Wednesday, July 9, 2008

Kes Liwat Anwar: Fatwa Dr Taha Jabir al-'Ulwani

harakahdaily

Terjemahan Ustaz Zainuddin Hashim Wed Jul 09, 08 4:43:07 pm MYT

Soalan Telah berlaku satu isu yang menggemparkan banyak pihak di Malaysia baru-baru ini, berhubung mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dituduh terlibat dengan perlakuan liwat, pihak berkuasa Malaysia berusaha untuk memanggil kedua-dua individu yang menuduh dan dituduh agar melakukan angkat sumpah untuk membuktikan pihak yang benar dan salah.

Apa pandangan Islam berhubung tindakan angkat sumpah berkenaan, apakah pihak yang dituduh perlu berbuat demikian bagi membersihkan dirinya daripada fitnah atau tuduhan itu seperti sumpahan orang yang terlibat dalam kes pembunuhan?

Jawapan Dr Taha Jabir al-'Ulwani:

Menurut Imam Ibnu al-Qaiyim al-Jauziyah dalam kitabnya at-Turuq al-Hukmiyyah dan beberapa pandangan ulama, mereka menolak dakwaan atau tuduhan yang datang daripada seorang yang dilihat tidak berlaku adil, khususnya daripada setiap tindakan, cara hidup terhadap orang yang mempunyai kedudukan baik dalam masyarakat, di mana dakwaan seumpama itu disifatkan sebagai 'Qazaf' dengan membawa empat orang saksi, ia bersandarkan kepada ayat 4, Surah an-Nur maksudnya:

4. "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;

Firman Allah lagi menerusi ayat 11-19, Surah an-Nur maksudnya:

"11. Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh siksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.

Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.

Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab siksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu; -

Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi Kami memperkatakan hal ini! Maha suci Engkau (Ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli Rumah Rasulullah)! ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan".

Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab siksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."

Sesungguhnya sejarah gerakan Athisme dan Komunisme di dunia Arab secara khusus melatih perkaderan di peringkat akar umbi untuk menonjolkan akhlak yang songsang yang dilemparkan terhadap pimpinan ahli agama Islam yang komited dengannya, ia adalah cara untuk memburukkan nama baik dan imej mereka kepada umum (kerana mahu meraih kepentingan tertentu) agar umum tidak lagi percaya dan memberi sokongan kepada ahli-ahli agama, inilah yang pernah dilakukan oleh pengikut Komunis di Iraq satu ketika dahulu di kalangan parti Ba'ath (Kebangsaan Arab).

Justeru, kita amat rasa sedih apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang ini di mana para pemimpin kerajaan bertindak serupa dengan apa yang pernah berlaku di Iraq, mereka lakukan itu adalah semata-mata untuk kepentingan politik kotor mereka dan menyekat kemaraan pengaruh lawan dengan apa sahaja cara sekali pun walaupun melibatkan harga diri seseorang.
Mereka ini bukanlah pemimpin kerajaan yang baik yang boleh menjaga kebaikan dan kemaslahatan negara, tetapi untuk diri mereka semata-mata, tapi bagaimanapun tindakan mereka itu akan dibalas, kalau pun tidak pada diri mereka, mungkin isteri serta anak-anak mereka.

Apa yang umum hingga di peringkat global mengetahui, bahawa Saudara Anwar Ibrahim sejak masa mudanya dilantik sebagai ketua gerakan belia di Malaysia (ABIM), pernah mengurus kira-kira 25 buah sekolah beraliran agama khusus buat remaja lelaki dan perempuan (sekolah alternatif) di seluruh tanahair, tidak kedengaran pada usia remajanya atau ketika memimpin gerakan belia, sesuatu yang menjatuhkan harga diri atau maruahnya dengan tindakan yang menyalahi ajaran agama Islam. Jika pada usia begitu beliau disenangi, dipercayai dan dihormati sebagai seorang pemimpin yang baik, bagaiman mungkin pada usia yang mencecah 60 akan terlibat dengan perlakuan kaum Lut?.

Beliau sekarang ini terdedah kepada pelbagai ancaman, konspirasi, provokasi, bagi mengekalkan amalan politik kotor sekali gus mengajak manusia seluruhnya untuk menentang Allah SWT.

