Showing posts with label guchil. Show all posts
Showing posts with label guchil. Show all posts

Monday, June 29, 2009

Manek Urai: Abe Uji Ikey calon PAS



Setelah sekian lama beliau berjuang di sebalik tabir tanpa meminta jawatan atau kuasa dari pimpinan parti, akhirnya dengan kesabaran, istiqamah dan merendah diri, beliau diberi peluang oleh pimpinan parti (dengan restu tok Guru) mewakili PAS dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai.
Alhamdulillah.

Thursday, June 25, 2009

manek Urai: Status Calon PAS

malaysiakini

PAS Kuala Krai mesyuarat semula pilih calon

Muda Mohd Noor Jun 24, 09 5:43pm

Dua hari lalu, mesyuarat ahli jawatankuasa PAS kawasan Kuala Krai bersetuju memilih bendahari kawasan itu, Fauzi Abdullah untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, ada di kalangan ahli jawatan terbabit 'menukar fikiran' dan mahu calon lain dipertimbangkan untuk bertanding di situ.

Berikutan itu, PAS kawasan Kuala Krai terpaksa mengadakan mesyuarat sekali lagi - dijangka esok, sehari sebelum pengumuman Jumaat ini - untuk memilih semula calon untuk dicadangkan kepada PAS pusat.

Menurut seorang ahli jawatan PAS kawasan itu, Zulkifli Yaacob, dalam mesyuarat dua hari lalu, dua nama - Fauzi dan beliau sendiri - telah dicadangkan untuk menjadi calon PAS di Manek Urai.

Bagaimanapun, katanya, beliau menarik dan diri dan mesyuarat memutuskan untuk mencadangkan nama Fauzi untuk pertimbangan PAS pusat.

Namun begitu, katanya, tidak lama selepas keputusan itu dibuat, ada beberapa ahli jawatankuasa yang kurang setuju dengan pemilihan Fauzi dan mahu beberapa nama lain diteliti untuk dipertimbangkan.

"Yang dipertua PAS kawasan, Abdul Latif Abdul Rahman menelefon saya meminta pendapat mengenai calon yang sesuai untuk DUN Manek Urai.


Tambah dua nama lagi

"Saya mencadangkan nama Mohd Zamzuri Mat Lazim - bekas calon PAS yang kalah DUN Manek Urai dalam pilihanraya umum tahun 2004," katanya.

Zulkifli berkata, Abdul Latif juga bertanya kepadanya sama ada akan timbul masalah jika Zamzuri dipilih menjadi calon PAS Manek Urai.

"Saya kata, kita akan selesaikan masalah itu secepat mungkin," katanya tetapi enggan menyatakan apakah masalah tersebut.

Selain Zamzuri, katanya, nama setiausaha PAS kawasan Kuala Krai, Mohamad Harun, turut dimasukkan dalam senarai baru itu yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, yang dijangka diadakan esok.

Menurutnya, PAS akan mengumumkan nama calonnya bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai, dalam satu majlis pada Jumaat malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga menteri besar Kelantan, dijangka hadir.

Friday, May 22, 2009

Al-Fatihah buat Pok Su Wil (ADUN Manek Urai)

Terkejut dengan berita yang baru diterima ini. Walaupun ayahandaku pernah memberitahu yang Pok Su Wil selalu uzur tetapi dalam keadaan itu beliau masih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin di kawasan beliau.

Pok Su Wil sebenarnya baru sahaja mengekalkan jawatan beliau selaku Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Krai baru-baru ini. Namun begitu, sesungguhnya Allah lebih menyayangi beliau.

Semoga beliau sentiasa bersama dengan mereka yang beriman dan dirahmati Allah di atas perjuangan dan pengorbanan beliau di kawasan pedalaman khususnya Manek Urai dan Kuala Krai amnya.

Al-Fatihah.
____________________________

harakahdaily.net

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob kembali kerahmatullah
Harakahdaily Fri May 22, 09 9:28:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) -Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Manik Urai, Haji Ismail bin Yaacob, 60 meninggal dunia selepas subuh sebentar tadi.

