Monday, August 25, 2008

Merdeka pada kacamata Tun Mahathir


chedet.com


MERDEKA

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 21, 2008 6:14 PM

1. Tak lama lagi kita akan sambut Hari Merdeka ke-51. Tahun lepas kita sambut Hari Merdeka yang ke-50 dengan gembira kerana ia menandakan setengah abad kita memerintah negara kita sendiri. Dan kita bangga kerana dalam jangkamasa itu kita telah maju jauh kehadapan sehingga mereka yang lama berada di luar negara tidak kenal tanahair mereka apabila kembali. Demikian perubahan yang telah berlaku.

2. Orang asing pula apabila datang pertama kali ke Malaysia tidak percaya ini adalah negara membangun, negara dunia ketiga.

3. Bukan sahaja Kuala Lumpur sudah bertukar wajah dan dipenuhi dengan bangunan pencakar langit, dengan jalan-jalan bertingkat yang bersih dan dihias dengan tanaman bunga-bungaan sepanjang jalan dan lain-lain, tetapi bandar-bandar lain juga memperlihatkan pertumbuhan dan pembesaran, lengkap dengan jalan bertingkat yang penuh sesak dengan kereta.

4. Rata-rata kita lihat kemajuan yang telah dicapai. Jumlah yang miskin telah dikurangkan dan mereka turut bersama bergembira.

5. Rakyat berbilang kaum tidak bermusuh sesama mereka walaupun tidaklah berharmoni seperti yang diharapkan. Namun tiap kali pilihanraya diadakan majoriti pengundi memberi kepercayaan kepada Kerajaan Barisan Nasional kerana beranggapan segala-gala yang dinikmati adalah hasil pemerintahan Kerajaan-Kerajaan BN. Biasanya mereka memberi kemenangan lebih 2/3 daripada kerusi Parlimen.

6. Rakyat Malaysia yang pergi ke negara asing berasa bangga kerana Malaysia dikagumi dan dihormati oleh siapa sahaja yang mereka bertemu apabila sahaja orang asing mengetahui yang mereka dari Malaysia.

7. Mereka menyebut menara kembar Petronas dan perlumbaan Formula 1. Orang Islam asing pula tertarik dengan kemajuan dan kestabilan sebuah negara Islam.

8. Kerana semua ini rakyat Malaysia gembira dan bersemangat untuk menyambut kedatangan Hari Merdeka. Jalur Gemilang dikibar di kereta-kereta dan di bangunan-bangunan. Bukan sahaja Melayu yang bersemangat, Cina, India, Kadazan, Iban dan semua suku kaum di Sabah dan Sarawak memperlihatkan semangat dan kegembiraan mereka.

9. Biasanya apabila tiba bulan Ogos semangat dan kegembiraan rakyat dipertunjukkan dengan pelbagai cara. Jalur Gemilang berkibar di merata-rata tempat. Mungkin saya silap, atau mungkin saya bias (berat sebelah), tetapi bulan Ogos ini rakyat agak muram, tidak gembira dan bersemangat luntur.

10. Mungkin ini kerana kenaikan harga minyak dan lain-lain. Tetapi ternampak ada sesuatu yang lain yang tidak kena yang menyebabkan rakyat tidak gembira untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

11. Blogger Sheih Kickdefella telah syor kempen terbalikkan Jalur Gemilang sebagai cara memprotes ketamakan ahli dan pemimpin parti-parti politik tanpa mengira parti mana.

12. Cadangan seperti ini tidak pernah dibuat selama 50 tahun kita Merdeka.

13. Reaksi Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mudah diramal. Cadangan kempen ini ditafsir olehnya sebagai perbuatan kurang ajar. Dan seperti biasa ugutan dibuat supaya polis akan ambil tindakan terhadap blogger berkenaan. Lain-lain blogger juga dibelasah sebagai tidak berfaedah dan mendatangkan kesusahan kepada rakyat.

