Showing posts with label tokoh. Show all posts
Showing posts with label tokoh. Show all posts

Wednesday, February 18, 2009

Tokoh: Aminuddin Baki

HarakahDaily.Net

Aminuddin Baki: Tokoh pendidik dan pemikir PAS
Mohd Fadli Ghani Mon Feb 16, 09 11:24:40 am MYT

SALAH satu nama yang diisytiharkan sebagai ahli PAS oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kalangan tokoh-tokoh pemikir bangsa Melayu selain Prof Tan Sri Ahmad Ibahim dan Prof Dr Ungku Omar Ahmad ialah Aminuddin Baki yang digelar sebagai "Bapa Pendidikan Malaysia".

Walaupun beliau lebih terkenal kerana sumbangan besarnya dalam bidang pendidikan di negara ini, Aminuddin Baki ialah seorang ahli PAS pada akhir 1956 iaitu setelah pemimpin pujaannya, Dr Burhanuddin al-Helmy memimpin PAS. Dalam PAS, nama beliau tidak pernah menonjol kerana lebih selesa dengan strategi Dr Burhanuddin untuk meletakkan figur-figur PAS memegang jawatan utama kerajaan.

Aminuddin Baki selepas menyertai PAS, terlibat dalam penggubalan dasar pelajaran seperti Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960. Beliau telah memainkan peranan besar dalam memberikan kedudukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan juga peranan bahasa Melayu dalam pendidikan.

Kepada PAS sumbangan beliau disalurkan kepada ahli-ahli Parlimen seperti Dr Burhanuddin, Prof Zulkifli Mohamed, Hassan Adli dan lain-lain. Berdasarkan maklumat-maklumat beliau, wakil rakyat PAS dapat terlibat aktif dalam memperkatakan isu-isu pendidikan orang Melayu di Dewan Rakyat.

Aminuddin Baki juga sentiasa menyalurkan pemikiran-pemikiran beliau kepada PAS tentang politik negara sehingga wakil rakyat PAS dilihat berkualiti dalam memperkata isu semasa.

Aminuddin bin Baki dilahirkan pada 6 Januari 1926 di Chemor, Perak. Pada 1932, beliau memasuki Sekolah Melayu Chemor selama lima tahun sebelum menyambung pengajian di Sekolah Anderson, Ipoh antara 1936 hingga 1941.

Apabila perang meletus pada 1942, pelajaran beliau terganggu. Sepanjang pemerintahan Jepun, Aminuddin Baki telah berkhidmat sebagai jurubahasa di Mahkamah Ipoh kerana beliau fasih berbahasa Inggeris. Selepas perang berakhir, pada 1947 beliau telah melanjutkan pengajian di Raffles College, Singapura sehingga mendapat Diploma Sastera.

Pada 1949, beliau diterima masuk ke Universiti Malaya, Singapura untuk mengikuti kursus Sarjana Muda Sastera (BA) dalam bidang sejarah. Beliau berjaya mendapat ijazah kepujian pada 1951. Pada 1952, Aminuddin memenangi Queen Scholarship untuk membolehkannya menyambung pengajian peringkat sarjana di University of London dalam bidang Pedagogi Pendidikan dan lulus pada Julai 1953.

Latar belakang kehidupan beliau sebagai intelek muda Melayu pada zaman transisi ini telah membuka kecenderungan Aminuddin untuk membangunkan pendidikan bangsanya.

Penglibatan beliau yang pertama di bidang pendidikan ialah sebagai guru sambilan di Sekolah Malam Anglo-Melayu di Singapura antara 1949 hingga 1951.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai guru di Sekolah Inggeris Sultan Yusof, Batu Gajah sebelum bertugas di alma maternya, Sekolah Anderson pada 1952 tetapi hanya beberapa bulan sahaja kerana berhijrah ke London pada Julai 1952.

Setelah mendapat ijazah MA pada pertengahan 1953, beliau terus dilantik sebagai pensyarah di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim. Ketika di Tanjung Malim ini beliau telah memperkenalkan subjek Sejarah Islam kepada para pelajar walaupun subjek ini tiada dalam sukatan.

Pada 1955, Aminuddin Baki telah dipilih menganggotai Jawatankuasa Razak dalam mengkaji dasar pendidikan yang menghasilkan Laporan Razak. Laporan ini telah mencadangkan supaya SAR diberikan bantuan oleh kerajaan selain mewajibkan bahasa Melayu diajar di semua sekolah untuk tujuan integrasi nasional.

Ketika Jawatankuasa Rahman Talib dibentuk pada 1960, Aminuddin Baki dilantik sebagai Jawatankuasa Penasihat. Kerana kecemerlangan beliau, pada 1962, Aminuddin Baki telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelajaran Selangor dan pada tahun yang sama beliau dilantik sebagai Ketua Penasihat Pelajaran Malaysia iaitu satu jawatan yang setaraf dengan Ketua Pengarah Pelajaran hari ini.

