Friday, February 20, 2009

Hala tuju Ibrahim Ali

malaysiakini

PAS minta Ibrahim Ali letak jawatan
Feb 20, 09 3:47pm

PAS yang tidak senang dengan kelantangan Datuk Ibrahim Ali di Dewan Rakyat menyifatkan anggota parlimen Pasir Mas itu "tidak mengenang budi" dan menggesanya meletakkan jawatan.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata sebagai wakil rakyat yang diberi peluang oleh PAS bertanding atas tiket parti itu, Ibrahim tidak sepatutnya sering menghentam PAS "seolah-olah beliau sahaja yang betul", lapor Bernama.

"Kalau dia bermaruah, dia boleh meletak jawatan," beliau dipetik berkata semasa ditemui pada majlis perasmian pecah tanah pembinaan Jambatan Pachor oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Takiyuddin, yang juga exco Kerajaan Tempatan, Pelancongandan Kebudayaan Kelantan, berkata ahli parlimen bebas itu meminta untuk bertanding pada pilihanraya umum Mac tahun lepas atas tiket PAS walaupun pemimpin PAS kawasannya pernah menolak cadangan itu.

"Tok Guru (Nik Abdul Aziz) telah memberi peluang kepada dia bertanding (atas tiket PAS) walaupun kita terpaksa membelakangi kehendak ahli di kawasan itu," katanya, seperti dilaporkan.

Mengenai kemungkinan Ibrahim menawar diri untuk masuk PAS, beliau berkata terpulang kepada bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu berbuat demikian.

"Kita tidak buat tawaran kepada dia dan kita juga tidak pernah menolak kalau dia hendak masuk PAS, tetapi setakat ini dia tidak pernah meminta untuk masuk PAS," katanya.