Showing posts with label husam. Show all posts
Showing posts with label husam. Show all posts

Monday, January 11, 2010

Husam: Tambahan tuntutan royalti minyak Kelantan

malaysiakini

K'tan kemuka tuntutan baru royalti minyak

Jan 11, 10 3:43pm

Kerajaan Kelantan telah kemukakan tuntutan royalti minyak yang baru melibatkan kawasan sempadan negeri itu dan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Datuk Husam Musa berkata sebuah pelantar, dikenali pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984, terletak bersempadan antara Kelantan dan Terengganu dan sejak itu, jumlah royalti diperoleh oleh kerajaan pusat ialah RM9.7 bilion.

Beliau memberitahu pemberita hari ini bahawa tuntutan itu berdasarkan kenyataan akhbar oleh bekas menteri besar Kelantan Tan Sri Mohamed Yaakob pada 5 Sept 1990 bahawa Kelantan sedia berkongsi dengan Terengganu berhubung penemuan sebuah telaga minyak di sempadan kedua-dua negeri.

"Kita akan cari kaedah bagi membolehkan Petronas timbang semula kedudukan beberapa telaga yang bertindih antara Kelantan dan Terengganu.

"Kita telah menyampaikan pendirian dan pandangan serta tuntutan secara rasmi kepada Petronas dan terserah kepada mereka.

"Setakat ini yang kita pasti hanya satu pelantar yang terletak di sempadan kedua-dua negeri manakala terdapat dua lagi pelantar yang masih disiasat dan dikaji sama ada mereka juga beroperasi bersempadan Kelantan-Terengganu," katanya.

Kelantan tahun lalu mengemukakan tuntutan royalti berjumlah RM2 bilion terhadap operasi carigali di perairannya kepada pusat dan berhasrat untuk mengambil tindakan mahkamah.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan, menggantikan bayaran royalti minyak, kepada kerajaan Kelantan mulai tahun ini bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Kerajaan Kelantan didapati tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Mengenai pertemuan kerajaan negeri dengan Petronas pada Jumaat lepas, Husam berkata kerajaan negeri telah menyampaikan hasrat bahawa bayaran perlu dibuat kepada kerajaan negeri serta tidak mengiktiraf pemberian royalti minyak dalam bentuk wang ehsan.

- Bernama

Monday, January 4, 2010

Husam Musa: Perutusan 2010


Positif, Bergerak Positif

1hb januari 2010

Pertuturan dan tulisan - menggunakan kata-kata.

Ucapan, syarahan, percakapan biasa. SMS, blog, rencana.

Sepanjang kata dan tulis - qaulan - Al Qur'an menurunkan antara lain seperti berikut;

- qaulan sadiidan - perkataan yang benar/words of appropriate (comfort)

- qaulan baliigha - perkataan yang berbekas pada jiwa /word to reach very souls

- qaulan kariima - perkataan yang mulia/reverent speech

- qaulan maisuraa - ucapan yang ringan/gentle speech

- qaulan 'aziima - kata-kata yang buruk/a dreadful saying

- qaulan layyinan - kata-kata yang lemah lembut/mild manner

- qaulan ma'ruufan - perkataan yang baik/speak in a kindly way

- ahsanu qaulan - kata-kata terbaik/better in speech

- qaulan tsaqiilan - amanah yang berat/weighty Message

Ada istilah lain dipakai Al Qur'an, yang akan kita kunjungi waktu yang lain.

Qaulan ma'rufaan muncul empat kali. Qaulan sadiidan dua kali.

Kata positif adalah anjuran Al Qur'an.

Kata-kata - datang dari pemikiran kita. Pemikiran positif meluncurkan kata-kata positif. Kata-kata positif menggerakkan manusia. Kata-kata negatif, selepas tidak berkesannya kata-kata positif, untuk tujuan-tujuan tertentu yang terpilih.

Negatif ketika memberikan amaran. Positif dalam banyak urusan.

