Thursday, August 21, 2008

Muktamar Agung: Pasca


HarakahDaily.Net

Mengingati 2 mandat besar PAS

Abu Firdaus Thu Aug 21, 08 12:25:50 pm MYT

Muktamar PAS di Ipoh baru-baru ini sememangnya bersejarah. Lebih-lebih lagi ia diadakan sejurus sebelum penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang juga bersejarah bagi negara ini.

Di bawah slogan 'PAS untuk semua', maka kehadirannya di Perak Darul Ridzuan menyerlahkan bahawa PAS adalah untuk semua rakyat Malaysia, bukan saja untuk orang Melayu dan Islam tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, merentasi kaum, agama dan fahaman politik.

Justeru, PAS bukan berasal semata-mata daripada Biro Agama Umno dan ditubuhkan pada awalnya oleh pendokong Dato Onn Jaafar dalam parti itu. PAS merupakan lanjutan Hizbul Muslimin yang ditubuhkan di Gunung Semanggul, Perak. Maknanya parti pertama Islam adalah di Perak. Parti pimpinan Abu Bakar Bakir itu turut dianggotai Asri Muda.

Hizbul Muslimin menyertai Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bersama Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Burhanuddin Al-Hilmy.

PUTERA pula bersama dengan Majlis Tindakan Bersama Seluruh Malaya (AMCJA) dalam melancarkan Perlembagaan Rakyat, yang berbeza daripada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dokongan Umno pada 1947.

Perlembagaan Rakyat, PUTERA-AMCJA dan Hizbul Muslimin terbubar dengan tangkapan besar-besaran pihak British ke atas parti-parti kiri menjelang Darurat.

Maka vakum politik ketika itu diisi Umno. Tetapi syarat kemerdekaan ialah parti untuk semua kaum, dan bukannya untuk orang Melayu saja. Itulah juga saranan Dato Onn. Biro Agama Umno mendokong Dato Onn. Begitulah sifat terbuka biro itu. Tetapi kebanyakan pemimpin Umno menolak.

Dato' Onn keluar parti dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang kemudian digantikan Parti Negara. Biro Agama Umno juga keluar parti walaupun pemimpinnya menyertai parti Dato' Onn.

Maka Biro Agama Umno menjadi Persatuan Islam Setanah Melayu (PAS). Kekosongan kepimpinannya diisi Burhanuddin Al-Hilmy, seorang anak Perak. Penyertaannya ke dalam PAS diikuti pendokong Hizbul Muslimin yang menganggap PAS penggantinya.

Ahmad Boestamam, seorang anak Perak juga mengasaskan Parti Rakyat Malaya (PRM) yang ianggap sebagai lanjutan PKMM. Semasa penubuhannya pada 1950, Burhanudin yang telah menerima pelawaan PAS untuk menjadi ketuanya turut berucap. Mereka mengisytiharkan kesetiakawanan antara PAS dan PRM.

Dalam pilihan raya pra-merdeka, PAS, PRM dan Dato' Onn adalah sekutu. PRM bergabung dengan Parti Buruh Malaya (LPM) untuk mewujudkan Barisan Sosialis (SF). v Menjelang pilihan raya 1969. LPM dibubarkan dan ahli-ahlinya menyertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Kedua-duanya parti pelbagai kaum.

Syed Hussein Al-Attas adalah antara pengasas PGRM sementara DAP mempunyai beberapa tokoh Melayu di Perak.

Apabila BN ditubuhkan, PGRM dan PAS turut menyertainya. PGRM pecah di mana salah seorang pemimpin utamanya, Tan Chee Khoon keluar parti dan menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Ahmad Boestamam menyertai parti berlambangkan mata hari itu.

Sementara PAS di bawah pimpinan Asri juga pecah. Tokohnya di Perak, Hashim Gera yang terkenal sebagai pemantun di Dewan Rakyat keluar parti dan menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) berlambangkan pokok kelapa sawit.

Ketika PAS berada dalam BN, antara perubahan yang berlaku ialah perubahan palang merah menjadi bulan sabit merah, azan di radio dan penubuhan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Salah seorang anggota majlis yayasan itu ialah Nik Aziz Nik Mat.

Kini Yadim diketuai Nakhaie Ahmad, bekas pemimpin PAS.

Semasa PAS dalam BN, kesedaran Islam mula meningkat di kalangan pelajar anak muda. Mereka enggan menyertai PAS kerana ia berada dalam BN. Mereka lebih gemar menyertai ABIM pimpinan Anwar Ibrahim.

Hanya setelah PAS keluar BN, barulah aktivis Islam senang menyertai ABIM termasuklah timbalan Anwar iaitu Ustaz Fadzil Mohd Noor. Pengganti PAS dalam BN ialah Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa).

Untuk sekian lamanya Permatang Pauh adalah kawasan PAS yang mana sukar bagi Umnomenembusinya hinggalah Anwar yang menjadi calonnya pada 1982.

Anwar baru-baru ini berkata usahanya untuk mengalahkan calon PAS itu adalah pilihan raya paling sukar baginya, lebih sukar daripada pilihan raya kecil 26 Ogos ini.

Kegagalan PAS dalam pilihan raya itu membawa kepada tersingkirnya Asri daripada parti itu. Beliau kemudian menubuhkan Hizbul Muslimin (HAMIM) yang menjadi anggota BN bersama Berjasa. Asri kemudian menyertai Umno dalam usahanya untuk membubarkan HAMIM.

Bagaimanapun, HAMIM akhirnya keluar BN dan menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama dengan PAS dan Berjasa.

Apabila Anwar disingkirkan daripada UMNO, penyokongnya termasuk ABIM menubuhkan Parti Keadilan Nasional (keADILan). Bersama PAS, PRM dan DAP, ia menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada pilihan raya 1999. Kerana Cina menolak PAS, DAP mengalami kekalahan di banyak tempat dan ia keluar daripada BA.

Pergolakan dalam keADILan mendorong ABIM untuk merenggangkan hubungan dengannya. Atas usaha Anwar, keADILan dan PRM digabungkan untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan).

BA yang dianggotai PAS dan KeADILan menyertai pilihan raya 8 Mac lalu dengan kerjasama DAP.

Penyokong pembangkang menyebutnya Barisan Rakyat tetapi dinafikan Lim Kit Siang yang tidak mahu dikaitkan dengan PAS.

Tetapi hakikatnya kemenangan 8 Mac adalah sokongan rakyat kepada gabungan serta kerjasdama PAS-KeADILan-DAP bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Demokratik Malaysia (MDP).

Juga PRM yang dihidupkan semula di kalangan anggotanya yang enggan menyertai PKR. Hanya setelah menang Anwar mengumumkan penubuhan Pakatan Rakyat.

Justeru, pilihan raya kecil Permatang Pauh ini merupakan pertandingan pertama bagi calon Pakatan. Anwar bukan saja calon KeADILan tetapi adalah calon semua anggota pakatan termasuk PAS.

