Showing posts with label aidilfitri. Show all posts
Showing posts with label aidilfitri. Show all posts

Wednesday, October 15, 2008

Aidilfitri: Tazkirah Dr Haron Din


HarakahDaily.Net

Aidilfitri bukan untuk berpesta-pestaan - Dr Haron Din

Dato' Dr Haron Din Tue Oct 14, 08 4:40:09 pm MYT

SOALAN: Aidilfitri merupakan suatu pesta besar, dinanti-nantikan untuk dihayati sepenuh jiwa raga oleh umat Islam sama ada yang berpuasa atau tidak. Mereka sanggup berbelanja besar membuat rumah terbuka, dengan pelbagai ragam seperti yang dapat kita lihat hari ini. Soalan saya, betulkah amalan sebegini, atau apakah pandangan Dato' mengenai cara perayaan yang sebenar menurut Islam? - Mohd Fitri Aziz, Pulau Pinang

Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri, disambut setelah umat Islam menjalani ibadah berpuasa selama sebulan pada bulan Ramadan.

Puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Apabila selesai berpuasa, bermakna, kita menyelesaikan satu rukun.

Oleh kerana itu adalah wajar bagi mereka yang berjaya menunaikan rukun itu, berhari raya atau bergembira kerana berjaya menunai perintah Allah.

Tujuan kegembiraan dipamerkan adalah untuk mensyukuri nikmat Allah selepas ibadah sempurna dilakukan.

Hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w (mafhumnya): "Ramadan pada awalnya rahmah, pertengahannya keampunan dan pada akhirnya bebas daripada api neraka."

Bagi orang yang mendapat ketiga-tiga itu, apakah dia tidak mahu menyambutnya dengan perasaan gembira sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT.

Bagi mengisi cara perayaan tersebut, syarak menggariskan beberapa panduan tertentu antaranya:

1. Diharamkan berpuasa pada hari raya - Ertinya kita harus menjamu selera. Sebaik-baiknya persediaan untuk menjamu selera itu mestilah munasabah dan tidak membebankan.

2. Berpakaian bersih, kemas dan menarik, termasuk berpakaian baru.

3. Pada pagi hari menuju ke tempat solat hari raya - sebaik-baiknya di tanah lapang jika keadaan mengizinkan kerana hendak memberi peluang kepada yang uzur, dapat bersama mengikuti khutbah raya.

4. Bertakbir dengan takbir yang disyariatkan - bermula terbenam matahari pada akhir Ramadan, masuk ke bulan Syawal sehingga selesai khutbah Aidilfitri.

5. Mendengar khutbah di samping bersembahyang hari raya.

6. Bermaaf-maafan, ziarah menziarahi, mengukuhkan silaturahim.

Dalam satu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Apabila berlaku Hari Raya Fitrah, malaikat-malaikat turun ke bumi, berbaris di jalan-jalan orang yang hendak pergi ke tempat solat, sambil menyeru mereka dengan suara yang didengari oleh semua makhluk, kecuali jin dan manusia, dengan kata-kata "wahai umat Muhammad, ayuh beramai-ramai kepada keredaan Allah, Tuhan yang Maha Mulia, Tuhan yang memberi anugerah yang amat banyak dan yang mengampun dosa-dosa yang banyak."

Apabila mereka berada di tempat solat dan menunaikan solat serta mendengar khutbah, maka Allah berfirman kepada malaikat-malaikat tadi, "Tahukah kamu apakah balasan Aku kepada semua mereka itu?" Malaikat menjawab, "Allah sahajalah yang Maha Mengetahui dan akan membalas apa sahaja amal-amal ibadah mereka." Allah menjawab lagi, "Aku bersaksikan kamu, bahawa Aku akan membalas amalan puasa mereka, sembahyang malam mereka dan solat mereka pada hari ini, dengan keredaan-Ku dan keampunan-Ku kepada dosa-dosa mereka." (Riwayat Ibnu Abbas r.a)

Dalam Kitab Durratun Nasihin, halaman 80 dibawa suatu hadis Nabi s.a.w bersabda (mafhumnya): "Pada hari raya berbanyak-banyaklah bersedekah dan lakukan perkara-perkara yang mendatangkan kebajikan serta pahala, perbanyakkan memuji Allah, mengagungkan Allah dan bersungguh-sungguh mentaati-Nya kerana pada hari itu Allah akan ampunkan dosa manusiayang berpuasa dan menyambut hari raya dan dibalas dengan syurga Allah."

Kaab bin Munabbih menceritakan, pada hari raya, raja iblis amat murung dan amat dukacita, anak-anak buah dan kuncu-kuncunya berkumpul beramai-ramai dan bertanya kepada raja mereka, siapakah yang menyebabkan dia berdukacita, segeralah beritahu agar mereka bertindak menghapuskannya.

Maka jawab raja iblis, "Tidak bukannya orang yang mendukacitakan aku, tetapi Allah, Allah yang memberi keampunan kepada dosa yang telah kita usahakan mereka berdosa."

"Jika begitu apa kita perlu lakukan?" tanya anak-anak iblis.

Jawabnya, "Mestilah kamu bertindak memalingkan manusia daripada keredaan Allah, hanyutkan mereka dengan nafsu syahwat, biar mereka menjamu selera sehingga melanggar hukum Allah, hasutkan sehingga mereka melakukan perkara yang diharamkan, ajak mereka berhibur dengan hiburan yang melalaikan, suruh mereka minum dan makan yang ditegah oleh Allah, biar mereka dimurkai semula oleh Allah."

Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w bersabda dalam suatu hadis yang mafhumnya: "Syurga amat merindui kepada empat kategori insan untuk memasukinya. Pertama, yang membaca al-Quran. Kedua, yang menjaga lidah daripada bertutur yang tidak baik. Ketiga, yang memberi makan orang yang lapar (terutamanya untuk berbuka puasa) dan keempat, yang berpuasa sepenuhnya pada bulan Ramadan."

Sehubungan itu umat Islam semuanya henaklah berteraskan hal-hal daripada garis panduan yang saya nyatakan seperti di atas. Wallahua'lam.

Tuesday, October 14, 2008

Tok Guru di Shah Alam

Sepanjang hari Ahad (12hb Oktober 2008) yang lalu, Tok Guru Mursyidul Am PAS bersama pimpinan PAS Kelantan telah meluangkan masa di ibu negeri Selangor bagi mengisi beberapa aktiviti bersama rakyat Serambi Mekah serta pendokong perjuangan PAS yang menetap di negeri tersebut.

Aktiviti yang disertai beliau ialah Majlis Lebaran Bersama Wanita Kelantan anjuran Perakan yang diadakan di lokasi berhampiran Bangunan MBSA bermula jam 9:00 pagi sehingga 2:00 tengahari.

Manakala, Tok Guru juga turut menghadiri Majlis Hari Terbuka anjuran PAS Pusat yang diadakan di Stadium Shah Alam pada sebelah petangnya.

Terasa agak terkilan juga apabila tidak berkesempatan untuk bersama-sama menghadirkan diri di majlis tersebut lantaran kesibukan yang tidak dapat dielak.

