Wednesday, December 10, 2008

Pilihanraya Kecil P36: Dari kacamata Umno-BN

malaysiakini

KT 'lebih panas' daripada Ptg Pauh
Muda Mohd Noor Dec 9, 08 5:22pm

Umno meramalkan pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 17 Januari depan akan menyaksikan pertarungan sengit antara BN dengan PAS, "lebih panas daripada pilihanraya Permatang Pauh.

"Sebahagian puncanya, kata anggota biro penerangan Umno negeri Zulkifli Nasir, akibat sabotaj di kalangan penyokong Umno jika calonnya bukan ketua bahagian berkenaan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Tambahnya, pemilihan timbalan menteri itu "akan menyelesaikan banyak masalah tetapi tidak dapat menyelesaikan semua sekali."

"Peluang Datuk Wan Ahmad Farid menang lebih baik berbanding calon BN lain.

"Tetapi orang tidak suka kepada abangnya Datuk Wan Hisham.

"Orang kata, jangan libatkan Datuk Wan Hisham (dalam pilihanraya ini) kerana orang Umno tidak suka," kata Zulkifli, bekas ahli jawatankuasa bahagian Kuala Terengganu.

"Orang kata, kalau libatkan Datuk Wan Hisham mereka akan tolak semua.

"Jadi Datuk Wan Ahmad Farid kena buang kepentingan keluarga dan kawan-kawan, sebaliknya mengutamakan kepentingan parti.

"Wan Hisham, bekas seorang exco negeri dalam pentadbiran Datuk Seri Idris Jusoh, gagal mempertahankan kerusi Ladang, Mac lalu.

Naib ketua bahagian Umno itu tewas kepada calon PAS Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, bekas pegawai kewangan negeri, dengan majoriti tipis, 31 undi.

Zulkifli menambah, BN juga menghadapi cabaran berat kerana terdapat penyokong Umno yang kecewa dengan kerajaan persekutuan yang dianggap sukar memberikan peruntukan kepada kerajaan Terengganu kini, termasuk gagal memulangkan wang royalti minyak.

"Orang marah kerana kerajaan negeri hari ini tidak boleh melaksanakan projek pembangunan kerana kerajaan pusat tidak beri wang, tidak seperti zaman Datuk Seri Idris menjadi menteri besar," katanya, juga bekas setiausaha politik tokoh Umno negeri Tan Sri Yusuf Nor, kini pengerusi Felda.

"Jadi rakyat akan ajar BN dengan cara tidak mengundi calon parti itu.

"Pilihanraya kecil Permatang Pauh, yang dimenangi penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ogos lalu digelar "ibu segala pilihanraya kecil" menyaksikan pertarungan sengit kedua-dua pihak, termasuk bersumpah menggunakan nama Allah, pergaduhan sewaktu hari penamaan calon dan ugutan bom di bilik gerakan BN.

Kuala Terengganu adalah pilihanraya kecil kedua selepas Permatang Pauh.

Sementara seorang ahli jawatankuasa Umno Kuala Terengganu, Sulaiman Ali bimbang akan berlaku pergaduhan dalam kempen mulai 6 Januari ini kerana kawasan itu dipenuhi oleh orang luar yang ghairah berkempen.

"Saya bimbang orang PAS membuat kacau tetapi orang Umno yang dapat nama (buruk)," katanya.

"Kita bimbang orang kita (penduduk tempatan) ganggu orang luar sehingga timbul pergaduhan.

"Walaupun yakin peluang calon Umno menang lebih cerah berbanding PAS, beliau percaya faktor calon memainkan peranan utama.

"Tetapi ia bergantung kepada calon juga. Kalau letak Datuk Wan Ahmad Farid, peluang adalah 55 peratus, kalau calon lain hanya 45 peratus," katanya.

Untuk memastik BN mengatasi cabaran hebat PAS, parti itu perlu memperjuangkan isu orang Melayu untuk menarik sokongan majoriti hampir 90 peratus pengundi kawasan itu.

Umno bahagian Kuala Terengganu dijadual mengadakan mesyuarat khas, dipercayai membincangkan persiapan pilihanraya kecil tersebut, di bangunan pejabatnya di Gong Kapas, jam 9 malam ini.

Previu: Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu (P36)

HarakahDaily.Net

Kuala Terengganu bakal merubah lanskap politik negara

Roslan Shahir Wed Dec 10, 08 8:18:18 am MYT

Tumpuan negara kini diberikan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi parlimen P.36 Kuala Terengganu berikutan kekosongannya akibat kematian wakil BN tempoh hari.

BN yang menang kerusi tersebut dengan majoriti kecil 628 undi dijangka mendapat tentangan hebat dari PAS dalam PRK ini.

