Wednesday, August 27, 2008

Permatang Pauh: Reaksi Tun Mahathir

chedet.com

PERMATANG PAUH


.
Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 27, 2008 1:20 PM
1. Apa yang telah dijangka sudah pun berlaku.

2. Anwar menang.

3. Barisan Nasional kalah.

4. Saya biasa menulis berkenaan dilema Melayu. Saya percaya dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh ramai yang berada dalam keadaan serba salah. Bukan sahaja Melayu tetapi juga bukan Melayu.

5. Ramai pengundi tidak ingin undi bagi Dato Seri Anwar. Tetapi mereka juga tidak ingin undi Barisan Nasional. Calon Barisan Nasional baik tetapi kalau beliau menang maka Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dakwa yang dirinya menang, dakwa yang sokongan kepada Barisan Nasional iaitu pada dirinya sudah kembali, dakwa Barisan Nasional telah dipulih dibawah kepimpinannya.

6. Saya percaya dengan berat hati penyokong-penyokong Barisan Nasional telah undi PKR supaya Dato Seri Abdullah akan sedar yang kepimpinannya tidak dikehendaki lagi.

7. Wang yang banyak telah ditabur atau dijanji akan ditabur. Pekerja Barisan Nasional dibayar saguhati. Calon yang diletak sesuai juga. Apakah yang tidak kena dengan Barisan Nasional sehingga pengundi memberi kelebihan undi yang lebih banyak dari bulan Mac kepada Dato Anwar yang enggan bersumpah.

8. Mesej yang hendak dihantar oleh pengundi Melayu, Cina dan India menjadi sia-sia kerana Dato Seri Abdullah tidak ada telinga untuk mendengar, tidak ada mata untuk melihat.

9. Tetapi ahli UMNO daripada pemimpin lain UMNO perlu sedar dan faham mesej daripada pengundi Permatang Pauh. Sejak Mac 2008 sokongan kepada UMNO dan BN bukan pulih tetapi merosot.

10. Kamu boleh terus sokong Dato Seri Abdullah sebagai Presiden parti. Tetapi rakyat tidak akan sokong UMNO kerana UMNO sudah jadi alat Dato Seri Abdullah dan keluarganya. Apabila datang pilihanraya ketiga belas rakyat akan jatuhkan UMNO dan Barisan Nasional kerana hanya dengan cara ini sahaja rakyat akan dapat jatuhkan Dato Seri Abdullah.

11. Malang bagi UMNO dan Barisan Nasional. Tetapi kerana UMNO dan Barisan Nasional tidak sanggup bertindak, rakyat terpaksa bertindak.

12. Untuk pulihkan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional, Dato Seri Abdullah perlu bertanggungjawab dan letak jawatan sekarang. Ini akan memberi masa empat tahun bagi pemimpin-pemimpin UMNO berusaha untuk menarik balik penyokong UMNO dan Barisan Nasional. Jika ditunggu hingga Jun 2010 masa yang tinggal untuk pemulihan hanyalah 2 tahun; terlalu pendek untuk kerja yang berat ini.

13. Pilihan bagi UMNO hanya dua. Setia kepada Dato Seri Abdullah dan kalah dalam Pilihanraya Umum ke 13 atau setia kepada UMNO lebih daripada setia kepada Dato Seri Abdullah dengan kemungkinan menang Pilihanraya Umum ke-13.

14. UMNO perlu ingat undi daripada ahli-ahli setianya sahaja tidak mencukupi untuk mendapat kemenangan. Untuk menang calon UMNO perlu undi orang bukan ahli parti dan orang Cina dan India. Dalam keadaan sekarang, dalam keadaan UMNO dan Kerajaan di pimpin oleh Dato Seri Abdullah tidak mungkin orang bukan daripada parti UMNO dan orang Cina dan India akan beri kemenangan kepada calon UMNO atau Barisan Nasional. Bahkan ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan pimpinan Dato Seri Abdullah pun tidak akan undi UMNO dan Barisan Nasional.

15. Saya percaya akhbar dan TV arus perdana akan putar cerita pilihanraya kecil Permatang Pauh untuk menyedapkan hati pemimpin UMNO dan Dato Seri Abdullah. Justeru itu pemimpin, terutama Dato Seri Abdullah akan yakin yang dianya dikehendaki untuk pulih semula parti. Dan UMNO pun akan terus pilihnya dengan sebulat suara pada bulan Disember. Dan akan merosot lagilah UMNO dan Barisan Nasional.

16. Dengarlah, lihatlah apa yang dipertunjukkan oleh pengundi Permatang Pauh. Mereka tidak undi untuk Dato Seri Anwar dan PKR. Mereka undi untuk mengalahkankan Barisan Nasional dan UMNO.

