Tuesday, July 8, 2008

Perlawanan Persahabatan Malaysia Lawan Chelsea FC


Nampaknya impian peminat-peminat Chelsea FC di negara ini akhirnya akan dapat menyaksikan pasukan mereka di sini.

Nasib baiklah Avram Grant sudah dipecat serta Tal Ben Haim mungkin tidak diturunkan memandangkan kedua-dua personaliti ini adalah warga negara Israel yang tiada hubungan diplomatik dengan negara kita.

Ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan gandingan baru Deco dan Frank Lampard di barisan tengah Chelsea nanti (termasuklah aku).

Chelsea FC dijadualkan beraksi menentang Malaysia pada 29hb Julai 2008 bertempat di Stadium Shah Alam. Tiket pula akan mula dijual pada 20hb Julai 2008.

Sebarang pertanyaan mengenai tiket atau apa-apa yang berkaitan sila layari http://www.ticketpro.com.my/.


Piala Malaysia: Kelantan Menang Lagi


Setelah lebih sedekad tidak mengambil tahu perkembangan bolasepak negeri tumpah darahku ini, aku mula tertarik dengan perkembangan terkini terutamanya semenjak bermulanya musim Piala Malaysia.

Skuad Kelantan telah merekodkan kemenangan keempat malam kelmarin dari enam perlawanan dalam Kumpulan C. Kemenangan 3-2 ke atas Sarawak di Kota Bharu telah meletakkan Kelantan di tangga teratas kumpulan. Pasukan ini mungkin hanya memerlukan satu lagi kemenangan dari baki empat perlawanan dan sudah cukup untuk layak ke peringkat suku akhir.

Md. Ramzul Zahini, Md. Amri Fazal dan pemain impot, Jan Necas merupakan senarai penjaring yang melengkapkan kemenangan Kelantan pada malam itu. Sebelum itu, Kelantan juga telah membenam Selangor 5-2 pada 3hb Julai 2008 yang lalu.

Suasana terbaru ini telah mula mengubah persepsi peminat bolasepak Negeri Kelantan untuk memberikan sokongan padu kepada skuad yang amat disayangi ini. Hal ini juga turut mengimbau kembali kenangan lalu iaitu ketika kali terakhir layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dan Piala FA kira-kira 15 tahun yang lalu.

Aku masih ingat lagi tatkala perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Sultan Mohd Ke-4, Kota Bharu. Aku yang masih dalam Tingkatan 2 ketika itu kaku setelah menyaksikan sepakan sudut Nidzam Adha yang menghasilkan gol untuk Kedah dan seterusnya membawa mereka ke perlawanan akhir.

Sekarang ini, aku mula mencari jersi terbaru skuad Kelantan untuk persediaan perlawanan seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Stadium Hang Jebat malam esok menentang Melaka.
.

Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payong (1897-1961)

http://epondok.wordpress.com
.
Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek, Hj. Salleh Pedada dll.

Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315 bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai imam tua di Masjid Langgar, Kota Bharu (berkhidmat sehingga 1920)

Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau belayar ke tanah suci Makkah untuk mendalami pengajiannya. Antara lain mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Mohd Ali al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.

Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada 1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di beri nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok semenanjung Melayu sebagai pusat pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.

Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang tegas.

Kerana kegigihannya yang sedemikian, maka tidak peliklah jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi, Hj. Nik Man Sg. Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas, Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj. Ahmad Kodiang, Hj. Yahya joned Gurun, Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj. Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.

Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan kehilangan seorang tokoh ilmuan yang menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.

Sekolah Kebangsaan Bunut Payong Dalam Kenangan (1985-1988)

Selepas menamatkan persekolahan Tahun Satu di Sek. Ren. Keb. Selayang Baru, Batu Caves pada penghujung tahun 1984, aku dan keluarga telah berpindah kembali ke Kelantan memandangkan permohonan 'aboh'ku diterima untuk bertugas di Pejabat Pos Besar Kota Bharu.

Di situ, kami sekeluarga menyewa di sebuah rumah dalam kawasan Bawah Lembah, Kampung Bunut Payong.

Ketika aku menjadi murid di sekolah ini daripada Darjah Dua hingga Lima (1985 hingga 1988), bangunan sekolah ini masih usang. Hanya terdapat sebuah bangunan kayu setingkat yang mengandungi 5 atau 6 bilik darjah untuk semua murid di samping satu bilik guru dan satu bilik pejabat Guru Besar.

Pada waktu itu, sekolah kami ini terpaksa digunakan untuk dua sesi persekolahan iaitu pagi dan petang. Terdapat juga satu bangunan untuk Perpustakaan sekolah dan satu lagi untuk Kantin Sekolah.

Pada masa itu, aku masih ingat sehingga kini beberapa nama guru yang banyak berjasa terhadap diri ini seperti Cikgu Mahmud, Cikgu Othman, Miss Lee, Cikgu Khaidir serta kawan lama seperti Sabarani, Faizal, Mohd Hafizi, Sawizawati dan Sahamila.

Pada permulaan sesi persekolahan tahun 1988 iaitu semasa dalam darjah Lima, sekali lagi orang tuaku ditugaskan untuk bekerja di Pejabat Pos Kuala Krai dan aku terpaksa bertukar sekolah ke Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil, Kuala Krai sehingga menduduki peperiksaan UPSR.

Sejak itu, aku tidak lagi menjejakkan kaki ke sekolah tersebut dan kini aku dapati begitu banyak perubahan telah berlaku pada sekolah itu terutamanya dari segi struktur bangunan yang dibangunkan sehingga tiga tingkat. Aku hanya menyedarinya melalui laman web rasmi sekolah berkenaan di http://skbunutpayong.blogspot.com/.