Namun begitu, kerinduan untuk berjumpa beliau sedikit terubat apabila menerima gambar-gambar yang dirakamkan semasa majlis tersebut melalui email oleh adik yang kebetulan tinggal di Shah Alam dan turut bersama di majlis tersebut.

Berikut adalah sebahagian foto-foto yang dirakam di Majlis Lebaran Bersama Wanita Kelantan;



Tok Guru menyampaikan ucapan



Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan



Hadirin yang berkesempatan untuk bersalaman dengan pemimpin



Hadirin yang memenuhi majlis



Walaupun tidak dapat bergambar dari jarak dekat, jauh pun jadilah..



Bendera Kelantan yang berkibar di bumi Selangor

Thursday, October 9, 2008

Aidilfitri: Tazkirah Tok Guru

HarakahDaily.Net

Rebut pahala di hari raya

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Sun Oct 05, 08 11:03:21 am MYT

Maksud firman Allah: "Kamu semua wahai orang mu'min diminta menyempurnakan bilangan puasa sebulan dan kamu juga diminta bertakbir kepada Allah (berhari raya) kerana Allah beri kepada kamu hidayat." (al-Baqarah: 185)

Setelah kita berpuasa, bertarawih, berqiamullail, bersedekah, berzikir sepanjang Ramadan, Allah menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar. Allahu Akbar maknanya kita kata dengan lidah sendiri bahawa "Allah yang terbesar".

Manakala yang lainnya ialah yang paling kecil yang mesti dipinggirkan bila bertembung dengan kehendak Allah. Betulkah pengakuan Allahu Akbar yang selalu kita sebutkan dalam azan, sembahyang dan laungan tertentu bahawa Allah itu Maha Besar, Maha Agung atau hanya kita sebutkannya dengan lidah sebagai satu tradisi saja?

Hari Raya bukan tradisi ciptaan orang Melayu, bukan juga tradisi ciptaan orang Arab. Ia adalah kehendak agama. Islam minta kita bersukaria, yang kita panggil berhari raya.

Anak kecil, orang tua, orang sakit dan juga orang sihat, semuanya berasa seronok bila disebut hari raya. Kita kena faham, berhari raya itu sendiri adalah ibadah dan boleh pahala.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Bila Allah Taala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut rukunnya.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki Allah.

Tak boleh dengan sebab kita berhari raya, maka kita meneguk minuman yang memabukkan kerana berseronok misalnya.

Tak boleh berjudi, tak boleh pergi ke tempat yang bercanggah dengan konsep hari raya menurut Islam.
.

Dalam berhari raya, memang menjadi satu fitrah manusia suka berseronok, tapi mestilah mengikut peraturannya.

Sebab itu, dalam jadual hari raya, kita diminta mandi dengan niat mandi sunat hari raya sebelum pergi ke masjid. Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang suci.

Tapi bila kita niat bahawa mandi itu adalah mandi hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah nak cari duit, nak cari harta. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah duit, 'mata wang' yang sangat berguna bila kita masuk ke dalam kubur.

Bila kita masuk ke dalam kubur, kita tidak mati seratus peratus, yang mati hanya tubuh. Dalam jisim kita ada roh.

"Dialah Tuhan yang telah meniup masuk ke dalam tubuh manusia rohnya". (maksud as-Sajdah: 9)

Allah Taala tiupkan masuk ke dalam tubuh manusia roh. Walaupun semua benda lain datang daripada Allah belaka, tapi oleh kerana roh ni benda mulia, maka Allah sandarkan roh kepada Dia sendiri.

Jadi, sebagaimana Allah tak mati-mati, kekal abadi, maka roh juga tak mati. Yang mati hanyalah tubuh.

Sebagaimana tubuh atas dunia ni berkehendak kepada makan minum, maka roh juga berkehendak kepada makan minum. Untuk makan minum di dunia ini kita terpaksa guna duit untuk beli beras, petrol, bayar sewa rumah.

Tapi duit tidak laku lagi bila saja kita masuk ke dalam kubur. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Jadi, bila ada orang bercakap mengenai pahala, pahala, pahala, jangan buat main. Satu daripada cara kita mendapat pahala ialah selain daripada puasa, bertadarus, bertarawih ialah kita berhari raya. Di hari raya kita diminta khusus memakai pakaian cantik.

Seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa asalkan bersih.

Kita dapat pahala. Dan kita bawa anak-anak ke masjid, ke surau atau ke musalla. Saya sudah berusaha bertahun-tahun nak mengerjakan sembahyang hari raya bukan di masjid.

Kalau boleh, di padang yang luas seperti padang bola. Tapi dengan sebab iklim negeri Kelantan ini, kalau tak ada hujan pun ada air embun menyebabkan tak boleh dibuat di padang.


Sepatutnya kita mengerjakan sembahyang hari raya di tempat yang luas, lapang.

Tapi ada halangan iklim. Sembahyang raya baik Aidilfitri ada bacaannya sepertimana dibaca Rasulullah s.a.w.

Sembahyang Hari Raya Korban pun ada bacaannya. Dalam sembahyang Aidilfitri, Rasulullah membaca surah Qaaf dalam rakaat pertama dan surah al-Qamar dalam rakaat kedua.

Kedua-dua surah ini menyentuh tentang kiamat. Kita dalam keadaan seronok, maka nabi kita baca tentang kiamat. Segala nikmat dunia ini akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa yang hidup di dunia ini kena dengan kehendak al-Quran akan masuk syurga. Tak kena dengan kehendak al-Quran, baik masalah politik, rumah tangga dan sebagainya akan masuk neraka.

Jadi, kedua-dua surah ini akan jadi sebagai brek supaya kita tidak terlajak sangat dengan semangat bersukaria dan gelak ketawa pada Hari Raya kerana di depan kita ada pembalasan.

Di kiri kanan kita ada malaikat yang menulis. Allah pula Maha Tahu semua sekali. Begitu juga bacaan sembahyang raya korban juga menceritakan tentang urusan kiamat, kiamat, kiamat. Itu akan menyebabkan manusia hidup penuh berhati-hati.

"Kamu diminta bertakbir di hari raya kerana Allah berikan kepada kamu hidayat." Hidayat ialah Quran. Al-Quran adalah hidayat.

"Sebagai petunjuk untuk manusia seluruhnya". Saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Kelantan dan Malaysia tak kira Melayu, Cina, India dan sebagainya. Dan tolong berhati-hati kerana anak-anak kecil suka bermain mercun menyebabkan ada yang putus jari, buta dan melecur. Ini bukan cara orang Islam menyambut raya.

Begitu juga masalah jalan raya. Sekarang zaman orang nak cepat. Naik motokar dan motosikal nak cepat, yang menyebabkan banyak berlaku kemalangan maut.

Maka tolonglah jaga supaya hari raya tahun ini benar-benar menenangkan hati dan tidak menimbulkan masalah dalam masyarakat khasnya keluarga kita sendiri. Mudah-mudahan kita dianugerahkan oleh Allah kesejahteraan dunia dan akhirat.

Allaahu Akbar! Walillaahil Hamd.

