Friday, May 22, 2009

Tok Guru kenang jasa Pok Su Wil

harakahdaily.net

Kematian Ismail kehilangan besar pada kerajaan negeri,PAS

Wartawan Kita Foto Rizal Tahir Fri May 22, 09 5:15:40 pm MYT

KUALA KRAI, 22 Mei (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai,Haji Ismail Yaacob,60, sebagai kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan PAS.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata Ismail, yang meninggal di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Baharu di sini kira-kira 5.50 pagi tadi sebagai antara wakil rakyat PAS yang paling lama berkhidmat di Kelantan.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud berkata Ismail menunjukkan prestasi yang sangat baik sebagai seorang wakil rakyat.

Petang tadi, ribuan penduduk menunaikan solat jenazah ke atas Allahyarham Ismail di Masjid Kampung Manek Urai Lama sebaik sahaja selepas solat Jumaat.

Tuan Guru Nik Aziz mengimamkan solat tersebut yang melimpah sehingga ke luar masjid.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan.

Selain itu turut hadir wakil-wakil rakyat, pemimpin PAS kawasan, KeADIlan dan pegawai kerajaan.

Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan khutbah Jumaat dan sempat bertakzirah ringkas mengenai kematian.

Ramai melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekali sekala sebak mengenangkan Paksu Mail, seorang pemimpin yang begitu rapat dengan masyarakat.

Selain itu jenazah Paksu Mail, terdapat satu lagi jenazah iaitu wanita yang juga meninggal dunia hari ini turut disembahyangkan serentak.

Kehadiran orang ramai menyebabkan Kampung Manek Urai Lama menjadi sendat dan berlaku kesesakan luar biasa di jambatan memandangkan ia hanya boleh dilalui sehala sahaja.

Kedua-dua jenazah kemudian diusung ke tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumah Paksu Mail. Jenazahnya dibawa turun ke liang lahad kira-kira jam 2.05 petang.- mks._

DUN Manek Urai: Apa kata Timbalan Presiden Umno

malaysiakini

Muhyiddin: PAS jangan terlalu yakin

Muda Mohd Noor May 22, 09 6:58pm

Barisan Nasional akan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai, kata timbalan perdana menteri, dan mengingatkan PAS agar tidak terlalu yakin akan dapat mempertahankan kerusi tersebut.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkata, BN tidak akan memberi laluan mudah kepada PAS di kerusi tersebut.

"PAS jangan terlalu yakin, walaupun ini kawasan mereka, jangan ingat mereka akan sentiasa menang.

"Dalam pilihanraya umum lalu, kita kalah cuma (lebih) 1,000 undi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.

Di Singapura, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan BN akan meletakkan calonnya bagi mencabar PAS di kerusi tersebut.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali pagi ini berkata kemenangan BN di Manek Urai tidak memberi banyak makna kerana PAS menguasai majoriti besar di Kelantan.

"Kalau BN menang, ia tidak mengubah majoriti kerana kita ada majoriti dua pertiga yang besar (di DUN Kelantan)," katanya di Kuala Lumpur bagi mengumumkan kematian mengejut wakil rakyatnya itu.

Tarikh pilihanraya kecil DUN tersebut dijangka diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Khamis ini berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh tadi.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, turut mengulas keputusan Mahkamah Rayuan petang ini yang mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Beliau berkata, dengan keputusan tersebut, tiada keperluan untuk membubarkan DUN Perak kerana kerajaan BN masih sah.

"Saya berharap pihak lawan dapat menerima keputusan tersebut dengan baik dan menghormatinya.

"Tidak perlu diungkit-ungkit lagi. Seboleh-bolehnya pihak lawan jangan pergi berkempen mempertikaikan keputusan tersebut.

"(Jika buat begitu) ia boleh menghina keputusan mahkamah dan menimbulkan kesangsian terhadap kerajaan BN Perak," katanya.

Muhyiddin juga berharap Pakatan Rakyat memberi peluang kepada Zambry menjalankan tugasnya yang disifatkannya "tergganggu" sejak rampasan kuasa BN, awal Februari lalu.

Katanya, BN sentiasa menghormati keputusan mahkamah sama ada menyebelahinya atau tidak.

Muhyiddin juga mengumumkan ketua bahagian Umno Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee sebagai sebagai setiausaha Umno Wilayah Persekutuan.

