Wednesday, September 17, 2008

Hashim: Mahkamah kembali hak pada yang sepatutnya..

malaysiakini

Jimadie Shah Othman Sep 17, 08 4:02pm

Pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin menyifatkan keputusan mahkamah semalam yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemenang pilihanraya bagi Dewan Undangan Negeri Sanglang, sebagai satu “tindakan yang tulus” dan “telah mengembalikan hak kepada yang sepatutnya”.

“Saya lega keputusan memihak kepada kita,” kata Hashim ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.Beliau juga berkata, keputusan tersebut pada mulanya tidak dapat dijangka.

“Pada peringkat awalnya, 50-50 juga. Kita bimbang mahkamah tidak berlaku tulus,” katanya.

Hashim diisytiharkan memenangi kerusi itu buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya semalam.

Panel tiga hakim sebulat suara memutuskan Hashim memenangi kerusi tersebut dan membatalkan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu.

Panel hakim itu juga memutuskan bahawa pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.


Ucap tahniah

Beliau juga menyifatkan kembalinya DUN Sanglang ke tangan PAS itu, sebagai kemenangan Islam.

Keputusan itu juga, tambahnya, turut disambut baik pelbagai golongan masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam.

Katanya, beliau turut mendapat panggilan telefon dari penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan tahniah kepadanya.

Di samping itu, katanya, beliau juga ada menerima panggilan telefon dari seorang exco kerajaan negeri Perlis dari Umno, yang turut mengucap tahniah kepadanya.

Ditanya mengenai persidangan DUN yang akan datang, Hashim berkata, sebagai pembangkang negeri, PAS mungkin mengambil pendekatan berbeza kali ini.

“Pihak pemerintah kali ini pun nampak lebih lembut dan terbuka berbanding dulu,” katanya.

“Kalau dulu, masa (Datuk Seri) Shahidan Kassim (menjadi menteri besar), kita hendak pergi hospital bagi hamper raya pun tidak boleh,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam yang mewakilinya.

Tok Guru Hj. Hadi: Masa untuk menyertai PAS

Bicara Presiden @ HarakahDaily.Net

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Tue Sep 16, 08 2:41:30 pm MYT

Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.

Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormati.

Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela.

Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.

Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung.

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.

Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas.

PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:

� Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam,

� Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,

� Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS.

Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.

Marilah bersama-sama menyertai PAS!

16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden,
Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Najib kini menteri kewangan, Pak Lah menteri pertahanan


malaysiakini


Beh Li Yi Sep 17, 08 2:36pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil alih jawatan menteri pertahanan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar tengahari ini, Abdullah berkata, pertukaran jawatan itu berkuatkuasa serta merta.

Perdana menteri yang memegang jawatan menteri kewangan sejak 2004 berkata, beliau telah memaklumkan keputusannya itu kepada kabinet.

Abdullah yang juga presiden Umno berkata, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib.Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tersebut tetap berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.

Abdullah berkata, beliau dan Najib akan mempertahankan jawatan masing-masing dalam pemilihan Umno Disember ini.

Najib turut hadir di sidang akhbar tersebut dan apabila ditanya komennya, menjawab: "Kami telah bersetuju. Saya menyerahkannya kepada parti. Kami menawarkan diri kepada parti dan saya berharap mereka akan menerimanya".

Terdapat desakan yang semakin meningkat ke atas Abdullah supaya bersara lebih awal, tetapi kini nampaknya Najib telah mencapai persetujuan dengan bosnya itu untuk menenangkan tuntutan dari akar umbi Umno.

Kedua-dua mereka kini berdepan dengan kekalutan politik yang berpunca daripada pergeseran dalam Umno, di tengah-tengah cabaran ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha untuk menubuhkan kerajaan baru.


Anwar 'ancaman pada negara'

Para pemerhati berkata, langkah terbaru Abdullah hari ini adalah untuk memberi jaminan kepada Najib bahawa beliau akan mengambil alih jawatan nombor satu dan juga untuk menangkis kempen yang diketuai oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menurunkan Abdullah daripada jawatan presiden.

Abdullah juga turut menyentuh tentang permintaan Anwar untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat kerana mendakwa mempunyai jumlah ahli parlimen mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Perdana menteri berkata, surat yang dihantar oleh pemimpin Pakatan tidak menyebut tentang peralihan kuasa.Beliau juga menyifatkan Anwar sebagai "satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara".

"Saya tidak akan nyatakan apakah rancangan saya," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap Anwar.Najib juga turut dilantik sebagai timbalan pengerusi badan pelaburan kerajaan, Khazanah Holdings.

Analisis serong mengenai 'perpecahan' dalam PAS

malaysiakini

16 Sept tonjolkan lagi keretakan PAS

Jimadie Shah Othman Sep 16, 08 4:49pm

Gara-gara projek pembentukan kerajaan baru pada 16 September seperti diura-urakan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS pula yang terpaksa bertelagah sesama sendiri khususnya antara Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Susulan sikap kritikal Mustafa terhadap projek Anwar dalam wawancaranya dengan Harakah dan Utusan Malaysia minggu lalu, Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihanraya parti itu "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul serupa dengan nada presiden Umno".

Dalam kenyataannya sebagai reaksi terhadap pandangan Mustafa, Nik Aziz turut menyifatkan PAS Terengganu "telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya" dengan membandingkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang menganggap tersilap memilih penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tokoh besar PAS itu turut membayangkan Mustafa kemungkinan akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno.

Bagaimanapun beberapa bahagian panas kenyataan panjang Nik Aziz ini, yang dikirimkan kepada Harakah, tidak dimuatkan dalam akhbar rasmi parti itu dalam edisi terbarunya.

