harakahdaily
Ustaz Zainudin Hashim Fri Jul 11, 08 3:08:00 pm MYT
Bagi warganegara yang tidak mengambil tahu mengenai perjalanan politik dalam negara, sudah tentu mempunyai alasan sendiri untuk mengatakan ketidak-persetujuan mereka tentang perjalanan sistem politik yang dilihat sebagai meruncing, apatah lagi ia dianggap kotor lagi menjijikkan oleh sesetengah pihak.
Benarkah politik di Malaysia atau di negara-negara umat Islam bersifat demikian, lebih-lebih lagi tiada mana negara-negara umat Islam yang menjalankan sistem politik yang berasaskan Siasah Syariah sebagai undang-undang tertinggi negara, kerana senario politik menunjukkan, bahawa negara-negara Arab sama ada di utara Afrika dan di Teluk lebih cenderung kepada sistem politik Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya.
Apatah lagi jika para pemimpin negara terlibat dalam kes-kes rasuah kemudian ia ditukar kepada istilah politik wang bagi mengelabui rakyat, konspirasi jatuh-menjatuh antara satu sama lain, salah laku, skandal, mengaut keuntungan daripada projek-projek mega yang hanya berkisar di kalangan mereka sudah menjadi sinonim yang bukan lagi rahsia yang perlu ditutup.
Tindakan-tindakan negatif seumpama itu memberi impak besar kepada kelancaran perjalanan sistem politik negara, yang akhirnya mengheret rakyat untuk membenarkan tindakan mereka. Tidakkah pengamalan politik seumpama itu mencemari demokrasi yang difahami umum sebagai satu sistem yang boleh dipercayai?
Justeru, penjelasan mengenai politik sama ada kotor atau sebaliknya perlu diberi pendedahan secara ilmiah.
Ia bertujuan mendidik rakyat agar sentiasa menjadi individu warganegara yang bukan hanya sekadar menerima pelaksanaan sesuatu konsep politik, malah bersedia untuk berdebat bagi menegakkan kebenaran politik yang bersumberkan kepada wahyu kebenaran Ilahi.
Jika pelaksanaan sistem politik dalam sesebuah negara berjalan mengikut kebenaran wahyu Ilahi, maka maksud sesuatu penyelewengan dalam sistem politik tidak akan berlaku seperti yang ditegaskan.
Konsep politik dari sudut teori, praktikal
Ia merupakan antara disiplin ilmu penting serta mempunyai kedudukan tersendiri.
Ada pun dari sudut praktikal ia memberi kebaikan jika negara ditadbir mengikut lunas-lunas sistem pentadbiran dan pemerintahan berasaskan kebenaran agama yang diceduk daripada al-Quran dan hadis Nabi Muhammad s.a.w., kerana sejarah telah membuktikan bahawa sistem politik yang ditadbir oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik sepanjang zaman.
Sehubungan itu, Imam Ibn al-Qaiyim al-Jawziah berpendapat, bahawa politik adalah satu perlakuan manusia untuk membawa kebaikan menyeluruh serta menjauhkan mereka daripada sebarang bentuk kerosakan yang bercanggah dengan hukum Syariat Allah SWT.
Politik yang baik menurut beliau, ialah satu sistem pentadbiran negara penuh suasana keadilan selari dengan tuntutan ajaran Allah dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. (sila lihat at-Turuq al-Hukmiah fi as-Siasah al-Syar'iah m.s 13-15)
Sementara Imam al-Ghazali pula mentakrifkan politik, sebagai dunia yang menjadi tempat bercucuk tanam untuk mendapatkan hasil di akhirat.
Tidak sempurna agama melainkan dihubungkan dengan dunia, sebagaimana tidak sempurna sesebuah kerajaan tanpa agama, kerana kedua-duanya adalah kembar yang tidak boleh terpisah antara satu sama lain. Agama itu adalah pokok, pemerintah adalah penjaganya, sesuatu perkara yang tidak ada pokoknya maka ia akan hancur dan sesuatu yang tidak ada penjaganya, maka ia akan hilang. (Ihyak Ulum al-Din 1/17 bab tentang ilmu, Dar al-Makrifah, Beirut).
Konsep pemerintah menurut hukum Siasah Syar'iah
Para ulama bersepakat menyatakan, bahawa pemerintah (khalifah) adalah pengganti kepada pelaksana Syariat Islam pertama iaitu Nabi Muhammad s.a.w., di mana baginda merupakan penjaga kepada agama Islam dan dasar-dasar politik dunia yang berteraskan kepada agama.
Baginda Rasulullah s.a.w. bukan sahaja seorang pendidik, motivator, hakim, malah seorang ahli politik yang berjaya sebagai ketua negara atau pemerintah umat Islam yang disusuli dengan para pemerintah di kalangan Khulafa Rasyidun yang telah melakarkan sejarah gemilang kerana berjaya memerintah negara dengan penuh keadilan dan keharmonian hidup bermasyarakat berasaskan ilmu pengetahuan dan keimanan yang kental.
Tetapi apa yang menjadi masalah kepada rakyat di negara-negara umat Islam hari ini, ialah mereka tidak mendapatkan para pemerintah yang melaksanakan sistem politik dalam negara masing-masing yang bersih, adil, telus, kerana ia diimport daripada peraturan dan undang-undang barat yang memisahkan pentadbiran negara daripada agama.
