Monday, August 4, 2008

Liverpool FC: Perlawanan Persahabatan di Ibrox


Glasgow Rangers..0 Liverpool..4

Ibrox Stadium, Glasgow
2hb Ogos 2008

Perlawanan persahabatan ini menyaksikan kemenangan terbesar Liverpool dalam sesi pemanas badan sebelum menghadapi musim baru 2008/09 tidak lama lagi.

Persefahaman yang ditunjukkan oleh pemain utama serta pelapis agak meyakinkan di samping tindakan penyudah yang baik di depan gol.

Fernando Torres memulakan jaringan pertama pada minit ke-23, diikuti David Ngog, Yossi Benayoun dan Xabi Alonso pada separuh masa kedua.

Kehadiran Daniel Agger dari kecederaan turut melegakan Rafael Benitez bagi menghadapi musim baru ini.

Chandik FC: Kekalahan Pertama dalam Liga Funtastico

Perlawanan Keempat

Masa: 3hb Ogos 2008, Jam 05:30 petang
Lokasi: Padang Stadium TUDM, Subang

Chandik FC mengalami kekalahan pertama dalam liga ini apabila dibenam 2-0 oleh pasukan Osama Laden. Perlawanan ini juga menyaksikan skuad Chandik FC gagal menghasilkan sebarang gol.

Dengan kekalahan ini, Osama Laden berjaya mengurangkan jurang mata kepada satu baki dua perlawanan dan Chandik FC perlu sekurang-kurangnya memenangi salah satu dari dua perlawanan terakhir untuk mara ke peringkat kalah mati.

Perlawanan seterusnya yang akan dihadapi oleh Chandik FC ialah pada 7hb Ogos 2008 (Hari Khamis) dan bakal diadakan di Stadium Maybank, Bangi.

Perlawanan Ketiga

Masa: 27hb Julai 2008 (Hari Ahad)
Lokasi: Padang E, Pusat Penyelidikan Getah (RRI), Sungai Buloh

Perlawanan menentang pasukan yang dibarisi oleh remaja dari Sepang ini berkesudahan dengan kemenangan 5-4.

Walaupun ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama, Chandik FC telah beberapa kali mengejar sebelum akhirnya memenangi perlawanan ini dalam suasana yang sengit.

Mengenai Tulisan Joceline Tan (The Star)

Roslan SMS

3hb Ogos 2008 [Ahad] - 02:15PM

Mempertahankan pemimpin yang benar

Sebelum ini saya pernah mengulas berkenaan penulis ini. Betapa beliau kelihatan begitu padat dengan maklumat dan fakta berkenaan PAS seolah-olah beliau orang dalam parti. Sesungguhnya saya memang kagum dengan gaya tulisan dan ulasan Joceline Tan dari The Star, cuma kebelakangan ini saya lihat beliau begitu kaya dengan maklumat yang saya yakin ramai pimpinan dan aktivis PAS sendiri pun tidak tahu.

Apa agenda Joceline hanya beliau dan sumber yang menyuapnya dengan maklumat-maklumat itu sahaja yang tahu?

Saya katakan saya kagum dengan akses Joceline terhadap apa yang berlaku dalam kelambu PAS kerana Joceline dengan “confident” menulis:

At a central committee meeting three weeks ago, while Hadi began to defend the move to talk with Umno, he found that he could not speak and began coughing and gasping for breath. His aides quickly arranged for him to be ferried to hospital.

(Dalam satu mesyuarat JK PAS Pusat 3 minggu lepas, semasa Hadi sedang mempertahankan usaha untuk berbincang dengan Umno, beliau (tiba-tiba) dapati dirinya tidak boleh mengeluarkan suara dan mula batuk-batuk serta menghadapi kesukaran bernafas. Para pembantunya segera mengejarkannya ke hospital)

Masalah kesihatan pemimpin tertinggi PAS yang hanya diketahui oleh kalangan yang beramanah dan rapat dengan beliau sahaja, boleh sampai kepengetahuan Joceline untuk dijadi rencah tulisan!