Rumah terbuka Anwar

http://anwaribrahimblog.com

Tarikh: 11 Oktober 2008 (Sabtu)
Masa: 10 pagi-2 petang
Tempat: Cherok To’ Kun (Kediaman Keluarga DSAI)
Masa: 3 petang
Tempat: Perkarangan Pusat Khidmat Adun Permatang Pasir.

Aktiviti: Jamuan Perdana yang dihadiri Tuan Guru Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berserta rombongan dari Kelantan.

Tuesday, October 7, 2008

Aidilfitri: Sambutan bersama Dewan Ulama Kelantan

HarakahDaily.Net

Ulama tunjuk bakat sedia nasi bukhari

Lanjusoh Mon Oct 06, 08 12:58:32 pm MYT

KOTA BHARU, 6 Okt (Hrkh) - Ribuan rakyat Kelantan dijangka memenuhi Dataran Stadium Sultan Mohammad ke IV Khamis ini (9 oktober) bagi menikmati keenakan aneka juadah sempena hari terbuka Perhubungan PAS Kelantan.

Pelbagai aneka juadah, makanan dan minuman disediakan 14 PAS kawasan, Dewan Ulamak PAS Negeri, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Program yang menjadi acara tahunan sejak beberapa tahun lalu itu mendapat sambutan di luar jangka apabila lebih 10,000 hadir.

Dan tahun lepas lebih 20,000 penduduk menghadiri program berkenaan yang juga diadakan di Dataran Stadium biar pun dalam keadaan hujan lebat.

Program tahun ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke majlis tersebut. Jamuan akan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Pada jam 11.30 pagi Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, wakil-wakil rakyat yang hadir juga diberi kesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada tetamu dan orang ramai yang hadir pada program tersebut.

"Pada program itu Dewan Ulamak akan menyediakan nasi bukhari, Dewan Muslimat (kuih muih), Dewan Pemuda (pelbagai jenis minuman), PAS Pengkalan Chepa dan Kota Bharu (satay).
"Ketereh (roti jala), Gua Musang (martabat) dan Kuala Krai (lemang dan ketupat)," katanya di sini.

Manakala pada sebelah malam akan diadakan ceramah perdana yang menampilkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Anwar, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail di stadium.

Pada majlis berasingan sebelum itu, Ketua Umum KeADILan dijangka menghadiri rumah terbuka anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah pada sebelah petang.

Aidilfitri: 1 Syawal di Serambi Mekah

HarakahDaily.Net

Kelainan 1 Syawal di Kelantan begitu terasa

Muhd Yusri Amin, Mohd Nor Yahya Mon Oct 06, 08 10:32:28 am MYT

KOTA BHARU, 6 Okt (Hrkh) - Biar pun suasana kegembiraan Hari Raya Aidilfitri semakin berlalu, namun bahangnya masih terasa dengan pelbagai kenduri kendara yang diadakan penduduk.

Kesesakan lalu lintas masih dirasai sehingga semalam memandangkan anak-anak perantau kembali semula ke destinasi mereka. Begitu juga dengan letupan mercun masih kedengaran di sana sini.

Kesyahduan 1 Syawal lalu begitu dirasai apabila pada malam raya kedengaran takbir dilaungkan di corong-corong masjid hampir di segenap tempat. Bermula jam 11 malam sehingga Subuh laungan takbir bergema.

Namun, malam raya agak tercemar dengan letupan mercun yang bertalu-talu seumpama lokasi peperangan di Palestin, Afghanistan atau Iraq. Asap mercun begitu kelam sekali sehingga menjadi jerebu pada malam raya.

Biar pun apa pun kelainan Syawal di Kelantan dapat dilihat apabila Qaryah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV masih menjadi tumpuan penduduk tempatan dan anak perantau menunaikan solat Hari Raya.

Turut kelihatan di qaryah tersebut anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan dan pegawai kanan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Manakala Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menunaikan solat Aidilfitri di masjidnya di Pulau Melaka dengan kehadiran orang ramai yang begitu menyedatkan.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob pula menunaikan solat Hari Raya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat.

Anak-anak perantau pula tidak melepaskan peluang menghadiri perjumpaan Aidilfitri bersama pemimpin kerajaan negeri pada 2 Syawal bertempat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa.


Di kalangan siswazah pula berkempatan bertemu dengan pemimpin kerajaan negeri pada Ijtimak Markaz Siswazah Kelantan yang diadakan pada 3 Syawal di Balai Islam Lundang.
Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK) pula mengadakan perhimpunan keluarga pada 4 Syawal yang dihadiri lebih 200 keluarga.

Perhimpunan itu diadakan di Pulau Melaka tidak jauh daripada rumah Menteri Besar yang juga penaung pertubuhan tersebut.

Jurucakap pertubuhan tersebut Nik Din Nik Mat berkata, melalui perhimpunan keluarga tersebut ia dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara keluarga yang tinggal di seluruh pelusuk negara.

Katanya, perhimpunan seperti itu dijadikan sebagai acara tahunan yang bermula pada 1991.

"Saya amat terharu kerana pertubuhan ini berjaya menyatupadukan keluarga keturunan Raja Jembal yang sememangnya terkenal dengan pemerintahan yang adil dan saksama di Kelantan suatu ketika dahulu.

"Kalau Raja Jembal masih ada tentunya dia akan gembira melihat betapa ramainya anak cucu berkumpul dan saling sayang menyayangi di antara satu sama lain," kata beliau.

Yang Dipertua PKRJK, Nik Yusuff Nik Muhammad berharap kerabat pertubuhan tersebut sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama di antara satu sama lain.

Menurutnya semua kerabat mesti mempertahankan maruah keturunan Raja Jembal yang sentiasa bersatu padu, tolong menolong dan maju ke hadapan dalam pelbagai bidang.

"Raja Jembal merupakan seorang pemimpin yang disegani di Kelantan pada suatu ketika dahulu. Oleh itu kita perlu memastikan kehormatan diberi rakyat sejak dahulu terus dipertahankan," katanya.

Kata beliau sehingga sekarang ramai di kalangan kerabat Raja Jembal berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pegawai tinggi kerajaan, menerajui syarikat besar, tokoh politik dan korporat.
.

Menurutnya juga PKRJK kini mempunyai seramai 1200 ahli dari seluruh negara dan mempunyai cawangan di Kedah dan Perak. Manakala usaha sedang dilakukan bagi menubuh cawangan di Terengganu.

PKRJK juga mempunyai laman web sendiri iaitu pkrjk.blogspot.com.
Sementara itu, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) turut mengadakan majlis Pertemuan Hari Raya Aidilfitri di Gelanggang Seni, Sabtu lalu.

Turut hadir pada majlis itu pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin mewakili Takiyuddin.

Berucap pada majlis itu katanya, kerajaan negeri mengisytiharkan Tahun 2009 sebagai Tahun Kesenian Kelantan sebagai usaha memartabatkan lagi seni budaya di negeri ini.

Katanya, mana-mana penyelidik yang berminat mencungkil mengenai kebudayaan dan kesenian dialu-alukan dan ia akan dibukukan sebagai bahan tatapan pelancong dan generasi akan datang.