Dalam masa yang sama beliau turut berkhidmat sebagai anggota Senat Universiti Malaya dan memberi sumbangan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Antara usaha penting Aminuddin Baki sebagai Ketua Penasihat Pelajaran adalah mengasaskan peperiksaan awam Malaysia bagi menggantikan peperiksaan Cambridge yang beraliran penjajah. Selain menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia pada 1963 untuk mengendalikan peperiksaan awam, beliau juga telah memperkenalkan Sijil Rendah Pelajaran (LCE), Sijil Pelajaran Malaysia (MCE) dan Sijil Tinggi Pelajaran (HSC) bagi menggantikan Junior Cambridge dan Senior Cambridge.

Selain itu juga, Aminuddin Baki turut terlibat aktif dalam aktiviti budaya dan bahasa Melayu termasuk pernah dipilih mewakili Tanah Melayu atas nama Yang Dipertua Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 1956 ke Persidangan Persuratan Melayu di Medan. Tetapi kerana halangan tertentu beliau digantikan oleh timbalannya, Ustaz Baharuddin Abdul Latif.

Dalam bidang kemasyarakatan, Aminuddin Baki juga sangat terkenal kerana aktif dalam gerakan pelajar. Kerana tertarik dengan penubuhan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu di Victoria Institution (VI), Kuala Lumpur pada 1945, beliau telah menyertainya.

Pada 1946, ia bertukar menjadi Kesatuan Kesuratan Penuntut-penuntut Melayu yang bersifat nasional dengan Aminuddin Baki sebagai setiausahanya.

Pada April 1946, Aminuddin Baki memubuhkan pula Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) yang berpusat di Perak. Apabila berhijrah ke Singapura pada 1947, beliau menyertai Persatuan Pelajar Islam Raffles College dan Medical College. Penubuhan Umno yang menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu telah memberi idea kepada beliau untuk mewujudkan gabungan 11 buah badan pelajar Melayu dan menubuhkan GPMS pada Ogos 1948.


Aminuddin Baki merupakan Yang Dipertua-Pengasas GPMS. Beliau juga terlibat dalam Persatuan ar-Rahman dan Persatuan Sejarah Tanah Melayu.

Walaupun perjuangan Umno begitu popular ketika itu, sebagai pemimpin terpelajar, Aminuddin Baki lebih cenderung kepada perjuangan politik antipenjajah Dr Burhanuddin yang membawanya menjadi penyokong PKMM dan menganggotai API bersama Ustaz Baharuddin Latif, Ustaz Othman Hamzah dan lain-lain.

Apabila Dr Burhanuddin menyertai PAS, Aminuddin Baki memilih untuk menjadi ahli PAS tetapi tidak aktif di barisan hadapan, sebaliknya menjadi pemikir PAS di belakang tabir.

Walau bagaimanapun, usia perjuangan Aminuddin Baki tidak panjang kepada pada 25 Disember 1965, beliau mengalami serangan jantung yang membawanya menemui Ilahi selepas solat ketika baru berusia 39 tahun.

Kerana jasanya yang besar, banyak institusi pendidikan di negara ini mengabadikan namanya termasuk Institut Aminuddin Baki, Kolej Aminuddin Baki di UKM dan UPSI, Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Yayasan Aminuddin Baki, Aminuddin Baki Center for Global Studies UPSI dan lain-lain.- tajdid _

Tuesday, October 28, 2008

Tokoh: Omar al-Mokhtar (Singa Padang Pasir)

HarakahDaily.Net

Figur: Omar Mokhtar, singa padang pasir digeruni musuh

Susunan Ustaz Zainudin Hashim Mon Oct 27, 08 12:06:11 pm MYT

Tokoh terbilang ini nama penuhnya Omar al-Mokhtar Muhammad Farhat Abridan Muhammad Mukmin Buhadimeh Abdullah bin Manaf Bin Muhsen bin Hasan bin Ikrimah bin al-Wataj Bin Sufyan bin Khaled bin al-Joshafi bin Toher Bin al-Arqa' bin Sa'id bin Uwaidah bin al-Jareh bin Khofi bin Hisham Bin Manaf al-Kabir yang berketurunan sampai kepada bangsa Quraisy.

Omar dilahirkan di perkampungan Timur Jenzur di timur Libya bersempadan dengan Mesir pada 1858M. Beliau lahir dalam keadaan yatim piatu apabila kedua-dua ayah dan ibunya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji.

Omar mendapat pendidikan awal di desanya sebelum melanjutkan di peringkat menengah di bandar al-Jaghbub kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli.

Beliau menetap di situ selama lapan tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama di tangan para ulama tersohor seperti Imam Saiyid al-Mahdi as-sanusi tokoh ulama sufi tarekat as-Sanusiyyah.

Beliau sempat belajar bahasa Arab, subjek-subjek yang berkaitan dengan Syariat Islamiah, ilmu-ilmu al-Quran dan menghafaznya dalam usia yang begitu muda.