Walaupun PAS secara rasmi tidak menangguhkan sokongan Anwar sebagai Perdana Menteri tetapi ia tetap berada dalam Pakatan. Dengan Umno, PAS bermuzakarah. Dengan KeADILan dan DAP, PAS berpakat.

Kemenangan Anwar di Permatang Pauh bergantung pada PAS. Tetapi kemenangan PAS di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor bukan saja bergantung pada Anwar dan KeADILan tetapi juga DAP. Kemenangan PAS pada 8 Mac lalu berdasarkan pada dua mandat.

Satu mandat dari orang Cina dan India yang percaya bahawa PAS adalah untuk semua, dan bukan saja untuk orang Melayu dan Islam.

Sementara mandat kedua datangnya daripada orang Melayu yang selama ini mengundi BN, yang percaya kepentingan Melayu akan lebih terjamin oleh PAS dengan pentadbiran yang telus dan bersih.

PAS mewarisi Hizbul Muslimin dan Dato' Onn sementara KeADILan mewarisi PKMM dan PRM. Pakatan mewarisi perjuangan Abu Bakar Bakir, Burhanuddin Al-Hilmy, Ahmad Boestamam dan juga Onn Jaafar.

'Bertemu Mata Anak Kelantan' bersama Tok Guru


HarakahDaily.Net


Tuan Guru Nik Aziz hadir program Perakan di Bangi 23 Ogos ini

Anis Nazri Thu Aug 21, 08 12:16:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan memeriahkan majlis 'Bertemu Mata Anak Kelantan' bersama anak Kelantan di perantauan di Kompleks Sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, 23 Ogos ini.

Majlis anjuran Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan Malaysia) dengan kerjasama Dun Bangi yang akan bermula jam 9.00 malam itu juga dijangka akan dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato' Husam Musa, Abdul Fatah Mahmood dan beberapa kepimpinan utama kerajaan serta pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Menurut Setiausaha Perakan, Ir Hamzah, tujuan majlis tersebut diadakan bagi menjawab isu-isu semasa yang ditimbulkan terhadap kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS, sekaligus mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri Kelantan dengan rakyatnya yang berada di perantauan.

Menurut beliau, para tetamu yang hadir akan berpeluang untuk mengetahui perkembangan semasa politik tanah air terutama isu-isu berkaitan kerajaan Pakatan Rakyat.

"Saya bagi pihak penganjur menyeru orang ramai untuk menghadiri majlis ini bagi memeriahkan suasana, di samping mengikuti pelbagai isu-isu politik semasa yang akan disampaikan oleh Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.


Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung majlis ini, boleh hubungi Ir Hamzah di talian 012-3195435 atau lawati laman web http://www.perakan.org.my.

Debat Lim Guan Eng v Koh Tsu Koon

AGENDADAILY
20hb Ogos 2008

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan bekas Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah berentap sakan dalam siri kedua Debat Agendadaily Rabu malam.

Debat dibawah tajuk "Kisah Benar Disebalik Kontroversi Tanah di Pulau Pinang" itu berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Kira-kira 300 orang kebanyakannya pemimpin dan penyokong parti Gerakan dan DAP hadir di dewan itu menyaksikannya.

Ia disiarkan secara langsung pada jam 9 malam menerusi TV9 dan NTV7 manakala siaran tertunda pada jam 12.30 malam di TV3.

Debat siri pertama antara Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan pada 15 Julai lalu.

Permatang Pauh: Nota bantahan kepada SPR

HarakahDaily.Net


SPR, Umno/BN cemar kempen Pilihan Raya Permatang Pauh

Harakahdaily Thu Aug 21, 08 3:08:58 pm MYT

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Hrkh) - Parti KeADILan Rakyat hari ini menghantar nota bantahan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), berikutan kegagalan badan itu mengendalikan Pilihan raya Kecil Permatang Pauh secara adil dan telus.

Setiausaha Agung KeADILan, Dato' Sallehuddin Hashim dalam suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengemukakan tujuh sebab mengapa pihaknya mendapati perjalanan pilihan raya tercemar.

Dalam suratnya juga beliau menegaskan, KeADILan amat tidak berpuashati dengan SPR walaupun banyak aduan, kritikan dan cadangan, badan itu masih tidak berubah.

Berikut disiarkan teks penuh surat bantahan KeADILan kepada SPR;

RUJUKAN KAMI: SUA2008/SPR/0115
TARIKH: 21 Ogos 2008

Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Seri Ab. Rashid b. Ab. Rahman
Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
Aras 4 & 5, Blok C7, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62690 PUTRAJAYA

Yang Berbahagia Tan Sri,

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ADUAN BERHUBUNG PERJALANAN KEMPEN PILIHANRAYA KECIL P.44 PARLIMEN PERMATANG PAUH

Menemui Yang Berbahagia Tan Sri semoga dalam lingkungan kesejahteraan yang baik.

Merujuk kepada perkara di atas dan seperti yang kita maklumi bersama bahawa Pilihanraya Kecil bagi Parlimen Permatang Pauh sedang rancak berjalan.

Pilihanraya kali ini dianggap paling menjadi tumpuan negara dan dunia kerana mempertemukan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim menentang calon dari Umno dan AKIM.

Adalah sangat mendukacitakan ketika seluruh rakyat dan masyarakat antarabangsa begitu berminat mengikuti perkembangan pilihanraya, namun perjalanan kempen pilihanraya terus dicemari dengan pelbagai salah laku kempen yang memperlihatkan kelemahan sistem demokrasi di Malaysia dan tentunya memperlihatkan kegagalan SPR untuk mengendalikannya secara adil dan telus.

Saya sangat mempersoalkan kredibiliti dan kerja SPR kerana apa yang timbul bukanlah perkara baru malahan ianya adalah perkara sama yang berbangkit pada setiap kali pilihanraya walaupun berbagai-bagai aduan, kritikan, dan cadangan telah dikemukakan kepada pihak SPR.

Sehubungan dengan itu saya meminta dan berharap agar SPR dapat meneliti untuk bertindak dengan serius dan bersungguh-sungguh terhadap aduan yang saya kemukakan seperti berikut;

i. Nama Pengundi Hilang

Dilaporkan bahawa terdapat lebih dari 900 pengundi yang namanya tercicir dan hilang daripada buku daftar pemilih bagi Parlimen P.44 Permatang Pauh. Nama-nama tersebut terdapat dalam senarai daftar pemilih yang lepas dan boleh membuang undi pada pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini kini didapati tercicir dari daftar pemilih terbaru.

ii. Pemilihan Hari Bekerja Sebagai Hari Membuang Undi

Dilaporkan bahawa pemilihan hari Selasa 26hb Ogos, 2008 iaitu hari bekerja adalah sesuatu yang sangat dipersoalkan kerana akan menyukarkan kepada pengundi untuk membuang undi terutamanya pengundi-pengundi yang bekerja dan pengundi yang berada diluar kawasan.