"Sebenarnya masih banyak maklumat mengenai kebudayaan dan kesenian yang belum diangkat ke persada masyarakat. Oleh itu budayawan perlu mengembelingkan usaha bersama kerajaan negeri bagi mengetengahkan kesenian tersebut," katanya.

Beliau juga mencadangkan PPK memberi tumpuan bagi memartabatkan syiar Islam melalui aktivitinya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Ketua Satu PPK, Husdaini Mamat berharap kerajaan negeri menghidupkan semula anugerah Hadiah Sastera Negeri yang suatu ketika dahulu pernah diadakan di Kelantan.

Katanya, program itu wajar diadakan memandangkan di negeri ini terdapat ramai penulis yang berbakat besar dalam bidang penulisan.

Penyair terkenal, Wan A Rafar mendedahkan pengalamannya mengembara ke beberapa negara pada majlis tersebut termasuk di Istanbul, Turki, Bosnia dan beberapa negara Eropah untuk berrtemu dengan masyarakat Islam di sana.

"Hasil pengembaraan itu saya telah menulis dua buah puisi mengadunkan pengalaman yang amat bermakna," ujarnya.

Sunday, October 5, 2008

Salam Aidilfitri dari Ahli Parlimen Kuala Krai

http://hattaramli.blogspot.com/
.


Perantau mula meninggalkan Serambi Mekah


Dataran Guchil [Bangsal Burger]
12:30 - 03:30 pagi

Sekarang, jam menunjukkan pukul 03:30 pagi. Kelihatan kenderaan masih belum putus-putus lagi melalui persimpangan Guchil untuk kembali ke destinasi masing-masing di sebelah Pantai Barat.

Suasana ini berlaku semenjak awal pagi Sabtu (3 Syawal) lagi. Menurut kenalan yang baru sahaja kembali dari Kota Bharu, kesesakan teruk berlaku di Machang memandangkan daerah tersebut merupakan titik pertemuan persimpangan dari Kota Bharu ke Lembah Kelang, Utara Semenanjung dan Terengganu.

Pekan Guchil turut menerima tempias limpahan kenderaan yang menuju ke Lembah Kelang. Banyak juga kenderaan yang berhenti rehat di sini sambil mengisi perut di gerai-gerai dan warung kerana mungkin terlalu lama di atas kenderaan akibat kesesakan.

Sekurang-kurangnya, situasi ini membuka sedikit rezeki kepada penduduk memandangkan hampir semua gerai dipenuhi pelanggan di kawasan ini.

Realiti politik dalam suasana Aidilfitri

HarakahDaily.Net

Pengemis di Aidilfitri

Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my Fri Oct 03, 08 11:06:47 am MYT

Menjelang Aidilfitri, umat Islam diwajibkan menunaikan zakat dan sekaligus digalakkan untuk bersedekah sebanyak mana yang mampu kepada golongan fakir miskin.

Selain itu menjadi tradisi umat Islam di Malaysia untuk kunjung mengunjungi serta bermaaf-maafan di antara satu sama lain dan mengeratkan persaudaraan sesama Islam khususnya.

Usaha-usaha untuk memperkukuhkan ukhuwwah atau persaudaraan, lebih-lebih lagi dituntut kepada ahli-ahli politik yang kebanyakannya sering mengeluarkan kenyataan, mengkritik, menghentam dan sebagainya.

Sikap bermanis muka dan bermaaf-maafan amat dituntut. Namun kadang-kadang harus disingkap pada jiwa orang politik, walaupun pada raut wajahnya, pada paparan gambar media massa, sering bergelak ketawa tersenyum ria, adakah atau tidak dendam kesumat yang tidak lepas di dada.

Sering dipaparkan misalnya, Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, Timbalannya, Najib Abdul Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Muhyiddin Yassin duduk semeja dengan senyum tawa.

Apabila ditanya media, masing-masing akan menjawab, "kami ok, tiada apa-apa tekanan, semuanya tiada masalah."

Benarkah begitu? Hakikatnya rakyat tertipu dengan lakonan pemimpin-pemimpin Umno. Parti itu sedang menghadapi kemelut yang sangat besar.

Umno sedang dilanda tsunami kedua iaitu krisis kepimpinan yang amat dahsyat. Abdullah diibaratkan sedang bernafas di dalam lumpur.

Setelah teruk dikecam anggota Umno akar umbi, Abdullah terpaksa beralah dan mengemukakan pelan peralihan kuasa yang ditetapkan pada Jun 2010.

Namun, Najib dan Muhyiddin sudah tidak sabar. Mereka tidak mahu menerima pelan peralihan kuasa, ianya terlalu lama, mereka mahu Abdullah berundur sekarang.

Mesyuarat MT Umno 26 September lepas, telah memendekkan tempoh hayat Abdullah sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, dari Jun 2010 kepada Mac 2009.

Tetapi sebenarnya mereka mahu Abdullah berundur sebelum persidangan Umno Bahagian bermula 9 Oktober ini.

Dalam rundingan empat mata antara Abdullah dan Najib, Abdullah dikatakan meminta Najib tidak mencabarnya dan membuat pengumuman, hanya mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden, namun Najib enggan berbuat demikian.

Najib tetap dengan pendiriannya, biar bahagian yang menentukan siapa yang mereka hendak calonkan menjadi peneraju parti.

Sikap Najib ini menyebabkan Abdullah berada dalam keadaan begitu terdesak sekarang.

Jika dalam tempoh dua minggu ini Abdullah tidak mendapat jaminan melepasi kuota 30 peratus pencalonan atau dari 58 bahagian, maka Abdullah terpaksa meletak jawatan.

Abdullah tidak mampu menanggung malu jika beliau sebagai 'incumbent' Presiden gagal melepasi kuota untuk melayakkan bertanding.

Pencalonan dari bahagian boleh diterjemahkan sebagai suatu mandat atau kepercayaan daripada akar umbi Umno kepada seseorang pemimpin, sama ada mereka masih mahu beliau memimpin atau tidak.

Daripada tekanan hebat yang ditimpakan ke atas Abdullah sekarang, tidak nampak 'jalan' Abdullah mampu melepasi kuota tersebut.

Sejak akhir-akhir ini dikhabarkan Abdullah sering dirundung kesedihan, kerana orang-orang Umno sudah semakin tidak menerimanya sebagai ketua mereka.

Usahanya untuk 'mengemis' talian hayat sepenggal lagi sebagai Presiden Umno semakin tidak diendahkan.

Aidilfitri ini merupakan hari raya yang paling suram buat Abdullah. Walaupun ramai yang akan berkunjung ke rumah terbuka beliau, berjabat tangan dan memohon maaf, tetapi tidak bermakna mereka mahu beliau kekal sebagai pemimpin Umno dan kerajaan.

Jika usaha terakhir Abdullah menjadi pengemis politik dalam Umno gagal dalam tempoh dua minggu ini, maka Aidilfitri ini, merupakan kali yang terakhir disambut sebagai ketua pentadbir kerajaan.

Justeru, jalan terbaik bagi Abdullah, selain berundur dengan cara yang terhormat, beliau seharusnya menerima pelawaan Anwar Ibrahim untuk bertemu dengan Pakatan Rakyat.