Haji Ismail dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya (penyakit gout, kencing manis) sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Menurut laporan beliau akan dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Paksu Wel antara Adun yang paling lama di Kelantan.

Beliau memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986. Sehingga sekarang beliau sudah lima penggal mewakili Dun berkenaan.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak bertanding dan Dun Manek Urai diwakili Ustaz Zamzuri Mat Lazim, Tetapi tewas kepada calon BN. - azm _

Friday, February 13, 2009

Berita dari Kuala Krai: 13hb Februari 2009 [Jumaat]

Sinar Harian

Edisi Kelantan - Berita Daerah

Pemimpin dekati rakyat erat hubungan

KUALA KRAI - Setiap program yang dianjurkan oleh wakil rakyat adalah bertujuan untuk mendekatkan diri dengan masyarakat dan orang ramai diminta tidak segan untuk tampil bertemu wakil rakyat mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria berkata, setiap program yang dianjurkan beliau adalah untuk turun padang bertemu penduduk sekitar dan beliau berharap orang ramai juga dapat menghubungi beliau di pejabatnya sekiranya terdapat sebarang permasalahan untuk diajukan kepadanya.

”Program ramah mesra seperti ini sering kita adakan dari semasa ke semasa untuk mendekatkan diri dengan masyarakat. Biasanya program kita adakan di pekarangan pejabat saya di Taman Orkid, tetapi kali ini kita adakan di pekarangan Tokong Cina di bandar Kuala Krai ini untuk menunjukkan kita tidak pilih kasih kepada mana-mana kaum.

”Semua kaum mendapat hak yang sama di sisi kami kerana anda semua yang telah memilih kami sebagai wakil rakyat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis sambutan Chap Goh Meh semalam.

Tuan Zamri Ariff berkata, masih terdapat sesetengah penduduk yang belum mengetahui kedudukan pejabatnya di Taman Krai dan masih belum pernah berjabat tangan dengannya dalam sesuatu majlis.

”Orang ramai perlu peka untuk mendekati pemimpin kerana anda yang telah memilih kami sebagai wakil. Sekiranya terdapat majlis ramah mesra seperti ini, hadirlah beramai-ramai kerana kita akan dapat berkenalan dan berinteraksi sekiranya terdapat permasalahan yang ingin diajukan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak mengira kaum tidak perlu segan untuk hadir bertemu wakil rakyat mereka bagi berkongsi segala permasalahan dan ia akan cuba diselesaikan mengikut saluran terbaik yang difikirkan mampu.

Sinar Harian difahamkan, kawasan Guchil mempunyai bilangan penduduk pelbagai kaum yang paling ramai selain Melayu. Kaum Melayu dan Cina lazimnya menetap di kawasan bandar dan sebahagian kecil kaum India berada di kawasan Ladang Taku.

Selain itu katanya, perpaduan adalah amat penting dalam menjalani sebuah kehidupan bermasyarakat berbilang kaum seperti yang ada di Malaysia ini dan ia perlu dikekalkan sampai bila- bila.

Dalam majlis tersebut yang diadakan semalam turut dimeriahkan dengan kumpulan tarian singa iaitu acara wajib bagi sambutan perayaan kaum Cina.

Monday, December 1, 2008

Persediaan banjir bersama ADUN Guchil

Sinar Harian
Edisi Kelantan - Berita Daerah (Kuala Krai) - 1hb Disember 2008

Sumbangan sampan bantu penduduk

KAMPUNG BELANGA – Penduduk kampung ini yang sering terperangkap di dalam banjir setiap kali musim tengkujuh, mendapat ke-mudahan baru apabila diberikan sebuah sampan disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria dekat sini, semalam.

Tuan Zamri Ariff berkata, sebuah sampan disediakan secara percuma untuk kemudahan penduduk Kampung Belanga yang ingin keluar masuk, apabila air sungai melimpah dan sekali gus memutuskan hubungan penduduk dengan jalan keluar utama.