iii. Menggunakan Agensi Kerajaan Untuk Tujuan Kempen Umno/BN

Agensi kerajaan telah dugunakan secara terang-terangan untuk berkempen bagi pihak Parti kerajaan Umno/Barisan Nasional. Penglibatan agensi kerajaan untuk tujuan kempen adalah menjadi suatu kesalahan dan melanggar etika kempen pilihanraya

iv. Laporan Media Yang Berat Sebelah

Laporan media terhadap kempen pilihanraya secara keseluruhannya menyebelahi calon Umno/BN dan pendekatan menyerang calon Parti Keadilan Rakyat secara keseluruhannya laporan media adalah sesuatu yang malang bagi prinsip etika media dan sistem Demokrasi Malaysia.

v. Penggunaan Pasukan Anggota Keselamatan

Kempen pada kali ini menampakkan kawalan keselamatan yang berlebihan. Ramainya anggota polis, menggunakan helikopter dan polis simpanan persekutuan adalah bertujuan untuk mengganggu kempen dan mewujudkan rasa takut kepada pengundi disamping media cuba melabelkan Parti Keadilan Rakyat dengan keganasan yang langsung tidak berasas sama sekali.

vi. Mengambil Kad Pengenalan Pengundi

Terdapat laporan petugas-petugas kempen Umno/BN telah berjumpa dengan pengundi dan mengambil kad pengenalan pengundi atau salinan kad pengenalan. Tindakan ini adalah menjadi suatu kesalahan dan mewujudkan kesangsian tindakan Umno/BN.

vii. Sogokan Wang kepada Pengundi

Dilaporkan bahawa kempen Umno/BN telah menggunakan sogokan wang untuk meraih undi. Petugas Umno/Bn bertemu pengundi menawarkan wang supaya pengundi diminta mengundi calon Umno/BN atau pun pengundi menyerahkan kad pengenalan mereka. Tindakan ini selain menyalahi etika pilihanraya dan mempunyai unsur amalan rasuah.

Kerjasama dan tindakan dari pihak Tan Sri saya hargai dengan ucapan terima kasih. Semoga usaha bersama kita memartabatkan demokrasi Malaysia akan mencapai kejayaan.

Sekian, terima kasih.

DATO' SALEHUDDIN HASHIM
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat

Kadir Jasin mengulas realiti politik terkini

The Scribe A Kadir Jasin


UiTM dan Permatang Pauh Uji Kematangan Politik

Posted by A KADIR JASIN - Wednesday, August 20, 2008

RAMAI pembahas yang meminta pendapat saya mengenai isu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pilihan raya kecil (PRC) Parlimen Permatang Pauh.

Pandangan saya lebih kurang begini. Saya setuju orang Melayu dan Bumiputera menuntut dan mempertahankan hak mereka dan saya tidak menentang orang bukan Bumiputera menuntut dan mempertahankan hak mereka.

Cadangan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim agar UiTM membuka pintu kepada lebih ramai pelajar bukan Bumiputera adalah contoh kecil proses tuntutan dan pertahanan hak ini. Ia tidak sepatutnya membuatkan kita terlalu emosional.

Tidak kira apa yang dituntut dan dipertahankan oleh kaum-kaum di Malaysia, ia wajiblah berasaskan Perlembagaan, undang-undang dan konvensyen yang telah dipersetujui lebih setengah abad lalu.

Biar semarah atau sehangat mana sekali pun perasaan kita, kita wajib mengakui bahawa Malaysia adalah antara sebilangan yang amat kecil negara berbilang kaum dan agama yang masih kekal dan selamat.

Negara pelbagai kaum dan agama seperti Yugoslavia dan beberapa buah negara Caucasia sama ada telah hilang dari peta dunia atau sedang dilanda pertumpahan darah seperti India, Sri Lanka, Kenya dan Filipina.

Hatta negara-negara satu agama seperti Iraq, Iran, Afghanistan, Pakistan dan Turki pun terus dilanda keganasan dan kacau bilau.

Janganlah kita mengambil kesempatan daripada persekitaran politik yang kononnya lebih terbuka kini atau daripada tanggapan bahawa kerajaan sekarang lemah dan kucar-kacir untuk membuat tuntutan yang melampau, khasnya yang berbau perkauman.

Kita boleh merayakan demokrasi. Kita boleh berpesta dengan kebebasan dan keterbukaan. Tetapi kita hendaklah jangan lupa kepada segala bentuk sensitiviti yang berkaitan dengan masyarakat majmuk kita.

Sebagai seorang yang lahir sebelum merdeka (yang tali pusatnya dipotong dengan sembilu oleh bidan kampung) dan mendapat pendidikan pada tahun-tahun peralihan daripada bahasa perantaraan Inggeris kepada bahasa Melayu, pandangan saya banyak dipengaruhi oleh pengalaman dan persekitaran waktu itu.

Kampung saya kampung majoriti Melayu. Penduduknya bercucuk tanam. Tanaman utama sampai hari ini ialah padi. Tetapi perniagaan dari awal-awal lagi dimonopoli oleh orang Cina.

Pergaulan mereka begitu mesra sehingga orang Melayu tidak berasa apa-apa membenarkan babi jiran Cina mereka berkeliaran. Allahyarhamah nenek saya memberikan keladi dan daun ubi kayu kepada jiran Cinanya sebagai makanan babi. Sebagai ganti dia mendapat kopi, gula dan tembakau.

Pengayuh basikal yang diupah oleh ayah saya untuk menghantar dan mengambil saya balik dari Sekolah Melayu Pendang, kira-kira lima kilometer dari rumah saya, adalah seorang bujang Cina bernama Ah Hin.

(Dia kemudian masuk Islam dan berkahwin dengan seorang perempuan Melayu. Tetapi khabarnya setelah bercerai dengan isterinya, dia kembali kepada amalan asalnya tanpa sesiapa pun buat ribut.)

Selepas lima tahun di sekolah Melayu, saya masuk Special Malay Class (Kelas Khas Melayu) di Saint Michael Primary School di Alor Star pada tahun 1959. Dari saat itu mulalah saya bergaul dengan budak-budak Cina, India dan Thai.

Oleh kerana Saint Michael adalah sekolah mubaligh Kristian mazhab Roman Katolik, bapa saudara saya seorang tok guru pondok di Pendang memprotes kepada ayah saya. Dia amat yakin sekiranya saya tidak dikeluarkan daripada sekolah itu saya akan jadi kafir.

Ayah saya tidak mempedulikan protes itu. Sebaliknya di Saint Michaellah saya belajar agama Islam dan sewaktu sekolah menengah menyertai kawan-kawan Muslim yang lain menubuhkan Persatuan Pelajar-Pelajar Islam.

Kami mewajibkan pelajar Islam tingkatan tiga ke atas berbaris ke Masjid Zahir pada setiap Jumaat lengkap dengan pakaian baju Melayu warna sekolah.

Tidak menyertai perbarisan ke masjid tiga kali berturut-turut tanpa alasan dikenakan tindakan disiplin oleh sekolah. Guru besar kami namanya Charles Alexander Westwood (yang kami pinda kepada Salleh Iskandar Kayubarat ketika Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 1965) dan ketua agama (Brother Superviser) bernama Brother Brendan.