Kepintaran beliau dapat dikesan oleh para gurunya dan mendapat perhatian serius dalam setiap subjek yang dipelajari. Begitu juga bakat kepimpinan yang ditampilkan beliau semasa belajar di situ. Beliau sering dipuji melangit oleh guru-gurunya kerana contoh teladan yang ditunjukkan di samping disiplin ketika belajar.

Beliau telah diminta oleh Syeikh al-Mahdi untuk mengiringinya ke Sudan dan Chad pada 1899 ketika beliau berusia 37 tahun memimpin pasukan mujahidin as-Sanusiyyah menentang penjajah Perancis, di mana beliau sudah mula terlibat dalam jihad menentang penjajah yang sering mendatangkan masalah kepada negara.

Menyertai jihad

Libya merupakan destinasi kedua Itali selepas Turki yang ditaklukinya pada 29 September 1911 untuk melenyapkan pemerintahan Islam Othmaniyyah yang akhirnya jatuh pada 1924 di tangan Inggeris.

Ia menghadapi tentangan hebat daripada tentera Itali yang mahu menakluk Libya seluruhnya, ini bermakna selepas tahun 1911, suasana untuk belajar secara formal tidak lagi dianggap munasabah, kerana di mana-mana pelosok dibanjiri dengan peluru dan bom tentera Itali.

Omar al-Mokhtar telah biasa dengan suasana itu. Ketika umurnya 37 tahun beliau telah menyertai jihad menentang Perancis di sempadan Sudan dan Chad, iaitu satu usia yang dianggap muda khususnya dalam suasasan peperangan.

Libya menanti kehadiran pasukan tentera laut Itali yang menyeberangi Laut Mediterranean untuk menyusup masuk bandar Tripoli dan Benghazi pada 1912, iaitu dianggap tahun berlakunya peperangan besar antara tentera Itali dan Libya.

Mujahidin Libya yang diketuai oleh Omar al-Mokhtar berjaya membunuh belasan tentera laut Itali, mengusir 400 daripada mereka dan merampas persenjataan perang serta alat-alat kelengkapan perang yang menjadikan pergerakan mereka lebih mudah untuk mengusir dan bertahan.

Kejayaan Omar al-Mokhtar menghadapi tentera Itali boleh dibahagikan kepada tiga aspek penting:

1. Menghalang kemasukan tentera laut Itali dari Mesir dan memperkukuh barisan mujahidin di bandar Marmarika.

2. Pengawasan mujahidin di persempadan negara-negara jiran seperti di al-'Arqub, Salnatah dan al-Mukhili.

3. Persediaan mujahidin sepenuhnya di Miswas dan Ajdabiya yang merupakan pintu masuk penjajah.

Jeneral Itali yang bertugas pada waktu itu sudah dapat menghidu pergerakan Omar al-Mokhtar serta perancangannya, maka beliau mengarahkan supaya mencetuskan peperangan hanya menunggu di Umm Syakhnab, Syalizimah dan Zuwaitinah, ia berlaku pada 1914M hingga tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Ketokohan Omar terserlah

Perang Dunia I berlarutan antara 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918 dan ia bermula di rantau Balkan dan ketika itu juga kebanyakan negara-negara Barat atau lebih dikenali sebagai negara-negara yang menyimpan dendam kesumat terhadap Islam akibat kekalahan dalam perang Salib satu ketika dahulu.

Mereka menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap negara-negara umat Islam di seluruh dunia. Negara-negara yang jelas menunjukkan kebencian terhadap Islam adalah seperti Belanda, Perancis, Jerman, Itali, Britain, Sepanyol dan lain-lain.

Apabila tentera Itali mula memasuki Libya peringkat demi peringkat serta mencetuskan kekacauan pada 1922, Omar al-Mokhtar menyusun strategi untuk menghadapi kemaraan tentera-tentera Itali yang tidak diundang.

Selain sibuk dengan kelas-kelas pengajian al-Quran dengan anak-anak orang kampungnya, beliau tetap mempersiapkan generasi muda untuk bangkit berjihad ketika beliau mencecah usia hampir 50 tahun. Tetapi semangat untuk berjihad tetap membara seperti ketika beliau menemani gurunya satu ketika dahulu di sempadan Sudan dan Chad menghadapi kerakusan bala tentera Perancis.

Omar al-Mokhtar dan anak-anak buahnya yang berjihad walaupun pada peringkat awal berjaya melepasi serangan demi serangan daripada pihak Itali yang merasakan bahawa kepimpinan dan pengalamannya dalam peperangan sukar untuk ditembusi, kepimpinannya dikagumi pihak musuh, namun kehadiran tentera Itali di bumi Libya adalah untuk menaklukinya.

