Friday, August 1, 2008

Harakah Kembali

Hampir 10 tahun para pendokong PAS yang begitu dahagakan informasi dari akhbar Harakah, terpaksa bersabar menantikan penerbitan 2 kali sebulan. Sebelum itu, Harakah mempunyai hak untuk menerbitkan 2 kali setiap minggu.

Pada ketika itu (ketika aku masih belajar di IPT), akhbar arus perdana telah menghadapi kehilangan kredibiliti yang teruk akibat fitnah terhadap mantan TPM di samping tekanan ke atas pembangkang yang lain. Maka, Harakahlah yang menjadi rujukan kebanyakan masyarakat pada waktu itu. Dan, seperti biasa, dengan alasan yang mengarut, kerajaan cuba untuk menghapuskan pengaruh akhbar ini dan sekurang-kurangnya mereka berjaya mengurangkan kadar penerbitannya.

Kini, Harakah kembali menyinari hidupku.



Harakah baru dilancar 15 Ogos

Jimadie Shah Othman Aug 1, 08 4:53pm

Media rasmi PAS Harakah edisi baru akan menemui pembaca pertengahan bulan ini dengan wajah baru, lebih banyak berita, lebih nipis dan lebih murah.

Ketua pengarangnya Ahmad Lutfi Othman memberitahu Malaysiakini, ia akan berada di pasaran pada setiap Isnin dan Jumaat seperti sebelum dikurangkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada awal 2000.

Harganya kini RM2.50 akan dikurangkan kepada RM2, manakala tebalnya dikurangkan daripada 80 halaman kepada 56 halaman.

Ia akan dilancarkan secara rasmi ketika muktamar parti itu di Ipoh pada 15 Ogos oleh presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Kali ini, Harakah mahu menjadi sebuah akhbar yang betul-betul akhbar," katanya dengan ketawa kecil.

Muktamar PAS kembalikan nostalgia

malaysiakini

Abdul Rahim Sabri Aug 1, 08 4:43pm


Setelah usianya 54 tahun, PAS kali ini mengadakan muktamarnya dalam suasana "kemenangan besar" selepas pilihanraya umum Mac lalu di negeri kelahirannya Perak.

"PAS Perak minta muktamar diadakan di sini untuk mengembalikan nostalgia lama kerana PAS mula ditubuhkan di sini (di Gunung Semanggol)," kata setiausaha urusetia muktamar tahun ini Syed Mohamad Syed Hassan. Pertemuan selama lima hari di Ipoh - negeri yang kini bermenteri besar wakilnya Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin - dijangka dihadiri lebih kurang 1,000 perwakilan dari seluruh negara bermula 13 Ogos.

Penolong setiausahanya Salman Salleh pula berkata persiapan untuk acara tahunan itu kini di tahap akhir iaitu menyiapkan pentas dan semua bahan persidangan.

Menurutnya, majlis perasmian dan ucapan dasar disempurnakan oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 15 Ogos bermula jam 8 pagi di Stadium Tertutup Indera Mulia.

Manakala perbahasan penuh muktamar akan berlangsung di tempat yang sama pada jam 2.30 petang.

Sebelum itu, katanya, tiga sayap parti iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan mengadakan muktamar mereka berasingan pada 13 dan 14 Ogos.
Dewan Ulama bermesyuarat pada 14 Ogos di Dewan Bandaran, berhadapan dengan Hotel Majestic, Ipoh. Ia akan dirasmikan sendiri oleh ketuanya Datuk Mohamed Daud Iraqi.
Menurut setiausaha Pemuda PAS Ahmad Sabki Yusof, muktamar dewan itu berlangsung pada 13 Ogos di stadium tertutup itu jam 8 malam. Ia akan dirasmikan oleh timbalan presiden PAS Nasaruddin Mat Isa.
Manakala Dewan Muslimat, menurut setiausahanya Aiman Athirah al-Jundi, akan bertemu pada 14 Ogos di Hotel Hill City. Ia akan dirasmikan oleh naib presidennya Mohamad Sabu.
Menurut Salman tema muktamar tahun ini belum dimaklumkan kepada pihak urusetia.
Beliau juga memaklumkan terdapat gerai-gerai untuk berniaga yang buka di sebelah stadium tertutup tersebut.
Selain bermesyuarat, tambahnya, muktamar ini turut diserikan konsert kesenian Islam, forum perdana dan ceramah perdana.
Ditanya isu-isu hangat yang akan dibincangkan dalam pertemuan nasioanl itu, Salman berkata:"Isu muqabalah dan muzakarah dengan Umno kemungkinan akan menjadi isu hangat yang akan dibincangkan dalam muktamar ini.
"Selain itu, isu tentang keahlian orang-orang bukan Islam (penyokong bukan Islam PAS) akan dibahaskan dalam muktamar kali ini.
"Beliau menjelaskan isu-isu berbangkit bagaimanapun bergantung kepada perwakilan-perwakilan setiap negeri untuk dibahas bergantung pada usul yang dikemukakan.
Ucapan penggulungan muktamar disampaikan oleh Abdul Hadi 8 pagi 17 Ogos.