Isu akuan bersumpah sebenarnya tidak dibahaskan panjang lebar oleh kalangan fuqaha' melainkan pada keadaan bila wujudnya pembunuhan antara dua kampung hingga tidak dapat dikenal pasti siapa pembunuh sebenar, maka menurut sebahagian mereka: Akuan bersumpah hendaklah dilakukan oleh 50 orang ahli setiap kampung bagi membersihkan diri daripada sebarang tuduhan, tetapi ia bukan dalam isu yang sedang dibincangkan iaitu 'Qazaf'.

Ini kerana apa yang sedang disaksikan ialah isu antara seorang penuduh fasiq lagi zalim tidak diterima kesaksiaannya dan seorang yang teraniaya dan bersih daripada tuduhan tetapi tidak diberi haknya untuk membebaskan diri daripadanya.

Isu ini serupa apa yang pernah berlaku kepada pemimpin gerakan Islam Iraq al-marhum Syeikh Muhammad Mahmud as-Sowaf dan Syeikh Abdul Aziz al-Badri yang dilemparkan oleh pengikut Komunis dengan pelbagai dakwaan dan tuduhan hingga kedua-dua mereka tidaK dapat membela diri untuk membersihkan nama baik dan maruah.

Isu Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah cemerlang dalam kepimpinannya ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno beberapa tahun, tidak kedengaran suara-suara sumbang daripada golongan remaja, belia bersamanya dahulu menyebut tentang perlakuan sumbang beliau, tetapi bagaimana sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan pihak tertentu dengan rasa tidak malu dan takut kepada Allah melemparkan tuduhan negatif itu.

Saya menyeru pihak terbabit secara jujur, bertakwalah kamu kepada Allah, takutkan akan Dia Yang Maha Bertindak Balas ke atas hamba-hambaNya di akhirat, ingatlah ketegasan Allah dalam al-Quran : Sesungguhnnya hari tersebut (kiamat) tidak akan memberi manfaat harta dan anak-pinak, melainkan mereka yang datang menemui Allah dengan hati yang selamat (dari sebarang penyakit hati yang merbahaya).

Secara peribadi selaku seorang muslim, harapan dan seruan saya kepada Kerajaan Malaysia, agar bertakwa kepada Allah dalam mengurus negara dan rakyat, khususnya orang Melayu/Islam, berakhlaklah dengan nilai akhlak Islam yang murni, dengan tidak melebihkan politik daripada akhlak, jangan bertindak sesuatu yang boleh melucutkan harga diri seseorang atau rakyat hilang keyakinan para pemimpin yang memerintah negara sekarang ini, kerana setiap sesuatu yang zalim itu adalah jalan kegelapan, yang rosak itu akan membawa kepada neraka yang membakar.

Kita bermohon kepada Allah agar Dia memelihara negara dan rakyat di bawah naungan-Nya.

Tok Guru: Hanya Yang Solat Diambil Bekerja

Roslan SMS

Allah swt berfirman dalam surah al Maidah ayat ke 55:
.
Sesungguhnya wali (pemimpin) kamu adalah Allah, Rasul Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka dalam berkeadaan ruku' (tunduk menjunjung perintah Allah swt).
.
Lalu bagi orang-orang Islam, apabila MB Kelantan menyarankan agar akan dijadikan syarat mandatori bagi sesiapa yang ingin berkhidmat dengan kerajaan negeri Kelantan bahawa salah satu syaratnya mereka mestilah menunaikan solat lima waktu termasuk tidak meninggalkan solat Jumaat, sarana itu sesuatu yang boleh diterima tidak melampau malah memanjangkan semangat ayat di atas.
.
Kata Tok Guru kalau peraturan sekarang mewajibkan lulus Bahasa Melayu diperingkat SPM contohnya, apa salahnya beliau menambahkan satu lagi syarat iaitu tidak tinggal solat!
.
Bagi umat Islam tidak kira apa sandaran politik atau fahaman mereka, tidak ada sebab untuk kita menidakkan saranan yang baik ini kecuali kita merasakan bahawa solat atau tidak itu sebenarnya adalah opsyen khasnya dalam membicarakan aspek hak asasi manusia. Kalau begitu maka ucapkanlah selamat tinggal kepada Islam.
.
Saya menyarankan agar kerajaan negeri-negeri lain lebih-lebih lagi kerajaan Pakatan Rakyat mengenakan syarat yang sama dalam mengambil kakitangan kerajaan (yang beragama Islam) masing-masing.
.
Apa kata mereka agaknya?


