru Haji Abdul Hadi bagi membolehkan Presiden parti menggerakkan PAS menyertai BN
f. Lihatlah betapa sukanya UMNO kepada Mustafa Ali sehingga UMNO sedia memberikan hak penerbitan Harakah dua kali seminggu hanya kerana Mustafa Ali dilihat sebagai “kawan” kepada UMNO
g. Hanya Mustafa Ali sahaja yang telah membawa Perhubungan Negeri pimpinan beliau berjumpa dengan Menteri Besar UMNO. Sedangkan Menteri Besar UMNO di Terengganu lebih zalim kepada PAS berbanding dengan DAP dan PKR. Jelas betapa rendahnya taraf Mustafa Ali sanggup menjual maruah beliau demi kepentingan politik pribadi beliau.
.
2. Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman: Beliau juga sudah menghampiri zaman gelap beliau dan memerlukan satu kejutan usaha yang begitu kuat bagi menyelamatkan karier politik beliau.
a. Beliau sudah tidak ada apa2 lagi dalam PAS Kelantan dan dalam kerajaan Kelantan
b. Jawatan Ahli Parlimen ini hanya sekadar jawatan terakhir sebelum beliau bersara secara terus dari politik
c. Ini adalah peluang beliau untuk membuat “comeback” dlm politik kerana ada jawatan tertentu yang dijanjikan kepada beliau
.
3. Ustaz Harun Taib: Semenjak kekalahan beliau di dalam merebut jawatan Timbalan Presiden, beliau sudah semakin dilupakan. Khabarnya, beliau dijanjikan jawatan exco sekiranya PAS masuk semula ke dalam BN. Oleh kerana itulah beliau adalah antara yang begitu kuat berusaha di dalam membawa PAS ke dalam Barisan Nasional.
a. Beliau berjaya mempengaruhi Dewan Ulama PAS Pusat bagi menyokong usaha kerjasama ini.
b. Beliau juga berjaya mempengaruhi Dewan Muslimat PAS Pusat melalui isteri beliau yang menjadi Ketua Dewan Muslimat Terengganu.
.
.
mahathirisma - Pendapat aku mengenai kolum ini adalah.. Penulis ini cuba memberi gambaran seakan-akan minda pimpinan2 PAS ini lebih kurang sama dengan UMNO.. Walhal, pendokong2 perjuangan PAS ini jelas berbeza jauh dari UMNO memandangkan wadah perjuangannya jelas bertentangan serta melalui wadah ini jugalah ia membezakan nawaitu antara pejuang PAS dengan opportunists UMNO..

Muzakarah: Tulisan Mahfuz Omar


harakahdaily


Siumankah untuk mengatakan PAS bekerjasama dengan Umno?


Mahfuz Omar Wed Jul 02, 08 7:36:34 pm MYT

Tidak semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu. Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam SMS.

Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jelek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.

Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk 'mengahwinkan' PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin 'tidak sah' kerana antara PAS dan Umno memang tidak 'sekufu'. PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno beraqidah Islam Hadhari. Jika Umno itu 'ahli Kitab' ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri.

Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus 'menjual mahal' dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri. Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini.

PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam Parlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat. Maka ternyatalah 129 ahli-ahli Parlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat.
PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum.

PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut disertai oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama. PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato' Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS, Dato' Onn menang di Terengganu.

PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party. Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan.

Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC. Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS!

Dengan Umno sendiri, PAS sudah dua kali berpengalaman. Pada 1953, atas usaha keras bapa Perdana Menteri, Ustaz Haji Ahmad Badawi, PAS meninggalkan Dato' Onn dan National Conference untuk menyertai National Convention yang ditaja oleh Umno-MCA. Apabila berunding tentang pilihan raya pertama, cadangan PAS untuk membela kepentingan orang Melayu dengan menolak jus soli dalam hak mengundi serta menambahkan wakil ekonomi Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan telah ditolak Umno. Umno bersikap demikian kerana menjaga kepentingan MCA. PAS tidak dapat menerima kerjasama yang membunuh bangsa sendiri, lalu keluar daripada National Convention sebelum 1953 berakhir.

Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS memandang kepentingan perpaduan nasional dan survival politik orang Melayu. Walaupun Muktamar Khas PAS meluluskan dengan majoriti mudah ' sebagai tanda berat hati PAS ' Kerajaan Campuran PAS-Perikatan dibentuk pada 1973. Kemudian PAS bersama-sama parti lain menubuhkan Barisan Nasional pada 1974.