Ketua bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Azim Zabidi diumumkan sebagai bendahari dan ketua bahagian Wangsa Maju, Datuk Shafie Abdullah pula ketua penerangan.

MB Perak: Keputusan Mahkamah Rayuan - Komen


Jumaat, 2009 Mei 22

Mahkamah Rayuan Ragut Semula Hak Nizar dan Tunduk Pada Arahan UMNO/BN

Sekitar keadaan di mahkamah Rayuan pada sebelah pagi
kelihatan pihak polis membuat kawalan keselematan

Tepat Jam 3.52 petang di Mahkamah Rayuan hari ini telah membuat Keputusan atas Arahan algojo - algojo UMNO/BN, ini dilihat bila Hakim yang namanya pernah disebut oleh V.K Lingam dalam skandal Perlantikan Hakim dilantik dalam Mengadili Kes Rayuan Pengesahan Dato' Seri Nizar Sebagai Menteri Besar Perak Yang sah.

Pasti ini akan dijadikan Propaganda oleh BN yang mana mereka mungkin akan mengatakan yang Pakatan Rakyat akan tetap mempertikaikan keputusan Mahkamah hanya apabila keputusan itu tak berpihak pada mereka...

Ini sama sekali tak benar kerana Cara atau Prosiding mahkamah terlalu nampak akan penyelewengannya...

Hakim lebih mementingkan kedudukan dan kerja mereka dari menegakkan keadilan, bimbang mereka juga akan menerima nasib yang sama seperti Tun Salleh Abbas. Jadi mahu tak mahu mereka terpaksa menurut kehendak Algojo - Algojo UMNO/BN..

Panel tiga hakim iaitu Md Raus Sharif, Abu Samah Nordin dan Sulong Mat Jeraie memutuskan Menteri Besar Perak lantikan Umno itu sebagai Ketua Kerajaan Negeri Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam dan sebulat suara menerima rayuan Zambry.


Sesudah perbicaraan dan hakim pun memutuskan keputusan yang batil.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah kononnya hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam Dun.

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah jawatan tersebut dirampas darinya, awal Februari lalu.

Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dun Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang memihak kepada Zambry.

Peguam Nizar, Sulaiman Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Keputusan Mahkamah Rayuan di lihat seolah - olah tidak berpihak pada keadilan tapi tunduk pada kemahuan Najib dan kuncu - kuncunya.

Dicatat oleh LeeSlimShady

Majlis pengkebumian Pok Su Wil

harakahdaily.net

Ribuan iringi perjalanan akhir Paksu Mail

Salmah Mat Husain Foto Rizal Tahir Fri May 22, 09 3:23:07 pm MYT

KUALA KRAI, 22 Mei (Hrkh) - Ribuan penduduk menunaikan solat jenazah ke atas Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakob, 60, di Masjid Kampung Manek Urai Lama sebaik sahaja selepas solat Jumaat tadi.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat tersebut yang melimpah sehingga ke luar masjid.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob; Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud, anggota-anggota Exco kerajaan.

Selain itu turut hadir wakil-wakil rakyat, pemimpin PAS kawasan, KeADIlan dan pegawai kerajaan.

Sebelum itu Menteri Besar menyampaikan khutbah Jumaat dan sempat bertakzirah ringkas mengenai kematian.

Ramai melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz sekali sekala sebak mengenangkan Paksu Mail, seorang pemimpin yang begitu rapat dengan masyarakat.

Selain itu jenazah Paksu Mail, terdapat satu lagi jenazah iaitu wanita yang juga meninggal dunia hari ini turut disembahyangkan serentak.

Kehadiran orang ramai menyebabkan Kampung Manek Urai Lama menjadi sendat dan berlaku kesesakan luar biasa di jambatan memandangkan ia hanya boleh dilalui sehala sahaja.

Kedua-dua jenazah kemudian diusung ke tanah perkuburan yang terletak tidak jauh dari rumah Paksu Mail. Jenazahnya dibawa turun ke liang lahad kira-kira jam 2.05 petang.

Anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika ditemui melahirkan rasa terharu di atas kematian Paksu Mail biar pun beliau baru dikenali secara dekat hampir dua tahun lalu.

