Monday, September 14, 2009

PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober

malaysiakini

11 Okt pilihan raya Bagan Pinang

Sep 14, 09 12:17pm

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan 3 Oktober manakala tarikh keluar writ dan notis masing-masing pada hari ini dan esok.

Katanya, pilihan raya kecil tersebut akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 dan daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 4 September lalu.

"Daftar pemilih ini mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

DUN Bagan Pinang mengalami kekosongan selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor yang mewakili BN meninggal dunia pada 4 September lalu.

Menurut Abdul Aziz, daftar pemilih tersebut akan mula dijual pada 18 Sept.

"Para pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web SPR iaitu www.spr.gov.my atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN ke 15888 pada tarikh yang sama," katanya.

Beliau berkata, 8,577 atau 62.77 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, 2,834 atau 20.74 peratus pengundi India, 1,498 atau 10.96 peratus pengundi Cina dan 755 atau 5.54 peratus terdiri daripada lain-lain bangsa (lihat carta).

"Daripada pecahan itu, 7,912 pengundi terdiri daripada golongan lelaki manakala bakinya, 5,752 pengundi ialah pengundi wanita," katanya.

Menurut Abdul Aziz, dewan Majlis Perbandaran Port Dickson akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi manakala proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di bilik mesyuarat Pejabat Daerah Port Dickson.

"Untuk pilihan raya kecil ini, SPR akan membuka lapan buah pusat mengundi yang melibatkan lapan buah sekolah dan 18 tempat saluran mengundi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Aziz turut mengumumkan penubuhan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) di bawah Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen.

"Pasukan berkenaan akan mula bertugas dari tarikh penamaan calon hingga tamat hari mengundi, dan akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa.

"Ia akan turut dianggotai oleh seorang pegawai polis, seorang wakil pihak berkuasa tempatan dan wakil-wakil calon yang bertanding," katanya sambil memberi amaran, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar subseksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Saya ingin tegaskan sekali lagi, jangan terkejut jika kita bertindak tegas dan mengenakan tindakan, dan jangan kata SPR berlaku zalim. Kita dah ingatkan banyak kali," katanya.

Di bawah subsesyen berkenaan, mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 1 tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Seperti pilihan raya kecil yang lain, SPR turut membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (Mafrel) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil berkenaan. BERNAMA

Harapan sejak berzaman Tok Guru terhadap Umno

harakahdaily.net

Harapan melihat Umno terkubur sejak tahun 60an- Nik Aziz

Mohd Nor Yahya Mon Sep 14, 09 1:05:18 pm MYT

KOTA BHARU, 14 Sept: Harapan sejak tahun 60an lagi untuk melihat Umno terkubur semakin menjadi realiti.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti yang bersikap perkauman seperti Umno tidak mustahil untuk mati kerana tiada satu jaminan pun oleh sesiapa sahaja bahawa perjuangan perkauman akan kekal sepanjang zaman.

Beliau berkata demikian sebgai mengulas kenyataan bekas Presiden Umno,Tun Dr. Mahathir Mohamed bahawa Umno akan terkubur sekiranya permasalahan yang melanda tidak dapat diselesaikan segera.

"Umno mesti mati kerana hidup mereka hanyalah dibuat-buat. Mereka tolak Islam, guna sekular, kalau lawan sama-sama sekular boleh lah tahannya, tetapi kalau parti mana sekalipun yang lawan Islam, ia tak akan bertahan lama."

"Islam milik Allah sedangkan perjuangan bangsa Melayu bukannya boleh dibawa ke akhirat, hanya Islam akan sampai ke sana"ujar beliau.

Katanya, hanya PAS parti yang mengambil Al-Quran dan Sunnah sebagai asas perjuangannya, dan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bahawa Umno juga memperjuangankan Islam bukan sesuatu yang luar biasa.

Kenyataan sedemikian juga katanya boleh digunakan parti lain dalam komponen BN, namun realitinya Umno memperjuangkan Melayu, MCA Cina dan MIC memperjuangkan kaum India.

Tetapi PAS katanya, memperjuangkan Islam yang melampaui batas perkauman sempit tersebut.

Keadilan perjuangan Islam itu katanya telah menarik kaum bukan Islam untuk bersama PAS sehingga tertubuhnya Kelab Penyokong parti itu.

Mengulas hak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Bagan Pinang, Tuan Guru berkata ianya bukan isu besar, kerana yang lebih penting, calon yang tersebut adalah dari Pakatan Rakyat.

"Mengikut kebiasaannya, calon adalah dari parti yang bertanding terdahulu, kalau calon dahulu dari PAS, maka untuk kali ini pun dari PAS, apapun ia adalah milik Pakatan Rakyat sebenarnya" katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di majlis perlancaran kutipan wakaf/derma tapak sebuah masjid di Bandar Baru Tunjong.

Masjid yang akan didirikan di tapak seluas 9.40 ekar tersebut adalah sumbangan peribadi dari tokoh dermawan negara ini dan ia terletak di persimpangan Jalan Kuala Krai ke Kota Bharu serta Jalan Kota Bharu ke Rantau Panjang.

Turut hadir di majlis tersebut,Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Dato'Mohd Aiseri Alias,Pegawai Kewangan Negeri Haji Mohd Faudzi Che Mamat, Exco Negeri,Ketua Pegawai operasi Perbadanan Menteri Besar, Ir.Abdul Ariffahmi Ab.Rahman, Pengarah Urusetia Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Pegawai-Pegawai Kerajaan negeri.

Pembinaan masjid tersebut akan mengambil masa selama 34 bulan dan boleh menampung seramai 1750 jemaah pada satu waktu.

Masjid yang menelan belanja melebihi RM7 juta akan menggunakan ciri-ciri di zaman Uthmaniah (Turki) dan Fatimiah(Mesir) serta dilengkapi dengan sebuah pusat sumber Islam, Kelas Tahfiz, Kediaman Iman dan pegawai masjid_mna _

Friday, September 4, 2009

Lagi ADUN meninggal dunia