Persekitaran pelbagai kaum dan agama berterusan sehinggalah saya ke Maktab Sultan Abdul Hamid dan kemudian di Bernama dan New Straits Times Berhad.

Namun dari dahulu sehingga sekarang saya berpegang kepada falsafah bahawa Malaysia, sebagai negara berbilang kaum dan agama, tidak akan selamat dan makmur sekiranya kekangan ekonomi antara kaum dan di kalangan kaum yang sama, dibiarkan berlarutan atas nama ekonomi bebas, globalisasi, persaingan, meritokrasi dan keterbukaan.

Peminggiran kaum majoriti akan mengundang ketidakstabilan dan peminggiran kaum minoriti akan mencacat prinsip keadilan dan kesamarataan.

Dalam konteks semasa, kaum majoriti semakin jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi manakala kemiskinan berlaku dalam semua kaum.

Justeru itu, manakala Khalid Ibrahim boleh mencadangkan agar UiTM dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lain membuka pintu lebih luas kepada pelajar bukan Bumiputera, dia juga wajib memastikan yang kuota atau bilangan pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditingkatkan.

Saya yakin UiTM dan pelajarnya akan lebih cergas, cerdas dan berdaya saing jika berlaku interaksi dan percambahan pemikiran yang melepasi garis dan sempadan kaum.

Mengenai PRC Permatang Pauh pula, saya terus berpegang kepada pendapat bahawa ketua de facto pembangkang, Anwar Ibrahim akan kembali mewakili kawasan itu selepas 26 Ogos ini.

Namun ciri-ciri berikut mungkin berlaku:

1. Kelebihan undi Anwar mungkin lebih kecil daripada yang diperoleh isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum 8 Mac lalu;

2. Adalah kebiasaan bagi Barisan Nasional memenangi PRC dengan kelebihan undi yang lebih besar. Dalam beberapa PRC, BN berjaya merampas balik kerusi daripada parti lawan;

3. Penyokong setia Anwar akan tetap mengundi beliau biar apa sekalipun dakwaan, tuduhan dan hukuman ke atas beliau;

4. Ramai akan mengundi beliau kerana percaya beliau adalah mangsa konspirasi tidak kira bahawa penuduh beliau sudah bersumpah dengan nama Allah mengatakan dia telah diliwat oleh Anwar;

5. Pasti ada sebahagian pemilih yang akan mengundi Anwar kerana mereka benci kepada BN, khasnya kepemimpinan Umno yang ada sekarang;

6. Pasti ada yang akan merosakkan undi atau tidak keluar mengundi sebagai tanda protes terhadap kepemimpinan BN dan Umno;

7. BN dan Pakatan Rakyat pasti menggunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada pada mereka untuk saling jatuh menjatuhkan;

8. Permatang Pauh akan menjadi medan perjuangan menentukan hala tuju politik negara dan masa depan watak-watak utama seperti Anwar, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak;

9. Keputusan PRC Permatang Pauh akan menguji kewibawaan dan penerimaan ke atas pasangan setia Abdullah-Mohd Najib dalam proses pemilihan kepemimpinan Umno yang sedang berlangsung sekarang; dan

10. Ia akan menjadi pentas untuk menguji keakraban dan iltizam pendukung Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan kerajaan BN biar apa sekalipun yang akan terjadi kepada Anwar.

Lagi fitnah melanda Anwar


malaysiakini

Kacau isteri: Anwar ancam saman Hamzah RM10 juta

Aug 21, 08 3:14pm

Gara-gara mendakwa calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah "mengacau" dan "ingin ambil kesempatan" terhadap isterinya, seorang timbalan menteri bakal berdepan tindakan saman fitnah dengan jumlah RM10 juta.

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan dilaporkan berkata pemilih di kawasan parlimen Permatang Pauh tidak wajar mengundi Anwar dalam pilihanraya kecil 26 Ogos ini.

Menurut peguam Anwar, kenyataan Datuk Hamzah Zainuddin dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Jit Poh kelmarin. Dalam suratnya semalam, peguam tokoh PKR itu Sankara Nair menuntut Hamzah menarik balik kenyataannya itu dalam tempoh 48 jam atau akan dikenakan tindakan saman.

Surat tuntutan itu menyebut, kenyataan timbalan menteri itu membawa maksud secara langsung atau tidak langsung memberi gambaran bahawa Anwar pernah terlibat dengan kegiatan seks haram atau mempunyai tabiat suka berbuat demikian, seorang lelaki yang berakhlak rendah, lelaki yang tidak mempunyai nilai-nilai Islam, dan mempunyai perwatakan buruk.

Anwar beranggapan, kenyataan Hamzah itu sebagai sangat cuai, tidak bertanggungjawab, dengan sengaja dan berniat jahat merendah-rendahkannya di mata orang ramai sehingga boleh menimbulkan kebencian dan penghinaan mereka.

Bekas timbalan perdana menteri juga, menurut surat peguam itu lagi, berkata kenyataan Hamzah berniat jahat, satu bentuk penyelewengan fakta yang menunjukkan akhlaknya buruk demi merosakkan imejnya dan mencari publisiti murahan.

Selain menuntut penarikan kembali kenyataan itu, Hazmah juga dikehendaki memohon maaf mengikut kata-kata peguam berkenaan di akhbar-akhbar pilihan Anwar dan tidak lagi mengulangi kenyataan seumpama itu.

Menurut satu kenyataan PKR hari ini, surat tuntutan Anwar itu telah dikirim melalui faksimili kepada pejabat rasmi Hamzah di Putrjaya jam 5.30 petang semalam.

Ar-Rahn: Pemajak dibayar September ini

sinar harian
[Edisi Kelantan - Khamis, 21hb Ogos 2008]


Bayaran kira-kira RM20 juta diagih kepada pemajak gadai September ini

KOTA BHARU – Berita baik untuk pelanggan pajak gadai Islam Ar-Rahn yang dirompak 9 Ogos lalu kerana bayaran ganti rugi 100 peratus akan diagihkan kepada pemajak mulai September ini yang membabitkan kira-kira RM20 juta.

Langkah pembayaran itu dibuat 100 peratus hasil permintaan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri kerana sepatutnya Permodalan Kelantan Berhad (PKB) hanya menjelaskan bayaran 75 peratus daripada nilai barangan yang digadai.

Pengerusi Jawatankuasa Peran-cangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran itu akan dilakukan selama tiga bulan mulai September ini dan pelanggan yang berurus niaga awal dengan Ar-Rahn akan dibayar terlebih dahulu.

“Bayaran akan dibuat berdasarkan tarikh pelanggan berurus niaga dengan pajak gadai berkenaan, keutamaan akan diberikan kepada pemajak yang awal.

“Bayaran yang dibuat diperoleh daripada tuntutan insurans dan dana Ar-Rahn sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco mingguan di sini, semalam.

