Tuesday, August 12, 2008

Tok Guru: Sudah lama teringin hendak berundur

Harakahdaily.Net

Lanjusoh Tue Aug 12, 08 6:44:08 pm MYT

KOTA BHARU, 12 Ogos (Hrkh) - Selepas berjaya memimpin Kelantan lebih 18 tahun, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tanpa segan memberitahu sudah lama teringin hendak berundur.

"Sudah lama pimpin Kelantan malu juga saya sebenarnya. Seolah-olah saya tidak pandai mengajar orang. Allahualam.

"Tetapi ketika saya hendak berhenti tiba-tiba datang masalah. Setiap isu yang berlaku saya tidak boleh duduk kalau tidak masuk campur.

"Benda besar kalau saya tidak masuk campur tangan rasa macam tidak harap. Tetapi perkara-perkara kecil sekarang Alhamdulillah," katanya dalam wawancara khas di pejabatnya semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menjadi Menteri Besar selepas kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah memenangi pilihan raya umum 1990.

Ketika itu PAS dan Semangat 46 mencatat sejarah apabila memenangi kesemua 39 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Biar pun berlaku bermacam-macam isu dan peristiwa namun beliau tetap teguh di kerusi tersebut menerajui Kelantan di bawah paksi Membangun Bersama Islam.

Bagaimanapun beliau berkata, sekarang sudah cuba menonjolkan pemimpin muda sebagai pelapis bagi mengganti tempatnya.

"Dahulu tiap-tiap kuliah pada pagi Jumaat hanya saya seorang yang kendalikan. Sekarang sudah dedahkan beberapa pemimpin pelapis.

"Kuliah tersebut diadakan selama dua jam, di mana sejam dikendalikan pemimpin lain. Kalau tidak ada Nik Aziz sudah ada Nik Aziz kedua atau ketiga," katanya.

Ditanya mungkin ada orang tertentu bakal menggantinya Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, memang ada.

(Ikuti wawancara penuh dalam Harakah berwajah baru edisi Jumaat ini)

PAS rela tinggal Pakatan Rakyat demi Islam

malaysiakini

Muda Mohd Noor Aug 12, 08 5:44pm

PAS tegas mempertahankan Islam sebagai asas perjuangan parti dan sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat jika ia tidak menguntungkan Islam.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika berucap merasmikan konvensyen PAS Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia disahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin diketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Akhbar tabloid harian, Sinar Harian melaporkan perkara yang sama di muka hadapannya hari ini.

Hafiz berkata, pendirian tersebut menunjukkan bahawa perjuangan PAS mempertahankan Islam konsisten sejak dahulu lagi. Katanya, ucapan Abdul Hadi itu merujuk tanggal 16 September depan apabila ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) melompat kepada Pakatan Rakyat.

Seperti yang telah dinyatakan oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penyertaan mereka cukup untuk memboleh Pakatan mengambil alih pemerintahan negara.

Bantu calon PKR

Sementara itu, Hafiz berkata, dalam ucapannya Ahad lalu, presiden PAS itu menegaskan jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai daripada ahli Parlimen Islam, PAS tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) menegaskan dalam ucapannya bahawa kita bukan perkauman tetapi menjadi tanggungjawab parti untuk mempertahankan dasar Islam.

"Beliau juga menegaskan bahawa setelah 50 tahun orang Melayu memerintah negara ini, tetapi jika orang bukan Melayu mengambilalih, (maka) ia sukar kepada negara dan rakyat.

"Oleh itu, kata Tuan Guru lagi, jika ahli Parlimen bukan Islam lebih ramai, ia akan menggugat orang Islam," kata Hafiz.

Katanya, ucapan Abdul Hadi mendapat sokongan dari lebih 100 pemimpin PAS negeri yang menghadiri konvenyen tersebut.

Bagaimanapun, kata Hafiz, Abdul Hadi telah menyatakan bahawa PAS akan tetap menyokong calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

MB Selangor: Sesuaikan agenda PAS bersama Pakatan

malaysiakini

Jimadie Shah Othman Aug 12, 08 6:38pm

PAS boleh menyesuaikan agenda Islamnya dalam kerjasama bersama Pakatan Rakyat seperti DAP berbuat demikian, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Kita telah terima parti PAS. Saya pernah jadi setiausaha agung PKR. Kita telah terima parti PAS dan DAP sebagai rakan kita dalam politik.

"Kita terima hakikat bahawa PAS memperjuangkan pembangunan Islam, dan (hakikat) ini kita dapat sesuaikan dengan pembangunan negeri kita.

"Rakan kita dalam DAP (pula) memperjuangkan rakyat keseluruhannya. Dan ini (Pakatan) merupakan platform bersama," katanya, mengulas amaran Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang bahawa parti itu akan meninggalkan Pakatan Rakyat jika gabungan itu gagal melaksanakan idealisme Islam di peringkat persekutuan.