Justeru, mereka juga mempunyai pelbagai perancangan dan kemudahan peralatan berbanding Omar dan rakan-rakannya yang berbekalkan senjata lapuk. Namun keimanan yang cukup tingi kepada Allah SWT merupakan senjata ampuh yang sukar dikalahkan dan mereka tetap menjadi sasaran musuh untuk dikalahkan. Bagi mereka (musuh Itali) jika Omar dapat dikalahkan bermakna mudahlah Libya di bawah penguasaan mereka.

Dihukum gantung sampai mati

Akhirnya Omar berjaya ditahan. Beliau dan beberapa orang kanannya didakwa dan dibicarakan, keputusan menyebut bahawa Omar al-Mokhtar didapati bersalah kerana melawan kerajaan Itali dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Sebelum beliau digantung pada pagi 16 September 1931 di hadapan pembesar Angkatan Tentera Itali, beliau meminta izin untuk berpesan kepada seluruh rakyat Libya yang hadir untuk menyaksikan hukuman berkenaan dan jasadnya yang terakhir sebelum terkulai layu sebagai syahid.

Beliau meingatkan kepada mereka: "Kita tidak akan menyerah dengan mudah kepada pihak musuh, kerana sama ada kita menang ataupun kita mati, ini bukanlah penghujung perjuangan kita. Bahkan kamu semua juga akan menghadapi peperangan demi peperangan, jika kamu gugur, ia akan diteruskan oleh generasi selepas kamu, adapun umur aku sendiri hanya setakat ini, tetapi ia terus hidup menjadi kenang-kenangan sampai bila-bila (sekurang-kurangnya aku telah menunjukkan jalan yang baik) untuk mempertahan agama Allah yang benar di muka bumi ini."

Thursday, September 18, 2008

Sekadar renungan bersama Allahyarham Fadzil Nor

HarakahDaily.Net

Ingat pesanan Ustaz Fadzil - Perangi khurafat kedua Umno!

Zulkifli Yahaya Fri Sep 12, 08 11:40:11 am MYT

Al-marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor pernah mengajak rakyat memerangi khurafat yang dibawa Umno di kalangan orang Melayu, iaitu dengan mendakwa hanya Umno boleh memerintah.

Al-marhum dendiri yang menamakan dakwaan itu sebagai khurafat, iaitu amalan atau kefahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam. Khurafat besar itu berakar umbi dalam kefahaman orang Melayu sejak sekian lama.

Hasil penerangan bersungguh-sungguh dan penuh istiqamah pejuang PAS, khurafat itu makin hari makin terhakis. Hari ini sekurang-kurangnya enam buah negeri di Semenanjung pernah menolak fahaman khurafat tersebut.

Setelah terbukti di depan mata bahawa Umno boleh untuk tidak jadi pemerintah, maka fahaman songsang itu tidak lagi dijaja di kalangan orang Melayu.

Namun tidak bermakna usaha menyambung hayat kuasa melalui fahaman khurafat yang diterapkan di kalangan orang Melayu dihentikan.

Mereka menukar pula fahaman yang ditolak tadi kepada kenyataan baru iaitu kuasa Melayu-Islam terhakis jika Umno hilang kuasa.

Selepas pilihan raya umum ke-12 Umno mencanangkan Melayu hilang kuasa di Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Nasib Melayu dan Islam akan terancam.

Negara dikejutkan dengan kenyataan seorang pemimpin Umno di Pulau Pinang, Ahmad Ismail yang mendakwa masyarakat Cina hanyalah penumpang di negara ini dan adalah mustahil untuk mereka mendapat hak yang sama dengan Bumiputera. Ucapan itu dibuat dalam siri kempen BN di Permatang Pauh.

Setelah disergah parti komponen BN dari kalangan Cina, Umno jadi gelabah dan Timbalan Presidennya, Najib Tun Razak sepantas kilat menuntut maaf kepada masyarakat Cina atas perlakuan yang bukan dilakukannya.

Ahmad lalu menjelaskan bahawa apa yang disampaikan beliau adalah pernyataan di zaman British. Beliau hanya menyampaikan fakta sejarah, bukan berniat mahu memusuhi orang Cina.
Soalnya mengapa kuliah sejarah itu diadakan sewatu berlangsung pilihanraya kecil Permatang Pauh, di hadapan pengundi Melayu?

Bukankah kerana mahu memberitahu orang Melayu bahawa ketuanan serta hak istimewa mereka akan hilang jika mengangkat manusia bernama Anwar Ibrahim menjadi pemimpin lantaran beliau bersekongkol dengan DAP yang kononnya mahu mensaksamakan hak-hak rakyat jelata negara ini berasaskan Malaysian Malaysia?

Alangkah lebih baik jika Ahmad menjelaskan begitu dari berputar-belit ke hulu ke hilir menyalahkan wartawan kononnya menyalahtafsirkan kenyataannya.