Realiti Politik Hari Ini: Ulasan MSO

http://msomelayu.blogspot.com/

Jadilah Isteri Semulia Azizah

Kendangkalan Otak Politik Pemimpin Umno


MANUSIA politik kadang-kadang menjadi tidak siuman dan kadang-kadang menjadi buta mati dan buta perut. Apabila Dr Wan Azizah Ismail berkorban untuk suaminya, Anwar Ibrahim dengan mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh berbagai tafsir dan ulasan dilemparkan. Semua ulasan itu menggambarkan kecetakan daya politik mereka.

Nak tak tahu sejauh mana cerdik atau bodohnya makhluk politik Umno ini bacalah akhbar penjilat buntut mereka keluaran hari ini.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan langkah Anwar untuk bertanding di Permatang Pauh ialah kerana takut kalah dan tidak yakin menang kalau bertanding di kawasan lain. Kata menantu Perdana Menteri itu isu-isu di sekliling Awnar kini menyebabkan bekas TPM itu gentar.

Kata bos Khairy pula, Hishamuddin Hussein tindakan Anwar itu satu helah untuk mengalihkan perhatian tetang dakwaan liwat yang dilemparkan ke atasnya. Hishamuddin juga mempersoalkan pengumuman itu lebih awal daripada tarikh 16 September di mana tarikh untuk menumbangkang kerajaan BN.

Kata Cina bernama Liow Tiong Lai Ketua Pemuda MCA, tindakan Wan Azizah itu sebagai tidak bertanggungjawab kepada pengundinya dan menjadikan jawatan ahli Parlimen sebagai hak milik keluarga.

Manakala juara baru Umno, Ezam Mohd Noor pula menjual diri beliau bersedia bertempur dengan Anwar dan akan berada di barisan hadapan bagi menentang Anwar dalam pilihan kelak meskipun beliau tidak menjadi calon BN.

Kecuali ulasan Dr Mahathir Mohamad dan Syed Hamid Albar kesemua ulasan itu menandakan kerendahan akal fikir politik mereka dan menunjukkan betapa dangkalnya nilai siasah para pelaung tetuang itu.

Kepada Khairy mengapa beliau jadi begitu bodoh mempersoalkan bila Anwar memilih Permatang Pauh. Sesiapa pun akan mencari kawasan selamat dan adalah bodoh kalau sengaja menghulurkan tenguk untuk di sembelih. Orang yang bodoh itu semakin bodoh kalau dia tidak tahu menjaga dan mengawal kebodohannya.

Kenapa Khairy semasa bertanding dalam pilihan raya umum baru-baru ini tidak mencari kerusi di Sabah dan Sarawak? Bukankah Khairy seorang yang hebat beliau boleh bertanding di mana saja termasuk Brunei dan Singapura!

Kepada Hishamuddin alsan yang anda berikan dangkal dan remeh. Apakah apabila Anwar mengumumkan untuk bertanding ia boleh mengalihkan hasrat dan niat pihak tertentu untuk menyusahkan Anwar dengan tuduhan itu?