Diharapkan agar tenaga pengajar sekolah ini sentiasa komitmen dalam usaha menghasilkan murid-murid yang berkualiti tinggi demi masa depan kampung, negeri dan negara.









Pemandangan terkini bangunan Sek Keb Bunut Payong serta pelapis masa depan

_________________________________________________________

Seingat aku pada waktu itu terdapat sebuah sekolah tinggi swasta iaitu Kolej Budaya yang terletak di dalam kampung serta sebuah pondok pengajian agama iaitu Pondok Bunut Payong yang diasaskan oleh Tuan Guru Hj Abdullah Tahir pada tahun 1931. Aku juga sempat menghadiri beberapa kelas Fardu Ain di sana semasa dalam darjah 3 dan 4.

Kelantan rangka enakmen denda umat Islam tinggalkan solat

harakahdaily

Mohd Nor Yahya Mon Jul 07, 08 6:12:30 pm MYT

KOTA BHARU, 7 Julai (Hrkh)
Kerajaan Kelantan kini sedang menyiapkan enakmen bagi membolehkan mereka yang tidak menunaikan solat fardhu lima kali sehari dikenakan tindakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kajian akhir bagi menyiapkan enakmen tersebut sedang dilakukan.

Enakmen ini akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang apabila siap sepenuhnya,katanya ketika menjawab soalan tambahan Ustaz Mohammad Mustaffa (PAS-Demit) pada persidangan Dun hari ini.

Bagaimanapun katanya, bagi orang Islam yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut sudah ada peraturan khusus mengenainya dengan dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara kurang satu tahun.

Katanya, peraturan itu terkandung dalam enakmen di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Mohammad sebelum itu berkata, satu fenomena baru umat Islam telah berlaku di mana ada di kalangan mereka meninggalkan solat Jumaat tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Ujarnya di Kelantan terdapat 500 masjid yang dijadikan tempat solat Jumaat dan sepatutnya imam menggunakan mimbar menyedarkan orang ramai tentang kepentingan solat Jumaat.

Mohd Amar juga berkata, pelbagai program telah dilaksanakan kerajaan negeri ke arah kemurnian akhlak rakyat Kelantan.

Menurutnya juga keberkesanan program Bulan Sembahyang yang diadakan setiap bulan Rejab berjaya memberi peringatan kepada rakyat terhadap kepentingan mendirikan solat.

Setiap tahun sebanyak RM500,000 diperuntukan kerajaan negeri bagi tujuan itu bagi menjalankan aktiviti mengimarahkan masjid di seluruh negeri, tambahnya.

Ketika menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning) katanya kekurangan tenaga pengajar di masjid dan madrasah akan diatasi dengan melatih golongan pendakwah muda.

Menurutnya di Kelantan terdapat ramai belia berkelulusan universiti Timur Tengah yang berpotensi dilantik sebagai pendakwah muda.

Sementara itu, Dr Mohamad Mohd Daud (PAS-Tendong) mempertikaikan sikap sesetengah imam yang tidak membenarkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membaca khutbah Jumaat.

Katanya, tidak sepatutnya sebagai seorang ulama dan ketua kerajaan negeri dihalang untuk berkhutbah di depan rakyat sendiri.

"Malah saya sendiri sebagai wakil rakyat di Tendong juga dihalang untuk berbuat demikian. Perkara ini biasa berlaku apabila imam terbabit mempunyai ideologi politik yang berlainan".

"Kita hairan kerajaan negeri memberi sumbangan menyiapkan masjid, tetapi masjid yang sudah siap diterajui orang lain. Ia tidak sepatutnya berlaku," ujarnya. - mj _
_______________________________________________________
mahathirismail - Dengan adanya kuasa politik, maka pelaksanaan sebarang hukum serta tarbiyyah di kalangan masyarakat menjadi lebih berkesan.

Latest IRB World Rangkings



Updated on July 7, 2008

New Zealand return to the top of the IRB World Rankings after beating world champions South Africa in the opening Tri Nations fixture of 2008.

IRB World Rangkings

1. New Zealand

2. South Africa

3. Australia

4. Argentina

5. England

6. Wales

7. France

8. Ireland

9. Scotland

10. Itali

Springboks Tumbang Kepada All-Black

irb news

Juara Ragbi Piala Dunia 2007, Afrika Selatan (Springboks) telah ditumbangkan oleh New Zealand (All-Black) 19-8 dalam perlawanan pembukaan Kejohanan Tri-Nations 2008 di Wellington pada 5 Julai yang lalu.

Satu try dari Jerome Kaino dan 14 mata hasil conversion dari Dan Carter jelas memberi kelebihan kepada All-Black.

Oleh itu, All-Black kembali mengambilalih takhta rangking pertama IRB setelah merampasnya dari Springboks yang telah menguasainya sejak mengalahkan England pada perlawanan akhir Piala Dunia IRB 20 Oktober 2007. Setelah menjuarainya, Springboks sekaligus menamatkan penguasaan All-Black selama 40 bulan menguasai rangking tersebut sebelum itu.

Walaubagaimanapun, Springboks masih berpeluang untuk merampas kembali takhta rangking dunia itu apabila sekali lagi bertemu All-Black di Dunedin Sabtu ini.

Springboks juga terpaksa menghadapi All-Black dan Australia (Wallabies) selepas ini tanpa kapten mereka, John Smit akibat kecederaan dan tugas tersebut bakal dipikul oleh Victor Matfield.

Springboks kena rampas balik no. 1 dunia Sabtu ni..