Negatif atau positif - kebenaran asas ukuran. Tidak yang lain, melainkan kebenaran. Pedas, manis, pahit dan apa jua rasa.

Sekadar catitan tahun baru. 2009 telah berlalu. Allah ampunkan segala kesilapan kita sepanjang setahun. 2010, empat kata kata: Negara Adil Milik Kita.

Posted by faqir putih at 8:13 PM

Saturday, January 2, 2010

Surat terbuka Husam buat Tun Mahathir

http://cetusan-hati.blogspot.com/

RM270 billion: Kertas Putih MOF

Untuk Tun Dr. Mahathir,
(Surat Terbuka)

Tun,

Amat malang sekali PM telah menolak cadangan Tun supaya sebuah Suruhanjaya Diraja menyiasat pengurusan kewangan Tun dan Pak Lah dibentuk.

Alasan Najib sekadar melepas batuk di tangga. Sapu bawah karpet. Kemudian goyang kaki. Jika Najib seorang PM yang serius melihat pulihnya pengurusan prudent, beliau mesti berbuat sesuatu. Kalau pun enggan menubuhkan Suruhanjaya Diraja.

Menteri Kewangan boleh membentangkan Kertas Putih mengenai ke mana wang minyak RM 270 billion telah dibelanjakan. Tun harus menggerakkan cadangan ini. Paling tidak, Parlimen akan mendapat penjelasan melalui Kertas Putih MOF itu. Ia mampu dilakukan oleh Kerajaan dan atas prinsip telus dan berakauntable, tidak ada sebab Najib enggan berbuat demikian.

Tentang penggunaan wang RM 270 billion tersebut, memang ada kebenarannya untuk diragui. Senarai ringkas di bawah sedikit sebanyak boleh memberikan gambaran bagaimana wang itu dibazirkan sesuka hati;

a. Pembatalan kontrak Landasan Berkembar Rawang-Ipoh.

Bayaran ganti rugi kepada DRB-Hicom - RM425mil

b. Pembatalan kontrak Jambatan Kedua Malaysia-Singapura

Bayaran ganti rugi kepada Gerbang Perdana - anggaran awal RM360mil

c. Bayaran ganti rugi kepada operator lebuhraya RM380mil

Compensation to be paid to nine highway concessionaires are as follows

1. Ampang-Ulu Kelang Elevated Highway RM28 million,


2. North South Expressway (Central Link) RM18 million,


3. Seremban-Port Dickson Highway RM178 million,


4. Kulim-Butterworth Highway RM10 million,


5. Malaysia-Singapore Second Link RM6 million,


6. Sprint Highway RM34 million,


7. North Klang Valley Expressway RM9 million, and


8. Penang Bridge RM22 million.

d. RM 500 juta - pembelian bas baru untuk Rapid KL milik Khazanah. 1,000 bas sedia ada terpaksa disadai

e. Kompleks CIQ berharga RM 1 b menjadi gajah putih hasil pembatalan pembinaan Jambatan Kedua. "The result is that more than RM1 billion has been wasted building the Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) complex (left), foundation works for a new railway station, pilings and preliminary works on the road linking the CIQ to the bridge plus compensation to the contractors because of the cancellation of the projects."

f. Kos pembinaan Landasan Berkembar Rawang- Ipoh, mengikut PAC, meningkat RM 1.43 billion dari harga asal. Mengikut laporan lain, ia meningkat dari RM 2.7 pada Julai 2007 kepada RM4.8 billion pada Mei 2008. Peningkatan 77% dalam tempoh 10 bulan!

g. Pembatalan insinerator Broga - dianggarkan di antara RM 500 juta hingga RM 700 juta untuk bayaran pampasan dan berkaitan.

Angka di atas sahaja dah mencecah RM 5.5 billion!

Sebahagian kos ini berlaku kerana sistem runding terus. Sebahagian, untuk menyediakan peluang perniagaan kepada pihak tertentu semata-mata. Sebahagian kerana bayaran ganti rugi semata-mata.

