Tuesday, October 7, 2008

Isu 'berhala' Anwar di Gombak


Sebenarnya, aku tak berapa tahu dan jelas sangat mengenai perkara ini. Tetapi, sifat ingin tahu mula merangsang diri ini untuk mendapatkan informasi yang jelas apa sebenarnya yang cuba ditimbulkan terutamanya setelah membaca beberapa kenyataan pemimpin kerajaan pusat, akhbar-akhbar arus perdana dan mufti Perlis.

Pada awalnya, disangkakan terdapat satu monumen atau tugu ukiran (sebagaimana yang terdapat pada Tugu Negara) yang telah dibangunkan oleh penyokong setia Anwar.

Dari komen dan analisis tersebut juga terarah kepada taksub yang dahsyat di kalangan pengikut beliau sehingga dibincangkan bersama soal akidah dan keimanan mereka yang terbabit.

Setelah mendapatkan penjelasan dari beberapa sumber serta gambar 'berhala' tersebut, barulah aku tahu bahawa isu ini cuba diolah sebegitu sekali untuk mempertikaikan bentuk sokongan terhadap pemimpin ini.

Yang jelas di sini, ia bukanlah berupa patung tetapi merupakan poster gergasi manifestasi sokongan dan harapan penduduk berbangsa India di kawasan tersebut.

Jika poster begitu dilihat bakal mendedahkan kepada kerosakan akidah umat Islam, maka ada baiknya diruntuhkan kesemua poster-poster bergambar pemimpin, iklan-iklan bergambar serta apa sahaja gambar yang besar yang diletakkan di tepi-tepi jalan, pada bangunan dan sebagainya.

Alangkah dangkalnya isu ini dimainkan..

Sila rujuk kepada laporan daripada malaysiakini seperti berikut;


PKR enggan turunkan foto besar Anwar

Jimadie Shah Othman Oct 6, 08 2:46pm

Gambar besar Datuk Seri Anwar Ibrahim setinggi 12 meter dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves tidak akan diturunkan sekarang walaupun dianggap "berunsur keberhalaan" dan "perlu dihapuskan dengan segera."

Gambar penasihat PKR yang diperbuat daripada papan lapis itu dinaikkan pada 28 September oleh sekumpulan penyokong PKR bagi menyambut Aidilfitri diletakkan di sebuah simpang depan Wisma Keringat dengan kelulusan Majlis Perbandaran Selayang.

Wakil rakyat PKR kawasan itu Amiruddin Shari berkata ia akan diturunkan apabila permit kelulusannya tamat tempoh tidak lama lagi.

Bagaimanapun beliau, yang turut merasmikan penegakan gambar Anwar berbaju biru muda sedang tersenyum sambil mengangkat tangan kanan itu, tidak pasti bila tarikh tamat permit tersebut.

"Apabila tamat tempoh yang dibenarkan, kita akan turunkan. "Saya tidak pasti berapa lama, tetapi seingat saya, permitnya tidak sampai sebulan," katanya kepada Malaysiakini, mengulas kenyataan mufti Perlis di muka depan sebuah akhbar hari ini.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Islam melarang penganutnya menjadikan objek manusia seperti replika yang besar untuk diagungkan oleh pengikut masing-masing kerana menjurus kepada unsur mengagungkan sesama manusia lebih daripada had yang sepatutnya.

Amiruddin, yang juga naib ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), bagaimanapun menafikan wujud aktiviti keberhalaan di tempat tersebut.

"Tidak timbul bantahan pada waktu ia dibina. Perkara ini hanya muncul apabila wujud persepsi umum selepas beberapa pihak memberikan pandangan," katanya.

"Tidak pernah wujud aktiviti keberhalaan di tempat itu. Mungkin mufti menganggapnya sebagai patung.

"Saya hormat pandangan beliau, tetapi terdapat juga pandangan- pandangan lain. Perkara ini khilaf (berbeza pandangan tentang isu syarak).