14. Cadangan mengibar Jalur Gemilang terbalik dianggap menghina diri sebagai rakyat Malaysia.

15. Tidak terlintaskah dalam hati Dato Seri Abdullah untuk bertanya dan mengambil tahu kenapa cadangan ganjil ini dibuat? Seperti dengan kekalahan BN pada Mac tahun ini, Dato Seri Abdullah menafikan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan BN dan Kerajaan pimpinan beliau yang menyebabkan penyokong BN daripada semua kaum memberi undi mereka kepada parti lawan. Sebaliknya beliau mentafsir merosotnya undi kepada calon-calon BN disebabkan sabotaj dan pihak tertentu tidak mahu beri kemenangan 2/3 kepada BN. Kenapa mereka berbuat demikian tidak dipersoal olehnya, hanya kemarahan dan ugutan untuk bertindak terhadap mereka ini.

16. Macam-macam cara telah dibuat untuk menyedarkan pemimpin ini tentang perasaan tidak puas hati rakyat, tetapi sikap penafiannya menyebabkan semua mesej disalah tafsir dan disalah erti. Dalam keadaan kecewa rakyat maka sukarlah bagi mereka untuk menunjuk semangat dan kegembiraan dengan keriangan sambutan hari Merdeka.

17. Kata seorang daripada kenalan saya, sekarang hanya 10 hari sahaja sebelum hari Merdeka tetapi ianya melihat hanya sebuah kereta sahaja yang memasang Jalur Gemilang.

18. Kata seorang lagi, saya simpan sahaja Jalur Gemilang tahun ini.

19. Tidak ada sesuatu bangsa yang bermaruah yang tidak ingin bebas daripada belenggu penjajahan. Kita lihat di sana-sini peperangan untuk membebas wilayah sendiri sedang berlaku. Kita lihat penderitaan mereka, hidup tidak sempurna, berlari-lari dengan bungkusan harta yang sedikit ke sana-sini. Sekejap-sekejap letupan senjata membunuh dan mencederakan mereka. Inilah nasib orang yang dijajah yang ingin merdeka.

20. Pada tahun 1957 kita merdeka dan harapan kita ialah hidup yang lebih bahagia. Justeru kita rayakan hari keramat ini kerana merdeka difahami dan dihargai oleh semua pihak.

21. Saya percaya kita masih hargai kebebasan kita, kemerdekaan kita. Tetapi sesuatu telah berlaku yang menyebabkan kita tidak begitu gembira pada hari ulangtahun merdeka pada tahun ini. Kita kesal kerana kita tidak dapat buat apa-apa untuk mengembalikan kegembiraan bangsa yang merdeka.

22. Kita bersyukur kerana kita, samada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain suku kaum tidak bersifat ganas, tidak suka pada huru-hara, tidak berminat merusuh. Tetapi pemimpin hendaklah faham kenapa rakyat berasa muram tahun ini. Jangan tipu diri dengan berkata tak benar rakyat tidak gembira. Lihat sahaja berapa ramai yang keluar melihat bunga api. Malangnya ini bukan ukurannya. Ini hanyalah cara untuk melupakan sekejap keperitan hidup rakyat kerana diperintah oleh orang yang tidak mahu faham tentang perasaan rakyat.

23. Saya akan sambut Hari Merdeka tetapi tidak seperti 50 sambutan yang terdahulu. Sesuatu sudah hilang daripada makna kemerdekaan. Mulut sudah ditutup dan apa yang ada dalam hati tinggal tertambat, tidak boleh diluahkan. Kita takut berkata apa-apa kerana polis akan digesa bertindak. Kadang-kadang saya berasa yang kita berada dalam sebuah Police State (Negara bawah kawalan polis). Tetapi ini mungkin sifat keterlaluan saya.

24. Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51. Mudah-mudahan Allah s.w.t. akan membuka hati mereka supaya faham mesej-mesej yang disampaikan oleh rakyat.

