Friday, February 13, 2009

Berita dari Kuala Krai: 13hb Februari 2009 [Jumaat]

Sinar Harian

Edisi Kelantan - Berita Daerah

Pemimpin dekati rakyat erat hubungan

KUALA KRAI - Setiap program yang dianjurkan oleh wakil rakyat adalah bertujuan untuk mendekatkan diri dengan masyarakat dan orang ramai diminta tidak segan untuk tampil bertemu wakil rakyat mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria berkata, setiap program yang dianjurkan beliau adalah untuk turun padang bertemu penduduk sekitar dan beliau berharap orang ramai juga dapat menghubungi beliau di pejabatnya sekiranya terdapat sebarang permasalahan untuk diajukan kepadanya.

”Program ramah mesra seperti ini sering kita adakan dari semasa ke semasa untuk mendekatkan diri dengan masyarakat. Biasanya program kita adakan di pekarangan pejabat saya di Taman Orkid, tetapi kali ini kita adakan di pekarangan Tokong Cina di bandar Kuala Krai ini untuk menunjukkan kita tidak pilih kasih kepada mana-mana kaum.

”Semua kaum mendapat hak yang sama di sisi kami kerana anda semua yang telah memilih kami sebagai wakil rakyat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis sambutan Chap Goh Meh semalam.

Tuan Zamri Ariff berkata, masih terdapat sesetengah penduduk yang belum mengetahui kedudukan pejabatnya di Taman Krai dan masih belum pernah berjabat tangan dengannya dalam sesuatu majlis.

”Orang ramai perlu peka untuk mendekati pemimpin kerana anda yang telah memilih kami sebagai wakil. Sekiranya terdapat majlis ramah mesra seperti ini, hadirlah beramai-ramai kerana kita akan dapat berkenalan dan berinteraksi sekiranya terdapat permasalahan yang ingin diajukan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak mengira kaum tidak perlu segan untuk hadir bertemu wakil rakyat mereka bagi berkongsi segala permasalahan dan ia akan cuba diselesaikan mengikut saluran terbaik yang difikirkan mampu.

Sinar Harian difahamkan, kawasan Guchil mempunyai bilangan penduduk pelbagai kaum yang paling ramai selain Melayu. Kaum Melayu dan Cina lazimnya menetap di kawasan bandar dan sebahagian kecil kaum India berada di kawasan Ladang Taku.

Selain itu katanya, perpaduan adalah amat penting dalam menjalani sebuah kehidupan bermasyarakat berbilang kaum seperti yang ada di Malaysia ini dan ia perlu dikekalkan sampai bila- bila.

Dalam majlis tersebut yang diadakan semalam turut dimeriahkan dengan kumpulan tarian singa iaitu acara wajib bagi sambutan perayaan kaum Cina.

Alahai lift maintenance team di PICC..

malaysiakini

PM terperangkap dalam lif

Feb 12, 09 5:16pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terperangkap dalam lif selama kira-kira 30 minit di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Turut terperangkap bersama beliau di dalam lif tersebut ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Ismail Adam.

Ekoran itu, Abdullah terpaksa membatalkan sidang akhbarnya yang dijadual diadakan selepas beliau merasmikan majlis pelancaran sambutan Jubli Perkhidmatan Awam (JPA) di pusat tersebut.

Insiden tersebut juga menyebabkan majlis pelancaran itu turut tertangguh.Menurut sumber, majlis tersebut sepatutnya bermula jam 10.30 pagi tetapi telah tertangguh sehingga jam 11 pagi.

Menurutnya, beberapa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dikejar ke pusat untuk membawa keluar kesemua mereka yang terperangkap dalam lif tersebut.

"Datuk Seri Abdullah kelihatan tenang sahaja, malah beliau sempat tersenyum kepada ke arah orang ramai yang berada di luar lif tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Abdullah kelihatan terbatuk-batuk ketika menyampai ucapannya di majlis tersebut.

Sementara itu, difahamkan seorang pembantu perdana menteri telah meminta wakil-wakil media supaya tidak melapor atau menyiarkan gambar insiden tersebut.

Sumber itu berkata ketua pengarah JPA, dalam ucapannya, memohon maaf kepada Abdullah berhubung insiden terperangkap dalam lif tersebut.

ambo - Sapo la maintenance company yang bertuah tu?... Jawab jangan tak jawab..

Dua pilihanraya kecil serentak

malaysiakini

7 April p'raya di Bkt Gantang, Bkt Selambau
Feb 13, 09 11:53am

Pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, di Kedah akan diadakan serentak pada 7 April depan.Manakala tarikh penamaan calon pula - bagi kedua-dua kerusi tersebut - ditetapkan pada 29 Mac.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat suruhanjaya itu di Putrajaya pagi tadi.

Ini bermakna kedua-dua pilihanraya kecil itu akan diadakan selepas perhimpunan agung Umno yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan parti terbesar orang Melayu itu.

Perhimpunan agung Umno dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac depan.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum daripada PAS akibat diserang sakit jantung. Manakala V Arumugam daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Bukit Selambau.

Ini juga merupakan pilihanraya kecil pertama bagi Datuk Seri Najib Tun Razak seandainya peralihan kuasa dalam Umno dan kerajaan berjalan seperti yang dijangkakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka menyerahkan kuasa kepada Najib sejurus selepas selesai perhimpunan agung Umno bulan depan.

Mengenai kerusi Bukit Selambau, Abdul Aziz berkata, beliau berpuashati dengan dokumen yang diberikan, yang menurutnya, sah dan asli dari Arumugam.

"Setelah kita berbincang, kita dapati tidak ada unsur-usnur keraguan," tambahnya.

Mengenai keputusan untuk mengadakan pilihanraya kecil serentak bagi kedua-dua kerusi berkenaan, Abdul Aziz berkata:

"Kita tidak mahu tempoh berkempen terlalu panjang. Apabila ini berlaku, macam macam isu akan keluar, mungkin timbul keresahan, mungkin akan mengancam keselamatan awam dan negara. Kita tidak mahu orang yang berkempen letih".Beliau juga berkata tarikh pilihanraya kecil tidak ada kena mengenai dengan perhimpunan Umno bulan depan.

"Keputusan ini dibuat supaya semua selesa," tambahnya.Menurutnya, tempat penaman calon bagi parlimen Bukit Gantang akan diadakan di dewan Majlis Perbandaran Taiping.

Manakala tempat penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau pula di Sekolah Menengah Teknik Sungai Petani 1.