Dan Joceline menulis bahawa Tuan Guru ketika itu sedang MEMPERTAHANKAN usaha berbincang dengan Umno, seolah menampakkan Tuan Guru lah yang beria-ia mahu berbincang dengan Umno, apa yang mencetuskan keperluan untuk berbincang, asas-asas, dalil dan nasnya tidak pula dibawa. Seolah sebagaimana yang dipopularkan oleh mereka yang prejudis terhadap Tuan Guru Presiden PAS, beliaulah yang “terhegeh-hegeh” mahu berbaik dengan Umno.

Dan yang paling sinis adalah apabila Joceline menyambung:

Some of those present saw it as a divine omen.

Bermakna ada yang hadir (dalam mesyuarat PAS Pusat itu) menganggap keuzuran Tuan Guru Presiden itu sebagai amaran atau petanda dari langit (“omen” mengikut kamus Inggeris – sign, warning, premonition)

Bermakna disamping penganalisa, dengan bantuan sumber yang menyumbatnya maklumat itu, Joceline telah menjadi pentafsir isyarat dari langit, dan boleh membaca bahawa Tuan Guru Presiden kita tiba-tiba keuzuran kerana menerima amaran dari langit!

Saya tidak bimbang langsung tentang bacaan politik dan analisa yang dibuat oleh Joceline berdasarkan sumber yang beliau perolehi dari kawan rapatnya, soal kononnya Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharudin dan Pesuruhjaya Terengganu Dato Mustapha Ali akan ditembak hidup-hidup dalam muktamar PAS di Ipoh nanti kerana mungkin demikianlah yang dikehendaki oleh kawan rapat Joceline.

Atau apabila Joceline menyatakan yang para ulamak kanan PAS seperti Dato Dr Haron Din, Ustaz Daud Iraqi, Ustaz Harun Taib (yang Joceline gelar “ultra conservative’) bersungguh mempertahankan rundingan dengan Umno, kerana begitulah yang mahu kawan beliau gambarkan kepada umum.

Tetapi yang saya tidak senang adalah apabila Joceline cuba membuat andaian (mungkin dengan bantuan kawan rapatnya) bahawa Tuan Guru Presiden PAS sudah tua dan uzur, beliau menulis:

Besides, the ageing PAS leader has not been in the best of health

Mengapa faktor umur dan kesihatan Presiden dimainkan sebagai isu? Mungkinkah beliau mahu (dengan membantu agenda kawannya) menyampaikan mesej bahawa Presiden PAS sudah terlalu tua dan selalu sakit-sakit, dan pula nak berbaik-baik dengan Umno, musuh nombor wahid PAS, maka layaklah beliau ditukar, begitu?

Ramai lagi dalam PAS yang lebih uzur dan berumur dari Presiden parti. Malah untuk berlaku adil, Presiden PAS sebaya dengan bakal PM Pakatan Rakyat yang tak pula pernah disebut sebagai “ageing”.

Segala persepsi saya berkenaan Joceline ini mungkin tidak benar, mungkin saya terlalu emosional mahu pertahankan Tuan Guru Presiden maklumlah saya Setiausaha Akhbarnya, terpulanglah. Tetapi sebagai seorang ahli parti yang berjuang dan aktif dalam parti secara konsisten (ketika ada pimpinan yang belum pun masuk PAS atau aktif dalam jamaah lain) saya ditarbiyah oleh jemaah untuk taat dan patuh pada beliau selagi mana beliau tidak memimpin membelakangkan syariah.

Alfadhil adinda Ustaz Nasruddin Tantawi dalam blognya dengan jelas menerangkan:

Menjadi kaedah asas dalam gerakan Islam atau mana jua organisasi bahawa pengikut mestilah mentaati arahan pemimpinnya. As Sam’ u wa taah ( dengar dan taat ) terhadap arahan dan kehendak pemimpin dalam perkara yang tidak mengundang kepada maksiat atau mungkar adalah suatu tuntutan bagi amal Islami .