Pada 11 Ogos lalu, Pengarah Eksekutif PKB, Wan Yahya Wan Salleh memberi jaminan akan membayar balik kerugian yang dialami semua pelanggannya berikutan kejadian rompakan di premis KB 1, Jalan Tok Hakim di sini, yang membabitkan kerugian RM19.9 juta pada 9 Ogos lalu lalu.

Dalam kejadian itu, bilik kebal premis pajak gadai berkenaan dipecah masuk empat lelaki bertopeng sebelum melarikan sebahagian besar emas yang disimpan di premis itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 12.09 awal pagi tarikh berkenaan dan hanya disedari pada jam 3 pagi, 10 Ogos selepas ibu pejabat syarikat pembekal sistem penggera keselamatan di Kuala Lumpur mendapati sistem di premis berkenaan tidak berfungsi.

Ia hanya disedari pengurus pajak gadai berkenaan selepas dihubungi syarikat pembekal sistem penggera keselamatan tersebut yang kemudiannya terus ke premis pajak gadai itu.

Sementara itu, Husam berkata, Rang Undang-undang Identifikasi DNA 2008 yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu disifatkan tidak kena dengan waktu dan suasana politik sekarang.

Menurutnya, ia lebih kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana kenapa baru sekarang ia dibentangkan sedangkan cadangan berhubung perkara itu dibuat sejak tujuh tahun lalu.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan rang undang-undang itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat sehari sebelum itu.

Sambil menolak tanggapan kononnya rang undang-undang itu ada kaitan dengan kes liwat yang dihadapi Anwar beliau dilaporkan berkata, hal yang berkaitan dengan DNA dan akta itu sudah lama hendak dibawa oleh kerajaan ke Parlimen.

Isu rasuah: Komen Tok Guru Presiden

sinar harian
[Edisi Selangor & K. Lumpur - Khamis, 21hb Ogos 2008]


PAS sokong tindakan BPR.

SERDANG - Pas mengalu-alukan tindakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat penyelewengan yang berlaku di negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) termasuk tiga negeri di bawah naungannya.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, BPR seharusnya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap negeri terbabit, tetapi ia mestilah bersifat adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Saya mengharapkan BPR telus di semua negeri, bukan sahaja negeri di bawah PR, tetapi juga melibatkan Kerajaan Pusat,” katanya kepada media selepas melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008 di sini, semalam.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa.Kelmarin, enam termasuk dua exco Perak ditahan BPR dipercayai terlibat menerima rasuah kewangan dan seks berhubung satu projek perumahan di Seri Iskandar, Perak.

Siasatan awal BPR mendapati sejumlah wang telah dibayar kepada mereka yang terlibat dan dianggarkan nilai suapan melebihi RM100,000.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Abdul Hadi berkata, kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) seharusnya menunjukkan contoh yang betul kepada negeri PR terutamanya pimpinan parti Keadilan (PKR) yang baru memerintah.

Ditanya adakah kejadian tersebut mempengaruhi pengundi di Permatang Pauh, Abdul Hadi berkata, ia menjadi perkara biasa bagi rakyat Malaysia sebelum adanya pilihan raya.

“Rakyat Malaysia dah kalis. Kes Tan Sri Eric Chia yang melibatkan berbilion ringgit juga berlaku masa pilihan raya. Tetapi kes ini hanya beberapa ribu ringgit sahaja. Bagaimanapun ia tetap salah dari segi moral walaupun seringgit,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Abdul Hadi beliau enggan menuduh sesiapa berhubung kejadian tersebut walaupun sesetengah berpendapat ia ada kaitan dengan pilihan raya Permatang Pauh yang akan berlangsung 26 Ogos ini.

“Saya tidak mahu tuduh, sebab sebelum ini pun Ketua Pengarah Imigresen dan beberapa kes (penangkapan) lain turut berlaku,” katanya.

Penjelasan MB Perak mengenai isu rasuah 2 Exco


HarakahDaily.Net


Projek tidak wujud, dua Exco dianiaya - MB Perak

Alhusseyn dan Johari Jaafar Thu Aug 21, 08 11:18:10 am MYT

IPOH, 21 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan kewujudan projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar yang didakwa menjadi punca penahanan dua Exco Kerajaan Negeri dan enam yang lain oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sehubungan itu, beliau menegaskan keyakinan bahawa mereka yang terbabit kemungkinan dianiayai.

"Kerajaan Pakatan Rakyat menafikan ada meluluskan mana-mana projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar; projek tersebut tidak wujud, jadi mustahil kedua-dua Exco boleh membantu meluluskan projek itu," katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

"Kami yakin kedua-dua Exco dan rakan-rakannya telah dianiaya; Kerajaan Pakatan Rakyat tidak tergugat dan akan terus tadbir dan urus negeri seperti biasa," katanya.

Nizar bagaimanapun menyerahkan kepada BPR untuk melakukan siasatan dan keputusan kes tersebut akan ditentukan melalui proses undang-undang.

Beliau juga berjanji akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung isu itu.

Di masa yang sama, Nizar mengumumkan keputusan Pakatan Rakyat Perak untuk membentuk panel peguam untuk membantu pembelaan dua Exco terbabit.

Dua Exco Perak yang ditahan reman BPR bagi membantu siasatan semalam ialah Exco Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang juga Adun Changkat Jering, Kepten (B) Osman Mohd Jailu dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan, yang juga Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Selain dua exco kerajaan negeri itu, yang lainnya ialah seorang ahli Majlis Daerah Perak Tengah, seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan dua orang peniaga.

Seorang lagi yang didakwa terlibat ialah bekas Adun Bota, Kepten (B) Usaili Alias.

Difahamkan, dua ahli exco yang ditahan itu, tidak terbabit dalam rasuah seks.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Pengerusi DAP Perak yang juga ahli exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Ham menyifatkan penahanan dua pemimpin Pakatan itu sebagai satu tindakan BN untuk melemahkan kerajaan negeri.

"Ini hanyalah satu percubaan untuk melemahkam Pakatan di Perak, dan satu percubaan untuk menyumbat mereka ke penjara," kata Ngeh, ketika ditemui Malaysiakini di lobi Parlimen, semalam.

Ngeh berkata, perkhidmatan kedua-dua ahli exco itu tidak akan digantung sepanjang penyiasatan dijalankan oleh BPR, sambil menegaskan bahawa mereka telah dianiaya.

"Kami mengesyaki yang mereka telah dianiaya. Jadi, bagaimana perkhidmatan mereka hendak digantung?" tegasnya.

Beliau juga menyentuh tentang 'tindakan pantas" BPR bertindak dalam kes-kes yang membabitkan wakil rakyat Pakatan.

"Apa yang paling mengecewa dalam hal ini, ialah mengapa BPR bertindak pantas sekali dalam mengambil tindakan terhadap kita, sedangkan kita juga telah membuat banyak laporan terhadap BN tentang perbuatan rasuah mereka?" soalnya.

Ngeh, yang juga ahli Parlimen Beruas, mempertahankan pemimpin Pakatan, sambil berkata mereka telah diingatkan supaya jangan terbabit dalam rasuah sebelulm kerajaan negeri ditubuhkan dahulu.