"Selain Amiruddin, poster gergasi itu dirasmikan naib presiden PKR Sivarasa Rasiah, timbalan ketua perhubungan PKR Selangor S Manikavasagam dan bendahari PKR William Leong - masing-masing ahli parlimen Subang Jaya, Kapar dan Selayang.

Menurut blog DUN Batu Caves, foto besar itu menelan kos hampir RM5,000 yang diusahakan aktivis parti dan penduduk setempat "yang mahukan semangat Anwar untuk membina 'Malaysia Baru' akan terus berkekalan" dan juga simbol sebagai tanda sokongan padu masyarakat pelbagai kaum di situ.

Lukisan itu mengambil masa lebih kurang lapan hari disiapkan dan dirasmikan sejam selepas itu pada 5 petang.

Beliau berkata, isu pembaziran yang dibangkitkan sesetengah pihak "tidak timbul" kerana gambar besar itu dibina menggunakan dana individu dan bukannya peruntukan kerajaan Selangor atau partinya.

"Saya sendiri menyumbangkan RM100 untuk menjayakan pembinaannya," katanya.

Menurut Amiruddin lagi, beliau hadir merasmikan gambar itu untuk menghargai "sokongan masyarakat India yang percaya dan komited kepada perjuangan PKR yang didukung Anwar.

"Kawasan itu yang dulunya kubu kuat MIC sekarang menjadi milik PKR, jelasnya.

Bersebelahan gambar itu turut digantung kain rentang mengucapkan selamat hari raya dengan gambar Anwar, naib presiden PKR yang juga ahli parlimen kawasan itu Mohamed Azmin Ali dan Amiruddin sendiri.

Ditanya sama ada tindakannya menaikkan gambar gergasi itu bertujuan mengampu Anwar, beliau menafikannya.

"Kalau benar pun, Anwar tidak akan termakan bodek macam itu," katanya, sambil ketawa.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa beliau cuba mencari populariti untuk bertanding dalam pemilihan AMK tahun depan.

Berita dari Kuala Krai: 7hb Oktober 2008 [Selasa]

sinar harian

Edisi Kelantan - Berita Daerah

Warga emas terima agihan duit raya

KUALA KRAI – Warga emas dan golongan miskin daerah ini bersyukur pada tahun ini kerana berpeluang menyambut Aidilfitri dalam suasana lebih selesa apabila menerima sumbangan hari raya anjuran Parlimen Kuala Krai dengan kerjasama Unit Kebajikan Dan Amal Jariah Datuk Seri Dr Mohd Eusuff Teh dekat sini, kelmarin.

Menurut salah seorang penerima, Sara Che Man, 64, sambutan hari raya tahun ini lebih bermakna apabila sumbangan yang diterima dapat digunakan untuk persediaan Aidilfitri.

“Makcik tinggal seorang diri sahaja di rumah kerana anak-anak seramai tujuh orang tinggal jauh dan dengan sumbangan yang diterima ini dapatlah digunakan untuk Aidilfitri kali ini.

“Sebelum ini jarang sekali makcik menerima sumbangan hari raya atau zakat dan persediaannya juga secara kecil-kecilan sahaja,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penerima, Esah Sulaiman, 70, dari Kuala Pertang berkata, sumbangan yang diterimanya dapat digunakan untuk keperluan makan dan minum untuk hari raya kali ini.

“Menerusi sumbangan ini, dapatlah makcik sediakan juadah yang lebih sedikit untuk beraya bersama anak cucu kerana sebelum ini sambutan hari raya tiada bezanya memandangkan kami orang susah dan tiada persiapan dilakukan.

“Makcik tinggal bersama seorang anak, Hasnah Ismail, 40-an, yang juga seorang ibu tunggal dengan enam orang anak,” ujarnya. Esah yang lumpuh sejak sembilan tahun lalu terpaksa berjalan dipapah oleh cucunya, Norheriyana Mat Arifin, 13.

Dia yang kematian suami sejak tiga tahun lalu, mempunyai tujuh anak dan kebanyakannya tinggal jauh.

