Thursday, January 14, 2010

Kemelut Istana: Pemuda Umno Kelantan sekata dengan Tok Guru

malaysiakini

Umno sokong MB K'tan isu taati Pemangku Raja
Jimadie Shah Othman

Jan 13, 107:22pm

Pemuda Umno Kelantan hari ini menyokong tindakan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat mengiystiharkan ketaatannya kepada Pemangku Raja yang dilaporkan sedang berkrisis dengan kekandanya.

Anuar Safian berkata, oleh kerana perkara tersebut "tidak langsung berkaitan dengan fahaman politik", pergerakannya tiada masalah menyokong tindakan Nik Aziz, yang juga mursyidul am PAS.

"Ini tidak langsung berkaitan dengan politik. Kalau tanya (pengerusi Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed) Tok Pa sekalipun, saya yakin beliau akan sependapat dengan saya," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas peringatan Nik Aziz supaya rakyat negeri itu mematuhi dan mentaati titah Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco tengah hari tadi, Nik Aziz dilaporkan berkata, kerajaan negeri yakin Tengku Muhammad Faris telah bertindak sehabis baik untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya.

Nik Aziz juga berkata, kerajaan negeri juga yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sehabis baik baginda untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya.

Ketika dihubungi, Anuar berkata beliau "tidak dapat memahami" isu yang dilaporkan berhubung perbezaan antara kenyataan Nik Aziz dan Tengku Muhammad Fakhry berkaitan rawatan sultan.

Pergolakan dalam istana itu, antaranya antara Pemangku Raja dengan kekandanya, disifatkan Anuar sebagai “hal dalaman semata-mata dan tidak dapat dikatakan sebagai perebutan kuasa”.

Sementara itu, Bernama hari ini melaporkan, kerajaan negeri kini merancang mempercepatkan proses membawa pulang baginda bagi mendapatkan rawatan susulan di hospital di negara ini dari Singapura.

Nik Aziz berkata, cadangan itu diambil susulan reaksi rakyat negeri ini yang dilihat semakin kurang bertanya dan menyebut mengenai sultan berbanding sebelumnya.

"Saya perasan dah lama rakyat tidak tanya apa-apa pasal Sultan. Saya berasa sangsi lama sangat sultan tidak ada, saya bimbang Sultan terlupa dari ingatan rakyat.

"Kerajaan sedang rancang sebaik-baiknya untuk bawa balik Sultan ke dalam negara," beliau dipetik berkata.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan membawa pulang sultan ke dalam negara itu bergantung kepada laporan daripada panel kesihatan yang telah dilantik.

Rakyat Kelantan diminta taat kepada Pemangku Al-Sultan

harakahdaily.net

Taat setia kepada Pemangku Raja - Nik Aziz

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 13 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru seluruh rakyat termasuk pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat negeri ini menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra demi untuk kesejahteraan, keamanan dan kebajikan semua pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan iaitu menjalankan segala kuasa dan tanggungjawab Sultan Kelantan mengikut perlembagaan.

Tegasnya lagi, selaras dengan tataurus dan pentadbiran kerajaan negeri yang dijalankan berlandaskan undang-undang, terutamanya Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, maka kerajaan negeri sentiasa mematuhi serta menjalankan segala perkara yang dititah termasuk segala arahan baginda selaras dengan peruntukan Perkara 4 Fasal 1 Perlembagaan.

“Antara lain perlembagaan menyebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maknanya Sultan bagi negeri dan termasuk Waris Gantinya dan, jika kebetulan dengan maknanya termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah yang dahulu daripadanya dan jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja atau jika ada Majlis Pangkuan Raja, termasuk majlis itu,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri adalah sebuah kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat mengikut saluran undang-undang, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan mengikut Perkara 10 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, dengan jelas memperuntukkan undang-undang berkenaan.

“Kuasa memerintah hendaklah diserah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetapi tanggungan-tanggungannya bolehlah di bawah undang-undang, dikurniakan kepada mana-mana orang atau mana-mana kuasa,” jelasnya.

Beliau mewakili kerajaan negeri turut menyeru rakyat seluruhnya berdoa kepada Allah semoga Sultan Kelantan bertambah sihat dari kegeringan dan menyertai solat sunat hajat yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Katanya, majlis bermula dengan solat Maghrib akan dihadiri Pemangku Raja.

“Solat sunat hajat ini diadakan bertujuan untuk memohon pada Allah semoga Kelantan yang sentiasa aman bertambah makmur tanpa sebarang kacau-bilau,” ujarnya.