Menurut Tuan Zamri Ariff, setiap kali musim banjir, penduduk di kawasan ini terkepung di antara dua buah sungai dan kebanyakan mereka tidak mempunyai kemuda-han sampan sendiri kerana hanya menggunakan sampan penambang yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

“Melalui kemudahan sampan ini, mereka dapat menggunakannya secara percuma dan tidak perlu lagi menggunakan sampan penambang,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Sementara itu, Ketua Cawangan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Kampung Belanga, Abdul Halim Mamat berkata, kawasan berkenaan mempunyai kira-kira 50 buah kediaman keluarga.

“Kebanyakan penduduk di sini sering berulang-alik keluar ke bandar setiap hari untuk bekerja, namun sejak bertahun-tahun dahulu tiada sebarang kemudahan sampan diberikan.

“Alhamdulillah dengan adanya sebuah sampan ini, kami dapat sama-sama menggunakannya untuk keluar masuk pada musim tengkujuh ini. Ia amat penting untuk kegu-naan penduduk keluar bekerja dan keluar mendapatkan barangan keperluan seharian.

“Biasanya kami hanya menumpang sampan orang lain dan menggunakan sampan penambang apabila laluan di sini ditenggelami air banjir,” katanya.

Abdul Halim berkata, keadaan banjir di kawasan ini agak teruk apabila air sungai melimpah dan mereka di kampung ini berada di kawasan tengah apabila air Sungai Belanga dan Sungai Temalir melimpah.

Katanya, paras air di sini pernah mencecah sehingga melebihi dua kali dan tiada alternatif lain untuk kami keluar melainkan meredah banjir menggunakan sampan.

Menurut Abdul Halim, beliau amat berterima kasih kepada Tuan Zamri Ariff memberikan sampan berkenaan yang dapat digunakan untuk semua penduduk secara percuma.

Beliau berkata, penggu-naan sampan juga amat penting dalam keadaan musim tengkujuh ini, terutamanya untuk situasi kecemasan termasuk ketika berlaku masalah kesihatan dan memerlukan penduduk keluar ke klinik atau hospital.

Sinar Harian difahamkan, sebuah sampan berkenaan bernilai RM1,100 dan selain Kampung Belanga, Kampung Hamzah juga turut mendapat sebuah sampan untuk kegunaan pemindahan penduduk sekitar.

Di Kampung Hamzah, terdapat kira-kira 20 buah keluarga mendiami kawasan tersebut yang dikatakan agak rendah dan sering ditenggelami air.

Lain-lain kawasan di DUN Guchil yang sering menjadi lokasi banjir ialah sekitar Kampung Tok Bok, Kampung Kenor, Kampung Tualang, Kampung Bekok, Kampung Aur Duri dan Kampung Gatal.

Bot berkenaan juga digunakan Tuan Zamri Ariff untuk membuat tinjauan dan pemantauan kediaman penduduk yang terlibat dengan banjir.

Thursday, October 23, 2008

Rumah kedai di Guchil terbakar

Dua malam lepas, kira-kira jam 12:30 malam, aku menerima panggilan telefon ibu. Berdegup kuat jantung ini memikirkan jika ada musibah yang berlaku terhadap keluargaku di kampung kerana sebelum ini ibu tidak pernah membuat panggilan pada lewat malam.

Dengan berlatarbelakangkan bunyi yang bising serta riuh rendah orang ramai, aku amat takut sekali.

Ibuku kemudiannya memaklumkan bahawa ketika itu dia sedang melihat kejadian kebakaran di sebuah rumah kedai yang dimiliki oleh seorang sahabat kepada abah, kira-kira 200 meter dari rumah kami.

Kebakaran tersebut turut mengakibatkan kemusnahan dua buah kedai bersebelahan milik penghuni Cina.

Kedai tersebut (milik Abe Nawi) sentiasa menjadi tumpuanku setiap waktu tengahari apabila aku pulang ke kampung kerana nasi campurnya memang agak terkenal di kampung kami.

Aku cukup bersimpati kepada Abe Nawi di atas kejadian tersebut dan diharapkan beliau sentiasa bersabar menghadapinya.