Samada ada pilihan raya ada atau tidak, konspirasi untuk menjatuhkan imej dan maruah Anwar tetap akan dilakukan. Jadi soal tindakan bertanding tidak timbul untuk mengalihkan pandangan terhadap isu yang berlaku di sekitar bakal Perdana Menteri itu.

Kepada Cina bernama Liow Tiong Lai jangan membuat ulasan double standard. Apakah penyerahan kuasa jawatan perdana menteri menerusi pelan peralihan kuasa antara Abdullah Badawi dan Najib Razak itu tidak boleh dianggap jawatan itu seolah milik peribadi dan harta mak bapak Abdullah dan Najib?

Kalau hanya berani menunding jari kepada Anwar dan Azizah tetapi pengecut dan dayus untuk mengkritik perdana menteri lebih baik jangan cakap. Orang seperti ini makin banyak cakap akan menggambarkan makin besar kebodohan dan kebandutannya. Sebagai ahli politik kalau berani mengusik kancil mestilah juga berani mengusik gajah.

Kepada Dr Mahathir dan Syed Hamid teruskan melontarkan kewarasan ulasan anda. Benar kata mereka berdua tidak ada hadiah paling mahal daripada seorang isteri yang disukai suami apabila isteri sanggup berkorban segala-galanya untuk suami. Kata Mahathir kalau Siti Hasmah duduk ditempat Azizah isterinya juga akan melakukan demikian. Manakala kata Syed Hamid tindakan Azizah itu sebagai pengorbanan dan simbol kasih sayang seorang isteri. Walaupun kata-kata itu masih sinikal namun ia lebih lunak daripada kata para pelaung di atas.

Dari saya tahniah dan syabas kepada Wan Azizah. Andalah isteri mithali yang patut diteladan dan dijadikan rule model oleh kaum hawa negara ini.

Liverpool FC: Keputusan Perlawanan Persahabatan (Julai 2008)

Tranmere Rovers..0 Liverpool..1
(Penjaring: Yossi Benayoun)
Prenton Park [12hb Julai 2008]

Liverpool menghadapi perlawanan ini tanpa tonggak penyerang, Fernando Torres dan Daniel Pacheco diberi peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama. Steven Gerard diletakkan sebagai pemain gantian dan dibawa masuk pada separuh masa kedua.

Tranmere Rovers merupakan pasukan yang akan menghadapi kejohanan Coca-Cola League One bagi musim ini. Terkini, pemain muda Liverpool, Charlie Barnett telah menyertai kelab ini dengan menandatangani perjanjian setahun.

FC Lucerne..1 Liverpool..2
(Penjaring: Lucas Leiva, Andriy Voronin)
Stadion Allmend [16hb Julai 2008]

Daniel Pacheco bergandingan dengan Andriy Voronin sebagai jentera serangan bagi perlawanan ini. Pemain baru dari Switzerland, Philipp Degen turut membarisi kesebelasan utama di samping beberapa pemain pelapis muda yang lain.

FC Lucerne baru sahaja melayakkan diri dari Swiss Challenge League ke liga yang terbaik di Switzerland iaitu Swiss Super League pada tahun 2006.

Wisla Krakow..1 Liverpool..1
(Penjaring: Andriy Voronin)
Wisla Stadium [19hb Julai 2008]

Ryan Babel telah bergandingan dengan Andriy Voronin sebagai jentera serangan bagi perlawanan ini. Namun begitu, pemain Belanda ini terpaksa dilepaskan oleh kelab untuk menghadapi Kejohanan Olimpik di Beijing pada 6hb Ogos ini dan bakal terlepas beberapa perlawanan penting untuk Liverpool terutamanya kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.
Wisla Krakow merupakan juara Liga Utama Poland (Ekstraklasa), Polish Cup serta Polish Super Cup pada tahun 2008.

