Friday, March 13, 2009

Kemelut di Perak: Siva diberi hak peguam peribadi

malaysiakini

Sivakumar boleh lantik peguam sendiri

Mar 13, 09 3:48pm

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar boleh melantik peguam sendiri untuk mewakilinya dalam kes-kes saman terhadapnya ekoran krisis kepimpinan di negeri itu, demikian diputuskan di Mahkamah Rayuan hari ini.

Hakim-hakim Datuk Md Raus Sharif, Datuk Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop sebulat suara berhujah bahawa tiada peruntukan undang-undang yang menyatakan Speaker harus diwakili oleh penasihat undang-undang negeri.

"Seorang Speaker bukan merupakan pegawai negeri atau kerajaan negeri. Sivakumar bebas melantik peguam pilihannya," kata Raus dalam keputusan lisannya.

Mereka bertiga membenarkan rayuan Sivakumar untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi Ipoh bahawa hanya sahaja boleh mewakilinya.

Pada 3 dan 5 Mac lalu, pesuruhjaya kehakiman Ridwan Ibrahim enggan membenarkan peguam swasta mewakili Sivakumar.

Mini Bajet: Tok Guru setuju tindakan TPM

sinar harian

Edisi Kelantan - Berita Utama - 13hb Mac 2009

MB mahu projek dibuat secara tender terbuka

PASIR MAS – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, belia menyokong tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengenepikan fahaman politik dalam pelaksanaan bajet mini sebanyak RM60 bilion.

Menurutnya, bajet mini yang dibentangkan bukanlah berdasarkan gimik politik yang dibuat semata-mata dengan keadaan ekonomi yang gawat ini.

“Saya berharap bajet yang dibentangkan itu bukanlah satu gimik politik tetapi keikhlasan untuk membantu rakyat dalam menempuhi kegawatan ekonomi dunia yang turut menjejaskan ekonomi negara.

“Saya juga berharap pelaksanaan seharusnya bernas dan merangsang kepada ekonomi bagi membantu rakyat menghadapi krisis kegawatan ekonomi ini,” katanya selepas merasmikan peletakan batu asas pembinaan Kompleks Tarbiyah Islamiah Chetok, dekat sini, semalam.

Mursyidul Am Pas itu berkata, sekiranya mahukan seruan ketepikan fahaman politik seperti yang dikatakan Najib dilaksanakan, beliau mahu projek-projek di Kelantan hendaklah dibuat secara tender terbuka.

Katanya, salah satu contoh projek yang diberikan kepada orang politik ialah Projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra kerana beliau difahamkan tender projek itu diberi bukan secara terbuka dan kini ia terus tertangguh selepas dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dua tahun lepas.

“Ini merupakan satu masalah dan akan menyebabkan keadaan tidak akan selamat dan bersatu sekiranya selalu bermain politik,” katanya.

Menurutnya, mengenai penjualan bon syariat, beliau mendapati UMNO mulai sedar sistem ekonomi Islam terbukti mantap.

“Saya menyambut baik cadangan tersebut untuk melaksanakan dasar ekonomi secara Islam kerana ia selari dengan matlamat dan dasar perjuangan Pas.”

Justeru katanya, penting setiap rakyat dan pemimpin diberi penekanan soal tarbiyah Islam kerana melalui tarbiyah itulah dapat mendidik seseorang itu mengikut landasan Islam sebagaimana diterima oleh Nabi,” katanya.

Ditanya mengenai kawasan pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang yang disifatkan polis sebagai kawasan panas, Nik Aziz berkata, keadaan itu dapat disejukkan jika pengundi dan rakyat sendiri sedar dan mempunyai pegangan berasaskan kepada tarbiyah Islamiah.

“Kita melihat sekiranya kita sering menyebut tentang Melayu, kaum lain akan terasa dan marah begitu juga sebaliknya.

“Tetapi apabila mempunyai pegangan tarbiyah Islamiah ini, ia dapat memberikan mengurangkan ‘panas’ seperti yang di nyatakan,” katanya.