Sambungan..


Cadangan MB Kelantan Tok Guru Nik Abd Aziz untuk mengenakan solat lima waktu sebagai sebagai salah-satu syarat pengambilan kakitangan awam serta -merta mendapat komen pelbagai pihak. Bagi sesiapa yang cerdik sudah pastilah cadangan Tok Guru itu kita faham sebagai kena ke atas mereka yang beragama Islam sahaja, sekaligus menggambarkan bahawa kita menganggap yang bukan Islam sebagai semuanya baik belaka.
.
Tetapi CUEPACS beranggapan cadangan itu sebagai berat sebelah, kerana nanti hanya yang Islam sahaja yang akan diambil atau dinaikkan pangkat. Mungkin kerana sibuk memperjuangkan honorarium buat ahli-ahlinya, maka Sdr Omar, Presiden CUEPACS terlajak begitu jauh dalam menafsirkan cadangan Tok Guru itu. Tak mengapalah.
.
Manakala ADUN-ADUN pembangkang di Kelantan pula menganggap cadangan Tok Guru itu sebagai sesuatu yang sukar dilaksana. Sepatutnya mereka masing-masing perlu menegaskan samada mereka setuju atau tidak, soal sukar atau senang itu soal kedua, dimana ada kemahuan disitu ada jalan insyallah.
.
Tetapi yang paling menarik perhatian saya dalam isu ini adalah apbila MB kedah membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri beliau juga mungkin akan mempraktikkan pendekatan serupa jika cadangan itu dipersetujui diperingkat beliau.
.
Dalam posting saya sebelum ini saya bertanya bagaimana dengan kerajaan Pakatan rakyat yang lain, Kedah sahaja yang respon, yang lain?

Tok Guru Mahu Mat Rempit Dilatih Jadi Imam

harakahdaily

Salmah Mat Husain Tue Jul 08, 08 6:51:50 pm MYT

KOTA BHARU, 8 Julai (Hrkh) - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran memasukkan silibus kesedaran menghargai jiwa sebelum mengeluarkan lesen memandu kepada seseorang pemohon baru.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, melalui cara itu diharap setiap pemilik lesen baru menjaga nyawa yang dikurniakan Allah ketika berada di jalan raya dan bukannya merempit sesuka hati.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri Kelantan semalam.

Kata beliau nyawa adalah kurniaan Allah kepada setiap hambaNya dan ia tidak boleh dibeli atau dipinjam kepada sesiapa pun.

"Jadi kerana itu dicadangkan pada pihak JPJ supaya mengadakan peringatan atau tazkirah kepada pelatih baru sewaktu mengikuti kursus latihan memandu untuk mendapatkan lesen.
"Tak ada gunanya apabila seseorang itu mendapatkan lesen, namun dalam masa yang sama tidak menghargai nyawa sebaliknya merempit sana sini," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta bagi membina litar lumba di Batu 4 Tanah Merah sebagai usaha mendidik mereka menghormati nyawa kurniaan Allah.

Menurutnya tidak salah memberi peluang anak-anak muda berlumba, namun dalam masa yang sama mendidik mereka kepada cara kehidupan Islam.

"Amat baik sekali wujudkan imam solat di kalangan mat-mat rempit, biar sesama mereka jadi imam solat," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO, Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan akan mengambil perhatian khusus terhadap cadangan mewujudkan litar lumba di peringkat jajahan.

Katanya, bagaimanapun pihak kerajaan akan meneliti sejauh mana kejayaan sambutan golongan remaja terhadap litar lumba di Tanah Merah sebelum ia dikembang ke peringkat jajahan.

"InsyaAllah sekiranya mempunyai tanah atau kedudukannya yang sesuai ia boleh dirundingkan," ujarnya.