Kejadian ini juga turut mendapat liputan dari akhbar Sinar Harian sebagaimana berikut;

______________________________________

sinar harian
Edisi Kelantan - Khamis (23hb Oktober 2008)

Ranap dalam 20 minit

KUALA KRAI - Tiga unit rumah kedai terdiri daripada sebuah kedai makan dan dua kedai ‘hardware’ (barangan logam) yang didiami dua keluarga musnah dalam kebakaran di Guchil 1 di sini, lewat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, sembilan orang dalam dua keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang apabila mereka gagal menyelamatkan harta benda selepas api dipercayai berpunca dari sebuah bilik di kedai makan terbabit marak dengan pantas.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Mohd Nasir Hassan berkata, seramai 10 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian sebaik saja pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai pada kira-kira jam 11.40 malam.

“Kami mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya mengawal api daripada merebak dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 1 pagi. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian, di sini, semalam.

Menurut Mohd Nasir, hasil maklumat mangsa, kebakaran dipercayai berpunca daripada lintar pintas pada kipas dinding dalam sebuah bilik di kedai makan terbabit dan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM470,000.

“Harta benda bernilai kira-kira RM150,000 dalam gudang di belakang premis yang terbakar bagaimana pun berjaya diselamatkan,” katanya memberitahu sebuah kereta dan motosikal turut berjaya diselamatkan mangsa.

Sementara itu, pemilik dua kedai barangan logam terbabit, Chiam Peng Leng atau lebih dikenali sebagai Gemuk dalam kalangan masyarakat di daerah ini berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur bersama isteri sebelum mendengar suara orang ramai menjerit memberitahu kedainya sedang terbakar.

“Bila dengar orang menjerit ada api, saya dan isteri terus berlari keluar. Masa nak turun tangga, api sudah ada di tepi tangga tapi bila saya nak masuk balik untuk ambil barang berharga sudah tak boleh sebab api sudah marak,” katanya.

Peng Leng memberitahu, dua kedai terbabit merupakan premis utama yang dijadikan tempat untuk menyimpan pelbagai barangan logam dan besi bernilai tinggi dengan salah satu daripada kedai itu didiami seorang pekerjanya, Lee Jee Wee.

“Kerugian saya anggarkan kira-kira RM300,000,” katanya memberitahu sudah menjalankan perniagaan di premis itu sejak 36 tahun lalu.

Dalam pada itu, pemilik kedai makan terbabit, Mat Nawi Abdul Hadi, 43, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan tiga anaknya berusia antara sembilan hingga 14 tahun berada dalam rumah itu.

“Masa itu kami sedang tidur sebelum saya dengar bunyi bising orang ketuk dinding rumah. Saya tak ambil kisah sangat sebab kawasan ini memang selalu bising tapi bila dengar orang sebut api, saya terus ambil anak-anak dan bawa mereka keluar,” katanya.

Menurut Mat Nawi, dia cuba memadamkan api dalam bilik tidur yang menjadi punca kebakaran itu menggunakan paip getah namun gagal kerana tekanan air rendah sebelum bertindak memadamkan suis utama.

“Tapi masa itu sudah terlambat sebab api sudah menyambar dinding rumah,” katanya yang turut cedera ringan di bahagian lengan apabila cuba masuk semula ke kedai itu untuk menyelamatkan wang tunai RM22,000 yang disimpan merata dalam premis berkenaan.

Sunday, October 5, 2008

Perantau mula meninggalkan Serambi Mekah


Dataran Guchil [Bangsal Burger]
12:30 - 03:30 pagi

Sekarang, jam menunjukkan pukul 03:30 pagi. Kelihatan kenderaan masih belum putus-putus lagi melalui persimpangan Guchil untuk kembali ke destinasi masing-masing di sebelah Pantai Barat.

Suasana ini berlaku semenjak awal pagi Sabtu (3 Syawal) lagi. Menurut kenalan yang baru sahaja kembali dari Kota Bharu, kesesakan teruk berlaku di Machang memandangkan daerah tersebut merupakan titik pertemuan persimpangan dari Kota Bharu ke Lembah Kelang, Utara Semenanjung dan Terengganu.