PAS yang mencadangkan nama Perikatan ditukar kepada BN dan simbol dacing itupun dicadang oleh Dato' Mohd Asri bagi menggantikan Kapal Layar. Tun Ghafar Baba melukiskan simbol dacing itu. Tetapi Umno mengkhianati PAS dengan memainkan peranan untuk melagakan pimpinan PAS di Kelantan, kemudian didaruratkan Kelantan.

Akibat darurat itu, PAS kehilangan Kelantan yang dikuasainya sejak 1959. PAS terpaksa menentang usul mendaruratkan Kelantan kerana percaya ada tujuan politik sulit di sebalik undang-undang darurat itu. Tetapi PAS tidak mengkhianati BN dengan keluar dari pakatan itu seperti yang dilakukan oleh PBS pada 1990 dahulu. Sebaliknya, Umno yang mencadangkan supaya PAS disingkirkan pada Disember 1977 dan akhirnya PAS tidak lagi sebulu dengan Umno.
Sejak itu, PAS sentiasa ditindas dalam berbagai-bagai isu seperti pembunuhan 14 orang aktivisnya dalam tragedi Memali, Ops Lalang, Ops Kenari dan lain-lain. Namun, PAS masih bersedia duduk semeja dengan Umno ketika membantah isu nuklear dan isu Palestin kerana kepentingan kemanusiaan.

Hari ini apabila Umno sudah tersepit, mereka mencari PAS semula seperti mana Tun Razak lakukan dahulu. Mereka sanggup tawarkan apa sahaja jika PAS bersedia. Tidak cukup dengan itu, dek cemburu oleh kejayaan kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat di lima buah negeri, mereka melancarkan perang saraf kononnya PAS sedang berunding dengan Umno. Mereka mahu PAS renggan dengan rakan Pakatan Rakyat dan terus menggoda PAS supaya terima sahaja tawaran mereka.

PAS sedar tawaran ini bukannya untuk menjayakan matlamat politik PAS, tetapi memberikan nyawa baru kepada Umno yang sudah tidak diyakini lagi oleh rakan-rakan BN mereka. Bila ada wartawan mengatakan PAS adalah 'real kingmaker', Umno merasakan PAS pasti terjerat.

PAS tidak akan mengambil sikap demikian walaupun ada pandangan pemerhati politik picisan yang melihat bahawa PAS perlu memanfaatkan peluang ini jika mahu melaksanakan dasar-dasar Islam yang diperjuangkannya. Pemerhati-pemerhati politik ini berpandangan bahawa PAS masih sukar 'bernafas' dalam Pakatan Rakyat yang ada DAP. Mereka membangkitkan keadaan di Selangor yang kononnya lebih 'mesra kandang babi' daripada 'mesra masjid'. Inilah peluang PAS untuk memaksa Umno melaksanakan Islam, kata mereka.

Ada kebenarannya. Tetapi kepimpinan PAS melihat bahawa tawaran kerjasama dengan Umno ini tidak akan membawa PAS ke matlamatnya, sebaliknya menjadi alat untuk memulihkan semula Umno yang sudah parah itu.

Pada saya, walaupun banyak perkara yang perlu dirunding dan disepakati oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri, tetapi semua harus faham umur Kerajaan Pakatan Rakyat baru mencapai 100 hari dan amat memerlukan kesabaran dan komitmen semua pihak.

PAS tetap bersabar dengan karenah rakan-rakan yang baru belajar memerintah dan yakin rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak memandang sebelah mata kepada PAS. Kesemua pihak dalam Pakatan Rakyat mestilah boleh menerima dan memberi. Apa yang penting semua parti mesti setia sebagai rakan pakatan. Ketiga-tiga parti mesti melihat bahawa setiap antara mereka ada wibawanya yang harus dihormati. Hanya dengan itu sahaja pakatan ini boleh dipertahankan.
Jika ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat adil sesama senndiri, maka saraf Umno untuk memecahkan pakatan ini akan menjadi seperti menjual buah yang tidak laku dan akhirnya busuk begitu sahaja. Tetapi, jika kita sengaja membiarkan ketidakpuasan hati ahli-ahli dan penyokong-penyokong pakatan di bawah, mungkin mereka akan berubah sikap terhadap pakatan ini.