Talian hayat untuknya tiada pada Najib Tun Razak, tetapi ada pada Anwar Ibrahim. Salam Aidilfitri.

Friday, October 3, 2008

Lim Kit Siang mengunjungi Tok Guru Presiden

BuletinOnline.Net

Kit Siang 'Beraya' Di Rumah Tok Guru, Guan Eng Harap Islam Jadi Teras Rapatkan Silaturrahim

Ditulis oleh SM Noor & WanKay
Friday, 03 October 2008


Marang - Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang mengunjungi Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Aidil Fitri, di rumahnya di Kampung Rhusila dekat sini semalam.

Kit Siang hadir dengan diiringi oleh rombongan anggota DAP Terengganu tiba di perkarangan rumah Tok Guru pada jam 9.27 malam.

Kedua-dua pimpinan parti Pakatan Rakyat itu telah berbincang dan beramah mesra sambil menikmati hidangan juadah dan kuih raya.

Antara pokok perbincangan mereka adalah berkisar sekitar isu-isu politik negara dan hal ehwal semasa termasuk perkembangan Pakatan Rakyat dan pelan peralihan kuasa.

Turut bersama dalam pertemuan itu adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Mustafa Ali dan Pengerusi Penaja DAP Kuala Terengganu Ng Chai Hing.

Buletinonline difahamkan Kit Siang akan disertai oleh beberapa pimpinan DAP lain dalam rangka percutian sempena Aidil Fitri.



Dalam perkembangan lain, Setiausaha DAP Lim Guan Eng berharap Islam akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini.

"Seperti mana yang saya faham, Islam sebagai agama yang syumul atau universal adalah Ad-Din atau cara hidup menyeluruh yang mencakupi semua aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik mahupun social,

"ia tidak bersifat perkauman kerana Ad-Din adalah berteraskan sistem keadilan tanpa mengira kaum dan agama,

"sememangnya, saya amat menghormatinya dan berharap ia akan menjadi teras kepada usaha merapatkan silaturahim antara kaum di negara ini," kata Guan Eng dalam perutusan Eidulfitrinya yang dipetik Harakahdaily.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang percaya bahawa semua agama di dunia ini turut mengajak para umatnya melakukan kebaikan termasuk agama Islam itu sendiri. Katanya al-Quran menyebut mengenai Amar Ma’aruf Nahi Mungkar, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kejahatan dan yakin umat Islam yang beriman dan bertakwa pastinya menerima prinsip keadilan tulen untuk semua.

Menurutnya bagi pihak DAP, beliau percaya kepelbagaian kaum, agama, adat, budaya dan bahasa, tidak pernah menjadi penghalang atau membatasi kemajuan Malaysia. Beliau turut mengajak rakyat Malaysia menolak politik jahat tersebut yang hanya mementingkan golongan kecil yang amalkan kemungkaran.

Sebaliknya, kata beliau, semua mestilah besatu di bawah panji nilai-nilai teras universal yang diterima semua iaitu, kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan dan ketakwaan kepada Tuhan.

"Barulah kita boleh dirikan sebuah kerajaan bercorak demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika mencontohi pemimpin agung Islam Khalifah Umar Abdul Aziz," katanya. Rakyat Malaysia, kata beliau, tidak patut benci-membenci semata-mata kerana warna kulit atau fahaman agama yang berbeza.

Thursday, October 2, 2008

Perutusan Eidulfitri 1429 Tok Guru Presiden


buletinonline.blogspot

Sabtu, 2008 September 27

Saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. Hari gembira dan penuh berkat kurnia dari Allah SWT. Setelah kita menunai ibadat puasa Ramadan dengan menyelami serta mengambil berkat dan fadhilat bulan Ramadan, dengan membentuk peribadi muslim supaya menjadi orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT.

Dalam masa yang sama mengingatkan kita dengan hari-hari kemenangan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala dalam bulan Ramadan. Dalam perjalanan umat Islam sejak zaman Rasulullah SAW dan selepasnya. Ini menunjukkan kepada kita bahawa bulan Ramadan adalah bulan ‘membina kekuatan’ roh dan jasad. Membina kekuatan imam dan peribadi muslim yang merupakan anggota kepada kumpulan umat Islam yang besar.

Sepatutnya, kita meninggalkan Ramadan dan menyambut hari raya telah mengingatkan kita kepada kemenangan itu dan punca-punca kemenangan. Apa lagi di hari yang mulia ini kita bertakbir mengagung dan membesarkan Allah SWT. Memperingati kemenangan umat Islam dalam menghadapi golongan Ahzab. Kumpulan gabungan kabilah-kabilah yang menganut berbagai-bagai agama dan ajaran untuk menentang Islam. Berakhir dengan Allah SWT membinasakan kumpulan-kumpulan musuh itu.

Kita ulangi peristiwa itu, ketika kita menyambut hari raya yang mulia ini. Untuk mengingatkan kita bahawa kejayaan dan kekuatan umat. Sejauh mana umat ini berpegang dengan al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan, menghayati dan beramal dengannya. Sebagaimana yang diamal oleh Rasulullah SAW.

Di hari yang mulia kita bergembira ini jangan melalai dan melekakan kita. Kita hendaklah menjadi orang-orang yang bersyukur kepada Allah SWT. Bersyukur di atas segala nikmat yang diberi kepada kita yang tidak terhitung banyaknya. Nikmat yang paling besar ialah nikmat Islam. Pemberian yang paling mahal yang tidak mampu kita menilainya.

Pemberian daripada Allah SWT, Tuhan yang kita yakini tidak ada Tuhan melainkan Dia sahaja. Mestilah keyakinan itu melahirkan perangai-perangai dan akhlak-akhlak serta amalan-amalan mengikut petunjuk yang terkandung dalam al-Quran dan cara amalannya diajar oleh Nabi Muhamad SAW.

Marilah kita melakukan muhasabah apa yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia dalam keadaan porak-peranda, mengalami penyakit politik, penyakit ekonomi dan penyakit sosial. Puncanya tidak lain dan tidak bukan kerana kita meninggalkan petunjuk yang terkandung dalam al-Quran.

Kita wajib melakukan perubahan. Sebarang perubahan dan pembaharuan yang dilakukan oleh umat Islam mestilah mengikut petunjuk yang ada dalam al-Quran itu sendiri. Sebagaimana yang disebut oleh Saidina Umar Ibnu Khatab r.a bermaksud “Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam.

Sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada Islam, nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah SWT”. Dengan menyuburkan iman yang ada di dalam diri masing-masing dan di atas iman itulah kita bina segala amalan kita.