Abdul Hadi dilaporkan berkata demikian sebagai merujuk kemungkinan Pakatan membentuk kerajaan persekutuan selepas 16 September ini seperti sedang diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap di sidang akhbar di Subang Jaya selepas menghadiri dialog bajet negeri itu bagi 2009, Abdul Khalid berkata:

“Dan saya rasa ucapan Tuan Guru Abdul Hadi itu menegaskan perlunya masyarakat Malaysia menerima perjuangan mereka untuk memperjuangkan agama Islam dan ummah sebagai salah satu perjuangan yang tidak boleh ditolak ansur.

"Dan kita (Pakatan) menerima hakikat tersebut."

Sementara itu, exco agama kerajaan negeri Datuk Dr Hassan Ali berkata kenyataan Abdul Hadi itu hanya satu kenyataan dan dalam proses perbincangan dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan, sudah tentu ada “tolak-ansur”.

"Itu satu kenyataan. Dalam Pakatan ini, saya fikir, dalam musyawarah (mesyuarat) sudah tentu ada tolak ansur dan sebagainya. Apa pun dasar-dasar (PAS) itu perlu dipertahankan. "Dan saya fikir untuk membawa dasar seperti itu, tentang ahli-ahli (Pakatan) yang lain, patut dihormati pendapat masing-masing. Dalam penghormatan itulah, saya fikir, kita dapat satu kesepaduan terhadap sesuatu matlamat yang kita perjuangkan," katanya, yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Menjelaskan lanjut perkara itu, beliau berkata: "Itu sebenarnya pendirian PAS tentang pemerintahan, tentang pentadbiran, sebab itulah (yang ada) dalam perlembagaan PAS. Maksudnya kalau kita membuat cadangan yang berlainan daripada itu, maka ia bertentangan dengan pendirian PAS."

Kecurian di Ar-Rahn: Laporan Utusan

utusanonline

Nilai barang kemas dicuri dari pajak gadai RM19.9 juta.

12/08/2008 5:11pm
Oleh ROHANA MOHD. NAWI


KOTA BHARU 12 Ogos - Polis Kelantan hari ini mengesahkan barang kemas yang dilarikan pencuri dari pajak gadai Islam Ar-Rahn cawangan Kota Bharu 1 di Jalan Temenggung di sini awal pagi Sabtu lalu bernilai RM19.9 juta.

Difahamkan ia merupakan kes kecurian yang terbesar dalam sejarah di negeri ini dan barangan itu dipercayai kepunyaan puluhan ribu pelanggan yang dijadikan cagaran untuk mendapatkan wang tunai secara mudah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, bagaimanapun penceroboh tidak sempat mengambil kesemua barangan simpanan dan wang tunai di dalam bilik kebal yang keseluruhannya bernilai lebih RM28 juta.

`Jumlah barang kemas yang masih tertinggal bernilai RM8 juta yang berada di dalam 238 kotak di samping wang tunai berjumlah RM390,000 berjaya diselamatkan,'' ujarnya.

Empat pencuri bertopeng menceroboh premis Ar-Rahn kira-kira pukul 12.09 pagi dan menggunakan peralatan canggih bagi memasuki bilik kebal dan membuka peti-peti simpanan.- Utusan.

Tok Guru: Kembalikan barang curi dari pajak gadai Ar-Rahn


Sinar Harian [Edisi Kelantan - Rabu, 12hb Ogos 2008]

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyuarakan rasa kesal dengan kejadian kes curi yang berlaku di pajak gadai Ar-Rahn milik Perbadanan Kelantan Berhad (PKB) kelmarin, melibatkan sebahagian barang kemas yang disimpan dalam premis berkenaan dilarikan pencuri.

Katanya, perbuatan pencuri terbabit membawa lari barang kemas itu dilihat sebagai tidak wajar kerana ia adalah milik rakyat miskin yang menggadainya bagi mendapatkan duit bagi menyara keluarga.

“Saya rasa kecewa dengan rompakan yang berlaku di pajak berkenaan. Pencuri bawa (larikan) harta yang diambil bukan harta kami (kerajaan), tetapi harta yang disimpan oleh Ar-Rahn untuk membantu meringankan beban pemilik barang itu yang mengalami kesempitan hidup.

“Sesetengah orang menggadai barang kemas hanya hendak dapatkan duit dalam RM500 atau RM1,000 semata-mata untuk anak belajar ataupun mengadakan kenduri,” katanya mengulas mengenai kejadian kecurian di premis pajak gadai Ar-Rahn, selepas merasmikan Persidangan Badan Bukan Kerajaan Negeri Kelantan di Dewan Teratai, Kompleks SUK Kota Darul Naim, di sini semalam.

Presiden: Amaran buat Pakatan Rakyat


Sinar Harian [Selasa, 12hb Ogos 2008]

Kata dua Hadi pada konvensyen parti itu di Pulau Pinang

SHAH ALAM - Tarikh 16 September mungkin akan mencatat sejarah dalam dunia politik tanah air apabila kemungkinan berlakunya perpisahan Pas dari Pakatan Rakyat (PR). Kemungkinan itu berdasarkan pendirian terbaru Pas yang bertegas mahu keluar daripada PR sekiranya ‘kerajaan baru’ selepas 16 September ini tidak lagi menjadikan Islam sebagai teras kepimpinan dan terpinggir.