Siapa patut disalahkan, tidak disentuh di sini. Namun, bagaimana wang yang sangat besar boleh diselamatkan jika Kerajaan cekap dan berhemat.

Saya percaya, Tun mampu mempengaruhi Najib membentangkan Kertas Putih itu pada sidang Parlimen akan datang.

Atau, jika Tun ada cadangan lain bagaimana siasatan dan penjelasan terhadap isu ini boleh dilakukan.

Terima kasih.

Husam Musa
(surat ini akan difakskan ke pejabat Tun M pada 31 Disember 2009)

Thursday, December 31, 2009

Ulasan Husam berkenaan artikel kontroversinya

malaysiakini

Husam: Artikel saya bukan sindir MB
Dis 30, 09 11:38pm

Datuk Husam Musa, yang menggesa pentadbiran kerajaan dipisahkan daripada kepentingan keluarga, hari ini menafikan tegurannya ditujukan kepada menteri besar Kelantan. Exco kerajaan Kelantan itu berkata tulisan dalam blognya 'Malaysia atau diri' kelmarin "bukan bermaksud menuding sesiapa, apa lagi kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat", lapor media rasmi PAS.

Mengulas berita di akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menyifatkan coretan blognya itu sebagai sindiran kepada mursyidul am PAS, khususnya berhubung pelantikan menantunya di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Husam dipetik berkata ia seolah-olah ingin melaga-lagakannya dengan Nik Abdul Aziz.

"Tidak betul macam itu, kenapa saya nak sindir Tuan Guru (Nik Abdul Aziz), saya sendiri ada keluarga, ada adik-adik, bahkan adik saya sendiri pernah ditemuduga oleh sebuah agensi kerajaan negeri beberapa tahun lalu," Harakahdaily memetik beliau sebagai berkata.

"Saya nasihatkan agensi kerajaan ini jangan ambil adik saya walaupun berkelayakan, saya lakukan demikian untuk menjaga imej kerajaan negeri di samping ingin mengelak tuduhan-tuduhan macam ini daripada pihak yang tidak bertanggugjawab."

Artikel Husam tersebut tidak jelas merujuk perkembangan semasa politik Kelantan tetapi mengingatkan betapa "politik keluarga" boleh membawa kemusnahan kepada seseorang tokoh pemimpin.

Dengan mengungkit semula betapa negatifnya isu tersebut pernah melanda mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas naib presiden PAS itu menyeru agar wujud pemisahan jelas dua bidang tersebut.

Bagaimanapun tegurannya - yang turut menyebut PAS era kepemimpinan bekas presidennya Tan Sri Mohd Asri Muda pernah menerima jolokan negatif sebagai "parti Asri sekeluarga" - membuka pelbagai spekulasi. Kebanyakan blog pro-PAS menganggap artikel tersebut sebagai mengulas politik semasa di Kelantan susulan kontroversi berpanjangan kedudukan Abdul Ariffahmi Ab Rahman, menantu menteri besar yang menerajui PMBK.

Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS Kelantan, akan berundur secara rasmi Mac tahun depan daripada syarikat berkaitan kerajaan itu.Media rasmi PAS itu turut melaporkan Husam menafikan beliau akan meletakkan semua jawatannya dalam parti dan kerajaan termasuk sebagai ADUN Salor.

Tidak ada sebab beliau harus berbuat demikian padahal pada masa yang sama beliau lebih menumpukan pada tuntutan royalti petroleum daripada kerajaan pusat, tambahnya.

"Lainlah kalau sudah dapat royalti besok, tuan-tuan buat khabar angin macam tu," beliau dipetik berkata, sambil ketawa.

Katanya lagi, akibat khabar angin seumpama itulah beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap blog dan beberapa akhbar harian.

Wednesday, December 30, 2009

Apabila Husam bersuara..