Amalan jasad dan roh kita melalui individu masing-masing, mengeratkan ukhuwwah di kalangan umat Islam yang berlandaskan kepada iman serta mewujudkan golongan Islam dan kumpulan Islam yang mampu memimpin umat, memimpin manusia mengikut petunjuk Allah SWT, kerana Allah Taala menjanjikan dalam al-Quran dengan maksudnya,

”Allah berjanji, kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di kalangan kamu bahawa Allah akan mengurniakan di kalangan mereka menjadi golongan yang memerintah, yang berkuasa di atas muka bumi ini. Mereka menukar keadaan yang dialami oleh manusia dalam ketakutan kepada keamanan. Apabila mereka menjadikan agama Islam itu agama yang berdaulat dan memerintah. Mereka mengabdikan diri kepada Aku (Allah) dalam keadaan mereka tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain dan sesiapa yang kufur selepas itu, mereka itulah orang-orang yang fasik”.

Di mana Allah SWT melafazkan dengan firmannya janji kemenangan dengan syarat. Syaratnya, orang-orang yang beriman itu benar-benar beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagaimana yang ditunjuk oleh Allah SWT, tidak syak lagi sebagaimana yang ada dalam al-Quran.

Oleh kerana itu, umat Islam wajib membina diri mereka sendiri dengan ajaran agama mereka di atas dasar iman dan amal yang soleh yang ditunjuk oleh Allah SWT sehingga mereka memenuhi ciri-ciri kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Selepas itu tidak syak lagi, Allah Taala akan memberi kemenangan kepada umat Islam. Hanya kemenangan Islam sahaja yang mampu menyelamatkan seluruh manusia bukan sahaja umat Islam termasuklah orang-orang yang bukan Islam.

Marilah dengan bangga dan megah, dengan rasa syukur kepada Allah SWT di atas nikmat ini. Kita bangun untuk menunaikan kewajipan kita sebagai umat Islam, untuk menyelamatkan umat Islam yang berada dalam keadaan yang ‘berpenyakit’ supaya umat Islam menjadi contoh untuk menyelamatkan manusia seluruhnya yang tenggelam di dalam jahiliah.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja dengan pakaian-pakaian yang baru tetapi mestilah juga dengan semangat baru setelah kita membentuk peribadi kita sebulan bulan Ramadan. Kita menghayati bulan Ramadan dengan ibadat puasa, menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT, bertadarus al-Quran, membaharukan iman, ilmu dan pengetahuan kita dan seterusnya meningkatkan lagi amal kita sehingga kita mencapai janji Allah SWT yang tersebut.

Akhirnya, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan marilah di hari gembira bulan kurnia Allah ini, kita mengeratkan hubungan antara satu sama lain dengan Islam yang mengikat kita.

Dan itulah ikatan yang menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat dan jadikan Islam dihadapan kita yang memandu setiap perjalanan dan tindak-tanduk kita, kerana itulah satu-satunya jalan yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Allahu Akbar, waliLlahilham.


Presiden PAS,
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
21 September 2008 pada jam 3.00 petang

Perutusan Eidulfitri 1429 dari Mursyidul Am


HarakahDaily.Net

Semua manusia adik-beradik - Mursyidul Am

Abdul Aziz Mustafa Wed Oct 01, 08 11:03:20 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Hrkh) - Semua manusia seluruh dunia adalah "adik-beradik sebenarnya" tidak kira bangsa sama ada Arab, Melayu, Cina, India, Amerika atau Orang Asli kerana semua mereka adalah adalah anak cucu Adam a.s dan Hawa, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam perutusannya sempena Eidulfitri.

"Tidak ada lebihnya bangsa Arab berketurunan Nabi Muhammad s.a.w dengan kaum Orang Asli kecuali hanya dengan taqwa kepada Allah, sujud kepada Allah Tuhan yang Maha Meliputi sekelian alam.

"Sumber hidup keseluruhan ini adalah anugerah Allah s.w.t. Ia tidak dapat dijual dan tidak dapat dibeli," kata Menteri Besar Kelantan itu.

Begitu juga, kata beliau, dengan pelbagai bulan di dalam taqwim di mana dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup manusia sarat dengan perhambaan kepada Allah s.w.t.

"Sebenarnya, baik dalam bulan mana dan ketika mana sekalipun, hidup kita ini sarat dengan pelbagai aktiviti perhambaan. Kita mengabdikan diri kepada Allah dalam segenap keadaan.

"Menyambut Hari Raya pun adalah merupakan ajaran agama. Makan minum, berpakaian cantik, suka-ria di hari raya sama ada Eidulfitri atau Eiduladha; semuanya itu adalah ajaran agama.

"Teriak tangis di waktu dinihari, sedu-sedan sebelum subuh meminta diampunkan segala dosa, diselamatkan dari godaan nafsu dan sabar menghadapi segala karenah manusia baik mukmin, fasik, kufur dan lebih-lebih lagilah yang munafik; pun adalah ajaran agama," kata Tuan Guru.

Begitu juga, katanya, dengan kesedaran terhadap lafaz berbunyi: "Ya Allah mujurnya ada ajaran-Mu dan puasnya hatiku mendengar nasihat Nabi-Mu yakni Muhammad s.a.w.
"Semuanya ini berupa pengabdian," katanya lagi.

Beliau mengucapkan kesyukurannya kepada Allah yang telah mendatangkan lagi Ramadhan "untuk kita menghirup udara kerahmatan, keampunan dan maghfirah yang sangat mulia".

Lebih penting dari itu, katanya, adalah kesedaran untuk mengambil kesempatan keatas janji-janji gandaan pahala yang ditawarkan oleh-Nya.

"Dengan segala kesedaran dan isi kandungan kesyukuran seperti yang kita sebutkan ini, izinkan saya mengucapkan Selamat Hari Raya. Maaf jua seadanya," kata Tuan Guru.

Wednesday, October 1, 2008

Aidilfitri: 1 Syawal di kampung halaman


Kampung Guchil, Kuala Krai
1hb Oktober 2008/1 Syawal 1429

Masjid Lama Guchil Tengah (Markaz ABIM)
07:45 - 09:20 pagi

Memandangkan kerja-kerja menaiktaraf Masjid Besar Guchil masih belum siap (majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak beberapa hari sebelum pilihanraya umum 2008 yang lalu), penduduk mukim Guchil terpaksa bersesak-sesak memenuhi masjid lama yang terlalu sempit bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.


Jemaah memenuhi kawasan luar masjid


Pihak masjid juga terpaksa menutup jalan berhampiran bagi menyediakan ruang solat di luar kawasan masjid.
.

Para jemaah berpusu-pusu masuk ke kawasan masjid


Takbir raya berakhir tepat jam 8:20 pagi dan Imam Besar Masjid Guchil turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan beberapa pengumuman sebelum solat sunat dilaksanakan.

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana cuaca pagi ini cukup baik dan jemaah dapat menmpukan sepenuh perhatian kepada ibadat tanpa memikirkan kalau-kalau hujan turun dan menyebabkan pakaian baru hari raya mereka basah.



Jemaah selesai menjalani ibadah solat


Solat Aidilfitri berakhir kira-kira jam 9:20 pagi dan para jemaah mengambil peluang untuk bersalam-salaman dan bermaaf-maafan sesama mereka.


Jemaah bersalam-salaman


Bergambar dengan saudara lelaki


Lot 191, Guchil 3
09:25 - 09:45 pagi

Kami sekeluarga sempat berkumpul dan bermaafan di samping bergambar kenangan bersama di teratak kami ini.