Sebab itu mungkin ada ahli dan penyokong-penyokong bersikap positif dengan desas-desus kerjasama ini. PAS sudah beberapa kali belajar daripada 'eksploitasi politik' Umno ini dan adalah mustahil PAS dipatuk pada lubang yang sama sekali lagi. Pimpinan tertinggi PAS sudah bertegas bahawa tidak akan ada rundingan dan kerjasama politik PAS-Umno selagi Umno dengan wajah yang sedia ada. Mursyidul Am PAS sudah bertegas dalam soal ini.

Pada masa ini ahli-ahli PAS atau ahli serta penyokong Pakatan Rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ini. Ia adalah serangan minda untuk melumpuhkan Pakatan Rakyat bagi menyelamatkan masa depan Umno. Pimpinan PAS amat sedar tentang siuman atau tidak untuk menerima kerjasama ini. Kalau kita percayakan khabar angin ini, maka kita seolah-olah tidak siuman sebenarnya, bahkan Umno sendiripun tidak siuman jika terus mewar-warkan berita palsu ini.

Bukan PAS namanya jika kita meninggalkan harapan besar rakyat, kerana mengejarkan pangkat dan wang ringgit yang ditaburkan. Lebih tidak siuman jika kagum dengan dunia sehingga melupakan perjuangan panjangnya. Adalah menjadi tanggung jawab PAS untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat yang dibinanya dan 'memuziumkan' Umno bersama kebobrokannya.

Muzakarah: Minda Roslan SMS


Roslan SMS


Berbaik sangka dan berlapang dada

Baru sahaja Presiden PAS mengakui yang PAS memang ada membuat pertemuan dengan Umno bagi merintis jalan membincangkan hal Islam dan Melayu, terus-terusan pelbagai rekasi diterima samada dari kalangan pimpinan PAS, ahli-ahli, mereka yang mengundi PAS, orang awam, termasuklah mereka yang mengakui dirinya PAS.Ada yang memberikan rekasi positif ada juga yang tidak bersetuju dan ada yang mahukan penjelasan lanjut. Apa pun ternyata pengakuan berani Tuan Guru Presiden itu telah mendapat tumpuan seluruh rakyat termasuklah pimpinan gerakan Islam sedunia.

Tuan Guru Presiden baru membuat kenyataan ringkas enam perenggan, tetapi sudah ada yang mahu bersilat, mahu menerajang, mahu menjatuhkan hukum malah ada yang tergamak mencabar beliau agar keluar PAS! Itulah politik, kalau semuanya sedap dan mudah, bukan politik namanya.

Saya masih ingat pada akhir 70an dan awal 80an kehadiran beliaulah yang telah menyuntik semangat para pejuang PAS untuk menjulang parti itu kembali bertapak dihati umat Islam. Berpayungkan semangat “Kepimpinan Ulamak” gelombang yang dipelopori beliau dan rakan-rakan pimpinan muda ketika itulah yang telah menarik minat ramai untuk kembali kepada PAS setelah saham PAS jatuh dipenghujung era Asri Muda.

Ketika saya masih menuntut di IPTA majalah yang berpusat di Hong Kong “Asiaweek” telah menobatkan Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang sebagai “the greatest orator in South East Asia” (pemidato tersohor di Asia Tenggara). Beliau bukan sekadar menjelajah Malaysia malah ke setiap pelusuk dunia, berforum, berdebat mempertahankan Islam disaat ramai kita sudah berputus harap pada kebangkitan semula PAS. Mungkin ada diantara kita yang panas dan bergelojak darah mudanya hari ini masih belum pandai berjalan lagi pun ketika itu.

Kaset-kaset dan rakaman Tuan Guru lah (termasuk kaset pengajiannya dari Rusila dan Masjid Mujahedeen, Damansara Utama) yang telah menambat hati anak-anak muda untuk mendekati gerakan Islam malah ramai pimpinan yang ada pada hari ini samada secara langsung atau tidak telah terpengaruh dengan PAS hasil didikan dan sumbangan beliau ketika itu. Disaat itu PAS terpaksa bersaing dengan gerakan dan badan Islam lain di Malaysia, ABIM, Arqam, Tabligh dan lain-lain sehingga hampir ia tenggelam tetapi Tuan Guru dan rakan-rakan ketika itulah benteng kekuatan PAS.

PRU 1982, melalui kepimpinan beliau PAS telah menembusi kubu kuat BN di Terengganu sehingga akhirnya melontarkan beliau dan 4 orang pimpinan lain masuk ke DUN Terengganu setelah sekian lama ia gersang dari suara PAS (Tuan Guru terus menjadi YB samada ADUN atau ahli Parlimen atau kedua-duanya sejak itu sehingga kini). Anjurlah apa pun ceramah ketika itu tetapi jika dibariskan bersekali dengan kehadiran Tuan Guru pasti melaut bilangan yang hadir.