Kerajaan Perpaduan: Muhyidin sokong cadangan Presiden PAS

sinar harian

Berita Utama - 13hb Mac 2009

Muhyiddin sokong kerajaan perpaduan

SHAH ALAM - Tan Sri Muhyiddin Yassin secara peribadi menyokong cadangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk kerajaan perpaduan di negara ini demi mengembalikan keamanan dan tenteram kepada rakyat.

Naib Presiden UMNO itu berkata, cadangan berkenaan pernah diusulkan sebelum pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu tetapi tidak mendapat sebarang sokongan daripada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ini pandangan peribadi saya dan tidak ada kena mengena dengan parti. Cadangan yang dikemukakan oleh Presiden Pas itu amat penting untuk difikirkan. Malah tidak ada sebarang masalah sekiranya berlaku kerajaan campuran. UMNO bersikap terbuka,” katanya.

Muhyidin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Taklimat Dan Dialog Pakej Rangsangan Ekonomi, di sini semalam.

Hadi sebelum ini dilaporkan mencadangkan agar ditubuhkan kerajaan perpaduan di negara ini ekoran krisis politik dan krisis ekonomi yang bakal mendatang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, semua parti-parti politik di negara ini perlu bersatu untuk agenda yang lebih besar negara iaitu bekerja untuk kepentingan rakyat.

Sementara itu pada majlis yang sama, Muhyiddin berkata, usaha serius perlu dilakukan bagi memastikan pelaksanaan segera pakej rangsangan ekonomi kedua.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pelaksanaan pakej rangsangan kedua perlu sampai ke peringkat akar umbi bagi memastikan projek-projek terbabit dilaksanakan.

“Sokongan rakyat semua peringkat, terutama perniagaan, perlu bagi menyemarakkan penggunaan domestik dan meningkatkan ekonomi,” katanya.

Kemelut di Perak: Ulasan Mat Sabu

HarakahDaily.Net

Pencetus krisis di Perak perlu dihukum!

Mohamad Sabu Thu Mar 12, 09 6:50:34 pm MYT

KITA memilih perjuangan untuk mendapatkan kuasa dan mempertahankan kuasa yang diperolehi melalui proses demokrasi.

Perlembagaan parti adalah bertujuan membentuk organisasi, dasar dan matlamat yang hendak dituju oleh ahli organisasi tersebut.

Perlembagaan negara menjadi naungan kepada organisasi berbentuk politik siasah, organisasi sosial, riadah, kemasyarakatan. Matlamat dan perjuangan organisasi mesti tidak terpesong daripada keizinan perlembagaan negara.

Oleh kerana kita memilih saluran demokrasi, maka suasana demokrasi dan syarat minimum demokrasi mesti ada di Malaysia. Perjuangan untuk mendapatkan suasana demokrasi mesti terus dituntut. Kebebasan untuk berhimpun, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar mesti dan wajib diperjuangkan, dengan kita tetap mengambil kira kebebasan mutlak tidak akan diperolehi.
Pilihan raya yang adil dan dilihat adil itu adalah masih jauh untuk dilaksanakan di Malaysia. Pemerintah Barisan Nasional (BN) amat bergantung kepada penipuan dan manipulasi dalam pilihan raya untuk mengekalkan kuasa.

Daftar pemilih, penguasaan dan manipulasi media, serta undi pos masih menjadi talian hayat yang tidak demokratik yang dikekal dan diamalkan oleh pemerintah BN di Malaysia.

Beberapa prinsip asas dalam negara demokrasi ala Malaysia perlu dihormati dan diterima pakai oleh parti-parti politik dan pertubuhan. Konsep demokrasi dan raja berperlembagaan mesti diperjelas kepada rakyat dari semasa ke semasa.

Parti-parti atau individu yang bertanding dalam pilihan raya mempunyai hak untuk membentuk kerajaan apabila parti itu mendapat sokongan majoriti jumlah Adun atau wakil rakyat di peringkat Parlimen.

Percubaan untuk melantik parti dan gabungannya yang mempunyai jumlah Adun yang sedikit akan menjadikannya seperti Sabah yang berada dalam krisis politik dan perlembagaan apabila kemenangan PBS cuba dinafikan oleh BN. Usno cuba menjadi kerajaan dengan bergantung kepada Adun yang akan dilantik, dan bukannya melalui jumlah kerusi yang dimenangi.