Pekan Guchil turut menerima tempias limpahan kenderaan yang menuju ke Lembah Kelang. Banyak juga kenderaan yang berhenti rehat di sini sambil mengisi perut di gerai-gerai dan warung kerana mungkin terlalu lama di atas kenderaan akibat kesesakan.

Sekurang-kurangnya, situasi ini membuka sedikit rezeki kepada penduduk memandangkan hampir semua gerai dipenuhi pelanggan di kawasan ini.

Wednesday, October 1, 2008

Aidilfitri: 1 Syawal di kampung halaman


Kampung Guchil, Kuala Krai
1hb Oktober 2008/1 Syawal 1429

Masjid Lama Guchil Tengah (Markaz ABIM)
07:45 - 09:20 pagi

Memandangkan kerja-kerja menaiktaraf Masjid Besar Guchil masih belum siap (majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak beberapa hari sebelum pilihanraya umum 2008 yang lalu), penduduk mukim Guchil terpaksa bersesak-sesak memenuhi masjid lama yang terlalu sempit bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.


Jemaah memenuhi kawasan luar masjid


Pihak masjid juga terpaksa menutup jalan berhampiran bagi menyediakan ruang solat di luar kawasan masjid.
.

Para jemaah berpusu-pusu masuk ke kawasan masjid


Takbir raya berakhir tepat jam 8:20 pagi dan Imam Besar Masjid Guchil turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan beberapa pengumuman sebelum solat sunat dilaksanakan.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana cuaca pagi ini cukup baik dan jemaah dapat menmpukan sepenuh perhatian kepada ibadat tanpa memikirkan kalau-kalau hujan turun dan menyebabkan pakaian baru hari raya mereka basah.



Jemaah selesai menjalani ibadah solat


Solat Aidilfitri berakhir kira-kira jam 9:20 pagi dan para jemaah mengambil peluang untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama mereka.


Jemaah bersalam-salaman


Bergambar dengan saudara lelaki


Lot 191, Guchil 3
09:25 - 09:45 pagi

Kami sekeluarga sempat berkumpul dan bermaafan di samping bergambar kenangan bersama di teratak kami ini.


Kami sekeluarga


Lot 189, Guchil 3
09:50 - 10:30 pagi

Keluarga kami dijemput oleh jiran yang paling hampir untuk menikmati juadah pagi raya ini. Sahabat handai juga turut hadir di rumah Hj Abdullah dan Hjh Wan Som.


Suasana di ruma jiran



Sekitar kampung Guchil
11:00 - 12:30 tengahari

Aku dan sahabat sempat meluangkan masa melawat beberapa rumah sahabat yang tidak bernasib baik menjelag hari raya ini (mereka yang terbabit dengan kemalangan di jalanraya atau tempat kerja).

Akhir kata, selamat menyambut hari lebaran yang mulia ini.

Ikhlas dari;

Kami sekeluarga
Lot 191 Guchil 3
Kuala Krai

Sunday, September 28, 2008

Musim Aidilfitri: Kesesakan di Persimpangan Guchil


Seperti kelaziman musim perayaan yang besar di negara ini, Lebuhraya Gua Musang-Kuala Krai selalu menjadi jalan penghubung pilihan masyarakat negeri Serambi Mekah untuk pulang ke kampung halaman mereka.

Bahkan, bagi menyambut hari lebaran tahun ini, lebuhraya tersebut tetap dipenuhi kenderaan terutamanya mereka yang bertugas di Lembah Kelang, Melaka dan Negeri Sembilan yang mula bercuti pada hari Sabtu, 27hb September 2008.

Kesesakan di pekan Guchil


Seawal petang Jumaat lagi para perantau sudah mula bertolak pulang bagi memastikan mereka dapat bersama keluarga mereka di kampung menjalani ibadah puasa lebih panjang.

Persimpangan Guchil (kira-kira 72 kilometer dari Kota Bharu dan 115 kilometer dari Gua Musang) sudah pasti sesak sepanjang hari dalam tempoh ini.