Malaysia atau diri

28hb Disember 2009

Malaysia mungkin dikenakan sanction atas penjualan enjin pesawat secara gelap. Kesan kepada ekonomi dan negara kita secara keseluruhan tentu amat besar. Kenyataan Balasubraniam yang tersebar menerusi internet mengenai isu PM-Altantuya, amat menjejaskan dan belum nampak formula mengatasinya. Imej Kerajaan kita terjejas teruk. PKFZ dan lubang hitam terbesar yang ditinggalkannya tak mungkin dapat ditutup dalam tempoh dekat. Hampir tumbangnya kerajaan pimpinan Najib gara-gara MP BN tuang sidang Parlimen semasa undian, tentulah menggerikan penyokong BN.

Lebih menakutkan kekurangan solid vote untuk Najib itu memang direstui oleh MP BN itu sendiri kerana dah malas.Di peringkat antarabangsa, kita nampaknya belum mencapai standing terhormat seperti dulu.

Kerajaan seakan nampak tidak solid. Isu BTN sahaja, pimpinan utama berbelah bagi. Enjin jet, seakan terbahagi dua antara ingin mendedahkan dan ingin mendiamkan. PM mungkin mengikuti jejak Pak Lah. Lebih banyak berdiam dari memberikan respon segera.

PM seakan terpisah dari realiti. Beliau lebih memberi fokus terhadap agenda yang hendak ditonjolkan yang dirangka oleh penasihat strategik beliau dan pasif terhadap isu sebenar yang berbangkit saban hari. Beliau articulative ketika membincangkan agenda utopia rangkaan kumpulan penasihat dan seakan membiarkan isu sebenar bergerak sendiri.

Dalam setengah hal, kita mengulangi keadaan seakan kerajaan dipandu secara auto pilot dalam urusan seharian kerana pimpinan sibuk menyiapkan gagasan utopia untuk dijadikan gula-gula.

Banyak keadaan terkunci pada mode lama, termasuk SOP urusan diplomatik dan luar negara.

Belum dibincangkan susunan parti-parti komponen. Keadaan nampaknya kritikal.

Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas. Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak. Kemucut-kemucut sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan.

Konsep berkerajaan yang baik ialah pengasingan antara family matters dan state matters. Bukan sahaja legally, tetapi juga morally.

PAS - satu masa dulu pernah digelar Parti Asri Sekeluarga - kerana pemegang beberapa jawatan tinggi ada kaitan keluarga dengan Presiden PAS waktu itu, Datuk Asri. Serangan sedemikian ketika PAS berdepan dengan krisis politik pada waktu itu, merugikan PAS dan menjadi modal lawan yang berkesan sekali.

Antara isu yang sukar ditepis oleh Dr. Mahathir ialah penglibatan anak-anaknya dalam perniagaan. Isu bail out syarikat kapal Mirzan oleh Petronas kekal dibangkitkan sampai ke hari ini. Anaknya yang lain, Mokhzani akhirnya membuat pengumuman berundur dari dunia korporat apabila menjadi sasaran serangan dan digunakan sebagai bukti amalan kronisma Mahathir sekitar awal 1990an.

Abdullah Badawi sangat popular sebelum isu anak dan menantunya muncul dalam kehidupan politik beliau. Beliau berjaya membawa UMNO/BN menang paling besar dalam sejarah politik negara pada tahun 2004.

Selepas riak dan alpa dengan kemenangan besar itulah, isu penglibatan perniagaan syarikat anaknya, Scomi mula menikam politik beliau. Ditambah dengan penglibatan ekonomi dan politik KJ, Abdullah akhirnya kecundang dalam masa yang sangat singkat.

Anak dan menantu atau keluarganya, gagal mempertahankan beliau. KJ telah berkhidmat secara langsung dengan Pak Lah melalui jawatan di Tingkat Empat, yang tak lama kemudian ditentang hebat termasuk oleh ahli UMNO sendiri.

KJ kemudian memperolehi saham ECM Libra, yang menjadi isu hangat.