"Kita mahu mengisytiharkan bahawa kita telah memberi penekanan terhadap ketelusan dan penubuhan sebuah kerajaan yang bebas rasuah, sebelum kita menubuhkan kerajaan negeri," tambahnya.

Pandangan Tun Mahathir mengenai Umno dan rasuah


chedet.com

RASUAH DALAM UMNO

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 19, 2008 5:55 PM

1. Dato Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Pahang telah membuat kenyataan yang beliau tidak akan bertanding untuk Majlis Tertinggi UMNO kerana rasuah yang berleluasa dalam kempen pemilihan ketua-ketua pemuda, ketua bahagian dan Majlis Tertinggi.

2. Sebelum ini saya telah lapor berkenaan tindakan dua tokoh UMNO; seorang Ketua Bahagian yang menulis kepada Ibu Pejabat UMNO berkenaan rasuah yang dilakukan oleh Presiden sendiri untuk mendapat sokongan bagi pencalonannya sebagai Presiden pada Disember ini dan yang satu lagi tindakan seorang veteran UMNO yang telah lapor kepada Badan Pencegah Rasuah berkenaan rasuah yang sama yang dilakukan oleh Presiden, walaupun ia sendiri kerap bercakap dan mendesak semua orang supaya jangan amalkan rasuah.

3. Baru-baru ini saya telah dapat maklumat daripada beberapa pemimpin UMNO bahawa rasuah, iaitu pemberian duit yang tidak kecil jumlahnya dan pemberian lain-lain, telah dilakukan untuk pemilihan ke Majlis Tertinggi dan Ketua Pemuda.

4. Lebih daripada 150 ahli telah dikenalpasti yang akan mencabar ketua-ketua bahagian yang ada sekarang dengan diberi sogokan wang yang besar. Ada pula Ketua Bahagian yang diberi kontrak projek Kerajaan supaya mencalonkan calon tertentu.

5. Mereka yang menjadi Ketua Bahagian sekarang yang akan dicabar dan dijatuhkan tahu dan sedar yang rasuah ini sedang berlaku. Mereka kecewa. Tetapi mereka tidak sanggup mendedah secara tepat dan terbuka orang yang memberi sogokan dan siapa yang mereka dikehendaki mencalon dan menyokong dan lain-lain butir dan maklumat berkenaan kegiatan rasuah ini. Mereka yang disogok pula tidak sanggup membuat apa-apa laporan.

6. Mereka sedar bahawa rasuah yang berleluasa dalam UMNO ini akan menghancurkan parti, dan merosakkan masa depan orang Melayu dan negara Malaysia tetapi mereka masih berharap apabila mereka sudah tidak jadi Ketua Bahagian, tidak jadi ahli atau memegang jawatan dalam Majlis Tertinggi, apabila mereka tidak lagi jadi Menteri atau Timbalan Menteri, mereka mungkin diberi saguhati dengan dilantik sebagai Senator dan melalui saluran ini mungkin dapat jadi Menteri lagi, atau dapat jadi pengerusi syarikat GLC, atau jadi penasihat berpangkat Menteri kepada PM atau pengerusi badan-badan lain, atau dijadikan duta dan lain-lain, semuanya dengan elaun-elaun yang lumayan juga.

7. Oleh kerana harapan ini mereka sanggup melihat rasuah berleluasa dalam UMNO, melihat UMNO hancur, melihat orang Melayu diperhambakan, menjadi golongan yang miskin dan tidak berkuasa dalam negara, merosakkan negara. Tidak ada seorang pun daripada mereka, daripada Timbalan Presiden sehingga ke ketua cawangan, yang akan sanggup mendedah secara jelas, mengeluar 'statutory declaration' berkenaan rasuah yang akan hancurkan UMNO dan menghakis apa sedikit daripada kuasa orang Melayu di negara ini yang masih ada.

8. Mereka ini berharap orang luar daripada UMNO, NGO (Badan bukan Kerajaan) Melayu akan menyelamat UMNO supaya mereka yang tersingkir akan dapat kembali jawatan-jawatan mereka.

9. Semua ini berlaku kerana presiden UMNO membenar ianya berlaku. Sebagai Perdana Menteri beliau dipercayai akan selamatkan mereka yang terlibat dengan mengguna rasuah untuk mendapat tempat dalam kepimpinan UMNO daripada apa-apa tindakan jika laporan dibuat kepada Jawatan Kuasa Disiplin Parti atau Badan Pencegah Rasuah.

10. Perjuangan 62 tahun UMNO akan menjadi sia-sia kerana UMNO sudah dilanda gejala rasuah dan tidak lagi dapat perjuangkan tujuan-tujuan yang UMNO ditubuh. Perjuangan pemimpin dan ahli UMNO sekarang tertumpu kepada mendapat sesuatu bagi diri sendiri. Kerana semua mereka sudah terlibat dengan rasuah, samada memberi atau menerima, tiada ada siapa yang ingin bertindak memberhentikan jenayah ini.

11. Inilah keadaan dalam UMNO sekarang.

12. Malangnya yang boleh bertindak hanyalah ahli UMNO.

13. Saya tidak fikir ada dalam UMNO orang yang mampu bertindak. Masing-masing hanya utamakan kepentingan diri. Apa yang akan jadi pada kaum bangsanya tidak mengapa asalkan diri sendiri mendapat sesuatu.

14. Hari ini UMNO belum hancur lagi tetapi ia jelas sudah lemah. Dengan tahap kelemahan ini sahaja pun orang Melayu sudah berada dalam keadaan kelam kelibut, berpecah dan terdedah pada macam-macam serangan terhadap maruah bangsa dan agama yang mereka tidak berupaya mempertahankan.

15. Percayalah, apabila orang Melayu begitu mudah menjual hak mengundi mereka, ahkhirnya mereka akan terima padahnya; mereka akan hilang apa juga kuasa yang sedikit yang ada pada mereka untuk menyelamatkan kaum bangsa mereka. Mereka akan kembali menjadi hamba orang, mempertahankan orang. Mereka akan jadi seperti orang Melayu Singapura yang sudah jadi kaum minoriti yang termiskin di pulau yang sebenarnya sebahagian dari Tanah Melayu dahulu. Inilah nasib yang menunggu orang Melayu.

Permatang Pauh: 'Jaguh' UMNO bersuara


malaysiakini

Khairy: Kita 'kuburkan' politik Anwar

Beh Lih Yi Aug 21, 08 2:34pm

Barisan Nasional (BN) bukan sahaja akan mengalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, tetapi akan turut 'menguburkan' karier politiknya.

Itulah azam Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam satu ceramah di Seberang Jaya malam tadi.Beliau memberitahu para hadirin bahawa pilihanraya kecil Permatang Pauh akan menentukan masa depan negara.

Dalam ceramah selama 30 minit itu, Khairy berkata, cabaran sebenar bagi calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah ialah untuk menamatkan karier ketua pembangkang yang 'gila kuasa'.

