Wednesday, July 16, 2008

Kes Liwat: Anwar Ditahan Polis

malaysiakini

16 Julai 2008 - kemaskini 3:59pm


Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.


Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.


Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.


Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.


Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.


Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.


Kira-kira 40 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur, sementara lebih 200 orang berada di jalan utama menuju bangunan itu, depan bekas Penjara Pudu.Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.


Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.


Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut:


Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu. Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.


Kelihatan sepasukan anggota polis memantau pergerakan para penyokong yang berhimpun di situ. Turut kelihatan ialah sebuah trak meriam air.Ahli Parlimen PKR, Wee Choo Keong, yang berada di dalam bangunan itu berkata, Wan Azizah dan dua anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Nuha - dibenarkan menemui Anwar di tingkat tujuh pada kira-kira jam 2 petang.Pada jam 2.35 petang, Wan Azizah dan anak-anaknya, serta peguam Sankara Nair muncul dari bangunan tersebut.


Pada jam 2.40 petang, ahli Parlimen DAP termasuk Lim Kit Siang, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Anthony Loke juga kelihatan meninggal dari bangunan tersebut.Loke berkata, mereka hanya dibenarkan menunggu di kantin, dan semua ahli Parlimen Pakatan akan balik ke Parlimen untuk "membangkitkan isu tersebut".


Pada jam 2.50 petang, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar berkata, pihak polis sudah mula menyoalsiasat Anwar.Katanya, perhimpunan sokongan kerdipan lilin akan diadakan di luar bangunan tersebut jika Anwar tidak dibebaskan hari ini.


Peguam Latheefa Koya pula berkata, Anwar ditahan sebagai suspek, tetapi pihak polis mahu merakamkan kenyataannya sebagai saksi mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.


"(Pada kira-kira jam 2.40 petang, peguam) Sulaiman Abdullah masuk bersama peguam Param Cumaraswamy. Anwar akan diwakili oleh tiga peguam termasuk Sulaiman. Param berada di situ sebagai tokoh antarabangsa," katanya.(Param merupakan bekas pelapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kebebasan hakim dan peguam).

Piala Malaysia: Impian Kelantan Hampir Musnah


Kekalahan teruk 4-1 malam tadi di tangan Selangor di Stadium Shah Alam menghancurkan harapan Kelantan untuk layak ke suku akhir secara automatik.


Walaupun aku tengok sekejap-sekejap di TV1 malam tadi (setiap kali commercial break rancangan Debat Anwar-Shabery), tapi aku dah nampak jelas semangat luntur, tidak confident, gugup yang meresap dalam jiwa pemain.


Padahal, potensi skuad ini amat besar jika diperhatikan bagaimana jaringan tunggal Kelantan disempurnakan oleh Zairol Fitree. Gerakan yang mudah.


Impian untuk menguasai tangga ketiga kumpulan A ini masih cerah namun merujuk kepada kedudukan mata pasukan ketiga dalam kumpulan B dan C, ia menunjukkan peluang Kelantan masih samar bagi mengisi slot dua tempat ketiga terbaik kumpulan.


Masalah dalaman, perletakan jawatan Norizan Bakar serta isu Muhammadaou Mustaphaou turut mengundang prestasi yang terumbang-ambing skuad Kelantan. Perkara ini amat merisaukan keseluruhan peminat Kelantan samada dalam negeri mahupun yang tinggal di negeri-negeri lain termasuk aku!

Anwar: Alhamdulillah, debat berjalan lancar

Saya ucap syabas kepada Agenda Daily kerana berjaya menganjurkan debat hari ini, juga sekalung penghargaan buat saudara Datuk Johan Jaafar selaku moderator serta Datuk Ahmad Shabery Cheek. Tidak lupa juga ucapan tahniah buat pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana kesediaan menyediakan ruang untuk perdebatan tadi.

Saya terkejut tatkala tiba di bangunan DBP kerana terdapat polis dan pasukan pencegah rusuhan. Saya sedikit hiba melihat mereka terpaksa bertugas sehingga lewat malam demi menutup pembohongan yang dicipta oleh para penguasa yang rakus dan tamak.

Debat tetap berlangsung pada ketika saya mungkin ditahan oleh pihak polis bila-bila masa sahaja. Sudah tentu saya merasakan tekanan yang berat akan tetapi ini adalah peluang terbaik bagi saya untuk menyampaikan mesej kepada rakyat Malaysia bahawa adalah tidak mustahil untuk menurunkan harga minyak!

Mekanisme yang kita tawarkan ternyata bukanlah satu yang mustahil sebenarnya:

1. Untuk menurunkan harga petrol sebanyak 50 sen kita hanya memerlukan tambahan RM5 bilion sahaja keatas subsidi yang telahpun diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini.

