Thursday, August 28, 2008

Tazkirah: Menyambut Ramadhan al-Mubarak


HarakahDaily.Net

Puasa kembalikan manusia ke alam fitrah

Dr Osman Nasir Wed Aug 27, 08 1:31:24 pm MYT

Kita akan menghadapi bulan puasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan September ini. Sesungguhnya pada bulan ini lah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semula jadi jika kita puasa mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.

Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali 'sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam ' di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Magrhrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sebelas malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan disiang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat fardu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunnat rawatib.

Solat tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kikta berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat terawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini .Gambarkan keadaan suasana puasa, buka ,sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam ' alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah.

Tok Guru 'bahasa'kan bekas pelajar

Sinar Harian
[Berita Am Daerah - Edisi Kelantan]
28hb Ogos 2008 (Khamis)


MB selar sikap malas bekas pelajar

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam menyelar sikap lepasan penuntut dari Timur Tengah yang malas untuk bekerja setelah tamat belajar.

Beliau berkata, masih terdapat lepasan luar negara berkenaan menganggur tidak berusaha untuk mencari pekerjaan.

“Sikap ini seperti orang yang bodoh. Lepas belajar tidak mahu bekerja dan hanya menunggu bantuan kerajaan,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Yayasan Islam Kelantan ke Timur Tengah Sesi 2008, di sini semalam.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan RM200 sumbangan Tabung Kebajikan Perhubungan Pas dan Tabung Tok Kenali kepada 176 pelajar. Seramai 124 pelajar mengambil jurusan pengajian Islam, 30 untuk perubatan dan 22 bagi tahfiz di Timur Tengah.

Mursyidul Am Pas juga menggalakkan bekas-bekas pelajar berkenaan supaya bercucuk tanam dan juga memilih untuk terlibat dalam bidang pertanian.

“Mereka tidak boleh duduk goyang kaki mengharapkan bantuan sahaja. Mereka boleh membajak (bertani).

“Mereka tidak boleh tunggu kerajaan panggil untuk mendapatkan kerja,” tegasnya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan bakal penuntut yang akan Timur Tengah secara berperingkat tersebut untuk memanfaatkan peluang diberikan.

“Bukan senang untuk terpilih, ambil peluang timba ilmu sebanyak mungkin kerana semua yang pakar ada di sana dan belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Pengajian semua penuntut tersebut mendapat pinjaman daripada Yayasan Islam Kelantan Darul Naim mengikut kursus yang diambil.

Berita dari Kuala Krai: 28hb Ogos 2008


Sinar Harian
[Berita Daerah - Edisi Kelantan]


Sumbangan Ihya Ramadan untuk surau, madrasah DUN Mengkebang

SUNGAI DURIAN – Sebanyak 31 cawangan Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkebang menerima sumbangan wang tunai sempena kehadiran Ramadan yang bakal menjelma minggu hadapan diadakan di pekarangan Pejabat DUN Mengkebang dekat sini, semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman, sumbangan tersebut adalah khusus untuk surau dan madrasah sebagai persediaan awal menyambut Ramadan.

Katanya, sumbangan tersebut diagihkan kepada imam dan wakil surau atau madrasah di DUN Mengkebang sebagai persiapan Ihya Ramadan sebagaimana kelaziman aktiviti sempena kedatangan Ramadan setiap tahun.

“Sebanyak 31 cawangan menerima sumbangan wang tunai khusus untuk persediaan mengadakan majlis berbuka puasa bagi penduduk sekitar.

“Ia juga adalah tanda kesyukuran kita dapat lagi bertemu Ramadan kali ini. Bukan semua orang ditakdirkan menjalani ibadat puasa kali ini dan seharusnya kita melipatgandakan amalan,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian selepas pembahagian sumbangan berkenaan di pejabatnya semalam.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar mengubah tabiat negatif mereka sempena Ramadan ini dan berubah ke arah yang lebih baik.

“Saya harap penduduk Kuala Krai dapat memanfaatkan kedatangan Ramadan kali ini dengan memperbanyakkan amalan yang tidak didapati pada bulan lain.

“Elakkan juga sikap membazir ketika Ramadan dan hanya membeli keperluan sahaja untuk berbuka puasa. Kita perlu bersyukur kerana berada di dalam negeri yang aman dan dilimpahi nikmat rezeki melimpah ruah sedang banyak negara luar dalam keadaan peperangan dan kekurangan bekalan makanan," ujarnya.

Selain itu, katanya, umat Islam wajib bersyukur di atas segala nikmat ini dan tidak berbelanja berlebihan atau membazir ketika Ramadan.