Pendirian nekad Presi­dennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diluahkan sekiranya komponen PR iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminggirkan Islam dan tidak menjadikannya teras dasar pemerintahan serta pemilihan kepimpinan dalam ‘Kabinet baru’ yang bakal menerajui negara. Perkara itu disahkan Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin kepada Sinar Harian, semalam dan berkata Pemuda Pas negeri itu menyokong penuh pendirian Abdul Hadi yang disifatkan selari dengan perjuangan serta dasar parti.

Menurut Mohamed Hafiz, Abdul Hadi berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 100 ahli ketika merasmikan Konvensyen Pas negeri itu, kelmarin. “Itulah pendirian beliau dan kita menyokong penuh serta mengucapkan tahniah dan syabas kepada beliau. Kenyataan itu menyerlahkan keberanian, ketegasan dan istiqamah Tuan Guru Presiden dalam mempertahankan perjuangan parti. Itu amatlah dialu-alukan dan terpuji.

“Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang sedia merealisasikan pendirian Tuan Guru Presiden dan saya yakin perkara sama juga akan dilakukan kepimpinan Pas di negeri lain.

“Pakatan Rakyat perlulah mengambil kira dan menghormati pendirian tersebut dan sekiranya berlaku pertukaran kerajaan pada atau selepas tarikh itu (16 September), Islam perlu dilihat sebagai perkara penting,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menyifatkan pendirian Abdul Hadi bukan kenyataan main-main, Mohamed Hafiz rasional dan yakin kenyataan pemimpin utama parti Islam itu sebagai usaha memastikan kepentingan Islam terus terpelihara.

“Timbul kebimbangan kalaulah 'kerajaan baru' yang bakal ditubuhkan itu tidak lagi melihat Islam sebagai utama, agama dipinggirkan dan sekiranya berlaku, keadaan mungkin akan lebih teruk daripada sekarang.

“Andai tiada dominasi Islam, Pas takkan bersama Pakatan dan sekali lagi kami tegaskan pendirian Tuan Guru Presiden disokong penuh dan Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang akan mempertahankannya,” katanya.

Ketika ditanya adakah kenyataan terbaru Abdul Hadi itu memberi kesan langsung kepada komitmen Pas negeri itu dalam membantu kempen calon PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamed Hafiz enggan mengulas lanjut.“Pemuda Pas negeri 'no komen',” katanya.

Tun Mahathir berbicara mengenai rasuah politik


RASUAH POLITIK

Posted by Dr. Mahathir Mohamad at August 11, 2008 3:51 PM

1) Di waktu kita pinda perlembagaan Umno supaya sesiapa yang ingin bertanding jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan 30% daripada bahagian atau 60 bahagian, tujuan kita ialah untuk jawatan itu tidak ditandingi oleh orang yang tidak serius dan juga supaya wang tidak dapat disogok kepada jumlah bahagian yang begitu banyak.

2) Syarat ini dipercayai tidak akan menghalang mereka yang betul-betul berbakat untuk melayakkan mereka bertanding.

3) Sebelum ini dalam pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden walaupun saya sendiri dapat pencalonan daripada bahagian amat banyak tetapi undi yang saya dapat di Perhimpunan Agong amat kecil. Hanya 43 sahaja lebih daripada lawan saya. Dipercayai ada sesuatu yang berlaku kepada wakil-wakil setelah sampai ke Perhimpunan Agong. Pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan supaya sesiapa yang dicalonkan oleh bahagian akan dapat 10 undi bonus. Peruntukan ini tidak berkesan. Justeru itu diperkenal sistem kuota seperti yang terdapat sekarang.

4) Kita tidak sangka yang syarat ini pun boleh disalahgunakan dengan cara lain. Amat malang bagi Umno dan orang Melayu. Kita lihat sekarang bagaimana syarat ini diguna untuk menghalang sebarang cabaran terhadap Presiden semasa, dengan tujuan supaya Presiden dan juga Timbalan Presiden tidak ditandingi sama sekali.

5) Cara yang digunakan amatlah kotor. Jauh daripada menunjuk teladan yang baik bagi pemimpin-pemimpin lain dan ahli-ahli Umno, Presiden sendiri yang mula menggunakan wang dan salahguna kuasa untuk mendapat pencalonan bagi diri sendiri dan menghalang pencalonan bagi orang lain. Tidak ada guna menafikan yang semua ini berlaku kerana terlalu ramai yang terlibat dalam kegiatan ini dan terlalu ramai yang bercakap berkenaannya.

6) Sekarang kita dengar aduan daripada seorang Ketua Bahagian kepada Setiausaha Agong Umno. Aduan ini menyatakan bahawa sementara Ibu Pejabat Umno melarang cawangan dan bahagian daripada berkempen untuk apa-apa jawatan di peringkat cawangan dan bahagian, Presiden sendiri giat berkempen untuk dirinya dicalonkan sebagai Presiden.

7) Kempen ini seperti disebut diatas disertai dengan hadiah kain, sejadah dan wang tunai sebanyak 50 hingga 100 Ringgit, sementara semua perbelanjaan perjalanan daripada bahagian-bahagian seluruh negara, penginapan di hotel mewah dan makan minum selama berada di KL ditanggung.