Menurut rekod kerusi parlimen Kuala Terengganu ini sering bertukar tangan, kesimpulannya bukanlah kerusi selamat buat BN.

Pada PRU 1 tahun 1959, sebahagian kerusi ini yang dikenali Kuala Terengganu Selatan dimenangi oleh Dato' Onn Jaafar dari Parti Negara dengan bantuan PAS. (Kuala Terengganu Utara dimenangi oleh Almarhum Hassan Adli - PAS), 1990 kerusi ini dimenangi oleh Dato' Manan Osman dari Semangat 46 yang ketika itu menjalin kerjasama dengan PAS. 1999 kerusi ini dimenangi oleh Dr Syed Azman dari PAS.

Apakah BN mampu mempertahankan kerusi ini khsusunya selepas gelombang Permatang Pauh baru-baru ini?

Rata-rata para penganalisa politik menjangkakan peluang 50-50 kepada kedua-dua parti. Terpulanglah kepada jentera masing-masing parti untuk bertarung bagi memastikan mana-mana sahaja pengundi atas pagar condong pada parti mereka selain memastikan yang penyokong tegar mereka tidak berpaling tadah.

Bagi jentera PAS tumpuan sepatutnya diberikan kepada kerja-kerja "on the ground" mulai dari saat ini, saya difahamkan sahabat-sahabat di sana sudah pun mula membanting tulang sejak dari awal lagi.

Begitulah juga patutunya jentera bantuan dari negeri-negeri lain, sepatutnya sudah bersedia menggerakkan logistik dan apa sahaja bantuan bagi membantu peperangan pilihan raya ini.

Isu calon, serahkanlah pada mereka yang bertanggungjwab. PAS tidak pernah secara terbuka membicarakan soal calon khasnya calon PRK sehingga dibincang dan dibahaskan secara terbuka.
Kita punya tertib dan adab kita sendiri. Siapa pun calon, tanggungjawab kita adalah untuk memenangkan parti.

Kemenangan kerusi ini sesungguhnya sangat penting bukan hanya untuk PAS malah Pakatan Rakyat dan seluruh rakyat Malaysia. Permatang Pauh boleh dikira pembakar obor, tetapi ia belum cukup untuk mencetuskan "upset" kerana kerusi Permatang Pauh sekadar bertukar tangan dari KeADILAn ke KeADILan.

Kuala Terengganu adalah kerusi Umno-BN. Jika ia mampu ditumbangkan, isyarat yang diberikan adalah bahawa BN sah telah bersedia untuk dikuburkan.

Ketika itu kawan-kawan dalam BN akan makin gundah-gulana, dan saya yakin jika ia tercapai, masing-masing akan mula bersedia, untuk melompat atau apa sahaja, ketika itu tidak perlu dipelawa, kerana isyaratnya cukup kuat bahawa rakyat sudah hilang sama-sekali keyakinan terhadap Umno-BN.

Bayangkan Umno tewas sebelums empat membanjiri PWTC untuk Perhimpunan Agung mereka. Umno tewas belum pun sempat proses peralihan kuasa berlaku dalam partinya. Jika ini berlaku bersedialah untuk menyaksikan runtuhnya empayar Umno sebagaimana yang dinantikan ramai.

Kerana itu sempena suasana korban ini, seluruh rakyat Malaysia yang mahu melihat perubahan besar berlaku dalam lanskap poltik negara, perlu bingkas bangun berkorban untuk memastikan BN terus rebah, berdengus dan terkorban, pupus dan hilang terus dari persada politik tanahair.

Ini bukan cubaan, ini betul-betul, itu dialog Pak Mustar, tetapi dalam hal ini yakinlah Kuala Terengganu insyallah akan betul-betul menjanjikan perubahan besar-besaran kiranya Umno-BN berjaya ditewaskan.

Ianya kini terletak di atas kita, tidak kiralah sama ada kita mengundi di KT atau tidak, semua kita perlu berkorban membantu memberikan kemenangan kepada PAS selaku wakil Pakatan Rakyat.

Jangan terjerumus dalam perangkap BN, jangan lalai, jangan tertipu. Jangan biarkan apa sahaja kecenderungan untuk perpecahan berlaku, perpaduan dan kerjasama penting disaat ini. Kerana itu nama-nama calon ini serahkanlah pada pimpinan untuk putuskan.

Siapa pun calon yang diputuskan nanti kita akur dan terima, jangan terlalu ghairah disaat ini, takut nanti ada yang kecewa dan berpatah hati, ini jika dibiar berlaku sudah pasti mengusutkan prospek kita.

Ayuh bekerja mulai sekarang. Bersama berkorban untuk menjuarai perubahan dalam negara. - mks.

(Roslan Shahir Dato' Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS) _