Pilihan raya Mac 2008 telah merubah hegemoni penguasaan Barisan Nasional di Malaysia. Walaupun begitu parti atau pihak yang menang berhak memilih Menteri Besar atau Ketua Menteri di kalangan parti mereka melalui keputusan ketua parti mereka.

Ketua Barisan Nasional Malaysia telah memilih Idris Jusoh untuk menjadi Menteri Besar di Terengganu setelah BN Terengganu mendapat cukup bilangan Adun untuk membentuk kerajaan. Pilihan ketua BN terhadap Idris sebagai Menteri Besar perlu dihormati dan dipatuhi.

Soal suka atau tidak suka kepada Idris bukan perkara pokok. Jika tidak suka kepada Idris, parti-parti boleh bertarung dan dedahkan kelemahannya pada rakyat. Tetapi Idris yang dipilih oleh ketua parti yang menang mesti dihormati setelah rakyat membuat keputusan dalam pilihan raya.

Percubaan pihak lain melantik orang yang bukan pilihan ketua parti BN di Terengganu untuk menjadi Menteri Besar sudah tentu menimbulkan masalah dan ia akan mencetuskan masalah baru kepada mana-mana parti politik yang mendapat majoriti dalam Dun pada masa akan datang. Ketua parti akan hilang fungsi, manakala konsep demokrasi dan raja berperlembagaan tercemar.

Begitu juga di Perlis, ketua parti BN telah memilih Shahidan Kasim sebagai Menteri Besar, maka parti-parti politik hendaklah menghormati ketua parti yang menang yang memilih Shahidan untuk mengetuai negeri Perlis.

Apabila ada pihak lain ditampilkan untuk menjadi Menteri Bear Perlis, maka mukadimah kekeliruan akan berlaku sekarang dan pada masa akan datang. Sekali lagi masalah raja berperlembagaan dicemari.

Apabila berlaku kemelut politik di Perak sepanjang Feb hinggaMac 2009, ia agak mudah diselesaikan. Menteri Besar yang sedang memerintah hendaklah dihormati.

Apabila Menteri Bear yang masih berkuasa memohon untuk diperkenankan supaya Dun dibubarkan bagi membolehkan rakyat membuat pilihan pemerintah yang mereka mahu, ia wajib dihormati oleh semua pihak.

Pilihan raya dan pilihan rakyat adalah menjadi jalan keluar yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik Perak sekarang.

Apabila kehendak parti-parti yang berkuasa di Perak tidak dihormati melalui Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin maka berlakulah kemelut perlembagaan di Perak yang menyusahkan semua pihak.

Menangguk di air keruh oleh pembangkang di Terengganu dalam isu pelantikan Menteri Besar selepas pilihan raya Mac 2008 adalah tidak baik dan melanggar prinsip demokrasi dan raja berperlembagaan.

Menganggu pelantikan Menteri Besar Perlis pilihan ketua BN selepas pilihan raya Mac 2008, juga dianggap tidak demokratik dan melanggar konsep raja berperlembagaan.

Begitulah juga dan amat ketara perlanggaran konsep demokrasi dan raja berperlembagaan apabila tidak menghormati parti-parti yang memerintah di Perak melalui Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin.

Krisis ciptaan BN di Perak amat merugikan rakyat, membazirkan wang negara, dan wajib dihukum oleh rakyat terutamanya terbantut program pembangunan dan keyakinan rakyat kepada sistem negara.

Kedaulatan rakyat, kedaulatan raja, dan keluhuran perlembagaan menjadi caca- marba.

PPSMI: Polis mula bertindak

malaysiakini


PPSMI: Hadi, Samad Said disiasat polis

Mar 12, 09 9:01pm

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dipanggil polis untuk siasatan berhubung perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu lepas.

Polis juga ingin pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Datuk Dr Hasan Ahmad bersama barisan pemimpin gabungan itu menghubungi polis bagi membantu siasatan dalam demonstrasi dekat Istana Negara, lapor Bernama.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat dilaporkan berkata perarakan itu tidak mempunyai permit dan melanggar undang-undang bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa serta beberapapemimpin kanan parti termasuk naib presidennya Mohamad Sabu, ketua Pemudanya Salahuddin Ayub dan ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail juga turut dikehendaki polis.