8) Dalam pada itu Presiden memujuk Timbalan Presiden, Dato Seri Najib Razak, supaya tidak melawannya bertanding Presiden pada Disember ini, dengan menawar hadiah jawatan Presiden dan Perdana Menteri kepada Dato Seri Najib pada Jun 2010. Ini jelas satu jenis rasuah politik yang tidak harus dilakukan oleh Presiden Umno yang melarang sebarang jenis rasuah dalam pemilihan ketua-ketua cawangan dan bahagian dan Majlis Tertinggi Umno.

9) Perbuatan Presiden tidak terhad kepada memanggil pemimpin cawangan sahaja. Ada bukti yang gula-gula dan ugutan dibuat supaya semua ketua bahagian dan jawatankuasa bahagian ikut telunjuk Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dan akan calon hanya dia seorang untuk jawatan Presiden dan Dato Seri Najib untuk Timbalan Presiden. Dengan mengguna rasuah, ugutan dan pelbagai cara tekanan, bahagian-bahagian tidak akan calon sesiapa lain. Sudah tentu calon-calon lain tidak akan dapat cukup bilangan pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

10) Bahawa rasuah dan tekanan diguna dilaporkan oleh ramai, tetapi tidak ada sesiapa yang berani mendakwa secara terbuka kerana takut tindakan diambil terhadap mereka. Lagipun mereka yang dahulu melapor bahawa mereka telah disogok dengan wang mendapati Jawatan Kuasa Disiplin Parti menolak "tuduhan" itu bulat-bulat. Bahkan laporan kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah) kes rasuah yang melibatkan seorang Timbalan Menteri didapati "tidak berasas" kerana yang dikatakan memberi wang rasuah menafi demikian. Justeru itu tidak ada yang sanggup membuat laporan lagi.

11) Sebab itu surat daripada Kapt. (B) Dato Zahar Hashim, Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan yang jelas mendakwa Dato Seri Abdullah melakukan "rasuah politik yang besar" amatlah berani dan luarbiasa. Didalamnya diceritakan bagaimana Dato Seri Abdullah berkempen untuk dirinya dan menyogok wang dan kain pelikat kepada pemimpin cawangan yang dibawa khas ke KL. Wang yang diguna adalah wang kerajaan iaitu peruntukan untuk JASA (Bahagian Khas) Kementerian Penerangan.

12) Tawaran oleh Dato Seri Abdullah dan penerimaan oleh Dato Seri Najib yang Dato Seri Najib tidak akan tanding jawatan Presiden lawan Dato Seri Abdullah dan dengan itu Dato Seri Abdullah akan beri jawatan Perdana Menteri pada Dato Seri Najib menjelang pertengahan tahun 2010 ditafsir dan ditakrif sebagai rasuah politik yang amat besar.

13) Kapt. (B) Zahar hanya meminta supaya pekeliling melarang kempen ditarik balik oleh ibu pejabat sehingga lepas pemilihan pada Disember 2008.

14) Tetapi veteran Umno dan bekas Ahli J.K. Pemuda (Dato' Mazlan Harun), berasas pada surat Kapt. (B) Zahar telah buat laporan kepada BPR bahawa Dato Seri Abdullah dan Dato Seri Najib telah melakukan rasuah politik dan salahguna kuasa kerajaan.

15) Saya percaya akhirnya surat dan laporan kepada BPR tidak akan menghasilkan apa-apa kerana ada sahaja alasan dan penjelasan yang akan diberi oleh kedua-dua pemimpin tertinggi Umno ini untuk "cover-up".

16) Pada pemilihan bulan Disember perwakilan Umno tetap akan akur dan pilih Presiden dan Timbalan Presiden seperti yang ditunjuk oleh Dato Seri Abdullah.

17) Tetapi rakyat Malaysia akan bertambah jelek dengan Umno dan pemimpin-pemimpinnya. Ini bukan lagi parti kebangsaan Melayu. Ini sudah jadi parti untuk orang-orang tertentu mendapat jawatan dan wang bagi diri mereka.

18) Dato Seri Abdullah, Dato Seri Najib dan lain-lain pemimpin Umno mungkin kekal dengan jawatan mereka dan akan terus jadi Menteri dan sebagainya tetapi ingat apa telah jadi kepada Tajol Rosli, Mahadzir Khalid dan Khir Toyo.

19) Apa telah jadi pada Awang Adek dan Annuar Musa dan ramai lagi pemimpin Umno yang lain.

20) Jawatan-jawatan mereka dalam parti mungkin kekal tetapi apabila rakyat tolak parti yang rasuah yang bergantung pada sogokan duit dan tekanan, ugutan dan salahguna kuasa, semua jawatan ini tidak berguna lagi.

21) Presiden tidak akan jadi Perdana Menteri, Timbalan Presiden tidak akan jadi Timbalan Perdana Menteri. Ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno jika menang pilihanraya pun akan jadi pembangkang seperti di Selangor, Perak dan Kedah.