Lantaran sumbangannya yang terlalu besar itulah maka hari ini setelah perginya seorang mujahid besar, Almarhum Ustaz Fadhil Nor, maka Tuan Guru naik memegang amanah sebagai Presiden PAS atas kesepakatan dan pengiktirafan semua.Kikislah segala prasangka dan pandangan buruk terhadap beliau. Janganlah kerana marah dan tidak sebenarnya faham akan apa yang berlaku lalu kita mudah meletakkan insan besar ini setaraf dengan musuh-musuh kita yang lain.

Benar Tuan Guru bukannya Fadhil Nor, bukan juga Yusof Rawa atau Asri atau Burhanuddin al Helmy atau Zulkifly Muhammad, tetapi beliau pada hari ini mengetuai PAS dalam keadaan posisinya yang paling hebat dalam sejarah parti yang lebih separuh abad usianya itu. PAS berada ditahap pencapaian itu pada hari ini bukan kerana beliau seorang, tetapi sumbangan seluruh anggota jemaah, walaubagaimanapun hakikatnya PAS hari ini berketuakan beliau.

Berilah ruang dan peluang pada beliau. Berbaik sangka dan berlapang dadalah insyallah kepada Tuan Guru Rusila yang darahnya mengalir pekat dengan kecintaan pada Islam yang tidak pernah kunjung padam itu.

Ubaidah bin al Samit berkata Nabi saw memanggil kami maka kami melakukan mubayaah kepadanya. Nabi menyatakan tentang tanggungjawab kami iaitu:

Hendaklah kami bermubayaah untuk dengar dan patuh dalam keadaan kami suka atau kami benci, dalam keadaan senang atau susah dan juga janganlah kami pentingkan diri sendiri dan janganlah kami mempertikaikan arahan ahlinya (pemimpin) kecuali apabila kamu melihat kekufuran yang nyata sedang berlaku dengan berdasarkan dalil dari Allah swt.
Ya Allah berilah kekuatan kepada pemimpin kami untuk memimpin kami berdasarkan seruan dan tuntutan Mu. Dan berilah kekuatan kepada kami untuk bersama-samanya dalam kedaaan senang atau susah demi memartabtkan agama Mu.

Peralihan kuasa, Abdullah sedang pergunakan Najib?


harakahdaily


Wan Nordin Wan Yaacob Foto Nasir Sudin Tue Jul 22, 08 5:48:01 pm MYT

KUALA LUMPUR,22 Julai (Hrkh)
- Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid merumuskan bahawa Pelan Peralihan Kuasa 2010 yang disetujui antara Perdana Menteri,Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak adalah jalan untuk Abdullah menutup ruang Najib bertanding jawatan Presiden Umno.

"Keputusan ini adalah satu keputusan yang tak berapa tepat.Menganggap pada tahun 2010 Abdullah masih PM sedangkan pertandingan dalaman Umno pada bulan Disember ini, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) nak lawan dia.

"Kalau Ku Li menang, maknanya tahun 2010 Abdullah tak boleh serah jawatan kepada Najib.Masa itu dia tak pegang jawatan apa-apa sebab masa itu dia bukan Presiden Umno lagi.
"Jadi bagi saya sebenarnya hak untuk menentukan siapa Perdana Menteri dan Presiden Umno ialah perwakilan Umno.
Tidak adillah jika hak perwakilan Umno itu kita ambil," katanya ketika diwawancara Harakah baru-baru ini.

Menurut Sanusi, sekarang ini yang menjadi masalah ialah Najib, kerana baginya jika anak Tun Razak itu teringin untuk menjadi PM pada tahun 2010 Najiblah yang kena kerja kuat supaya Abdullah dapat pencalonan banyak dan menang dalam pertandingan.

Baginya, jika Najib buat kerja itu untuk memenangkan Abdullah kenapa beliau tidak buat kerja untuk memenangkan dirinya (jawatan Presiden Umno), lebih-lebih lagi sekarang ini dalam Umno Najib lebih popular berbanding Abdullah.

"Satu lagi kita dapati dalam Umno hirarki sekarang ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin orang yang duduk di tahap Naib Presiden, jadi Naib Presdien ini tinggi iaitu orang ketiga dalam Umno, jadi Mahyuddin pula dia dah bagi tahu bahawa dia akan bertanding untuk Timbalan jadi tak adillah bagi Abdullah untuk halang Muhyiddin bertanding timbalan," katanya.