Isu besar yang diprojekkan ke benak pemikiran orang Melayu pasca-pilihanraya umum ke-12 ialah Melayu kehilangan kuasa politik, sekurang-kurangnya di tiga negeri, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Kehilangan kuasa Melayu, ditakrifkan Umno sebagai keadaan di mana Umno tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

PAS dan Melayu KeADILan tidak sempurna Melayunya. Umno sahaja barangkali yang lebih Melayu dari orang Melayu. Isu yang dibawa Umno selepas mereka hilang kuasa ialah isu berasaskan asobiyyah kaum.

Sejak Umno hilang kuasa di lima negeri, isu-isu yang mereka ketengahkan sentiasa berbaur perkauman. Isu kandang khinzir, pemberian tanah kepada masyarakat bukan Melayu, pelajar bukan Melayu di UiTM, pemberian projek tidak berasaskan kronisme DEB adalah antara yang dimainkan Umno.

Persoalan besarnya ialah mengapa isu 'memperjuangkan' Melayu hanya bergegar selepas Umnohilang kuasa. Separuh abad Umno berkuasa di Pulau Pinang, masih terdapat orang Melayu yang merempat di pinggir bandaraya.

Ahmad Ismail pun tentu menyaksikan sendiri satu demi satu tanah milik Melayu Pulau Pinang tergadai kepada orang lain. Tanah orang Melayu yang menguasai Balik Pulau 30 tahun dulu, sekarang apa dah jadi?

Isu Melayu Pulau Pinang sudah jelak untuk diperkatakan. Semakin diulas semakin menyakitkan hati.

Sepanjang separuh abad Umno-BN berkuasa di negeri itu, tidak ada satu hari di mana ekuiti orang Melayu bertambah dari sebelumnya (berbanding bukan Melayu) melainkan terus berkurang dan berkurang.

Umno ternyata gagal membangunkan Melayu sewaktu berkuasa. Mengapa sekarang, waktu hilang kuasa, baru terhegeh-hegeh nak perjuang hak Melayu yang terhakis?

Semua tahu Pulau Pinang adalah negeri yang didominasi Gerakan. Penasihat Gerakan Tun Dr Lim Kheng Yaik sewaktu bersama Umno pun menyampah dengan gelagat parti itu. "Kami menghadapi Umno yang paling bongkak sekali ekoran keputusan pilihanraya 2004.

Penyalahgunaan kuasa, rasuah, tender secara perundingan yang kebanyakannya diperolehi syarikat yang ada kaitannya dengan Umno," kata Lim Kheng Yaik dalam temubualnya dengan The Edge.

Paling menarik ialah pembongkaran beliau mengenai budaya politik wang Umno yang turut memberi kesan kepada parti komponen BN yang lain. "Semuanya wang, wang, wang dan wang," ujar Kheng Yaik.

Amat memalukan apabila rakan bukan Melayu Umno yang mendedahkan perangai buruk mereka yang meletakkan duit sebagai mauduk perjuangan.

Jelaslah, dakwaan bahawa kuasa Melayu hilang ekoran kekalahan Umno adalah khurafat kedua yang mesti diperangi. Khurafat itu pula mereka peralatkan untuk menagih kuasa.

Teruk benar Umno, bukan setakat 'sumpah' mereka peralatkan, 'khurafat' pun mahu diperalatkan.

Thursday, July 24, 2008

Tok Guru: Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah


harakahdaily

Lanjusoh & Salmah Mat Husain Wed Jul 23, 08 8:19:30 pm MYT

KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah).

"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.

"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"katanya pada persidangan media di sini, lewat petang ini.

Sebelum itu rombongan anggota Majlis Syura Ulama mengunjungi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 di sini. Perbincangan terbabit diadakan hampir dua jam.

Turut kelihatan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud.

Ikut serta pertemuan tersebut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu perkataan muzakarah yang di'geger'kan sebelum ini ditukar kepada istilah muqabalah (perjumpaan biasa).

Menurutnya keputusan syura sebelum ini bersetuju diadakan pertemuan biasa dengan pemimpin Umno kerana syura sudah membuat keputusan sebulat suara.

Perkara itu diputuskan pada 23 April lalu manakala pertemuan dengan pemimpin Umno hanya diadakan pada 20 Julai lalu.

Ustaz Abdul Hadi pula berkata, apa yang sebenarnya berlaku bukan muzakarah sebaliknya muqabalah di antara PAS dengan Umno bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dialami umat Islam dan rakyat seluruh negara.

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan,"katanya.

Bagaimanapun katanya dalam Pakatan Rakyat persefahaman kita tidak akan menjadi halangan, masing-masing memperjuangkan ideologi dan tetap berganding dalam isu-isu bersama.

Menurutnya sebagai orang Islam, PAS wajib menyuarakan kepada orang Islam lain dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan keadilan Islam kepada semua kaum yang ada di negara ini.

Kata beliau di atas prinsip itulah diputuskan Majlis Syura Ulama di mana Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali bertemu dengan pemimpin Umno bagi menimbulkan isu-isu berkaitan.