22) Apabila parti sudah kalah ia akan hancur. Mereka yang tamak yang menggunakan cara yang haram untuk mengetuai parti akan dikutuk bukan sahaja oleh orang Melayu yang terima padahnya sekarang tetapi juga oleh pengasas-pengasas Umno yang sudah meninggal.

23) Ahli-ahli Umno yang mencari kesenangan, yang mengharap gula-gula dan kedudukan tertentu dan sanggup merestui perbuatan yang salah, perbuatan yang merosakkan parti, mereka akan menerima padahnya.

24) Hari ini pun kita sedang melihat bagaimana orang Melayu berada dalam keadaan tidak tentu arah, terancam, terpaksa menubuh badan-badan lain untuk mempertahankan hak mereka, berpecah dan bercempera dan umumnya hilang haluan.

25) Mereka ditohmah dan dipermainkan seolah-olah mereka menumpang di negeri orang.

26) Semua ini disebabkan oleh kepimpinan Umno yang rasuah dan ahli-ahli Umno yang tidak berani menegur, jauh sekali bertindak.

Kisah akhirat, syurga, Shangri-La dan manusia

Harakahdaily.Net

H Fansuri Tue Aug 12, 08 11:05:08 am MYT

Di dalam syurga, ada sebuah taman. Menurut Perjanjian Lama dan Baru, taman itu dinamakan Taman Eden. Dalam bahasa Arab (bahasa al-Qur'an), hal itu mungkin juga Jannatu Adnin. Nama-nama ini semuanya ada kemungkinan.

Tapi, hakikat bahawa syurga wujud tidak boleh dinafikan lagi sebab hal itu disebut dalam al-Qur'an. Saya terfikir hal ini selepas menonton The Mummy yang mengisahkan seorang maharaja China yang dibangkitkan daripada kematiannya.

Dalam usaha memulihkan kuasa yang hilang, maharaja mencari sebuah kolam kehidupan abadi. Tak salah saya, kolam itu wujud di Shangri-La. Hal ini mengingatkan saya kepada novel bertajuk Lost Horizon yang diterbitkan pada 1933. Penulisnya, James Hilton.

Pengarangnya menuliskan hal ini apabila melawat India , China dan Tibet , iaitu kawasan-kawasan jajahan Empayar British sebelum kejatuhan empayar tersebut.

" he felt an extraordinary sense of physical and mental settlement. It was perfectly true; he just rather liked being at Shangri-La."

Oleh itu, di dalam filem The Mummy, ketika maharaja cuba memulihkan kuasa, baginda mungkin sekali pergi ke Tibet, sebuah wilayah mistik yang terletak di China. Shangri-La mungkin terletak di wilayah tersebut.

Lost Horizon adalah suatu kawasan yang hilang. Ia mungkin wujud, tapi dihilangkan dari pandangan manusia. Shangri-La mungkin terletak pada zon berkenaan. Di Tibet juga, ada sejenis makhluk 'Bigfoot' yang dipanggil Yeti oleh penduduk tempatan.

Dalam filem Mummy juga ditunjukkan Yeti ada bahasa tersendiri. Dalam pengembaraan itu, sekelompok penjelajah telah menemui Yeti di tempat berhampiran Shangri-La. Kalau Yeti ada bahasa sendiri, ertinya dia makhluk berakal. Sebabnya, bahasa adalah alat untuk akal bekerja. Ini bermaksud, Yeti atau Bigfoot di Tibet itu makhluk yang sangat berlainan daripada haiwan-haiwan biasa di dunia ini.

Tak dapat dipastikan adakah Shangri-La ini seperti satu binaan yang sama dengan Taman Eden yang disebut dalam Bible itu. Shangri-La adalah sebuah tempat yang amat ind ah. Ia dihiasi pokok-pokok, gunung-ganang dan sungai yang mengalir di lembahnya.
Perhatikan juga bahawa kerap disebutkan Tuhan mengenai syurga adnin yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, 'jannatu adnin tajri min tahtihal anhaar'.

Manusia semuanya berasal daripada Adam

Ada riwayat menyebut nabi-nabi dan rasul-rasul berjumlah ratusan ribu. Ada juga riwayat yang menyebutkan jumlah adalah 313 saja. Secara peribadi angka 313 itu yang saya pilih. Ini kerana, angka itu menyamai jumlah tentera Badar, perang pertama dalam Islam.

Manusia semuanya berasal daripada Ada m tanpa terkecuali. Maknanya jalan kisah agama manusia-manusia akan tetap ada persamaan. Daripada 313 nabi-nabi dan rasul-rasul, kita dapat meneliti watak-watak cerita memang ada persamaan.

Nabi-nabi dan rasul-rasul yang kita wajib beriman dengannya hanya 25 oran g saja. Mana hilangnya 288 oran g rasul lagi? Mereka mungkin wujud dalam catatan kitab-kitab agama besar di dunia. Pada setiap bangsa yang sudah ternama, tentulah diletakkan nabi dan rasul untuk memimpin bangsa tersebut.