Katanya, Ramadan adalah bulan yang baik untuk menjaga kesihatan dan berjimat cermat sebaliknya bukan bulan untuk makan dengan sesuka hati dan melibatkan pembaziran. Amalan membaca Al-Quran dan bertarawih perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya agar seluruh umat Islam mendapat keberkatan untuk masa hadapan.

Dalam majlis yang sama juga, lima wasi atau pewaris menerima sumbangan takaful Kifaalah di atas kehilangan ahli keluarga mereka.

Blog Anti Husam: Reaksi Husam Musa


malaysiakini

Husam nafi halang rundingan PAS-Umno

Abdul Rahim Sabri Aug 28, 08 2:39pm

Datuk Husam Musa menafikan beliau menyusun barisan pemimpin atasan parti, yang digelar "kumpulan Erdogan", untuk menghalang rundingan PAS-Umno kerana tidak pernah tahu-menahu tentang pertemuan itu.

"(Pertemuan) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (20 Julai lepas), saya langsung tidak tahu walaupun saya naib presiden PAS. "Jadi macam mana saya hendak mengatur supaya perjumpaan mereka gagal sedangkan saya tidak diberitahu walaupun saya naib presiden PAS," kata pemimpin kanan itu.

"Dalam mesyuarat pun, tidak pernah dimaklumkan adanya perjumpaan pemimpin PAS dengan pemimpin Umno. Jadi, tidak timbul masalah saya hendak ganggu perjumpaan tersebut."

Husam, yang juga exco kerajaan Kelantan, diminta mengulas dakwaan sebuah blog Anti Husam yang menyebut beliau penggerak utama sekumpulan pemimpin PAS menggagalkan rundingan yang disokong oleh presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disertai langsung oleh timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Dipercayai dibina oleh orang dalam parti itu sendiri menjelang muktamar PAS ke-54 baru-baru ini, blog itu mendakwa "tugas terpenting buat Husam ialah untuk mempengaruhi Mursyidul Am supaya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak bersetuju dengan sebarang bentuk pertemuan di antara PAS dan Umno."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Husam juga berkata gembar-gembur bahawa beliau dijanjikan jawatan timbalan perdana menteri hanyalah "satu rekaan daripada orang-orang yang mempunyai agenda mereka sendiri" dan ia "tidak perlu dilayan."


Tiada perbincangan di Dubai

Anti Husam mendakwa naib presiden PAS itu ditawarkan jawatan tersebut oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan mereka di Dubai, Jun lepas.

"Saya mempunyai aturcara peribadi saya sendiri, tidak ada kena-mengena dengan lawatan Anwar. Saya tidak tahu beliau (Anwar) berada di sana (Emiriyah Arab Bersatu)," katanya.

Tambahnya, beliau secara kebetulan bertemu penasihat PKR dalam satu majlis yang dirancang untuknya oleh sekumpulan warga Malaysia di negara Teluk itu. Menurutnya, penganjur turut mengundang Anwar ke majlis apabila mereka mengetahui kehadiran tokoh politik di sana.

"Saya berucap terlebih dahulu, dan beliau (Anwar) sampai semasa saya sedang berucap. Kemudian selepas habis ucapan, kami pulang ke hotel masing-masing. Keesokan pagi, saya berlepas ke Syria," jelasnya, sambil menambah beliau ke sana hanya separuh hari. "Jadi tidak ada masa untuk kami berbincang. Tiada perbincangan sama sekali."

Naib presiden PAS itu juga menjelas tulisan dalam blog Anti Husam adalah satu cubaan untuk merosakkan imejnya."Dan biasanya character assasination (serangan peribadi) yang dilakukan apabila seseorang itu dianggap mempunyai satu-satu kedudukan yang tertentu," jelas Husam.

.
Cabar penulis blog itu tampil

Exco perancangan ekonomi dan kewangan Kelantan itu mencabar penulis blog itu tampil memperkenalkan dirinya jika dakwaan itu benar.

"Kalaulah dia tulis itu satu kebenaran, bukan satu serangan peribadi ataupun fitnah, dia kena berani tampil memperkenalkan dirinya.

"Kalau serangan dia buat bertopeng seperti ini, awal-awal lagi menunjukkan apa yang mereka tulis itu bukan satu kebenaran. Kalau benar, mesti dia berani tampilkan dirinya," jelas Husam lagi.

Berhubung kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, beliau menjelaskan akan komited dengan keputusan parti untuk tetap bersama gabungan pembangkang seperti ditegaskan dalam muktamar di Ipoh, pertengahan bulan ini.