Tambahnya, kalau Muhyiddin bertanding timbalan, Najib pula dengar cakap Abdullah maka bagi Sanusi akan berlakulah pertandingan antara Najib dengan Muhyiddin.

"Jadi dalam keadaan sekarang ini belum tentu Najib boleh menang untuk jawatan timbalan jika lawan Muhyiddin, walaupun dia ada peluang besar nak menang jika dia lawan Abdullah Badawi," katanya.

Beliau berpendirian, inisiatif untuk mencadangkan formula 2010 ini kerana barangkali Abdullah telah nampak saingan kuat daripada Ku Li bagi jawatan Presiden.

"Jadi bila dia nampak saingan kuat daripada Ku Li ini, kalau dia nak kena lawan Ku Li untuk jawatan Presiden tanpa sokongan daripada Najib, tentunya dia akan kecundang.

"Sebenarnya yang main peranan menangkan ini ialah bukan Abdullah tolong Najib tetapi Najib tolong Abdullah, kerana Abdullah ini dia sekarang ini sedang 'memfaraidkan' harta yang bukan dia punya, jadi dalam Islam tak adalah konsep itu , jawatan itu bukan dia punya tetapi dia ambil jawatan itu dia nak suruh Najib kempen untuk dia," ujarnya.

Mengulas mengenai sebarang kemungkinan Presiden Umno akan mengubah pendirian pada tahun 2010, Sanusi berkata, Abdullah sangat terkenal dengan perubahan pendirian dalam masa yang segera.

"Macam itu juga dia janji pada tahun 2010, tiba-tiba pada tahun 2010, nampak Najib makin lemah, dia pun kata nak bantu Najib dia teruskan sampai 2013, tambah lagi," katanya.

Muzakarah: Minda Nik Abduh


nikabduh.wordpress.com

Salam Kamunting,

Ramai datang bertanya saya mengenai rundingan PAS-UMNO. Saya jadi laku untuk disoal sebab saya sendiri telah menulis di laman ini mengenainya.

Saya menyokong, sedang yang bertanya itu pelbagai. Ada yang datang bertanya sambil membawa kalungan tahniah, ada yang membawa selambak kekeliruan dan yang betul - betul berang dan marah, belum datang lagi walaupun ada yang memang betul - betul berang dan marah dengan tulisan saya.

Bila saya jawab, harapan saya ia menenangkan mereka. Itulah harapan daripada sebuah jawaban. Tapi, siapalah saya untuk menenangkan semua, sedang persoalannya adalah besar. Ia isu terbaru politik semasa walaupun ia bukanlah baru dalam politik Malaysia, apatah politik Islam.

Saya rasa elok untuk dikongsi beberapa persoalan dan jawaban yang merungkai.


1) Bila Islam akan berdaulat di Malaysia dan bagaimana?

Jawaban saya: Bila itu janji Allah. Bila Allah berjanji maka janjiNya adalah benar dan dekat. Dunia ini terlalu dekat dan akhirat itu tidak jauh. Cukuplah bagi seorang mukmin itu sebuah keyakinan yang terpaku di hatinya. Keyakinanlah asas segala pergerakan dan natijahnya.

Bagaimana? Ia berlaku dengan sunnah Allah dan jadualNya. Islam itu milikNya dan kita hanya menikmati perjalanannya. Apabila Allah menghendaki, dijadikan hambaNya yang beriman itu tersedia dengan kekuatan yang cukup, kualiti dan kuantiti, lalu tercetuslah kemenangan yang di nanti.

Kualiti itu mendahului. Ia bermaksud taqwa, ikhlas dan menjadikan ar Rasul sebagai ikutan ( mutaba’at ul Rasul ). Kemudiannya adalah kuantiti. Dihijrahkan ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam demi menyempurnakan tuntutan bilangan yang diperlukan untuk sebuah kemenangan Islam. Dulu satu mampu menewaskan sepuluh. Adapun untuk ummat Nabi akhir zaman, ia memerlukan satu jumlah yang lebih baik ( Rujuk al Anfal:64-65 ).

Bagaimana di Malaysia? Ia sama. Sunnah Allah berjalan. Dalam bicara konteks demokrasi pilihan raya hari ini, Islam akan berdaulat dengan penyempurnaan tuntutan sunnahNya jua.
Kita perlukan undi kualiti. Setiap kita ada satu undi. Tetapi undi seorang ‘Carburator Dung’ untuk PAS tak sama dengan undi seorang tuan guru. Undi tuan guru mengaut ribuan undi pengikutnya. Itulah undi kualiti. Jikalah kita pemilik undi kualiti.