Chandik FC: Perlawanan Suku Akhir Liga Fantastico

AIAS..1 Chandik FC..2
Lokasi: Padang Kompleks Bolasepak, Institut Penyelidikan Getah (RRI), Sungai Buloh
Tarikh: 24hb Ogos 2008 [Ahad]
Masa: 05:30 petang

Chandik FC, selaku naib johan Kumpulan A telah berjaya melangkahkan kaki ke peringkat separuh akhir Liga Funtastico 2008 selepas menundukkan pasukan dari tangga ketiga Kumpulan B dengan jaringan 2-1.

Walaupun keadaan padang yang basah disebabkan hujan sepanjang hari, namun kedua-dua pasukan telah mempamerkan permainan yang sengit.

AIAS jelas menguasai sebahagian besar penguasaan padang dalam perlawanan ini. Walaubagaimanapun, Chandik FC berjaya mendahului dua gol sebelum AIAS merapatkan jurang melaui sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan.

Berita dari Kuala Krai: 25 Ogos 2008

Sinar Harian
[Berita Daerah - Edisi Kelantan]

Remaja terlantar perlukan bantuan

MANIK URAI – Seorang ibu yang menjaga anak kurang upaya (OKU) sejak lahir tanpa mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak, merayu untuk memohon bantuan bagi menampung perbelanjaan anaknya yang terlantar sejak 16 tahun lalu.

Mohd. Afzan Anuar, 16, anak sulung daripada lima beradik tidak dapat bergerak untuk menguruskan dirinya dan dijaga sepenuhnya oleh ibunya, Hasmah Zakaria, 35, di kediaman neneknya di Kampung Sungai Garam, dekat sini.

Menurut Hasmah, dia tidak tahu prosedur untuk mendapatkan sebarang bantuan daripada pihak berkaitan dan hanya menampung perbelanjaan mengharapkan hasil kerja keras suaminya, Anuar Ibrahim, 40-an, yang bekerja sebagai penoreh getah.

“Kami menanggung sendiri perbelanjaan sekeluarga dengan pendapatan suami sebagai penoreh getah tidak sampai RM400 sebulan.“Menerusi pendapatan itu jugalah, kami menanggung empat orang lagi anak. Tiga daripadanya masih bersekolah di tingkatan dua, tahun empat dan tadika.

“Sebelum ini, kami pernah cuba dapatkan bantuan daripada wakil rakyat terdahulu, tetapi tidak mendapat kelulusan kerana kami dikatakan golo-ngan berkemampuan.

“Bagaimanapun, kami pernah dikunjungi oleh wakil rakyat baru yang datang menziarahi anak saya sebelum ini.“Sedangkan kami hanya menumpang tinggal di rumah ibu saya sahaja,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian semalam.Katanya, pendapatan sua-minya di ladang getah milik orang tidak menentu dan tidak mampu lagi menampung perbelanjaan anaknya yang semakin membesar.

“Dahulu keperluan anak-anak tidak banyak seperti hari ini kerana mereka masih kecil. Kini, semua mereka telah bersekolah dan perbelanjaan­ rumah semakin meningkat termasuk Afzan juga memerlukan perhatian dan perbelanjaan­ yang sama.“Saya pula tidak dapat keluar bekerja kerana perlu menjaga Afzan yang sentiasa memerlukan perhatian.

“Makan dan minumnya terpaksa disuapkan. Apabila hendak membuang air pun, saya yang uruskan. Kami tidak mampu membelikannya lampin pakai buang kerana kosnya terlalu banyak,” jelas Hasmah.

Sementara itu, menurut nenek Afzan, Esah Ismail, 60, dia telah mengadu kepada banyak pihak tetapi tiada seorang yang dapat membantu, sehinggalah jirannya menyarankan agar disiarkan melalui akhbar untuk mendapatkan bantuan.

Sinar Harian difahamkan, Afzan juga tiada kad OKU kerana ibunya tidak tahu bagaimana prosedur untuk membuat kad tersebut.Hasmah juga berharap akan mendapat sumbangan daripada mana-mana pihak tidak kira orang perseorangan atau korporat yang prihatin, sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.