Sekalipun KJ melepaskan jawatannya di Tingkat Empat dan menjual sahamnya dalam ECM Libra, namun Pak Lah terus dikaitkan dengan KJ dan anaknya Kamaludin dalam banyak perkara.

KJ berada di belakang semua keputusan Pak Lah - dalam minda hampir semua orang.Namun, politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar tahun 2004 tidak berulang. Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihanraya 2008.

Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah stake holder yang lebih penting dari pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah.

Dilihat dari sirah Rasulullah, ada keadaan-keadaan di mana anggota keluarga memberikan pandangan atau diminta pandangan dalam pelbagai isu. Namun, keputusan akhir adalah di tangan Rasulullah s.a.w dan isu-isu itu pula bukan berbentuk monetary gain atau percaturan politik keluarga tetapi lebih kepada public interest.

A'isyah memberi pendapat kepada suami baginda bahawa ayahandanya Abu Bakar seorang yang penghiba dan tidak perlu dilantik menggantikan Rasulullah sebagai imam solat yang dikira penting. Rasulullah s.a.w meneruskan hasrat baginda. A'isyah memberikan pandangan itu atas kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri.

Salah seorang isteri Rasulullah memberikan idea Rasulullah mesti memulakan tahalullul sebagai penyelesaian terhadap keengganan sesetengah sahabat menerima terma perjanjian Hudaibiyyah dan idea ini diterima dan berjaya.

Namun, sampai kepada isu monetary gain, rule of law dan isu governance yang lain, Rasulullah mengambil sikap menjunjung prinsip pemisahan itu mengatasi hubungan kekeluargaan. Baginda sampai berkata, kalau anaknya sendiri didapai melakukan jenayah, hukuman sepatutnya akan dikenakan dan ia akan dilakukukan oleh baginda sendiri.

Batas inilah yang perlu dipelihara ketika madsyarakat sedang tertunggukan kebangkitan yang solid tanpa kecelaruan sedangkan kecelaruan tersebut boleh dielakkan.

Monday, November 30, 2009

PAS Kelantan: Di sebalik pujian ke atas Nik Abduh


Sejak mutakhir ini, media perdana dilihat cuba menangguk di dalam isu PAS Kelantan. Pelbagai usaha dilakukan bagi menzahirkan perpecahan PAS Kelantan termasuklah memperalatan kenyataan Ustaz Nik Abduh yang dilihat agak keras terhadap situasi politik PAS di Kelantan. Ini termasuklah menyerang secara berterusan ke atas Datuk Husam (yang saya lihat sebagai tokoh utama yang membantu Tok Guru dalam menghalang Kelantan dari jatuh ke tangan Umno.).

Kenyataan Ustaz Nik Abduh ini sering kali menjadi rujukan media perdana (Umno) bagi menghentam individu yang dilihat sebagai 'perisai' kepada Tok Guru dan Kerajaan Kelantan. Pelbagai pujian diberikan kepada beliau di atas kenyataan-kenyataan yang dianggap 'hebat' itu oleh media perdana.

Al-marhum Ustaz Fadzil Nor pernah memberi amaran kepada pendokong PAS agar menilai semula kenyataan atau pendekatan kita yang mendapat 'sokongan padu' dari media perdana mahupun Umno. Mesti ada yang tidak kena dan membawa keuntungan kepada mereka!

Jadi, adalah lebih baik Nik Abduh tidak lagi meneruskan niat beliau dalam mencanangkan isu-isu berkaitan dan memberi perhatian ke atas perjuangan (termasuklah tarbiyyah di kalangan pemuda dan seumpamanya).


mingguan malaysia
gguan Malaysia (29/11/2009)
Antara Husam dan Nik Abduh

PERKEMBANGAN politik Pas terutama di Kelantan makin panas sehingga menyebabkan cengkaman politik Menteri Besar, Nik Aziz Nik Mat goyah.

Kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantu beliau, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Ir. Mohd. Ariff Fahmi Abdul Rahman atas tuduhan rasuah, membawa episod baru apabila beliau diarahkan melepaskan jawatan. Dalam sebuah laman blog, Mohd. Ariff Fahmi dan isterinya yang juga anak Nik Aziz, dikecam teruk.

Belum pun reda isu tersebut dan isu penajaan haji kepada Nik Aziz oleh sebuah syarikat yang dikatakan mempunyai kontrak di Kelantan, tercetus pula pergeseran antara Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Husam Musa dan anak kepada Nik Aziz, Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat.

Husam dalam satu laporan media menyatakan beliau ‘diserang’ menerusi kritikan anak Nik Aziz. ‘‘Jika dijawab (serangan itu) nampak pula macam saya bergaduh dengan keluarga Tok Guru.

Jadi saya bersabar,” katanya. Beberapa hari sebelum kenyataan itu, berdasarkan sumber dalaman Pas Kelantan, Husam dilaporkan mahu melepaskan jawatan tetapi beliau menafikan laporan tersebut.

Nik Abduh pula menyuarakan simpati terhadap bapanya yang menjadi mangsa permainan politik yang sengaja dirancang, yang sesetengah pemerhati mengaitkannya dengan proksi pemimpin tertentu.

Menurut Nik Abduh, berita peletakan jawatan seorang pemimpin Pas yang dianggap kesayangan bapanya telah kedengaran lebih awal. Walaupun tidak menyebut nama, ia jelas merujuk kepada Husam. Apa maknanya? Yang pasti, pergeseran itu menambah kekusutan Nik Aziz terutama sejak isu cadangannya memanggil muktamar agung luar biasa bagi membersihkan parti itu daripada beberapa kerat pemimpin pro Presiden Pas, Hadi Awang ditolak. Ia digantikan dengan seminar yang akhirnya mengundang kritikan balas perwakilan.
.
Siapakah yang Nik Aziz mahu memihak sama ada Husam, yang merupakan ayam tambatan politiknya atau anak beliau sendiri yang juga mempunyai karisma? Pendirian kedua-duanya berhubung sama ada wajarkah Nik Aziz berundur atau terus kekal, juga berbeza. Husam mencadangkan agar Nik Aziz mempertahankan kerusi DUN dan turut bertanding kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang bagi membolehkannya menjadi Perdana Menteri. Nik Abduh pula lantang mengingatkan agar tiada mana-mana pihak cuba menghalang bapanya daripada berundur suatu hari nanti.

Awang nampak ada kebijaksanaan dan keberanian Nik Abduh dalam komen dan tindak-tanduknya. Sebelum ini, beliau pernah membuat pendedahan bahawa bapanya telah menerima salah nasihat dan mendapat gambaran tidak betul daripada golongan tertentu, yang dikaitkan oleh pemerhati dengan puak Erdogan.

Awang melihat Nik Abduh bintang baru yang boleh menjadi sandaran Pas. Beliau tidak hipokrit. Lebih penting, beliau tidak terikat dengan pengaruh luar, yang imej itu tebal kepada Husam.

Thursday, June 11, 2009

Tok Guru sokong Husam dan Mohd Sabu dilantik

harakahdaily.net

Nik Aziz setuju jika terima Husam, Mohd Sabu

Mohd Nor Yahya Thu Jun 11, 09 7:17:57 am MYT

KOTA BHARU, 11 Jun (Hrkh) - Cadangan untuk menerima Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu dalam Dewan Harian PAS Pusat oleh Naib Presiden PAS baru, Dato' Mahfuz Omar dipersetujui oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut Tuan Guru, beliau telah mengenali kedua-dua tokoh tersebut agak lama kerana mereka berdua merupakan bekas Naib Presiden PAS sebelum pemilihan baru-baru ini.