Hertha Berlin..0 Liverpool..0
Berlin [22hb Julai 2008]

Perlawanan berkesudahan tanpa jaringan namun skuad Liverpool hanya dibarisi oleh pemain-pemain muda.
Kini Hertha Berlin sedang menghadapi perlawanan kelayakan Pusingan Pertama Piala UEFA menentang FC Nistru Otaci dari Moldova di mana pusingan pertama mereka mendahului 8-1 di tempat sendiri. Mereka akan bertandang di ibukota Moldova pada Khamis depan.
.
Villareal..0 Liverpool..0
Estadio El-Madrigal [30hb Julai 2008]

Pertama kali Robbie Keane diturunkan sejak dibeli dengan harga 20 juta pound dari Tottenham. Gandingan Keane dan Torres diharapkan akan dapat memantapkan lagi jentera serangan Liverpool untuk menghadapi musim ini.

Villareal atau gelaran yellow submarine merupakan salah satu kelab Sepanyol yang pernah layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah pada 2006 sebelum ditewaskan oleh Arsenal di mana pada ketika itu Juan Requelme adalah pemain bintang.

Realiti Politik Hari Ini



31hb Julai 2008 [Khamis]


Pas dan PKR Buat Keputusan Penting

Tiada Kerjasama Tubuh Kerajaan Dengan Umno, Azizah Kosongkan Kerusi Permatang Pauh


LEWAT petang ini Pas dan PKR membuat dua keputusan penting. Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah membuat ketetapan tidak ada sebarang penggabungan dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan bersama, bagaimana pun membenarkan perundingan diadakan dengan Umno menerusi ruang lingkup muqabalah - bersemuka!

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas bersama Majlis Syura Ulama yang berlangsung di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut pagi tadi. Mesyuarat berkenaan turut dihadiri sama Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kehadiran Nik Aziz menunjukkan mesyuarat yang berlangsung lima jam itu penting bagi Pas.

Nik Aziz jarang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Agung Pas namun akhir-akhir ini beliau kerap diheret sama.

Pengumuman keputusan mesyuarat berkenaan dibuat oleh Abdul Hadi dan disambut dengan takbir Allahuakbar! Takbir itu menandakan kegembiraan atas keputusan berkenaan yang dinanti-nantikan ahli Pas.

Sementara itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dalam masa hampir serentak, lewat tengah hari ini mengumumkan Presidennya, Dr Wan Azizah Ismail telah meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

Perletakan jawatan berkenaan bagi membolehkan suaminya, Anwar Ibrahim bertanding di situ untuk menempah tikit ke Parlimen dalam tempoh 60 hari dari sekarang.

Pengumuman Wan Azizah itu sekaligus menolak teka teki sebelum ini mengenai kerusi yang bakal ditandingi Anwar. Anwar terdesak untuk berada di Parlimen memandangkan tempoh untuk menumbangkang kerajaan BN sudah hampir iaitu tidak sampai 50 hari saja lagi.

Sebelum ini Anwar telah mengumumkan akan bertanding di kerusi Kulim - Bandar Baru, Kedah dan beliau juga dikatakan berminat untuk bertanding di kerusi Bandar Tun Razak.

Mungkin beliau terpaksa 'memaksa' isterinya mengosongkan kerusi Permatang Pauh memandangkan kedua kerusi berkenan (Kulim - Bandar Baru dan Bandar Tun Razak) tidak relevan dan menjamin kemenangan mutlak kepadanya nanti.

Kerusi Kulim - Bandar Baru sedang menghadapi petisyen oleh bekas calon BN, Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang meminta kerusi berkenaan istyharkan kosong. Bagaimana perbicaraan petisyen berkenaan yang sepatutnya didengar minggu lalu telah ditangguhkan sehingga 19 Ogos hadapan.

Penangguhan itu menyebabkan misi Anwar untuk masuk ke Parlimen akan menjadi lewat menyebabkan alternatif lain dicari iaitu dengan Azizah mengosongkan kerusi Permatang Pauh.MB Selangor Khalid Ibrahim yang menyandang kerusi Bandar Tun Razak juga dikatakan bersedia untuk mengosongkan kerusi berkenaan untuk diberi laluan kepada Anwar jika ia perlu berbuat demikian.

Dengan pengumuman Wan Azizah itu, kini sudah jelas Anwar akan kembali semua ke kerusi yang pertama kali dimenanginya pada tahun 1982 itu.