PAS selar DAP


Sinar Harian

[Edisi Kelantan - Isnin, 25hb Ogos 2008]


DAP tiada hak minta Pas keluar Pakatan Rakyat

SHAH ALAM - Jika DAP menegaskan komponen Pakatan Rakyat (PR) ‘sehati sejiwa’ mengenai prinsip kerjasama termasuk sepakat mengaku Malaysia sebagai sebuah negara sekular, Pas tampil dengan nada berbeza menafikan perkara tersebut.

Ketua Dewan Pemudanya, Salahuddin Ayub menegaskan, prinsip parti itu tidak pernah berubah dan usaha memperjuangkan sebuah negara Islam yang menjadi pegangan parti itu tetap berterusan biarpun pendirian tersebut dilihat terpesong dengan kenyataan ‘rakan kongsinya’, Lim Guan Eng.

Kata Salahuddin, pendirian itu membuktikan sikap dan perjuangan Pas sejak parti itu ditubuhkan dan masyarakat sedia maklum mengenainya termasuk rakan parti komponen PR.

“Sampaikan ‘salam’ saya kepada Guan Eng kalau beliau berkata Pas setuju menjadikan Malaysia sebagai negara sekular kerana Pas akan tetap memperjuangkan sebuah negara Islam yang ditegakkan dengan corak pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz seperti yang sering dicanangkan Guang Eng.

“Kalau beliau berkali-kali kagum dan berkata akan mencontohi corak pemerintahan Khalifah Umar dalam kebanyakan ucapannya di majlis-majlis rasmi, Pas berusaha merealisasikan hasrat itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Setiausaha Agung DAP, Guan Eng semasa merasmikan Kongres Kebangsaan ke-15 parti itu kelmarin yang menyatakan DAP bertekad menentang sebarang usaha menjadikan Malaysia sebuah negara Islam kerana bertentangan dengan wawasan parti tersebut.

Guan Eng pada sidang akhbar selepas itu menegaskan, DAP komited memegang empat prinsip yang disepakati komponen PR iaitu salah satunya mengakui Malaysia akan kekal sebagai sebuah negara sekular.

“Perjuangan Pas adalah berobjektif untuk membentuk sebuah negara Islam,” tegasnya. Mengenai cadangan agar pihak yang memiliki pandangan berbeza bebas meninggalkan PR, Salahuddin menegaskan Guan Eng atau sesiapa sahaja dalam PR tidak berhak membuat kenyataan tersebut.

Liverpool FC: Perlawanan Kedua EPL 08/09

LIVERPOOL..2 MIDDLESBROUGH..1
[Anfield, Liverpool - Sabtu 23hb Ogos 2008, 09:00PM]
Penjaring: Caragher (85), Gerrard (90)

Pasukan Liverpool tampak kurang menyerlah di bahagian serangan sehinggalah Jimmy Caragher membuka jaringan pada lewat perlawanan serta kapten pasukan memastikan kemenangan dalam masa kecederaan.
Liverpool bagaimanapun ketinggalan pada minit ke-70 hasil jaringan Mido.



Fernando Torres dihimpi pemain lawan



Gerrard meraikan gol kemenangan

Permatang Pauh: Apa kata MP Kuala Krai


HarakahDaily.Net


Angkat Anwar sebagai PM bagi selamatkan Malaysia - Dr Hatta

Wan Nordin Wan Yaacob Mon Aug 25, 08 12:48:02 pm MYT

PERMATANG PAUH, 25 Ogos (Hrkh) - Penyertaan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh adalah wadah rakyat menyelamatkan Malaysia daripada kerakusan Umno-BN.

Malah penyertaan Anwar ini adalah pembuka jalan kepada hasrat rakyat mengangkatnya sebagai Perdana Menteri Malaysia menggantikan Perdana Menteri hari ini yang telah korup, kata AJK PAS Pusat, Dr Hatta Mohd Ramli.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan ceramah kelompok di Rumah Pangsa Seberang Tenggiri dekat Seberang Jaya pada malam Rabu 20 Ogos lalu.