Manakala Dr Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS menyedari masalah tersebut berlaku sebelum disedari wartawan, di mana perbincangan Majlis Syura mengenainya dibuat pada April lalu.

"Ketika itu tidak timbul isu muzakarah. Majlis Syura telah menangapi perlu diberi ruang untuk kita bermuqabalah dari face to face.

"Namun apa yang timbul sekarang perkataan muzakarah itu seolah perlawanan seperti yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini di antara Menteri Penerangan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu berlawan macam itu, kita nafikan ada muzakarah. Kalau dedahkan begitu akan menimbulkan masalah kerana akan ada yang kalah dan menang. Hanya apa yang ada sekadar pertemuan biasa," katanya.

Beliau menjelaskan mengapa hendak dilarang pertemuan biasa dan PAS bersetuju bekerjasama dalam semua perkara demi kebaikan semua rakyat di Malaysia.

Ditanya pertemuan lain bakal diadakan selepas ini, kata beliau itu mengikut keperluan.

"Bagaimanapun kita mahu lihat respon daripada Umno terhadap apa yang kita kemukakan terlebih dahulu," ujarnya.

Menurutnya juga usaha pertemuan itu sebenarnya dianjurkan pihak Umno.

Kata beliau, mereka yang mengusahakan dan bukti jelas dilihat kepada kenyataan ada tiga pertemuan sebelum ini dibuat sendiri Presiden Umno.

"Mereka yang membuat kenyataan dan merekalah yang mengusahakan pertemuan sebelum ini,"katanya.
mahathirisma - Melalui pelbagai isu akhir2 ini, aku harap orang2 UMNO banyak la dapat belajar vocab Bahasa Arab seperti muzakarah, muqabalah, mubahalah, syura dsb..

Tuesday, July 8, 2008

Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)

http://epondok.wordpress.com
.
Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek, Hj. Salleh Pedada dll.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai imam tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920)

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah untuk mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di beri nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang tegas.

Kerana kegigihannya yang sedemikian, maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi, Hj. Nik Man Sg. Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang, Hj. Yahya joned Gurun, Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj. Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.

Monday, June 30, 2008

Sheikh Abdullah Fahim: Ketua Dewan Ulama PAS pertama


harakahdaily

Isnin 30 Jun 2008 25 Jamadil Akhir 1429 Hijrah

Mohd Fadli Ghani, Jabatan Arkib PAS Thu Jun 26, 08 5:08:45 pm MYT

Kepulangan Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini.

Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang berasal dari Makkah.
Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an.

Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab.

Beliau dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921.

Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun.

Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara.
Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai �Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah�. Perkataan �al-Wathaniyah� atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat kemerdekaannya.

Tuan Guru Haji Abdullah Fahim bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum (adami).

Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed.

Setelah meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan menguruskan Madrasah Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai guru besar.
Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana.

Selepas Perang Dunia Kedua tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang.
Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan kemerdekaan.

Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan.

Walaupun Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk menyertainya.
Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya.
Haji Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan Haji Ahmad Fuad.

Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini juga.

Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS, hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd Saghir.
Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi; menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan beberapa yang lain.

Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama, maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama.
Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein.

Pada akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai, PAS meluluskan usul tersebut.
Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh Abdullah Fahim.

Walaupun tidak lagi bersama PAS selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri (Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955.
Isu ini menjadi hangat kerana ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah diluluskan dengan beralamat di �Arabic School, Kepala Batas� iaitu madrasah milik Haji Abdullah Fahim.

Sumbangan penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.- tajdid _

Tuesday, June 24, 2008

Setelah enam tahun, kehilangan Ustaz Fadzil masih terasa


Harakahdaily


Muna Izzah Fadzil Mon Jun 23, 08 6:58:50 pm MYT


Tanggal 23 Jun datang lagi. Sudah 6 tahun tarikh sedih ini bermula dengan pemergian dan kehilangan seorang baba dan suami kepada anak-anak serta isteri yang tercinta ke rahmatullah.


Dan kepada penyokong-penyokong serta pendokong-pendokong parti islam dalam negara jua luar negara juga merasai kehilangan tokoh ilmuan dan dan pemimpin sebuah jamaah yang mendokong perjuangan Islam ini.


Al-Marhum Fadzil bin Mohd Noor, sekiranya masih hidup, telah berusia 71 tahun pada 13 Mac yang lepas.


Namun dalam usianya 65 tahun, beliau meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman yang menyerangnya, susulan daripada pembedahan koronari di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi.


Sejak kecil mengenali kematangan hidup, dan kematangan itulah yang dibawa hingga kini walaupun jasadnya sudah tiada.


Oh ya, ada sesuatu fakta yang perlu saya perbetulkan di sini iaitu selalu mereka yang menulis mengenai baba,bahawa beliau sejak kecil adalah anak yatim. Sebenarnya tidak.