Ada pun bani-bani yang paling banyak menerima nabi- nabi ialah Bani Israel. Apabila ada ramai nabi-nabi dalam Bani Israel, jadi sudah tentu banyak kisah-kisah Bani Israel dalam al-Qur'an yang mengisahkan keengkaran mereka menerima seruan nabi-nabi itu.

Maka, persamaan yang wujud antara agama-agama ini bukanlah peniruan. Tidak bolehlah disebutkan Islam meniru ajaran Nasrani dan Yahudi cuma kerana wujudnya persamaan di antara ketiga-tiga agama tersebut. Hakikat yang berlaku ialah, ketiga-tiga agama itu telah dibawa oleh nabi-nabi yang menerima petunjuk dari sumber yang sama, iaitu Tuhan.

Apabila kita merenung dalam-dalam kisah-kisah hikayat dan riwayat bukan Islam, terasa ada persamaan. Misalnya, apakah ada haiwan-haiwan seperti Yeti, Bigfoot, Buraq yang dinaiki Nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra' Mikraj, burung Aba bil yang datang melemparkan batu api dari neraka sebelum kelahiran Nabi Muhammad dan lain-lain.

Haiwan-haiwan dari alam-alam lain ini boleh juga kita katakan berada di alam tinggi. Di dalam Hikayat Merong Mahawangsa juga dikisahkan mengenai burung garuda yang telah dihalau keluar dari dunia ini. Mungkinkah, ia dihalau keluar ke alam lain?

Pada setiap zaman, barangkali ada makhluk-makhluk tertentu yang ditentukan oleh Allah tentang giliran mereka masuk ke dunia ini. Aba bil misalnya dibebaskan untuk memasuki ruang dunia untuk seketika sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w.

Buraq adalah haiwan yang dibebaskan ke dunia seperti kuda yang jadi tunggangan tatkala Nabi Muhammad mula-mula mendapat tentangan daripada kaum Quraisy di Mekah.

Pada zaman dulu, di Alam Melayu, (atau mungkin pada ketika Melayu belum lagi digelar Melayu), telah wujud nabi-nabi yang tak disebut dalam al-Qur'an di mana haiwan-haiwan seperti duyung, naga telah pun wujud dan kemudiannya terhijab daripada manusia.

Buraq ' bernasib baik' sebab kewujudannya terkait dengan Rasulullah s.a.w dan ia tidaklah boleh dikatakan sebagai dongeng. Demikian juga burung Ababil yang membawa bara api ke atas gajah Abrahah. Burung ini bukan dongeng kerana ia disebut dalam al-Qur'an.

Apakah misi Bigfoot?

Pada zaman ini, setelah berlalunya tempoh haiwan-haiwan ajaib pada zaman dulu keluar dengan bebasnya ke alam kita, maka timbul pula cerita Bigfoot dan Yeti. Soalan sekarang ini, dari belahan alam mana pula haiwan itu tiba? Jika ia datang apakah misinya?

Kita sedia maklum tujuan kedatangan pasukan burung Aba bil ialah memusnahkan tentera bergajah Abrahah. Kedatangan Buraq pula adalah bertujuan membawa Nabi Muhammad s.a.w ke langit tertinggi untuk menerima arahan mengenai solat fardhu.

Ringkasnya, segala haiwan ini dikeluarkan dan dimasukkan ke alam manusia dengan satu tujuan, tugas dan amanah tertentu. Atau, mereka dimasukkan untuk membinasakan pihak tertentu? Hikayat Merong Mahawangsa contohnya, meriwayatkan ceritera burung garuda yang mahu memisahkan perkahwinan antara Puteri Cina dan Putera Rom.

Haiwan dan tumbuhan akhir zaman

Di dalam sebuah hadis akhir zaman turut disebutkan mengenai kewujudan haiwan melata di bumi yang mana kepanjangan adalah antara Timur dan Barat. Ulama kita menafsirkan banyak tafsiran. Ia mungkin blok-blok negara komunis dan kapitalis atau apa saja.

Sebuah hadis akhir zaman turut menyebutkan bahawa Muslimin akan memerangi Yahudi ( Israel ) dan semua batu-batu akan berbicara jika ada oran g Yahudi bersembunyi belakang mereka. Kecuali pokok Gharqad, kerana pohon itu adalah pokok Yahudi.

Namun, hakikat sebenarnya tiada siapa pun yang mengetahui. Bagaimanapun, kita semua perlu bersedia berdepan segala kemungkinan itu. Tidaklah bersalah untuk kita melakukan tafsiran demi tafsiran ke atas sejumlah nas hadis dan ayat al-Qur'an. Bukankah ayat-ayat itu diturunkan supaya manusia memikirkannya dan menafsirkannya?

Sifat-sifat alam mestilah ada tumbuh-tumbuhan, haiwan. Ciri-ciri ini mestilah wujud bagi melengkapkan alam tersebut. Dalam bahasa saintifik, haiwan dan tumbuhan ini dipanggil flora dan fauna. Maka, tentu ada flora dan fauna di dalam syurga dan neraka juga.

Demikian antara hal yang selalu menjadi bahan fikiran saya secara peribadi. Apabila kita memikirkan semua ini, terasa kekerdilan diri dan yang terzahir adalah kebesaranNya.