Majlis itu dihadiri kira-kira 500 penghuni sekitar flat dan perumahan berdekatan.

Bercakap lanjut mengenai penyertaan Anwar, Dr Hatta yang juga ahli Parlimen Kuala Krai berkata, rakyat perlu menilai wibawa Anwar kerana beliau cukup berpengalaman, pernah berada di puncak dan pernah terpenjara kerana memperjuangkan hak rakyat.

Berbeza dengan pemimpin Umno-BN, mereka hidup senang lenang dengan mengorbankan kepentingan rakyat, kata Dr Hatta sambil disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

"Pada 26 Ogos ini, rakyat Permatang Pauh akan membuang undi, saya yakin pada esoknya (27 Ogos), rakyat di sini akan berkonvoi menghantar Anwar mengangkat sumpah," katanya.

Malah ujar beliau, penghantaran Anwar ke Parlimen kali ini bukan sahaja untuk mengepalai Pakatan Rakyat atau bukan untuk menjadi Ketua Pembangkang.

Sebaliknya tegas Dr Hatta, kemasukan Anwar ke Parlimen kali ini mewakili suara keseluruhan rakyat yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan Dr Hatta itu disahut dengan laungan reformasi dan takbir selain 'makkal sakthi'.

Sementara itu tidak sampai 50 meter dari tempat Dr Hatta berceramah, kunjungan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke ceramah kelompok di khemah jentera BN di situ hanya disambut 20 orang penduduk sahaja.

Suasana suram mengiringi Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang memberikan ceramah seperti berbisik dalam kelambu.

EPL 2008/09: Deco julang Chelsea


Minggu kedua [23-24hb Ogos 2008]

Jaringan Deco pada minit ke-3 di JJB Stadium cukup untuk memastikan Chelsea kekal di tampuk liga setelah memintas Liverpool melalui kelebihan perbezaan jaringan.
.
Liverpool juga turut mengekalkan rekod 100% daripada dua perlawanan selepas membenam Middlesbrough 2-1 bangkit dari ketinggalan melalui tampanan gol sendiri pihak lawan serta jaringan menarik pada masa kecederaan oleh Steven Gerrard.

Menchester City pula merekodkan kemenangan pertama mereka musim ini apabila menumpaskan 10 pemain West Ham United 3-0 di tempat sendiri.

Namun, yang lebih menarik ialah apabila pasukan pilihan, Arsenal dikejutkan oleh Fulham 1-0 di tempat lawan. Manakala, pasukan baru, Stoke City turut mengejutkan Aston Villa 3-2 di tempat sendiri.

Perlawanan antara Portsmouth dan Manchester United akan ditentukan malam ini. Untuk laporan lanjut sila layari laman rasmi liga ini di http://www.premierleague.com/.

Suasana sambutan Hari Kebangsaan 2008


HarakahDaily.Net

Suramnya 'Jalur Gemilang' tahun ini!

Salmiyah Harun Mon Aug 25, 08 12:57:12 pm MYT

"...MARI kita seluruh warga negara, ramai-ramai menyambut hari merdeka, Merdeka!..." Itulah seruan yang tidak jemu-jemu, dari seorang penghibur terkenal suatu ketika dahulu, Allahyarham Sudirman Hj. Arshad setiap kali tibanya sambutan ulang tahun kemerdekaan sehinggalah pada hari ini.

Nampaknya, beliaulah seorang yang tidak pernah luntur semangat cintakan negara kerana saban tahun akan melaungkan 'Medeka'! dalam lagunya 'Tanggal 31'.

Malah lagu itu akan sentiasa dimainkan di corong radio apabila tibanya hari yang bersejarah. Apa kata kalau syorkan orang yang sepatutnya mendapat anugerah kemerdekaan adalah Allahyarham Sudirman kerana dialah yang sentiasa bersemangat.

