Friday, September 12, 2008

Berita dari Kuala Krai: 11hb September 2008

Sinar Harian
[Edisi Kelantan, Berita Daerah - Kuala Krai]


Warga emas OKU terima perbelanjaan Ramadan

KUALA KRAI - Seorang warga emas kurang upaya, Abdul Wahab Ismail, 70-an, terharu menerima sumba-ngan selepas berpuluh tahun memegang status orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan yang dialaminya.

Abdul Wahab berkata, sejak mengalami kecacatan akibat kemalangan yang dialaminya lebih 20 tahun lalu, segala pergerakannya terbatas.


“Saya tidak dapat berjalan dengan baik dan terpaksa menggunakan tongkat untuk menyokong pergerakan saya.

“Sejak itu, saya tidak lagi bekerja dan kini hanya tinggal dengan cucu di Sungai Embak.

“Menerusi sumbangan yang diberikan ini, dapatlah saya gunakan untuk keperluan pada sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Untuk itu, Abdul Wahab merakamkan penghargaannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman di atas sumbangan yang dihulurkan.

Katanya, sebelum ini dia pernah memohon untuk mendapatkan sebuah motosikal roda tiga daripada pihak berkenaan, tetapi gagal mendapatkannya.

“Dahulu, saya pernah memohon untuk mendapatkan bantuan motosikal roda tiga untuk memudahkan pergerakan ke masjid misalnya.

“Tetapi apabila permohonan diproses separuh jalan, permohonan saya dikatakan tidak layak dan ditolak kerana dikatakan orang berada,” jelasnya. Kini Abdul Wahab sedang membuat permohonan yang sama daripada kerajaan negeri.

Pendekatan Kerajaan Perak di bulan Ramadhan

HarakahDaily.Net


Ehya Ramadhan di Bangunan Perak Darul Ridzuan

Johari Jaafar Wed Sep 10, 08 12:59:16 pm MYT

IPOH, 10 Sept (Hrkh) - Pusat pentadbiran Negeri Perak melakarkan satu lagi sejarah tersendiri di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat apabila majlis tazkirah Ramadan diadakan setiap pagi selama 20 minit di bangunan Perak Darul Ridzuan melalui siaraya yang didengari semua pegawai dan kakitangan pejabat.

Program tazkirah ini disampaikan secara bergilir-gilir oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin, EXCO Agama, Haji Zainuddin Mohd Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan kerajaan Negeri, Mufti Negeri Perak, Dato' Harussani Zakaria, Imam Besar Masjid Negeri, Dato' Sheikh Mohamad Nor Mansur Al-Hafiz dan lain-lain termasuk para ulama.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Misbahul Munir Masduki sewaktu dikunjungi wartawan Harakah semalan.

Menurut beliau, tazkirah zohor juga turut diadakan setiap hari di surau bangunan SUK, disampaikan juga secara bergilir-gilir oleh Menteri Besar, EXCO Agama, pegawai-pegawai Khas Menteri Besar dan penceramah dari Jabatan Agama Islam Perak.

"Suasana ini mengambarkan suasana Islamik di bangunan pentadbiran kerajaan negeri, sekali gus menjawab tohmahan BN kononnya Menteri Besar Perak dari PAS dihalang oleh DAP dalam melaksanakan imej Islam dalam kerajaan negeri.

Suasana seperti ini tidak wujud ketika Barisan Nasional menerajui Kerajaan Negeri dan rata rata kakitangan kerajaan melahirkan rasa gembira dengan program penghayatan Ramadan yang dijalankan di sini.

Pendapat Tok Guru mengenai Tun Mahathir kembali kepada Umno


malaysiakini


Nik Aziz: PAS untung Dr M masuk semula Umno

Sep 11, 08 1:41pm

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula Umno akan memberi kelebihan kepada PAS dan Pakatan Rakyat kerana "Umno akan bergolak".

"Saya seronok dia (Dr Mahathir) timbul kacau bilau," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bekas perdana menteri itu telah menyuarakan hasrat untuk memohon menyertai semula Umno setelah meninggalkan parti itu selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu kerana kecewa dengan kepimpinan sekarang.

Sambil menyatakan rasa gembiranya kerana Umno akan bergolak, Nik Abdul Aziz berkata tindakan Dr Mahathir untuk menyerang Umno dari dalam merupakan "langkah yang terbaik", demikian menurut laporan Bernama.

"Dari segi untuk melemahkan Umno, memang saya seronok kerana Umno musuh saya. Tetapi Tun Mahathir serang Pak Lah (Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan keluar parti pada masa dulu, yang itu saya tidak faham.

"Tinggal di luar dan serang Umno itu saya tidak nampak logik. Bila masuk di dalam serang dari dalam, itu betul. Ertinya dia (Tun Mahathir) masuk ni betul untuk serang secara berdepan," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Umno menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, kerana membuat kenyataan menyentuh sensitiviti kaum, Nik Abdul Aziz berkata keputusan itu tidak wajar dilakukan oleh Umno sebaliknya ianya perlu diputuskan oleh kerajaan.

"Sepatutnya bukan parti bertindak tetapi kerajaan perlu bertindak. Kalau orang lain sudah kena Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Nampak macam pilih kasih," katanya.