"Jadi saya hadir dalam majlis-majlis Pakatan Rakyat itu adalah satu tindakan, pelaksanaan ke atas apa yang telah diputuskan oleh parti dalam muktamar PAS tersebut.

"Jadi saya hairan bagaimana penulis blog ini, tidak menghayati keputusan parti, tetapi bercakap seolah-olah mempertahankan kepentingan parti," katanya.

Tambahnya, beliau pernah menjelaskan di blognya bahawa pendedahan presiden Umno tentang pertemuannya dengan pemimpin atasan PAS satu agenda untuk memecahbelahkan hubungan antara PAS dan Pakatan Rakyat.

Ia juga bertujuan merosakkan hubungan PAS dengan penyokong bukan Islamnya yang mula berjinak dengan parti itu dan hubungan sesama ahli parti, tambah Husam.

"Jadi penulis blog ini, pada pendapat saya, satu daripada agenda Umno untuk memecahbelahkan kepimpinan PAS," katanya.

Sehubungan itu, Husam menyifatkan tulisan dalam blog itu tidak berasaskan kebenaran dan dan fakta-fakta.

Tok Guru jelaskan faktor kekalahan BN


Sinar Harian
[Edisi Kelantan - Berita Muka Depan]
28hb Ogos 2008 (Khamis)


Cara BN kempen silap - Nik Aziz

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan strategi kempen Barisan Nasional (BN) yang lemah semasa pilihan raya kecil di Permatang Pauh memberi kelebihan dan kemenangan mudah kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), selain kes tuduhan liwat dan isu sumpah laknat.

Nik Abdul Aziz berkata, kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan yang memperoleh 15,671 majoriti undi mengukuhkan lagi kedudukan parti di bawah Pakatan Rakyat (PR).

Jelas beliau, kempen memburukkan Anwar dengan cara sebegitu menyebabkan rakyat terus membenci BN sehingga memberikan undi yang begitu besar kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Sedangkan (kes) liwat tak tentu lagi (Anwar bersalah atau tidak), ceramah UMNO terus memburukkan Anwar dan bagi saya ceramah mereka (UMNO) itu sebenarnya tidak ada air muka malah tak ada kulit pun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Tanaman Pokok Jatropha (pokok jarak) di sini, semalam.

Pada pilihan raya kecil itu, Anwar menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon AKIM, Hanafi Mamat dengan majoriti 15,671 undi.Anwar memperoleh 31,195 undi, Arif Shah 15,524 undi dan Hanafi 92 undi.

Mengulas kemenangan Anwar itu lagi, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kemenangan itu sudah semestinya memberikan perangsang dan kekuatan kepada PR.

“Sudah semestinya ini memberikan kekuatan kepada pembangkang untuk merencanakan strategi selepas ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Anwar akan berlaku pertukaran Kerajaan Persekutuan yang diuar-uarkan pada 16 September depan, Nik Aziz berkata, berlaku atau tidak pada tarikh itu ia adalah soal teknikal semata-mata tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menukar kerajaan sedia ada kepada PR.

“Itu masalah teknikal sahaja (benar atau tidak) tetapi apa yang kita mahukan untuk menukar UMNO (BN) dengan parti lain,” katanya.

Nik Aziz mendakwa kerajaan BN sudah tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat dan mahukan sebuah kerajaan lain yang boleh memberikan kesejahteraan kepada mereka.

Liverpool FC: Layak ke Liga Juara-Juara Eropah 2008/09

LIVERPOOL..1 STANDARD LIEGE..0
Kelayakan Liga Juara-Juara Eropah, Pusingan Ketiga
Stadium Anfield - 27hb Ogos 2008 (Rabu)
[Penjaring: Dirk Kuyt, min-118]

mahathirismail

Tindakan penyudah yang kurang berkesan hampir memusnahkan impian Liverpool ke kejohanan yang paling elit di Eropah.

Dengan tentangan sengit yang diterjemahkan oleh lawan samada di Belgium mahupun di England, Liverpool boleh dikira bernasib baik kerana masih dapat mengikat pihak lawan daripada menjaringkan gol terutamanya sepakan penalti pihak lawan di tempat lawan dua minggu lalu.

Dirk Kuyt dinobatkan sebagai wira apabila menyudahkan hantaran Ryan Babel pada minit-minit terakhir masa kecederaan ketika tuan rumah sedang berkira-kira untuk membawa perlawanan ini sehingga ke penentuan sepakan penalti.