Ketaatan kepada pemimpin dalam gerakan Islam bukan bererti kongkongan yang hanya melahirkan ahli yang patuh membabi buta atau membuta tuli . Tetapi untuk mewujudkan sebuah gerakan yang lancar dan berkesan dalam tindakan . ( sebab itu pemimpin mesti dilantik atau dipilih dikalangan yang terbaik sebab pemimpin mesti dipatuhi dan ditaati .)

Sungguh malang bagi sebuah organisasi yang mempunyai pemimpin dan pemimpinnya dipilih oleh ahlinya sendiri tetapi kemudiannya pemimpin itu tidak dipatuhi , tidak dipercayai malah dicaci maki oleh pengikutnya sendiri .

Benarlah apa yang pernah disebut oleh Saiyidina Omar al Khattab :

Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa ketaatan

Apakah sudah bermula agenda untuk menyerang pimpinan dan melupuskan konsep Kepimpinan Ulamak yang sama-sama kita bantu dan bina itu? Mungkin tidak, mungkin segala maklumat Joceline ini beliau perolehi terus dari langit, berwaspadalah.

ING Cup: Emanuelson Pemain Terbaik

Bintang muda Belanda dan Ajax, Urby Emanuelson, dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Kejohanan berdasarkan persembahan mantap beliau ketika membenam Cameroon 2-0 pada minggu lalu serta menjaringkan gol cantik melalui sepakan percuma ketika seri 1-1 menentang Ivory Coast.

Setelah disisihkan oleh Van Basten pada Piala Eropah yang lalu, beliau kemudiannya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Kejohanan Olimpik di Beijing.

Pemain sayap serta tengah yang berbakat ini memulakan karier di Ajax pada umur 18 tahun dan kini telah bermain sebanyak 91 perlawanan liga bagi kelab yang berpusat di Amsterdam ini.
Beliau juga pernah dikaitkan dengan beberapa kelab besar Eropah seperti Valencia dan Tottenham Hotspur pada musim lalu.

Dapatkan info lanjut di http://www.goal.com/en/Articolo.aspx?ContenutoId=802967

ING Cup: Belanda Juara


Belanda telah menjuarai ING Cup 2008 yang berlangsung di Hong Kong setelah mengikat Ivory Coast 1-1 pada Sabtu lalu. Sebelum itu, Belanda turut membenam Cameroon 2-0.

Kejohanan ini disertai oleh empat pasukan Olimpik iaitu Belanda, Ivory Coast, Amerika Syarikat dan Cameroon yang berlangsung dari 30hb Julai hingga 2hb Ogos 2008.

Kejohanan ini sebenarnya dijadikan pemanas badan bagi pasukan-pasukan tersebut sebelum menghadapi kejohanan Olimpik di Beijing nanti yang turut menampilkan pasukan gergasi seperti Brazil dan Argentina.

Namun begitu, Ivory Coast tetap bakal menjadi pasukan yang akan menggegarkan acara bolasepak Olimpik ini berdasarkan persembahan skuad ini sepanjang kejohanan ING Cup ini.

Belanda akan memulakan kempen Olimpik mereka dengan menentang Nigeria pada Khamis ini.

Untuk maklumat lanjut kejohanan ini sila layari http://www.fifa.com/mensolympic/news/newsid=837245.html?cid=rssfeed&att=

Siri Jelajah Menuju Putrajaya: Anwar di Pulau Pinang



4hb Julai 2008 [Isnin]

“Ya saya agen Melayu, saya agen Cina, saya agen India, dan saya agen rakyat,” merupakan antara isi utama ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan puluhan ribu yang hadir di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam. Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar tidak termakan dengan dakyah perkauman yang ditiupkan oleh UMNO.

Muslihat UMNO yang sentiasa bergantung kepada politik lapuk juga dikritik oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, “Nak tolong melayu kena tindas cina, nak tolong cina kena pukul melayu, ini politik lama.” Ceramah tersebut juga menampilkan tokoh-tokoh seperti YB Azmin Ali, YB Husam Musa, YAB Lim Guan Eng dan Datuk Seri Wan Azizah.

Selain itu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu agenda penting Pakatan Rakyat sebaik sahaja ia dapat memerintah, iaitu penurunan harga minyak.