Oleh itu, katanya, BN akan menguburkan karier politik Anwar supaya masa depan negara ini bebas dan selamat daripada penasihat PKR itu.

Dalam ucapannya itu, Khairy turut membidas pemimpin pembangkang itu, termasuk rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan.

Beliau juga turut menyentuh tentang hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan tuduhan liwat terhadap penasihat PKR itu.

Merujuk kepada penahanan dua exco kerajaan negeri Perak oleh BPR semalam, Khairy membidas parti pembangkang sebagai tidak konsisten dalam kempen mereka membasmi rasuah.


'Sumber perbelanjaan'

Khairy turut menyentuh kontrak bernilai lebih RM15 bilion yang didakwanya diberi oleh Anwar kepada para kroninya tanpa tender, sewaktu mantan timbalan perdana menteri berada dalam kerajaan.

Khairy yang juga menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut meminta Anwar mendedahkan sumber perbelanjaannya untuk menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Katanya, beliau bimbang jika Anwar terpilih sebagai wakil rakyat dan menubuhkan kerajaan pusat, penasihat PKR itu akan menjual negara ini kepada Amerika Syarikat.

Oleh itu, kata Khairy, beliau mahu tahu dari mana datangkan dana untuk membiayai jentera pilihanraya Anwar.

Ahli Parlimen Rembau itu juga mengulangi cabarannya terhadap Anwar supaya mengangkat sumpah untuk membuktikan dia tidak bersalah terhadap tuduhan liwat ke atasnya.

Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan telah memfailkan laporan polis, mendakwa dia telah diliwat oleh Anwar. Anwar kemudiannya didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii ke atas Saiful.Jumaat lalu, Saiful, 23, mengangkat sumpah dengan al-Quran bahawa dia telah diliwat oleh penasihat PKR itu.

Anwar telah menafikan tuduhan tersebut dan menganggapnya satu konspirasi politik terhadapnya. Beliau turut menyifatkan tindakan Saiful mengangkat sumpah tersebut, sehari sebelum hari penamaan calon pilihanraya Permatang Pauh, sebagai satu gimik politik.

Permatang Pauh: SPR didakwa tidak telus

malaysiakini

PKR: 26 nama dikeluar dari daftar pemilih

Muda Mohd Noor Aug 21, 08 12:17pm

PKR mengesan 26 nama pengundi berusia 100 tahun ke atas telah dikeluarkan dari daftar pemilih yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kepada calon parti yang bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh, kata Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, daftar pemilih tersebut diserahkan oleh SPR pada hari penamaan calon pada 16 Ogos lalu.

"Kita mahu tahu bagaimana nama 26 orang tersebut dikeluarkan daripada daftar pemilih tanpa rang daftar dipamerkan," katanya dalam satu sidang akhbar di Yayasan Aman di Penanti, Permatang Pauh pagi ini.

Katanya, mengikut peraturan SPR, rang daftar pemilih perlu dipamerkan selama tujuh hari untuk disemak oleh pengundi.

"Saya ingin bertanya bilakah SPR menjalankan proses ini (mempamerkan rang daftar pemilih). Nama 26 pengundi tersebut masih ada dalam daftar pemilih pilihanraya umum 8 Mac lalu," katanya.

Beliau berkata, pemutihan senarai pemilih perlu dibuat dalam tempoh enam bulan, tetapi kini baru mencapai lima bulan.

Saifuddin bertanya bilakah nama pemilih terbabit dikeluarkan dari senarai daftar tersebut.

"Tidak guna parti politik mematuhi semua peraturan pilihanraya tetapi dalam bahagian yang paling penting, iaitu senarai pendaftar pemilih, ia tidak dipatuhi.

"Isunya, nama yang hilang itu, telah menimbulkan keraguan kepada kita," tambahnya.

Katanya, PKR akan terus membuat siasatan terhadap nama dalam daftar pemilih untuk diselesaikan dalam beberapa hari lagi.

"Kita tahu nama lokasi dan DUN (kawasn undangan negeri) 26 nama yang hilang dari daftar pemilih," katanya.

Harapan BN di Permatang Pauh


malaysiakini

Arif perlu 28,000 undi untuk menang

Muda Mohd Noor Aug 21, 08 12:46pm

Risikan terbaru Barisan Nasional (BN) menunjukkan sehingga semalam, calonnya, Datuk Arif Shah Omar Shah mendapat kira-kira 20,000 undi.

Menurut Arif Shah, beliau memerlukan 28,000 undi untuk menang dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

"Jika trend ini berkekalan, saya akan menang dengan majoriti tipis," katanya ketika ditemui di majlis meraikan sambutan jaguh badminton negara, Lee Chong Wei di Bukit Mertajam semalam.

Dalam pilihanraya kecil itu, Arif berdepan dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), Hanafi Hamad.

Arif Shah berkata, perkembangan terbaru menunjukkan para pengundi menyebelahi beliau berbanding dengan Anwar.

Bagaimanapun, katanya, beliau lebih suka dilihat sebagai 'underdog' berbanding Anwar.

Permatang Pauh mempunyai 58,459 undi. Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat 30,348 undi, menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi. Pirdaus mendapat 16,950 undi.

Arif Shah berkata, peluang untuknya menang cerah kerana jumlah ahli BN yang ramai di Permatang Pauh.

Mengenai kempen, beliau berkata, beliau menumpukan perhatian kepada kawasan di mana pihak pembangkang banyak menyentuh serangan peribadi terhadapnya.

"Kita banyak petugas pilihanraya dari seluruh negara dan mereka menjalankan kempen di kawasan yang saya tidak sempat lakukan," katanya.

Sementara itu, ketika berucap di majlis tersebut, Arif Shah berkata, pengundi Permatang Pauh perlu menolak Anwar kerana tokoh pembangkang itu tidak mempunyai masa untuk membantu penduduk kawasan tersebut.

"Anwar mahu menjadi perdana menteri menyebabkan masanya dihabiskan di Kuala Lumpur dan bagaimana hendak berkhidmat kepada orang Permatang Pauh," katanya.

Roslan SMS: Pasca Muktamar Agung


Roslan SMS Corner

Muktamar PAS ke 54 berjaya dan bermakna

Posted by roslan sms at 12:11:00PM - Monday, August 18, 2008

Saya minta maaf tidak berkesempatan untuk “update” blog ini sekian lama. Maklumlah sibuk dengan urusan di Mukatamar PAS Pusat. Terkuit-kuit juga jari-jari ini mahu menulis, malah sahabat-sahabat yang ditemui di Ipoh masing-masing bertanya “Kenapa tak update?”.

Saya memang telah membuat keputusan mahu berikan sepenuh tumpuan pada Muktamar, dan berhajat rihat sebentar sehinggalah segala-galanya selesai, kemudian insyallah akan sambung menulis.

Alhamdulillah telah selesailah semuanya dan apa yang dapat saya rumuskan, bahawa sebagaimana yang saya tuliskan dalam posting yang lalu:

Lalu saya yakin muktamar ini akan kembali meneguhkan parti serta pegangannya terhadap prinsip perjuangan Islam yang telah sama-sama dibina, dipupuk dan dipertahankan sejak klebih 50 tahun dahulu. Panas mungkin panas tetapi kesudahannya adalah kemenagan untuk Islam, insyallah.