Ayahnya meninggal dalam than 1972 dan ibunya meninggal dalam tahun 1997. Dan juga ketika hayatnya beliau tinggal di Alor Setar dan bukannya di Muassasah. Hanya tempat persemadian beliau sahaja di Muassasah seperti yang beliau wasiatkan.


Bermimpikan 'Baba'


Terima kasih. Semua yang mengenalinya sudah maklum bahawa ketika hayatnya beliau sangat komited dengan apa yang diperjuangkan dan dilakukan dalam setiap perkara yang dilakukannya.


Perwatakannya yang kadang-kadang diam tetapi sangat prihatin dan kadang-kadang banyak bercakap, menjadi ingatan setiap yang mengenalinya. Bagi seorang anak, mewakili adik-adik, serta menantu juga cucu, dan terutamanya mama saya, tidak pernah lekang ingatan kami terhadap beliau.


Mimpi mama sering dikunjugi baba dan kami akan bermimpi baba sekiranya kami punya masalah atau terlalu rindukan beliau. Itu sahaja pengubat rindu kami.


Pemimpin datang dan pergi, namun seorang baba pasti dan tidak akan ada penggantinya. Berbalik kepada pandangan pendokong Islam, pemikiran dan kepimpinannya sangat dirasai.
Banyak perkara yang dilakukan, dengan kuasa Allah telah membuahkan hasil berkat usaha beliau dan sahabat-sahabat pimpinan yang lain dan semua pihak.


Seringkali saya ditegur kenalan-kenalan baba yang menyatakan mereka terasa kehilangan beliau. Saya hanya mampu tersenyum dan menghargai semua itu. Tetapi kadang-kadang terasa kehilangan sahaja tidak mencukupi.


Mengkagumi pemikiran beliau sahaja juga tidak mencukupi. Saya bukan yang layak menyatakan perkara ini, tetapi saya melihat, pemikiran beliau harus dilebar dan diperkembangkan lagi oleh kepimpinan yang ada.


Kepimpinan yang ada kini bagi saya sudah cukup dibanggakan, dan hebat dalam memimpin organisasi. Wajah-wajah muda beriringan dengan mereka yang sudah berpengalaman akan menjadikan Parti Islam Semalaysia makin dapat diterima kawan dan lawan.


"Pengorbanan perasaan yang paling sukar dilakukan,"itulah ungkapan Al-Marhum yang sering diluahkan.


Sebelum ini saya tidak begitu menghayati luahan hati tersebut, namun apabila saya berada dalam Nisa, Puan Mastura sering menyatakan ungkapan ini dalam perjumpaan kami.


Setelah mengharungi susah payah di dalam Nisa, saya makin mengerti ungkapan baba ini. Beliau sebenarnya meluahkan apa yang terbuku di hatinya dengan melontarkan ungkapan tersebut.


Memang benar pengorbanan harta benda, wang ringgit, tenaga serta masa bukan sesuatu yang sukar untuk diberi, namun perasaan amatlah sukar untuk dikorbankan.


Kini saya makin mengerti, kenapa baba diam apabila orang mempertikaikan keputusannya dan kenapa beliau juga tersenyum apabila orang tidak berpuas hati dengan sesuatu tindakan.


Jarang sekali beliau membebel di rumah bercerita mengenai masalah dalaman parti, kerana baba perlukan hiburan di rumah iaitu kasih sayang dan bebelan mama dan anak-anak. Itu yang membahagiakannya.


Beliau tidak perlukan perbahasan politik di rumah, kerana sakit yang dirasai dalam hati, dipendam dan dikorbankan ego serorang pemimpin. Kami mungkin tidak mengetahui bagaimana beliau berhadapan dengan suasana politik yang sebenar ketika itu dan mungkin anda semua yang lain lebih mengetahuinya.


Lempar dengan batu,dibalas bunga


Namun kami memerhati siapa sahaja yang ber'deal dengannya.Kami memerhati sikap orang terhadapnya, dan bagaimana reaksi beliau terhadap segala sikap itu. Dan di situ kami belajar banyak perkara.


Saya tidak pasti apa yang orang lain belajar daripada pemikiran beliau tetapi saya belajar ungkapan yang saya sebutkan tadi. Pengorbanan perasaan dalam jamaah sangat sukar dilakukan.


Ada kalanya kita memberi bunga, kita dilemparkan dengan batu. Dan ketika itulah , adakah kita akan bertindak dengan membaling batu juga? Kerana itulah terdengar pulak ungkapan oleh YAB Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekiranya orang lempar batu pada kita, kita balas dengan bunga. Dan ketika itulah pengorbanan perasaan dilakukan. Adakah anda mengerti rantaian ungkapan-ungkapan ini?


Kematangan dalam kepimpinan politik,keterbukaan, kasih sayang, pandai menghargai adalah antara watak-watak beliau yang saya secara peribadi mengakagumi beliau.