Kami sekeluarga


Lot 189, Guchil 3
09:50 - 10:30 pagi

Keluarga kami dijemput oleh jiran yang paling hampir untuk menikmati juadah pagi raya ini. Sahabat handai juga turut hadir di rumah Hj Abdullah dan Hjh Wan Som.


Suasana di ruma jiran



Sekitar kampung Guchil
11:00 - 12:30 tengahari

Aku dan sahabat sempat meluangkan masa melawat beberapa rumah sahabat yang tidak bernasib baik menjelag hari raya ini (mereka yang terbabit dengan kemalangan di jalanraya atau tempat kerja).

Akhir kata, selamat menyambut hari lebaran yang mulia ini.

Ikhlas dari;

Kami sekeluarga
Lot 191 Guchil 3
Kuala Krai

Aidilfitri: Perutusan Anwar Ibrahim


Perutusan Eidulfitri 1429 Hijrah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Saya, mewakili keluarga dan segenap lapisan kepimpinan & akar umbi Parti Keadilan Rakyat ingin mengucapkan Salam Eidulfitri kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Ramadhan kini menghampiri penghujung, Syawal bakal menjelang tiba. Umat Islam selepas menunaikan ibadat puasa di bulan yang mulia ini pastinya menyambut kedatangan bulan Syawal dengan rasa penuh kesyukuran.

Bulan Ramadhan ini, sebagaimana yang diulaskan oleh para ulama, adalah madrasah terbaik buat melatih serta mendidik kita umat Islam agar berani dan yakin mendepani segala cabaran yang mendatang.

Ramadhan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki dan memperkukuhkan kekuatan ruh serta jiwa.

Ini kerana jiwa dan ruh yang membentuk manusia, seperti yang diungkapkan oleh Abul Fath al-Busti:
Perhatikan jiwamu, dan sempurnakan,
Kamu insan kerana jiwa, bukan kerana jasad.

Ramadhan pastinya mengingatkan kita akan kisah Pembukaan Kota Mekah(Fath Mekah). Kejayaan Rasulullah S.A.W yang didokong para sahabat baginda wajar menjadi teladan.

Kejayaan tersebut sudah tentu tidak datang sekelip mata. Dua tahun sebelum kejayaan membuka Kota Mekah, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyyah telah dimeterai di antara Rasulullah S.A.W dengan wakil kaum Quraisy.

Tidak sedikit yang merasa ragu dengan perjanjian tersebut. Namun ternyata ada hikmahnya di sebalik kesediaan dan kesabaran Rasulullah S.A.W di dalam menerima perjanjian tersebut.

Rupa-rupanya ‘jalan kemenangan sudah jelas nyata.’ Selepas sahaja termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah, maka turunlah firman Allah S.W.T yang berbunyi:

Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.

Ayat ini menghilangkan keraguan umat Islam serta memperkuatkan lagi azam mereka bagi memastikan seruan untuk melakukan islah terlaksana.

Rakan-rakan sekalian,

Ketakwaan yang diadun bersama kesabaran dan kebijaksanaan adalah kunci utama untuk mengecap kejayaan. Janganlah keyakinan kita digugat tatkala kejayaan sudah hampir. Saya menyeru pencinta kebenaran agar perkukuhkan tekad perjuangan. Ingatlah anjuran Al Quran yang berbunyi:

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Perubahan yang ingin kita laksanakan bertapak di atas bongkah-bongkah yang kukuh, jauh sekali dari retorik kosong yang berasaskan kebencian dan persengketaan. Kita harus menyedari negara Malaysia bukannya ekabudaya. Kita harus memastikan negara ini tidak ditelan api asabiyyah dan karam dengan sikap taksub melulu. Ingatlah “siapa yang menyemai angin akan menuai badai.”

Sering saya ulangi pemerkasaan ekonomi tidak akan berjaya selagi mana kemajuan dan pembangunan didorong oleh nafsu serta tamak yang bukan kepalang. Pertumbuhan ekonomi dan kekayaan harus difahami dan dimaknai dengan pengertian yang lebih luas.

Kekayaan tidak boleh berlegar di kalangan segelintir sahaja, ianya harus menjadi pendorong untuk membebaskan masyarakat dari penindasan dan kezaliman. Inilah yang kita tegaskan sebagai ekonomi yang manusiawi.

Ekonomi yang dibangun di atas prinsip insan sebagai makhluk bermoral dan berakhlak, bukannya semata-mata homo economicus; yang hanya memburu kepentingan diri sendiri.

Rakan-rakan sekalian,

Syawal yang bakal menjelang pastinya disambut meriah oleh semua. Pun begitu hendaklah kita sentiasa wasatiyah dalam pendekatan, yakni bersederhana tanpa meminggirkan mereka yang tidak berkemampuan. Syawal adalah bulan kemenangan, bulan memupuk ukhuwah.

Kemenangan mengharungi Ramadhan dirai dengan jalinan ukhuwah yang utuh sesama ummah.

Kemenangan ini bukan sekadar melawan hawa nafsu sepanjang Ramadhan, sebaliknya diterjemahkan jua sebagai kemenangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

InshaAllah kemenangan yang diredhai menjadi milik kita pastinya, sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Quran,”ibarat pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit (Ayat 24, Surah Ibrahim)”

Salam Eidulfitri 1429 Hijrah.

Minal ‘aidil wal faiziin.

Maaf zahir dan batin.
.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti
Keadilan Rakyat

Salam Aidilfitri dari Husam Musa


Tuesday, September 30, 2008

Salam Aidilfitri


Kullu aamin wa antum bikhair..

Alhamdulillah. Sekali lagi kita dipanjangkan umur oleh Yang Maha Esa supaya dapat memenuhi tempoh sebulan di bulan yang barakah dengan menjalani ibadah yang bakal digandakan ganjarannya di Akhirat kelak. Semoga kita dapat dipanjangkan lagi umur untuk bertemu Ramadhan pada tahun depan.

Tidak lama lagi dapatlah kita meraikan 'usaha' kita itu pada 1 Syawal dan diharapkan sama-samalah kita mengekalkan ketakwaan atau sekurang-kurangnya sikap kita ini telah terdidik dengan sendirinya sepanjang Ramadhan ini untuk dibawa ke bulan-bulan seterusnya.

Di kesempatan ini, dengan rendah diri dan sejujur-jujurnya ingin kumohon ribuan kemaafan di atas segala kesalahan dan kesilapan samada yang disedari atau sebaliknya.

Begitulah juga dengan diri ini. Akan kumaafkan segalanya samada disedari atau sebaliknya, sengaja atau tidak agar kita sama-sama tidak terhalang dalam bertemu Ilahi di hari pembalasan kelak.

Salam Aidilfitri,

Ikhlas;

MAHATHIR BIN ISMAIL
Kg. Guchil Tiga
Kuala Krai
30 Ramadhan 1429











Aidilfitri: Ucapan Roslan SMS


Roslan SMS Corner

Bersihkan Hari Raya dari kekotoran dan murka Allah

Posted by roslan sms at 06:55AM; Monday, September 29, 2008

Sekiranya anak bulan Syawal kelihatan lewat petang ini bermakna kita akan berhari raya esok, jika tidak maka malam ini adalah tarawih yang terakhir buat kita tahun ini. Begitu cepat sekali masa berlalu, subahanallah.Suasana Eidul Fitri sudah pastilah diselubungi dengan kegembiraan.