Maka lahirlah para pemimpin atau pemerintah yang memiliki cita rasa memerintah dengan peraturan yang sedikit pun tidak ada kena mengena dengan Islam. Mereka sanggup menjadi penyambung golongan penjajah yang memisahkan rakyat daripada agama, malah memperkenalkan ideologi falsafah yang cenderung kepada mengutamakan akal semata-mata.
Justeru, lahirlah gerakan-gerakan Islam yang tersohor seperti Ikhwan Muslimun di Mesir dan beberapa negara Arab lain, Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia, MILF di Filipina, PAS di Malaysia dan sebagainya yang berani memasuki arena politik kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam. Mereka melihat bahawa hukum dan undang-undang Islam tidak akan sempurna melainkan terlibat dalam politik bagi memegang kuasa eksekutif untuk melaksanakan Islam.
Sikap dan tindakan berani gerakan Islam berkenaan menceburi bidang politik, sedikit sebanyak mengubah persepsi dan tanggapan masyarakat, bahawa Islam hanya boleh dibahaskan di masjid-masjid atau pun di surau-surau, malah membebaskan pemikiran masyarakat tidak hanya beranggapan bahawa ahli politik tidak boleh bercakap mengenai agama, sedangkan baginda Rasulullah menerusi sirahnya telah membuktikan keupayaan sebagai pemimpin negara, pentadbir atau imam di masjid tanpa melakukan pemisahan antara agama dan politik.
Apabila tidak ada individu yang faham Islam dengan sebaik-baiknya menceburi politik, sudah pasti banyak elemen agama tidak boleh diperjuangkan. Ini dapat dilihat bagaimana parti-parti politik berhaluan Islam di Algeria dan Tunisia tewas dan segelintir sahaja sebagai wakil rakyat di Parlimen, maka pihak berkuasa yang berhaluan Sekular sebagai golongan majoriti telah mengisytiharkan pengharaman pemakaian hijab (tudung kepala) di universiti-universiti seluruh negara tanpa dapat dihalang kerana ketiadaan kuasa untuk menghalang.
Malah pihak berkuasa begitu angkuh dengan nada sinis mengatakan di Parlimen, bahawa pemakaian hijab itu bukan sebahagian daripada pakaian Islam, malah ia lebih kepada pakaian suku kaum tertentu, sebagaimana solat hari raya di kawasan lapang bukanlah sunnah nabi, malah ia adalah solat politik yang dicetuskan oleh pembangkang.
Justeru, tindakan kejam pemerintah dengan membelakangkan hukum-hukum Allah, sedikit sebanyak memberi gambaran yang tidak sihat mengenai Islam, pada masa sama tindakan memberi dan menerima rasuah, berkepentingan adalah di antara aspek yang dikenal pasti merosakkan imej Islam di mata masyarakat hingga menyifatkan politik adalah satu agenda atau wadah jijik lagi kotor yang sepatutnya dijauhi.
Inilah kejayaan penjajah yang berjaya menanam bibit-bibit fahaman Sekular dalam minda, cara dan gaya hidup umat Islam agar terus berbangga bahawa Sekular lebih baik daripada Islam.
Rasulullah contoh terbaik ahli politik
Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w. bukan sekadar menyeru manusia seluruhnya untuk beribadat dalam konteks solat semata-mata, tetapi perkara yang lebih besar daripada itu, iaitu menjalankan tugas utama manusia di muka bumi ini menjadi khalifah Allah, dengan melaksanakan segala hukum-hakam Allah.
Apabila ia berjaya dilaksanakan dalam sebuah negara yang diperintah oleh individu yang cintakan Islam, maka seluruh bentuk ibadat khusus dan umum boleh dilakukan tanpa sebarang sekatan dan halangan.
Kekhilafahan yang dijalankan oleh baginda itu, berteraskan kebenaran wahyu Ilahi walaupun pada masa itu ayat-ayat al-Quran masih di peringkat penurunan sedikit demi sedikit, tetapi apa yang penting kesediaan dan kesanggupan baginda yang dibantu oleh para sahabat untuk mendaulatkan Syariat agama Allah dalam bentuk yang lebih praktikal.
Sebagai ahli politik berpengaruh yang mentadbir negara, baginda meletakkan asas-asas keimanan menjadi agenda utama dalam diri segenap manusia tanpa mengira perbezaan suku kaum, malah telah menyediakan dasar dalam dan luar negara yang komited kepada Islam.
Mengenai dasar politik dalam negara, baginda menyediakan asas kemudahan rakyat sama ada dari sudut pembelajaran, keperluan hidup menjadi tanggungjawab pemerintah seperti air, api dan padang rumput yang boelh dikongsi sama oleh segenapa lapisan masyarakat.
Sementara dasar luar negara pula, baginda berusaha untuk memperkenalkan Islam kepada para pemerintah melelaui para utusan baginda bagi menyakan kesediaan mereka untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup.
Justeru, baginda mengarahkan umat Islam supaya mengeluarkan zakat dan bukan Islam pula dikenakan bayar cukai, ia tidak lain adalah bertujuan untuk keharmonian rakyat sejagat melalui agenda mantap sistem perekonomian yang berteraskan al-Quran.
Kejayaan baginda itu ditiru dan diteruskan oleh para pemimpin selepas kewafatan baginda seperti Sayidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Othman Affan, Ali bin Abi Talib dan beberapa pemerintah selepas itu.