Kelihatan kenderaan yang tidak putus-putus melalui pekan Guchil, yang menjadi penghubung di antara ibu negeri dan ibu kota.

Penduduk tempatan mengambil peluang berniaga

Sebelah malam

Polis Trafik Daerah Kuala Krai dilihat mengambil inisiatif bagi mengawal lalulintas di sini terutamanya pada sebelah siang hari.


Kelihatan kenderaan berpusu-pusu dari ibukota


Polis Trafik Mengawal lalulintas di persimpangan

Tuesday, August 26, 2008

Berita dari Kuala Krai: 26hb Ogos 2008


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Daerah]


Semarak kemerdekaan melalui sukan

KUALA KRAI – Bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan ini, pelbagai acara diatur oleh pejabat Ahli Parlimen Kuala Krai dengan melibatkan penyertaan pelbagai peringkat umur.

Untuk itu, antara program yang telah berlangsung termasuklah perlawanan futsal jalanan yang diadakan dengan kerjasama Dewan Pemuda Pas Kuala Krai berlangsung dekat sini, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd. Hatta Md. Ramli, perlawanan futsal jalanan tersebut bertujuan memupuk semangat kerjasama dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan anak-anak muda daerah ini melalui cara hidup sihat.

“Program ini adalah salah satu sambutan sempena kemerdekaan negara yang ke-51 bagi peringkat Parlimen Kuala Krai.

“Melalui penganjuran acara berpasukan ini, kami harap dapat mewujudkan semangat kerjasama dalam pasukan. Semangat bersatu padu inilah yang ingin diterapkan dalam masyarakat hari ini, agar semua pihak bersatu menjayakan sesuatu ke arah kepentingan bersama.

“Selain itu juga, ia juga dapat menggalakkan cara hidup sihat dalam kalangan anak-anak muda melalui aktiviti riadah dan menjauhi kegiatan tidak berfaedah,” ujarnya kepada Sinar Harian selepas perasmian program berkenaan semalam.

Sementara itu, pengarah program kesukanan sempena kemerdekaan berkenaan, Rosli Jaffar berkata, sebanyak 24 pasukan dari seluruh parlimen telah menyertai perlawanan tersebut yang bermula sejak jam 9 pagi.

“Perlawanan yang dijalankan secara berperingkat ini adalah suatu simbolik, bagi golongan belia mengisi ruang kemerdekaan dengan kegiatan bermanfaat.

“Namun, kegiatan ini tidak hanya akan berakhir di sini dan bakal diteruskan dari semasa ke semasa untuk menggalakkan kecergasan dan kecerdasan para belia,” ujar Rosli. Katanya, sambutan yang diterima daripada pasukan futsal belia ini amat memberangsangkan dengan penyertaan di luar dugaan.

Dalam perlawanan tersebut, hadiah lumayan ditawarkan kepada juara, iaitu wang tunai sebanyak RM300. Tempat kedua pula membawa pulang RM200, manakala tempat ketiga pula berkongsi dua kedudukan dengan hadiah sebanyak RM100 setiap pasukan.

Hadiah utama tersebut telah dimenangi oleh pasukan KSD Club, manakala tempat kedua disandang pasukan Lembah Sentosa dan tempat ketiga pula diduduki oleh pasukan Pemuda Keadilan dan Pahi FC.

Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang.

Monday, July 7, 2008

Mesyuarat Agung PAS Bahagian Kuala Krai Ke-30


Tanggal 2 Rejab 1429 bersamaan 5hb Julai 2008 yang lalu, PAS Kawasan Kuala Krai mengadakan Mesyuarat Agung mereka kali ke-30 (Sesi 2008-2009).

Mesyuarat ini bertempat di Markaz PAS Kawasan Kuala Krai iaitu berhampiran dengan Pondok Sungai Durian, Kuala Krai.

Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Hj Ahmad bin Awang telah dijemput untuk merasmikan mesyuarat ini yang bermula pada jam 8:00 pagi.