"Saya amat bersetuju sekiranya Dato' Husam diterima sebagai salah seorang dalam Dewan Harian PAS Pusat kerana saya tahu latar belakangnya,beliau merupakan seorang Exco negeri Kelantan yang berkaliber dan sudah tentu pengalaman luas dalam pentadbiran dan politiknya amat berharga,begitu juga dengan Mat Sabu,beliau merupakan tokoh pemidato terbaik bagi saya dan penuh dengan hujah yang bernas,"ujarnya ketika ditemui di majlis penutup Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Malaysia Zon Utara dan Timur Semenanjung kali ke-10 di Kampus Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

Nik Aziz juga berharap mereka ini diterima dalam Dewan Harian PAS Pusat kerana keduanya merupakan aset yang bernilai tinggi dalam perjuangan PAS dan amat mesra dengan kaum-kaum lain seperti India dan Cina.

"Kita kini dalam menuju ke arah Pilihan raya ke-13,amat wajarlah kedua-dua tokoh ini diterima dalam Dewan tersebut kerana mereka ini mempunyai idea dan pandangan yang luas dan amat rugi kalau tak ambil mereka ni,"katanya lagi.

Namun demikian ini adalah merupakan cadangan dan pandangan dari Naib Presiden PAS yang baru dan terserahlah kepada Presiden untuk mempertimbangkannya. Mesyuarat pertama dijangka diadakan pada hari ini.

Sebelum ini, Husam Musa dan Mohammad Sabu merupakan Naib Presiden PAS Pusat dan telah tewas dalam merebut jawatan Timbalan Presiden daripada Nasaruddin Mat Isa yang berjaya mempertahankan jawatan dengan undi sebanyak 480 undi. - mks._

Tuesday, June 9, 2009

Muktamar: Ucapan Husam

http://muktamar55.pas.org.my

Husam terbuka terima beza pendapat

Ditulis oleh Te@m I.T

SUNDAY, 07 JUNE 2009 07:01

SHAH ALAM, 7 Jun
- Dato’ Husam Musa di dalam ucapannya tadi mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baru yang dipilih oleh para perwakilan. Beliau mengajak seluruh ahli untuk menerima PAS secara keseluruhan dari aspek siasah, fikrah, uslub dan soal menang kalah.

Menyentuh tentang anggapan dan tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan ada pihak yang menggunakan parti bagi tujuan peribadi, beliau menganggap itu sebagai ungkapan yang kurang manis disebut.

Sambil menyatakan menerima dengan hati terbuka keputusan yang dibuat oleh perwakilan berhubung keputusan pucuk pimpinan parti semalam, beliau berjanji akan terus berjuang di dalam PAS.

Bersetuju dengan cadangan salah seorang perwakilan yang mahu badan disiplin parti diperkukuhkan, beliau yang memandang pentingnya menegakkan disiplin dalam parti menyarankan tindakan diambil kepada mereka yang melanggar disiplin yang ditetapkan bagi mewujudkan keadilan.

'Pelesit' dalam PAS?

manjongmari.blogspot.com

Sipelesit ini sudah berani nak mempertikaikan tindakan yang dilakukan oleh TGNA
.


Kalau sebelum ini penulis blogger Parasit atau Pelesit MSO selepas saja habis muktamar ia terus menghentam PAS Kelantan yang gagal memenangi kerusi Pimpinan PAS Pusat melainkan Dato KJ seorang.

Tetapi apa yang beliau tuliskan itu telah disangkal oleh Dato Husam semula dalam ucapan penangguhannya… Timbalan Presiden Parlimen dari Parlimen Bachuk, Dr Hatta dari Kuala Kerai, Salehudin Ayob dari Kubang Kerian… semua tu hasil dari Kelantan… betul juga… nampaknya MSO buta mata hati tentang itu…Husam lebih tajam penghilatannya…

Kemudian MSO mungkin tak puas hati disebabkan jawapan tersebut dari Husam keluar satu posting lagi.. Mulai Hari Ini Husam Perlu Menelan Jadam… hentam Husam pulak….jadi eloklah ditukarkan dari parasit kepagda pelesit buat mangkok hayun ni…