Aidilfitri: Sambutan bersama Dewan Ulama Kelantan

HarakahDaily.Net

Ulama tunjuk bakat sedia nasi bukhari

Lanjusoh Mon Oct 06, 08 12:58:32 pm MYT

KOTA BHARU, 6 Okt (Hrkh) - Ribuan rakyat Kelantan dijangka memenuhi Dataran Stadium Sultan Mohammad ke IV Khamis ini (9 oktober) bagi menikmati keenakan aneka juadah sempena hari terbuka Perhubungan PAS Kelantan.

Pelbagai aneka juadah, makanan dan minuman disediakan 14 PAS kawasan, Dewan Ulamak PAS Negeri, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Program yang menjadi acara tahunan sejak beberapa tahun lalu itu mendapat sambutan di luar jangka apabila lebih 10,000 hadir.

Dan tahun lepas lebih 20,000 penduduk menghadiri program berkenaan yang juga diadakan di Dataran Stadium biar pun dalam keadaan hujan lebat.

Program tahun ini dijangka lebih meriah dengan kehadiran Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke majlis tersebut. Jamuan akan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Pada jam 11.30 pagi Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Setiausaha Eksekutif Badan Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Yassin Yusof berkata, wakil-wakil rakyat yang hadir juga diberi kesempatan untuk merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada tetamu dan orang ramai yang hadir pada program tersebut.

"Pada program itu Dewan Ulamak akan menyediakan nasi bukhari, Dewan Muslimat (kuih muih), Dewan Pemuda (pelbagai jenis minuman), PAS Pengkalan Chepa dan Kota Bharu (satay).
"Ketereh (roti jala), Gua Musang (martabat) dan Kuala Krai (lemang dan ketupat)," katanya di sini.

Manakala pada sebelah malam akan diadakan ceramah perdana yang menampilkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Anwar, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dan anggota parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail di stadium.

Pada majlis berasingan sebelum itu, Ketua Umum KeADILan dijangka menghadiri rumah terbuka anggota Parlimen Tanah Merah, Amran Abdul Ghani di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah pada sebelah petang.

Aidilfitri: 1 Syawal di Serambi Mekah

HarakahDaily.Net

Kelainan 1 Syawal di Kelantan begitu terasa

Muhd Yusri Amin, Mohd Nor Yahya Mon Oct 06, 08 10:32:28 am MYT

KOTA BHARU, 6 Okt (Hrkh) - Biar pun suasana kegembiraan Hari Raya Aidilfitri semakin berlalu, namun bahangnya masih terasa dengan pelbagai kenduri kendara yang diadakan penduduk.

Kesesakan lalu lintas masih dirasai sehingga semalam memandangkan anak-anak perantau kembali semula ke destinasi mereka. Begitu juga dengan letupan mercun masih kedengaran di sana sini.

Kesyahduan 1 Syawal lalu begitu dirasai apabila pada malam raya kedengaran takbir dilaungkan di corong-corong masjid hampir di segenap tempat. Bermula jam 11 malam sehingga Subuh laungan takbir bergema.

Namun, malam raya agak tercemar dengan letupan mercun yang bertalu-talu seumpama lokasi peperangan di Palestin, Afghanistan atau Iraq. Asap mercun begitu kelam sekali sehingga menjadi jerebu pada malam raya.

Biar pun apa pun kelainan Syawal di Kelantan dapat dilihat apabila Qaryah Ramadan di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV masih menjadi tumpuan penduduk tempatan dan anak perantau menunaikan solat Hari Raya.

Turut kelihatan di qaryah tersebut anggota Exco kerajaan negeri, Dato' Takiyuddin Hassan dan pegawai kanan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Manakala Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menunaikan solat Aidilfitri di masjidnya di Pulau Melaka dengan kehadiran orang ramai yang begitu menyedatkan.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob pula menunaikan solat Hari Raya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat.

Anak-anak perantau pula tidak melepaskan peluang menghadiri perjumpaan Aidilfitri bersama pemimpin kerajaan negeri pada 2 Syawal bertempat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa.