Pada pilihanraya 1982 Anwar yang bertanding atas tikit Umno memenangi kerusi berkenaan dengan mendapat 14,352 undi mengalahkan calon Pas, Zabidi Mohd Ali dan calon DAP, Tan Ah Huat. Beliau mendapat 18,849 undi, Zabidi mendapat 4,497 undi manakala Ah Huat mendapat 1,825 undi.
Dalam pilihan raya 1986 dan pilihan raya umum 1990 Anwar terus mengekalkan kerusi berkenaan dengan cemerlang. Pilihan raya 1999 beliau tidak bertanding kerana tidak layak selepas beliau dipenjara selama enam tahun atas tuduhan rasuah menyalahgunakan kuasa.

Tahun 1999 kerusi berkenaan ditandingi Dr Wan Azizah dan menang dengan majoriti 9,077 undi. Tahun 2004 sekali lagi Presiden PKR itu menenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 590.

Dalam pilhan raya 8 Mac lalu Azizah terus unggul di kerusi berkenaan, menang dengan majoriti 13,388. Beliau mendapat 30,338 mengalahkan bekas Imam Masjid Negara, bermuka tirus Pirdaus Ismail yang mendapat 16,950.

Jika Anwar dicalonkan pada pilihan raya kecil ekoran tindakan Azizah itu, Penasihat PKR berkenaan diyakini akan menang dengan mudah kerana Permatang Pauh adalah lubuk dan kubu kuat Anwar sejak lebih 30 tahun lalu.

Anwar akan bertanding di Permatang Pauh

malaysiakini

Jul 31, 08 3:18pm - kemaskini 7:50pm

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.

"Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan PKR dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Permatang Pauh kepada speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil secepat mungkin," kata presiden PKR.

"Keputusan itu adalah yang terbaik buat Malaysia," tambahnya.Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Wan Azizah berkata, beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR dan pengerusi Yayasan Aman Malaysia. Anwar, yang turut sama dalam sidang media itu, berkata Pandikar Amin akan memberikan jawapan Isnin depan kerana sekarang berada di Sabah.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.Beliau mendapatkan 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus. Sebelum ini, beberapa kerusi yang disebut-sebut mahu ditandingi oleh Anwar termasuklah Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai dan Gombak.

Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (juga wakil Ijok), Lembah Pantai (anaknya Nurul Izzah) dan Gombak pula diwakili oleh naib presiden PKR, Azmin Ali (juga wakil rakyat Bukit Antarabangsa).

Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Azizah berkata sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS. Katanya, beliau merasakan "inilah yang terbaik bagi Anwar sebab kawasan tersebut (mempunyai) majoriti yang selesa".

Wan Azizah menjadi wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili oleh Anwar selama 17 tahun atas tiket BN.

Ditanya tindakan beliau meletakkan jawatan menyebabkan hilangnya seorang pemimpin wanita dalam Pakatan, Wan Azizah berkata:"(Pemimpin wanita) yang lain akan datang. (Kehilangan) ini hanyalah untuk jangka masa yang pendek. Saya rasa, saya boleh menyumbang (tenaga) dalam bentuk yang lain.

"Wan Azizah positif terhadap kemampuan suaminya menghadapi pilihanraya kecil akan datang walaupun sedar segala kekuatan pihak lawan akan ditumpukan ke kawasan parlimen itu."Saya mengalu-alukan segala pembangunan yang akan datang. Sudah dua penggal saya di sana, Tetapi kita mesti menghadapinya. Saya percaya rakyat di permatang Pauh lebih berminat pada Anwar. Anwar pernah (berkhidmat) di sana sebelum ini," katanya.


Reaksi Anwar

Anwar mewakili kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai wakil BN dari tahun 1982 sehinggalah beliau dipecat dari Umno pada September 1998, dan menjadi ahli Parlimen bebas sehingga dihukum penjara enam tahun keranatuduhan salahguna kuasa.

Sementara itu, Anwar pula berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada Wan Azizah.

"Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai ahli parlimen dan ketua pembangkang yang cemerlang dan efektif," katanya, sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.

Anwar berkata, keputusan itu juga diambil dengan melihat juga kerusi Bandar Tun Razak dan Gombak.

Katanya, pemimpin-pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh keputusannya bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh.