Maka tiadalah jalan untuk perjuangan ini tanpa kehadiran para ulama yang bertaqwa.
Kemudian, kita perlukan undi umat Islam yang ramai. Islam didaulatkan oleh umatnya jua.
Tiada dalam sunnah Allah golongan bukan Islam menjadi pendukung kemenangan sebelum umat Islam sendiri. Mereka sekadar membantu. Sesetengah mereka yang dibuka pintu hatinya oleh Allah. Allah memegang hati setiap manusia.

Bangsa Melayulah yang akan memenangkan Islam di Malaysia jika ianya hari ini. Melayu adalah kekuatan Islam. Yang akan memenangkan Islam di Malaysia adalah Melayu PAS, Melayu UMNO dan semua Melayu. Kemudiannya adalah undi muslim bukan Melayu. Undi mereka mungkin lebih berkualiti tetapi bukan pada kuantitinya.

Kemudiannya pula adalah undi bukan Islam. Beberapa individu bukan Islam ( musyrikin ) membantu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam di dalam perjuangan baginda. Di dalam negara kita, akan ada sekelompok bukan Islam yang terpesona dengan Islam dan kecewa dengan sistem lain yang akan membantu Islam. Ramaikah? Mungkin, tetapi ia tak mungkin diimpikan daripada mereka melebihi harapan kepada umat Melayu Islam sendiri.

Gobala mungkin ya, tetapi belum lagi Tian Chua, apatah Xavier Fernandes.

Di Kelantan, Islam tidak menang kecuali sesudah Melayu UMNO dan Melayu atas pagar beralih kepada PAS. Samada mereka mendaftar sebagai ahli PAS atau Allah memaut hati mereka untuk mengundi PAS. Jadilah PAS menang dalam demokrasi berpilihan raya.

Justeru, kemenangan Islam adalah melalui gerakan Islam yang dipimpin ulama ( kualiti ) dengan sokongan bangsa Melayu seramainya.

Jika anda memahami ini, maka anda akan faham mengapa orang UMNO begitu bernilai untuk PAS demi kemenangan Islam.

Jika anda memahami ini, maka anda akan faham bagaimana mendekati UMNO adalah tuntutan yang tidak akan berubah dan pudar.

Jika anda memahami ini, anda akan faham betapa berusaha memecahkan tembok keras UMNO yang memagari dan menutup orangnya daripada didekati adalah tuntutan sepanjang masa.

Jika anda sudah faham, fahamilah bahawa berunding dengan UMNO yang telah membuka pintu itu adalah peluang keemasan untuk memperkenalkan Islam kepada ahli UMNO yang telah lama dikongkong pemikiran mereka.

Saya mengupas dalam konteks kita di dalam sistem demokrasi hari ini. Allah lebih tahu bila dan bagaimana sebenarnya. 1% adalah usaha, 99% adalah tawakkal. Sekelumit kecil daripada kita.
Itupun kerana Allah inginkan untuk kebaikan kita. Seagungnya adalah penyerahan segala daya dan upaya kepada Allah jua. Itulah akidah kita para pejuang.

2) Tidakkah UMNO itu ditakuti kejahatan mereka dan disempadani tipu daya dan makar mereka? Apa lagi yang diharapkan daripada mereka selepas mereka sendiri menetang Islam mendahului DAP sendiri?

Jawaban saya: Ya, sejarah kejahatan UMNO siapa boleh mengubahnya? Tipu daya adalah sebahagian kejahatan. Tetapi, adakah penyelesaiannya adalah dengan hanya menjauhinya?
Sedang anda memerlukan orang UMNO untuk didekati. Memanggil dari jauh tidak sama dengan memanggil dari dekat. Dari dekat anda mudah didengari dan mudah dikenali.

Adakah kita ini buruk sehingga dijauhi sesudah dikenali atau kita pasti didampingi sesudah dikenali kebaikan kita?

Kemudian, adakah kita sudah begitu lemah untuk berhadapan tipu daya mereka? Mengaku kalah sentiasa selepas perit ditipu berkali - kali. Adakah kita lemah atau bilakah pula kita akan gagah? Tidakkah kita sendiri yang berkata dan berbangga bahawa kitalah lebih kuat hari ini?