Tidak cukup dengan serangan itu, Nik Aziz mengulangi kritikannya kepada Mustafa dalam ceramah di Markaz Tarbiah PAS di Gombak, Ahad lepas, dua hari selepas kenyataan kontroversi itu diterbitkan.

Dihubungi Malaysiakini semalam, pesuruhjaya itu enggan mengulas kenyataan Nik Aziz.

Mustafa dalam kedua-dua akhbar itu berpendapat perubahan kerajaan yang cuba diusahakan Anwar hari ini "tidak mungkin berlaku" dengan dua alasan. Pertama, pada tarikh itu, Dewan Rakyat tidak bersidang, maka undi tidak percaya terhadap perdana menteri tidak boleh dibawa walaupun majoriti ahli parlimen menyebelahi Pakatan Rakyat.

Beliau juga dilaporkan berkata, secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang.

Beberapa jam sebelum serangan sinis Nik Aziz kelmarin, seorang wartawan Harakah terpaksa menarik balik kenyataan penuh menteri besar Kelantan itu daripada blognya atas arahan ketua pengarang eksekutif akhbar itu Ahmad Lutfi Othman (foto kanan).

"Beberapa alasan telah diberi, namun saya pasti sebenarnya beliau tersepit. "Malangnya oleh kerana kebimbangan saya di atas beberapa sebab, saya dengan itu menarik kembali artikel tersebut dengan rasa berat hati dan merasai kebebasan bersuara telah disekat," catat Wan Nordin Wan Yaakob di blognya Politik Suku Sakat (wannordinwanyaakob.blogspot.com).

Tambahnya, seorang lagi wartawan akhbar rasmi PAS itu "turut menerima tamparan apabila seorang pemimpin menghubunginya dan meminta isu itu jangan dihebahkan, malah kenyataan Tok Guru (Nik Aziz) itu katanya (pemimpin itu) melampau."

"Saya hanya penulis picisan yang terhimpit dengan ideologi politik suku-sakat, dan inilah yang dikatakan 'Politik Suku Sakat', akhirnya saya juga yang terkena penahan mereka," kata wartawan itu lagi.

Wan Nordin, yang menulis berita 'Mursyidul am mahu Pakatan Rakyat diperkukuh: Mustafa ditegur', bagaimanapun tidak mendedahkan pemimpin-pemimpin PAS yang mengganggu beliau dan wartawan wanita itu. Usaha Malaysiakini menghubunginya hari ini gagal.

Dalam kenyataan yang sama, kini beredar lebih meluas dalam kalangan penyokong PAS yang pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat, Nik Aziz turut melahirkan kebimbangannya apabila Harakah sendiri terlibat menyiarkan pandangan Mustafa yang meragui usaha menumbangkan kerajaan BN gaya Anwar itu.

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Harakah boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu (Mustafa) yang merupakan pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar," kata Nik Aziz.

"Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat. "Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej Harakah.

Pada logiknya, pembaca Harakah akan berkurangan. "Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini.

"Bagaimanapun ada pihak yang menganggap kenyataan mursyidul am PAS dikarang oleh "kumpulan Erdogan", pemimpin-pemimpin muda beraliran moderat yang dikatakan diketuai oleh naib presiden PAS Datuk Husam Musa - beliau bagaimanapun menafikannya.

"Saya tidak percaya (kenyataan) itu adalah tulisan Tuan Guru Nik Aziz ataupun kenyataan yang keluar dari isi hati dan lidah beliau. "Nik Aziz yang kita semua kenal tidak pernah menyerang peribadi seseorang secara terbuka, lebih-lebih lagi sesama pimpinan PAS," kata blog Anti Husam, yang pertama kali memperkenalkan ungkapan "kumpulan Erdogan", bersempena perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

"Saya percaya Husam dan/atau kumpulan Erdogannya berperanan besar untuk mengeluarkan kenyataan tersebut... sama ada disedari oleh Nik Aziz ataupun tidak. "Mana mungkin Nik Aziz menyebut perkataan 'standing ovation' (tepukan hormat sambil berdiri) dalam kenyataannya.

"Lebih-lebih lagi fakta yang kononnya muktamar memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat secara standing ovation tidak tepat sama sekali.

"Pertembungan kali ini mengesahkan wujudnya dua puak, atau setidak-tidaknya dua aliran, dalam PAS yang saling berbeza pandangan berhubung isu pertukaran kerajaan pada 16 September, muqabalah dengan Umno dan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

Namun, kenyataan senada dengan Mustafa itu bukan pertama kali dikeluarkan oleh pemimpin atasan parti itu. Naib presidennya Mohamad Sabu baru-baru ini pernah menyatakan keraguannya pada projek Anwar tersebut. Bagaimanapun, oleh kerana beliau dilihat tidak cenderung kepada kumpulan tertentu, pandangan bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu tidak menimbulkan pertikaian besar seperti Mustafa.

Lagipun, Mohamad dikatakan pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan tidak selesa dengan rundingan PAS-Umno. Berbeza dengan Mustafa yang dilihat sebagai seorang arkitek dalam projek muqabalah dengan sokongan penuh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - kedua-duanya tokoh berpengaruh dari Terengganu.

Dua aliran ini turut mempengaruhi beberapa pihak lagi dalam PAS. Badan perhubungan PAS Johor menyokong Mustafa, sementara Kelab Penyokong PAS menyebelahi Nik Aziz.

Apakah kita akan menyaksikan keretakan yang lebih besar dalam PAS susulan kemenangan besar parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu yang mulai ketara menjelang dan sewaktu muktamar ke-54 di Ipoh?