Timbalan pengerusi GMP Dr Shaharir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hasan, setiausaha GMP Hasni Abas, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Mohammad Faizal Abd Aziz, Aizad Mohd Saleh, Muhammad Haafizuddin Abirerah dan pemimpin Pemuda PAS Kamarulzaman Mohamad turut diminta membantu siasatan, lapor agensi berita itu lagi.

Polis juga mengkehendaki ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, naib ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, exco penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, dan ahli jawatankuasa GMP Ainon Mohd.

Bekas pemimpin kanan Pemuda PAS Idris Ahmad dan ketua Angkatan Muda PKR Batu Rozan Azen Mat Rasip juga tersenarai.

"Semua individu tersebut diminta menghubungi ibu pejabat polis daerah Dang Wangi atau menghubungi pegawai penyiasat ASP Suhaimi Muhamad di talian 12-692 73 62 atau ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah DSP Lee Foong Koi di talian 013-867 55 07," Abdul Samah dipetik berkata.

SPM 2008: Pelajar cemerlang Maahad Lelaki

HarakahDaily.Net

Pelajar cemerlang Maahad Lelaki dapat 12A1

Muhammad Yusri Amin Thu Mar 12, 09 9:06:35 pm MYT

KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Tidak mengabaikan pelajaran di mana sahaja berada menjadi resepi kejayaan buat Muhammad Afnan Mohd Fakrurazi, pelajar terbaik Maahad Muhammadi (Lelaki) dalam peperiksaan SPM 2008.

Beliau mendapat keputusan cemerlang iaitu 12A1 dan 1A2.

Manakala rakannya Muhammad Zulfadhli Mahadi pula mendapat 11A1 dan 2A2, Muhamad Syiham Rosli (11A1 dan 1A2) dan Aimatnuddin Husairi Hussain (11A1 dan 1A2).

Turut mendapat keputusan cemerlang Ahmad Zulfahmi Sha�ari (11A1 dan 1A2), Muhammad Firdaus Mazri (10A1 dan 2A2), Mohd Naim Kamaruddin (10A1, 1 A2 dan 1 B3), Mohd Hilmi Mohd Rosli (7A1, 5A2 dan 1B3).

Manakala Mohammad Haseef Izani mendapat 6A1, 5A2 dan 2B3 dan Wan Muhammad Adlan Wan Muhammad (7A1, 4 A2 dan 1 B3).


Pengetua Maahad Muhammadi (lelaki), Zainuddin Che Ismail berkata, pencapaian tahun lepas meningkat berbanding sebelumnya, dan berharap ia dapat ditingkatkan lagi tahun ini.

Sementara itu, pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sekolah itu Ahmad Hamidi Hussain mendapat 10 Mumtaz.

Pelajar cemerlang lain ialah Ahmad Shakir Muhammad Faleh (9 Mumtaz dan 1 Jayyid Jiddan), Ahnaf Wafi Alias (9 Mumtaz dan 1 Jayyid Jiddan), Muhamad Za'imul Umam Shamsudin (9 Mumtaz dan 1 Jayyid Jiddan).

Umar Muhammad Malcom (9 Mumtaz dan 1 Jayyid Jiddan), Muhamad Najib Muhamad Azani (8 Mumtaz dan 2 Jayyid Jiddan) dan Mohd Faiq Ab Rahim (8 Mumtaz dan 2 Jayyid Jiddan).

Ahmad Hamidi ketika ditemui berkata, beliau sentiasa meletakkan dirinya dalam keadaan tidak relaks dan bertungkus lumus dari awal lagi.

"Selain itu, berbincang dengan kawan. Kita hendaklah yakin dengan teknik perbincangan selain yakin dengan ajaran guru," katanya.

Manakala Muhammad Afnan berpendapat teknik belajar hendaklah lebih bersistematik.

"Jangan terlalu rasa tertekan dengan pelajaran. Hendaklah sembahyang hajat setiap hari, dan sebelum pergi sekolah dan sebelum memasuki peperiksaan hendaklah sembahyang sunat Isyraq," katanya.

Muhammad Syiham berkata, belajar hendaklah fokus kepada subjek dan jangan bertangguh menyiapkan kerja sekolah.