Tahun lepas, ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 disambut penuh meriah dan warna-warni di sana-sini dengan pelbagai acara dan aktiviti misalnya kembara merdeka, pertandingan bunga api antarabangsa, kempen kibarkan bendera dan bermacam-macam lagi acara yang gilang-gemilang.

Tetapi pada tahun ini, walaupun ianya masih dalam sambutan jubli emas pengisian kemerdekaan itu jauh berbeza jika dibandingkan tahun lepas. Walaupun tidak ada acara gilang-gemilang, sekurang-kurangnya ada juga semangat untuk menjulang dan mengibarkan Jalur Gemilang.

Beberapa hari lagi, negara akan menyambut tarikh keramat itu tetapi sejak awal bulan Ogos lalu rakyat seperti tidak bersemangat untuk meraikan hari yang penuh bermakna tersebut. Apatah lagi hendak mengibarkan 'Jalur Gemilang', sehingga hari ini pun hendak melihat kereta meluncur laju di lebuh raya sambil mengibar bendera pun, susah.

Siapa yang hendak dipersalahkan, kerajaan atapun rakyat? Apakah kerana kerajaan tidak memberi 'Jalur Gemilang' secara percuma kepada rakyat membuatkan roh kemerdekaan itu suram? Rasanya perkara itu memberi tempias dan menutup semangat rakyat ke arah itu.

Apa yang membuatkan suasana suram kemerdekaan ini, ianya jelas, sedikit sebanyak ada kaitan dengan kenaikan harga minyak yang melampau. Ini sudah terang lagi bersuluh, kerana kerajaan sendiri yang telah menyekat roh kemerdekaan rakyat dengan kenaikan bahan api itu. Rakyat hari ini sudah tertekan dan tidak lagi 'happy' akibat dengan pelbagai kenaikan harga barangan.

Rasanya, kalaulah rakyat hidup dengan suasana gembira dan tidak tertekan roh kemerdekaan mungkin tidak luntur. Bagi rakyat, walau macam mana sekali pun pengisian kemerdekaan yang dihidangkan kerajaan, namun kesedihan dan kegelisahan rakyat tidak akan terubat jika harga minyak tidak diturunkan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Abdullah Badawi baru pertama kali merasai keperitan rakyat apabila berdiri dan bersesak dalam komuter. Berebut-rebut serta lama menunggu komuter hanya serpihan daripada tekanan rakyat, banyak lagi yang sewajarnya Pak Lah 'menghayati' keperitan rakyat.

Apa kata selepas ini Pak Lah pula turun ke pasar, berada di dalam kesesakan lalu lintas, naik bas bersama golongan marhain dan beratur panjang di hopital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

Permatang Pauh: Kata semangat Anwar




Terus gempur

22hb Ogos 2008

Alhamdulillah gerak kerja kempen semakin menampakkan hasil yang sangat positif. Kelihatan sokongan rakyat lebih hebat berbanding sebelum 8 Mac lepas.

Kendatipun begitu, tidak beerti kita boleh duduk diam. Kita perlu komited menyebarluas komitmen kita memperbaiki ekonomi negara, seterusnya memperbetulkan sistem politik sempit yang kian menekan rakyat.

Dua hari lepas saya melalui peguam SN Nair mengemukakan notis ke atas bekas Pengerusi Felcra, Hamzah Zainudin yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah ke atas saya.

Saya tidak berminat untuk melayan fitnah murah ciptaan mereka. Episod fitnah 1998 diulang-ulang, sehingga mendatangkan muak di kalangan rakyat!

Kelihatan BN tidak belajar dari kesilapan, di saat mereka terus memanipulasi media dengan propaganda picisan, rakyat kian celik dan berfikir di luar kotak.