Di kalangan siswazah pula berkempatan bertemu dengan pemimpin kerajaan negeri pada Ijtimak Markaz Siswazah Kelantan yang diadakan pada 3 Syawal di Balai Islam Lundang.
Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK) pula mengadakan perhimpunan keluarga pada 4 Syawal yang dihadiri lebih 200 keluarga.

Perhimpunan itu diadakan di Pulau Melaka tidak jauh daripada rumah Menteri Besar yang juga penaung pertubuhan tersebut.

Jurucakap pertubuhan tersebut Nik Din Nik Mat berkata, melalui perhimpunan keluarga tersebut ia dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim di antara keluarga yang tinggal di seluruh pelusuk negara.

Katanya, perhimpunan seperti itu dijadikan sebagai acara tahunan yang bermula pada 1991.

"Saya amat terharu kerana pertubuhan ini berjaya menyatupadukan keluarga keturunan Raja Jembal yang sememangnya terkenal dengan pemerintahan yang adil dan saksama di Kelantan suatu ketika dahulu.

"Kalau Raja Jembal masih ada tentunya dia akan gembira melihat betapa ramainya anak cucu berkumpul dan saling sayang menyayangi di antara satu sama lain," kata beliau.

Yang Dipertua PKRJK, Nik Yusuff Nik Muhammad berharap kerabat pertubuhan tersebut sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama di antara satu sama lain.

Menurutnya semua kerabat mesti mempertahankan maruah keturunan Raja Jembal yang sentiasa bersatu padu, tolong menolong dan maju ke hadapan dalam pelbagai bidang.

"Raja Jembal merupakan seorang pemimpin yang disegani di Kelantan pada suatu ketika dahulu. Oleh itu kita perlu memastikan kehormatan diberi rakyat sejak dahulu terus dipertahankan," katanya.

Kata beliau sehingga sekarang ramai di kalangan kerabat Raja Jembal berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pegawai tinggi kerajaan, menerajui syarikat besar, tokoh politik dan korporat.
.

Menurutnya juga PKRJK kini mempunyai seramai 1200 ahli dari seluruh negara dan mempunyai cawangan di Kedah dan Perak. Manakala usaha sedang dilakukan bagi menubuh cawangan di Terengganu.

PKRJK juga mempunyai laman web sendiri iaitu pkrjk.blogspot.com.
Sementara itu, Persatuan Penulis Kelantan (PPK) turut mengadakan majlis Pertemuan Hari Raya Aidilfitri di Gelanggang Seni, Sabtu lalu.

Turut hadir pada majlis itu pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin mewakili Takiyuddin.

Berucap pada majlis itu katanya, kerajaan negeri mengisytiharkan Tahun 2009 sebagai Tahun Kesenian Kelantan sebagai usaha memartabatkan lagi seni budaya di negeri ini.

Katanya, mana-mana penyelidik yang berminat mencungkil mengenai kebudayaan dan kesenian dialu-alukan dan ia akan dibukukan sebagai bahan tatapan pelancong dan generasi akan datang.

"Sebenarnya masih banyak maklumat mengenai kebudayaan dan kesenian yang belum diangkat ke persada masyarakat. Oleh itu budayawan perlu mengembelingkan usaha bersama kerajaan negeri bagi mengetengahkan kesenian tersebut," katanya.

Beliau juga mencadangkan PPK memberi tumpuan bagi memartabatkan syiar Islam melalui aktivitinya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Ketua Satu PPK, Husdaini Mamat berharap kerajaan negeri menghidupkan semula anugerah Hadiah Sastera Negeri yang suatu ketika dahulu pernah diadakan di Kelantan.

Katanya, program itu wajar diadakan memandangkan di negeri ini terdapat ramai penulis yang berbakat besar dalam bidang penulisan.

Penyair terkenal, Wan A Rafar mendedahkan pengalamannya mengembara ke beberapa negara pada majlis tersebut termasuk di Istanbul, Turki, Bosnia dan beberapa negara Eropah untuk berrtemu dengan masyarakat Islam di sana.

"Hasil pengembaraan itu saya telah menulis dua buah puisi mengadunkan pengalaman yang amat bermakna," ujarnya.