Sebelum itu saya menulis:

Sesungguhnya muktamar PAS bukan seumpama perhimpunan agung atau kongres dan konvensyen mana-mana parti. Kerana PAS adalah sebuah gerakan Islam, maka segala perjalanan dalamannya berputar sekitar orbit dan landasan Islami. Muktamar PAS adalah himpunan muhasabah parti, pimpinan dan perwakilan bermuhasabah dan menilai kembali diri dan sikap. Apa pun muktamar adalah himpunan yang akan mengukuhkan jemaah dan menyatakan ketaatan dan wala’ ahli terhadap kepimpinan berteraskan ulamak yang telah sama-sama dibina dan dipertahankan oleh ahli-ahlinya.

Ternyata segala telahan dan anggapan nakal dan provokatif beberapa pihak termasuk penganalisa politik dan media massa bahawa Muktamar PAS yang ke 54 kali ini akan menjadi medan serangan perwakilan terhadap pimpinan tertinggi parti ternyata tidak berlaku sebagaimana Tuan Guru Presiden sebut dalam sidang akbar terakhirnya setelah menangguhkan muktamar, segalanya berjalan menurut adab Islam, tidak ada lempar-lempar kerusi seperti parti lain.

Muktamar PAS kali ke 54 telah kembali mempertegaskan pegangan seluruh perwakilan PAS terhadap konsep Kepimpinan Ulamak yang dibina oleh parti sejak 1982. Majlis Syura Ulamak terus diiktiraf sebagai badan tertinggi parti dan Presiden terus diberi wala’ dan kepercayaan untuk terus menerajui parti dan memimpin parti ini bagi mencapai cita-cita perjuangannya.

PAS kekal sebagai Parti Islam yang berteraskan ulamak dan insyallah akan terus relevan sepanjang zaman. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Presiden, kini tugas penting adalah untuk mengukuhkan dan memperkemaskan parti agar prinsip dan dasar pejuangannya akan terus dipertahan dan diperkasakan.

Tun Mahathir berbicara mengenai AUKU

chedet.com

AUKU - AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 18, 2008 11:45 AM


1. Saya mengaku yang sayalah orangnya yang telah perkenalkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) semasa saya menjadi Menteri Pelajaran.

2. Walaupun kita sudah merdeka lebih 15 tahun ketika itu tetapi bilangan kelulusan daripada universiti tidak ramai, terutamanya di kalangan orang Melayu. Jumlah jurutera, doktor perubatan, arkitek dan lain-lain ahli profesional amat kecil dan menyedihkan. Sebaliknya maju mundurnya bangsa dan negara bergantung kepada ketinggian jumlah rakyat yang berilmu. Tidaklah sihat bagi Malaysia jika dari rakyat berbilang kaumnya jumlah Melayu dan bumiputera lain yang berkelulusan universiti sangat berkurangan. Setelah Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan maka jumlah penuntut Melayu di tiga buah universiti tempatan sudah bertambah dengan banyaknya. Tetapi kemasukan sahaja tidak akan dapat menambah jumlah Melayu yang berpelajaran tinggi jika ramai yang diterima masuk tidak lulus dan tidak berjaya memperolehi ijazah.

3. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa ramai penuntut Melayu dan bumiputra lain yang diterima masuk universiti memiliki kelulusan yang kurang baik daripada penuntut bukan Melayu. Samada mereka mendapat ijazah universiti atau tidak bergantung kepada kegigihan mereka menumpu sepenuh masa untuk menguasai ilmu melalui proses-proses pembelajaran ala universiti.

4. Kita dapati penuntut Melayu amat berminat dengan kegiatan politik. Mereka suka melibatkan diri dengan demontrasi jalanan dan lain-lain aktiviti politik yang memakan masa mereka di universiti. Dengan ini tidak dapat tidak tumpuan mereka kepada penguasaan ilmu tentu kurang. Amatlah merugikan mereka dan masyarakat Melayu jika mereka gagal.

5. Apakah kerana mereka tidak boleh berdemonstrasi dan lain-lain maka mereka akan kurang berpengetahuan dalam bidang politik; mereka akan jadi robot? Tidak juga. Mereka boleh ada forum perbahasan dalaman atau antara universiti, dan mereka boleh mendapat pakar yang tidak punyai kepentingan politik parti untuk memberi syarahan dan sessi soal jawab. Tanpa terlibat secara langsung dengan aktiviti politik berpartian, mereka masih boleh menguasai dan memahami selok belok politik.

6. Kegiatan seperti ini tidak akan memisah mereka daripada menumpukan masa yang mencukupi untuk menguasai ilmu yang menjadi sebab utama mereka berada di universiti.

7. Harus diingat bahawa pembiayaan bagi tiap-tiap penuntut samada yang dapat biasiswa atau tidak datang daripada duit rakyat. Duit itu disalur dengan rela hati oleh mereka kerana kepentingan penuntut dan ilmu yang dituntut oleh mereka, yang akan menjamin masa depan yang cerah bagi mereka. Rakyat yang sanggup wang ini dibelanjakan untuk penuntut sedia berkorban jika korban mereka mendatangkan hasil yang dikehendaki. Tentulah mereka akan kecewa jika wang mereka disalahguna, dihabiskan untuk kegiatan yang lain. Negara juga akan rugi kerana tidak dapat warga yang berilmu. Dan penuntut itu sendiri akan rugi kerana masa depan mungkin tidak cerah seperti yang diharapkan.

8. Pengorbanan yang kita pohon daripada penuntut kita hanya sedikit sahaja. Masa untuk menuntut tidak begitu lama - hanya tiga atau empat tahun sahaja. Setelah lulus tumpukanlah sepenuh masa untuk kegiatan politik atau lain-lain jika ini menjadi minat utama. Pada masa itu kita tidak habiskan wang orang lain. Kita habiskan duit dari titik peluh kita sendiri.

9. Saya percaya orang yang bertanggungjawab dan tahu kenang budi seperti ini akan menjadi manusia dan pemimpin politik yang lebih baik.

10. Tetapi jika kita sanggup habiskan duit orang, kita hampakan harapan orang, sebaliknya kita tidak rela mengguna duit dan masa kita sendiri untuk sesuatu yang kita gemar, maka tidaklah kita dapat berkata yang kita begitu prihatin dan rasa bertanggungjawab terhadap masalah negara kita.

11. Penuntut universiti tentu tidak suka dengar pendapat saya ini. Yang amat marah kerana AUKU ialah penuntut Melayu. Saya rela dimarah oleh siapa sahaja tetapi saya tidak berniat buruk semasa memperkenalkan AUKU. Bagi saya peningkatan kebolehan bangsa saya adalah lebih penting dan utama daripada apa kecaman terhadap diri saya.

12. Jika hari ini penuntut lebih dewasa dan bertanggungjawab batalkan sahaja AUKU.