“Langkah awal selepas bentuk kerajaan adalah turunkan harga minyak, 3 minggu lalu 50 sen(harga minyak di pasaran $135 setong), hari ini (selepas kita kaji), 70 sen(harga pasaran turun kepada $125 setong).”

Penurunan harga minyak merupakan langkah penting untuk meringankan beban rakyat. Rakyat merupakan agenda utama Pakatan Rakyat, bukannya memastikan kroni serta keluarga kaya raya dan rakyat papa kedana.

Pejabat Anwar Ibrahim

Tok Guru: Halal, haram bidang politik perlu diutamakan

harakahdaily

Muhammad Yusri Amin Thu Jul 31, 08 7:30:37 pm MYT

KOTA BHARU, 31 Julai (Hrkh) Umat Islam hanya mengambil kisah soal halal dan haram berkaitan makanan sahaja, sedangkan aspek pemerintahan negara mereka tidak dihiraukan.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ada umat Islam yang mengasingkan amalan agama daripada politik.

"Inilah perkara yang lebih penting berbanding mengawal soal halal atau haram dalam aspek makanan sahaja.

"Ini kerana sesetengah anggota masyarakat hari ini mudah termakan dengan ajaran politik lain, agama lain," katanya pada satu program di sini, baru-baru ini.

Oleh itu kata beliau kerajaan negeri berusaha bersungguh-sungguh memberi kefahaman kepada rakyat supaya memahami soal halal dan haram dalam kehidupan harian.

Beliau juga berkata, produk halal keluaran Kelantan mempunyai peluang dipasarkan ke peringkat global.

Beliau juga berharap akan lahir pedagang bertaraf Siti Khadijah dan Imam Abu Hanifah di kalangan rakyat Kelantan suatu masa nanti.

"Mengambil kira dengan gelaran sebagai Serambi Mekah, memudahkan orang ramai yakin dengan produk halal dikeluarkan di Kelantan," katanya.

Kalungan Bunga di Tugu Negara: Tindakan Pemimpin Islam

Walaupun telah berulang kali kita dinasihatkan oleh golongan yang berilmu (ulama, samada dari kerajaan, pembangkang atau berkecuali), namun pemimpin kita tetap meneruskan upacara meletakkan bunga di Tugu Negara sempena ulangtahun Hari Pahlawan.

Berikut adalah ulasan dari salah seorang Mufti mengenai perkara ini.


Penghormatan Tugu Negara : Mufti Perlis gesa PM bertaubat

Azamin Amin Sun Aug 03, 08 10:43:56 am MYT

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Hrkh) -"Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan."

Demikian kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin yang mengulas upacara Tugu Negara bersempena Hari Pahlawan 31 Julai lalu, yang menyaksikan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi hadir di Majlis Kalungan Bunga monumen berkenaan.

Abdullah dilaporkan menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sebagai memperingati wira-wira yang gugur semasa mempertahankan tanah air dengan diikuti tiupan lagu dan trumpet 'Last Post' serta deklamasi sajak berjudul Pahlawanku oleh Pegawai Waran I, Azamin Itam.

Kata Dr Asri lagi, perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati malah sekiranya pelaku tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh.

"Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin dan jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas.

"Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan. Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar," kata Dr Asri dalam laman web Minda Mufti baru-baru ini.

Tahun lalu dalam isu yang sama, pelbagai pihak turut meyelar tindakan Abdullah yang dilihat membelakangi fatwa ulama dan mufti yang menegah perbuatan memberi penghormatan kepada Tugu Negara.

Menurut satu laporan Fatwa Mufti Pulau Pinang telah menyatakan bahawa adalah haram tiupan dan bertafakur dengan menundukan kepala selama 20 saat dengan meletakan kalung bunga ditugu manakala Fatwa Mufti Pahang di bawah subseksyen 36 (1) Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 setelah diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 39 (6) Enakmen bahawa : "Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan sempena upacara sambutan Hari Pahlawan dan upacara-upacara lain adalah haram dan hendaklah ditinggalkan."