Berikut adalah senarai aturcara majlis;

Jam 8:00 pagi - Pendaftaran Perwakilan

Jam 9:30 pagi - Pembukaan Majlis dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran
.
- Ucapan aluan oleh Setiausaha PAS Kawasan Kuala Krai
(Hj Mohd Nasir bin Che Daud)

- Ucapan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Kuala Krai
(Al-Fadhil Ustaz Hj Ibrahim bin Mahmood)

- Ucapan wakil Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan.

- Ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-30
(Ustaz Hj Ahmad bin Awang, Naib Presiden PAS Pusat)

Jam 12:30 tengahari - Rehat

Jam 2:30 petang - Mesyuarat berlangsung

Agenda Mesyuarat

- Membentang dan mengesahkan peringatan Mesyuarat Agung Tahunan ke-29

- Membentang dan menerima Laporan Tahunan bagi Sesi 2007-2008

- Membentang dan menerima Laporan Kewangan yang berakhir pada 31hb Disember 2007

- Memilih Perwakilan ke Muktamar Agung PAS Pusat ke-54

- Membahas usul-usul.

- Ucapan penangguhan.

Monday, June 9, 2008

Pekan Guchil Bertambah Sesak

Tanggal 5hb Jun 2008, kepulanganku ke kampung halaman disambut oleh suasana yang agak berlainan dari sebelum ini.

Terdapat beberapa perubahan kepada pembangunan pekan di kampung. Restoran makanan segera (Kentucky Fried Chicken) baru sahaja dibuka bulan lalu yang bertempat di pinggir jalan besar Kota Bharu-Gua Musang.
Di samping itu juga, terdapat sebuah pasaraya baru dibuka sejak minggu lalu iaitu Pasaraya Bilal yang bertempat di tengah-tengah kawasan kedai-kedai penduduk tempatan (lihat gambar). Keadaan sesak sentiasa berlaku sejak pagi lagi sehingga lewat malam pada setiap hari.


Suasana di siang hari




Kenderaan yang memenuhi ruang letak kereta di hadapan pasaraya Bilal


Suasana di waktu malam

Foto: Ceramah Perdana Sempena 50 Tahun

Tajuk: Masa Depan Pengajian Sekolah Agama Rakyat


oleh :- 1 - YB. Ustaz Haji Taib Azamuddin Bin Mohd Taib
(Ahli Parlimen Baling)
2 - YB. Ustaz Haji Mohamad Bin Mustafa
(ADUN Demit)



Ustaz Taib Azamuddin sedang menyampaikan ceramah.

Gambar Kenangan di Majlis Sambutan Jubli Emas

Alhamdulillah.
Kebetulan bercuti di kampung, aku berkesempatan menyertai majlis sambutan 50 tahun tertubuhnya salah satu institusi ilmu yang terpenting di Negeri Serambi Mekah.
Dengan dihadiri oleh ribuan para ilmuan serta mereka yang istiqamah dengan perkembangan ilmu agama, insyaallah sedikit sebanyak dapatlah aku menumpang keberkatan di dalam majlis ini.
Semoga institusi ini akan berkekalan selama-lamanya di samping menjadi pemangkin keluhuran akhlak serta ke arah masyarakat berilmu di Daerah Kuala Krai khususnya.


'Signboard' sebelum memasuki kawasan pondok


Pintu masuk ke majlis sambutan

Suasana di Bazaria Pondok Sungai Durian



Suasana penempatan pelajar pondok


Program Sambutan Jubli Emas

ATURCARA PROGRAM SAMBUTAN JUBLI EMAS
PONDOK SUNGAI DURIAN
Tarikh : 05 - 07 Jun 2008
Tempat : Pondok Sungai Durian

PAMERAN DAN BAZARIA JUBLI EMAS
Tarikh : 5 hingga 7 Jun 2008.
Masa : 10.00 pagi – 10.00 malam.

Hari Jumaat - 06 Jun 2008 - (Majlis Perasmian dan Perjumpaan Ibubapa/Guru)
11.00 pagi: Pendaftaran Ibubapa/Penjaga
01.12 ptg: Solat Jumaat.
2.30 ptg: Majlis Perjumpaan Ibubapa/Penjaga.
4.38 ptg: Solat Asar.
7.25 mlm: Solat Maghrib Dan Kuliah Maghrib.