Menurutnya lagi, tokoh utama DAP Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai menghadiri sidang akhbar tersebut sebagai menyatakan sokongannya.

Manakala PAS pula, kata Anwar, tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

Ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu, Anwar berkata, petisyen yang dikemukakan di situ akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.

"Sebelum ini saya berhasrat bertanding di Kulim-Bandar Baharu, tetapi setelah melihat kerenah pentadbiran dan undang-undang, petisyen yang sedang berlangsung, kami tidak jangka akan selesai dalam masa terdekat," katanya.

Mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Wan Azizah melepaskan kerusi parlimennya, Anwar berkata, ia akan dimaklumkan minggu depan.

Beliau berkata, perkata itu akan dibincangkan dengan dua lagi parti dalam Pakatan. Ditanya sama ada pilihan itu dibuat kerana Permatang Pauh merupakan kawasan yang paling selamat untuknya, secara berseloroh beliau berkata "semua kerusi agak selamat" untuknya.

Diminta memberikan ulasan jika bekas setiausaha politiknya Mohamad Ezam Mohd Nor bertanding atas tiket BN di kerusi parlimen itu, Anwar hanya menjawab: "Itu keputusan Umno."Mohamad Ezam, bekas ketua Pemuda PKR, pernah menawarkan diri bertanding atas tiket BN untuk menentang Anwar di Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu.

Beliau berkata, sasarannnya untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September depan seperti yang disebut-sebut beliau "masih seperti dijadualkan".

Wan Azizah Letak Jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh



KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA

31 JULAI 2008, PETALING JAYA, MALAYSIA

Selepas berbincang dengan keluarga saya, kepimpinan Parti Keadilan Rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, saya dengan ini secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh kepada YB Tan Sri Speaker Dewan Rakyat Datuk Pandikar Amin Bin Hj. Mulia hari ini, memberi laluan kepada suami saya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat dalam pilihan -raya kecil secepat mungkin.

Ini adalah konsisten dengan matlamat kami untuk mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan baru dalam tahun ini.

Keputusan ini adalah yang terbaik buat Malaysia.

Negara ini sedang berhadapan dengan cabaran yang paling getir semenjak mencapai kemerdekaan. Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO terbukti telah gagal mengurus ekonomi negara ini dan membawa negara ini menuju kehancuran.

Kerajaan ini telah menyebabkan integriti sistem keadilan hancur ke tahap yang memalukan. Ia membiarkan api perkauman semakin bernyala -nyala dan membuatkan etnik Melayu, Cina dan India saling tidak mempercayai satu sama lain di samping sengaja mengabaikan keperluan masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak.

Anwar Ibrahim telah mengungkapkan visi untuk Malaysia yang telah pun membenihkan harapan buat rakyat. Beliau mempunyai pengalaman dan kebijaksanaan untuk membangunkan kembali ekonomi negara ini, juga karisma dan integriti untuk menyatukan rakyat Malaysia serta mengembalikan kewibawaan institusi-institusi kenegaraan. Saya akan terus berkhidmat sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat dan pengerusi Yayasan Aman.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada penyokong saya di Permatang Pauh yang selama ini sentiasa teguh di belakang saya di dalam melalui saat-saat sukar semenjak dari September 1998 dan saat-saat manis kemenangan 8 Mac 2008.

Masa depan negara kita bergantung kepada dedikasi dan komitmen terhadap keadilan dan kebebasan yang saya laluiselaku wakil anda semua di Parlimen dan saya akan sentiasa berkhidmat untuk anda pada masa depan seikhlas mungkin.

DATO’ SERI WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Sinar Jumaat: Carilah ketenangan di masjid, surau

harakahdaily

Ustaz Zainudin Hashim Fri Jul 25, 08 11:35:23 am MYT


Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.

Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.


Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya:


"Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)."


Segala janji yang ditaburkan oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas, bukanlah satu perkara retorik seperti janji-janji dalam pilihan raya, ia janji yang akan ditunaikan sendiri oleh Allah SWT, iaitu agar umat Islam menjadi umat terbaik dengan mengecapi ketenangan, kedamaian hidup, rahmat Allah serta yang paling penting mereka diingati oleh Allah selaku Pencipta manusia.