Beliau juga memberitahu seminar larut malam di kalangan mat-mat rempit pernah dicadang diadakan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya memandangkan seminar itu kurang mendapat sambutan mat-mat rempit ia akan digabungkan bersama Kolokium Belia Sejahtera yang bakal diadakan tidak lama lagi.

_______________________________________________

mahathirismail - Ok jugak tu.. Ajar diorang ni takutkan tuhan.. Sebab diorang ni dah biasa diajar takut kat polis trafik je.. Dengan polis boleh la diorang pecut lari.. Tapi dengan tuhan?..

Beijing 2008: Pemain Senior dalam Bolasepak Bakal Mencuri Tumpuan Peminat


Setelah berakhirnya Euro 2008 baru-baru ini, peminat bolasepak dunia akan mula beralih tumpuan kepada acara bolasepak lelaki dalam Sukan Olimpik Beijing 2008 yang dijadualkan pada 6 hingga 23hb Ogos 2008.

Lima bandaraya di China terpilih sebagai lokasi perlawanan iaitu Beijing, Shanghai, Tianjing, Shenyang dan Qinhuangdao.

Pasukan pilihan seperti Argentina, Brazil dan Belanda bakal menurunkan bintang terkenal mereka untuk acara ini.

Skuad Argentina akan membariskan pemain-pemain senior mereka iaitu Juan Roman Requelme (Boca Juniors), Nicolas Burdisso (Inter Milan) dan Javier Mascherano (Liverpool) di samping bintang muda Lionel Messi (Barcelona), Sergio Aguero (Athletico Madrid) dan Fernando Gago (Real Madrid).

Manakala Brazil pula meletakkan harapan mereka kepada Ronaldinho (Barcelona) dan Robinho (Real Madrid) sebagai pemain senior selain pemain bintang di bawah 23 tahun seperti Alexandre Pato (AC Milan), Lucas (Liverpool), Anderson (Manchester United), Jo (Manchester City) dan Diego (Werder Bremen).


Senarai pasukan yang layak serta kumpulan adalah seperti berikut;

Group A: Cote D'Ivoire, Argentina, Australia, Serbia

Group B: Netherlands, Nigeria, Japan, USA

Group C: China, New Zealand, Brazil, Belgium

Group D: Republic of Korea, Cameroon, Honduras, Italy


Untuk perkembangan terkini bagi acara bolasepak lelaki, sila layari http://en.beijing2008.cn/cptvenues/sports/football/.

Internet: Pengkhianat Atau Penyelamat?