UMNO jahat kerana mereka berkuasa. DAP sudah pun tunjuk belang sebelum mereka berkuasa. Mereka tidak pernah menerima sistem Islam. Hanya wujud beberapa individu yang tampak bersedia menerima. Apa beza dengan UMNO? Anda yakin mereka lebih baik? Yakin? Atau itu hanya satu telahan daripada jutaan. Anda kata UMNO sudah terbukti. Saya kata, DAP sudah terbukti. Adakah anda menunggu bukti sesudah mereka berkuasa?

Kemudian, sudahkah anda membaca dan memahami ayat ini ( al Anfal:61-62 ) sejelasnya sebelum anda bermati - matian bertempik - tempik menolak rundingan dan menganggap bodoh terhadap penerima rundingan ( sebagaimana ucapan seorang pemimpin di PUTIK ) ?

Mari saya tuliskan maksudnya: “Dan jika sekiranya mereka ( musuh ) condong untuk berdamai, maka condonglah kamu kepadanya ( terimalah perdamaian ) dan bertawakkallah kepada Allah. sesungguhnya Dialah tuhan yang maha mendengar dan maha menegtahui. Dan jika mereka mahu menipu dayamu, maka cukuplah Allah untukmu ( sebagai pelindung ). Dialah tuhan yang memperkukuhkan engkau dengan pertolonganNya dan dengan orang - orang yang beriman.”

Lebih cemerlang jika anda memahami bagaimana ayat ini menyusul selepas ayat ke 60 dan disusuli ayat 63. Di situ ada keindahan sungguh. Belajar berilmu dan jangan asyik membodohkan orang. Nanti kamu diperbodohkan.

Ayat di atas mudah difahami maksudnya. Tetapi anda akan lebih jelas jika menelaah tafsirnya. Cari dan baca sendirilah. Saya malas nak tulis panjang - panjang.

Kemudian pula, sudahkah anda meneliti dan fana dengan fiqh perjanjian Hudaibiyah di antara ar Rasul dan kaumnya yang musyrikin di Makkah? Jelaskah di kotak faham anda bagaimana demi perdamaian dan keluhuran, ar Rasul memilih penangguhan 10 tahun ( atas kertas perjanjian ) memasuki Kota Makkah dengan kemenangan daripada memilih kemungkinan kemenangan keesokannya melalui serangan dan libasan pedangnya yang perkasa ke atas kota pembukaan itu?

Cerita panjang Hudaibiyah bacalah sendiri. Ada masa saya akan ulas, insya Allah. Sekarang saya malas.

Kita hanya tahu politik perang dengan UMNO. RasuluLlah tahu berperang dan tahu berdamai dengan UMNO Makkah. Baginda mengajar kita politik.
Adakah anda tak nak belajar politik damai sesudah anda mahir politik perang? Nak tak nak? Hah..?

Atau, jika anda mahu menjenguk ke Palestin hari ini, maka di sana ada pelajaran.

Israel itu zalim dan terzalim. Ia membunuh dan membakar. Antara senjatanya, perjanjian damai. PLO seribu kali terperangkap dalam perdamaian. Kemudian datang HAMAS yang lebih baik sebagai pengganti demi perjuangan yang lebih suci.

Adakah HAMAS berkata, NO for peace with Israel? Tidakkan? HAMAS terlibat dengan pertemuan, rundingan dan gencatan senjata dengan Yahudi itu. Bezanya, HAMAS lebih sedia dan lebih cemerlang berbanding PLO dan Fatah sebelumnya. HAMAS pun ditipu, tetapi Israel mengaku HAMAS semakin kuat.

Begitu politik damai!

PAS dan HAMAS, pada perjanjian Hudaibiyah itu adalah ikutan yang baik buat semua pejuang Islam.

Saya tidak akan kata PAS pasti bertambah kuat selepas berdamai dengan UMNO. Saya hanya akan kata, PAS mungkin akan bertambah kuat. Pandai - pandailah pemimpin kita bawa diri. Struktur parti PAS gagah untuk membuat keputusan. Saya yakini.

UMNO tidak akan rugi jika PAS kuat. UMNO hanya rugi jika mereka semakin jauh daripada Islam. PAS untuk semua. PAS untuk UMNO dan PAS untuk bukan Islam juga.

3) Bagaimana dengan PKR? Tidakkah kita diangap pengkhianat? Kita pengkhianat rakyat?

Saya yakin PKR tidak akan dipinggirkan. Salah besar jika PAS meminggirkan PKR. Tetapi salah lebih besar jika PKR meminggirkan Islam. Jika PKR meminggirkan kepentingan Islam, PKRlah yang mengkhianati PAS.