Janji-janji tersebut diberikan apabila ada di kalangan insan Muslim yang memiliki ciri-ciri kebaikan seperti membaca dan mendiskusikan al-Quran, dalam erti kata mereka bersedia untuk mengkaji isi-isi kandungannya untuk dijadikan bahan rujukan, pegangan, kefahaman menuju jalan sempurna.


Justeru, Allah SWT menegaskan bahawa golongan Muslim yang sanggup memakmurkannya rumah-Nya adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar memiliki kualiti iman yang sempurna.


Hal ini ditegaskannya menerusi ayat 18 surah at-Taubah maksudnya: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."


Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa keimanan yang kental, kepercayaan teguh berpegang kepada hari akhirat, melaksanakan tugas utama dengan bersolat, mengeluarkan zakat serta takut hanya kepada Allah dan tidak yang lain selain-Nya, adalah senjata utama bagi mengekalkan seseorang yang beriman itu menjadi pemakmur rumah Allah yang setia.


Di mana remaja dalam hal ini?
.
Remaja Muslim pada hari ini lebih tersohor dengan kumpulan 'mat/minah rempit', menjadi golongan yang suka membuang masa seperti terlibat dalam budaya lepak di sana sini, terlibat dengan program-program hiburan melampau, menjadi penyokong kelab bola sepak negeri dan bermacam-macam lagi.


Remaja Muslim hari ini tidak berusaha meningkatkan prestasi kefahaman mereka dengan Islam, sehingga sanggup menjadi golongan penagih dadah, golongan perosak agama dengan penampilan yang tidak sama sekali memperlihatkan 'Islamik', malah ada ketikanya memalukan Islam itu sendiri.


Ada di antara mereka sanggup menjadi golongan yang membuat angkara terhadap program-program masjid, dengan bertindak liar menghalang mereka yang mahu ke masjid atau surau, atau pun terdapat di kalangan mereka yang bersukan berhampiran dengan masjid, tetapi tidak mengendahkan azan yang berkumandang pada waktu Maghrib, berhenti apabila ada teguran daripada pihak tertentu.


Inilah yang dikatakan tindakan bagaikan meroboh masjid, banyak pihak merasa bimbang dengan tindakan seumpama itu, apatah jika tindakan itu boleh dikaitkan dengan firman Allah menerusi ayat 114 surah al-Baqarah yang membawa maksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara apa mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."


Itu semua tidak melambangkan mereka hidup dengan Islam secara serius, malah hala tuju hidup mereka pun masih kabur, justeru apa yang amat diharapkan dari golongan remaja muslim ini adalah tercetus rasa kesedaran yang amat mendalam terhadap Islam, di ketika Islam diinjak, difitnah, dimahkamahkan, dituduh dengan pelbagai pendekatan negatif, oleh itu remaja seluruhnya disaran agar menjadi remaja seperti yang pernah disebut oleh al-Quran dengan istilah 'Ashabul Kahfi' dan 'Ashabul Ukhdud'.


Ketahuilah bahawa pada usia remaja ini juga tidak akan terlepas daripada dibuat perhitungan di sisi Allah pada hari akhirat. Ia pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang bermaksud: "Sebelum kedua-kedua kaki anak Adam (manusia) tergelincir untuk dimasukkan dalam syurga atau pun neraka, maka dia akan ditanya dengan empat perkara: Waktu remajanya apa yang telah dia habiskan, seluruh umurnya apa yang telah dibuat (untuk kebaikan dirinya), tentang hartanya daripada mana sumber ia diperolehi dan bagaimana pula ia dibelanjakan, tentang ilmunya, apa yang telah dia lakukan." (Hadis riwayat Mu'az Bin Jabal).


Remaja hari perlu mencontohi remaja-remaja silam khususnya di kalangan para sahabat dan lain-lain, mereka juga ada perasaan untuk bersuka-ria, rasa nak 'enjoy', tetapi semuanya dikekang kerana ia tidak memberi apa-apa kepada Islam, justeru remaja hari ini juga perlu mentelaah sejarah itu untuk mengembalikan keyakinan diri dengan Islam.