Sanak-saudara dan kaum-kelurga serta sahabat-handai akan kunjung-mengunjungi, bermaaf-maafan dan bergembira. Dan lazimnya sepanjang bulan Syawal ini bukan sahaja kaum keluarga dan individu yang bergembira, tetapi badan-badan korporat, institusi, dan NGO juga turut tidak mahu ketinggalan.

Secara tradisinya badan-badan ini akan menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada rumah anak-anak yatim, orang tua dan kurang upaya serta warga miskin sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat. Memang langkah seumpama ini wajar dialu-alukan.

Walaubagaimanapun sekali lagi saya mahu mengingatkan (rasa saya setiap tahun saya paparkan di sini) agar semua kita prihatin dan mengambil-berat akan pihak mana yang terlibat dalam program dan aktiviti seumpama ini. Pastikan yang syarikat-syarikat yang terlibat dengan industri yang diharamkan oleh syarak seperti arak, judi dan lain-lain tidak terlibat dalam program seumpama ini.

Magnum, Sports Toto, Genting, Carlsberg, Guiness Anchor umpamanya tak perlulah melibatkan diri dalam aktiviti seumpama ini. Bayangkan betapa besarnya dosa kita apabila mengizinkan syarikat-syarikat ini menaja perayaan Hari Raya atau menjamu anak-anak yatim sempena Hari Raya ini. Saya berharap pihak berkuasa agama dan kerajaan tidak kiralah kerajaan pusat atau negeri-negeri agar mengambil tahu akan hal ini, jangan sampai terlepas pandang.

Malah bank-bank riba’ juga sepatutnya dipantau. Sekurang-kuranya tunjuklah ketelitian kita dalam hal-hal seumpama ini, saya percaya beratus lagi syarikat dan badan korporat yang boleh dilibatkan dari kita menagih simpati pada syarikat dan industri yang diharamlan oleh Allah swt ini.

Monday, September 29, 2008

Aidilfitri: Perutusan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

HarakahDaily.Net

Terima tetamu bukan Islam di Hari Raya

Mohd Nor Yahya Mon Sep 29, 08 5:59:48 pm MYT

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Dato' Mohammad Daud

Assalamualaikum wbt, pertama sekali saya merakam ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat serta barisan pimpinan PAS Pusat dan negeri, Ahli Majlis Syura. Tidak ketinggalan juga pimpinan Pakatan Rakyat.

Alhamdullillah, walau pun negara kita mengalami kegawatan dalam politik dan ekonomi, kita masih lagi dapat menyambut Hari Raya dengan penuh semangat Islam dan saya berdoa kepada Allah swt supaya Allah menerima segala amalan dan ibadat puasa di sepanjang Ramadan 1429.

Mudah-mudahan Allah memberi kepada kita kekuatan untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya dan ganjaran bagi membolehkan kita memasuki syurga yang kita idamkan selama ini.

Saya berharap pimpinan PAS dapat memberi layanan yang baik kepada seluruh lapisan masyarakat yang datang berkunjung di rumah masing-masing dan bersedia untuk menerima mereka dalam suasana yang menggembirakan terutamanya kanak-kanak dan kaum bukan Islam.

Bagi perantau pula, saya berharap mereka dapat pulang berhari raya di rumah keluarga mereka terutama yang masih mempunyai ibu bapa.

Ibu bapa amat berharap dengan kedatangan hari yang mulia ini mereka dapat berkumpul dan ini akan merapatkan lagi hubungan sillaturrahim.

Manakala bagi pelajar yang berada di luar mahu pun dalam negeri, saya berharap mereka belajar bersungguh-sungguh terutamanya dalam ilmu keagamaan kerana mereka bakal pemimpin pelapis suatu hari nanti.

Saya juga berharap orang bukan Islam dapat memahami Islam dan memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

Adalah elok mereka dapat berkunjung ke rumah pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat dalam suasana harmoni kerana Islam tidak menyusahkan orang lain.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Oleh itu, saya berharap di Hari Raya ini, masyarakat bukan Islam dapat sama-sama berhari raya dengan mengamalkan konsep kunjung mengunjung.

Pimpinan Ulama mesti memainkan peranan menyatupadukan umat Islam dan bukan Islam melalui Hari Raya. Ini merupakan satu cara untuk menyatupadukan seluruh kaum di negara kita.

Kita tidak perlu memusuhi�kaum lain kerana mereka juga merupakan hamba Allah swt dan Islam sendiri tidak pernah mengamalkan sikap bermusuhan dengan mereka.

Bagi golongan remaja pula saya berharap mereka tidak menjadikan Hari Raya sebagai hari untuk membuat maksiat seperti berjudi, minum arak dan berlumba haram di jalan raya, sebaliknya rebutlah peluang untuk berziarah ke rumah saudara mara.

Sempena Hari Raya ini juga saya menyeru kepada umat Islam agar jangan jadikan jalan raya sebagai tempat untuk menunjukkan keghairahan untuk berhari raya sehinggakan menggadaikan nyawa sendiri.

Kita sering dipaparkan dengan pelbagai tragedi kemalangan maut sepanjang Hari Raya dan ini seolah-olah Hari Raya sebagai hari menempah maut.

Akhir sekali, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia dan pimpinan PAS serta Pakatan Rakyat.

Sunday, September 28, 2008

Musim Aidilfitri: Kesesakan di Persimpangan Guchil


Seperti kelaziman musim perayaan yang besar di negara ini, Lebuhraya Gua Musang-Kuala Krai selalu menjadi jalan penghubung pilihan masyarakat negeri Serambi Mekah untuk pulang ke kampung halaman mereka.

Bahkan, bagi menyambut hari lebaran tahun ini, lebuhraya tersebut tetap dipenuhi kenderaan terutamanya mereka yang bertugas di Lembah Kelang, Melaka dan Negeri Sembilan yang mula bercuti pada hari Sabtu, 27hb September 2008.

Kesesakan di pekan Guchil


Seawal petang Jumaat lagi para perantau sudah mula bertolak pulang bagi memastikan mereka dapat bersama keluarga mereka di kampung menjalani ibadah puasa lebih panjang.

Persimpangan Guchil (kira-kira 72 kilometer dari Kota Bharu dan 115 kilometer dari Gua Musang) sudah pasti sesak sepanjang hari dalam tempoh ini.

Kelihatan kenderaan yang tidak putus-putus melalui pekan Guchil, yang menjadi penghubung di antara ibu negeri dan ibu kota.

Penduduk tempatan mengambil peluang berniaga

Sebelah malam

Polis Trafik Daerah Kuala Krai dilihat mengambil inisiatif bagi mengawal lalulintas di sini terutamanya pada sebelah siang hari.


Kelihatan kenderaan berpusu-pusu dari ibukota


Polis Trafik Mengawal lalulintas di persimpangan