Thursday, July 2, 2009

Debat: Tok Guru kirim surat kepada PM hari ini

harakahdaily.net

Nik Aziz hantar surat pelawaan debat kepada Najib hari ini

Salmah Mat Husain Rizal Tahir Thu Jul 02, 09 3:29:21 pm MYT

KOTA BHARU, 2 Julai (Hrkh) - Biar pun Dato' Seri Najib Razak menolak pelawaan untuk berdebat dengan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, namun Menteri Besar Kelantan tetap menghantar surat kepada Perdana Menteri.

Surat tersebut dipos hari ini yang dialamatkan kepada Jabatan Perdana Menteri Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Mursyidul Am PAS itu menandatangani surat berkenaan sebaik sahaja selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri pagi tadi.

Surat dua muka surat itu antara lain memuatkan penjelasan terhadap kenyataannya sebelum ini yang menyamakan ajaran Ayah Pin atau komunis dengan Umno kerana menolak Islam.

Katanya, ia sekadar mematuhi kaedah al-balaaghah iaitu penggunaan perumpamaan atau kiasan semata-mata.

"Jauh dari segi maudhu' ia bertujuan untuk menjelaskan bagaimana aliran asal sekularisme yang menolak agama khususnya Islam dari pemerintahan.

"Ini punca sebenar atau ibu kepada segala kesesatan. Apabila sekularisme itu adalah faham yang sesat, maka tidakkah faham kebangsaan yang merupakan cabang dari ajaran sekular bawaan Umno juga turut sesat," soalnya

Menurutnya seperti yang sedia maklum, perdebatan diterima oleh Islam dan diterima oleh demokrasi. Ia perkara fitrah dan perkara sedunia.

Contoh terdekat ialah perdebatan antara Obama dengan saingan beliau dari parti Republikan.
Begitu juga katanya debat antara calon-calon Presiden Indonesia terkini yang sedang berlangsung di Jakarta antara regu Susilo Bambang Yudhono berganding Boediono, Megawati Soekarnoputri bersama Prabowo Subianto dan Jusuf Kalla berpasangan Wiranto.

"Jika di Eropah dan negara negara demokrasi lain debat lebih ditumpukan kepada perkara-perkara cabang yang bersifat keduniaan semata-mata, maka apa salahnya jika kali ini kita perbahaskan perkara pokok yang menyentuh aqidah?

"Masalah yang saya bawa ini adalah perkara aqidah yakni persoalan tunjang yang menyentuh kedua-dua kepentingan secara bersekali, dunia dan akhirat.Jika tidak betul aqidah, sembahyangpun tidak diterima," katanya.

Sabtu lalu Menteri Besar Kelantan itu mencadangkan diadakan debat dengan Perdana Menteri bagi membincangkan sejauh mana perjuangan Umno tidak menyimpang dari agama.

Bagaimanapun ramai pemimpin Umno termasuk dua mantan perdana menteri menasihatkan Najib tidak melayan pelawaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kemudian beberapa hari selepas itu Najib membuat kenyataan tidak menerima debat tersebut.
Menteri Besar Kelantan menjelaskan demokrasi yang sekular tidak pedulikan masalah aqidah. Persoalannya ialah istilah agama dan bukannya isu perlembagaan atau undang-undang.

Isu debat timbul ekoran pemuda Umno membuat laporan polis terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyifatkan Umno lebih kurang sama dengan ajaran Ayah Pin kerana menolak agama dalam perjuangan. - mj _

Wednesday, July 1, 2009

Manek Urai: Ahli Parlimen PAS akan turun padang

harakahdaily.net

Ahli Parlimen PAS akan adakan 'perkampungan' di Manik Urai - Mahfuz
.
Wan Nordin Wan Yaacob Wed Jul 01, 09 9:45:51 am MYT
.
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Ahli-ahli Parlimen PAS akan adakan program berkampung selama tiga hari di lokasi (dalam Dun Manik Urai) yang ditetapkan oleh pihak sekretariat bagi kempen pilihan raya kecil Dun Manik Urai.

Program 'berkampung' itu akan bermula pada 6, 7 dan 8 Julai ini sebaik selesai proses penamaan calon, kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Harakah.
.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata program itu akan menumpukan kepada gerak kerja kempen aktiviti kemasyarakatan khas di tempat yang telah dikhususkan.

Selepas program 'berkampung' itu, ahli-ahli Parlimen PAS bebas untuk berkempen di mana-mana kawasan lain di Manik Urai, katanya.

Program yang dikelolakan oleh Pengarahnya, Dr Hatta Md Ramli akan menumpukan kepada aspek khidmat masyarakat, program kesihatan, motivasi pendidikan, keagamaan dan program jumpa pengundi, ujarnya.

"Kita juga akan buat program hari keluarga untuk mendekatkan hubungan dengan rakyat di Manik Urai," katanya.

Program yang julung kali dibuat ini diharapkan mampu menjana kemenangan PAS yang lebih besar 14 Julai ini, ujar Mahfuz lagi.

Pilihan raya kecil Dun Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.

Hari penamaan calon pilihan raya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

PAS menampilkan Bendahari PAS Kuala Krai, Fauzi Abdullah sebagai calon, sementara BN pula, Tuan Aziz Tuan Mat./wann _

Profil Abe Uji cuba dipertikai oleh Umno

sinar harian
Edisi Kelantan - 1hb Julai 2009

Penduduk Manek Urai tak perlu calon berpendidikan tinggi: Pas

KOTA BAHARU - Pas mendakwa penduduk di Manik Urai yang akan memilih Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) baru mereka pada pilihan raya kecil 14 Julai ini, tidak memerlukan wakil rakyat yang berpendidikan tinggi.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fattah Harun berkata, tidak seperti anggota Parlimen yang mempunyai tanggungjawab di peringkat persekutuan, tugas Adun hanya terhad di kawasan yang diwakilinya sahaja.

“Wakil rakyat tidak semestinya berpendidikan tinggi. Lainlah sekiranya dia adalah wakil kerajaan Persekutuan (anggota Parlimen).

“Pengundi Manik Urai boleh terima dan tidak mengira isu pendidikan. Wakil rakyat nak jumpa (wakil) kerajaan tidak semestinya ada pendidikan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Pas meletakkan pemborong ikan, Mohd Fauzi Abdullah, 50, yang juga Bendahari Pas Bahagian Kuala Krai sebagai calon mereka, manakala Barisan Nasional (BN) meletakkan Tuan Aziz Tuan Mat, 39, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai calon mereka pada pilihan raya kecil itu.

Pengumuman calon Pas dibuat Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 26 Jun lalu sementara pengumuman calon BN dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin 28 Jun lalu.

Ketika ditanya kenapa Mohd Fauzi setakat ini belum dapat ditemu bual pemberita, Abdul Fattah berkata calon itu kini begitu sibuk bertemu dengan rakyat.

"Masa tidak mengizinkan lagi untuk (pemberita) menemu bual calon kita. PAS Kelantan akan memperuntukkan satu masa yang sesuai untuk membolehkan pemberita mengadakan temu bual dengan beliau dalam tempoh secepat mungkin," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob dari PAS pada 22 Mei lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 6 Julai.

- BERNAMA