Kepetahan berpidato adalah pelengkap dirinya yang dimanfaatkan sepenuhnya dalam menjalani tugasannya sebagai Ketua Pembangkang dan ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen. Kini saya merindui kepetahan itu di kalangan sahabat-sahabat beliau di dalam Parlimen.


Sudah pasti al-marhum berasa gembira dengan kemenangan PAS dan rakan kongsi PAS yang lain, dan sekiranya itu, beliau juga dan sudah pastinya pemimpin terdahulu tidak mahu kita semua mempersiakan peluang yang sudah diberi Allah.


Pemikiran beliau dan mereka yang telah pergi, mestilah digarap bersama dengan pemikiran yang ada kini supaya tampak parti yang didokong ini maju dari segi kematangan politik serta akhlaq yang baik. Ketika senang, ujiannya pasti lain dan lebih menguji diri.


Saya sebagai anak pasti merasa bangga dengan beliau tapi saya lebih merasa bangga sekiranya pemikiran beliau bukan sahaja diwacanakan TETAPI diaplikasikan bersama untuk maju ke depan. Terima kasih kepada anda semua yang menjadi penyambung warisan kepimpinan dan teruskanlah usaha-usaha yang baik.


Kami semua mungkin tidak mampu menjadi seperti anda yang berada secara langung dalam arena politik kerana jawatan dan kepimpinan bukannya warisan turun temurun tapi percayalah darah yang mengalir di dalam tubuh al-marhum ada dalam diri kami, dan secebis kata baba, kebaikan dan dakwah boleh dilakukan dalam setiap perkara.


Tidak terhad kepada politik sahaja, tapi akedemik, kekeluargaan dan apa jua yang bidang yang diceburi.Buat yang terbaik dan yang termampu. Sudah pastinya kami bersama anda semua, insya-Allah, dan pesanan itu yang dipegang sehingga kini.


Terima kasih kepada En Rashidi yang meminta dituliskan sesuatu pada hari ini untuk disiarkan di Harakah.Dan kepada Dato' Kamarudin Jaafar dan Pimpinan PAS yang lain, serta sabahat baik baba, Pak Cik Ismail Mina, sekalung penghargaan dan terima kasih kerana sudi untuk menganjurkan Majlis Tahlil beliau walau tarikh terpaksa dienjak sedikit.


Dan ucapan terima kasih khusus mewakili mama saya yang kini berada di Mesir dan kami sekeluarga untuk Pak Cik Latif, bekas peneman Al-Marhum yang ditugaskan membawa kereta baba ketika hayatnya, yang hingga kini tidak pernah lupakan kami semua dan tidak pernah berhenti bertanya khabar kepada kami. Itu sudah cukup membahagiakan kami.


Dan kami mengucapkan terima kasih di atas doa dan ingatan semua anda di luar sana , para pencinta Islam, para penyokong, para sabahat dan sesiapa sahaja terhadap beliau. Tidak terbalas jasa anda semua terhadap semua ingatan itu. Permohonan maaf jua dihulurkan sekiranya ada kesalahan yang dilakukan ketika hayatnya.


Dan kepada baba, biar bertahun lagi hidup kami di dunia ini, dirimu tak pernah kami lupakan dan setiap detik, baba ada di dalam jiwa kami dan pasti kami berdoa kita dapat berkumpul bersama seperti dahulu untuk berjumpa Allah di akhirat sana.Al-FATIHAH.


* Muna Izzah Fadzil adalah anak perempuan almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. _

Friday, June 13, 2008

Pilot Peluk Islam Setelah Pesawat Bawa Jenazah Ulama Dilindungi Awan


Oleh husamjr

"Tajuk diatas ialah tajuk sebuah artikel diruangan Pedoman & Iktibar majalah Mastika keluaran Julai 2008 (ms118). Ia merupakan artikel menarik selain daripada artikel mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz di ms 84.

Meremang bulu roma saya setelah membaca kehebatan ulama tersebut sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam.

Bukan itu sahaja, menurut pilot tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.

Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau.

Antaranya :

Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.

Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur

Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang.

Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.

Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat beliau.

Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.

Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya yakin, berdasarkan fakta2 tersebut, ulama yang dimaksudkan ialah Almarhum Ustaz Fadhil Nor, mantan Presiden PAS.

Almarhum meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002.

Almarhum disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya.

Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 orang.

Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20 km. Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km. Subhanallah.

Cerita awan memayungi pesawat yang membawa jenazah Almarhum Ustaz Fadhil Nor ini mungkin baru kita dengar. Dan ia diceritakan oleh pilot yang membawa kapal terbang tersebut.

Inilah bila berjuang dengan keihklasan, balasan yang Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita dan ia sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah. Kehebatan & keihklasan Almarhum berdakwah dan berjuang untuk agama sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam.

Sememangnya Almarhum berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia ini. Almarhum disegani teman dan lawan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.

Al-Fatihah."

[Diambil dari http://www.tranungkite.net/v7/]