Katanya, biar pun baru kenal namun hubungan dengannya begitu mesra dan mudah diajak berunding.

"Personaliti Paksu Mail memang cukup hebat di kalangan masyarakat kampung. Semua orang yang ditemui kenal beliau. Allahyarham bersikap sederhana biar pun sudah lama menjadi wakil rakyat.

"Pemimpin sepertinya memang sukar untuk dicari ganti. Kita sama-sama doakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beramal soleh," katanya ketika ditemui di sini.

Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, nama Paksu Mail sudah sinonim dengan penduduk Manek Urai kerana semua orang mengenalinya.

Menurutnya Paksu Mail merupakan penggerak utama kepada bahagian keselamatan PAS ketika berlangsung pilihan raya atau sesuatu program besar.

Kata beliau watak yang ada padanya biar pun tegas namun mudah didekati kawan dan lawan. - mj/mks. _

Manek Urai: Umno perlu tarik diri elak pembaziran

malaysiakini

PAS: Tidak perlu Umno bertanding

Muda Mohd Noor May 22, 09 1:39pm

PAS mencadangkan Umno agar tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, alasan ini digunakan Umno ketika tidak bertanding di Penanti. Pilihanraya kecil DUN tersebut bermula esok hingga 31 Mei.

"Kalau BN menang (di Manek Urai), ia tidak mengubah majoriti kerana kita (PAS) ada majoriti dua pertiga yang besar (di Kelantan)," katanya pagi ini dalam sidang media di ibu pejabat PAS bagi mengumumkan kematian mengejut seorang wakil rakyatnya.

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai akan diadakan dalam tempoh 60 hari lagi berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh tadi.Mustafa berkata, PAS akan meletakkan calonnya bagi mempertahankan Manek Urai.

Bagaimanapun, tambahnya, terlalu awal untuk menyatakan calon PAS di kerusi tersebut.

Mustafa juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh membuat keputusan sendiri sama ada bertanding atau tidak.

Dahulu, katanya, presiden Umno yang memutuskan sama ada parti itu bertanding atau tidak.

"Datuk Seri Najib serba salah kerana faktor Tun Dr Mahathir (Mohamad). Nak lawan mentor tidak sedap juga.

"Dr Mahathir berasa dukacita kerana Umno tidak bertanding di Penanti. "Beliau telah meletakkan Umno menjadi sebuah parti yang berani tetapi Datuk Seri Najib dan (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berani," katanya.

Mustafa berkata, Muhyiddin sudah tidak mendengar lagi pandangan mantan perdana menteri itu, tidak seperti semasa hendak menjatuhkan perdana menteri waktu itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil ketawa, Mustafa berkata, "tidak tahulah Tun Dr Mahathir akan keluar Umno (lagi) kerana orang tidak mendengar cakap dia."

Diminta mengulas pilihanraya kecil Penanti, Mustafa berkata ahli dan penyokong PAS tidak akan mensabotaj calon PKR Mansor Othman.

"Ahli PAS patuh kepada keputusan pimpinan yang tidak bertanding.

"Isu Pemuda PAS hendak meletakkan calonnya di Penanti juga sudah selesai," katanya.

Pok Su Wil dalam kenangan

harakahdaily.net

Paksu Mail pemimpin berjiwa rakyat

Lanjusoh Fri May 22, 09 11:47:49 am MYT

KOTA BHARU, 22 Mei (Hrkh) - PAS dan kerajaan Kelantan kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat apabila Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaacob, 60 meninggal dunia kira-kira jam 5.50 pagi tadi.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Mail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas dirawat sejak 26 April.

Seminggu selepas dimasukkan ke wad beliau dipotong sebelah kakinya memandangkan keadaan penyakitnya semakin menular.

Allahyarham menderita penyakit gaot sejak kembali dari Makkah setahun lalu.

Bagaimanapun penyakitnya mulai menular sehingga menyebabkan beliau tidak dapat berjalan.


Ekoran itu beliau dihantar ke Hospital Kuala Krai oleh keluarga.

Selepas itu beliau dipindahkan pula ke HRPZ (II) untuk mendapat rawatan lanjut.

Pada persidangan Dun Febuari lalu beliau menghadirinya biar pun badannya kelihatan agak kurus berbanding sebelum ini.