17. Kelebihan undi bagi Dato Seri Anwar berbanding Mac 2008 tentulah kerana dalam jangka hanya lima bulan sokongan kepada BN dan UMNO merosot lagi.

18. Nak tunggu sampai bila wahai ahli UMNO, sebelum kamu sedar akan perlunya kepimpinan Dato Seri Abdullah ditamatkan?

Permatang Pauh: Tahniah buat Anwar


mahathirismail
.
Permatang Pauh memang ditakdirkan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Alhamdulillah.

Walaupun terpaksa melalui pelbagai episod duka semenjak 'diterajang' keluar oleh BN, beliau amat bersabar serta tekun dalam membina kembali karier politik beliau.

BN secara terang-terangan memacu jentera memusatkan serangan yang bertubi-tubi ke arah beliau samada secara politik mahupun peribadi.

Lihat sajalah pendekatan yang dimainkan oleh BN dalam menghadapi kempen pilihanraya kecil ini, di mana beliau cuba 'dibogelkan' beberapa kali di samping penghinaan dan fitnah yang amat sukar ditepis kiranya itu semua ditujukan kepada pemimpin selain yang bernama Anwar.

Namun begitu bagi beliau, itu semua adalah asam garang perjuangan.

Kini, destinasi beliau kian jelas terutamanya dalam merubah secara keseluruhan lanskap politik tanahair dari acuan pemerintah yang terlalu lama 'berkerak' di persada pemerintahan negara.

Apa-apa pun, tahniah buat Anwar.

Permatang Pauh: Kenyataan rasmi selepas kemenangan




— KENYATAAN MEDIA —-
PERMATANG PAUH, MALAYSIA, 26 OGOS 2008

Alhamdulillah, Allah memberikan kita kejayaan. Kemenangan ini merupakan saat penentu dan bakal menentukan hala tuju negara ini.

Saya berkongsi kegembiraan yang dirasai oleh semua rakyat Malaysia pada hari bersejarah ini. Ianya merupakan kemenangan buat rakyat.

Pada 8 Mac rakyat Malaysia memilih Harapan Baru. Hari ini di saat kita bakal menyambut hari kemerdekaan, rakyat menyahut seruan tersebut. Dengan ini kita merayakant hari kemerdekaan sepertimana pendiri-pendiri negara kita inginkan-sebuah negara dan rakyat yang bersatu.

Berhadapan dengan cabaran yang getir, kita memilih untuk menumpukan perhatian kepada isu yang berkaitan dengan negara ini. Seruan kita agar negara ini bersatu, mulai mengamalkan urus tadbir yang baik dan memperkasakan ekonomi telah menguburkan kempen yang berbaur perkauman, cita-cita individu yang sering mendapat habuan hasil dari penyalahgunaan kuasa dan eksploitasi politik yang berasaskan ketakutan serta penipuan.

Kami telah menjanjikan satu lembaran baru untuk Malaysia dan kami pasti akan melaksanakan janji kami. Kami akan melaksanakan Agenda Ekonomi Malaysia untuk memulihkan keadaan ekonomi kita, membasmi kemiskinan dan membantu sesiapa sahaja yang terpinggir tanpa berasaskan kaum. Kami akan memulihkan intergriti badan kehakiman, memerangi rasuah dan membina sebuah negara yang bersatu.

Dan kami akan menjadi sebuah kerajaan yang komited untuk merealisasikan aspirasi rakyat.

Dengan kejayaan 8 Mac dan juga kemenangan malam ini saya berani untuk menegaskan kita mampu bersama-sama menghadapi segala rintangan di masa hadapan.

Kami tidak akan menang tanpa dokongan kukuh dari rakan-rakan kami dalam Pakatan Rakyat dan juga sokongan ribuan rakyat Malaysia tidak kira samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, yang datang ke Permatang Pauh, bekerja keras, memerah keringat serta mengirim doa demi memastikan kemenangan ini.

Saya sangat menghargai keberanian, tekad dan kesungguhan kamu semua; saya mengucapkan tahniah terhadap komitmen saudara semua terhadap prinsip bersama sebuah kemerdekaan, keadilan dan demokrasi.

Langkah kecil buat Permatang Pauh hari ini akan memastikan perubahan besar buat Malaysia.

ANWAR IBRAHIM

Permatang Pauh: Keputusan Rasmi


KEPUTUSAN PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN PERMATANG PAUH (P44):

Datuk Seri Anwar Ibrahim (KeADILan): 31,195 undi
Hanafi Mamat (AKIM): 92 undi
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi

Jumlah mengundi: 47,258 undi
Peratus keluar mengundi: 81 peratus
Undi rosak: 447 undi

Majoriti: 15,671 undi

Penyandang: Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail (KeADILan)
Undi diperolehi 8 Mac 2008: 30,348
Majoriti: 13,398 undi