Walaupun penulis tidak sempat menyaksikan perlawanan ini awal pagi tadi, tetapi dirasakan persembahan skuad ini agak goyah dan masih belum benar-benar bersedia menghadapi pasukan yang lebih hebat.

Anwar secara rasmi di Parlimen


mahathirismail


Selepas 10 tahun suaranya tidak kedengaran di Dewan Rakyat, akhirnya kerinduan rakyat dan pemimpin lain akan terubat.

Beliau yang baru selesai mengangkat sumpah pada jam 10 pagi tadi turut mengesahkan sebagai seorang yang bakal terlibat dalam perbahasan isu berbangkit yang terbaru ini di samping menjadi pemantau kepada Pembentangan Bajet 2009 mulai esok.

Untuk berita lanjut, sila layari http://www.malaysiakini.com/news/88724.

Blog Anti Husam: Pendekatan untuk meranapkan PAS

mahathirismail

Jelas dan nyata sekali motif penerbitan blog baru (http://antihusam.blogspot.com/) adalah percubaan untuk melaga-lagakan pimpinan gerakan Islam di negara ini.

Blog ini seolah-olah cuba diterbitkan bertujuan untuk menzahirkan tindakan serta pemikiran pendokong-pendokong PAS adalah sama seperti Umno/BN.

Setelah dibaca sekali imbas isi kandung di dalamnya, memang nyata ia bukan datang daripada fikiran dan hati para pejuang Islam yang tulen. Ini golongan pemecah!

Penulis tersebut menganggap bahawa sebahagian pimpinan PAS boleh digugat kredibiliti mereka dengan cuba melabelkan mereka ini sebagai gila kuasa, bertindak di luar lingkup syariat serta tidak berakhlak (seperti pemimpin-pemimpin lawan yang jelas diketahui umum itu).

Blog ini diyakini tidak membawa sebarang kesan dalam cubaan untuk menggugat keutuhan pegangan para pendokong Islam di negara ini. Cukuplah dengan blog-blog Umno yang cukup kritis dan melampau terhadap pimpinan mereka (kmu.net) serta menghancurkan semangat sesama mereka.
.
Lihat sajalah tumpuan yang diberikan oleh salah satu halaman web terkenal terhadap blog ini. http://www.malaysiakini.com/news/88599.

Reaksi Bendahari PAS mengenai blog Anti Husam

malaysiakini

Dr Hatta enggan ulas serangan blog

Abdul Rahim Sabri Aug 27, 08 8:11pm
.
Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli enggan mengulas berhubung dakwaan di blog Anti Husam bahawa ahli parlimen Kuala Krai menyelewengkan sumber kewangan parti. "Saya tidak mahu respons apa-apa. Saya ingat, (tuduhan) itu orang Umno yang tulis blog tersebut.

"Orang yang kita tidak tahu (latar belakangnya), macam mana kita nak respons," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Dalam tulisan pada tarikh 19 Ogos lalu, blog yang dibangunkan bagi menyerang habis-habisan naib presiden Datuk Husam Musa dan "kumpulan Erdogan", termasuk Dr Hatta, menyatakan akan membongkar penyelewangannya jika ada bukti yang cukup.

"Duit PAS sudah menjadi macam duit dia," dakwa blog itu, yang umumnya menentang barisan pemimpin kanan PAS yang dianggap kritikal kepada rundingan PAS-Umno dan lebih condong kepada Pakatan Rakyat. Blog tersebut muncul menjelang muktamar PAS yang ke-54 di Ipoh pertengahan bulan ini dan dipercayai diwujudkan oleh orang dalam parti itu sendiri. Dalam muktamar yang lalu, isu muqabalah telah menjadi perbahasan panas sehingga memperlihatkan kecenderungan dua aliran iaitu pro-muqabalah dan pro-kerjasama dalam Pakatan.

Blog itu mendakwa Husam mengepalai "kumpulan Erdogan" untuk menggagalkan pertemuan PAS-Umno selepas pertemuan dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dubai, Jun lepas.

Menurut blog itu, "kumpulan Erdogan" dianggotai oleh tokoh-tokoh pimpinan PAS antaranya setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaafar, dua ahli jawatankuasa pusat Dr Dzulkifli Ahmad dan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ketua Pemuda, Salahuddin Ayub. Penulis blog itu menggelarkan Dr Hatta sebagai "biawak hidup" dalam PAS dan "orang macam Dr Hatta perlu disingkir.

"Anti Husam mendesak presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta bendahari PAS itu berhenti atau memecatnya.