1:11 a.m, 12 Ogos 2008
Sekolah Pemikiran Kg. Baru

Umno: Apa sudah jadi?

malaysiakini

Kempen: Umno kena bayar RM218 juta

Aug 11, 08 10:07pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Umno membayar tuntutan lebih RM218 juta daripada Elegant Advisory Sdn Bhd berhubung penyediaan bahan kempen pilihanraya umum Mac 2004.

Dalam pilihanraya itu, Umno menerima bahan kempen termasuk poster, lencana, kain rentang, air mineral, bendera dan topi tetapi ia menolak untuk membayarnya.

Keputusan penghakiman itu telah disampaikan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi, Ahmad Faizadh Yahaya pada 17 Julai lalu.

Sebagai reaksinya, Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata parti itu akan mencabar keputusan mahkamah itu.

Sambil menyatakan rasa tidak percaya dengan keputusan mahkamah tersebut, beliau berkata "Umno sudah tentu akan merayu."

Muktamar: Lagi usul yang bakal dibawa Dewan Pemuda PAS

malaysiakini

Usul urusetia Melayu-Islam ala Suqiu

Abdul Rahim Sabri Aug 12, 08 12:34pm

Pemuda PAS akan membahaskan usul mewujudkan satu sekretariat bersama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu-isu Melayu dan Islam seumpama kumpulan pelobi Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Gabungan Persatuan China (Suqiu) dalam muktamarnya yang bermula esok.

"Penubuhan sekretariat tersebut bertujuan menyatukan pandangan semua kelompok yang memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam," kata ketua penerangan dewan itu Suhaizan Kaiat kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau, yang juga ketua jawatankuasa usul Pemuda PAS, menjelaskan pertubuhan-pertubuhan itu boleh menyatukan orang Melayu-Islam.

Jawatankuasa usul ini memutuskan hal ini dalam mesyuaratnya malam tadi di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.

Usul penggabungan NGO Islam dan Melayu itu yang dibawa oleh Pemuda PAS Terengganu merupakan satu daripada empat usul yang diterima dan akan dibahas dalam persidangan dewan tersebut.

Suhaizan juga menjelaskan, jawatankuasa usul yang dianggotai oleh enam anggota Lajnah Penerangan Pemuda PAS menerima enam lagi usul tanpa bahas.

Persidangan dewan itu dijadual dirasmikan oleh timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa jam 8 malam di Stadium Tertutup Indera Mulia, Ipoh.

Liverpool FC: Perlawanan Persahabatan di Anfield

Liverpool FC..1 SS Lazio..0
Anfield, Liverpool
08th August 2008

Perlawanan ini merupakan perlawanan pemanas badan yang terakhir sebelum menghadapi kelayakan pusingan ketiga Liga Juara-Juara Eropah musim baru apabila berdepan dengan kelab dari Belgium, Standard Liege. Perlawanan ini bakal dilangsungkan di Stade Maurice Dufrasne, Liege pada 13hb Ogos dan bertandang di Anfield pada 27hb Ogos.

Steven Gerard tidak dapat diturunkan bagi mencapai tahap kecergasan sebelum menghadapi kejohanan Eropah tidak lama lagi. Posisi ini diberikan kepada pemain muda, Damien Plessis di samping Andrea Dossena melengkapkan barisan pertahanan.

Barisan jentera serangan Liverpool cukup lengkap apabila Fernando Torres, Robbie Keane dan Dirk Kuyt digandingkan. Namun begitu, jaringan hanya hadir pada penghujung perlawanan melalui pemain gantian Andriy Voronin.

Muktamar: Usul yang bakal dibawa Dewan Muslimat PAS

malaysiakini

Muslimat usul tubuh 'puteri PAS'

Abdul Rahim Sabri Aug 11, 08 06:57pm

Dewan Muslimat PAS bercadang membawa usul menubuhkan pergerakan wanita muda seumpama Puteri Umno dalam muktamar tahunannya minggu ini.

Setiausaha dewan itu Aiman Athirah al-Jundi memberitahu Malaysiakini hari ini, usul menubuhkan "Dewan Muslimat Muda" telah diterima dan akan dibahaskan oleh perwakilan dewan itu.

"Besar kemungkinan usul tersebut akan dibawa ke muktamar penuh nanti," katanya, sambil menambah usul itu dibawa oleh Dewan Muslimat Melaka.

Keanggotaan pergerakan baru ini khusus buat mereka berusia 18 hingga 40 tahun sebagai satu lagi sayap politik untuk memantapkan perjuangan parti itu.

"Dewan Muslimat yang baru (dicadangkan) ini bukan untuk lawan sesiapa tetapi pelengkap gerak kerja PAS selama ini," kata Aiman Athirah.

Pendekatan dewan baru ini untuk membawa wawasan anak muda dengan gaya orang muda "untuk menjadikan generasi muda lebih terarah dalam politik dan pentadbiran negara", tambahnya.