Ketidak puas hati dan kemarahannya masih belum reda… lepas itu dia tulis pulak 'Ada Tiga ‘Tanah Rancangan’ Dalam Pas Kelantan' kali ini sipelesit ni tulis atas gerak kerjanya lah Husam berjaya memenangi kerusi Naib Presiden pada tahun 2005 yang lalu…kemudian dia nak membandingkan pada muktama kali ini Husam di tolak malah kalau Nik Aziz bertanding pun akan ditolak…. amboi-amboi… ingat perwakilan PAS macam dia juga kut… idup dengan makan persen…

Dan semalam sudah terbuktilah dengan gaya penulisannya aku rasakan memang silaknat pelesit ini menulis untuk mendapat upah dan ganjaran, 'Jangan Ada Dua Mazhab Politik Dalam Pas' inilah yang perlu hangpa tau… sipelesit inilah musuh dalam selimut. Dan si pelesit ini dibela oleh pimpinan PAS yang mentadbir majalah/suratkhabar Siasah. Dan kalau kita baca siasah pada hari-hari sebelum muktamar yang lalu ada saja artikel yang menghentam peribadi calon edorgan…

Dalam posting yang ini sipelesit ni cuba beranggapan ada dua puak dalam PAS… hasil dari tulisan beliaulah terjadi dua puak sebenarnya.. dihasut.. dilempar dengan pelbagai tuduhan mau tidak mau pembaca yang mulanya suka membaca lama-lama terpengaruhi dengan hasil tulisannya.. maka terjadilah seperti yang berlaku sekarang… Bila berlaku sedemikian semakin sukalah sipelesit ini ini kerana banyak lagi habuan yang dia boleh tulis…

Dalam pada itu sipelesit ini sudah berani nak mempertikaikan tindakan yang dilakukan oleh TGNA… oiii lu sapa nak cakap hal TGNA…Nik Aziz selaku Pimpinan tertinggi dalam PAS berhak menegur apa yang beliau rasa tak betul.. itu tugas beliau sebagai orang tua menegur yang muda.. memang kewajipannya…bagi aku itu tak salah… yang salah dan kurang ajar tu sang Timbalan Presiden yang mempertikaikan teguran Nik Aziz… itu salah… itu memang kurang ajar…memang tak beradap.. itu memang budaya UMNO yang sudah terpalit dibawa masuk ke dalam PAS.

Untuk pengetahuan sang Pelesit MSO… mereka yang kecundang dalam pemilihan lepas tak ada rasa apa-apa pun, masih macam biasa… cuma kamu saja yang buat sibuk, buat kecoh dan harapan kamu biarlah PAS berpecah.. itulah yang kamu suka… kalau tidak masakan dari awal lagi kamu menulis utuk membuahkan bibit-bibit perpecahan.

Muktamar: Husam Pasrah



Husam tidak kecewa mahu PAS ganti BN pimpin negara

Ditulis oleh Te@m I.T

SATURDAY, 06 JUNE 2009 04:33

SHAH ALAM - Exco kerajaan Negeri Kelantan, Husam Musa mahu PAS menggantikan BN dalam memimpin negara. Beliau akan terus menunggu detik tersebut tidak kira ia akan dicapai dalam tempoh masa yang panjang mahupun terdekat.

Beliau menyatakan dalam sidang media muktamar tahunan PAS ke-55 di Stadium Melawati sebentar tadi.

Beliau tidak berasa kecewa walaupun kalah dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden hari ini. "Saya terima kekalahan dengan rasa terbuka" ujar beliau. Menurut beliau apa yang penting ialah mesej politik sampai kepada ahli dan kepimpinan parti.

Menurut beliau, beberapa orang pimpinan yang menang turut mempunyai pandangan politik yang selari dengan beliau.

Ketika ditanya oleh wartawan tentang apa yang akan beliau lakukan selepas ini, beliau berkata akan terus membantu di dalam membina parti dengan idea-idea beliau.