Wednesday, September 3, 2008

Tazkirah Tok Guru di bulan Ramadhan


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Depan 2hb September 2008]


MB minta sucikan hati

KOTA BHARU – Masyarakat Islam perlu merebut peluang meningkatkan pelbagai amalan sempena Ramadan kali ini dan diharap dapat membersihkan hati yang kotor dengan pelbagai sifat tidak baik.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, selain amalan berpuasa, pelbagai fadilat dalam bulan Ramadan harus direbut setiap umat Islam, termasuk amalan sedekah, iktikad, zikir dan sebagainya.

“Amalan bacaan al-Quran dan menghayati isi kandungannya perlu ditingkatkan kerana al-Quran menjaga roh manusia. Kalau kita anti syaitan kita akan kuat.

“Fadilat mengamalkan ajaran al-Quran yang kuat mampu melawan syaitan seperti sifat tidak baik termasuk malas, berjudi, tinggal solat, malas bayar hutang dan lain-lain,” katanya dalam tazkirah sempena pelancaran program Ihya Ramadan peringkat Masjid Kota Darulnaim, di sini semalam.

Menurutnya, sempena Ramadan umat Islam tidak hanya memfokuskan kepada amalan berpuasa selama sebulan kerana banyak lagi fadilat bulan Ramadan yang seharusnya direbut pahala amalannya.

Katanya, banyakkan bersedekah, meningkatkan amalan berzikir dan pelbagai lagi dalam bulan puasa kerana sebagai makhluk Allah tiada siapa mengetahui, sama ada masih berpeluang menjalankan ibadat itu pada tahun-tahun akan datang.

Beliau berkata, pembinaan masjid di lokasi strategik berdekatan pintu masuk Kota Darulnaim memberi banyak kemudahan kepada kakitangan kerajaan yang bekerja di Kota Darulnaim dan masyarakat.

Katanya, ia juga sesuai untuk masyarakat singgah menunaikan solat berikutan kedudukannya di tepi jalan dan bagi golongan tua pula tidak perlu menaiki banyak anak tangga untuk memasuki masjid itu.

Program itu turut memuatkan bacaan al-Quran, tazkirah, tadarus dan Nik Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan kepada 40 warga miskin sempena Ramadan.