Kemelesetan ekonomi, kesempitan hidup rakyat, keselamatan rakyat yang terabai terus mereka tenggelamkan. Dasar ekonomi yang parah tidak pernah mereka sentuh, sebaliknya hanya melempar fitnah, fitnah, dan fitnah.

Rakyat tidak mahu fitnah sebagai penyelesai masalah, yang rakyat pinta ialah dasar yang progresif, sistem yang bersih dari anasir merusak politik negara.

Jika berterusan begini biar mereka terjun dengan labu-labunya.

Manakala kita akan terus mara dan menggempur ke hadapan!

ANWAR IBRAHIM

Permatang Pauh: Malam Munajat 2008 [22-24 Ogos 2008]

http://anwaribrahimblog.com/




Permatang Pauh: Pengakuan Imam saksi sumpah Saiful


HarakahDaily.Net

Imam saksi sumpah Saiful mohon maaf depan Tuan Guru Nik Aziz

Mohd Sabri Said Foto Nasir Sudin Mon Aug 25, 08 9:18:03 am MYT

PERMATANG PAUH, 25 Ogos (Hrkh) - Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kehadirannya secara tidak sengaja dalam majlis sumpah Saiful Bukhari Azlan 15 Ogos lepas menimbulkan banyak fitnah.

Katanya, beliau langsung tidak terbabit dengan pengaturan sumpah tersebut, sebaliknya diajak menghadiri suatu majlis yang telah diaturkan pihak tertentu secara tidak dirancang.

Beliau yang dijemput memberikan penerangan sempena Solat Hajat Perdana bersama Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Aziz Nik Mat di Masjid Bandar Perda malam tadi mendedahkan, kehadiran beliau di situ secara kebetulan menikahkan orang bukanya mengatur program jahat tersebut.

"Saya bukan Imam besar di situ saya cuma imam biasa sahaja. Imam besarnya ialah Haji Abdul Malek Saleh. Di televisyen mengatakan saya Iman Besar di situ salah sama sekali kerana kehadiran saya di situ untuk menikahkan pasangan pengantin.

Bila sudah upacara angat nikah tiba-tiba saya diajak ke program sumpah Saiful untuk menjadi saksi mendengar jika sekiranya tersilap perkataan terutamanya kalimah bahasa Arab, " ujarnya di hadapan ribuan jemaah.

Menurutnya, pada pukul 6.05 petang semasa menunggu tiba-tiba Saiful datang dengan beberapa orang dan terus membaca sumpah laknatnya.

Semasa membaca lafaz sumpah itu beliau beberapa kali tersalah lafazkanya termasuk tarikh kejadian.

Beliau juga hairan kenapa tiba-tiba sahaja Saiful bersumpah sedangkan lafaz sumpah sepatutnya diadakah oleh kedua-dua pihak terutamanya orang yang kena tuduh bukan yang menuduh.

"Sepatutnya sebarang program yang bakal di adakan di masjid ini mesti mendapat kebenaran dulu daripada saya atau pegawai masjid yang lain, Bukan boleh buat program sewenang-wenangnya, " katanya.

Jelas beliau lagi, jika difikirkan dengan keadaan umur dan fizikal Anwar mustahil beliau boleh lakukan perbuatan terkutuk itu kerana ia memerlukan kekuatan tambahan kejadian itu berlaku bukan suka sama suka.

Beliau juga memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana hadir dalam program berkenaan dan berharap pengakuannya malam ini mengakhiri tangapan buruk terhadapnya sepertimana yang tersiar dalam media dan internet.

Beliau juga berpendapat bahawa sumpah laknat yang dilafazkan oleh Saiful Bukhari Azlan merupakan sumpah laknat untuk dirinya sendiri, bukan untuk Anwar Ibrahim.

Solat hajat perdana itu diimamkan oleh Tuan Guru Haji Saleh dari Sik, Kedah manakala hadir memberikan ucapan ringkas ialah bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Mohd HashimYahya, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Mohd Daud Iraqi, Timbalan Ketua MenteriPulau Pinang, Mohamad Fairus Khairudin dan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.