.
HERDIKAN Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi terhadap media yang berasaskan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) seperti blog, laman perkongsian fail YouTube dan sistem pesanan ringkas (SMS) wajib dipandang berat.
.
Jelas daripada kenyataan yang dimukahadapankan oleh hampir semua akhbar arus perdana hari ini bahawa Perdana Menteri telah membuat “kerja rumah” atau telah dinasihati oleh pihak-pihak tertentu yang tahu mengenai peranan ICT dalam pembentukan pendapat umum.
.
Bahasa yang digunakannya boleh dianggap keras dan mengancam. Beliau menggunakan istilah seperti pengkhianatan, perbuatan khianat, pembohongan, “treason” dan “treachery.”
.
Beliau menuduh pengguna saluran siber ini sebagai tidak menunjuk hormat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara.Katanya segala fitnah dan pembohongan yang disebarkan melalui blogs dan YouTube tidak menyumbang ke arah mewujudkan perasan lega dan keyakinan di kalangan rakyat jelata.
.
Eloklah kalau Perdana Menteri sendiri kini mengakui secara terbuka di hadapan kakitangan awam mengenai kesan dan implikasi media yang berlandaskan ICT ini terhadap pendapat umum.Walaupun mungkin ada pihak yang akan melihat kenyataan Abdullah itu sebagai ancaman atau permulaan kepada satu tindakan yang lebih keras, saya melihatnya sebagai sesuatu yang positif.
.
Kalau pendukung pemerintahan dan jentera mereka mahu mengambil iktibar daripada artikulasi Perdana Menteri itu, mereka akan segera mendalami, memahami dan menangani isu ini.Pertama, bukan semua blog dan kandungan YouTube berunsur politik. Malah di negara kita, lebih banyak blog berupa blog peribadi yang tidak menyentuh politik.
.
Kedua, bukan semua blog politik dan kandungan politik YouTube dikendalikan oleh orang politik atau wartawan yang mahir dalam hal ehwal politik.Dan ketiga, bukan semua blog anti-pemerintah atau dikendalikan oleh pembangkang. Banyak juga blog dimiliki atau dikendalikan oleh ahli politik pemerintah dan penyokong kuatnya.
.
Mungkin ada blog atau pemblog yang antikerajaan, yang membuat fitnah dan melanggar prinsip-prinsip Rukun Negara. Kalau ini terbukti, tindakan sivil dan jenayah boleh diambil ke atas mereka.
.
Tetapi pasti ada juga blog yang dikendalikan secara profesional dan rasional walaupun kritikal terhadap pemerintah dan parti pemerintah.
.
Sedikit sebanyak mereka telah menyumbang ke arah memberi kesedaran dan membantu pemerintah memperbetulkan beberapa kesilapan.
.
Misalnya, dalam isu penjualan Pantai Holdings Berhad kepada syarikat Singapura, Parkway Holdings Limited. Pada mulanya Perdana Menteri sendiri menafikan di dalam akhbar bahawa ada syarikat tempatan yang jatuh ke tangan asing.
.
Tetapi, beberapa minggu kemudian beliau mengaku bahawa Pantai Holdings telah jatuh ke tangan asing dan Khazanah Nasional Berhad terpaksa dikerah untuk membeli balik kawalan syarikat itu dengan belanja yang besar.
.
Begitu juga dalam isu-isu sensasi yang lain seperti pemberian kontrak Petronas di dalam dan luar negara kepada Scomi Berhad dan pembelian aset awam Avenue Capital oleh ECM Libra.
.
Kalau pemblog boleh disifatkan sebagai tidak menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara, pemerintah pun boleh disifatkan demikian di dalam beberapa tindak-tanduknya.Misalnya, ketika krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu di mana peranan Istana telah dipertikaikan.
.
Lagipun, adalah terlalu mudah (simplistic, convenient) menyalahkan portal berita bebas, blog dan YouTube tanpa mengkaji dan memahami mengapa rakyat jelata memilih dan mempercayai mereka.
.
Salah satu sebab adalah media massa arus perdana tidak menyiarkan berita dan maklumat yang dianggap tidak memihak kepada pemerintah.
.
Kalau disiarkan pun, berita dan maklumat itu kerap kali diolah semula agar memihak kepada pemerintah atau sekurang-kurangnya tidak memberi kesan negatif kepada pemerintah.
.
Sama ada benar atau hanya persepsi semata-mata, ramai orang hari ini melayari Internet untuk mendapatkan maklumat dan bertukar-tukar fikiran daripada mengikuti media massa arus perdana.
.
Oleh sebab media massa arus perdana begitu berkait rapat dengan pemerintahan, maka kredibilitinya dan kredibiliti pemerintah saling kait-mengait.
.
Sama ada kandungan media Internet penuh pembohongan, fitnah dan konspirasi seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri, kebenaran mutakhir bergantung kepada proses undang-undang dan kehakiman yang sedang berjalan sekarang.
.
Kebenaran mutakhir akan muncul dan pihak-pihak yang tertuduh akan mendapat pengadilan yang saksama hanyalah jika proses penyiasatan, penuduhan, pembelaan dan penghakiman dibenarkan berlaku tanpa sebarang gangguan, campur tangan dan ancaman oleh sesiapa pun.
.______________________________________________
.
mahathirismail
.
Bagi aku senang je, orang yang reti bukak computer maknanya dia ni ada otak untuk pikir yang mana baik, mana buruk. Cuma yang bezanya adalah dalam hati dan perut diorang ni. Busuk ke tidak untuk terima apa yang terpapar dalam blog ke YouTube dll.
.
Kat YouTube biasanya aku akan tengok pasal sidang parlimen, ceramah, dan tak lupa juga animasi wayang kulit. Tak tahu la kalau dalam cerita Wok Yoh (wayang kulit) pun ada unsur fitnah yang dahsyat bagi PM kita ni.