Ketika di wad beliau dikesan pula terdapat masalah jantung sehingga dipindahkan ke wad CCU.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kematian Paksu Mail merupakan satu kehilangan besar kepada PAS dan kerajaan negeri.

Katanya, kematiannya pada hari Jumaat mendapat fadhilat yang besar dan ditambah pula telah menderita sakit agak lama.

"Sebelum ini ketika saya menziarahinya sekembali daripada menggerjakan ibadat umrah beliau memberitahu mengidap sakit gaot, darah tinggi dan jantung.

"Kita doakan semoga Allah mengampunkan segala kesalahan beliau dan ditempatkan rohnya bersama orang yang soleh.

"Bagi ahli-ahli keluarganya hendaklah kita banyak-banyak bersabar kerana hari ini orang lain, mungkin esok lusa kita pula yang dipanggil mengadap Allah," katanya ketika dihubungi di sini.

Timbalan Pesurujaya PAS Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, Paksu Mail merupakan seorang pemimpin veteran parti yang banyak berjasa memperkukuhkan pengaruh PAS di kawasan Kuala Krai.

Katanya, ketika PAS kehilangan kuasa di Kelantan pada 1978 beliau telah banyak membantu membangkitkan semula pengaruh PAS di kawasan hulu.

Menurutnya hasil gerak kerjanya membolehkan PAS bertapak semula di Manek Urai pada 1986 setelah merampas kerusi tersebut daripada Umno.

Ditanya persediaan menghadapi pilihan raya kecil katanya, Badan Perhubungan PAS Kelantan akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin bagi membincangkan isu tersebut.

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, Paksu Mail memang dikenali di kalangan masyarakat kampung kerana mudah mesra dan senang didekati.

Katanya, Allahyarham benar-benar seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

"Biar pun tidak mempunyai pendidikan tinggi namun beliau lebih disenangi masyarakat kerana pergaulannya luas tanpa mengira usia. Beliau mudah ditemui di mana sahaja," katanya.

Jenazahnya dibawa pulang ke Manek Urai yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Kota Bharu pagi tadi. Allahyarham akan disembahyangkan selepas Jumaat ini yang dijangka diimamkan Menteri Besar.

Turut menzirahi di rumahnya di Kampung Manek Urai lama pagi tadi, anggota parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli dan pemimpin PAS Kuala Krai.

Paksu Mail antara Adun yang paling lama di Kelantan. Beliau memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986 mengalahkan Dato' Wan Zaid Wan Abdullah.

Sehingga sekarang beliau sudah lima penggal mewakili Dun berkenaan. Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak bertanding dan calon PAS di Dun Manek Urai ketika itu diwakili Ustaz Zamzuri Mat Lazim.

Jenazahnya akan disemadikan di tanah perkuburan Kampung Manek Urai Lama yang terletak tidak jauh dari rumahnya. - Al Fatihah. - mj _

Al-Fatihah buat Pok Su Wil (ADUN Manek Urai)

Terkejut dengan berita yang baru diterima ini. Walaupun ayahandaku pernah memberitahu yang Pok Su Wil selalu uzur tetapi dalam keadaan itu beliau masih mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin di kawasan beliau.

Pok Su Wil sebenarnya baru sahaja mengekalkan jawatan beliau selaku Timbalan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Krai baru-baru ini. Namun begitu, sesungguhnya Allah lebih menyayangi beliau.

Semoga beliau sentiasa bersama dengan mereka yang beriman dan dirahmati Allah di atas perjuangan dan pengorbanan beliau di kawasan pedalaman khususnya Manek Urai dan Kuala Krai amnya.

Al-Fatihah.
____________________________

harakahdaily.net

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob kembali kerahmatullah
Harakahdaily Fri May 22, 09 9:28:33 am MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) -Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Manik Urai, Haji Ismail bin Yaacob, 60 meninggal dunia selepas subuh sebentar tadi.

Haji Ismail dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya (penyakit gout, kencing manis) sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Menurut laporan beliau akan dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Paksu Wel antara Adun yang paling lama di Kelantan.

Beliau memenangi Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 1986. Sehingga sekarang beliau sudah lima penggal mewakili Dun berkenaan.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, beliau tidak bertanding dan Dun Manek Urai diwakili Ustaz Zamzuri Mat Lazim, Tetapi tewas kepada calon BN. - azm _