Tuesday, May 26, 2009

Manek Urai: Wanita Umno gian nak bertanding

malaysiakini

'Biar Wanita Umno lawan PAS'

Muda Mohd Noor May 26, 09 4:34pm

Tiba masanya Umno meletakkan calon wanita pada pilihanraya kecil Manek Urai nanti walaupun tidak pernah berbuat demikian sebelumnya, kata ketua Wanita bahagian Kuala Krai.

Rohani Abdul Majid, yang menawarkan diri untuk bertanding atas tiket BN bagi mencabar PAS di kubu kuat parti Islam itu, berkata: "Jika sukar untuk memilih calon, mungkin dengan pemilihan saya boleh menyelesaikan masalah tersebut.

"Dalam sejarah Manek Urai sendiri, Umno tidak pernah memberi peluang kepada wanita menjadi calon."

Ketika dihubungi Malaysiakini, ahli jawatankuasa Wanita Umno Kelantan itu berkata pemilihannya sebagai seorang anak tempatan lebih disenangi pengundi di kawasan tersebut.

Tambahnya, setelah berpuluh-puluh tahun menyertai Umno, beliau mendapat dukungan daripada ramai ahli keluarganya, ahli dan penyokong parti itu.

Beberapa pemimpin Umno bahagian dikatakan berminat bertanding pada pilihanraya kecil tersebut - tarikhnya dijangka diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khamis ini.

Selain Rohani, ketua bahagian Datuk Ramzi Abdul Rahman, naib ketua bahagian Che Jalal Muda dan ketua Pemuda Tuan Aziz Tuan Mat disebut-sebut menawarkan diri.

Dihubungi hari ini, Che Jalal bersedia menjadi calon BN tetapi menyerahkan perkara tersebut terletak kepada parti.

"Tunggulah pengumuman parti, tetapi kalau parti memilih saya, saya sedia memikul amanah itu," katanya.

Tuan Aziz pula berkata, beliau tidak berminat kerana mahu memberi peluang kepada pemimpin lain yang lebih berpengalaman.

"Tetapi saya berjanji akan bekerja kuat untuk kemenangan calon BN," katanya.

Sementara bekas calon BN yang berjaya memenangi kerusi tersebut Zulkifli Omar ingin bertanding jika Umno memilihnya sekali lagi.

"Saya serah kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan perkara tersebut.

"Jika tidak dipilih, saya tetap bekerja kuat untuk parti dan menyokong calon pilihan parti," katanya.

Zulkifli mengalahkan calon PAS Mohd Zamzuri Mat Lazim dengan majoriti 53 undi dalam pilihanraya umum 2004.

Hujah di TV9: Zahid tarik diri


harakahdaily.net

Debat politik wang di TV9, Zahid Hamidi tarik diri

M Faqih Tue May 26, 09 4:56:22 pm MYT

KOTA BHARU, 26 Mei (Hrkh) - Mengejutkan. Beberapa jam lagi menjelang perdebatan di antara dua tokoh Umno dan PAS, tiba-tiba Naib Presiden Umno, Dato' Dr Ahmad Zahid Hamid menarik diri.

Sepatutnya jam 9.30 malam ini berlangsung perdebatan tokoh berkenaan dengan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa pada program Hujah yang dikendalikan Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusof di TV9.

Mereka bakal memperkatakan isu politik wang.

Namun petang ini pihak TV9 memaklumkan Zahid menarik diri daripada menyertai program tersebut. Sedangkan jutaan rakyat sudah beberapa hari menunggu bagi mengikut program suka ramai itu.

Husam berkata, pengurusan TV9 telah memaklumkan mengenai keputusan Menteri Pertahanan terbabit membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir kerana sebab-sebab tertentu.

"Saya merasakan tajuk yang akan dibincangkan mengenai politik wang amat mustahak dan relevan dalam situasi sekarang.

"Dan rakyat keseluruhannya amat ternanti-nanti untuk mendengar buah fikiran Dato' Seri dan juga dari saya selaku wakil dari PAS untuk menangani permasalahan politik wang," katanya dalam surat yang dihantar kepada Zahid di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Menurutnya beliau memandang berat keputusan dibuat Zahid membatalkan kehadiran dalam rancangan Hujah malam ini.

"Saya memohon agar Dato' Seri dapat mempertimbangkan keputusan tersebut supaya saya dan Dato' Seri dapat sama-sama mengupas dan berbincang mengenai politik wang," ujarnya.

Oleh itu beliau memberi tempoh sehingga jam 7.30 malam ini untuk mengesahkan kehadiran dan ikut serta dalam rancangan tersebut.

Salinan surat tersebut juga dihantar kepada Penerbit Eksekutif Rancangan Hujah TV9, Noraini Tahir. - mj _