Saya hanya tahu bahawa PAS berkerja sama dengan PKR sesudah wujud persefahaman bahawa PKR, jika diberi kuasa bersama, mereka akan memberi ruang lebih selesa untuk Islam dan menyekat usaha - usaha membantutkan laluan kepada Islam. Itulah yang saya tahu dan itulah yang anda kena tahu kerana itulah siasah syar’ieyah pada segala maksudnya ( maqasid ).

Selepas pilihan raya yang menyaksikan segenggam kuasa telah diberi dan PKR diberi mandat untuk terus memburu kuasa, PAS menuntut satu penegasan semula atas jaminan sebelumnya.

Apakah jaminan untuk Islam yang lebih baik jika bersama PKR? UMNO sudah datang dengan tawaran baru yang tidak pernah dicadangkannya sebelum ini. UMNO datang begitu sebab mereka lemah dan mereka mengaku kita kuat hari ini. Saya yakin tawaran UMNO menggiurkan. Di dalamnya ada madu. Di dalamnya ada racun juga.

PAS perlu mengukur pada pengukur Allah. PAS hanya setia pada satu iaitu Islam. Selagi Islam, PAS tidak akan khianat pada rakyat. Ini, kecualilah rakyat lari daripada Islam. Maka jangan kata PAS khianat. Yang khianat ialah rakyat.

Politik tiada hukum selain siasah syar’ieyah. Siasah syar’ieyah bergerak bagai air yang mengalir. Di mana Islam dijunjung, di situlah ia bertakhta.

Jangan hidup dalam teka teki kehidupan. Teka teki membingungkan. Hiduplah pada yang pasti. Tiada yang pasti selain Islam.

4) Adakah PAS akan bergabung dengan BN?

Dua yang saya tahu dan dua yang saya tak tahu.

Yang saya tahu ialah pertemuan telah berlaku. Mungkinkah akan wujud persefahaman, saya tak tahu.

Yang saya tahu ialah tiada pernah wujud usaha bergabung dengan BN. Ia jauh sekali dari tuntutan siasah syar’iyah hari ini. Mungkinkah ia berlaku, saya tak tahu.

Saya harapkan persefahaman berlaku demi Islam. Saya tak harapkan penggabungan berlaku.
Saya tak nampak baiknya berbanding hodohnya.

5) Tidakkah ahli PAS akan marah jika perdamaian PAS - UMNO berlaku? Bagaimana jika rakyat marah, apatah bukan Islam?

Adakah anda boleh bayangkan ahli PAS akan marah pada pemimpinnya? PAS bergerak dalam kerangka sebuah gerakan Islam. Ia hidup dengan kekuatan sendiri yang tiada dalam parti politik lain. Dengan jaminan seorang ketua dan syura yang ditaati, adalah sukar dibayangkan ahli bangkit melawan.

Marah itu mungkin berlaku. Marah itu tanda sayang. Marah itu akan reda bila datang keredhaan.

Ya, rakyat mungkin marah sesetengahnya. Tapi ia akan diganti dengan yang lain. Rakyat adalah sokongan yang ditagih, tetapi dalam politik ia seperti angin. Ia datang dan ia berlalu. Yang tetap hanyalah daripada yang memahami perjuangan.

Begitulah bukan Islam. Dalam sejarah politik Malaysia, PAS bukan pengkhianat bangsa dan negara, apatah agama.

Chandik FC: Perlawanan Kedua Liga Fantastico

Tarikh: 20hb Julai 2008 (Ahad)
Lokasi: Padang Bolasepak, Institut Penyelidikan Getah, Lembaga Getah Malaysia (LGM), Sungai Buloh, Selangor
Masa: 05:30 petang

Skuad Chandik FC telah berjaya mengikat pasukan Shah Alam FC 1-1 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan dalam kempen Liga Fantastico.

Shah Alam FC yang dibarisi beberapa bekas pemain negeri dan kebangsaan seperti P.Gunalan dan Farid Dewan mendahului pada separuh masa pertama hasil jaringan Farid.

Manakala, kesilapan P. Gunalan yang cuba mengeluarkan bola hantaran silang di depan gol membawa padah apabila tandukannya menuju tepat ke arah golnya sendiri.

mahathirisma - Aku main posisi right back tetapi terpaksa dibawa keluar pada awal 2nd half sebab ter'gelecoh' kaki kanan akibat padang tak rata.. Dapat la M.C. dua hari.. Hehe