2. Kita mempunyai maklumat bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai “excess capacity” yang melebihi 1000 MW. Ini adalah bekalan simpanan yang tidak digunakan. Ia boleh kita turunkan dan akan menjimatkan kos kepada TNB dan juga mengurangkan penggunaan bahan bakar untuk menjana elektrik. Penjimatan kos TNB ini memungkinkan kita menyemak kembali tarif elektrik. Pengurangan penggunaan bahan bakar pula membolehkan kita menyalurkan subsidi bahan bakar yang diperuntukkan untuk syarikat penjana kuasa bebas (IPP) bagi menjana tenaga elektrik kepada subsidi minyak untuk rakyat jelata.

3. Pembanterasan korupsi dan rasuah juga memastikan tiada lagi ketirisan berlaku. (Morgan Stanley menunjukkan RM330 bilion (USD90 bilion) telah lesap kerana amalan rasuah yang berleluasa.

Pendirian Pakatan Rakyat adalah jelas iaitu sebuah kerajaan yang bertanggungjawab adalah sebuah kerajaan yang cuba sedaya upaya untuk meringankan beban rakyat seluruhnya. Negara kita berhadapan dengan kadar inflasi yang tinggi akibat kenaikan harga minyak secara mendadak. Ini menyebabkan pertumbuhan ekonomi merencat sekaligus menyusahkan rakyat kerana harga barang seperti gula, tepung, minyak masak dan beras naik.

Oleh itu kita berpendapat sangat penting untuk menurunkan harga minyak agar tidak membebankan rakyat terbanyak. Pendirian kita jelas iaitu korupsi harus diperangi, ketelusan harus menjadi amalan dan ketirisan wajib segera dibaiki!

ANWAR IBRAHIM
.
.

Debat Anwar vs Shabery: Komen Aku


Malam tadi, buat sekian kalinya aku melekat di depan tv sejak jam 8:00 malam untuk melihat perkembangan berita terkini mengikut kacamata kerajaan persekutuan (RTM, TV3 dan Berita@Bernama) sehingga jam 9:00 malam.


Tidak sabar rasanya menantikan kemunculan secara langsung seorang pemimpin yang hebat setelah sedekad disisih. Padahal dalam waktu yang sama, liputan perlawanan bolasepak secara langsung antara pasukan negeriku, Kelantan (yang lebih kurang sama tempoh Anwar tak masuk tv secara 'live') menentang pasukan Selangor di Stadium Shah Alam bagi penentuan untuk layak ke Suku Akhir Piala Malaysia.


Aku terpaksa korbankan hobiku itu bagi menumpukan perhatian kepada rancangan yang dipaparkan di TV9 dan channel 502 (Bernama) walaupun aku juga merindui siaran langsung bolasepak tempatan yang melibatkan Kelantan di kaca tv.


Genap jam 9:00malam, bermulalah sesi debat ini yang kurasakan garis panduan yang diberi oleh penganjur amat bertepatan dengan suasana dewan, penonton serta sesuai untuk di'siaran langsung'kan di serata negara.


DS Anwar nampaknya cukup fokus dan berdisiplin dalam menyampaikan hujah beliau manakala Menteri Penerangan kita ini dilihat seakan-akan cuba memprovokasi lawan di samping hujah yang telah menjadi common sense kepada rakyat.


Saya rasa Datuk Shabery tidak perlu mengungkit perkara-perkara lama seperti isu Baling, demonstrasi, pujian Anwar kepada Tun Mahathir sebelum ini dan sebagainya memandangkan masa yang diberikan terlalu singkat.


Beliau sepatutnya memberikan sesuatu yang segar kerana saya yakin banyak sumber/input dari pakar-pakar kerajaan sebagai bekalan beliau untuk mengemukakan hujah dalam ruangan debat yang terbatas ini.


Sebagai wakil Datuk Shabery, naib canselor UUM, Datuk Nordin Kardi dilihat cuba mengambil kesempatan untuk menghentam Anwar daripada mengemukakan soalan. Manakala soalan dari wakil Anwar, Zulkifli Sulong (editor Siasah), tidak dijawab secara fokus oleh Shabery sebaliknya beliau tetap cuba mengalihkan isu persoalan itu kepada perkara yang tidak berkaitan.


Kesimpulan aku, Datuk Shabery Cheek jelas gagal membawa harapan kerajaan dalam mengemukakan penjelasan kepada rakyat mengenai isu ini dan karisma DS Anwar masih utuh dalam menyampaikan hujah, pantas memberi maklumbalas yang spontan terhadap soalan yang dikemukakan serta hujah lawan.


Dan yang paling terharu ialah penampilan yang tenang DS ANwar walhal beliau bakal menghadapi satu tindakan yang serius dalam tempoh terdekat ini.