Kuliah Maghrib

Tajuk : Sumbangan Pendidikan Pondok Kepada Masyarakat
Oleh : Ustaz Haji Abdul Hamid Mat Isa
(Bekas Tenaga Pengajar, Pondok Sungai Durian, Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS))
8.36 mlm: Solat Isya'.
9.00 mlm: Ucapan Perasmian
Oleh : YB. Mohd. Ammar Nik Abdullah
(Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah)
Penyampaian Sijil dan Anugerah Pelajar Cemerlang

Forum Tajuk : Institusi Pengajian Pondok, Cabaran dan Realiti

Ahli Panel :-1 - Ustaz Abd Halim Bin Abd Ghani
(Pengerusi Jemaah Tadbir, Pondok Pasir Tumboh)
2 - Dr. Luqman Bin Tuan Guru Haji Abdullah
(Pengerusi Pondok Lubuk Tapah, Ahli Pemegang Amanah, Pusat Pembangunan
Pondok)
3 - Dr. Abd. Basit Bin Hj. Abdul Rahman.
(Pondok Sungai Durian)

Hari Sabtu - 07 Jun 2008 (Seminar Dan Himpunan Lepasan Pondok Sungai Durian)

08.00 pagi: Pendaftaran Peserta.
09.00 pagi: Pembentangan Kertas Kerja.

Kertas Kerja

Tajuk : Tuan Guru Hj. Abdul Rahman : Sejarah dan Pengorbanan
Pembentang : Ustaz Zainuddin Che Seman
(Tenaga pengajar Pondok Sungai Durian)
Pengulas : Ustaz Haji Yahya Bin Mohammad Razi
(Bekas Pelajar Pondok Sungai Durian, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kolej
Universiti Islam Selangor)
11.30 pagi: Ucapan Wakil Lepasan Pondok Sungai Durian Tahun 50an, 60an, 70an, 80an,
90an.
01.12 ptg: Solat Zohor dan Makan Tengahari.
02.30 ptg: Pembentangan Kertas II.

Kertas Kerja II

Tajuk : Al-Marhum Sheikh Muhammad Daud Bin
Sulaiman Al-Kalantani Dalam Kenangan.
Pembentang : Ustaz Bunyamin Hj. Abdul Rahman.
(Tenaga pengajar Pondok Sungai Durian)
Pengulas : Yang Amat Arif Dato' Haji Daud Bin Muhamad.
(Dato' Aria DiRaja, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan)
04.38 ptg: Solat Asar
07.25 mlm: Solat Maghrib
08.36 mlm: Solat Isya'
09.00 mlm: Ceramah Perdana

Ceramah Perdana

Tajuk : Masa Depan Pengajian SAR.
oleh :- 1 - YB. Ustaz Haji Taib Azamuddin Bin Mohd Taib
(Ahli Parlimen Baling)
2 - YB. Ustaz Haji Mohamad Bin Mustafa
(ADUN Demit)

Perasmian Penutup

Majlis Sambutan Jubli Emas & Pelancaran Kutipan Derma Pembinaan Asrama
Oleh: YAB. Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz Bin Hj. Nik Mat
(Menteri Besar Kelantan)
Pada: 11 Jamadil Akhir 1429H / 16 Jun 2008M (Isnin)
Masa: Selepas Solat Isya'

Sambutan Jubli Emas Pondok Sungai Durian


Madrasah Muhammadiah, Pondok Sg Durian, Kuala Krai, Kelantan telah mengadakan Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun penubuhan Madrasah ini pada 5 hingga 7hb Jun 2008 yang lalu.

Untuk maklumat terperinci sila layari
http://www.pondoksgdurian.com/

Friday, May 23, 2008

Mercu Tanda ke Kampungku

Setiap kali jika anda pergi ke Kelantan melalui Lebuhraya Kuala Krai - Gua Musang, anda pasti melihat replika buah manggis berhampiran simpang tiga Kuala Krai dan Kota Bharu.

Di sini anda sebenarnya sedang berada di kawasan Kampung Guchil kira-kira 5oo meter dari kampungku.