Beliau menjelaskan, kira-kira 300 perwakilan termasuk barisan ahli jawatankuasa Muslimat dijangka hadir ke muktamarnya pada 14 Ogos di Ipoh.

Cadangan ini termasuk daripada lima usul yang diterima dan dibahaskan minggu ini, sementara enam lagi usul diterima tanpa perbahasan.

Dewan Muslimat sendiri membawa tiga usul - pertama menggesa kerajaan menetapkan tarikh berbeza untuk sambutan hari kekeluargaan seperti hari ibu dan hari bapa yang dianggap lebih sesuai dengan konteks Malaysia.

Aiman Athirah menambah, penetapan tarikh dan bentuk sambutan hari-hari tersebut haruslah bersesuaian dengan budaya negara kita yang tidak mengambil kira konteks khusus Malaysia.

"Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama Islam adalah agama rasmi. Adakah kita nak sambut (hari-hari tersebut) sama dengan sejarah negara-negara luar?" katanya.

Dewan Muslimat juga mencadangkan penubuhan Akademi Pembantu Rumah Tempatan untuk mengatasi kebergantungan negara kepada pembantu rumah asing.

Jelas Aiman Athirah lagi, dewan itu turut mengusulkan peranan mereka untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat. Dewan itu juga menerima usul untuk dibahaskan daripada Selangor berkaitan keanggotaan bukan Islam dalam PAS sebagai ahli bersekutu.

Mengenai persiapan persidangan pada Khamis ini, Aiman Athirah berkata ia berjalan lancar dan semua usul dari negeri-negeri telah diterima.

Dewan Muslimat PAS bersidang di Hotel Hill City, Jalan Gopeng, mulai jam 8 pagi.

Naib presiden parti Mohamad Sabu dijadual merasmikan persidangan dewan tersebut.

Piawaian BPR berbeza antara PAS dan Umno?


HarakahDaily.Net
Shirzad Lifeboat Mon Aug 11, 08 5:54:34 pm MYT

Sekiranya falfasah memulakan penyiasatan penyalahgunaan kuasa seperti digunakan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) turut dikongsi oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (Corrupt Practices Investigation Bureau, CPIB) Republik Singapura, nampaknya tentulah Menteri Kanan Lee Kuan Yew ketika menjadi Perdana Menteri telah disiasat oleh badan tersebut kerana melantik anaknya Lee Hsien Long (Perdana Menteri Singapura kini) menjadi menteri kabinet.

Namun amalan seperti itu tidak dilakukan oleh CPIB. Di republik yang taraf hidup rakyatnya jauh lebih rendah dari rakyat Malaysia satu ketika dulu tetapi kini muncul sebagai sebuah negara maju di dunia, amalan dan undang-undang rasuah mempunyai takrif dan hukuman yang berbeza.

Walaupun peruntukan untuk kesalahan rasuah di republik tersebut adalah penjara lima tahun atau denda SGD100,000 (RM237,000) atau kedua-duanya sekali tetapi sekiranya pesalah terbabit melibatkan kontrak kerajaan atau Ahli Parlimen atau anggota badan awam, maka hukuman penjara boleh dikenakan sehingga tujuh tahun.

Selain daripada itu, menerusi sebuah Akta lain yang diluluskan pada tahun 1989, mahkamah juga boleh memerintahkan harta pesalah dirampas.

Namun bagi memulakan sesuatu penyiasatan berkenaan rasuah di Singapura bukti yang kukuh serta prima facie yang boleh diterima diperlukan.

Tentulah tidak profesional bagi badan itu memulakan penyiasatan semata-mata di atas kekuatan surat layang.

Dan barangkali atas dasar inilah banyak aduan-aduan berupa surat layang mengenai penglibatan orang tertentu dalam kerajaan tidak pernah diendahkan walau betapa besar sekali kes yang diadukan dan melibatkan wang awam dalam kiraan bilion ringgit.

Namun piawian yang serupa nampaknya tidak digunapakai dalam proses memulakan penyiasatan ke atas negeri Kelantan yang dikuasai oleh PAS apabila menantu Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat disiasat kerana telah dilantik selaku Ketua Pegawai Operasi (COO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Apakah BRP sebenarnya mahu memberitahu rakyat di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang bahawa kelayakan profesional seseorang untuk memegang sesuatu jawatan dalam sektor awam dengan sendirinya luput sekiranya bapa, bapa mertua, ibu, datuk, nenek mereka adalah Menteri Besar negeri berkenaan?

Akta yang mana agaknya memperuntukkan larangan sedemikian? Jika akta tersebut memang wujud apakah ada peruntukan yang mengecualikan peruntukan tersebut dipakai terhadap negeri-negeri termasuk kerajaan pusat yang dikuasai Umno-BN.

Lagipun sejarah penyiasatan/tindakan membabitkan apa sahaja mengenai kerajaan Umno-BN menunjukkan BPR tidak memulakan siasatan hanya kerana sekeping surat layang, malah tidak juga setelah prima facie penyalagunaan kuasa dapat dibuktikan oleh pihak lain.

Apakah ada piawaian berbeza di antara amalan memulakan siasatan terhadap kerajaan PAS berbanding kerajaan Umno?